Selasa, 6 September 2011

TERJEMAH AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH PADA MAKNA SYAHDAT AT TAWHID [Bhg I ]

[ Lihat : Muqaddimah ]



 بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْن. اَللَّهُمَّ إِنَّكَ خَلاَّقُ الْعَظِيْم ،إِنَّكَ سَمِيْعٌ عَلِيْم ، إِنَّكَ غَفُوْرٌ رَحِيْم ، إِنَّكَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْم
 أَمَّا بَعْـدُ

إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا 
               Maksudnya :  
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar”. 
[Al-Quran سورة النساء surah An-Nisa’: 48]
                                           ********************************* 
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ (24) تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (25) وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِنْ فَوْقِ الأرْضِ مَا لَهَا مِنْ قَرَارٍ (26) يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ (27
                        Maksudnya :
"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik,akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, (24)
pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengn seizin Allah. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. (25)
Dan perumpamaan kalimat yang buruk sepeti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi, tidak dapat tetap (tertegak) sedikitpun. (26)
Allah mengukuhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki."(27)
[Al-Quran  سورة إبراهيم surah Ibrahim : 24-27]

                                *******************************
 "Adalah diketahui bahawa orang yang jahil dalam ilmu mengenal Allah itu tidak memberikan apa-apa faedah pun daripada amalan-amalan salih yang dilakukannya, malahan  ia terdedah kepada pintu kesesatan dalam agama.  Sesungguhnya telah dikatakan kepada Rasulullah s.a.w.:  Apakah amalan-amalan yang lebih afdhal? Maka sabdanya : Ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah Azawajalla. Maka ditanya : Apakah dia ilmu yang engkau kehendaki itu? Sabda Nabi Muhammad s.a.w. : Ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah SWT. Maka ditanya kepadanya:  Kami menanya daripada amalan dan engkau menjawab daripada ilmu. Maka sabda Nabi Muhammad s.a.w.: Bahawasanya sedikit amalan itu memberi manfaat berserta adanya ilmu pengenalan kepada Allah SWT dan bahawasanya banyak amalan itu tiada memberi manfaat berserta kejahilan ilmu pengenalan kepada Allah Subhanahuwatalla."   
                                               [Maksud Hadis]

     
 ********************************  

  

Bunyi Terjemah Aqidah Ahli Al-Sunnah Pada Makna Kalimah Syahadah At-Tawhid:      

                         ASYHADU ANLAA ILAAHA ILLALLAH 

             أشهد أن لا إله إلا الله              

Adalah aku/kita menaik saksi memberi pengakuan yang teguh dengan lidah dan berkeyakinan penuh di hati mengakui akan bahawasanya tiada yang sah DIIBADATKAN dengan sebenarnya melainkan Allah [ LA M’ABUDA BIHAQQIN ILLALLAH (لامعبود بحق إلا الله) 

Adalah dengan kitab-Nya yang mulia yang diturunkan kepada Nabi-Nya yang dibangkitkan menjadi Pesuruh-Nya "Rasul-Nya" itu mengetahuilah kita sekalian hamba Allah ini atas lidah Rasul-Nya itu akan bahawasanya Allah SWT, Tuhan kita Jalla Waa'zza itu Ia-Nya Ada, Maujudun, Qadimun, Azaliun, Baqin dan adanya Allah SWT itu Ia-Nya sentiasa ada, selama-lamanya ada, tiada berkeputusan ada-Nya.

Adanya Allah SWT itu tiada bagi-Nya permulaan, tiada bagi-Nya kesudahan, Allah SWT itu tiada bagi-Nya misal, tiada bagi-Nya bandingan, tidak ada bagi-Nya umpama dan tidak ada bagi-Nya keadaan yang berlawanan.
Bahawasanya Allah SWT itu sentiasa mempunyai kemuliaan dan kesempurnaan .
" Bal Hual Auwalu wal-Aakhiru Wazzahiru Wal-batinu Wahuwa Bikulli Syaia'in 'Alim"( بلهوالأول والآخر والظاهر والباطن وهو بكل شئ عليم).  
Bahkan Allah SWT itu ialah yang awal yang tiada berawal bagi-Nya, Dialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya, Dialah yang zahir ertinya Al-A'ali (العالي) yakni Yang Maha Tinggi dan Maha Suci daripada segala kekurangan dan tidak sekali-kali Allah SWT itu menyamai dengan segala apa juga barang yang diadakan oleh-Nya. 
Dialah yang batin bererti :
 Al-Muhtajibu A'nil-Hawasi Bihajbi Kibria-ihi ( المحتجب عن الحواس بحجب كبريائه) yakni ialah yang terdinding daripada segala pendapatan pancaindera yang lima dengan dindingan kebesaran dan kemuliaan-Nya dan Allah SWT itu dengan tiap-tiap sesuatu Ia Amat Mengetahui.

AT-TANZIHU  (الـتـنـزيه )

Bahawasanya Allah Subhanahu Wata'ala itu Ia-Nya bukan suatu benda, bukan suatu barang, bukan suatu bangsa, bukan suatu jenis, bukan di luar sesuatu, bukan di dalam sesuatu, bukan bercampur dengan sesuatu, bukan meliputi sesuatu dan tidak sekali-kali Allah SWT itu menyamai dengan segala apa jua barang yang diadakan oleh-Nya atas apa jua jalan sekalipun; dan tidak Allah Taala itu menyamai sesuatu, dan tidak sesuatu apa pun yang ada menyamai Tuhan; dan tidak Tuhan itu mengenai tempat, masa, pihak, sukatan, bilangan; dan tidak Tuhan itu di atas sesuatu dan tidak di bawah sesuatu dan mafhum makna bahawa Tuhan itu atas 'Arasy (عَرْش) ialah dengan makna bahawa Tuhan itu memerintah dan memiliki 'Arasy (عَرْش); dan bukan makna atas itu pihak dan tempat. 

Maka tidaklah sekali-kali Tuhan itu menerimai pihak dan tempat; dan tidak Tuhan itu di luar tujuh lapis langit dan bumi, tidak di dalamnya, tidak meliputinya, tidak bercampur dengannya; dan tidak Tuhan itu di luar syurga, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak bercampur dengannya, bahkan Allah Taala Tuhan kita kita Jalla Wa Azza itu lain dan segala barang yang ada yang diadakan oleh Allah Taala itu lain. Maka Allah Taala itu sangat berlainan yang sehabis-habis berlainan, tiada suatu apa pun yang menyamai-Nya.

Maka sebelum ada masa, tempat, lapang, cahaya, warna, rupa, huruf, suara, sukatan, bilangan, ukuran, gerak, diam, sunyi, senyap; dan sebelum ada 'Arasy, Kursi, syurga, neraka, tujuh lapis langit dan bumi dan segala isinya; dan sebelum ada apa-apa juga benda pun, barang yang diadakan oleh Allah Taala itu, maka Allah Subhanahu Wa Taala Tuhan kita Jalla Wa Azza itu , Ia-Nya ada sebagaimana Ia ada itu juga; yang sentiasanya Ia ada dan selama-lamanya Ia ada; mempunyai kebesaran, kemuliaan dan kesempurnaan. 

Maka makna hampir Tuhan itu ialah hampir rahmat dan nikmat-Nya; dan berserta Tuhan itu ialah berserta rahmat pertolongan dan nikmat-Nya. Maka tidak menyamai hampir Tuhan itu dengan hampir makhluk dan tidak menyamai persertaan Tuhan itu dengan persertaan makhluk, sebagaimana juga Zat Tuhan itu tiada menyamai zat makhluk; dan Tuhan itu tidak menerimai perubahan, perpindahan, sebagaimana juga Zat Tuhan itu tidak menyamai segala zat yang baharu, dan tidak zat-zat yang baharu itu menyamai Zat Tuhan, dan Zat Tuhan itu tidak masuk bersatu-padu pada zat-zat yang baru dan tidak zat-zat yang baru itu masuk bersatu-padu pada Zat Tuhan. Bahkan sentiasalah Allah Subhanahu Wa Taala Tuhan kita  Jalla Aza Wajalla itu  dengan kemuliaan dan kesempurnaan-Nya yang tidak sekali-kali menyamai sesuatu daripada segala makhluk-Nya dan tidak sekali-kali menerimai berlebih dan berkurang kemuliaan Allah Subhanahu Wa Taala.

Bahawasanya Zat Tuhan itu diketahui adanya dengan "akal" dan Zat Tuhan itu dapat di lihat di akhirat kelak dengan pemandangan mata sebagaimana yang diketahui dengan (akal )**  itu juga. Inilah nikmat daripada Allah SWT dan murah kurniaan Allah kepada sekalian hamba-hamba-Nya yang ahli kebahagiaan dalam negeri akhirat kelak bagi menyempurnakan segala nikmat yang ada disediakan di dalam syurga dengan dapat melihat Zat Allah Yang Mulia itu.
[** Lihat : Al-Basirah, 'Ainul Qalbi dn Mata Hati ]

[Untuk memahami lebih jelas pengertian At-Tanzihu ini sila rujuk dan fahami entri-entri bertajuk:

Al-HAYATU WAL-QUDRATU  (  الحياة والقدرة )

Bahawasanya Allah SWT itu Ianya Hidup dan Amat Berkuasa, tidak sesekali mengenai lemah, tidak mengenai binasa, tidak mengenai mati, tidak mengenai lupa dan tidak mengenai lalai. Allah SWT itu mempunyai pemerintahan dan memiliki semua perkaranya, mempunyai kemuliaan, kebesaran dan kesempurnaan dan segala tujuh lapis langit dan bumi berserta sekalian makhluk Allah semuanya terletak di bawah kuasa dan tadbir Allah dan kehendak Allah belaka. 

Maka Allah SWT jualah yang mengadakan sekalian makhluk dan mengadakan segala amal pekerjaan mereka itu. Allah SWT jualah yang mentakdirkan segala rezeki dan ajal mati mereka dan Allah SWT sahajalah Yang Amat Berkuasa mengadakan dan mentiadakan 'sesuatu'.

Tidak ada 'sesuatu'  apa barang pun yang di bawah kuasa dan milik Allah yang terlepas daripada kuasa, milik dan di bawah perintah Allah. Sesungguhnya tidak terhingga segala barang yang di bawah kuasa Allah itu dan kuasa Allah itu tiada terhad, tiada terhingga dan tiada berkesudahan segala barang yang diketahui Allah SWT itu.

[Sila lihat :

AL-ILMU  ( العلم)

Bahawasanya Allah SWT itu Amat Mengetahui akan semua barang yang di bawah Ilmu Allah yang tiada terhingga banyaknya itu. Allah SWT Amat Mengetahui segala apa juga barang yang berlaku di bawah tujuh lapis bumi hingga terkeatas daripada tujuh lapis langit, dan tidak ada satu barang pun yang tersembunyi daripada ilmu Allah itu walaupun sekadar sebiji debu yang ada pada bumi dan langit melainkan semuanya itu diketahui-Nya belaka.

Bahkan Allah SWT Amat Mengetahui perjalanan semut hitam binatang-binatang yang halus di atas batu pejal yang hitam pada waktu malam yang sangat gelap gelita itu dan mengetahui gerak setiap biji debu yang berterbangan di udara.

Dia Amat  Mengetahui segala rahsia dan segala barang yang lebih tersembunyi dan Dia Amat Mengetahui sebarang apa juga gerak-gerak tujuan dan cadangan-cadangan hati sekalian hamba-Nya dan segala apa juga barang yang terlintas di hati mereka itu. Allah SWT Amat Mengetahui segala pati kemahuan-kemahuan hati dari rahsia-rahsia yang disembunyikan oleh mereka itu.
Allah SWT Amat Mengetahui akan segala hal yang demikian itu semuanya dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali dan sentiasalah Allah itu Mengetahuinya pada Azalul-Aazal (ازل الآزال ), dan Ilmu Allah SWT itu tidak berdatang-datang, tidak menerimai berbilang-bilang, tidak menerimai berubah-ubah dan tidak berpindah-pindah.

[Lihat : ALLAH MENGETAHUI DENGAN ILMU-NYA YANG QADIM]


AL-IRADATU  (الارادة) 

Bahawasanya Allah SWT itu mempunyai Kehendak. Semua barang yang ada dan akan ada daripada segala makhluk Allah itu adalah semuanya itu Allah SWT jua yang mengkehendaki bagi mengadakan semua barang itu. Dia jua yang mentadbirkannya, maka tidak berlaku pada sesuatu barang apa juga daripada barang milik Allah itu sedikitnya, banyaknya, kecilnya, besarnya, kebajikannya, jahatnya, manfaatnya, mudaratnya, kebahagiaanya, ruginya, lebihnya, kurangnya, taatnya dan maksiatnya melainkan semuanya itu dengan Qadha Allah dan Takdir Allah, Hikmat Allah dan Kehendak Allah belaka.

Barang apa yang dikehendaki oleh Allah itu sahajalah yang berlaku. Barang apa yang tidak dikehendaki oleh Allah tidaklah berlaku dan tidak terkeluar daripada Kehendak Allah berlakunya sesuatu perkara itu sekadar sekerlipan pemandangan mata dan sekadar segerak lintasan hati jua pun. Bahkan Allah SWT jualah yang mengadakan permulaan sesuatu dan Allah SWT jualah yang mengembalikannya.

Allah SWT itu amat berkuasa bagi barang apa sahaja yang Dia Kehendaki. Tidak ada suatu apa pun yang menghalangi Kehendak Allah itu dan tidak ada suatu apa pun yang menolakkan supaya terlepas daripada Qadha Allah SWT. Maka tidak dapat lari seseorang hamba Allah itu daripada berbuat maksiat kepada Allah melainkan semata-mata dengan pertolongan Allah dan rahmat-Nya dan tiada terdaya mengekalkan berbuat taat kepada Allah melainkan semata-mata dengan Kehendak Allah.

Jika sekiranya berhimpun sekalian manusia,jin,syaitan dan malaikat berkehendak mengerakkan sebiji debu dalam alam ini atau hendak memberhentikan sebiji debu yang bergerak itu supaya diam tetapi bukan dengan Kehendak Allah tentulah tiada terdaya mereka semua melakukan yang demikian itu.
Sebagaimana Allah SWT itu mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali begitulah juga Allah SWT itu berkehendak dengan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali yang sentiasalah Allah itu berkehendak pada Azal-Nya.

Sebarang apa jua yang Allah SWT Kehendaki adanya pada Azal-Nya pada masa yang ditakdirkan adanya maka didapatilah adanya barang itu pada waktu yang Allah SWT telah mentakdirkan adanya menurut sebagaimana yang Dia Kehendaki pada Azal-Nya itu juga dengan tiada terdahulu dan tiada terkemudian.
Bahkan berlakunya berbetulan dengan Ilmu-Nya dan Kehendak-Nya yang tiada bertukar dan tiada berubah dan Allah SWT mentadbirkan semua perkara itu bukan dengan susunan fikir dan bukan mengenai masa kerana yang demikian itu tidak membimbangkan Allah oleh sesuatu pekerjaan daripada sesuatu pekerjaan.




ASSAMA'U WALBASARU ( السمع والبصر )

Bahawasanya Allah SWT itu Amat Mendengar dan Amat Melihat, maka tiadalah apa-apa pun yang tidak didengari oleh Allah SWT melainkan didengari belaka walaupun perkara itu sangat tersembunyi. Tidak ada apa-apa pun yang tidak dilihati oleh Allah SWT melainkan dilihati-Nya belaka walaupun perkara itu dan barang itu tersangat halus. Maka tidak terdinding daripada pendengaran Allah itu dengan sebab jauh dan tidak terdinding daripada penglihatan Allah itu dengan sebab kegelapan.
Sesungguhnya Allah Melihat tidak seperti sekalian makhluk melihat, bahkan Allah Melihat tidak dengan mata, Dia Mendengar tidak dengan telinga yang sebagaimana juga dia mengetahui tidak dengan hati, berbuat sesuatu tidak dengan anggota dan mengadakan sesuatu tidak dengan alat kerana keadaan Allah SWT itu tidaklah sama sekali menyamai dengan segala keadaan makhluk atas jalan mana pun. Begitu juga Zat Allah SWT itu tidak sekali-kali menyamai dengan segala zat makhluk**.


[** Peringatan : Makhluk ialah segala barang (sesuatu) yang diadakan oleh Allah] .

AL-KALAMU  (الكــلام)

Bahawasanya Allah SWT itu Berkata-kata, menyuruh, menegah, menjanjikan balasan kebaikan dan balasan kejahatan. Dia Berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim lagi Azali dan Dia sentiasa Berkata-kata dan selama-lamanya berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim. Sesungguhnya Kalam Allah SWT itu tidak menyamai kalam segala makhluk kerana Kalam Allah SWT itu tiada berhuruf, tiada bersuara dan tidak berkafiat walau dengan apa jua cara sekalipun.
Bahawasanya Al-Quran, At-Taurat, Al-Injil, dan Az-Zabur ialah kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada Rasul-rasul-Nya Alaihisalam عليهم السلام. Al-Quran itu dibaca dengan lidah, ditulis dalam mashaf, dihafaz dalam hati dan dalam begitu pun adalah Kalam Allah SWT itu ianya Qadim berdiri kepada Zat Allah yang Qadim yang tiada menerimai berhubung, bercerai, berpindah, tiada kepada hati-hati, tiada kepada kertas-kertas dan tiada kepada lidah-lidah.

Bahawasanya Nabi Allah Musa Alaihissalam mendengar Kalam Allah SWT itu dengan tiada bersuara dan tiada berhuruf sebagaimana juga orang mukminin yang ahli kebahagiaan itu melihat Zat Allah di negeri akhirat kelak dengan tiada berupa, tiada berwarna, tiada berpihak, tiada bertempat dan tiada berkafiat walau bagaimana cara sekalipun.

Apabila Allah SWT itu sedemikian keadaan-Nya maka Allah SWT itu Ia-Nya yang hidup, yang berilmu, yang berkuasa, yang berkehendak, yang mendengar, yang melihat, yang berkata-kata. 
Dia Hidup dengan Hayat-Nya yang Qadim, Dia Mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim, Dia Berkuasa dengan Qadrat-Nya yang Qadim, Dia Berkehendak dengan Kehendak-Nya yang Qadim, Dia Mendengar dengan Pendengaran-Nya yang Qadim, Dia Melihat dengan Penglihatan-Nya yang Qadim dan Dia Berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim dan tidaklah semata-mata Zat-Nya sahaja.

 [Sila lihat : 


AL-AFA'AL  (الافعال)

Perbuatan Allah. Bahawasanya Allah SWT itu selain daripada semua yang ada itu maka semuanya adalah barang yang baru atau makhluk Allah SWT belaka dan Allah jualah yang mengadakan semua barang itu dengan Perbuatan-Nya, dan limpah murah daripada Keadilan-Nya.

Semua barang Perbuatan Allah itu adalah atas keadaan yang sehabis-habis elok sempurnanya, sangat-sangat berbetulan pada tempat letaknya, susunannya, dan timbangannya. Adalah Allah SWT itu Amat Mempunyai Hikmat pada segala barang Perbuatan-Nya itu lagi Dia sangat Adil-Nya pada Hukuman-Nya.

Maka tidaklah sekali-kali dapat dikiaskan Keadilan Allah itu dengan keadilan sekalian hamba-Nya kerana hamba Allah itu boleh berlaku kezaliman, terbit daripadanya dengan sebab memerintah pada hak milik orang lain, tetapi tidak sekali-kali boleh berlaku kezaliman daripada Allah SWT oleh sebab tidak ada satu barang pun yang tidak dimiliki oleh Allah SWT melainkan semuanya itu dimiliki oleh Allah SWT belaka dan tidak ada bagi yang lain daripada Allah SWT itu memiliki sesuatu apa pun.

Semua barang yang ada, selain daripada Allah SWT, iaitu sekalian manusia, jin, syaitan, malaikat, langit, bumi, bintang-bintang, pokok-pokok, batu-batan segala jenis kebendaan, segala khasiat benda-benda dan kekuatannya, segala barang yang didapati oleh lintasan-lintasan hati, segala barang yang didapati melalui segala pancaindera yang lima, segala jenis cahaya, rupa, warna, masa, tempat, lapang, suara, huruf, bilangan, ukuran, sukatan, gerak, diam dan lain-lain lagi itu semuanya adalah barang yang baharu iaitu barang yang diadakan oleh Allah SWT dengan Qadrat-Nya yang Qadim daripada tidak adanya barang-barang itu sama sekali kepada adanya barang itu diadakan oleh Allah SWT.

Maka ada, atau tidak ada, atau belum ada, atau rosak binasa barang  Perbuatan Allah itu maka adalah Allah SWT itu Ia-Nya Ada sebagaimana Ia Ada itu juga kerana yang Ada pada Azal itu ialah Allah SWT sahaja yang Ada dan tiada yang lain daripada-Nya.
Allah SWT itu mengadakan segala makhluk-Nya itu daripada semata-mata tidak ada barang itu kepada adanya ialah kerana menzahirkan bagi kuasa-Nya dan metahqikkan lagi barang apa yang telah terdahulu daripada Kehendak-Nya disebabkan kebenaran-Nya bagi barang apa yang ada pada Azal-Nya daripada Kalam-Nya dan bukan untuk mengambil faedah daripadanya serta bukan kerana mengenai sesuatu hajat kepadanya. Bahkan Allah SWT itu amat terkaya daripada yang demikian itu dan sesungguhnya Allah SWT itu mempunyai kelebihan, kemurahan dan sentiasa memberi berbagai rahmat yang tidak terhingga banyaknya.**

[** Perhatian : Sila rujuk al-Quran سورة الذاريات surah Adz-Zaariyat : 56 ]

Allah SWT berbuat sesuatu itu adalah semata-mata limpah murah kurniaan-Nya dan nikmat pemberian-Nya dan  bukan terwajib ke atas Allah itu berbuat sesuatu dan termestinya serta tidak termustahak ke atas-Nya kerana Allah SWT itu Amat Berkuasa menurunkan berbagai azab ke atas sekalian hamba-Nya dan mengazabkan mereka itu semuanya dengan bermacam-macam jenis azab kesakitan dan penderitaan.
Walaupun demikian Allah SWT itu berbuat ke atas hamba-hamba-Nya hingga sedemikian rupa adalah atas keadilan Allah SWT juga dan tidak ada daripada-Nya itu kezaliman dan tidak ada daripada-Nya itu kekejian.

Bahawasanya Allah SWT Jalla Wa 'Azza itu memberi pahala kepada hamba-hamba-Nya yang mukmin di atas ketaatan mereka itu ialah semata-mata atas hukuman kemurahan dan janji-Nya, bukan dengan hukuman termestinya, terwajibnya dan termustahknya bagi Allah itu berbuat demikian.
Ini adalah disebabkan tiada terwajib ke atas Allah itu berbuat sesuatu bagi hamba-hamba-Nya dan tidak ada sama sekali daripada Allah itu kezaliman, dan tiada wajib bagi hamba itu hak ke atas Allah dan haknya itu adalah pada ketaatan.
Maka wajiblah ke atas hamba Allah itu berbuat taat kepada Allah SWT dengan sebab pekerjaan taat itu adalah yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya berbuat demikian atas perkhabaran dan daripada lidah Nabi-nabi-Nya Alaihimusalam dan bukan semata-mata dengan akal.

Adalah hal yang demikian itu ialah Allah SWT telah membangkitkan Rasul-Rasul dan telah menzahirkan kebenaran mereka itu dengan beberapa banyak mukjizat yang terang dan nyata. Maka berkerjalah mereka itu untuk menyampaikan segala suruhan Allah dan barang-barang tegahan-Nya dan janji-janjian balasan pahala dan balasan azab-Nya.

Maka wajiblah ke atas sekalian hamba Allah itu mempercayai kebenaran mereka itu dan menerimanya segala seruan Rasul-rasul itu pada sebarang apa juga barang yang didatangkan dan disampaikan oleh mereka.


[**Perhatian : Lihat sambungannya:

[Untuk memperkukuhkan lagi pemahaman yang berkaitan topik ini sila lihat: 


ii. (  في ترجمة عقيدة اهل السنة  في كلمتي الشهادة التي هي أحد مباني الاسلام )

iii.  SOAL JAWAB Mengenai "ADA" Allah SWT


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BILAKAH KIAMAT DUNIA AKAN BERLAKU ?

  بِسْمِ  ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَ...