Halaman

Khamis, 8 September 2011

QADHA dan QADAR Allah dan Had Batasan Akal Manusia



       [ Sambungan daripada:   Do'a Khalifah Abu Bakar AS Siddiq r.a. ]                                        

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه 
أجمعين اما بعد


وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ كِتَابًا مُؤَجَّلًا ۗ وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الْآخِرَةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا ۚ وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ 
                    Maksudnya :
"Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang tertentu waktunya. Barangsiapa menghendaki pahal dunia, nescaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barangsiapa menghendaki pahal akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat itu. Dan Kami akan memberi balasan kepada orang yang bersyukur." 
      [ Al-Quran surah Al-'Imran : 145 ]
                                *************************************************

وَمَا مِنْ غَائِبَةٍ فِي السَّمَاءِ وَالأرْضِ إِلا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ 
            Maksudnya :
" Tiada sesuatu  pun yang ghaib di langit dan di bumi, melainkan (terdapat) dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh (: لَوْحٍ مَحْفُوظٍ)."
        [  Al-Quran surah An- Naml :75 ]
                    ***********************************************************
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ
                    Maksudnya : 
" Diwajibkan atas kamu berperang, pada hal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci.Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." 
                         [Al-Quran surah al-Baqarah : 216 ] 
                            **********************************************

Percaya dan beriman pada Qadha dan Qadar Allah adalah salah satu daripada Rukun Iman yang wajib dipercayai dan diyakini oleh orang yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Kandungan Do'a Abu Bakar Al-Siddiq sebelum kewafatannya menjelaskan dengan terperinci mengenai takdir Qadha dan Qadar Allah yang tidak diketahui oleh hamba-hamba-Nya sama sekali. 

Tugas dan tanggungjawab setiap hamba Allah adalah untuk beribadah kepada-Nya di samping berusaha dan memohon do'a kepada Allah SWT agar segala takdir yang telah ditetapkan-Nya terlebih awal sebelum dijadikan sekalian makhluk-Nya dijauhkan daripada perkara-perkara keburukan, keaiban dan lebih-lebih lagi menjurus kepada jalan kesesatan beragama yang menjadi penyebab kemurkaan-Nya dan dihumban ke dalam neraka berkekalan selama-lamanya di sana. 

Di dalam Hadis Rasulullah s.a.w ada memperjelaskan :
Sabda Nabi kita Muhammad s.a.w.:

 وقال عليه السلام قال الله تعالى خلقت الخير وخلقت  
له اهلا وخلقت الشر وخلقت له اهلا فطوبى لمن
خـلقـته للخير ويسرته على يديه وويل لمن خلقـته
للشر ويسرت الشر على يديه وويل ثم ويل لمن قال 
 لم وكيف   
 (كتاب الاربعين في اصول الدين)

     :Maksudnya                   

 Dan sabdanya Alaihissallam: Allah Taala telah berfirman; Aku telah jadikan kebaikan dan Aku jadikan baginya ahli dan Aku jadikan kejahatan dan Aku jadikan baginya ahli. Maka  (syurga)  “Tuba”-lah bagi siapa yang Aku jadikan dia untuk kebaikan dan Aku permudahkannya (jalannya) ke atas kedua belah tangannya. Dan (neraka) “Wail”-lah bagi siapa yang Aku jadikan dia untuk kejahatan dan Aku permudahkan kejahatan itu ke atas kedua belah tangannya dan (neraka) Wail-lah kemudian “Wail”-lah bagi siapa yang berkata kenapa dan bagaimana.”
      [Petikan daripada Kitab Al-Arba-Iin Fi Usuluddin
Dalam Hadis yang lain ada diperjelaskan juga : 

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ 
يَكُونُ  
فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ 
ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ 
كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ، 
فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى  
مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، 
فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ 
أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ 
عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَدْخُلُهَا
                       Maksudnya : 
“Sesungguhnya salah seorang di antara kalian dihimpun kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari. Kemudian, pada hari itu menjadi segumpal darah. Setelah itu, diutuskanlah malaikat dan diperintahkan untuk meniupkan roh ke dalamnya dan diperintahkan menulis rezekinya, ajalnya, dan amalnya; sengsara atau kebahagiaannya. Maka (demi) yang tiada Illâh melainkan hanya Ia, sesungguhnya salah seorang di antara kamu ada yang melakukan perbuatan ahli syurga sampai tiada jarak antara dirinya dan syurga itu kecuali sehasta, akan tetapi kerana didahului oleh takdir maka ia berbuat perbuatan ahli neraka sampai ia memasukinya. Dan salah seorang di antara kamu ada yang melakukan perbuatan ahli neraka sampai tiada jarak antara dirinya dan neraka itu kecuali sehasta, akan tetapi kerana didahului oleh takdir maka ia berbuat perbuatan ahli syurga sampai ia memasukinya.” (HR. Al-Bukhari)
Antara kandungan Do'a Abu Bakar As-Siddiq yang bermaksud :
."....... Ya Allah, bahawasanya Engkau telah mengadakan permulaan makhluk daripada ketiadaan apa-apa hajat dengan Engkau kepada mereka itu, kemudian Engkau jadikan mereka itu dua puak, satu puak untuk syurga dan satu puak untuk neraka. Maka Engkau jadikanlah aku untuk syurga dan jangan Engkau jadikan aku untuk api neraka...... 
Ya Allah, Engkau telah mengadakan makhluk beberapa puak dan telah engkau memperbezakan mereka itu lebih dahulu sebelum Engkau mengadakan mereka itu. Maka Engkau jadikan daripada mereka itu ada yang celaka dan ada yang bahagia, ada yang sesat dan ada yang mendapat petunjuk. Maka janganlah Engkau celakakan akan daku dengan sebab berbuat maksiat-maksiat kepada Engkau. 
Ya Allah,  bahawasanya Engkau telah mengetahui akan barang apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri seorang sebelum mengadakannya, maka tidak dapat lari baginya daripada barang apa yang telah Engkau ketahui, maka jadikanlah aku daripada orang yang Engkau jadikan dia dengan berbuat amalan taat kepada Engkau."
[Perhatian : Keseluruhan kandungan doa ini boleh didapati dalam: " Do'a Saidina Abu Bakar As-Siddiq Ketika Sakit Menghampiri Wafat " dalam blog ini.] 

Di dalam al-Quran surah Al-Hadid ayat 22 terdapat penjelasan yang nyata mengenai takdir Allah terhadap sesuatu perkara telah tertulis di Luh Mahfuz : لَوْحٍ مَحْفُوظٍ  sebelum wujud atau berlakunya perkara itu :
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الأرْضِ وَلا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ 
                       :Maksudnya
"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz 
: لَوْحٍ مَحْفُوظٍ) sebelum Kami mengadakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah amat mudah bagi Allah."
Firman Allah dalam surah  al-An'aam ayat 59 mempunyai pengerian dan maksud yang hampir sama sepeti ayat di atas :
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لا يَعْلَمُهَا إِلا هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلا يَعْلَمُهَا وَلا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الأرْضِ وَلا رَطْبٍ وَلا يَابِسٍ إِلا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ       
                      Maksudnya:
 "Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia Mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia Mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz
: لَوْحٍ مَحْفُوظٍ).
                                        [Surah al-An'aam : 59] 

Demikian juga dengan Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 93 :
              
وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ يُضِلُّ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَلَتُسْأَلُنَّ عَمَّا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ 
                     Maksudnya :

"Dan kalau Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (sahaja), tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan."
Berpandukan sedutan sebahagian daripada do'a dan ayat tersebut jelas sekali bahawa Qadha dan Qadar Allah terhadap setiap hamba dan makhluk telah ditakdirkan terlebih dahulu sebelum kewujudannya.

Kandungan maksud, "Do'a Rasullullah s.a.w."  selepas sembahyang sunat subuh mempunyai maksud yang hampir serupa yang antara lainnya menyebut yang bermaksud :
"....... Ya Allah , kurniakanlah kepada aku keimanan yang benar dan keyakinan yang tidak ada kemudiannya kekafiran, dan rahmat yang aku mendapati dengannya kemuliaan pemberian Engkau dalam dunia dan negeri akhirat. Ya Allah, aku memohon kepada Engkau kelepasan pada ketika Qadha [menjatuhkan hukuman ] dan dapat martabat orang yang mati syahid dan kehidupan orang-orang yang sebahagia-bahagia dan kemenangan di atas seteru-seteru dan menyamai Nabi-nabi.  
Ya Allah, bahawasanya aku memohon kepada Engkau hajat ku dan jikalau sekalipun lemah fikiran ku dan sedikit upaya kekuatan ku dan singkat amalan ku, aku sangat berhajatkan kepada rahmat Engkau........" 
Demikian juga di dalam maksud Do'a Al-Iman As-Syafie Rahimatullah ketika beliau menghadapi kesusahan dapat menjelaskan kelemahan yang terdapat pada setiap hamba Allah seperti berikut:
  اللهم اني لا أملك لنفسي نفعا ولا ضرا ولا موتا ولا حياة ولا نشورا ولا أستطيع أن آخذ إلا ما أعطيتني ولا اتقي إلا ما وقيتني اللهم فوفقني لما تحب وترضى من القول والعمل في عافية
                    Maksudnya:
 "Ya Allah, bahawasanya aku tiada memiliki bagi diriku kemanfaatan, tiada memiliki kemudaratan, tiada memiliki kematian, tiada memiliki kehidupan, tiada memiliki kebangkitan hidup kemudian daripada mati, tiada aku berupaya mengambil melainkan barang apa yang Engkau berikan kepada aku dan tiada dapat aku memeliharai  melainkan dengan barang apa yang telah Engkau peliharai akan aku.  
Ya Allah, Engkau berilah taufik kepada aku bagi barang apa yang Engkau kasihi dan Engkau redhai daripada perkataan dan amalan dalam 'afiat." 
Maksud yang hampir sama  ada diperjelaskan juga dalam Firman Allah surah Al-A'Raaf ayat 188 :
قُلْ لا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلا ضَرًّا إِلا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ 
                    Maksudnya :
"Katakanlah : Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudaratan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib,tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman."


Dalam satu Hadis Rasullullah s.a.w. ada menceritakan yang antara lainnya bermaksud :
" .....dan sabda Nabi Muhammad s.a.w.: Sesungguhnya datang kepada aku syaitan, maka ia menarikkan akan daku, aku ambil dengan memegang tengkuknya, maka demi yang membangkitkan akan daku menjadi Rasul dengan sebenarnya tiada aku melepaskannya hingga aku dapati kesejukan air lidahnya ke atas tangan ku dan jika sekiranya tidak ada perdo'aan saudara ku Sulaiman a.s. nescaya aku berpagi-pagi terlantar dalam masjid... ......." [ hingga akhir Hadis]
Dalam peristiwa yang lain pula ada menceritakan yang antara lainnya bermaksud :
".. daripada Abdul Rahman bin Abi Laili, katanya adalah syaitan yang datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. pada tangannya ada sepotongan nyalaan daripada api. Maka ia berdiri di hadapannya ketika ia sembahyang lalu ia membaca dan berta'uz membaca A'uzubillahi Minasyaitanirrajim tetapi ia tiada pergi. Lalu datang kepadanya Jibrael a.s. dan katanya (kepada Nabi Muhammad s.a.w. ) : Katakan oleh mu:   
 أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ الَّتِي لَاْ يُجَاوِزُهَنَّ
بِرٌّ وَلَاْ فَاجِرٌ مِنْ شَرِّ مَا يَلِجُ فِيْ الأَرْضِ وَمَا
يَخْرُجُ  مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ

فِيْهَا وَمِنْ فِتَنِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَمِنْ طَوَارِقِ

اللَّيْلِ  وَالنَّهَارِ إِلاَّ طَارِقًا يَطْرُقُ بِخَيْرٍ يَا رَحْمَن 
                Maksudnya : 
'Aku minta peliharakan (lindungan) dengan segala kalimah yang sempurna yang tiada melampauinya oleh orang yang baik dan tiada melampauinya oleh orang yang jahat daripada kejahatan barang apa yang masuk pada bumi dan barang yang keluar daripadanya dan barang apa yang turun daripada langit dan barang apa yang naik padanya dan daripada segala fitnah malam dan siang dan daripada segala yang datang malam dan siang melainkan yang datang mendatangkan kebajikan wahai Tuhan Yang Maha Pemurah'.
Setelah ia mengatakan ( berdo'a ) yang demikian itu padamlah potongan nyalaan api itu dan jatuh ke atas mukanya."
Do'a-do'a dan peristiwa Nabi Muhammad s.a.w. yang cuba dizalimi jin syaitan ini menunjukkan bahawa makhluk tidak mempunyai apa-apa kuasa terhadap makhluk yang lain jika tidak diizinkan Allah walaupun seseorang makhluk itu lebih kuat pada zahirnya berbanding makhluk yang hendak dizaliminya. Do'a juga adalah senjata kekuatan yang paling ampuh dan tali penghubung dengan Allah bagi orang mukmin dan ditegah sama sekali meminta pertolongan kepada makhluk yang lain.

Di dalam al-Quran terlalu banyak ayat yang menjelaskan kepentingan berdo'a kepada Allah sama ada ketika melakukan ibadat-ibadat khusus dan segala hal yang berkaitan dengan kehidupan seharian agar sesuatu ibadat dan pekerjaan yang dilakukan mengikut peraturan hukum yang ditetpkan itu diterima Allah serta mendapat keampunan, rahmat, kebarkatan dan pahala yang dijanjikan-Nya. Malahan dalam beberapa hal Allah mengajar cara dan kalimah-kalimah do'a yang wajar dilafazkan semsa melaksanakan ibadat khusus dan ketika berhadapan dengan sesuatu hal yang memerlukan pertolongan-Nya.

Firman Allah di dalam surah Al-Mukmin ayat 60 memberikan penjelasan dan penekanan betapa pentingnya berdo'a kepada-Nya :
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ 
                              Maksudnya :
"Dan Tuhan mu berfirman : 'Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyambah (mengibadatkan) Aku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina'." 
                                 [ Al-Quran surah al-Mukmin: 60] 

Mudah-mudahan dengan kesungguhan berdoa dan memohon keampunan tanpa mengenal jemu pada setiap masa, maka atas sifat Ar-Rahman, Ar-Rahim, Maha Pengampun lagi  Maha Pemurah Allah melimpahkan keampunan dan makbulkan doa seseorang hamba-Nya yang mukmin sebagimana Firman-Nya dalam al-Quran surah Ar-Ra'd ayat 39 :
يَمْحُوا اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ وَعِنْدَهُ أُمُّ الْكِتَابِ
                  Maksudnya : 
"Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab (Lauh Mahfuz)"

Firman Allah di dalam surah Al-Furqan ayat 77 menjelaskan bahawa Allah tidak mengindahkan perbuatan dan doa golongan manusia musyrik yang mendustakan-Nya:
     قُلْ مَا يَعْبَؤُا بِكُمْ رَبِّى لَوْلاَ دُعَآؤُكُمْ فَقَدْ كَذَّبْتُمْ فَسَوْفَ يَكُونُ لِزَاماً 
                      Maksudnya :
"Katakanlah (kepada orang-orang musyrik): 'Tuhanku tidak mengindahkan kamu, melainkan kalau ada ibadat mu. (Tetapi bagaimana kamu beribadat kepada-Nya), pada hal kamu sungguh telah mendustakan-Nya? Kerana itu kelak (azab) masti (menimpa mu')." 


Di dalam Do'a Rasulullah s.a.w.tersebut juga baginda bermemohon kepada Allah dengan begitu merendahkan diri seperti yang bermaksud: 
"Ya Allah!, bermula do'a ini dan di atas Engkau memakbulkan dan ini persungguhan dan di atas Engkau berserah, bahawasanya kami ialah milik bagi Allah dan bahawasanya kami kepada bawah perintah-Nya kami kembali dan tiada berupaya mengekali berbuat taat dan tiada kekuatan bagi memberhentikan daripada berbuat maksiat melainkan dengan pertolongan Allah yang amat mempunyai kebesaran yang mempunyai tali agama yang amat kuat dan pekerjaan atas jalan yang hak." 
Kandungan Do'a Khalifah Abu Bakr As-Siddiq r.a juga memperjelaskan lagi betapa lemahnya setiap orang hamba Allah itu yang sentiasa bergantung penuh harapan kepada rahmat pertolongan Allah walaupun seseorang hamba itu begitu mulia martabat dan kedudukannya di sisi Allah seperti para Malaikat, Nabi dan Rasul dan para mukmin yang salih seperti Abu Bakr As-Siddiq r.a. sebagaimana yang dimaksudkan di dalam ungkapan do'anya yang bermaksud :
"Ya Allah! , bahawasanya seseorang itu tiada dapat barang apa yang dia kehendaki hingga Engkau kehendaki, maka Engkau jadikanlah kehendak Engkau itu bahawa aku mengkehendaki barang gerak-gerak hamba-hamba.  Sesungguhnya tidak bergerak sesuatu melainkan dengan izin Engkau, maka, jadikanlah segala gerak-gerak aku pada takutkan Engkau .
Ya Allah! , sesungguhnya Engkau telah mengadakan kebaikan dan kejahatan dan telah Engkau jadikan tiap-tiap satu daripada keduanya itu ada orang yang mengerjakan dengannya, maka, Engkau jadikanlah akan daku daripada orang yang sebaik-baik daripada dua bahagian itu."
Sekiranya hamba-hamba Allah yang sedemikian tinggi dan mulia martabatnya di sisi Allah seperti Rasulullah s.a.w. dan Khalifah Abu Bakr As-Siddiq sendiri pun berdo'a dan bermohon kepada Allah sebegini indah ungkapan kata-kata mereka yang begitu merendah diri serta penuh dengan pengertian ilmu akidah keimanan yang memperjelaskan lagi pegangan iktiqad mereka terhadap Qadha dan Qadar Allah, maka betapa pula kita orang-orang mukmin awam yang terlalu sedikit dan cetek ilmu pengetahuan dalam bab ini?

Do'a Khalifah Abu Bakar As-Siddiq ini selaras dengan pegangan iktiqad Ahli Sunnah wal Jemaah sebagaimana yang diperjelaskan di dalam kitab Terjemah Aqidah Ahli Sunnah wal Jemaah Pada Makna Dua Kalimah Syahdat yang menjelaskan :
       "Al-Iradatu" : 
Bahawasanya Allah SWT itu mempunyai Kehendak. Semua barang yang ada dan akan ada daripada segala makhluk Allah itu adalah semuanya itu Allah SWT jua yang mengkehendaki bagi mengadakan semua barang itu. Dia jua yang mentadbirkannya, maka tidak berlaku pada sesuatu barang apa juga daripada barang milik Allah itu sedikitnya, banyaknya, kecilnya, besarnya, kebajikannya, jahatnya, manfaatnya, mudaratnya, kebahagiaanya, ruginya, lebihnya, kurangnya, taatnya dan maksiatnya melainkan semuanya itu dengan Qadha Allah dan Takdir Allah, Hikmat Allah dan Kehendak Allah belaka. 
Barang apa yang dikehendaki oleh Allah itu sahajalah yang berlaku. Barang apa yang tidak dikehendaki oleh Allah tidaklah berlaku dan tidak terkeluar daripada Kehendak Allah berlakunya sesuatu perkara itu sekadar sekerlipan pemandangan mata dan sekadar segerak lintasan hati jua pun. Bahkan Allah SWT jualah yang mengadakan permulaan sesuatu dan Allah SWT jualah yang mengembalikannya. 
Allah SWT itu amat berkuasa bagi barang apa sahaja yang Dia Kehendaki. Tidak ada suatu apa pun yang menghalangi Kehendak Allah itu dan tidak ada suatu apa pun yang menolakkan supaya terlepas daripada Qadha Allah SWT. Maka tidak dapat lari seseorang hamba Allah itu daripada berbuat maksiat kepada Allah melainkan semata-mata dengan pertolongan Allah dan rahmat-Nya dan tiada terdaya mengekalkan berbuat taat kepada Allah melainkan semata-mata dengan Kehendak Allah.....
Jika sekiranya berhimpun sekalian manusia,jin,syaitan dan malaikat berkehendak mengerakkan sebiji debu dalam alam ini atau hendak memberhentikan sebiji debu yang bergerak itu supaya diam tetapi bukan dengan Kehendak Allah tentulah tiada terdaya mereka semua melakukan yang demikian itu.Sebagaimana Allah SWT itu mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali begitulah juga Allah SWT itu berkehendak dengan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali yang sentiasalah Allah itu berkehendak pada Azal-Nya. 
Sebarang apa jua yang Allah SWT Kehendaki adanya pada Azal-Nya pada masa yang ditakdirkan adanya maka didapatilah adanya barang itu pada waktu yang Allah SWT telah mentakdirkan adanya menurut sebagaimana yang Dia Kehendaki pada Azal-Nya itu juga dengan tiada terdahulu dan tiada terkemudian.Bahkan berlakunya berbetulan dengan Ilmu-Nya dan Kehendak-Nya yang tiada bertukar dan tiada berubah dan Allah SWT mentadbirkan semua perkara itu bukan dengan susunan fikir dan bukan mengenai masa kerana yang demikian itu tidak membimbangkan Allah oleh sesuatu pekerjaan daripada sesuatu pekerjaan...."

Penjelasan bab "Al-Af'aaf" (Perbuatan Allah) pula antara intipati maksudnya ialah :
".....Maka Allah Taala mengadakan segala makhluk-Nya itu daripada semata-mata tidak ada barang itu kepada adanya ialah kerana menzahirkan bagi Kuasa-Nya, mentahkikkan bagi barang apa yang telah terdahulu daripada Kehendak-Nya, dan kerana kebenaran-Nya bagi barang apa yang ada pada Azal-Nya daripada Kalam-Nya, dan bukan kerana mengambil faedah kepdanya, dan bukan kerana mengenai sesuatu hajat kepadanya... 
Maka Allah Taala berbuat sesuatu itu semata-mata limpah murah kurnia-Nya dan nikmat pemberian-Nya, dan bukan terwajib di atas Allah itu berbuat sesuatu dan tidak termestinya dan tidak termustahak di atasnya..."                     
Diriwayatkan ketika Nabi Allah Ayyub Alaihisalam ditimpakan penyakit selama beberapa tahun lalu terbit di hatinya 'seolah-olah' merasa kecewa dan tidak meredhai atas takdir Allah yang menimpanya sebagaimana yang dimaksudkan:
" Dan pada khabaran-khabaran Hadis yang dahulu bahawasanya seorang Nabi daripada Nabi-nabi Allah mengadu kepada Allah Azawajalla kelaparan dan kefakiran dan kutu "binatang-binatang kecil melata"selama sepuluh tahun. Maka tiada diterimakan kepada barang apa ia kehendaki. Kemudian diwahyukan oleh Allah Taala kepadanya : Berapalah engkau mengadu begitulah permulaan engkau pada sisi Ku pada Umul Kitab(Loh Mahfuz) sebelum Aku mengadakan segala lapisan langit dan bumi, dan begitulah telah terdahulu bagi engkau daripada takdiran Ku, dan begitulah telah Aku Qadhakan ke atas engkau sebelum Aku mengadakan dunia. 
Adakah maka engkau kehendaki bahawa Aku ulangi mengadakan dunia daripada kerana engkau atau engkau kehendaki bahawa Aku gantikan barang yang telah Aku mentakdirkannya ke atas engkau, dan adalah barang apa yang engkau kasihi dan barang apa yang engkau kehendaki itu mengatasi barang apa yang Aku kehendaki. Dan demi Kemuliaan Ku dan Kebesaran Ku jika berulang alik lagi hal ini di dada engkau pada satu kali yang lain nescaya Aku hilangkan kenabian engkau daripada Dewan Kenabian." 
Kisah takdir dan ujian getir menimpa Nabi Allah Ayub a.s. ini ada disebut di dalam al-Quran surah Shaad ayat 41-44. Setelah pulih kesihatannya dan dikembalikan hidupnya seperti sedia kala Allah memuji Nabi Ayub a.s. seperti yang di maksud dalam surah Shaad ayat 44 :
 وَخُذْ بِيَدِكَ ضِغْثاً فَاضْرِب بِّهِ وَلاَ تَحْنَثْ
إِنَّا وَجَدْنَـهُ صَابِراً نِّعْمَ الْعَبْدُ إِنَّهُ أَوَّابٌ
                        Maksudnya :
" Dan ambillah dengan tanganmu seikat (rumput), maka pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpah. Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar, dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat kepada Tuhannya."
 Malaikat Jibrael a.s. adalah penghulu segala malaikat yang tidak terhingga jumlahnya yang berada di langit dan bumi. Ilmu, amal ibadat, kebijaksanaan dan ketaqwaannya mengatasi sekalian makhluk Allah. Dalam al-Quran ada menyatakan bahawa Malaikat Jibarel Alaihisalam itu sangat kuat dan mempunyai kebijaksanaan akal yang luar biasa sebagaimana yang dimaksudkan:
 وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَى (1) مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَى (2) وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلا وَحْيٌ يُوحَى (4) عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى (5) ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوَى (6) وَهُوَ بِالأفُقِ الأعْلَى (7)
            Maksudnya :
"Demi bintang ketika terbenam,(1)
kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak keliru,(2)  
dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. (3) 
Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya),(4)  
yang diajarkan kepadanya oleh (Jibrael) yang sangat kuat, (5)  
Yang mempunyai akal yang cerdas; dan (Jibrael itu) menampakkan diri rupanya yang asli,(6)  
sedang dia berada di ufuk yang tinggi." (7)          
       [  Al-Quran surah An-Najm : 1-7 ]
Dia diamanahkan Allah untuk menyampaikan wahyu Allah kepada Rasul-rasul yang dibangkitkan. Apabila dia hendak menyampaikan sesuatu wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w. dia sentiasa menggeletar kerana sangat takut kepada Allah.
Begitu juga apabila menceritakan hal azab api neraka dia menangis dan Nabi Muhammad s.a.w. pun turut menangis sedangkan kedua-duanya adalah maksum dan terpelihara daripada melakukan sebarang dosa. Jibrael a.s. menceritakan apabila dijadikan api neraka semua malaikat tidak senyum dan tidak pernah mengamankan diri mereka daripada kemurkaan Allah kerana mereka sangat takut terhadap apa yang telah berlaku kepada Iblis yang dilaknat Allah boleh menimpa mereka juga. Jelasnya Malaikat Jibrael a.s. dan para malaikat pun tidak mengetahui sama sekali apakah takdir Allah di Loh Mahfuz terhadap mereka dan sekalian makhluk Allah yang tidak terhingga jumlahnya itu.
Sungguhpun para malaikat itu adalah maksum dan dijadikan Allah semata-mata untuk mentaati-Nya, namun mereka amat takut melakukan sebarang perkara yang boleh menjadikan kemurkaan Allah seperti yang dimaksudkan:
" Dan kata satu qaul tatkala berlaku ke atas Iblis barang apa yang telah berlaku jadilah (Malaikat)Jibrael dan Mikael a.s. menangis kedua-duanya. Maka Allah SWT mewahyukan kepada keduanya : Kenapakah engkau menangis dengan sehabis-habis tangisan ini ? Maka kata keduanya : Wahai Tuhan kami, adakah kami aman daripada kemurkaan Engkau? Firman Allah SWT : Begitulah engkau kedua dijadikan tidak aman daripada kemurkaan Ku......."
Kesemua nas yang dipaparkan ini adalah hanya sebahagian sahaja daripada dalil dan bukti-bukti Qadha dan Qadar Allah yang Allah sahaja lebih mengetahui akan takdir yang akan menimpa terhadap setiap orang hamba dan makhluk-Nya. Dalam satu Hadis Rasullullah s.a.w. riwayat al-Hasan yang rumusan intipatinya bermaksud bahawa terdapat tiga tempat dan ketika/keadaan yang akan menimpa setiap hamba Allah di akhirat kelak yang tidak diketahui sama sekali akan nasib masing-masing termasuk Nabi-nabi dan Rasul-rasul.Tempat dan keadaan tersebut ialah:
 i ) Ketika ditimbang amalan sama ada seseorang hamba   timbangan amalannya itu berat di sebelah kebajikan atau kejahatan.
  ii ) Ketika menerima suratan amal masing-masing sama ada diterima oleh tangan kanan atau tangan kiri. 
 iii)  Ketika meniti 'sirat' yang merentangi permukaan api neraka sama ada seseorang itu selamat atau jatuh ke dalam api neraka.
Seseorang hamba Allah itu tidak mempunyai apa-apa hak terhadap Allah SWT. Hak mereka hanya mentaati segala suruhan dan tegahan Allah sebagaimana yang dikhabarkan di dalam al-Quran surah Adz-Zaariyaat ayat 56 :
    وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ                   
                        Maksudnya :
"Dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan supaya berbahagia mereka [dengan sebab] berbuat ibadat kepada Ku. "
Adalah hak Allah untuk memasukkan seseorang hamba itu ke syurga atau neraka dan tidak terwajib atau termustahak bagi Allah untuk membalas segala ketaatan hamba-hamba-Nya. Allah memasukkan seseorang hamba itu ke syurga semata-mata kerana Murah Kurnia dan Rahmat-Nya untuk memenuhi janji-janji yang diberikan terhadap mereka ketika hidup di dunia. Allah menghumbankan seseorang hamba itu ke neraka pula semata-mata kerana janji dan Keadilan-Nya dan bukan kezaliman.

Janji Allah adalah satu takdir yang sudah ditetapkan yang pasti berlaku sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran surah Maryam ayat 71-72:
وَإِنْ مِنْكُمْ إِلا وَارِدُهَا كَانَ عَلَى رَبِّكَ حَتْمًا مَقْضِيًّا (71) ثُمَّ نُنَجِّي الَّذِينَ اتَّقَوْا وَنَذَرُ الظَّالِمِينَ فِيهَا جِثِيًّا  (72
                   Maksudnya :
" Dan tidak ada seorangpun daripadamu,melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan.(71)
Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut."(72)
Dalam surah al-Muddatstsir ayat 31 pula Allah berfirman:
وَمَا جَعَلْنَا أَصْحَابَ النَّارِ إِلا مَلائِكَةً وَمَا جَعَلْنَا عِدَّتَهُمْ إِلا فِتْنَةً لِلَّذِينَ كَفَرُوا لِيَسْتَيْقِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ وَيَزْدَادَ الَّذِينَ آمَنُوا إِيمَانًا وَلا يَرْتَابَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ وَالْمُؤْمِنُونَ وَلِيَقُولَ الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ وَالْكَافِرُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَذَا مَثَلا كَذَلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلا هُوَ وَمَا هِيَ إِلا ذِكْرَى لِلْبَشَرِ 
                     Maksudnya :
" Dan tiada Kami jadikan penjaga neraka itu melainkan malaikat; dan tidaklah Kami menjadikan bilangan mereka itu melainkan untuk jadi cubaan bagi orang-orang kafir, supaya orang-orang yang diberi al-Kitab menjadi yakin dan supaya orang yang beriman bertambah imannya dan supaya orang-orang yang diberi al-Kitab dan orang-orang mukmin itu tidak ragu-ragu dan supaya orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orng-orang kafir mengatakan : 'Apakah yang dikehendaki Allah dengan bilangan ini sebagai suatu perumpamaan?'. Demikianlah Allah membiarkan sesat orang-orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan tidak ada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia sendiri. Dan (neraka) Saqar itu tiada lain hanyalah peringatan bagi manusia."
Ketika bapa saudara Rasulullah s.a.w., Abu Talib, meninggal dunia baginda amat sedih dan berdukacita kerana  Abu Talib yang baginda kasihi selama ini adalah seorang yang amt mengasihinya, melindunginya daripada seteru-seteru baginda dan tidak pernah menentang baginda menyeru agama Islam dan menyampaikan wahyu-wahyu Allah kepada kaumnya. 
Atas kesedihannya itu maka Allah menurunkan wahyu al-Quran  surah al-Qas’as’ ayat 56:
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
                      Maksudnya :
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau kasihi (seperti Abu Talib) akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (kepada) sesiapa yang Dia kehendaki; dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah.” 
Firman Allah dalam surah Al-An'aam ayat 39 mempunyai pengertian maksud yang hampir sama :
وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا صُمٌّ وَبُكْمٌ فِي الظُّلُمَاتِ مَنْ يَشَأِ اللَّهُ يُضْلِلْهُ وَمَنْ يَشَأْ يَجْعَلْهُ عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ 
                         Maksudnya :
" Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami adalah pekak, bisu, dan berada dalam gelap gelita. Barangsiapa yang dikehendaki Allah (kesesatannya), nescaya disesatkan-Nya. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah (untuk diberi petunjuk-Nya), nescaya Dia menjadikannya berada di atas jalan yang lurus." 
Allah juga memberikan peringatan bahawa golongan manusia kufur yang mengingkari kebenaran akan tetap tidak akan beriman sama ada diserukan   peringatan kepada mereka ataupun tidak kerana Allah telah menutup dn menggelapkan pintu hati mereka lantaran dosa-dosa kekufuran. Hakikat ini diperjelaskan dalam Firman Allah surah al-Baqarah ayat 6-7

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ ءَأَنْذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنْذِرْهُمْ لا يُؤْمِنُونَ (6) خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (7)
                       Maksudnya :
"Sesungguhnya orang-orang kafir, sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. (6)
Allah telah mengunci mati hati-hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat pedih."(7)

[Lihat : 

i.  Masalah Roh
ii. ALLAH MENGETAHUI DENGAN ILMU-NYA YANG QADIM

Berdasarkan hakikat ini tidak ada sesiapa pun yang mengetahui sesuatu ketentuan takdir Qadha dan Qadar Allah kepada setiap orang hamba makhluk Allah.
Justeru setiap hamba Allah hendaklah berusaha dengan apa jua cara sekalipun untuk menyelamatkan diri masing-masing daripada api neraka yang tidak terhingga azab seksa yang disediakan di dalamnya dan bahan pembakarnya adalah manusia dan jin
Dibangkitkan para Rasul Allah dan diturunkan kitabullah yang menghimpunkan wahyu-wahyu Kalam Allah melalui Malaikat Jibrael a.s. adalah untuk mengkhabarkan segala perkara mengenai hari akhirat dan segala persediaan yang perlu dilakukan umat manusia untuk menempuhinya agar terselamat daripada azab seksa api neraka dan menikmati kebahagiaan dan kenikmataan yang kekal abadi di dalam syurga yang disediakan.

Diibaratkan seperti hidup di dunia terdapat seorang raja yang amat terkenal dengan sifat pemurahnya membuat pengumuman dan mengkhabarkan kepada rakyatnya supaya pergi ke suatu tempat untuk menerima hadiah beberapa buah mahligai emas yang sangat indah bernilai beratus/beribu juta ringgit dan dilengkapi dengan taman-taman bunga yang sangat luar biasa keindahannya. Bagi mendapatkan mahligai-mahligai dan menikmati segala keindahan yang disediakan ini seseorang itu terpaksa berhadapan dengan bermacam-macam halangan dan menempuhi hutan belantara yang banyak pokok berduri.

Rakyat yang sangat berharap ini sudah semestinya dengan rela dan bersenang hati merentasi segala kesusahan halangan tersebut tanpa mengambil kira luka-luka dan kesakitan mengharungi hutan belantara kerana di hadapannya tersedia ganjaran hadiah yang sangat lumayan, paling istimewa dan luar biasa.  Sudah semestinya dia akan terus bergerak dengan penuh keyakinan terhadap perkhabaran raja yang sangat adil lagi pemurah dan tidak pernah mungkir janji itu. 
Sebagaimana yang dilakukan oleh Malaikat Jibrael a.s., Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat baginda seperti Abu Bakar Al-Siddiq, Umar Al-Khatab, Usman Al-Affan, Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman Auf serta semua para sahabat dan para mukmin yang salih, setiap orang mukmin dan mukminat ketika dalam keadaan sihat walafiat hendaklah berusaha dalam apa jua cara sekalipun melakukan ibadat dan berjihad menuntut ilmu pengetahuan yang hak untuk mengukuhkan keimanan walaupun terpaksa bersusah payah merantau ke tempat-tempat yang jauh.

Sewajarnya kita  hendaklah "jangan berbaik sangka" atau mengambil mudah hingga sanggup melakukan dosa-dosa yang pada anggapannya tidak mengapa melakukan 'dosa kecil sahaja' kerana Allah Maha Pengasih, Maha Pemurah dan Maha Pengampun. Jangan sekali-kali mengambil mudah terhadap apa juga suratan takdir yang telah ditetapkan Allah di Luh Mahfuz dengan mengamankan diri daripada kemurkaan Allah kerana tidak ada sesiapa pun di kalangan makhluk-makhluk Allah termasuk para malaikat, Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang mengetahui apakah Qadha dan Qadar Allah yang telah ditakdirkan terhadap diri masing-masing.



Oleh itu setiap orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah terus berusaha bersungguh-sungguh dengan kadar SEGERA untuk mencari jalan supaya dapat menghindarkan diri daripada kemurkaan Allah sebagaimana yang dilakukan oleh Malaikat Jibrael a.s., Nabi Muhammad s.a.w. dan Abu Bakar Al-Siddiq seperti yang dijelaskan di atas. 

Namun demikian apabila berhadapan dengan Sakratul-maut kita hendaklah berbaik sangka terhadap Allah Yang Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Pemurah dengan berdo'a seperti yang dilakukan oleh Abu Bakar Al-Siddiq r.a..

Had kemampuan akal manusia untuk memahami Qadha dan Qadar Allah ini adalah sangat terbatas. Begitu juga tanpa ilmu pengetahuan yang luas dan mendalam mengenai hari akhirat yang disampaikan oleh wahyu Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui Malaikat Jibrael a.s. manusia tidak mungkin boleh mengetahui hal keadaan sebenar yang akan berlaku di akhirat kelak selepas berlakunya Hari Kiamat besar. 

Apa juga yang berlaku dan akan berlaku di seluruh alam semesta ini kesemuanya sudah ditakdirkan Allah berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali. Maka tidak menjadi musykil bagi orang yang beriman untuk memahami apa yang berlaku pada setiap diri manusia sejak Nabi Adam Alaihisalam diturunkan memulakan kehidupan di bumi hinggalah dibinasakan seluruh alam pada hari kiamat besar dunia kelak. Hakikat ini Allah berfirman di dalam al-Quran surah Hud ayat 118-119:

وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَجَـعَلَ النَّاسَ اُمَّةً وَّاحِدَةً​ وَّلَا يَزَالُوۡنَ مُخۡتَلِفِيۡنَۙ ﴿118﴾ اِلَّا مَنۡ رَّحِمَ رَبُّكَ​ ؕ وَلِذٰلِكَ خَلَقَهُمۡ​ ؕ وَتَمَّتۡ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَاَمۡلَـئَنَّ جَهَـنَّمَ مِنَ الۡجِنَّةِ وَالنَّاسِ اَجۡمَعِيۡنَ(119

                    Maksudnya :
" Jikalau Tuhan mu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetpi mereka sentiasa berselisih pendapat, (188) 
kecuali orng-orang yang diberi rahmat oleh Tuhan mu. Dan untuk itulah Allah mengadakan mereka. Kalimat Tuhan mu (keputusan-Nya) telah ditetapkan : sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahanam dengan jin dan manusia (yang derhaka) semuanya."(189)
 Atas sifat-Nya Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun, Maha Mengethui lagi Maha Pemurah Allah turut memberi jalan petunjuk kepada sekalin hamba-Nya supaya sentiasa berdoa kepada-Nya agar tidak dibebani dengan sesuatu bebanan ujian yang ditadirkan-Nya dengan mengajarkan doa-doa sebagaimana Firman-Firman-Nya dalam al-Quran yang antaranya ialah sebagaimana berikut:
لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلا تُحَمِّلْنَا مَا لا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ     
                        Maksudnya :
" Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa) : 'Ya Tuhan kami!, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami!, janganlah Engkau bebankan kepada kami dengan bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami!, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sangup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami tehadap kaum yang kafir'."
                             [Al-Quran surah al-Baqarah : 286]


Di dalam Asma' Ul Husna terdapat nama Allah yang berkaitan dengan takdir Allah iaiatu :

AL-KAHLIQ الخالق
Ertinya : Yang Mengadakan, bagi segala sesuatu dengan Qudrat-Nya, menurut ilmu dan Kehendak-Nya (atau) Yang Menzahirkan (Mengadakan) semua barang yang ada dengan Qudrat-Nya dan Mentakdirkan (Menentukan) tiap-tiap suatu daripadanya dengan kadar tertentu dengan Kehendak-Nya, menurut Hikmah-Nya. (على مقتضى حكمته)
Qadha dan Qadar Allah terhadap setiap diri manusia apabila berada di alam akhirat bermula apabila berhadapan dengan Sakratul-maut, menghadapi Fitnah Kubur dan kehidupan dan balasan kepada roh mereka di Alam Barzakh selepas badan batin 'Roh Hammalul Amanah' dicabut keluar daripada jasad oleh Malaikat Maut. Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui bagaimanakah hal diri masing-masing ketika berhadapan dengan realiti hidup di akhirat kelak kecuali Allah.

Manusia yang tidak beriman kepada al-Quran dan Hadis Rasullullah s.a.w. akan menafikan kesemua hakikat ini atau membuat berbagai-bagai tanggapan dan andaian berdasarkan munasabah akal dan sangkaan mereka sendiri berlandaskan fikiran khayalan yang terbit daripada bisikan kembaran syiatan ataupun kepercayaan tradisi nenek moyang mereka. 

Golongan manusia yang sudah beriman pun boleh rosak dan tercabut keimanannya jika terbit berbagai-bagai sangkaan atau tanggapan sendiri terhadap hari akhirat dan Qadha dan Qadar Allah sekiranya tidak merujuk kepada ilmu-ilmu yang berteraskan al-Quran dan Hadis-hadis Rasullullah s.a.w.

Kemungkinan mereka akan membuat berbagai-bagai andaian dan tanggapan untuk memahami saat-saat genting ketika berhadapan dengan Sakratul-maut, Fitnah Kubur, hidup di Alam Barzakh, Hari Kiamat besar dan seterusnya hal keadaan di akhirat jika semata-mata berdasarkan akal logik dan  saintifik dengan mengetepikan sama sekali ilmu-ilmu mengenainya seperti yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasullullah s.a.w.

Maka tidak hairanlah jika terdapat golongan manusia yang kreatif membuat andaian secara visual untuk menceritakan mengenai azab seksa dalam kubur, azab Sakratul-maut dan hal-hal yang berkaitan dengan hari akhirat mengikut perspektif mereka untuk tarikan komersial atau tujuan duniawi, walaupun pada zahirnya seolah-olah untuk menyuruh berbuat kebaikan dan memperelokkan akhlak dan adab perangai manusia supaya beragama.


Dalam hal ini perlu difahami dan diingatkan bahawa apa juga hal yang berkaitan dengan Rukun Iman yang enam perkara itu walau 'dianggap' sekecil mana sekalipun hendaklah merujuk kepada apa yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. yang tidak boleh digambarkan sama sekali dengan menggunakan peralatan visual dan fikiran logik akal manusia. 

Ini adalah disebabkan  apa yang berlaku bermula daripada saat-saat kritikal menghadapi Sakratul- maut hinggalah ke hari akhirat yang amat luas tafsilnya itu tidak mampu difikirkan dan digambarkan sama sekali oleh logik akal manusia walaupun dengan menggunakan kaedah saintifik yang tercanggih. Inilah rahsia keajaiban perbuatan Allah di luar tabi'e yang mengandungi rahsia dan hikmah yang amat besar mengapa dijadikan sekalian makhluk di seluruh alam.


 [Lihat :  Bersediakah Anda Menghadapi SAKARATUL MAUT?]


***************************************************************
  لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ 
                       Maksudnya : 
"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di hadapan dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-sekali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia."

                             [Al-Quran surah Ar-Ra'd : 11 ]

                     *************************************
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلا يَسْتَقْدِمُونَ  
                   Maksudnya :
" Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya walau sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya."  
                               [Al-Quran surah Al-A'raaf : 34


Tiada ulasan:

Catat Ulasan