Jumaat, 2 Disember 2011

PENGERTIAN "HAMPIR" ALLAH


                   بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم   

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تُنْجِينَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ اْلاَحْوَالِ وَاْلآفَاتِ وَتَقْضِى لَنَا بِهَامِنْ جَمِيعَ الْحَاجَاتِ وَتُطَهِّرُنَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ السَّيِّئَاتِ وَتَرْفَعُنَا بِهَا عِنْدَكَ اَعْلَى الدَّرَجَاتِ.وَتُبَلِّغُنَا بِهَا اَقْصَى الْغَايَاتِ مِنْ جَمِيعِ الْخَيْرَاتِ فِى الْحَيَاتِ وَبَعْدَ الْمَمَاتِ
 أَمَّا بَعْـدُ

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ  نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ

                                       Maksudnya : 

"Dan sesungguhnya Kami telah mengadakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih 'DEKAT' kepadanya daripada urat lehernya....."

                                           [  Al-Quran surah  سورة ق‎‎  Qaf : 16 ]

                                     **********************************                         
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ 
                                  Maksudnya : 
"Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." 
                   [Al-Quran surah سورة النحل‎‎ An-Nahl : 43
                                ***************************************************************

Sungguhpun pengajaran ilmu agama Islam itu adalah jelas, terang lagi nyata untuk memberi petunjuk jalan beragama yang benar lagi hak kepada manusia supaya beriman kepada Allah, Rasul-Nya dan Hari Akhirat seperti yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. tetapi terdapat juga nas-nas yang kesamaran maksudnya yang boleh menyebabkan orang awam terkeliru dan kurang memahami yang akhirnya boleh menerbitkan kefahaman yang menjurus kepada kesesatan beragama. Berbagai implikasi boleh berlaku yang mendorong kepada kekeliruan dan perpecahan/bertentangan pendapat atau menimbulkan berbagai-bagai persepsi pemahaman beragama. 

Segala penjelasan yang dipaparkan di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. adalah selari dan saling sokong menyokong antara satu sama lain untuk memperkukuhkan kebenaran agama Islam dan tidak ada baginya keadaan yang berlawanan atau bercanggah. 

Namun jika sekiranya terdapat ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. apabila dibaca secara sepintas lalu pada zahirnya sahaja dan diterjemahkan secara literal mengikut kefahaman luaran bahasa persuratan biasa seolah-olah bertentangan/berlawanan di antara satu sama lain, maka sewajarnya para ulama, ilmuan dan cendekiawan Islam bangkit untuk memberikan 'takwil' atau penjelasan dan penerangan yang tepat lagi benar agar dapat menangkis segala fitnah keilmuan agama yang berpunca daripada salah faham atau tersalah tafsir daripada nas-nas yang kesamaran maksudnya [mutasyabiha]  itu.

Firman Allah dalam surah سورة آل عمران Ali 'Imran ayat 7 ada memperingatkan permasalahan ini yang sewajarnya diberikan perhatian serius khususnya di kalangan para ilmuan demi menjaga dan memelihara kesucian agama Islam serta kesejahteraan umatnya:
هُوَ الَّذِى أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَـبَ مِنْهُ آيَـتٌ مُّحْكَمَـتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَـبِ وَأُخَرُ مُتَشَـبِهَـتٌفَأَمَّا الَّذِينَ فى قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَـبَهَ مِنْهُ ابْتِغَآءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَآءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلاَّ اللَّهُوَالرَسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ ءَامَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الأَلْبَـبِ     
                                Maksudnya :
"Dia-lah yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu. Di antara (isi)nya ada ayat-ayat yang muhkamaat (terang, nyata dan tegas), itulah pokok-pokok isi al-Quran dan yang lain (ayat-ayat) mutasyabihaat (kesamaran maksud pengertiannya)Adapun orang-orang yang di dalam hatinya condong kepada kesesatan maka mereka mengikuti ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, pada hal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: 'Kami beriman dengannya semuanya itu dari sisi Tuhan Kami.' Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orng yang berakal."                                     
Peringatan Allah SWT di dalam ayat tersebut sememangnya sudah berlaku dan terus melanda umat Islam pada setiap zaman atas takdir dan Kehendak Allah sebagai salah satu ujian-Nya kepada mereka yang mengaku sudah beriman. Hanya golongan ulama yang hak dan mempunyai keilmuan yang luas lagi mendalam serta benar-benar ikhlas beramal dengannya sahaja dikurniakan Allah hidayah bagi memberi petunjuk jalan dan memperbetulkan fitnah ilmu yang amat sukar lagi sulit ini.

Sekiranya tidak diberikan 'takwil' terhadap pengertian sebenar ayat-ayat atau kalimah-kalimah tersebut orang awam boleh terdedah kepada berbagai-bagai pentafsiran, persepsi dan andaian daripada golongan-golongan tertentu yang akhirnya boleh menyebabkan mereka menjadi keliru dan mempercayai sahaja serta menerima bulat-bulat apa juga huraian yang diberikan walaupun mungkin bertentangan dengan maksud sebenar ayat tersebut mengikut hukum syarak. Orang awam adalah diibaratkan seperti kain putih.  Ataupun diibaratkan seperti tanah subur yang akan menghidupkan apa jua benih tanaman yang disemai di dalamnya. Adalah menjadi tanggungjawab para ulama untuk mencorakkan apa jua bentuk warna yang bersesuaian dengan menyemai benih-benih ilmu yang hak berteraskan keilmuan kurniaan Allah berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya.

Golongan ulama-ulama salafi pada zaman tabi'en dan tabi'en-tabi'en tidak memberikan 'takwil' mereka terhadap ayat-ayat al-Quran dan juga Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang 'mutasyabiha' ini kerana mereka cukup arif dan memahami kandungan maksud sebenar nas-nas tersebut dan tidak menjadi masalah hingga menimbulkan fitnah keilmuan agama yang boleh menggugat kesucian agama Islam dan merosakkan pegangan iktiqad aqidah keimanan umat Islam pada zaman mereka. Ia boleh diibaratkan seperti yang terdapat di dalam masyarakat Melayu yang amat terkenal atas kebijaksanaan  menggunakan peribahasa, simpulan bahasa,  perpatah atau perumpamaan yang amat berlainan maksudnya daripada bahasa luaran yang dituturkan. Umpamanya bila dikatakan :

                             "Orang itu panjang tangan."

Kata-kata ini memberi maksud bahawa : orang tersebut suka mencuri dan bukannya bermaksud orang tersebut mempunyai tangan yang luar biasa panjangnya.

Andainya pada suatu masa kelak jika sudah tidak ada sesiapa yang mampu membarikan huraian/takwil maksud sebenar pengertian peribahasa, perpatah atau perumpamaan bahasa Melayu yang mudah ini, maka tidak menghairankan kalimah ini akan menjadi perbalahan umum atau menjadi bahan lawak kepada sesetengah golongan masyarakat.  

Apabila bangkit golongan-golongan tertentu yang ramai muncul bermula pada kurun ketiga Hijriyyah menggunakan hujah-hujah hukum 'akal' atas nama ilmu falsafah yang didokong oleh golongan ulama berfahaman Mu'tazilah maka bermulalah tercetusnya berbagai masalah apabila golongan ini mentafsirkan beberapa ayat al-Quran yang kesamaran maksud ini berpandukan kefahaman Bahasa Arab dan logik akal mereka sahaja. Di samping itu mereka juga amat terpengaruh dan cenderung dengan pemikiran ahli-ahli ilmu falsafah Yunani tersohor yang semakin tersebar luas di kalangan umat Islam serta kefahaman pemikiran ilmu yang diwarisi sejak zaman berzaman sebelum diturunkan wahyu al-Quran. 
 
Selepas itu bangkit pula golongan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dan para mujtahid di setiap zaman untuk memperbetulkan kefahaman ilmu berhubung ayat-ayat al-Quran yang kesamaran maksud ini dengan memberikan 'takwil-takwil' ilmiah bepandukan nas-nas yang sahih dan ijtihad ilmu mereka agar fitnah agama yang berkaitan dengannya dapat dikekang, disanggah dan dibenteras dengan berkesan.

Di dalam al-Quran dan juga Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. terdapat ayat-ayat yang boleh memberikan pengertian yang kesamaran maksudnya (mutasyabiha) dan memerlukan penjelasan lebih mendalam oleh ulama-ulama yang hak lagi benar-benar arif agar orang awam tidak tersalah faham dan menjadikannya sebagai pegangan iktiqad yang boleh menjejaskan aqidah keimanannya. Antara ayat-ayat  al-Quran yang sering dirujuk dan diperkatakan ialah:         
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ
                                      Maksudnya : 
i." Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih DEKAT kepadanya daripada urat lehernya. [Iaitu] ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri."
                                            [ Surah  سورة ق Qaaf : 16]
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ 

                                  Maksudnya :
ii." Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah 'DEKAT'. Aku makbulkan permohonan orang yang berdo'a apabila ia berdo'a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." 
                [Surah سورة البقرة Al-Baqarah : 186 ]
وَلاَ تُفْسِدُواْ فِى الاٌّرْضِ بَعْدَ إِصْلَـحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ
                                         Maksudnya :
iii." Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdo'alah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya RAHMAT Allah amat DEKAT kepada orang-orang yang berbuat baik." 
             Surah سورة الأعراف‎‎  Al-A'raaf : 56]
          وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْكُمْ وَلَكِنْ لا تُبْصِرُونَ 
                                                Maksudnya : 
iv." dan Kami lebih DEKAT kepadanya daripada kamu. Tetapi kamu tidak melihat."
                                           [ Surah الواقعة Al Waaqi'ah : 85 ] 

 وَمَآ أَمْوَلُكُمْ وَلاَ أَوْلَـدُكُمْ بِالَّتِى تُقَرِّبُكُمْ عِندَنَا زُلْفَى إِلاَّ مَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـلِحاًفَأُوْلَـئِكَ لَهُمْ جَزَآءُ الضِّعْفِ بِمَا عَمِلُواْ وَهُمْ فِى لْغُرُفَـتِ ءَامِنُونَ
                         Maksudnya :
v."Dan bukanlah sesekali harta dan bukan (pula) anak-anak kamu yang MENDEKATKAN kamu kepada Kami sedikitpun; tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang  telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam syurga )."
                             Surah سورة سبأ  Saba' : 37]
 إِلا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
                           Maksudnya :  
vi." Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika keduanya berada dalam gua, pada waktu dia berkata kepada temannya : 'Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah BERSERTA/BERSAMA kita.' Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi, Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." 
                                    Surah سورة التوبة  At-Taubah : 40]

هُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الأرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ 
                                  Maksudnya : 
vii." Dia-lah yang mengadakan langit dan bumi dalam enam (6) hari. Kemudian Dia 'beristiwa' di atas 'Arasy. Dia Mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dia BERSAMA  kamu di mana sahaja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan."
                                      [Surah سورة الحديد‎‎  Al-Hadid : 4]


Dalam hal yang sama terdapat jua Hadis-hadis  Rasulullah s.a.w. yang antaranya menjelaskan :
 عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَعَنْ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ “قاَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنَا عِنْدَ ظَنَّ عَبْدِيْ بِيْ وَأَنَا مَعَهُ حَيْثُ يَذْكُرُنِيْ وَاللهِ لَلهُ اَفْرَحُ بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ يَجِدُ ضَاّلَّتَهُ بِا لْفَلاَةِ. وَمَنْ تَقَرِّبَ إِلَيَّ شِبْرًا، تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعاً وَمَنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ باَعاً وَإِذَا أَقْبَلَ إِلَيَّ يَمْشِيْ أَقْبَلْتُ إِلَيْهِ أُهَرْوِلُ 
             Maksudnya : 
i."Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau bersabda:   ' Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman:  Aku menurut dugaan hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku bersamanya ketika ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih suka kepada taubat hamba-Nya daripada salah seorang di antaramu yang menemukan barangnya yang hilang di padang. Barangsiapa yang mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barang siapa yang mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, maka Aku mendekatkan diri kepadanya satu depa. Apabila ia datang kepada-Ku berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari kecil'."[HR.Muslim] 

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ

                   Maksudnya :

ii.“Allah tabaraka wa ta’ala turun ke langit dunia setiap sepertiga malam akhir. Ia lalu berkata: ‘Barangsiapa yang berdoa, akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku akan Aku beri. Siapa yang memohon ampun kepada-Ku, akan Aku ampuni. Hingga terbit fajar‘."  [HR. Bukhari dan Muslim]        
Dalam Hadis yang lain pula Rasulullah s.a.w. ada menyebut :
ينزل ربنا تبارك وتعالى إلى السماء الدنيا كل ليلة حين يبقى ثلث الليل الآخر فيقول: من يدعوني فأستجيب له، من يسألني فأعطيه، من يستغفرني فأغفر له، حتى ينفجر الفجر
                       Maksudnya :
i. " Allah Tabaraka wa ta'ala 'turun' ke langit dunia setiap sepertiga akhir malam . Lalu Ia berkata : ' Barangsiapa yang berdo'a, akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku nescaya akan Aku kurniakan. Siapa yang memohon ampun kepada-Ku, akan Aku ampuni, hingga terbit fajar'." [HR Bukhari dan Muslim] 
ii." Firman Allah Taala kepada Nabi Musa a.s. : 'Aku sakit maka tidak engkau menziarahi Aku'. Maka katanya: 'Wahai Tuhan bagaimanakah yang demikian itu?'. Firman-Nya : 'Sakit hamba-Ku si-polan, maka engkau tidak menziarahinya, jika sekiranya engkau menziarahinya nescaya engkau dapati akan Daku pada 'sisinya''."
Apabila membaca dengan sepintas lalu sahaja terhadap sebahagian daripada nas-nas tersebut di atas tanpa membuat penilitian dan memikirkan maksud sebenar pemahaman ilmu yang terkandung di dalamnya maka akan terbitlah bermacam-macam persepsi, tanggapan, andaian dan prasangka buruk di dalam hati dan pemikiran seseorang dengan berbagai-bagai tuduhan yang tidak wajar dan tidak layak bagi Allah seperti: 
"..Allah itu lebih hampir daripada urat leher manusia, berjalan, berlari, sakit, berada dan bersemayam seperti seorang raja  di atas 'Arasy, bergerak turun dan naik pada akhir malam ke langit dunia, berada di dalam gua.." 
dan sebagainya menurut logik akal mereka. Kesemua hujah, tanggapan dan prasangka ini boleh membawa maksud bahawasanya Allah sama seperti makhluk-makhlukNya juga dengan menyamakan 'hampir' atau 'dekat' atau 'bersama' Allah itu sama seperti hampir atau dekat seperti makhluk atau sesuatu benda/objek yang memerlukan tempat, mempunyai juzuk dan Allah itu lemah kerana berhajat dan mengambil faedah daripada makhluk atau segala sesuatu yang dijadikan-Nya dan lain-lain fahaman, andaian dan persepsi lagi yang seumpama dengannya. Pemahaman seperti ini boleh diertikan kepada maksud mensyrikkan/menyamakan Allah dengan makhluk-Nya.

Justeru akan timbul persoalan jika ditakdirkan seseorang mukmin itu dimasukkan ke dalam neraka atas kadar dosa kesalahan-kesalahannya adakah Tuhan pun akan masuk neraka juga kerana Allah itu lebih hampir daripada urat lehernya? Demikian juga adakah Allah  itu berada di dalam, di luar atau bersatu padu dengan syurga yang diadakan-Nya daripada semata-mata tidak ada kepada ada?

Sebagai asas pemahaman nas-nas tersebut hendaklah sentiasa ditanamkan di dalam minda dan hati [qalbu] dengan pemahaman bahawa Allah itu BUKAN makhluk dan TIDAK  sesekali menyamai makhluk-makhlukNya dalam apa jua cara, jalan, hal dan keadaan sekalipun tanpa misal, tanpa ibarat dan umpama. Sesungguhnya Allah itu TIDAK sesekali berhajat, mengambil faedah atau memerlukan daripada apa jua segala sesuatu yang dijadikannya dan sekalian makhluk-Nya seperti masa dan tempat.

Apabila Zat ( Diri)  dan Sifat Allah itu Qadim yang tidak berjuzuk seperti sesuatu/benda , maka Dia tidak sesekali mengenai rupa, warna, ukuran, sukatan, mengambil tempat, gerak, diam, dan apa juga sifat yang hanya layak bagi makhluk/sesuatu/benda sahaja yang kesemuanya berjuzuk belaka. 
 
[Untuk kefahaman yang lebih jelas sila rujuk dan fahami kandungan kitab:  Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Dua Kalimah Syahdah  yang terkandung di dalam bolg ini].  Di dalam kitab tersebut ada diperjelaskan maksud Al-'Ilmu yang antara lain bererti :
".... dan bahawasanya Allah Taala itu Amat Mengetahui akan semua barang yang di bawah Ilmu Allah yang tiada terhingga itu dan Mengetahui akan segala apa juga barang yang berlaku daripada bawah tujuh lapis bumi hingga terkeatas daripada tujuh lapis langit.  Dan tidak pun ada barang yang tersembunyi daripada Ilmu Allah itu kadar sebiji debu zarrah jua pun pada bumi dan pada langit melainkan semuanya itu diketahui oleh-Nya belaka. 
Bahkan Ia Amat Mengetahui perjalanan semut hitam binatang-binatang (serangga) yang halus di atas batu pejal yang hitam pada waktu malam yang sangat gelap-gelita itu, dan Mengetahui gerak tiap-tiap sebiji debu yang berterbangan di udara, dan Ia Amat Mengetahui segala rahsia dan segala barang yang lebih tersembunyi. Allah SWT Amat Mengetahui sebarang apa juga gerak-gerak tujuan dan cadangan-cadangan hati sekalian hamba-Nya, dan segala apa juga barang yang terlintas di hati mereka. Ia Amat Mengetahui segala pati kemahuan-kemahuan hati dari rahsia-rahsia yang disembunyikan oleh mereka. 
Maka diketahui oleh Allah SWT akan yang demikian itu semuanya ialah dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali yang sentiasanyalah Allah itu Mengetahuinya pada Azalul-Azal, dan tidak Ilmu Allah itu berdatang-datang, dan tidak menerimai berbilang-bilang, tidak menerimai berubah-ubah dan berpindah-pindah..." 

                  Berapa banyakkah debu zarrah yang terdapat di seluruh alam ini?

Di dalam bab 'At-Tanzihu' kitab tersebut memperjelaskan juga bahawa pengertian 'hampir' Allah ialah :
"...Maka makna hampir Tuhan itu ialah hampir rahmat dan nikmat-Nya; dan berserta Tuhan itu ialah berserta rahmat pertolongan dan nikmat-Nya. Maka tidak menyamai hampir Tuhan itu dengan hampir makhluk dan tidak menyamai persertaan Tuhan itu dengan persertaan makhluk,..."
[Lihat juga :


Berdasarkan penjelasan ini dapat difahami bahawa maksud 'hampir' Allah di peringkat ini ialah Mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali yang meliputi segala sesuatu dan setiap makhluk-Nya daripada yang paling kecil dan seni hinggalah kepada yang paling besar zatnya yang nyata atau yang tersembunyi/ghaib dari pemandangan mata kepala manusia sama ada terlalu jauh atau terlalu halus kerana semuanya adalah makhluk Allah belaka. Kesemuanya Allah yang mengadakannya daripada semata-mata tiada kepada ada dengan Qadrat-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali.

Firman Allah dalam al-Quran memberikan penjelasan , antaranya:

كَذَلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا
                       Maksudnya :
i." demikianlah. Dan sesungguhnya Ilmu Kami meliputi segala apa yang ada padanya."
                             [ Surah سُوۡرَةُ الکهف Al-Kahfi : 91 ]
وَلا تُفْسِدُوا فِي الأرْضِ بَعْدَ إِصْلاحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا إِنَّ رَحْمَةَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الْمُحْسِنِينَ
                       Maksudnya :
ii." Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdo'alah kepada-Nya dengan rasa takut ( tidak diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya Rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik."
                             [  Surah سورة الأعراف‎‎ Al-A'raaf : 56 ]

           وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِالنَّاسِ
                           Maksudnya :
 iii. " Dan (ingatlah), ketika Kami wahyukan kepadamu : ' Sesungguhnya (Ilmu) Tuhanmu meliputi segala manusia'..."
                                [Surah سورة الإسرا  Al-Israa' : 60

Setelah memahami pengertian asas Al-'Ilmu ( العلم) hendaklah dibaca dan fahami pula pengertian ADA Allah, At-Tanzihu  (الـتـنـزيه ) dan As-Sama'u Wal Basaru  ( السمع والبصر ) yang terkandung di dalam kitab tersebut yang sangat jelas maksudnya bahawa Allah itu tidak sesekali menyamai segala sifat makhluk-Nya yang boleh diringkaskan pengertiannya dengan pemahaman bahawa :

"........Allah Taala itu Ianya  Hidup dengan Hayat-Nya yang Qadim, Ia Mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim, Ia Berkuasa dengan Qadrat-Nya yang Qadim, Ia Berkehendak dengan dengan Kehendak-Nya yang Qadim, Ia Mendengar dengan Pendengaran-Nya yang Qadim dan Ia Berkata-kata dangan Kalam-Nya yang Qadim....."
Sebagaimana yang telah diperjelaskan berulang-ulang kali di dalam tajuk-tajuk lain di dalam blog ini, pengertian kalimah Qadim hanya boleh digunakan untuk menerangkan Zat dan Sifat-sifat Allah sahaja yang membawa maksud:
"Tidak sesekali menyamai makhluk-makhlukNya dalam apa jua jalan, hal dan cara sekalipun tanpa kaifiat, misal, ibarat dan tanpa umpama." 
Di dalam Asma' Ul-Husna pula ada terkandung nama Allah yang bersifat: 

Al-'Alim   العليم
                Yang bererti:
"Dan Yang mempunyai Ilmu yang Azali,  Ia dengan tiap-tiap sesuatu Amat Mengetahui." Ia Mengetahui pada Azal akan tiap-tiap sesuatu sama ada yang wajib, yang harus atau yang mustahil atas jalan menghabisi ketahui-Nya di atas barang apa yang ada dengan-Nya dengan tiada mendahului tersembunyi, yakni tiada tersembunyi daripada Ilmu Allah itu walau sekadar sebiji zarrah juapun melainkan diketahui-Nya belaka dan tidak tersembunyi di atas-Nya daripada segala perkara yang tersembunyi."

AL-MUHAIMIN   المهيم

                      Yang bererti:

"Yang Amat Melihat yang bersangat-sangatan pada Penjagaan dan Pemeliharaan (atau) Mengetahui yakni Yang Amat Mengetahui dan Yang Mempunyai Ilmu yang tidak tersembunyi daripada-Nya kadar walau satu biji debu jua pun."
 AL-SAMI' dan AL-BASIR السميع البصير
                Yang bererti:
 "Yang Amat Mendengar lagi Yang Amat Melihat pada Azal, bagi semua yang ada, bukan dengan pancaindera dan bukan dengan alat kerana Maha Suci Allah Taala itu dari menyamai segala barang yang baharu. Maka tiada terselindung dari penglihatan-Nya itu sebarang apa yang dilintaskan oleh hati dan sebarang apa yang disembunyikan oleh sangkaan dan pemikiran, dan tiada terselindung dari pendengaran-Nya oleh perjalanan semut hitam pada malam yang gelap di atas batu pejal yang hitam. “Tidak seperti seumpamanya, suatu apa pun dan Ia Amat Mendengar lagi Amat Melihat.”
Maksud yang hampir sama juga terkandung di dalam kandungan Do'a Nabi Allah Hidzir Alaihisalam  : 
اَللَّهُمَّ كَمَا لَطَفْتَ فِى عَظَمَتِكَ دُونَ الَلُّطَفَاءِ وَعَلوْتَ بِعَظَمَتِكَ عَلَى الْعُظَمَاءِ، وَعَلِمْتَ مَاتَحْتَ أَرضِكَ كَعِلْمِكَ بِمَا فَوْقَ عَرْشِكَ، وَكَانَت وَسَاوسُ الصُّدُورِ كَاْلعَلاَ نِيَّة عِنْدَكَ ، وَعَلاَ نَّيِةُ اْلقَوْلِ كَالسِّر فِى عِلْمِكَ، وَانْقَادَ كُلُّ شَىْءٍ لِعَظَمَتِكَ، وَخَضَعَ كُلُّ ذِى سُلْطَانٍ لسُلْطَا نِكَ ، وَصَارَ أَمْرُ الدُّ نْيَا والاَخِرَةِ كُلُّه بِيَدِكَ. اِجْعَلْ لِى مِنْ كُلِ هَمٍ أَمْسَيْتُ فِيهِ فَرَجاً وَمَخرَ جاً
                       Maksudnya :
"Ya Allah! , sebagaimana Engkau Amat Mengasihani kepada kebesaran Engkau tanpa ada bandingannya kasih sayang Engkau dan Engkau mengatasi dengan kebesaran Engkau ke atas kebesaran ( makhluk ) Engkau dan Engkau Amat Mengetahui barang apa yang di bawah bumi Engkau sebagaimana Engkau Amat Mengetahui dengan barang apa di atas 'Arasy Engkau, dan segala waswas dalam dada adalah seperti terdedah di sisi Engkau dan apa yang terdedah daripada kata-kata tidak tersembunyi pada Ilmu Engkau dan patuh setiap sesuatu kepada kebesaran Engkau dan tunduk setiap yang mempunyai kuasa kepada kekuasaan Engkau dan jadilah perkara dunia dan akhirat semuanya dalam kekuasaan Engkau, maka jadikanlah bagi ku daripada setiap dukacita yang aku berpetang-petang di dalamnya kelepasan......"
Sebahagian daripada kandungan Do'a Khalifah Abu Bakr As-Siddiq berikut ketika menghampiri kewafatannya juga memberikan pengertian bahawa sungguhpun Allah mengadakan makhluk-makhlukNya tetapi Dia tidak sesekali berhajat atau mengambil apa-apa faedah daripada setiap makhluk-Nya: 
اللَّهُمَّ اِنَّكَ اِبْتَدَأْتَ الْخَلْقَ مِنْ غَيْرِ حَاجَةٍ بِكَ اِلَيْهِمْ ثُمَّ جَعَلْتَهُمْ فَرِيْقَيْنِ فَرِيْقًا لِلنَّعِيمِ وَفَرِيْقًا لِلسَّعِيرِ فَاجْعَلْنِي لِلنَّعِيْمِ وَلَا تَجْعَلْنِي لِلسَّعِيْرِ
                 Yang bermaksud:
"Ya Allah!, bahawasanya Engkau telah mengadakan permulaan makhluk daripada ketiadaan apa-apa hajat dengan Engkau kepada mereka itu, kemudian Engkau jadikan mereka itu dua puak, satu puak untuk syurga dan satu puak untuk neraka. Maka,  Engkau jadikanlah akan daku untuk syurga dan jangan Engkau jadikan daku untuk api neraka." 
Penjelasan ringkas ini dapat memberi kefahaman bahawa maksud 'hampir' atau 'dekat' Allah Taala itu 'lebih dekat daripada urat leher' adalah hampir Ilmu Allah dan bukan bermaksud hampir Zat atau Diri Allah seperti zat makhluk sesama makhluk.  Sekiranya difahami lalu dituduhkan serta dijadikan pegangan iktiqad bahawa maksud 'hampir' Allah dengan makhluk-Nya itu ialah hampir Zat atau Diri Allah, maka terkeluarlah ia dari pegangan iktiqad Ahli Sunnah wal Jamaah kerana kalimah-kalimah ini bermaksud Zat atau Diri Allah itu berjuzuk dan memerlukan TEMPAT jisim, jirim atau benda yang mempunyai 'aradh, sedangkan Zat Allah yang Qadim itu TIDAK berjuzuk dan tidak memerlukan atau berhajatkan atau mengambil faedah kepada adanya TEMPAT  seperti yang melazimkan kepada semua zat makhluk/benda yang kesemuanya berjuzuk belaka. 

Sebagaimana yang dijelaskan di dalam tajuk: "Masa dan Tempat  Makhluk Allah yang terkandung di dalam blog ini, Masa dan Tempat adalah makhluk Allah juga yang diadakan daripada semata-mata TIADA kepada ADA dengan tiada berasal daripada apa-apa jua pun. 

Maksud TEMPAT  di dalam konteks Ilmu At-Tawhid adalah merujuk kepada semua tempat yang dapat difikirkan oleh otak pemikiran manusia dan yang didapati atau difahami oleh pancaindera yang lima seperti
"ruang, kosong, padu, di atas, di bawah, di dalam, di luar, kiri, kanan, atas 'Arasy, di dalam 'Arasy, di syurga , di neraka, di mana-mana, pihak,  di dalam/di luar tujuh lapisan langit dan bumi di dalam diri makhluk manusia, atau bersatu-padu dan apa juga hal yang dapat diertikan sebagai TEMPAT.
Kesemua TEMPAT ini adalah makhluk Allah belaka yang diadakan Allah daripada semata-mata tidak ada kepada ada  dengan Qadrat-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali tanpa misal, umpama, tanpa kaifiat dan tanpa ibarat.

Di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. ada meyebut :
Dari Abu Hurairah radhiallahu anhu dia berkata, Nabi shallallahu alaihi wa sallam bersabda:  
يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ في نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلأٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً  (رواه البخاري، رقم  7405 ومسلم ، رقم 2675 
               Maksudnya:
“Allah Ta’ala berfirman: ‘Aku tergantung persangkaan hamba kepada-Ku. Aku bersamanya kalau dia mengingat-Ku. Kalau dia mengingat-Ku pada dirinya, maka Aku mengingatnya pada diri-Ku. Kalau dia mengingat-Ku pada keramaian, maka Aku akan mengingatnya pada keramaian yang lebih baik dari mereka. Kalau dia mendekat sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Kalau dia mendekat kepada diri-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Kalau dia mendatangi-Ku dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari'.” [HR Bukhari dan Muslim]
Adapun maksud Hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebut sesiapa yang menghampiri Allah satu jengkal, maka Allah akan menghampirinya satu hasta dan seterusnaya siapa yang 'berjalan' kepada Allah nescaya Allah akan 'berlari-lari' kepadanya itu adalah untuk memberi kefahaman contoh kiasan atau perumpamaan yang ada pada diri manusia itu sendiri seperti kecepatan bergerak, berjalan dan berlari. Misalan  ini memberi maksud bahawa Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih itu segera menerima/makbulkan do'a dan amalan ibadat yang dilakukan oleh hamba-hambaNya dengan penuh ikhlas semata-mata kerana-Nya sahaja.
 
Demikian juga jika seseorang itu mentaati Allah dengan melakukan ibadat kepada Allah bererti dia sangat 'hampir' kepada 'RAHMAT ALLAH'.  Orang yang ingkar dan berbuat maksiat kepada Allah bererti dia 'jauh' daripada mendapat 'RAHMAT ALLAH'. Sebagimana yang dimaksudkan di dalam kalimah 'AL-WADUD' ( اَلْوَدُودُ ) di dalam Asma' Ullah al-Husna bermaksud :
"Allah Taala Yang Maha Pemurah sangat kasihkan hamba-hamba-Nya yang taat dan berbuat ibadat kepada-Nya dengan melimpahkan Nikmat-nikmatNya."  
Bererti dengan sedikit sahaja seseorang hamba mukmin itu melakukan ibadat dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah sahaja maka atas sifat Permurah-Nya Allah dengan  segera akan menerimanya dan diberi ganjaran balasan pahala yang berlipat-lipat kali ganda banyaknya seperti yang dijanjikan. Inilah yang dimaksudkan dengan kalimah:
"..apabila hamba-Nya menghampiri-Nya satu jengkal maka Allah menghampirinya satu hasta...." 
 Hal keadaan yang sama juga merujuk kepada Hadis Rasulullah s.a.w.:     
أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ : يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِيْنَ يَبْقَى ثُلُثُ الأَخِيْرِ يَقُوْلُ : مَنْ يَدْعُوْنِيْ فَأَسْتَجِيْبَ لَهُ, مَنْ يَسْأَلُنِيْ فَأُعْطِيَهُ, مَنْ يَسْتَغْفِرُنِيْ فَأَغْفِرَ لَهُ  
           Maksudnya : 
"Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Tuhan  kita Tabaraka wa Ta’ala 'turun' ke langit dunia pada setiap malam iaitu ketika sepertiga malam terakhir, (kemudian) Dia berfirman: ‘Barangsiapa berdoa kepada-Ku, nescaya akan Aku kabulkan, barangsiapa meminta kepada-Ku, nescaya akan Aku berikan, dan barangsiapa memohon ampun kepada-Ku, nescaya akan Aku ampuni'.”


Hadis ini TIDAK sesekali bermaksud Allah itu bertempat di atas langit atau di dalam dan bercampur dengan 'Arasy dan bergerak turun naik ke langit dunia seperti makhluk pada setiap sepertiga malam tetapi diertikan sebagai Malaikat Rahmat yang berada di langit dan dimuliakan Allah diperintahkan untuk menyampaikan Rahmat-rahmatNya dengan berbagai cara kepada orang-orang mukmin soleh yang memenuhi akhir malam dengan melakukan ibadat dan bertaubat memohon ampun kepada-Nya dengan penuh ikhlas. Tempoh masa sepertiga malam adalah berlainan mengikut lokasi yang terdapat di bumi ini. Hakikat ini memberi erti bahawa rahmat Allah yang diturunkan kepada hamba-hambaNya di bumi adalah berterusan tanpa henti hingga ke satu masa yang dikehendaki-Nya.

Perlu difahami bahawa sifat bergerak dan diam adalah sifat atau 'aradh makhluk atau segala sesuatu yang berjuzuk  yang dijadikan Allah.  Sesungguhnya sifat 'gerak' dan 'diam' bukanlah Sifat Allah yang Qadim, tetapi Allah yang menjadikan sifat-sifat tersebut bagi keperluan makhluk-makhlukNya kerana Allah itu tidak sesekali mengenai 'gerak' dan 'diam' dan 'bertempat'/berada di atas, di bawah, meliputi, di luar dan di dalam' atau mengambil faedah daripada setiap sesuatu yang dijadikan-Nya daripada semata-mata tiada kepada ada.


Demikian juga dengan maksud nas yang mengatakan "menziarahi Aku sakit..." bukanlah bermaksud Allah yang sakit tetapi adalah untuk memperjelaskan bahawa orang mukmin soleh yang dimuliakan Allah sedang sakit dan yang berada 'di sisinya' bukanlah Allah tetapi bermaksud sesiapa yang menziarahinya akan mendapat Rahmat Allah. 

Hendaklah difahami sifat "
AL-WADUD"  الودود bagi Allah yang terkandung di dalam Asma' Ul Husna bermaksud: 
 "Yang Amat Kasih kepada orang-orang yang berbuat ta'at di kalangan hamba-hambaNya, (atau) Yang sangat Kasih kepada mereka itu dengan memberikan Nikmat-nikmat-Nya."
Allah juga melimpahkan Rahmat-Nya yang tidak terhingga banyaknya kepada orang mukmin yang berkasih sayang sesama mukmin semata-mata ikhlas kerana agama dan Allah. Allah juga menjanjikan balasan tempat yang paling istimewa di dalam syurga kepada mereka yang berkasih sayang semata-mata kerana agama. 

Demikianlah betapa mulianya seseorang hamba Allah mukminin/mukminat yang soleh/soleha di sisi Allah hinggakan Nabi Allah yang mulia lagi maksum di sisi-Nya pun disuruh menziarahi orang mukmin/mukminat yang sakit kerana sangat besar Rahmat Allah terhadapnya.

Hadis Rasulullah s.a.w. ada memperjelaskan juga bahawa apabila seorang mukmin soleh itu berbuat ibadat dengan penuh sempurna mengikut kaifiat peraturan hukum yang ditetapkan syarak dan benar-benar ikhlas semata-mata kerana Allah sahaja, maka Allah akan memerintahkan 160 orang Malaikat Rahmat untuk melindungi dan mendo'akan kesejahteraannya daripada gangguan-gangguan syaitan yang sentiasa berusaha merosak dan membinasakan anak-anak Adam (manusia) dengan menjerumuskan mereka ke jalan kesesatan beragama dan menjadi kafir agar menerima balasan seksa Allah yang berkekalan di dalam api neraka bersama-sama syaitan iblis laknatullah.

Firman Allah di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang memperjelaskan betapa para malaikat mendo'akan orang-orang mukmin soleh seperti yang terkandung pada surah سورة المؤمن Al-Mu'min ayat 7 :
الَّذِينَ يَحۡمِلُونَ الۡعَرۡشَ وَمَنۡ حَوۡلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمۡدِ رَبِّهِمۡ وَيُؤۡمِنُونَ بِهِ وَيَسۡتَغۡفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعۡتَ كُلَّ شَيۡءٍ رَّحۡمَةً وَعِلۡمًا فَاغۡفِرۡ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمۡ عَذَابَ الۡجَحِيمِ  
                         Maksudnya : 
 "(Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya  dan mereka beriman kepada-Nya serta meminta keampunan bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): 'Ya Tuhan kami, Rahmat dan Ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari seksaan neraka yang bernyala-nyala'."

Demikian juga  Allah menjelaskan maksud 'lebih dekat ' kepadanya daripada urat leher seperti yang terkandung pada ayat 16 surah سورة ق Qaf adalah seperti yang terkandung di dalam Firman berikutnya pada ayat 17 dan 18 :

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا الۡاِنۡسَانَ وَنَعۡلَمُ مَا تُوَسۡوِسُ بِهٖ نَفۡسُهٗ ۖۚ وَنَحۡنُ اَقۡرَبُ اِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ الۡوَرِيۡدِ‏  (16)اِذۡ يَتَلَقَّى الۡمُتَلَقِّيٰنِ عَنِ الۡيَمِيۡنِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيۡدٌ‏ (17)   مَا يَلۡفِظُ مِنۡ قَوۡلٍ اِلَّا لَدَيۡهِ رَقِيۡبٌ عَتِيۡدٌ(18)

                    Maksudnya :

" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih 'dekat' kepadanya daripada urat lehernya,  (16)

(iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. (17)

Tiada suatu ucapanpun yang diucapkanya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.  (18)                  

Setelah memahami penjelasan ini mudah-mudahan para pembaca dapat mengetahui bahawa maksud dan 'takwil' kefahaman ilmu mengenai pengertian 'hampir' Allah di sini ialah hampir 'Rahmat' dan 'Pertolongan' Allah terhadap sesiapa juga yang dikehendaki-Nya dan bukan hampir Zat atau Diri-Nya yang Qadim lagi Azali. Hal ini ada ditegaskan di dalam pegangan iktiqad Ahli Sunnah wal Jamaah seperti yang terkandungan di dalam Terjemah Aqidah Ahli Sunnah wal Jemaah Pada Makna Syahdat At-Tawhid :
"Maka sebelum ada masa, sebelum ada tempat, sebelum ada lapang, sebelum ada cahaya, sebelum ada warna, sebelum ada rupa, sebelum ada huruf, sebelum ada suara, sebelum ada sukatan, bilangan, ukuran, gerak, diam, sunyi, senyap dan sebelum ada 'arasy, kursi, syurga, neraka, tujuh lapis langit dan bumi dan segala isinya, sebelum ada apa-apa benda pun barang yang diadakan oleh Allah SWT itu adalah Allah SWT itu Tuhan kita Jalla Wa'azza itu ia-Nya ADA sebagaimana Dia ADA itu juga, yang sentiasa ADA, selama-lamanya ADA, mempunyai kemuliaan dan kesempurnaan.Makna hampir Tuhan itu ialah hampir Rahmat dan Nikmat-Nya, dan makna berserta Tuhan itu ialah berserta Rahmat pertolongan-Nya dan Nikmat-Nya, maka tidak menyamai hampir Tuhan itu dengan hampir makhluk dan tidak menyamai persertaan Tuhan itu dengan persertaan makhluk yang sebagaimana juga Zat Tuhan itu tidak menyamai zat makhluk... 
Tuhan itu tidak menerimai perubahan, tidak menerimai perpindahan dan Zat Tuhan itu  tidak sesekali menyamai dengan segala zat yang baharu dan segala zat yang baru itu tidak sesekali menyamai dengan Zat Tuhan dan Zat Tuhan itu tidak masuk bersatu-padu pada zat-zat yang baru dan tidak zat-zat yang baru itu masuk bersatu-padu pada Zat Tuhan. Bahkan sentiasalah Allah SWT Tuhan kita Aza Wajalla itu dengan kemuliaan dan kesempurnaan-Nya yang tidak sesekali menyamai sesuatu daripada segala makhluk-Nya dan tidak sesekali menerimai berlebih dan berkurang kemuliaan Allah SWT itu.....

Semua barang yang ada, selain daripada Allah SWT, iaitu sekalian manusia, jin, syaitan, malaikat, langit, bumi, bintang-bintang, pokok-pokok, batu-batan segala jenis kebendaan, segala khasiat benda-benda dan kekuatannya, segala barang yang didapati oleh lintasan-lintasan hati, segala barang yang didapati melalui segala pancaindera yang lima, segala jenis cahaya, rupa, warna, masa, tempat, lapang, suara, huruf, bilangan, ukuran, sukatan, gerak, diam dan lain-lain lagi itu semuanya adalah barang yang baharu iaitu barang yang diadakan oleh Allah SWT dengan Qadrat-Nya yang Qadim daripada semata-mata tidak adanya barang-barang itu sama sekali kepada adanya barang itu diadakan oleh Allah SWT.

Maka ada, atau tidak ada, atau belum ada, atau rosak binasa barang Perbuatan Allah itu maka adalah Allah SWT itu Ia-Nya Ada sebagaimana Ia Ada itu juga kerana yang Ada pada Azal itu ialah Allah SWT sahaja yang Ada dan tiada yang lain daripada-Nya.

Allah SWT itu mengadakan segala makhluk-Nya itu daripada semata-mata tidak ada barang itu kepada adanya ialah kerana menzahirkan bagi kuasa-Nya dan metahqikkan lagi barang apa yang telah terdahulu daripada Kehendak-Nya disebabkan kebenaran-Nya bagi barang apa yang ada pada Azal-Nya daripada Kalam-Nya dan bukan untuk mengambil faedah daripadanya serta bukan kerana mengenai sesuatu hajat kepadanya. Bahkan Allah SWT itu amat terkaya daripada yang demikian itu dan sesungguhnya Allah SWT itu mempunyai kelebihan, kemurahan dan sentiasa memberi berbagai rahmat yang tidak terhingga banyaknya."
 Maksud "beristiwa' di atas 'Arasy (عَرْش) pula diperjeleskan bahawa :
"..Tuhan itu tidak di atas sesuatu, tidak di bawah sesuatu dan mafhum makna bahawa "Tuhan itu atas 'Arasy (عَرْش)" ialah dengan makna bahawa Tuhan itu memerintah dan memiliki 'Arasy dan bukan makna atas itu pihak dan tempat.Sesungguhnya Tuhan itu tidak sesekali menerimai pihak dan tempat dan Tuhan itu tidak di luar tujuh lapis langit dan bumi, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak bercampur dengannya; dan Tuhan itu tidak di luar syurga, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak bercampur dengannya, bahkan Allah Taala Tuhan kita Jalla Wa Azza itu lain dan segala barang yang ada yang diadakannya oleh Allah Taala itu lain. Maka Allah Taala itu sangat berlainan yang sehabis-habis berlainan, tiada suatu apa pun yang menyamai-Nya."
Penjelasan dan pegangan iktiqad ini bertepatan dengan sifat-sifat Allah yang terkandung di dalam Asma' Ullah al-Husna :
      "AR-RAHMAN الرحمن yang bererti:  
Yang Maha Pemurah dengan apa Ia tutupi segala dosa dalam  dunia. 
        AR-RAHIM الرحيم yang bererti: 
Yang Maha Pengasih dengan apa Ia ampuni dosa-dosa di negeri akhirat."
AL-WADUD  الودود: yang bererti : 
Yang Amat Kasih kepada orang-orang yang berbuat taat di kalangan hamba-hamba-Nya, atau Yang sangat Kasih kepada mereka itu dengan memberikan Nikmat-nikmatNya.
Firman Allah di dalam al-Quran surah سورة الشورى Asy-Syuura ayat 11 sewajarnya dijadikan panduan untuk memahami pengertian 'Syai' شَيْءٌ atau 'sesuatu' yang membawa maksud bahawa Allah itu tiada menyamai segala 'sesuatu' dalam apa jua jalan dan cara sekalipun termasuk pengertian "hampir' Allah yang tidak sesekali menyamai seperti 'hampir ' makhluk-Nya: 
 فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الأنْعَامِ أَزْوَاجًا يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ لَيْسَ كَمِثْـلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ                   
                       Maksudnya : 
" (Dia) yang mengadakan langit dan bumi. Dia menjadikan kamu sendiri berpasang-pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Allah SWT itu tiada seperti seumpama 'SESUATU' apa pun dan Ia Amat Mendengar lagi Amat Melihat." 
Mudah-mudahan hujah-hujah dan penjelasan yang dipaparkan ini tidak menimbulkan sebarang kekeliruan serta dapat memberi kekuatan serta kefahaman ilmu di samping membantu sesiapa juga yang memerlukan khususnya apabila mereka berhadapan dengan orang yang beriktiqad menyatukan Zat Allah yang Qadim dengan zat makhluk dengan bermacam-macam hujah dan alasan yang bertentangan dengan pegangan iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak.

Ilmu dan persoalan berkaitan mengenali Allah dan yang berkaitan dengan Rukun Iman yang enam (6) perkara adalah tunjang dan teras utama kepada segala pokok ilmu yang amat sukar difahami manusia dan menjadi punca utama menjerumuskan seseorang itu menjadi kafir/munafik dan menentang kebenaran beragama. Dalam permasalahan ini jugalah yang menjadi sasaran utama syaitan menyesatkan manusia agar manusia menjadi kufur dengan menyekutukan Allah. Sesungguhnya sebesar-besar bala kelaknatan Allah yang diturunkan terhadap hamba-hambaNya ialah hidup dan mati dalam kekufuran dan kemunafikan beragama. Wallahu 'alam.

[Lihat sambungannya: ALLAH MENGADAKAN SESUATU DENGAN QADRAT-NYA]



              ***********************************************************
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلا يَخْرُصُونَ 
                          Maksudnya:
"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)." 
   [Al-Quran surah سورة الأنعام  Al-An'aam : 116 ]
                                      **********************************
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِنْ تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِنْ تَسْأَلُوا عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ الْقُرْآنُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا اللَّهُ عَنْهَا وَاللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ 
                        Maksudnya : 
" Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabi-mu) hal-hal yang diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu dan jika menanyakannya di waktu al-Quran itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun." 
                  [Al-Quran surah سورة المائدة  Al-Maaidah : 101 ]

                                            ***********************************

             أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنَّكَ إِنْ لَا تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ  
                     Maksudnya :      
"Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, dan kalau engkau tidak melihat-Nya, maka Dia melihatmu." [HR Bukhari, Muslim]
Dari Suhaib r.a. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
عَجَبًا ِلأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْراً لَه
                          Maksudnya :
" Sesungguhnya amat menakjubkan sekali keadaan orang yang mukmin; semua urusannya baik belaka, tidak berlaku sedemikian itu kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat mereka akan bersyukur, maka syukur itu baik bagi mereka, jika ditimpa kesusahan pula, mereka bersabar, maka sabar itu baik bagi mereka." 
                 [Hadis riwayat Muslim]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BILAKAH KIAMAT DUNIA AKAN BERLAKU ?

  بِسْمِ  ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَ...