بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
إِنَّ الْحَمْدَ للهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ ، وَنَعُوْذُ باِللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيْئَاِتِ أَعْمَالِلنَا , مَنْ يَهْدِهِ اللهِ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ . وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
أَمَّا بَعْـدُ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya :
"Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya bersalawat kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."
[ Al-Quran surah سورة الأحزاب Al-Ahzab : 56 ]
************************************************************
ﺍﻟﺴَّﻼَﻡُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ ﻭَ ﺭَﺣْﻤَﺔُ ﺍﻟﻠﻪِ ﻭَﺑَﺮَﻛَﺎﺗُﻪ
Pemahaman dan penghayatan ilmu berkaitan aqidah adalah teras dan tonggak terpenting di antara yang terpenting dalam konteks agama Islam. Pada zahirnya seseorang itu akan hanya diterima dan diakui sahih keimanan dan keislamannya setelah dia melafazkan dengan lidah dan diyakini penuh di hati Dua Kalimah Syahdah At-Tawhid dan Syahdah Ar-Rasul :
أَشْهَدُ أَنْ لَاإِلَــــهَ إِلَّا اللهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ
Kalimah ini diucapkan juga pada setiap kali melakukan ibadat solat, ibadat-ibadat khusus lain yang berkaitan dan akhir sekali ketika seseorang Muslim itu berhadapan dengan Sakratul-maut sebelum menemui ajal mautnya bagi menutup hayat kehidupannya di dunia. Hakikat ini memberi pengertian bahawa Dua Kalimah Syahadah ini mempunyai pengertian dan implikasi yang sangat penting lagi amat besar kerana di dalamnya mengandungi teras ilmu yang khusus berkaitan dengan Rukun Iman yang enam perkara yang menjadi pegangan aqidah keimanan setiap orang yang beriman.
Ironinya tidak terdapat atau belum banyak penerbitan agama yang memberikan kupasan dan tafsiran mendalam terhadap maksud sebenar "Dua Kalimah Syahadah" ini sebagai teras Ilmu At-Tawhid dan aqidah keimanan agama Islam. Ia juga jarang-jarang didengar dan dimuzakarahkan dalam majlis-majlis ilmu seperti yang lumrah dilakukan terhadap ilmu-ilmu agama Islam yang lain khususnya berkaitan dengan Ilmu Fiqh, perundangan, pembacaan al-Quran, kekeluargaan, motivasi akhlak, pembinaan sahsiah insan dan berkaitan dengan politik dan sistem pemerintahan yang begitu popular di negara ini dengan mengekploitasikan sepenuhnya media-media elektronik dan cetak di samping forum-forum yang disertai, ditontoni dan dibaca setiap hari oleh jutaan manusia di seluruh negara dan dunia Islam.
Kewujudan karya-karya ilmuan agama seperti Ihya' 'Ulum al-din, karya agung Al-Ghazali, kerap dibaca dan dirujuk oleh para ulama', ilmuan dan cendekiawan agama negara ini dan serantau. Di dalamnya terkandung satu bab khusus mengenai pengertian Dua Kalimah Syahadah ini mengikut pegangan iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang terdapat dalam Qawaid Al Aqaid- Ahlil al Sunnah fi Kalimati al Syahdah [ في ترجمة عقيدة اهل السنة في كلمتي الشهادة التي هي أحد مباني الاسلام ].
Namun bab penting yang terkandung di dalam juzuk awal Ihya' 'Ulum al-din ini jarang-jarang dibicarakan, ditonjolkan, disebarluaskan dan diberikan kupasan mendalam sama ada di majlis-majlis ilmu umum atau di institusi-institusi pengajian tinggi. Hakikat ini menjadikan syarahan yang terkandung di dalam Ihya' 'Ulum al-din dalam bab ini terlalu asing kepada kebanyakan umat Islam Malaysia, sedangkan pada dasar dan prinsipnya pegangan fahaman rasmi agama umat Islam negara ini adalah berteraskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Adalah sesuatau yang amat menarik yang sewajarnya diberikan perhatian serius bahawa Al-Ghazali mengulangi peringatan terhadap kepentingan "Qawaid Al Aqaid- Ahlil al Sunnah fi Kalimati al Syahdah [ في ترجمة عقيدة اهل السنة في كلمتي الشهادة التي هي أحد مباني الاسلام "] sebagai teras keimanan dalam beberapa karyanya sebagaimana yang terkandung di dalam karya Nasihat Al-Muluk yang ditujukan khusus kepada golongan raja pemerintah.
Imam Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali [450-505 H/1058-1111 M ] yang dilahirkan di Tus, Parsi (Iran) juga adalah salah seorang tokoh ulama' mujtahid Ahli Sunnah Wal Jamaah bermazhab Imam As-Syafi'e yang ternama dan tersohor di dunia. Dalam usia hayatnya yang singkat [ kembali ke rahmatullah ketika berusia 53 tahun di Tus, Parsi pada 14 Jamadilakhir, 505 H ] beliau telah menghasilkan lebih 300 buah karya ilmiah untuk bimbingan hidup beragama di kalangan umat Islam sejagat di sepanjang zaman yang masih segar menjadi rujukan penting bukan sahaja di kalangan para cendekiawan dan ilmuan Islam bahkan sangat dikagumi para ilmuan Barat dan golongan ilmuan bukan Islam yang berjinak-jinak dengan Islam. Atas sumbangan besar beliau dalam usaha menghidup dan menyuburkan dunia keilmuan Islam sejagat beliau telah dimartabatkan dengan sanjungan kemuliaan seperti Sharaf-ul-Aʾimma (شرف الأئمة), Zayn-ud-dīn (زين الدين) dan yang paling termasyhur ialah Ḥujjat-ul-Islām (حجةالإسلام).
Banyak hasil karya penting al-Ghazali telah diterokai dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa utama dunia khususnya Bahasa Inggeris oleh para penyelidik Orientalis Barat sejak kurun ke-19 Masehi lagi walaupun mengikut kefahaman, persepsi dan perspektif mereka sendiri yang mungkin tidak menepati atau bercanggah dengan kehendak atau maksud karya-karya asal al-Ghazali.
Selain daripada kaya agung,Ihya' 'Ulum al-din احياء علوم الدين yang banyak membicarakan segala aspek yang terkandung di dalam ilmu Fardhu 'Ain, karya-karya beliau yang dikenali umum adalah seperti :
1. Kitab “QUS’UR AL-A’WALI” (قصور العوالي).
2. Kitab “ARRASA-IL AL-FARA-ID” (الرسائل الفرائد).
3. Kitab “AL-IKTIS’AD FI AL-IKTIQAD” (الاقتصاد في الاعتقاد ) .
4.Kitab “MIZAN AL-AMAL” (ميزان العمل ).
5. Kitab “AL-ARBA-IN FI AL-USUL” (الاربعين في الاصول).
6. Kitab ILJAM AL-'AWAMM 'AN 'ILMU AL-KALAM (الجام العوام عن علم الكلام).
7. Kitab TAHAFUT AL-FALSIFAH (تهافت الفلاسفة ).
8. Kitab NASIHAT AL-MULUK (نصيحة الملك ).
9. Kitab Al-Munqid min al-Dalāl ( المنقذ من الضلال ).
dan beberapa buah kitab lain yang membicarakan banyak aspek berkaitan aqidah yang menjadi punca kekeliruan yang mendorong kepada fahaman sesat di kalangan umat Islam.
Antara huraian dan perbahasan ilmu yang berkaitan dengan aqidah keimanan yang dibicarakan oleh al-Ghazali di dalam kitab AL-IQTISAD FI'L- I'TIQAD (الاقتصاد في الاعتقاد)ialah masalah "Kalam Allah yang Qadim" yang menjadi masalah dan fitnah besar di kalangan umat Islam buat sekian lamanya. Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali) (164 H-241 H) seorang ulama' mujtahid Ahli Sunnah wal Jamaah tersohor di dunia menerima hukuman penjara selama 28 bulan. Dia diazab seksa kerana ketegasan pendiriannya mempertahankan bahawa al-Quran itu ialah Kalam Allah yang Qadim dan enggan mematuhi perintah Khalifah yang dipengaruhi golongan ulama' berfahaman Mu'tazilah yang berpendirian bahawa al-Quran itu baharu.
Adalah sesuatu yang amat sukar difahami mengapakah permasalahan yang menimbulkan fitnah ilmu yang amat penting lagi besar implikasinya ini tidak atau belum menjadi keutamaan di kalangan agamawan, ulama' dan umat Islam di Malaysia?. Hingga kini pemahaman bahawa al-Quran adalah Kalam Allah yang Qadim masih kurang difahami ramai umat Islam hinggakan ada di kalangan mereka yang dianggap sebagai golongan mursyid keilmuan yang bijaksana bertegas mengatakan bahawa 'al-Quran itu tidak Qadim' dan adalah makhluk Allah juga yang dijadikan. Malah ada pula yang dengan lantang dan beraninya menuduh dan menghukum bahawa sesiapa juga di kalangan umat Islam yang berpendirian bahawa al-Quran itu Qadim adalah melakukan perbuatan mensyirikkan Allah.
Mungkin ramai yang beranggapan bahawa persoalan ini adalah pendapat-pendapat ulama' sejak zaman dahulu kala sahaja yang tidak perlu diketahui atau dipersoalkan oleh umat Islam sekarang kerana isu-isu ini tidak menjejaskan kententeraman awam, pembangunan sosio-ekonomi dan keselamatan negara. Ataupun mungkin ada yang mengatakan persoalan isu keilmuan ini adalah masalah kecil dan perkara remeh-temeh sahaja yang tidak menjejaskan aqidah keimanan seseorang, lebih-lebih lagi orang yang menyampaikan ceramah-ceramah tersebut adalah guru-guru agama yang bertauliah atau golongan ulama' yang dianggap mursyid ternama yang mempunyai ribuan pengikut di merata ceruk rantau sesebuah negeri atau negara.
[Lihat : Allah Berkata-Kata Dengan Kalam-Nya Yang Qadim]
Di Malaysia masyarakat Islam lebih merujuk atau mengaitkan al-Ghazali sebagai ulama' sufi dan ahli falsafah Islam sahaja tetapi jarang-jarang sekali karya-karya beliau dirujuk, disebut atau dikaitkan dalam konteks pemahaman ilmu aqidah At-Tawhid.
Hanya golongan yang tidak memahami pengajaran dan kaedah penyampaian al-Ghazali serta memusuhi pegangan agama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak sahaja begitu lantang dan berani memberi 'celaan' dengan berbagai persepsi negatif terhadap karya-karya beliau. Segala celaan ini sekaligus memberi erti menghina beliau yang sepanjang hayatnya berjihad menghidup-suburkan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam usaha menyelamatkan umat daripada jurang kesesatan beragama.
Pengajaran dan pembelajaran Ilmu At-Tawhid di kalangan umat Islam Malaysia pada umumnya lebih menjurus kepada mengenal dan memahami Sifat Allah yang 20 atau lebih popular dikenali sebagai 'Sifat 20'. Bahan-bahan rujukan lain yang membicarakan dengan lebih mendalam khusus dalam bidang ini adalah amat terbatas atau masih belum wujud berbanding bahan-bahan rujukan Ilmu Fiqh yang terlalu banyak dan amat meluas penyibarannya dan mendalam perbahasannya. Malah hampir setiap hari perbicaraan mengenai Ilmu Fiqh ini diberi kupasan dengan meluas, mendalam dan dipasakkan ke dalam minda umat Islam dengan penuh ketelitian melalui pelbagai media cetak dan elektronik/digital khususnya media sosial, saluran televisyen dan radio.
Sungguhpun sukar untuk mempastikan sejak bilakah pengajaran Sifat 20 ini mula diterapkan di seluruh Alam Melayu ( Nusantara) tetapi memandangkan penyibarannya yang begitu meluas besar kemungkinan ianya telah bertapak kukuh sejak lebih sekurun yang lalu. Sehingga kini teras pengajaran Ilmu At-Tawhid di Malaysia adalah berpandukan Sifat 20. Malahan terdapat pula yang beranggapan bahawa sesiapa yang tidak belajar dan menghafaz Sifat 20 maka "tidak sempurna" keimanan dan keislamannya.
Pengajaran dan pemahaman mengenai Asma' Ullah Al-Husna yang berulang kali disebut di dalam al-Quran mengandungi nama-nama Allah yang sangat indah lagi mulia itu sering diutarakan dan dinasyidkan dengan menarik lagi indah melalui saluran televisyen, radio dan majlis-majlis agama. Namun kupasan ilmu yang lebih mendalam mengenainya jarang sekali diketengahkan sebagai subjek teras yang amat penting atau dijadikan tazkirah harian kepada umum kerana di dalamnya terkandung nama-nama Allah yang memperjelaskan Sifat-sifat Allah yang Qadim meliputi banyak aspek bagi memudahkan orang awam Islam memahami dan menghayati ilmu mengenali Allah dengan lebih luas dan mendalam.
Isu-isu mengenai Roh juga begitu lumrah diperkatakan sama ada di majlis-majlis ilmu, pelbagai media cetak dan elektronik dan dijadikan tema produksi filem hiburan komersial dan idea sitkom komedi yang memukau jutaan penonton dan melibatkan kos penerbitan yang besar. Namun sehingga kini belum terdapat sebarang teguran serius dan membina daripada ahli-ahli agama atau fatwa rasmi pihak berkuasa agama Islam mengenainya.
Pada umumnya adalah terlalu ramai orang Islam yang mempercayai atau mengiktiqadkan bahawa 'Roh' orang yang sudah mati yang dianggap atau didakwa sebagai 'orang alim' atau 'Wali Allah' itu dikatakan boleh "balik ke dunia" melalui berbagai cara. Antara kaedah yang biasa dilakukan ialah dengan cara 'menyerunya' menggunakan kalimah-kalimah 'ritual' tertentu yang diselit atau dicampuradukkan dengan ayat-ayat al-Quran oleh 'orang perantaraan' yang terdidik khusus bagi tujuan perubatan atau sesuatu urusan duniawi yang lain. Terdapat juga kepercayaan yang mendakwa 'Roh' orang mati jenis jahat muncul balik ke dunia dalam bentuk makhluk yang dikatakan 'hantu' atau bermacam jenis makhluk ghaib lain untuk menganggu manusia.
Isu ajaran tasawwuf dan juga kemunculan berbagai-bagai nama kumpulan tareqah sufi sering diperkatakan dan menjadi isu kerana ia dikaitkan dengan ajaran sesat berteraskan mistik kebatinan. Pihak berkuasa agama Islam hanya membuat senarai dan kajian luaran sahaja terhadap penyebaran dan perkembangan ajaran tareqat di Malaysia yang mungkin melibatkan ribuan atau puluhan ribu pengikut di seluruh negara di samping pergerakan penyibaran fahaman-fahaman agama yang bertentangan dengan pegangan iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah yang semakin berterang-terangan dan berleluasa laksana banjir besar melanda bumi.
Tindakan tegas akan hanya diambil oleh pihak berkuasa sekiranya kumpulan 'tidak formal' yang bergerak secara 'rahsia' ini menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam atau menganggu kestabilan sosio-politik dan ekonomi negara. Sekiranya mereka bergerak bersendirian secara senyap tidak ada sebarang tindakan wajar yang diberikan, lebih-lebih lagi jika terdapat orang-orang ternama tertentu yang dipandang tinggi lagi mulia oleh masyarakat turut terlibat di dalam pergerakan kumpulan tersebut.
Falsafah dan konsep penghayatan ilmu kumpulan-kumpulan ini di bawah kepemimpinan 'khalifah' atau 'syeikh tareqat' yang dianggap 'mursyid', 'karamah' dan 'kasyaf' yang memiliki ijazah tinggi daripada institusi-institusi pengajian tinggi ternama dari dalam dan luar negeri jarang-jarang disentuh atau diberikan penelitian khas dan ilmiah bagi menentukan ianya tidak bertentangan dengan aqidah keimanan.
Majlis-majlis ilmu bagi memperingati berlakunya peristiwa mukjizat besar malam Isra' dan Mikraj Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah salah satu program tetap tahunan yang diadakan pada 27 Rejab di seluruh negara untuk memberi peringatan kepada umat Islam mengenai berbagai pengajaran yang diperolehi melaluinya. Berbagai tafsiran dan perbahasan meluas diberikan terhadap pertemuan Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan Nabi-nabi terdahulu di setiap lapisan langit, memasuki syurga dan berbagai hal lain tetapi apabila timbul persoalan-persoalan mengenai kaedah perjalanan dengan menaiki binatang yang didatangkan khas daripada syurga bernama Al-Buraq, dan cara wahyu Allah disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. di Sidratil Muntaha mengenai kewajipan menunaikan solat 50 waktu tidak diberikan penjelasan yang mantap dan diyakini kesahihannya.
Di samping itu terdapat juga banyak pendapat yang mengatakan Allah bertempat atau berada di Sidratil Muntaha pada langit ketujuh dan beristiwa' "atas Arasy" tetapi huraian yang mendalam dan menyeluruh mengenainya tidak diberikan dengan tanggapan apa yang disebut di dalam al-Quran hendaklah diterima saja walaupun ia tergolong sebagai ayat mutasyabihah atau kesamaran maksudnya. Justeru diunjurkan agar kalimah tersebut tidak diberikan sebarang takwil atau pengertian yang lebih luas. Ada juga di kalangan guru-guru dan agamawan yang memberi ceramah-ceramah dengan mengatakan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم 'bertemu' Allah di Sidratil Muntaha dan berbagai-bagai andaian serta tanggapan yang mungkin diterima atau 'ditelan bulat-bulat' oleh orang awam tanpa banyak soal atau memikirkan kesan dan implikasinya terhadap pegangan iktiqad agama mereka.
Maka terbitlah berbagai-bagai prasangka, persepsi dan kepercayaan yang berlegar-legar di dalam minda orang awam mengenai Allah. Hinggakan ada yang menyebut bahawa: "Allah itu orang atas", sambil jari tangannya menunjuk ke langit, "Allah berada di mana-mana", "Allah itu lebih hampir daripada urat leher",sama seperti hampirnya di antara seseorang itu dengan orang lain, dan bermacam-macam kepercayaan, pemahaman dan persepsi lagi dengan tanggapan kata-kata atau kepercayaan seperti ini tidak memberi sebarang implikasi yang boleh merosakkan aqidah keimanan seseorang Muslim.
Adalah tidak menghairankan sekiranya terdapat ramai umat Islam negara ini yang beranggapan bahawa Allah itu sama seperti makhluk dan mempunyai Zat (Diri) dan Sifat seperti makhluk juga bersesuaian dengan kehendak-Nya. Sungguhpun seseorang itu beragama Islam tetapi teramat sukar bagi mereka untuk memikir dan menerima hakikat bahawa ALLAH itu BUKAN makhluk dan TIDAK sesekali menyamai makhluk-makhluk-Nya dalam segala-galanya walau dalam apa jua hal, jalan dan cara sekalipun tanpa misal, umpama, ibarat dan tanpa bandingan .
Hal ini diberikan fokus istimewa dalam blog ini agar para pembaca dapat membuka minda dengan seluas-luasnya untuk memahami hal keadaan sebenar yang melanda umat Islam sejak sekian lamanya agar terbit kesedaran baru untuk memperbaiki keadaan dengan cara yang betul dan selaras dengan hukum syarak supaya terhindar daripada salah faham dan terkena bahaya 'ibu segala kemungkaran', 'ibu segala dosa maksiat' dan 'sebesar-besar kezaliman' yang tidak mendapat pengampunan Allah iaitu mensyirikkan atau menyekutukan/menyamakan Allah dengan makhluk-Nya. Sesungguhnya sebesar-besar bala yang ditimpakan kepada manusia ialah menyekutukan atau mensyrikkan Allah. Allah menjanjikan balsaan azab seksa yang berkekalan selama-lamanya tanpa noktah di dalam neraka jahanam kepada hamba-hambaNya yang mati dalam kekafiran mensyirikkan Allah.
Setiap diri manusia akan berhadapan dengan situasi sebagaimana yang disebut dalam banyak Hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengenai berbagai-bagai perkara di luar tabi'ie kehidupan biasa duniawi yang pasti dihadapi oleh roh si-mati apabila tiba saat ajal mautnya. Hal ini hanya disentuh secara sepintas lalu sahaja dalam pembelajaraan ilmu agama sedangkan setiap orang manusia pasti menempuh maut pada masa yang ditakdirkan Allah. Pada ketika itu roh si-mati berhadapan seorang diri sahaja dengan kesusahan dan kepedihan pada saat-saat Malaikat Maut mencabut keluar rohnya daripada jasadnya.
Hadis-hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم banyak memperjelaskan tentang peraturan dan adab yang wajar dilakukan oleh 'si-mati', sanak-saudara dan sesiapa juga yang berada di sekelilingnya ketika berhadapan dengan detik-detik paling genting dan kritikal dalam hidup setiap diri manusia. Perkara 'sepenting' ini pun jarang-jarang diberikan penelitian dan kupasan mendalam supaya orang awam dapat menghayatinya dengan betul berpandukan nas-nas yang sahih, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan Sakaratul-maut yang pasti dilalui oleh setiap diri manusia pada bila-bila masa sahaja yang ditakdirkan Allah. Kebiasaannya perkara yang paling utama dan ketara serta diberi penekanan secara teliti dan meluas hanyalah tentang tatacara mengurus jenazah si-mati oleh orang yang hidup kerana ia adalah menjadi tanggungjawab Fardhu Kifayah bagi waris si mati atau sesuatu kariah.
Demikian juga apa yang berlaku kepada setiap diri manusia apabila berhadapan dengan Fitnah Kubur di Alam Barzakh dan segala hal yang berkaitan dengan hari akhirat seperti Hari Kiamat, Hari Pengadilan dan Timbangan Amal, Bumi Mahsyar, Titian Sirat, Neraka dan Syurga adalah perkara-perkara pokok dan amat penting yang sentiasa diulang-ulang peringatannya di dalam al-Quran dan Hadis-hadis صلى الله عليه وسلم.
Namun persoalan-persoalan mengenai "akhirat" yang sebegini penting pun tidak diberikan penjelasan yang mendalam atau hanya disebut secara ala kadar sahaja dengan alasan atau tanggapan akan menghalang perkembangan minda umat Islam kerana mengejar akhirat sahaja hingga menjadikan mereka mundur dan ketinggalan dalam hal tuntutan kehidupan duniawi yang amat mencabar.
Apabila membicarakan segala hal mengenai kefahaman agama Islam, kalimah-kalimah "Dosa", "Pahala", "Syurga", "Neraka", "Akhirat" dan segala hal yang berkaitan dengannya begitu mudah dituturkan oleh sesiapa sahaja termasuk golongan yang jahil dan bukan beragama Islam bagi maksud sesuatu tujuan.
Mereka beranggapan kalimah-kalimah ini di samping lafaz "bersumpah dengan nama Allah" adalah satu kebiasaan yang lumrah diucapkan oleh sesiapa juga menjadikan seolah-olah perkara berkaitan aqidah keimanan ini hanya perkara kecil sahaja yang tidak mengandungi apa-apa implikasi dan pengertian pun. Kadangkala ungkapan kalimah-kalimah ini menjadi kata-kata gurauan senda dan ejekan untuk mencetuskan suasana 'keseronokan' dan keceriaan sesama mereka.
Hampir kesemua persoalan yang dibangkitkan mengenai Rukun Iman yang enam perkara ini hanya diberikan sentuhan secara sepintas lalu atau tempelan sahaja yang mungkin tidak meninggalkan sebarang kesan mendalam kepada orang awam yang benar-benar dahagakan ilmu dan memerlukan pedoman hidup beragama di jalan yang hak.
Oleh sebab kejahilan diri sendiri atau kelemahan sistem pendidikan agama maka wujudlah kelumrahan pemahaman di kalangan golongan tertentu masyarakat Islam yang memandang remeh atau mempersenda-sendakan soal mati, dosa, pahala, maksiat, ibadat, kufur, murtad, fitnah kubur, syurga, neraka, halal haram, ibadat, hukum syarak termasuk juga persoalan besar mengenai ketuhanan, kenabian, malaikat dan sebagainya yang merumitkan pemikiran dan kefahaman orang-orang awam.
Sedangkan pada hakikatnya Allah mengutuskan dan membangkitkan para Rasul Alaihimussalam yang mulia lagi maksum di kalangan umat manusia dengan dikurniakan berbagai bentuk mukjizat yang amat jelas lagi nyata dan diperkukuhkan lagi dengan diturunkan wahyu kitabullah sebagai pedoman hidup beragama adalah semata-mata untuk memberi kefahaman yang benar lagi sahih kepada manusia khusus mengenai persoalan dan permasalahan Rukun Iman yang tidak diketahui sama sekali oleh manusia biasa di samping memberi panduan yang sahih lagi amat benar mengenai kehidupan di dunia dalam konteks perhubungan sesama manusia agar berlaku adil dan tidak melakukan kezaliman di bumi Allah ini.
Adalah tidak menghairankan sekiranya terbit prasangka dan kefahaman bahawa agama Islam itu disamatarafkan dengan pengajaran fahaman agama-agama lain yang bagi sesetengah pihak beranggapan bahawa semua fahaman agama mengajar manusia supaya melakukan kebaikan dan menentang kezaliman.
Persoalan menyamakan atau menyekutukan Tuhan dengan makhluk atau mensyrikkan Allah yang menjadi perkara pokok dan teras fahaman aqidah agama wahyu dan Islam yang disebut sebagai 'sebesar-besar dosa kezaliman yang tidak mendapat pengampunan Allah' tidak dianggap penting atau diberikan fokus utama untuk menyerlahkan perbezaan ketara di antara kebenaran Islam sebagai agama wahyu Allah dengan fahaman agama-agama lain yang berteraskan cetusan falsafah dan ilham daya pemikiran kreatif pancaindera yang lima oleh golongan manusia cendekiawan tertentu.
Maka tercetuslah bermacam-macam isu, prasangka dan tanggapan terhadap Islam yang dibangkitkan oleh berbagai golongan manusia cendekiawan dan ilmuan termasuk orang Islam sendiri yang membicarakan dengan sewenang-wenangnya berbagai analisis sosial, ekonomi, politik termasuk kalimah-kalimah tertentu di dalam al-Quran yang sewajarnya mudah diselesaikan tetapi menimbulkan perbalahan dan kekeruhan yang berpanjangan sesama pemimpin Islam, ulama' dan rakyat biasa.
Hakikat ini begitu terserlah apabila berbangkit isu "Menolak Hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagai Sumber Hukum" oleh segolongan umat Islam di samping penggunaan kalimah "Allah" yang dikemukakan oleh golongan gereja Kristian yang berhasrat menggunakan kalimah ini di dalam terjemahan Bible edisi tejemahan Bahasa Melayu. Tidak kurang pula yang begitu lantang dan beraninya "mencerca" Nabi Muhammad Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan meletakkan darjat baginda setaraf dengan manusia biasa. Demikian juga dengan para sahabat baginda yang turut menanggung segala kesusahan dan kedukacitaan serta berkorban jiwa raga bergerak seiring dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم menyibar dan menegakkan syiar sinar Islam di dunia ini menerima "cercaan" yang ketara atau secara tidak langsung oleh golongan-golongan tertentu termasuk yang mengaku beragama Islam bagi sesuatu tujuan duniawi tertentu.
Tanpa disedari perkembangan ini dapat memberikan gambaran tahap kemampuan ilmu mengenai pemahaman Aqidah At-Tawhid, Hari Akhirat dan keimanan yang menjadi teras pemahaman dan pegangan iktiqad agama umat Islam negara ini berbanding ilmu-ilmu lain khususnya fiqah, muamalat, pembacaan al-Quran dan segala hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan dan keperluan hidup duniawi.
Paparan yang diserlahkan di dalam blog 'Cahaya Menerangi Kegelapan' ini hanya sebagai cetusan minda dan usaha pinggiran daripada orang awam Muslim biasa sahaja untuk membuka gelanggang membicarakan berbagai isu keilmuan yang dianggap penting khusus mengenai aqidah keimanan yang telah berbangkit sejak sekian lamanya di samping isu-isu semasa yang masih belum dapat diberikan jalan penyelesaian serta penjelasan yang mantap dan eksklusif oleh semua pihak yang bertanggungjawab terhadap agama Islam di negara ini.
Hampir kesemua isu dan perbahasan ilmu yang dibicarakan adalah saling berkaitan di antara satu sama lain yang mudah-mudahan dapat memberikan sedikit panduan dan bimbingan kepada orang-orang awam Muslim daripada terkena wabak penyakit 'buta Ilmu At-Tawhid' serta merintis haluan yang benar terhadap masalah berbangkit yang melanda umat Islam.
Para pembaca blog ini walau di mana sekalipun mereka berada adalah dinasihat dan digalakkan supaya membaca berulang-ulang kali agar dapat memahami dan menghayati kesemua kandungan ilmu yang terdapat di dalam entri-entri yang dipaparkan. Mudah-mudahan dengan cara ini akan memberikan kesedaran terhadap segala isu dan permasalahan yang dibangkitkan dalam usaha untuk memantap, memperkasa dan memperkukuhkan lagi kefahaman dan penghayatan ilmu aqidah keimanan mereka yang mungkin sukar dan merumitkan ini.
Adalah lebih dibarkati Allah andainya cebisan-cebisan dan cetusan ilmu yang disajikan ini dapat dimanfaatkan bersama keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan sesiapa juga yang memerlukannya. Golongan cerdik pandai dan para ilmuan Islam juga sewajarnya dapat meneliti isu yang dibangkitkan ini dan dimuzakarahkan dalam majlis-majlis ilmu atau dilakukan penelitian ilmu yang lebih mendalam dan ilmiah lagi dengan harapan terdapat jalan penyelesaian yang lebih konkrit dan efektif bagi mengatasi kemelut kefahaman ilmu agama yang melanda umat Islam sejagat sejak sekian lamanya sehingga kini.
Sekiranya perlu dan penting berilah komen membina terhadap segala isu yang dibicarakan dalam blog ini demi kebaikan dan kemanfaatan bersama. Mudah-mudahan segala usaha berterusan dan pengorbanan yang dihulurkan oleh semua pihak untuk menyelamatkan agama dan umat Islam dari kancah penyelewengan aqidah keimanan agama Islam dilimpahi rahmat dan dibarkati Allah sebagai satu "jihad ilmu" yang sentiasa dicucuri limpahan pahala ibadat yang berpanjangan hingga ke akhirat.
*************************************************
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya :
" Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan-mu Dia-lah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk."
[Al-Quran surah سورة النحل An-Nahl : 125 ]
*********************************** أنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ أَقْبَلَ ذَاتَ يَومٍ مِنَ العَالِيَةِ، حتَّى إذَا مَرَّ بمَسْجِدِ بَنِي مُعَاوِيَةَ دَخَلَ فَرَكَعَ فيه رَكْعَتَيْنِ، وَصَلَّيْنَا معهُ، وَدَعَا رَبَّهُ طَوِيلًا، ثُمَّ انْصَرَفَ إلَيْنَا، فَقالَ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: سَأَلْتُ رَبِّي ثَلَاثًا، فأعْطَانِي ثِنْتَيْنِ وَمَنَعَنِي وَاحِدَةً، سَأَلْتُ رَبِّي: أَنْ لا يُهْلِكَ أُمَّتي بالسَّنَةِ فأعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لا يُهْلِكَ أُمَّتي بالغَرَقِ فأعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لا يَجْعَلَ بَأْسَهُمْ بيْنَهُمْ فَمَنَعَنِيهَا
Maksudnya:
“Sa’ad bin Abi Waqash mengatakan, bahwa suatu hari Rasulullah s.a.w. tiba dari tempat yang tinggi. Ketika melewati masjid Bani Muawiyah, beliau masuk dan kemudian melakukan ibadat solat dua rakaat. Mereka pun solat bersama dan Nabi s.a.w yang memanjangkan doa kepada Allah lalu berpaling kepada mereka. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: 'Aku memohon tiga perkara kepada Allah, maka Allah memberiku (mangabulkan) dua perkara dan menolak satu perkara. Aku bermohon agar Dia tidak membinasakan umatku dengan kekurangan makanan yang menyeluruh, maka Dia mengabulkannya, tidak membinasakan mereka dengan ditenggelamkan ( seperti umat Nabi Noh a.s.), maka Dia mengabulkannya, dan tidak menimpakan permusuhan di antara mereka, maka Dia menolaknya'.” (HR Muslim).
*****************************
عَن اَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَدَأَ اْلِاسْلَامُ غَرِيْباً وَسَيَعُوْدُ كَمَا بَدَأَ غَرِيْباً فَطُوْبَى لِلغُرَبَاءِ
Maksudnya :
"Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 'Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing).Dan ia akan kembali dagang (asing). Maka berbahagialah (beruntunglah) orang yang bersama Islam ketika ianya dagang.'”[HR Muslim]
طُوبَى لِلْغُرَبَاءِ أُنَاسٌ صَالحُونَ في أنَاس سُوءٍ كَثِيرٍ مَنْ يَعْصِيهِمْ أكْثَرُ ممَّنْ يُطِيعُهُمْ
Maksudnya :
“Beruntunglah orang-orang yang asing (Al-Ghurabaa’). Orang-orang soleh yang sedikit di kalangan manusia yang ramai. Orang-orang yang menyelisihi mereka lebih ramai daripada orang-orang yang mengikut mereka.”
[Sahih. Riwayat Ibnu Mubarak dalam Al-Zuhd]
****************************
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan Abdullah bin ‘Amr ibnul ‘Ash, katanya: Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّـى إِذَا لَمْ يَبْقَ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama sehingga jika Allah tidak menyisakan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan.” [HR. Al-Bukhari dan Muslim ]
************************************
Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam bersabda:
وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ، كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksudnya :
" Sesungguhnya keutamaan orang yang berilmu di atas ahli ibadah bagaikan keutamaan bulan pada malam purnama di atas seluruh bintang-bintang, dan sungguh para ulama adalah pewaris nabi, dan sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanyalah mewariskan ilmu, maka siapa yang mengambilnya ia telah mengambil bahagian yang melimpah." [ HR Abu Daud dan At-Tirmizi dari Abu Ad-Darda' radhiyallahu'anhu ]
*******************************
أشد الناس عذابا يوم القيامة عالم لم ينفعه الله سبحانه بعلمه
Maksudnya :
"Manusia yang sangat menderita azab pada hari kiamat, ialah orang yang berilmu (orang alim), yang tidak diberi manfa'at oleh Allah S.W.T. dengan ilmunya."
[HR Ath-Thabrarani dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah ]
|
مخ الدعاء في الايمان تأليف الأستاذ الحاج محمد اسماعيل بن صالح (ماليزي)
|