Rabu, 7 September 2011

ADAKAH BENAR 'IMAM MAHDI' AKAN DIBANGKITKAN?

                


                بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تُنْجِينَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ اْلاَحْوَالِ وَاْلآفَاتِ وَتَقْضِى لَنَا بِهَامِنْ جَمِيعَ الْحَاجَاتِ وَتُطَهِّرُنَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ السَّيِّئَاتِ وَتَرْفَعُنَا بِهَا عِنْدَكَ اَعْلَى الدَّرَجَاتِ.وَتُبَلِّغُنَا بِهَا اَقْصَى الْغَايَاتِ مِنْ جَمِيعِ الْخَيْرَاتِ فِى الْحَيَاتِ وَبَعْدَ الْمَمَاتِ

 

 أَمَّا بَعْـدُ 
أَلا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ (62) الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (63) لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ لا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ  (64
                         Maksudnya : 
" Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. 
(Iaiatu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. 
Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar."
                      [Al-Quran surah سورة يونس‎‎  Yunus : 62-64 ]

                                            **************************************

                    وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

                               Maksudnya :
" Barangsiapa yang berpaling dari mengingat pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), Kami adakan baginya syaitan. Maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya." 
                      [Al-Quran surah سورة الزخرف Az-Zukhruf : 36 ]

                                               ***********************************
Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: 
فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا. فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ 
                           Maksudnya :
" Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahadiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan 'gigitlah'# ia dengan gerham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adaklan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan (dalam agama) itu adalah bid'ah dan setiap bid'ah itu adalah sesat."
(Maksud "....gigitlah ianya dengan gerham..." ialah berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah s.a.w dengan bersungguh-sungguh serta bersabar dengannya.)   
********************************  
وعند أبي داود زيادة: وَإِنَّهُ سَيَخْرُجُ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ         تَجَارَى بِهِمْ تِلْكَ الْأَهْوَاءُ كَمَا يَتَجَارَى الْكَلْبُ بِصَاحِبِهِ لَا   يَبْقَى مِنْهُ عِرْقٌ وَلَا مَفْصِلٌ إِلَّا دَخَلَهُ

                         Maksudnya :
"Dan sesungguhnya akan timbul dalam kalangan umatku beberapa puak yang dijalari/dijangkiti bahaya penyakit suka mengada-adakan bida'ah (sesat) sebagaimana menjalarinya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya - tidak ada satu urat atau sendi tubuhnya melainkan penyakit itu meresap masuk menjalarinya."
                         [ Hadis Rasulullah s.a.w. daripada Abu Daud]

                                                             ***********************************************************       
Di dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w ada menyatakan betapa akan tiba masanya kelak umatnya sudah berkembang biak begitu ramai di seluruh dunia tetapi lemah tidak mempunyai kekuatan untuk menangkis segala bencana kezaliman manusia dan pancaroba yang melanda :
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ 
              Maksudnya : 
 Rasulullah shallallahu ’alaih wa sallam bersabda :  
“Hampir tiba masanya kalian diperebutkan seperti sekumpulan pemangsa yang merebutkan makanannya. Maka seorang (sahabat)bertanya: 'Apakah kerana sedikitnya jumlah kita?'. 'Bahkan kalian banyak, namun kalian seperti buih mengapung di lautan. Dan Allah telah mencabut rasa gentar dari dada musuh kalian terhadap kalian. Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit "Al-Wahan".' Seorang (sahabat) bertanya: 'Ya Rasulullah, apakah "Al-Wahan" itu?' Nabi shallallahu ’alaih wa sallam bersabda: 'Cinta dunia dan takut akan kematian.' " [HR Abu Dawud ]
                                  Umat Islam pada akhir zaman seperti buih di lautan?
Terdapat juga beberapa Hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan pada setiap akhir kurun akan bangkit di kalangan umatnya yang berjihad menghidup dan meperbaiki/memperbetulkan (islah) agama Islam yang sudah dicemari dengan berbagai-bagai elemen yang merosakkan pola pemikiran dan amalan beragama di kalangan umat Islam. Antara Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang sering dirujuk dalam hal ini ialah seperti yang bermaksud :
i. Rasulullah s.a.w bersabda :"Akan sentiasa ada toifah di kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak dirosakkan oleh penentang mereka hingglah datangnya ketentuan Allah (Kiamat)." [HR Muslim].
ii. Sesungguhnya Allah mengu­tus pada umat ini di setiap awal 100 tahun seorang (mujad­did) yang akan memperbaharui urusan agama mereka. [HR Abu Daud]
Berdasar Hadis-hadis yang bersifat umum ini dan diperkuatkan lagi dengan banyak Hadis yang menyebut kebangkitan "Al-Mahdi" pada akhir zaman kelak untuk memimpin dan menyelamatkan umat Islam sejagat  sebelum turun Nabi Isa Alaihisalam, maka terlalu ramai umat Islam ternanti-nanti kemunculan dan kebangkiktan "Imam Mahdi" yang dijanjikan.
Persoalan mengenai dibangkitkan Imam Mahdi pada akhir zaman merupakan salah satu misteri yang menjadi isu kontroversi yang sering muncul di kalangan umat Islam sejak beberapa kurun yang lalu. Pengakuan-pengakuan atau persepsi terhadap dakwaan yang mengatakan seseorang itu sebagai 'Al-Mahdi' yang ditunggu-tunggu adalah salah satu polemik yang terus wujud sehingga kini. 

Sejarah merakamkan orang yang pertama mendakwa sebagai 'Al-Mahdi Muntadzar' ialah Al-Hariths bin Suraij ( meninggal pada 746 M) pada tahun 128 Hijriyah. Kemudian muncul pula seorang yang bernama Syeikh Ahmad Ahsaai yang menyebarkan ajaran-ajaran batiniyah dari puak Syiah yang mendakwa dirinya sebagai 'Al-Mahdi' pada tahun 1166 Hijriyah.

Selepas itu muncul lebih ramai lagi orang yang mendakwa dirinya sebagai 'Al-Mahdi' termasuklah Mirza Ghulam Ahmad ( 1835-1908 ) yang mengembangkan ajaran Ahmadiah atau di Malaysia lebih dikenali sebagai ajaran Qidyani di India.

                                       Image result for Mirza Ghulam Ahmad pengasas fahaman Qadiani
                                                  Mirza Ghulam Ahmad 

Kemudian muncul pula Muhammad Ahmad 'Al-Mahdi' ( 1884-1885) yang mengetuai pemberontakan 'Mahdiah' di Sudan pada tahun 1881.

                                       Image result for Muhammad Ahmad al-Mahdi dari Sudan
                                              Muhammad Ahmad 'Al-Mahadi '

Pada 20 November, 1979 bersamaan 1 Muharam, 1400 Hijriyah, dunia digemparkan dengan serangan 'menawan' Masjidil Haram, selama 14 hari oleh sekumpulan militan bersenjata api seramai 400-500 orang yang diketuai oleh Juhaiman ibn Muhamad ibn Sayf al-Qtaybi ( 1936-1980) yang membuat pengumuman bahawa abang iparnya bernama Muhammad Abdullah al-Qahtami adalah Imam al-Mahadi. Ramai yang terkorban dalam insiden berdarah tersebut dari kalangan pihak penyerang termasuk Muhammad Abdullah al-Qahtami (Imam Mahadi). 


                                                 
                                               Juhaiman bin Muhamad ibn Sayf al-Qtaybi

                 Antara para pengikut Juhaiman yang menyerang Masjidilharam,Makkah.

                                      Juhaiman sedang berucap depan Multazam Ka'abah , Baitullah.

Percaturan politik yang melanda Iraq pula menampilkan kebangkitan Muqtada Al-Sadar seorang tokoh dan ulama Syiah di Iraq mengetuai pergerakan tentera 'Al Mahdi' untuk "membebaskan" Iraq dan negara-negara Islam lain dari penguasaan "musuh-musuh" Islam. Demikian juga dengan kebangkitan pergerakan yang dikategorikan oleh banyak pihak sebagai golongan militan  'pelampau agama' yang  dinamakan Islamic State ( ISIS) di Iraq , Syria dan beberapa negara Islam lain yang dikatakan mempunyai 

Kebangkitan  pergerakan yang dikategorikan oleh banyak negara sebagai golongan militan "pelampau Islam" yang dinamakan Islamic State (ISIS) di Iraq dan Syria juga dikatakan mempunyai unsur-unsur "Al-Mahdi" yang ada disebut dalam beberapa Hadis Rasulullah. 

                      Image result for kebangkitan ISIS Di Iraq dan syria                                

Tindakan kejam kerajaan Zionis Israel terhadap umat Islam Palestine sejak tahun 1948 dan kemuncaknya pada 06 Oktober 2023 yang mengakibatkan ribuan penduduk dan umat Islam Palestine/Ghaza yang kebanyakan orang tua, wanita dan kanak-kanak terkorban, cedera dan hilang di bawah runtuhan bangunan-bangunan di Jalur Ghaza yang musnah di bom pesawat-pesawat pengebom tentera Israel serta berbagai kezaliman secara berterusan terhadap penduduk Palestine di samping impian rejim Zionis Israel hendak memusnahkan Masjidil al-Aqsa menguatkan lagi hujah atau kepercayaan sesetengah umat Islam bahawa sudah hampir masanya kebangkitan " Al Mahdi" yang dijanjikan. 


Di antara Hadis-hadis yang dikatakan sebagai tanda-tanda kebangkitan " Al Mahdi" ialah : 

i."Sabda Nabi s.a.w., "Al-Mahdi akan muncul setelah keluarnya Panji-panji Hitam dari sebelah Timur, pasukan ini tidak pernah kalah dengan pasukan mana pun." [Ibnu Majah] 
ii."Sabda Nabi s.a.w., "Panji-panji Hitam akan keluar dari arah Khurasan, dan sementara itu kawan-kawan al-Mahdi (pula) keluar menuju ke Baitulmaqdis."
iii.Sabda Nabis.a.w., "Jika kamu semua melihat Panji-panji Hitam datang dari arah Khurasan, maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah-tengah panji-panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk." Maksudnya ialah al-Mahdi. [Ibnu Majah, Abu Nuaim & al-Hakim].
Di Malaysia, pengakuan atau dakwaaan sebagai Imam Mahdi ini sering juga muncul di kalangan masyarakat Islam. Pada 16 Oktober, 1980 dahulu tampil 15 orang daripada satu kumpulan ajaran sesat yang dipimpin oleh Ahmad Nasir Ismail yang berasal dari Kemboja yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi  menyerang Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, Johor menyebabkan 23 orang polis dan orang awam cedera. Lapan orang daripada penyerang tersebut ditembak mati. 

                        Tragedi berdarah 16 Oktober, 1980 apabila Ibu Pejabat Balai Polis Batu Pahat diserang 15                                                                orang kumpulan 'Imam Mahdi'.

Pada tahun-tahun 1970-an memperlihatkan kebangkitan kesedaran baru di kalangan umat Islam di Malaysia dengan munculnya berbagai-bagai pertubuhan dan gerakan berorientasikan keislaman yang mempunyai agenda-agenda tertentu sama ada untuk mencorakkan pemikiran fundamentalisme generasi baru umat Islam atau bagi maksud menyebarkan fahaman-fahaman mistik keagamaan yang sebelum ini hanya bergerak bersendirian tanpa diketahui umum.   
Perkembangan hebat gerakan Al-Arqam yang mendakwa dan beridentitikan golongan al-sufi dan mengamalkan tareqat Aurad Muhammadiah mencetuskan berbagai-bagai kontroversi dan implikasi apabila Ashaari Muhammad ( 1937-2010) mendakwa bahawa Imam Mahdi yang dijanjikan ialah Syeikh Al-Saiyid Muhammad bin Abdullah Al-Suhaimi yang dikatakan 'ghaib' di Kelang pada tahun 1925, walaupun jasadnya sudah mati dan dikuburkan di tanah perkuburan Islam Kelang. Beliau mendakwa sifat-sifat serta keturunan Syeikh Suhaimi sama seperti 'Al-Imam Mahdi' yang disebut dalam Hadis. Tambahan terdapat pula dakwaan yang mengatakan bahawa 'Imam Mahdi' yang akan muncul kelak adalah dari sebuah negara di Timur.

                                       Image result for ashaari muhammad al arqam
                                               Ashaari Muhammad 

Syeikh Suhaimi dikatakan 'sedang bersiap-siap' untuk muncul semula di alam nyata dan salah satu tanda-tanda kemunculannya yang semakin hampir ialah ramai 'orang ghaib' menghampiri murid-muridnya untuk menjaga dan memberi pertolongan dengan syarat mereka kuat beramal dengan wirid-wirid tareqat Aurad Muhammadiah. Syeikh Suhaimi juga didakwa sebagai 'Wali Allah' bermartabat 'Qutub Al-Aulia' yang 'ghaib' dan mempunyai berbagai karamah dan berjumpa Rasulullah s.a.w. di dalam Ka'abah Baitullah di Masjidil Haram, Mekah dalam keadaan jaga yang mengijazahkan sendiri Aurad Muhammadiah tersebut.

Apabila Syeikh Suhaimi yang dinantikan 'tidak muncul-muncul' di alam nyata dan pengaruhnya semakin meluas di seluruh Malaysia dan negara-negara serantau, Ashaari menggelarkan pula dirinya sebagai Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi. Penggunaan gelaran At-Tamimi konon berpandukan alamat-alamat kebatinan alam mistik tareqat Aurad Muhammadiah yang mengatakan 'Imam Mahadiyang akan muncul kelak adalah dari keturunan Bani Tamim yang mempunyai titisan pertalian silsilah keluarga terus dengan Rasulullah s.a.w.

Melalui 'petunjuk' dan isyarat kebatinan alam mistik juga dia mendakwa dirinya adalah daripada titisan benih keluarga Bani Tamim. Ini bererti dialah yang sebenarnya ' Imam Mahdi' yang ditunggu-tunggu!. Apabila meninggal dunia pada bulan Mei, tahun 2010 dahulu pengikut-pengikut taksub mendakwa kononnya Ashaari Muhamad sebenarnya 'ghaib' sahaja (walaupun yang dikebumikan itu adalah mayat jasadnya yang sebenar) daripada pemandangan mata manusia. Mereka mendakwa roh Ashaari sekarang  mengetuai 'Majlis Wali-wali' yang kerap berhimpun dalam persidangan "Parlimen Roh" di Makkah dan akan muncul semula di alam nyata menjadi pembantu Syeikh As Suhaimi yang akan muncul semula di alam nyata sebagai 'Imam Mahdi' untuk memimpin umat Islam memerintah dunia! 

Buat sementara waktu tugas kepemimpinan Al-Arqam dan penyebaran Aurad Muhammadiah dikendalikan oleh isteri beliau, Hatijah Am atau lebih dikenali dengan panggilan Ummu Jah (meninggal dunia pada 22 Oktober 2015 di Alor Setar, Kedah). Jelasnya walaupun pertubuhan Al-Arqam yang menyebarkan ajaran sesat tareqat Aurad Muhammadiah sudah diharamkan oleh Majlis Fatwa setiap negeri di Malaysia pada tahun 1994 tetapi masih ramai pengikut taksubnya terus bergerak secara sulit dalam berbagai aktiviti sosial dan perniagaan dengan agenda tersendiri dan menukar identiti zahir yang berbeza dengan Al Arqam. Di bawah kepimpinan Hatijah Am mereka bergerak bertopengkan perniagaan yang dinamakan Rufaqa. Setelah Rufaqa diharamkan  mereka menubuhkan pula syarikat Global Ikhwan Services & Business Holdings Sdn Bhd (GIBH) yang menjalankan berbagai jenis perniagaan khususnya Pasaraya Ikhwan mengusahakan berbagai produk pemakanan dan industri kecil serta berbagai perkhidmatan yang dikatakan berdaya maju.    Misi utama mereka adalah untuk 'menguasai dunia' di bawah 'kepemimpinan agung yang mursyid', Abuya Syeikh Al Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi, yang akan muncul semula ke alam nyata sebagai pembantu  'IMAM MAHDI'  yang ditunggu-tunggu. 


Mereka mendakwa kononnya walaupun jasad Ashari Muhamad sudah lama 'ghaib' meninggal dunia dan dikebumikan di tanah perkuburan Kg Pilin, Rembau di Negeri Sembilan tetapi rohnya masih bersama isterinya Ummu Jah secara 'yaqazah' mengeluarkan arahan dan berhubung terus dengan Nabi Muhammad s.a.w. Beliau mendakwa konon roh Ashari Muhamad, Muhammad Abdullah As-Suhaimi [pengasas Tareqat Aurad Muhammadiah] dan Nabi Muhammad s.a.w beristrahat bersama dalam Ka'abah Baitullah di Masjidil Haram, Makkah.


      Antara kandungan zikir Tareqat Aurad Muhammadiah yang telah diharamkan pada tahun 1994. Perhatikan kalimah: "....Sayidi al Syeikh Muhammad al Suhaimi al Imam al Mahdi Rahimahullah.." 

 http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/11921


Segala prasangka, persepsi dan dakwaan sebagai 'Imam Mahdi' ini berpunca daripada beberapa Hadis Rasullullah s.a.w. yang ada menyebut 'Al-Mahdi' tetapi Hadis-hadis ini bersifat umum yang tidak menegaskan/menetapkan dengan pasti dan secara khusus mengenai siapakah sebenarnya "Al-Mahdi" dan zaman kebangkitannya. Di antara Hadis-hadis ini adalah seperti yang rumusannya bermaksud: 
i.   Aku telah mendengar Rasullullah s.a.w.  bersabda, 'Al-Mahdi' itu dari keturunan anak cucu Fatimah.
ii.  Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya : Aku mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda : Sentiasa ada di kalangan umat ku golongan  yang berperang di atas kebenaran, mereka sentiasa zahir sehingga Hari Kiamat. Sabdanya lagi : Kemudian turun Isa bin Mariam a.s. dan berkata pemimpin mereka (Al-Mahdi ) : Silalah bersembahyang menjadi Imam bagi kami. Nabi Isa menjawab : Tidak, bahawa sebahagian kamu sebagai kemuliaan Allah ke atas umat ini. 
iii.   Dari Abu Sa'id al Khadri r.a. yang berkata, telah bersabda Rasullullah s.a.w. : Aku membawa berita gembira kepada kamu tentang 'Al-Mahdi' yang bangkit di tengah-tengah pertikaian manusia dan kekacauan, lalu ia memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama sebagaimana bumi itu dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Ia diredai oleh penduduk langit dan bumi.
Boleh dikatakan kesemua mereka yang mendakwa atau didakwa sebagai 'Imam Mahdi' adalah dari golongan yang menagamalkan ajaran-ajaran mistik kesufian batiniyah atau mereka yang terkeluar dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka mempunyai imej dan identiti tertentu yang menggunakan pakaian-pakaian dan penampilan wajah yang kononnya bercirikan identiti golongan al-sufi dan imej ulamak tersohor pada zaman keagungan 'daulah' keislaman dahulu.

Apabila kumpulan pergerakan ini bertambah ramai dan pengaruhnya semakin meluas hingga melibatkan berbagai golongan masyarakat yang bukan sahaja terdiri daripada orang kebanyakan bahkan turut membabitkan pelbagai bidang golongan ahli profesional dan kepemimpinan parti politik termasuk yang dikenali sebagai ulamak atau agamawan mereka akan bertindak lebih terbuka dan lantang bertujuan untuk memerintah negara hingga berani mencetuskan tindakan tertentu yang kadangkala begitu agresif hingga membawa pertumpahan darah. Apabila keadaan ini berlaku barulah pihak berkuasa mengambil tindakan tegas yang sewajarnya. Namun fahaman atau doktrin sesat yang 'extreme' yang terkeluar daripada pegangan iktiqad keimanan yang hak masih berkekalan sama pada dalam minda atau amalan kebatinan diri masing-masing yang sukar dikesan.

Sebagai orang Islam yang berpegang teguh kepada iktiqad keimanan Ahli Sunnah Wal Jamaah kita sewajarnya membuat penilaian  terhadap kebenaran pegangan iktiqad keimanan seseorang itu berdasarkan ilmu yang hak sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran, Sunnah serta kitab-kitab agama muktabar hasil karya para ulamak Ahli Sunnah tersohor di dunia. Mereka juga mempunyai sifat-sifat mahmudah yang amat terpuji di sisi Allah  dan tidak sesekali memiliki sebarang sifat dan watak mazmumah yang keji di sisi Allah sebagaimana yang termaklum.  

Seharusnya kita  tidak sesekali menilai kebenaran seseorang yang menyampaikan seruan keimanan dan agama yang hak itu berteraskan sentimen politik tertentu atau pada identiti zahirnya sahaja. Sewajarnya kita amat peka dalam hal ini  kerana sebagaimana yang kita sedia maklum syaitan sentiasa berusaha untuk menipu umat manusia lebih-lebih lagi orang yang jahil tetapi mengaku sudah beriman. 

Peringatan Allah melalui wahyu-Nya di dalam al-Quran sewajarnya menjadi pedoman serta ingatan  yang antaranya sebagaimana yang terkandung di dalam surah سورة البقرة Al-Baqarah :
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ 
      Maksudnya :

i." Di anatara manusia ada yang mengatakan : 'Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman'." [ Ayat 8]
يُخٰدِعُوۡنَ اللّٰهَ وَالَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡا ​ۚ وَمَا يَخۡدَعُوۡنَ اِلَّاۤ اَنۡفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُوۡنَؕ‏ 

                  Maksudnya : 

ii."  Mereka handak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, pada hal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar." [Ayat 9 ]

وَاِذَا لَقُوۡا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡا قَالُوۡاۤ اٰمَنَّا ۖۚ وَاِذَا خَلَوۡا اِلٰى شَيٰطِيۡنِهِمۡۙ قَالُوۡاۤ اِنَّا مَعَكُمۡۙ اِنَّمَا نَحۡنُ مُسۡتَهۡزِءُوۡنَ‏

       Maksudnya :
iii."Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: 'Kami telah beriman'. Dan apabila mereka kembali kepada 'syaitan-syaitan' mereka, mereka berkata pula: 'Sesungguhnya kami tetap sependirian dengan kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok sahaja (akan orang-orang yang beriman)'." [ Ayat 14 ]


Kita tidak sewajarnya menunggu-nunggu atau ternanti-nanti kelahiran 'Imam Mahdi' untuk menentukan iktiqad keimanan mereka sekarang sama ada berada di atas landasan yang benar lagi hak atau salah/batil. Sekiranya terdapat orang yang mengaku, didakwa dan mendakwa dirinya sebagai 'Imam Mahdi' kita sewajarnya berwaspada, berhati-hati dan melakukan semakan teliti dengan bertanyakan persoalan-persoalan ilmu atau yang berkaitan dengan pegangan iktiqad agama khususnya dalam bab akidah keimanan dan bukan lebih memberi fokus terhadap  persoalan ketrampilan kepemimpinan politik untuk memerintah dunia.

Al-Imam Al-Mahdi  boleh diertikan sebagai pemimpin agama dan ulama yang memberi pertunjuk ke jalan kebenaran sebagaimana para Nabi yang dibangkit sebagai Rasul Allah. Ini bererti sesiapa juga yang didakwa atau dianggap sebagai 'Imam Mahdi' sewajarnya mempunyai kualiti akhlak mahmudah terpuji dalam semua aspek keperibadian dan sahsiah peribadinya sebagai insan mukmin yang soleh, tahap keilmuan yang amat luas lagi mendalam, memberi kepimpinan keilmuan kepada umat, mencintai dan mengutamakan Allah, Rasululullah s.a.w. dan Hari Akhirat serta tidak mempunyai sebarang sifat mazmumah yang keji di sisi Allah pada dirinya. Jangan sesekali menilai kebenaran seseorang ilmuan agama itu hanya berdasarkan kepada jumlah orang yang mengikutnya atau sesuatu hal yang dianggap atau dikatakan mempunyai ciri-ciri mukjizat kenabian atau karamah aulia. 

Sesiapa juga yang mendakwa dirinya atau dianggap sebagai 'Imam Mahdi' sewajarnya mempunyai sahsiah dan sifat-sifat 'ulama-ulama mujtahid' ternama yang pernah wujud pada zaman tabi'en, tabi'en-tabi'en serta para ulamak mujtahid Ahli Sunnah tersohor dahulu sebagai pewaris Nabi. Mesej terpenting yang sewajarnya diutamakan oleh 'Al-Imam Al-Mahdi' adalah persoalan memperbetul, memperkukuh dan menegakkan ilmu yang berkaitan dengan Rukun Iman yang enam (6) perkara serta memberi petunjuk kebenaran dalam usaha mengatasi segala fitnah ilmu agama yang menular dan menjadi fitnah besar agama  di kalangan umat Islam. 

Amalan-amalan berbentuk zikirullah atau perjalanan hidup seseorang  yang boleh dikategorikan sebagai zuhud 'kesufian' hendaklah berteraskan hukum syarak yang hak. Ertinya seseorang yang membuat penilaian terhadap seseorang yang pada zahirnya adalah seorang insan mukmin soleh itu hendaklah mempunyai ilmu yang mendalam lagi meluas khususnya mengenai hal yang berkaitan dengan Ilmu at-Tauhid dan Tasawwuf Ahli Sunnah yang hak.
 
Hanya dengan cara ini umat dapat berdiri di atas landasan yang jelas lagi benar dan kukuh dalam penghayatan mereka terhadap agama Islam yang akhirnya menjadikan mereka umat yang bertaqwa, beriman, reda, sabar dan mencintai Allah, Rasulullah s.a.w. dan Hari Akhirat mengatasi kecintaan mereka terhadap duniawi.

Orang-orang awam tidak sewajarnya mudah terpedaya, terpesona atau apa tah lagi terpengaruh dengan sebarang dakwaan atau tanggapan bahawa si polan itu 'Imam Mahdi',  kerana jumlah pengikutnya yang begitu besar, sifat-sifat karismatik kepemimpinan politik yang luar biasa hingga boleh menarik dan memukau ribuan atau jutaan manusia dan ukuran lahiriah lain. Orang awam hendaklah memberikan tumpuan terhadap intipati pegangan dan pemahaman ilmu yang dimilikinya khususnya segala hal yang berkaitan dengan akidah keimanan melalui tutur katanya, perbuatannya dan karya-karya penulisan yang dihasilkannya.

Dalam konteks ini kita sewajarnya mengambil iktibar dan kefahaman daripada Firman Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 77 yang menjelaskan betapa seorang Rasul Besar dan Nabi Allah yang maksum lagi mulia di sisi Allah iaitu Nabi Musa dan Nabi Khidzir Alahimussalam tidak dikenali dan dipedulikan langsung oleh umat manusia apabila mereka berada di sebuah negeri :
فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ يَنْقَضَّ فَأَقَامَهُ قَالَ لَوْ شِئْتَ لاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا 
                Maksudnya :
" Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu (makan) kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka (Khidzir) menegakkan dinding itu. Musa berkata : ' Jikalau kamu mahu, nescaya kamu mengambil upah untuk itu'. "
Penilaian kebenaran sesuatu pemahaman ilmu agama yang diajar dan dikembangkan oleh seseorang yang diberikan sesuatu gelaran istimewa adalah diukur berdasarkan kepada sejauh mana kebenaran ilmu yang disampaikan dan bukan hanya dinilai dari aspek jumlah pengikut dan populariti orang berkenaan sahaja. Hal ini ada diperingatkan Allah di dalam al-Quran سورة الأنعام surah Al-An’am, ayat 116:
 وَاِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِاللهِ اِنْ يَتَّبِعُونَ  إِلَّا  الظَّنَ وَإِنْ هُمْ إِلَّايَخْرُصُوْنَ 
                           Maksudnya :
“Dan apabila kamu mentaati/menuruti kebanyakan orang di muka  bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan (agama) Allah, tidak mereka mengikuti kecuali (hanya) persangkaan belaka, dan mereka  tidak lain kecuali (hanya) berbohong (berdusta).”
Ayat ini memperingatkan kita supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada apabila bertembung dengan golongan manusia yang dimaksudkan. Ertinya kita sewajarnya mempunyai asas ilmu yang kukuh bagi mengelakkan diri daripada terperangkap dengan tipu daya manusia seperti ini yang sentiasa muncul pada setiap zaman.

Jika sekiranya kita disuakan persoalan mengenai 'Imam Mahdi' atau dipertemukan dengan seorang yang mengaku atau didakwa sebagai 'Imam Mahdi' yang dijanjikan, contoh-contoh soalan seperti berikut atau soalan-soalan lain yang seumpama dengannya  wajar digunakan untuk menilai dan mengukur seseorang yang mendakwa atau mengaku dirinya sebagai 'Imam Mahdi':
1. Dalam Hadis sahih  dari Abu Hurairah r.a. ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
“إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا”
           Maksudnya :  
Sesungguhnya Allah akan mengutus (menghadirkan) bagi umat ini (umat Islam) orang yang akan memperbaharui (menghidupkan kembali urusan) agama mereka pada setiap akhir seratus (100) tahun.
Berpandukan Hadis ini umat Islam dihidupkan urusan agama mereka yang berhadapan dengan berbagai-bagai masalah dan kekeliruan beragama di bawah bimbingan ulama-ulama mujtahid mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah seperti termaklum yang terpaksa berhadapan pula dengan berbagai-bagai kefahaman agama yang menyimpang dari pengajaran al-Quran dan Sunnah yang hak. Justeru mazhab apakah yang dipegang oleh orang yang mendakwa atau didakwa sebagai Imam Mahdi itu? Adakah dia berpegang kepada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali? Sekiranya dia mengaku berpegang kepada salah satu daripada mazhab tersebut adakah dia lebih alim jika diukur dan dibandingkan dengan ilmu agama  ke empat-empat imam mujtahid mazhab tersebut? 
Sekiranya dia memperakukan bahawa imam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang empat itu lebih alim maka dia tidak layak untuk memimpin umat. Maka memadailah dengan segala ilmu pengetahuan agama yang disampaikan oleh ke empat-empat imam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah tersebut sebagai pegangan kita. Sekiranya dia tidak berpegang pada mana-mana mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang empat dan hanya berpegang kepada al-Quran dan Hadis bersandarkan pemahaman mereka sahaja bererti dia membatalkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak dan kita tidak perlu dan tidak wajar percaya, bertaqlid dan mengikutinya. 
Jika dia mendakwa tidak berpegang kepada mana-mana mazhab Ahli Sunnah yang termaklum dan hanya berpegang kepda hukum-hakam yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah/Hadis sahaja , maka dia hendaklah menjelaskan dan menyusun segala peraturan hukum-hakam, rukun dan kaifiat melakukan setiap ibadat yang difardukan mengikut hukum syarak bagi menentukan sah atau batalnya. Jika dia gagal melakukannya, maka tidak ada keperluan bagi kita mempercayai dan mengikuti atau bertaqlid kepada ajaran dan pemahaman agamanya.
2.  Asas pegangan iktiqad keimanan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah sebagaimana yang terkandung di dalam: Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Syahdah At Tauhid dan Syahdah Al Rasul yang tertera di dalam kitab Ihya' Ulumuddin dan Asma' Ullah Al Husna.  Apakah pegangan iktiqad keimanan orang yang mengaku atau didakwa sebagai 'Imam Mahadi' tersebut ?.   
Sekiranya dia mengatakan pegangan iktiqad keimanannya adalah sehaluan atau menyamai dengan apa yang terkandung dengan pegangan aqidah Ahli Sunnah tersebut, maka kandungan ilmu yang diperjelaskan di dalam kitab tersebut sudah cukup memadai untuk dijadikan tapak pegangan iktiqad keimanan kita. Maka kita tidak sewjarnya taksub kepada dia seorang sahaja.
Sekiranya pegangan iktiqad keimanannya berlainan atau bercanggah dengan apa yang terkandung di dalam kitab Ihya Ulumuddin, kita tidak sewajarnya mengikut dan bersandarkan ilmu kepada orang yang mengaku atau didakwa sebagai 'Imam Mahdi' ini kerana dia bukan dari kalangan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
3.  Mengikut pegangan iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak yang bersandarkan kepada Hadis Rasulullah s.a.w.; selepas wafat Rasullullah s.a.w. martabat kemuliaan manusia  di sisi Allah ialah Khulafa' Rasyideen iaitu mengikut keutamaan martabatnya:  
       i)   Abu Bakar, ii)  Umar, iii) Uthman  iv)  Ali r.a. 
Saidina Ali bin Abi Talib Radhiallahuan adalah salah seorang sahabat besar Rasullullah s.a.w. yang sangat luas lagi mendalam  ilmu pengetahuan agamanya. Ada riwayat yang menceritakan sekiranya dia mentafsirkan al-Quran surah Al-Fatihah, hasil kitab karangannya boleh dimuatkan ke atas 70 ekor keledai untuk membawanya. 
Bagaimanakah ketinggian martabat dan kemuliaan 'Al-Mahdi' yang didakwa ini dan apakah seruan agama Islam yang hendak disampaikannya? Adakah dia berkemampuan menghasilkan karya-karya keilmuan agama berkualiti tinggi yang amat luas lagi mendalam lagi sahih benar bahasannya yang mampu membimbing umat dan melakukan ibadat seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a., Khulafa' Rasydeen atau ulama'-ulama' mujtahid Ahli Sunnah termasyhur di dunia seperti yang kita semua sedia maklum? 
Sekiranya dia tidak mempunyai ketinggian martabat dan mempunyai nilai kualiti keilmuan dan amalan ibadat yang setanding, setaraf atau lebih baik daripada Khulafa' Rasydeen atau ulama'-ulama' mujtahid Ahli Sunnah termasyhur, maka dia tidak layak menjadi 'Al-Mahdi' untuk memimpin umat.
4.  Dalam Hadis Rasulullah s.a.w. ada menyebut yang intipatinya bermaksud bahawa Allah membangkitkan 'Aulia Allah' sebagai 'Autad Al- Ardh'(اوتاد الارض)[paku alam] yang berjumlah seramai 40 orang.  Apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia maka dia akan digantikan pula dengan orang lain yang setaraf dengannya. Adakah orang yang mengaku dan didakwa  sebagai 'Al-Mahdi' ini termasuk sebagai salah seorang daripada mereka? 
Sekiranya dia termasuk sebagai salah seorang daripada 'Aulia Autad Al-Ardh' (اوتاد الارضtersebut maka ramai lagi yang lain dan kita tidak ada keperluan bagi memberi fokus atau taksub hanya kepada seorang sahaja. Sekiranya dia mengaku atau mendakwa yang dirinya adalah ketua Aulia Autad, maka Nabi Khidzir Alaihisalam adalah ketuanya. Jika dia tidak termasuk dalam golongan 'Aulia Allah' sebagai 'Autad Al-Ardh' (اوتاد الارضmaka dia tidak layak menjadi 'Al-Mahdi' untuk memberi pertunjuk kebenaran beragama dan memimpin umat dan agama Islam.
5.  Sekiranya 'Al-Mahdi' yang dimaksudkan di dalam Hadis adalah Nabi Isa al Maseh a.s. yang belum wafat dan berada di langit kedua yang ditemui Nabi Muhammad s.a.w. pada malam Isra' dan Mikraj maka kita tunggu sahajalah ketibaannya kelak. Namun dalam pada itu kita tidak wajar tertunggu-tunggu kemunculannya yang tidak ada sesiapa pun di kalangan umat manusia yang mengetahui saat dan ketikanya dia turun ke bumi hingga melupakan tanggungjawab kita mempelajari, memahami dan menghayati ilmu-ilmu agama Islam yang difardukan.
6.  Apkah pegangan dan pendirian orang yang mengaku atau didakwa sebagai 'Imam Mahdi' ini terhadap pengajaran ilmu yang terkandung di dalam kitab-kitab sesat seperti Ad-Durrun-Nafis yang beriktiqadkan bahawa Nuur Muhammad daripada Zat Allah? 
Sekiranya dia menyokong dan berpegang dengan fahaman yang sama seperti yang terkandung di dalam kitab sesat tersebut, maka kita tidak sewajarnya memberi kepercayaan dan sokongan kepadanya kerana pegangan pemahaman aqidah keimanannya adalah bertentangan sama sekali dengan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak.
7.  Jika terdapat sebarang dakwaan bahawa 'Imam Al-Mahdi' itu namanya Muhammad bin Abdullah dan datuknya serupa serta anaknya serupa dengan anak-anak Nabi Muhammad s.a.w. dan akan bangkit berkhutbah di Masjidil Haram, Makkah, maka jelaslah dustanya. Jika seseorang itu namanya Muhammad bin Abdullah dan anaknya serupa dengan anak Nabi Muhammad s.a.w. maka iktiqad ini samalah seperti fahaman orang-orang kafirin yang mempercayai konsep 'incarnation'  yang mengaku kononnya roh Nabi Muhammad s.a.w. masuk ke dalam badan seseorang hingga mendakwa nama dan dirinya serupa dengan Nabi Muhammad. Dalam pada itu sesiapa juga boleh memberikan nama yang sama dengan nama Rasulullah s.a.w. yang boleh lahir pada setiap zaman.
 [ ***Makluman : Sila baca, fahami dan buat perbandingan kandungan maklumat yang dipaparkan di dalam :Tingkatan Otak Manusia dan Akhlak Mukmin untuk memberikan penilaian dan ukuran akhlak dan hala tuju perjuangan 'agama' yang cuba disebarluas dan diwarwarkan oleh orang yang mengaku atau mendakwa atau dianggap sebagai Imam 'Al-Mahdi'.] 

Sehingga kini belum lagi ketara keterampilaan para pemimpin dari kalangan umat Islam khususnya di kalangan mereka yang 'memperjuangkan Islam' mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat sebagai pewaris Nabi seperti yang dimaksudkan di dalam Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.. Kebanyakan golongan yang muncul hanya berorientasikan atau di atas platform sentimen politik untuk menguasai pemerintahan dan memperolehi kemewaahan dunia.

Kemunculan seseorang atau golongan yang mengaku sebagai Imam Mahdi, Nabi, Rasul, Autad Al-Ardh dan sebagainya tidak menghairankan kerana tidak lama selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. pun ada orang yang mengaku kononnya menerima wahyu sebagai "Nabi" dan mengingkari segala perintah Khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Manusia seperti ini akan terus muncul pada setiap zaman yang kesemuanya berorientasikan duniawi dan menjadikan orang jahil sebagai mangsa. Golongan ini jugalah yang mungkin dimaksudkan/dikategorikan sesetengah pihak sebagai golongan "pelampau agama" yang menggunakan/menunggang agama sebagai topeng 'perjuangan' untuk meraih keuntungan besar dalam urusan duniawi. 

Persoalan keilmuan khususnya yang berkaitan dengan akidah keimanan dan lebih-lebih lagi hal-hal mengenai akhirat disentuh sepintas lalu sahaja atau tidak disentuh langsung dalam program dan agenda agama menyebabkan kerosakan akidah keimanan umat Islam berleluasa seperti ribut taufan besar melanda ke setiap ceruk rantau di seluruh dunia. 

Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w memberikan peringtan, panduan dan ciri-ciri tentang jati diri para ulamak sebagai pewaris Nabi :

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إن الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ، إِنَّ اْلأَنْبِياَءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْناَرًا وَلاَ دِرْهَماً إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

              Maksudnya :

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu, maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bahagian yang banyak.” [Hadits diriwayatkan Al-Imam At-Tirmidzi ]

Justeru sebagai pewaris Nabi sesiapa juga yang didakwa atau mendakwa sebagai 'Imam Mahdi' sewajarnya dia adalah seorang yang cukup alim  mengutamakan penghayatan Ilmu At-Tawhid, penghayatan ilmu berkaitan dengan Rukun Iman yang 6 perkara, mencintai kehidupan di akhirat dan mempunyai akhlak mahmudah terpuji di sisi Allah seperti Nabi, para sahabat dan para ulama mujtahid kerana matlamat utama perjalanan hidup setiap orang yang beriman adalah untuk mendapat keredaan Allah dan limpahan rahmat-rahmatNya supaya terhindar daripada azab seksa api neraka dan memasuki syurga bersama-sama golongan insan mukmin yang soleh. 

Firman Allah  dalam al-Quran surah  سورة آل عمران Ali-'Imran ayat 144 ada menjelaskan :
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ
                      Maksudnya :
" [Nabi] Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh patutkah kamu berbalik ke belakang [murtad?]. Barangsiapa yang berbalik ke belakang maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Dan sebaliknya Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur [akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu]."

Berdasarkan penjelasan ringkas yang dipaparkan ini setiap umat Islam yang berpegang kepada iktiqad Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak hendaklah menjauhkan diri dan sentiasa berwaspada terhadap golongan atau seseorang individu yang didakwa, mendakwa atau mengaku dirinya sebagai 'Imam Mahdi'. Pegangan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah jelas lagi sahih kebenarannya yang tidak diragu-ragukan lagi. Adalah tidak sesekali wajar serta rasional hingga kita sebagai orang yang beriman menunggu-menunggu atau tercari-cari pula kelahiran seorang alim 'maksum' yang didakwa sebagai 'Al-Mahdi' yang dijanjikan tetapi tidak dikenali dan diketahui asal usulnya yang belum pasti dapat memberi pertunjuk ke jalan yang benar dan diredai Allah untuk kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat yang kekal abadi.

Wallahu'alam.





 [Lihat : 



****************************************************
 ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ 

                Maksudnya :

" .......Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku redai Islam itu menjadi agama bagimu......" 

                   [ Al-Quran surah سورة المائدة Al-Maa-idah : 03 ]

                                        **********************

عَنْ أَبِي سَعِيْد الْخُدْرِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
(رواه مسل                                    
           Maksudnya :
"Dari Abu Sa’id Al Khudri radiallahuanhu berkata : Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : 'Siapa yang melihat kemungkaran maka rubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka rubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman'."[Riwayat Muslim]
                          **********************

Nabi s.a.w. bersabda :

خَيْرُ أُمَّتِى الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِىءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ

                Maksudnya : 

" Sebaik-baik umatku adalah yang kurun ketika mereka menyertai aku , kemudian orang yang datang selepas mereka, kemudian orang yang datang selepas mereka. Kemudian akan datang satu golongan yang mendahulukan penyaksian daripada sumpah dan menjadikan sumpahnya sebagai penyaksian (isyarat kepada banyaknya penyaksian dan sumpah yang palsu)." [ HR Muslim]
                   ******************************  

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ فَلَنِعْمَ الْاَمِيرُ اَمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

                    Maksudnya :

“Constantinople bakal dibuka. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.”

                           [HR Ahmad]


Kota Constantinople telah dibangunkan semula oleh Maharaja Constatinus Yang Agung  pada 330 TM di atas kota Byzantium yang menjadi ibu kota Empayar Rom Timur. Apabila sistem pemerintahan Islam semakin berkembang dan meluas terdapat usaha untuk menakluk kota ini sejak zaman pemerintahan Khulafa Rasydeen tetapi gagal. Akhirnya kota yang dianggap kebal ini berjaya ditakluk oleh Sultan Muhammad al Fateh pada 29 Mei, 1443 apabila beliau dilantik sebagai Khalifah Uthmaniah ke 7 ketika baru berusia 21 tahun. Beliau  mengetuai kekuatan bala tentera sekitar 300,000 orang yang cukup terlatih dengan menggunakan berbagai tatik peperangan dan persenjataan di darat dan laut di samping kebijaksanaan kepemimpinan beliau berteraskan Islam dan ketaqwaan. Selepas itu Kota Constantinople ditukar namanya kepada Kota Istanbul yang berkekalan hingga kini.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BILAKAH KIAMAT DUNIA AKAN BERLAKU ?

  بِسْمِ  ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَ...