Isnin, 22 Ogos 2011

JIRIM, JISIM, JAUHAR dan 'ARADH



                                                                بسم الله الرحمن الرحيم                 
 فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَالُهُمْ وَلَاأَوْلَادُهُمْ إِنَّمَا يُرِيْدُ اللهُ لِيُعَذَّبَهُمْ بِهَا فِي الحَيوةِ الدُّنْيَا وَتَـزْهَـقَ أَنْفُسُهُمْ وَهُمْ كَـــفـِرُوْنَ. 
“ Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka itu menakjubkan engkau. Sesungguhnya Allah mengkehendaki dengan (memberi) harta benda dan anak-anak itu untuk menyeksa mereka dengannya dalam kehidupan di dunia dan kelak ketika keluar roh mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir."
    [Maksud al-Quran surah At-Taubah : 55. Maksud yang hampir sama  terdapat juga pada ayat 85 ]


 وإذ قال لقمان لابنه وهو يعظه يبنى لا تشرك بالله ان الشرك لظلم عظيم 

“Dan ketika Luqman berkata kepada puteranya dan dia menasihatinya (memberikan mau-ezah, peringatan), wahai anakku, janganlah kamu mensyirikkan (menyekutukan) Allah, sesungguhnya (perbuatan) mempersekutukan Allah itu adalah suatu kezaliman yang besar.”
  [ Maksud al-Quran surah Loqman : 13]

Di dalam Ilmu Tawhid ada menyebut ayat al-Quran berbunyi :

                        لَيْسَ كَمِثْـلِهِ شَئٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ البَصِيرُ
                   [LAISA KAMITHLIHI SYAI'UN WA HUAS-SAMI'UL BASIR ]

yang boleh di ertikan bahawa: 
"......Allah SWT itu tiada seperti seumpama "sesuatu" apa pun dan Ia Amat Mendengar lagi Amat Melihat."
      [Maksud al-Quran surah Asy-Syuura: 11 ]

Jika dibaca sepintas lalu pengertian ayat ini mungkin akan menerbitkan berbagai-bagai lintasan dan pertanyaan di dalam hati yang mungkin akan berkata bahawa Allah SWT itu begini, begini, begini dan ...rupanya begini atau bermacam-macam sangkaan yang terbit di hati dan pemikiran di kalangan orang yang jahil Ilmu Tawhid atau tidak mengambil berat terhadap ilmu pengenalan terhadap Allah.


Mungkin akan terdapat juga 'fatwa', perngajaran atau tanggapan yang mengatakan Allah itu ada berupa, "Bersemayam Atas Arasy mengikut kehendak yang layak bagi-Nya..," dan bermacam-macam fatwa atau adaian lagi. Orang-orang awam yang jahil atau tidak mengambil berat mengenainya akan terus percaya juga dengan kata-kata begini tanpa banyak pertanyaan atau tidak tahu apa kemusykilan yang hendak dipersoalkan. 


Demikian juga sekiranya terdapat seribu orang yang memberi fatwa dan syarahan-syarahan yang berlainan dalam bab ini dengan mengatakan Allah SWT itu bersifat sedemikian rupa dengan alasan Allah tiada meyamai "sesuatu" dengan merujuk ayat al-Quran yang tersebut di atas. 
Perkataan sesuatu atau syai' ini terlalu umum yang boleh membuatkan setiap orang akan cuba memberikan tafsiran fahaman tersendiri dengan memuji apa yang diperkatakan/diputuskan oleh puaknya dan mencerca puak atau golongan lain yang berbeza pengertian dan pemahamannya dalam perkara ini.

Oleh itu orang awam yang mungkin masih tercari-cari jalan beragama dan terbuka mindanya agar diberi pemahaman yang cukup jelas dan terang supaya masalah yang mungkin dianggap 'kecil', tidak penting dan tidak memberi apa-apa implikasi terhidup hidup beragama dan hal duniawi ini dapat diatasi dan diselesaikan dengan baik. Dalam hal ini ada beberapa cara untuk menolak kesamaran fahaman dalam bab ini seperti berikut :

1.   Hendaklah kita ambil kalimah syai' pada ayat al-Quran : ALLAHU KHALIQU KULLI SYAI'I  yang bermaksud Allah yang mengadakan tiap-tiap "sesuatu".
2.   Hendaklah kita ambil kalimah syai' ini pada ayat al-Quran: KULLU SYAI'IN HALIKUN ILLA WAJHAHU yang bermaksud tiap-tiap 'sesuatu' menerima binasa melainkan Zat-Nya [Diri-Nya]. Apabila sudah difahami pada dua ayat tersebut hendaklah kita ambil kalimah syai' ini yang jika ditafsirkan maknanya yang panjang bermaksud semua barang yang ada selain daripada Allah dinamakan 'alam'.  Maka kalimah 'alam' di sini ialah atas makna pengertian di dalam istilah Ilmu Al-Tawhid dan bukan Ilmu Al-Tasawwuf, Ilmu Al-Fiqah atau ilmu-ilmu lain.
3.  Ini bererti kalimah 'alam' di sini bermaksud semua barang yang ada selain daripada Allah itu dinamakan 'alam'. Dalam erti kata lain semua barang yang ada selain daripada Allah dinamakan syai'. Ini juga memberi erti bahawa kalimah syai' itu sangat luas maksudnya kerana ianya atas makna selain daripada Allah SWT. Maka jadilah masa, tempat, lapang, cahaya, gelap, gerak, diam, warna, rupa, roh, bahkan semua barang dan apa juga yang ada selain daripada Allah dinamakan syai' .

Diperkecilkan lagi sebutan semua barang yang ada selain daripada Allah itu dengan perkataan atau kalimah yang tertakluk di bawah takrif lafaz : JIRIM, JISIM,  JAUHAR dan 'ARADH. Pemahaman ini dapat dirumuskan bahawa semua barang dan setiap sesuatu yang ada selain daripada Allah SWT terbahagi kepada empat [4] bahagian iaitu: JIRIM, (جرم), JISIM (جسم), JAUHAR (جوهرdan 'ARADH( عرض). 

Pengertian kalimah-kalimah ini ialah:

       i. JIRIM (جرم).



Tiap-tiap barang yang ada bertempat dan mengambil lapang.

          ii. JISIM (جسم).


Jika JIRIM itu besar dinamakan JISIM.

          iii. JAUHAR (
جوهر )dipecahkan kepada:

           a. JAUHAR MURAKKAB (جوهر مركب).
            JIRIM yang kecil bagi menyempurnakan susunan sesuatu JISIM.

                    b. JAUHAR FIRID (جوهر فرد).
        JIRIM yang terlalu kecil hingga tidak boleh dibahagi atau dipecah-pecahkan lagi.

iv. 'ARADH (عرض).


Semua keadaan dan hal sifat sesuatu benda.Misalnya: 'Aradh bagi Jirim itu ialah sifat Jirim itu sendiri seperti berjuzuk, berbenda, berupa, bertempat, berpihak, bergerak, berdiam, berhubung, bercerai, bersatu-padu, bersatu hakikat, bermasuk-masuk, bercampur, berjarak jauh-dekatnya, mempunyai ukuran besar-kecilnya, ada timbangan berat-ringannya, bermasa, berusia, berbanding, berumpama, bersuara, sunyi dan senyapnya dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya.


Huraian lanjut mengenai hal ini boleh difahami umpamanya:

Kayu ialah JISIM kerana padanya tersusun dua JAUHAR atau lebih seperti batang, daun, akar, dan sebagainya. Kuman yang halus itu juga ialah JISIM kerana ianya mempunyai JAUHAR seperti kaki, badan dan anggota lain. Begitu juga gunung ialah JISIM kerana batu-batu yang besar itu ialah juzuknya dan dia juga mempunyai kandungan bahan-bahan lain untuk membentuk kewujudannya.  

Ini bererti jika benda itu besar maka besarlah JAUHARnya dan jika benda itu kecil maka kecillah JAUHARnya,  samalah seperti gunung itu JISIM dan kuman yang halus itu pun JISIM juga. Jika kita ambil satu kertas sekadar satu meter persegi,  kertas ini boleh dipecah-pecahkan kepada beratus-ratus juzuk atau beratus-ratus JAUHAR.

'ARADH ialah sifat bagi sesuatu dan tiap-tiap sesuatu benda itu sangat banyak 'ARADHnya dan berlainan jenis 'ARADHnya.  Umpamanya batu itu mempunyai banyak 'ARADH seperti keras,  berukuran,  berwarna,  kasar, licin, curam dan apa juga yang boleh difikirkan. Udara pun begitu juga mempunyai 'ARADHnya yang tersendiri seperti memberi khasiat kesihatan, sejuk, panas dan sebagainya.


Demikian juga roh dan apa juga jenis benda mempunyai 'ARADH yang berlainan. Ini bermakna kita dapat memahami bahawa rupa, warna, gerak, diam, dekat, jauh pada perjalanan dan pemandangan mata, berada di dalam, dan di luar sesuatu, di mana-mana, bersatu-padu, sukatan kecil, besar, lebar dan lain-lain lagi yang melazimkan bagi JUZUK sesuatu /benda/makhluk/alam ialah atas makna 'ARADH.


Jika diambil fahaman makna yang lebih mudah kita sebutkan masa, tempat, rupa, lapang, padu, warna, gerak, diam, sukatan kecil-besar, suara, bunyi, sunyi-senyap, gelap, terang, roh, malaikat, jin, manusia dan semua barang yang ada selain daripada ALLAH SWT ialah atas nama syai'. Oleh itu apabila kita membaca ayat al-Quran pada firman Allah SWT:  

               
                        لَيْسَ كَمِثْـلِهِ شَئٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ البَصِيرُ
                  [LAISA KAMITHLIHI SYAI'UN WA HUAS-SAMI'UL BASIR ]

itu hendaklah kita fahami bahawa Allah tidak menyamai sesuatu apa pun  daripada segala barang yang tersebut di atas.
  
Kata-kata kalimah ini dapat diringkaskan perkataannya pula dengan kalimah kata-kata bahawa Allah Subhanahu Wa Taala itu bukan JIRIM, bukan JISIM,  bukan JAUHAR dan bukan 'ARADH. Perkara ini diperjaelasakan oleh  Imam Al-Ghazali di dalam  Ihya' Ulumuddin bab : كتاب: قواعد العقائدفي ترجمة عقيدة اهل السنة  في كلمتي الشهادة

وأنه ليس بجسم مصور ولا جوهر محدود مقدر وانه لا يماثل الاجسام لا في التقدير ولا في قبول الانقسام وأنه ليس بجوهر ولا تحله الجواهر ولا بعرض ولا تحله الاعراض  بل لا يماثل موجودا ولا يماثله موجود (ليس كمثله شئ ) ولا هو مثل شئ
 
Orang-orang awam yang jahil termasuk juga kanak-kanak, orang-orang munafik dan kafir boleh berkata dan menghafaz dengan begitu lancar dan fasih bahawa Allah itu bukan JIRIM, bukan JISIM, bukan JAUHAR, bukan JAUHAR MURAKKAB, bukan JAUHAR FIRID dan bukan 'ARADH. 


Mereka juga boleh berkata ALLAH SWT tidak menyamai sesuatu dan tidak menyamai makhluk. Tetapi sekiranya mereka tidak memahami maksud sebenar kalimah-kalimah ini, mereka tidak mungkin dapat memahami kandungan maknanya yang berkaitan rapat dengan mengenal dan beriman kepada Allah SWT. Dalam erti kata lain inilah sebenarnya 'kunci ilmu' untuk memahami ilmu pengenalan terhadap Allah SWT yang amat sukar lagi rumit bagi tahap minda manusia biasa.

[*** Peringatan : Ulama' Ahli Sunnah menggunakan kalimah-kalimah Jisim, Jirim,Jauhar Murakkab, Jauhar Firid dan 'Aradh ini berserta dengan pengertiannya adalah semata-mata untuk memberikan kefahaman dengan lebih mendalam dan halus lagi bagi menghuraikan pengertian bahawa " Allah itu tidak menyamai/menyerupai 'sesuatu' dalam apa jua hal sekalipun supaya orang awam dapat memahaminya dengan jelas. 

Dengan cara ini mudah membezakan di antara Zat dan Sifat-sifat Allah yang Qadim dengan zat dan sifat-sifat makhluk yang baharu yang secara langsung dapat menghindarkan dari pemahaman yang boleh membawa erti "mensyrikkan" Allah dengan makhluk-Nya.

[Untuk keterangan lebih lanjut sila lihat : Al-Ghazali, Al-Iqtisad fi'l-I'tiqad (Arabic)]


Kaedah mempelajari dan memahami "Bab Ilmu Pengenalan Kepada Allah SWT" tidak langsung menyamai dengan kaedah memahami ilmu mengenal makhluk kerana Allah itu BUKAN makhluk dan semestinya Zat (Diri) Allah itu tidak menyamai zat-zat makhluk dalam apa jua hal sekalipun.  Oleh sebab Allah itu BUKAN makhluk maka Zat Allah SWT tidak berjuzuk, tetapi zat makhluk ada mempunyai juzuk. 

Perbezaan pendekatan untuk memahami  Ilmu Mengenal Allah SWT dengan Ilmu Mengenal Makhluk adalah seperti berikut....iaitu:

1.  Tiap-tiap barang yang ada rupa dan warna dapat dikenalinya dengan pemandangan mata (Al-Basar.)
 2.  Tiap-tiap barang yang ada suara atau bunyi dapat dikenali dengan pendengaran telinga (Al-Sama').
 3.  Tiap-tiap barang yang ada bau-bauan dapat dikenali dengan penciuman hidung(Al-Syam).
 4.  Tiap-tiap barang yang ada rasa seperti pahit, manis dan sebagainya dapat dikenali dengan perasaan lidah (Al Zuq).
  5.  Tiap-tiap barang yang ada rasa seperti kasar, lembut dan sebagainya dapat dikenal dengan sentuhan kulit atau badan (Al-Lams). 
Kesemuanya ini dinamakan kaedah mengenali sesuatu menggunakan deria pancaindera yang lima. Ia juga boleh dikaitkan dengan khayalan atau boleh menerbitkan fikiran khayalan. Misalnya jika seseorang itu melihat seekor burung yang besar sedang terbang di udara, ia melihat burung itu hingga ghaib daripada pemandangan matanya. Namun segala rupa bentuk burung tersebut tersimpan di dalam ingatannya. 

Apabila dia pejamkan matanya rupa burung itu ada tersimpan sebagai memori pada khayalan ingatannya. Kaedah ini dinamakan pengenalan dengan khayalan berpunca daripada deria pemandangan mata. Begitu juga dengan deria-deria pancaindera yang lain.

Kaedah pengenalan menggunakan deria pancaindera yang lima ini tidak boleh digunakan untuk mengenal Allah kerana akan membawa kepada rupa, warna, ukuran dan sebagainya seperti yang tergambar dalam khayalan/ingatan memori pemikiran otaknya. Kaedah mengenal Allah boleh digunakan seperti misalan berikut :
"Sekiranya seseorang itu mempelajari ilmu agama Islam itu sangat banyak dan luas dan dia dapat memahami bahawa ilmu Nabi Muhammad s.a.w. itu sangat elok, amat cantik, sangat luas, dalam dan tinggi. Segala keelokkan, keindahan, ketinggian dan keluasan ilmu Nabi Muhammad s.a.w. ini tidak menunjukkan ada rupa, warna dan ukuran sukatan kedalaman dan keluasan tertentu.   
Orang yang membuat penilaian ilmu Nabi Muhammad s.a.w. ini sangat memahami pengertian sebenar akan hal ilmu Nabi Muhammad s.a.w. tersebut. Maka kaedah inilah juga yang boleh digunakan untuk memahami ilmu mengenal Allah iaitu dengan menggunakan Al-Basirah , Ainul Qalbi  atau Mata Hati atau disebut juga sebagai pancaindera yang ke enam."
Disebut juga Allah dapat dikenali dengan akal tetapi akal yang dimaksudkan di sini ialah 'akal syarak' dan BUKAN atas makna akal fikiran yang berasaskan deria pancaindera yang lima dan khayalan tetapi akal yang dimaksudkan ketika mempelajari ilmu mengenal Allah ialah atas makna memahami dengan menggunakan Al-Basirah , Ainul Qalbi atau Mata Hati."
Di dalam surah Al-Mulk:10 ada menyebut yang antara lainnya bermaksud :
"Dan kata mereka jikalau sekiranya kami mendengar pendengaran untuk menerima dan mengambil faham atau kami ada mempunyai akal untuk memahami nescaya tidaklah kami menjadi ahli neraka." 
Demikian juga dalam surah Al-Baqarah: 269 ada memperjelaskan mengenai "orang-orang yang berakal" sebagaimana yang dimaksudkan : 
"Allah memberikan hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang diberi hikmah, sesungguhnya telah diberi kebajikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berakal.
Peringatan dan amaran keras terhadap dosa orang yang ingkar dan mensyrikkan Allah dengan sesuatu disampaikan juga di dalam surah An-Nisaa': 116 yang bermaksud: 
"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan [sesuatu] dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa selain daripada  syrik itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang  mempersekutukan [sesuatu] dengan Allah, maka sesungguhnya  ia telah tersesat sejauh-jauhnya."
Ayat-ayat tersebut memberi pengertian dan kefahaman bahawa orang-orang kafirin dan munafiqin tidak mempunyai 'akal syarak' dan tidak dapat menggunakan Ainul Qalbi , Al-Basirah atau Mata Hati untuk memahami ilmu mengenal Allah dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Hanya orang yang mempunyai Ainul Qalbi, Al-Basirah atau Mata Hati yang dapat menggunakan akal pada hukum syarak sahaja yang dapat memahami segala ilmu yang berkaitan dengan Ilmu At-Tawhid dan Rukun Iman yang enam perkara.

[ Lihat :

            i. Tarbiyatu Fikrit-Tifli Li-Fahmi Ulumiddin 
           ii. Allah Berkata-kata Dengan Kalam-Nya Yang Qadim ]
  
Mudahan-mudahan dengan penerangan ringkas ini para pembaca blog ini dan juga orang-orang awam dapat memahami dan menghayati kandungan maksud ayat al-Quran surah Asy-Syuura:11: 

                         لَيْسَ كَمِثْـلِهِ شَئٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ البَصِيرُ


              [ LAISA KAMITHLIHI SYAI'UN WA HUAS-SAMI'UL BASIR ]

dan apakah yang dimaksudkan dengan Allah itu bukan JIRIM, bukan JISIM , bukan JAUHAR dan bukan 'ARADH.

Manfaatkanlah dengan sebaik-baiknya pemahaman ilmu ini untuk menyemak pemahaman kita terhadap Allah Subhanahu Wa Taala dan segala hal yang berkaitan dengan-Nya agar terselamat daripada salah faham dan apa tah lagi pemahaman yang menjurus kepada mensyrikkan Allah dengan makhluk-Nya.

Sama-samalah kita memohon rahmat pertolongan Allah semoga mengurniakan cahaya 'Ainul Qalbi,  Al-Basirah atau Mata Hati untuk memperkukuhkan lagi kefahaman dan penghayatan aqidah keimanan kita terhadap Allah SWT.


Sila lihat huraian pengertian "At Tanzihu" dalam  Terjemah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam blog ini.


[Lihat juga : i.  Ahli Syurga Melihat Zat Allah di Akhirat Dengan Mata  Kepala

                     ii.  SOAL JAWAB Mengenai "ADA" Allah SWT
                    iii.  Perbandingan Iktiqad Orang Melayu Bhg 1 ]
                        iv.  في ترجمة عقيدة اهل السنة  في كلمتي الشهادة
                         v.    Bhg 6 : Tarbiyatu Fikrit-Tifli LiFahmi Ulumuddin

           

4 ulasan:

  1. aslmkum, boleh x sye copy & print untuk peribadi

    BalasPadam
  2. Walaikum salam sdra Izal Mega. Silakan tidak menjadi masalah. Memang itulah yang sewajarnya dilakukan dalam usaha kita menegakkan kebenaran beragama. Sebarkan dan ajarkanlah kepada keluarga, sanak saudara, rakan tolan dan sesiapa juga yang memerlukannya. Wassalam.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum. Mohon di izin kan untuk menukar catatan akhi ke PDF agar mudah di download dan di kongsi kan bersama teman teman ye? Saya akan serta kan sumber nya. Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Walaikumsalam. Silakan, tidak menjadi masalah. Sebarluaskanlah pemahaman ini, insya Allah mendapat limpahan rahmat dan kebarkatan A
      llah. Amin.

      Padam