Khamis, 12 Julai 2012

SOAL JAWAB Mengenai "ADA" Allah Subhanahu Wataala



           بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم             

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تُنْجِينَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ اْلاَحْوَالِ وَاْلآفَاتِ وَتَقْضِى لَنَا بِهَامِنْ جَمِيعَ الْحَاجَاتِ وَتُطَهِّرُنَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ السَّيِّئَاتِ وَتَرْفَعُنَا بِهَا عِنْدَكَ اَعْلَى الدَّرَجَاتِ.وَتُبَلِّغُنَا بِهَا اَقْصَى الْغَايَاتِ مِنْ جَمِيعِ الْخَيْرَاتِ فِى الْحَيَاتِ وَبَعْدَ الْمَمَاتِ
     أَمَّا بَعْـدُ          

ذَلِكُمْ بِأَنَّهُ اِذَا دُعِيَ اللهُ وَحْدَهُ كَفَرْتُمْ وَاِنْيُشْرَكْ بِهِ تُؤْمِنُوْا فَالحُكْمُ لِلَّهِ العَلِيِّ الْكَـبِيْرِ

                                  Maksudnya : 
"Yang demikian itu adalah apabila kamu diserukan hanya kepada Allah Yang Maha Esa sahaja disembah, (diibadatkan) kamu ingkar (kafir), dan apabila dipersekutukan (mensyrikkan) dengan-Nya, lalu kamu sekalian mengimani (mempercayai). Maka hukuman itu (sekarang) adalah milik Allah Yang Maha Tinggi lagi Yang Maha Besar."      
     [ Al-Quran surah سورة المؤمن Al-Mu'min : 12]
                               ***********************************
كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
                          Maksudnya :
"Manusia itu adalah umat yang satu, (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para Nabi, sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi ingatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus."
                             [Al-Quran surah سورة البقرة Al-Baqarah : 213 ] 

                                       *******************************
 لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ 
                       Maksudnya:
"Sungguh, telah kafir orang-orang yang berkata,: 'Sesungguhnya Allah itu dialah al-Masih putra Maryam.' Padahal al-Masih (sendiri) berkata: 'Wahai Bani Israil! Ibadatkanlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu." Sesungguhnya barangsiapa mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan syurga baginya, dan tempatnya ialah neraka. Tidak ada seorang penolong pun bagi orang-orang zalim itu.
                         [Al-Quran surah  سورة المائدة  Al- Maaidah : 72 ]

                                     ***********************************

               أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنَّكَ إِنْ لَا تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ  
                     Maksudnya :      
"Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, dan kalau engkau tidak melihat-Nya, maka Dia melihatmu."[HR Bukhari, Muslim]            ************************************************
Apabila kita suakan pertanyaan kepada seseorang yang sudah membaca kandungan kitab Terjemah Aqidah Ahli Assunah Wal Jamaah Pada Makna Dua Kalimah Syahadah At Tawhid dan Syahadah Ar Rasul sudah semestinya amat mudah dia dapat memberikan jawapan yang tepat lagi sahih kebenarannya, alhamdulillah. Namun sebagaimana manusia biasa dia mungkin tertanya-tanya di dalam hati atau terlintas di dalam fikirannya dengan bermacam-macam persoalan yang sukar dijawab dengan pasti, tepat dan benar khusus mengenai apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan frasa atau kalimah:
"ADA-Nya Allah yang tidak sesekali menyamai langsung dengan adanya makhluk dalam apa jua hal, cara dan jalan sekalipun........."
Dia mungkin bertambah keliru dan bingung memikirkan apabila mendengar kata-kata, ceramah atau membaca sumber-sumber bacaan yang mengungkapkan kalimah-kalimah yang membawa maksud
"Allah itu ADA dengan sendiri, Allah itu berADA di mana-mana, Allah di atas langit, Allah di atas 'Arasy, Allah di dalam diri manusia..," 
dan bermacam-macam kepercayaan, tanggapan, andaian dan tuduhan-tuduhan lagi yang tidak layak bagi Allah yang ditutur atau ditulis oleh orang yang beragama Islam sendiri. 

Kefahamannya mungkin menjadi bertambah bercelaru dan keliru lagi sekiranya kata-kata yang berbunyi sedemikian rupa disokong dengan nas-nas mutasyabihah yang disalah ertikan/diseleweng maksudnya, dituturkan atau hasil karya orang-orang yang dianggap sebagai "ulama' ternama" di dalam sesebuah negeri atau kariah umat Islam.

Tahap pemikiran otak manusia awam biasa yang terbatas itu amat mudah menerima dan memahami adanya Tuhan yang menjadikan dan mentadbirkan sekalian alam yang sebegini besar dan teramat luas tetapi amat sukar untuk menerima dan memahami bahawa Allah itu BUKAN makhluk dan tidak sesekali menyamai makhluk dalam apa jua cara, jalan dan hal sekalipun  tentang KEWUJUDAN ZAT (Diri-Nya) atau SIFAT-SIFAT-Nya yang Qadim. 

Kebiasaannya sebilangan besar orang Muslim awam tidak mempersoalkan atau bertanya lebih lanjut sekiranya ada guru-guru agama atau ustaz-ustaz yang memberikan ceramah sempena menyambut malam Isra' dan Mikraj (الإسراء (والمعراج‎‎ setiap tahun pada malam 27 Rejab mengatakan Rasulullah s.a.w. dibawa ke Sidratil-Muntaha untuk 'bertemu' dan mengadap sendiri 'di hadapan' Allah yang 'beristiwa' di sana bagi menerima wahyu difardukan solat lima puluh (50) waktu. 

Kemungkinan tidak ada sesiapa pun atau terlalu jarang atau tidak ramai golongan manusia yang memikirkan bahawa Sidratil-Muntaha yang berada di atas lapisan langit ke tujuh itu adalah tempat yang Allah jadikan daripada semata-mata tidak ada kepada ada dengan Qadrat dan Kehendak-Nya berbetulan dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali. Sekiranya manusia memahami hakikat ini maka amat mudah bagi mereka menyanggah dan menafikan sama sekali bahawa Allah itu bertempat atau mengambil faedah daripada makhluk tempat sebagaimana manusia dan makhluk-makhluk berkaitan mengambil faedah daripada sesuatu benda/barang atau apa juga yang diperbuatnya termasuk Masa dan Tempat.

Dalam hal ini di dalam kitab Terjemah Aqidah Ahli Sunnah menjelaskan mengenai 'Al-Afa'al (Perbuatan Allah) itu yang antara lain menyebut :
" .....Maka Allah Taala mengadakan segala makhluk-Nya itu daripada semata-mata tidak ada barang itu kepada adanya ialah kerana menzahirkan bagi Kuasa-Nya dan mentahkikkan lagi bagi barang apa yang telah tedahulu deripada Kehendak-Nya; dan kerana kebenaran-Nya bagi barang apa yang ada pada Azal-Nya daripada Kalam-Nya dan bukan kerana mengambil faedah darinya dan bukan kerana mengenai sesuatu hajat kepadanya; bahkan Allah Taala amat terkaya daripada yang demikian itu; dan adalah Allah Taala itu mempunyai kelebihan dankemuranah dan sentiasanya memberi berbvagai rahmat yang tiada terhingga...."
Pada umumnya manusia memang mempercayai tentang adanya Allah sebagai Tuhan yang mengadakan sekalian alam. Namun demikian tanpa bimbingan wahyu Allah yang disampaikan melalui kitabullah-kitabullah yang diturunkan kepada Rasul-rasul Alaihimussalam yang dibangkitkan, mereka menggunakan kebijaksanaan pemikiran mereka sendiri tentang adanya Tuhan setelah memerhati, memikirkan secara kritis, mecipta teori berteraskan formula-formula yang dikatakan saintifik setelah meneliti dan mengadakan ujikaji yang terbatas terhadap alam yang mengelilingi mereka. 

        
 Patung arca Socrates ( 470-399 SM  ) antara tokoh ahli falsafah Yunani yang tersohor di dunia 
                        
Lantas berpaksikan kebijaksanaan logik akal yang terbit daripada pancaindera yang lima, persepsi dan sangkaan sahaja mereka menghuraikan secara falsafah atau kajian yang dianggap atau dipercayai ilmiah dan saintifik tentang kepercayaan adanya Tuhan dengan susunan bahasa yang indah hingga memukau dan mempesonakan orang-orang biasa yang mendengar dan menatapinya. Manusia biasa yang amat terbatas daya berfikir dan tidak sesekali mengetahui  penemuan ilmu dan kefahaman yang diterokai oleh ahli-ahli fikir dan para ilmuan ternama amat memuliakan mereka dan dengan penuh taksub menjadi pengikut setia. Lantas mereka turut menyemarakkan lagi penyibaran pemahaman berteraskan pemikiran falsafah ini walaupun mereka sendiri tidak memahaminya.

Adalah menjadi lumrah bagi otak manusia untuk memikir, menggambar dan mengibaratkan atau merujukkan kefahaman mereka terhadap ADA-Nya ALLAH itu sama seperti hal keadaan adanya makhluk juga. Mereka amat mudah meyakini dan mempercayai jika dikatakan Allah Tuhan mereka itu seperti berada pada satu tempat khas di atas langit atau 'Arasy yang pada sangkaannya "bukan dinamakan tempat dan dianggap mulia", mempunyai tangan, mata, telinga dan anggota tubuh badan seperti manusia/makhluk juga tetapi mengikut kehendak yang layak bagi-Nya dan berbagai-bagai kefahaman khayalan, sangkaan dan tanggapan yang pada persepsi mereka adalah benar dan sahih belaka.

Otak pemikiran manusia boleh diibaratkan seperti tanah yang subur. Jika pada tanah itu disemai dengan apa juga benih tanaman maka hidup suburlah tanaman tersebut mengikut apa juga jenis benih tanaman yang disemai. Jika disemai dengan benih spesis tanaman yang elok dan memberi manfaat maka eloklah tanaman tersebut dan begitulah juga di sebaliknya. Adalah teramat sukar untuk membuang dan membersihkan tanah yang sudah dipenuhi dengan bermacam-macam jenis tanaman yang kelihatan elok tetapi pada hakikatnya amat memudaratkan kepada kesihatan manusia.

                    

Bagi merungkai dan mencerahkan kekusutan dan kekeliruan fahaman yang mudah-mudahan dapat memberi pencerahan dan petunjuk kebenaran adalah amat bermanfaat diperjelaskan persoalan mengenai ADA-Nya Allah SWT ini melalui SOAL dan JAWAB yang lazim difikirkan oleh sesiapa juga yang sudah membaca kesemua isi kandungan kitab Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah tersebut. 
Dalam hal ini adalah sangat elok sekiranya dapat mengulang kaji bacaan dan pemahaman kita terhadap kitab tersebut khusus mengenai ADA Allah yang disebut pada perenggan pertama dan bab At-Tanzihu (الـتـنـزيه ). Selepas itu bolehlah menumpukan perhatian kepada SOAL dan JAWAB berikut :

SOAL :

Bagaimana ADA-Nya Allah Taala, Tuhan kita Jalla Wa Azza itu?


JAWAB :

ADAnya Allah Taala Tuhan kita Jalla Wa Azza itu ialah Ianya   Maujudun (موجود)Qadimun (قَدِ يمٌ ), Azaliun (ازلي) Baqin  (بقاء)  sentiasa ADA, selama-lamanya ADA dan tiada berkeputusan/berkesudahan ADA-Nya. ADA-Nya Allah Taala itu tiada bagi-Nya permulaan, tiada bagi-Nya kesudahan, dan Allah Taala itu tidak ada bagi-Nya misal, tidak ada bagi-Nya bandingan, tidak ada bagi-Nya umpama dan tidak ada bagi-Nya keadaan yang berlawanan, dan sentiasalah Allah Taala itu mempunyai kebesaran, kemuliaan dan kesempurnaan.

SOAL :

Daripada manakah kita dapat mengetahui bahawa ADA-Nya Allah Taala Tuhan kita Jalla Wa Azza itu Ianya ADA Maujudun, Qadimun, Azaliun, Baqin dan ADA-Nya Allah Taala itu Ianya sentiasa ADA dan selama-lamaya ADA dan ADA-Nya Allah Taala itu tiada bagi-Nya permulaan dan tiada bagi-Nya kesudahan, tidak ada bagi-Nya misal, tidak ada bagi-Nya bandingan, tidak ada bagi-Nya umpama, tidak ada bagi-Nya keadaan yang berlawanan dan Allah Taala itu sentiasalah mempunyai kebesaran, kemuliaan dan kesempurnaan?

JAWAB :

Sesungguhnya kita dapat mengetahui ADA-Nya Allah Taala itu Ianya ADA      Maujudun (موجود)Qadimun (قَدِ يمٌ ), Azaliun (ازلي) Baqin  (بقاء) dan ADA-Nya Allah Taala itu Ianya sentiasa ADA seperti yang disebut di atas ialah melalui kitab-Nya yang mulia al-Quran al-Karim yang diturunkan kepada Nabi-Nya yang dibangkitkan menjadi Rasul-Nya. Melalui Rasul-Nya itu mengetahuilah kita sekalian hamba Allah ini atas lidah Rasul-Nya seperti pengetahuan mengenai ADA-Nya Allah yang diperjelaskan di atas. Kesemua ilmu pengetahuan yang berkaitan khusus mengenai mengenali Allah SWT adalah bersumberkan wahyu Allah yang terkandung di dalam al-Quran sebagaimana yang termaklum di dalam Asma' Ullah Ul-Husna dan BUKAN terbit daripada akal fikiran manusia atau makhluk-makhluk lain.

SOAL:

Sebelum ada MASA dan sebelum ada TEMPAT dan sebelum ada lapang, sebelum ada cahaya, warna, gelap, terang, rupa, huruf, suara, sukatan, bilangan, ukuran, gerak, diam, sunyi, senyap, suara, al-'arasy,  al-kursi, syurga, neraka, tujuh lapis langit dan bumi dan segala isinya dan sebelum ada apa-apa benda pun yang didapati/diketahui oleh pancaindera yang lima, maka siapakah sahaja yang ada?


JAWAB :

Sebelum diadakan MASA dan sebelum ada TEMPAT dan sebelum ada lapang dan sebelum diadakan segala-galanya seperti yang dinyatakan di dalam persoalan tersebut di atas, maka yang ADA ialah Allah Subhanahu Wa Taala sahaja yang ADA dan tiada ada sesuatu apa pun yang ada selain daripada-Nya. Allah sahaja yang awal yang tiada berawal bagi-Nya dan Allah sahaja yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya. 
Ini memberi erti bahawa MASA dan TEMPAT adalah makhluk Allah belaka yang dijadikan Allah daripada semata-mata tiada kepada ada dengan Qadrat dan Kehendak-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali. Maka ternafilah sama sekali bahawa MASA, TEMPAT dan sekalian alam yang ada seperti yang disebutkan di dalam soalan tersebut itu sudah sentiasa wujud dan wujud dengan sendiri tanpa permulaan.

SOAL :

Bagaimanakah ADA-Nya Allah Taala sebelum Ia mengadakan MASA dan TEMPAT?

JAWAB :

ADA-Nya Allah itu sebelum Ia mengadakan MASA dan TEMPAT ialah Ianya itu ADA Maujudun (موجود)Qadimun( قَدِ يمٌ ), Azaliun (ازلي) Baqin  )بقاء ) dan ADA-Nya Allah Taala itu Ianya sentiasa ADA dan selama-lamanya ADA dan tiada berkeputusan/berkesudahan ADA-Nya. ADA-Nya Allah Taala itu tiada bagi-Nya permulaan, tiada bagi-Nya kesudahan dan Allah Taala itu tidak ada bagi-Nya misal, tidak ada bagi-Nya bandingan, tidak ada bagi-Nya umpama, tidak ada bagi-Nya keadaan yang berlawanan dan sentiasalah Allah Taala itu mempunyai Kebesaran, Kemuliaan dan Kesempurnaan. 
Demikian juga apabila Allah telah mengadakan MASA dan TEMPAT, Dia tidak sesekali mengenai MASA dan TEMPAT dan tidak berhajat atau mengambil faedah daripada MASA dan TEMPAT. Hakikat ini memberikan pengertian bahawa MASA dan TEMPAT adalah termasuk sebagai makhluk Allah juga yang dijadikan/diadakan Allah dengan Qadrat-Nya yang Qadim daripada semata-mata tidak ada kepada ada berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali. 

SOAL :

Jika sekiranya Allah Taala itu belum atau tidak mengadakan MASA dan TEMPAT atau  tidak mengadakan alam sama sekali bagaimana pula ADA-Nya Allah Taala itu?

JAWAB :

Jikalau sekiranya Allah Taala tidak mengadakan MASA dan TEMPAT atau tidak mengadakan, al-'arasy, al-kursi, tujuh (7) lapisan langit dan bumi dan segala isi kandungannya yang tidak terhingga banyaknya itu, dan sebelum diadakan sekalian alam sekalipun, maka ADA-Nya Allah Taala Tuhan kita Jalla Wa Azza begitu juga.Dialah yang Maujudun(موجود),Qadimun(قَدِ يمٌ ), Azaliun (ازلي) Baqin  ) بقاء), dan ADA-Nya Allah Taala itu Ianya sentiasa ADA dan selama-lamanya ADA dan tiada berkeputusan dan berkesudahan ADA-Nya.
ADA-Nya Allah Taala itu tiada bagi-Nya permulaan, tiada bagi-Nya kesudahan, tidak ada bagi-Nya misal, tidak ada bagi-Nya bandingan, tidak ada bagi-Nya umpama dan tidak ada bagi-Nya keadaan yang berlawanan dan sentiasalah Allah itu mempunyai Kebesaran, Kemuliaan dan Kesempurnaan.
Maka ada atau tidak ada, atau belum ada atau rosak binasa segala barang perbuatan Allah, maka adalah Allah Taala itu, Ia-Nya ada sebagaimana Ia ada itu juga kerana yang ada pada Azal itu ialah Allah Taala sahaja yang ada dengan segala Kebesaran dan Kemuliian Asma' Ul Husna dan tidak ada yang lain daripada-Nya.

SOAL :


Dalam bab ilmu pengenalan kita kepada Allah Taala, apakah perkara yang terlebih utama dan paling penting diambil faham untuk disimpan di dalam hati [qalbu]?


JAWAB :

Adapun perkara yang terlebih utama dan paling penting kita ambil faham dan disimpan di dalam hati (qalbu) ialah pada bab ADA Allah Taala Tuhan kita Jalla Wa Azza itu dengan memperkemas dan memperteguhkan kehendak makna ADA-Nya Allah Taala dengan mengiktiqadkan hahawa Allah Taala Tuhan kita Jaala Wa'aza itu Ianya ADA dan ditambah lagi makna ADA-Nya itu dengan ayat : tiada berkeputusan/berkesudahan ADA-Nya. Kemudian diperkuatkan lagi dengan ayat: Dialah yang permulaan yang tiada permulaan bagi-Nya, Dialah yang awal yang tiada berawal bagi-Nya dan Dialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya.

Kemudian dipertautkan lagi dengan kata-kata : Dialah yang sentiasa dan selama-lamanya mempunyai kemuliaan dan kesempurnaan, kebesaran dan ketinggian martabat. Selepas itu diperkemas dan diperkukuhkan dengan kata-kata : Ianya yang mempunyai segala Asma' Ullah Ul-Husna yang tiada terhingga banyaknya itu yakni yang mempunyai segala sifat kamalat yang tiada terhingga banyaknya.[Inilah asas dan kunci pemahaman ilmu mengenali Allah yang mesti dipahat kukuh di dalam minda, hati (qalbu) setiap individu Muslim pada setiap masa].

Bagi memperteguhkan lagi pemahaman terhadap ilmu pengenalan kepada Allah Taala hendaklah sentiasa diingat di dalam hati ( qalbu ) bahawa ilmu pengenalan kepada Allah Taala bukan terbit daripada AKAL FIKIRAN manusia bahkan Allah Taala sendiri yang memberi tahu kepada Rasul-Nya melalui wahyu yang disampaikan melalui perantaraan Malaikat Jibril A.S. supaya mengajarkan ilmu pengenalan Allah Taala ini kepada umatnya. Dalam hal ini hendaklah dirujuk kepada Hadis Rasulullah s.a.w.yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib yang menyatakan 'Allah Memuji Diri-Nya Sendiri Setiap Hari'.

[Lihat : Maksud Hadis: Allah SWT Memuji Diri-Nya Sendiri]

Kandungan ilmu pengenalan kepada Allah yang terhimpun di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. tersebut amat luas. Berdasarkan keterangan yang diberikan; antara fadilat bagi orang yang membaca, memahami, beriman dan beristiqamah menjadikannya sebagai amalan do'a nescaya dia dituliskan daripada jumlah perhimpunan orang yang sujud, khusyuk hati dan dapat berjiran dengan Nabi Muhammad s.a.w., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. dan sekalian Nabi-nabi Alaihimussalam di dalam syurga negeri kemuliaan serta baginya pahala sekalian orang yang berbuat ibadat pada sekalian lapisan langit dan bumi.

[Demikianlah betapa besarnya pahala dan fadilat orang-orang yang beriman dan berdo'a dengan nama-nama Allah yang menjelaskan 'Allah Taala Memuji Diri-Nya Sendiri Setiap Hari'. Maka teramat besar dan ruginya jika kita melepaskan peluang yang amat besar dan tidak ternilai harganya ini dengan mengabai, mengambil mudah dan menganggapkannya sebagai perkara kecil, dan remeh-temeh belaka].

[Lihat : Pengertian "PAHALA" dan "DOSA" ]




SOAL:

Apakah yang sewajar dan sepatutnya ibu-bapa dan guru-guru agama Islam mengajar dan memberi ilmu pengetahuan ini kepada anak-anak dan pelajar-pelajar ?

JAWAB :

Adalah sangat wajar, paling afdal dan sangat penting diberikan pengajaran yang luas lagi mendalam kepada mereka dengan menghafaz, memahami dan beriman sepenuhnya kepada Asma' Ullah Ul-Husna yang menjelaskan Allah Taala memuji Diri-Nya sendiri setiap hari dengannya di samping diberi kefahaman yang lebih meluas lagi mendalam mengenai setiap kalimah yang terkandung di dalam 99 nama Allah yang amat indah dalam Asma' Ullah Ul-Husna yang disebut di dalam al-Quran itu yang amat luas tafsilnya itu. 

Betapa indah dan eloknya sekiranya anak-anak dan pelajar-pelajar ilmu apabila ditanya kepada mereka oleh seorang sahabatnya atau sesiapa juga:
"Siapakah Tuhan kita atau siapakah Tuhan engkau ?" 
Lalu dia terus menjawab bahawa:
" Tuhan kita ialah Allah yang bersifat Ar-Rahman, Ar-Rahim lagi yang bersifat Al-Malik dan Al-Quddus dan As-Salam, Al-Mukmin, Al-Aziz, Al-Jabbar, Al-Mutakabbir, Al-Khaliq, Al-Bari' dan Al-Musauwir.." 
hingga dia menyebutkan kesemua kandungan Asma' Allah Ul-Husna yang 99 itu. Seterusnya dia menambah lagi jawapannya dengan menyebutkan nama-nama Allah yang Allah Taala Memuji Diri-Nya sendiri dengannya seperti yang terkandung di dalam Do'a Ali bin Abi Talib r.a./ Hadis Rasulullah s.a.w. tersebut hingga akhir.

Sungguhpun jawapan yang diberikan hanya sekadar ini sahaja ianya sudah amat baik. Namun demikian adalah sangat mustahak bagi anak-anak dan pelajar-pelajar diberi kefahaman yang kukuh, mendalam dan mantap lagi bahawa
"MASA ialah makhluk Allah dan TEMPAT pun adalah makhluk Allah juga. Sebelum diadakan oleh Allah akan MASA dan TEMPAT, hanya Allah sahaja yang ADA dan tidak ada sesuatu apa-apa pun yang ada berserta-Nya selain daripada-Nya. Jika sekiranya Allah tidak sesekali mengadakan MASA dan TEMPAT atau tidak mengadakan sekalian alam, langit dan bumi serta setiap makhluk-Nya sekalipun, maka Allah Taala begitu juga Ianya ADA dan Ia sentiasa ADA, selama-lamanya Ia ADA dan tiada berkeputusan ADA-Nya dan ADA-Nya Allah Taala itu tiada bagi-Nya permulaan, tiada bagi-Nya kesudahan, Dialah yang awal yang tiada berawal bagi-Nya, Dialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya."
Sesungguhnya Allah Taala itu tidak ada bagi-Nya misal, tidak ada bagi-Nya bandingan, tidak ada bagi-Nya umpama serta tidak ada bagi-Nya keadaan yang berlawanan. Maka sentiasalah Allah Taala itu mempunyai kemuliaan, kesempurnaan dan mempunyai segala Asma' Ul-Husna dan Ia memuji Diri-Nya sendiri setiap hari seperti yang diperjelaskan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. riwayat Saidina Ali bin Abi Talib yang tersebut di atas. 

SOAL:


Mengapakah amat mustahak lagi penting bagi anak-anak dan pelajar-pelajar diberikan pemahaman dan peringatan berulang-ulang kali mengenai asas kefahaman ADA-Nya Allah ini, tidakkah mereka merasa jemu dan bosan yang boleh mejadikan fikiran mereka jumud?. Tidak memadaikah sekiranya fahaman kita hanya setakat memahami bahawa Allah itu ADA sebagaimana yang Dia kehendaki dan memahami ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalam surah 'al-Ikhlas' (سورة الإخلاص  )sahaja?


JAWAB :

Adalah sangat penting serta amat mustahak diajar dan diperingatkan berulang-ulang kali mengenai asas kefahaman Ilmu Tawhid mengenai ADA-Nya Allah ini dan segala hal yang berkaitan dengan ilmu pengenalan kepada Allah Taala kepada anak-anak dan pelajar-pelajar tanpa mengira had usia mereka.

Sekiranya pemahaman mereka sudah kukuh dan mantap dalam bab ilmu pengenalan kepada Allah Taala ini mudah-mudahan mereka diberi kekuatan untuk menolak dan menyanggah segala hujah dan bisikan syaitan yang sentiasa berusaha tanpa mengenal jemu dan berputus asa untuk menyesatkan manusia supaya jatuh menjadi kafir dan murtad sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah r.a. daripada Nabi Muhammad s.a.w.  :
قَالَتْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَ رَسُولُ اللهُ صَلَّى اللُه عَلَيهِ وَسَلَّمَ : "اِنَّ الشَّيطَانَ يَأْتِي أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ مَنْ خَلَقَكَ فَيَقُولُ: اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى فَيَقُولُ:  فَمَنْ خَلَقَ اللهَ فَاِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ ذَلِكَ فَلْيَقُلْ آمَنْتُ بِاللهِ وَرَسُولِهِ فَإِنَّ ذَلِكَ يُذْهِبُ عَنْهُ."
                         Maksudnya :
"Kata Aishah r.a. sabda Rasulullah s.a.w.: Bahawasanya syaitan datang kepada seseorang kamu sekalian, maka ia berkata : 'Siapakah yang mengadakan engkau?' Maka ia berkata : 'Ialah Allah Tabaraka Wataala.' 
Maka ia (syaitan) berkata, maka SIAPAKAH YANG MENGADAKAN ALLAH?Maka apabila didapati seorang kamu sekalian akan yang demikian itu, hendaklah ia berkata : 'Aku telah beriman dengan Allah dan Rasul-Nya'. Bahawasanya yang demikian itu ia (syaitan) pergi daripadanya."
Demikianlah hal pertanyaan syaitan (melalui berbagai cara seperti bisikan/lintasan di hati, pertanyaan atau perbincangan mencambah fikiran antara sesama manusia dan sebagainya ) kepada setiap diri manusia supaya manusia menjadi keliru, sesat, mensyrikkan-Nya dan akhirnya menjadi kufur. Pertanyaan seperti ini pada zahirnya kelihatan mudah, ringan atau dianggap kecil sahaja yang seolah-olah tidak akan menimbulkan sebarang kemusykilan bagi seseorang itu memberikan jawapan. Sekiranya jawapan yang dituturkan itu salah mengikut hukum syarak sekalipun mungkin tidak memberikan apa-apa kesan duniawi terhadapnya.

Namun demikian dari perspektif agama Islam dan hukum syarak, mereka yang memberikan jawapan atau berpegang kepada pemahaman yang salah dan bercanggah dari hukum syarak terhadap pertanyaan/hujah syaitan ini boleh menjadikan mereka kafir dan murtad kerana rumusannya akan menjurus kearah pemahaman mensyrikkan/menyekutukan Allah jua. Jika sekiranya dia tidak segera bertaubat dan memperbetulkan iktiqadnya maka amat ditakuti dia jatuh murtad dan menjadi kafir yang hukumannya sama seperti orang kafir penyembah berhala juga iaitu berkekalan di dalam neraka walaupun pada zahirnya dia dianggap beragama Islam.
 
Dalam hal yang berkaitan Firman Allah dalam al-Quran surah سورة المائدة Al-Maidah ayat 41 ada memperjelaskan: 
يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ لا يَحْزُنْكَ الَّذِينَ يُسَارِعُونَ فِي الْكُفْرِ مِنَ الَّذِينَ قَالُوا آمَنَّا بِأَفْوَاهِهِمْ وَلَمْ تُؤْمِنْ قُلُوبُهُمْ وَمِنَ الَّذِينَ هَادُوا سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ سَمَّاعُونَ لِقَوْمٍ آخَرِينَ لَمْ يَأْتُوكَ يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ مِنْ بَعْدِ مَوَاضِعِهِ يَقُولُونَ إِنْ أُوتِيتُمْ هَذَا فَخُذُوهُ وَإِنْ لَمْ تُؤْتَوْهُ فَاحْذَرُوا وَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ فِتْنَتَهُ فَلَنْ تَمْلِكَ لَهُ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا أُولَئِكَ الَّذِينَ لَمْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يُطَهِّرَ قُلُوبَهُمْ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
                         Maksudnya :
“Wahai Rasul, janganlah hendaknya kamu bersedihkan oleh orang-orang yang bersegera (memperlihatkan) kekafirannya, iaitu di antara orang-orang yang mengatakan dengan mulut mereka :'Kami telah beriman', pada hal hati mereka belum beriman, dan (juga) di antara orang-orang Yahudi. (Orang-orang Yahudi itu) amat suka mendengar (berita-berita) bohong dan amat suka mendengar perkataan-perkataan orang lain yang belum penah datang kepada mu, mereka merobah perkataan-perkataan (Taurat) dan tempat-tempatnya. Mereka mengatakan : 'Jika diberikan ini (yang sudah diubah-ubah oleh mereka) kepada kamu, maka terimalah dan jika kamu diberi yang bukan ini, maka hati-hatilah.' Barangsiapa yang Allah menghendaki kesesatannya, maka tidak sesekali kamu akan mampu menolak sesuatu pun (yang datang) daripada Allah. Mereka itu adalah orang-orang yang Allah tidak hendak mensucikan hati mereka. Mereka beroleh kehinaan di dunia dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar."
Justeru adalah sangat jelas kepada kita betapa besarnya rahmat Allah Taala membangkitkan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi Rasul-Nya dan diturunkan Allah Taala al-Quran kitabullah yang suci lagi mulia kepada Nabi Muhammad s.a.w. bagi memberi pedoman serta kekuatan kepada kita umat Nabi Muhammad s.a.w menolak segala waswas, bisikan dan persoalan syaitan seperti yang tersebut di atas.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w yang menjelaskan tipu-daya syaitan terhadap manusia. Antaranya adalah seperti berikut :
قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لأزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأرْضِ وَلأغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ  
                      Maksudnya:
i. "Iblis berkata : ' Ya Tuhan ku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka'." 
          [  Surah سورة الحجر Al-Hijr : 39]                                      
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ 
                         Maksudnya : 
ii.Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh (seteru ) bagimu, maka anggaplah ia musuhmu ( seteru ) kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala. 
             [ Surah سورة فاطر Faathir : 6 ]
Dalam ayat-ayat lain pun banyak menjelaskan dan memberikan peringatan terhadap karenah kehalusan dan kelicikan tipu-daya syaitan yang antara lainnya bermaksud apabila manusia jatuh kafir dengan suruhannya lalu ia (syaitan berkata)
"bahawasanya aku (syaitan) berlepas diri daripada engkau (manusia)."


Tipu-daya syaitan yang sangat halus dalam bab ilmu pengenalan terhadap Allah ini tidak mampu dilawan dengan ilmu yang sedikit atau ala kadar sahaja bersandarkan kekuatan akal logik yang amat terbatas keupayaannya. Hendaklah difahami juga bahawa Iblis dilaknat Allah bukan atas sebab mensyrikkan Allah tetapi kerana keingkarannya terhadap perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam Alaihisalam dengan perasaan takbur dan sombong yang menganggap dirinya lebih mulia daripada Adam yang jasadnya dijadikan daripada tanah. 

Ini bererti Iblis laknatullah cukup memahami ilmu mengenali Allah dan cukup arif terhadap segala perkara mengenai ADA-Nya Allah yang tidak menyamai dengan adanya makhluk. Dia juga cukup memahami segala tipu-daya dan selok-belok untuk mengheret dan menjerumuskan anak-anak Adam (manusia) ke jalan kesesatan beragama khusus dalam bab ADA Allah. Apabila seseorang manusia itu dapat diseleweng dan disesatkan pemahaman aqidah at-tauhidnya maka teramat mudah bagi Iblis merosakkan perjalanan hidup manusia di dunia walaupun pada zahirnya mereka itu mungkin beriman kepada Allah dan Rasul-Nya yang kelihatan amat baik,warak dan zuhud. 
 
Apabila aqidah keimanan seseorang itu sudah rosak, maka terbatallah keimanan dan keislamannya. Hakikat ini memberi erti walau sebanyak mana sekalipun amal ibadat, kebaikan dan kebajikan yang dilakukannya tertolak sama sekali tidak diterima Allah. Allah memperingatkan hal ini di dalam al-Quran seperti berikut:
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ


                                       Maksudnya :
"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (Nabi-nabi) yang sebelummu;  ' Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang rugi. "
                          [Surah سورة الزمر‎‎ surah Az-Zumar : 65 ]

Oleh itu ibu-bapa dan guru-guru agama hendaklah memberikan perhatian yang serius dengan 'memaksa' atau dengan apa jua cara, jalan dan kaedah sekalipun supaya anak-anak dan pelajar-pelajar mereka membaca, menghafaz dan memahami maksud kandungan ilmu yang terdapat di dalam Asma' Ul-Husna dan Hadis Rasululah s.a.w yang menjelaskan "Allah Mumuji Diri-Nya Sendiri" pada setiap hari dengan bermacam cara dan kaedah yang wajar. Di samping itu hendaklah benar-benar memahami maksud ayat al-Quran :
        لَيْسَ كَمِثْـِلهِ شَئٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
                [ Al-Quran سورة الشورى  surah Asy-Syuura: 11 ]
seperti yang dihuraikan maksudnya di bawah entri bertajuk: [ JIRIM, JISIM, JAUHAR dan 'ARADH ].

Sebagai manusia biasa dan orang mukmin awam yang serba kekurangan, kita, anak-anak dan pelajar-pelajar memang mudah merasa jemu, bosan dan kadang-kala fikiran menjadi bingung dan buntu untuk mempelajari, memahami, mengingati, memikirkan dan menghayati kandungan ilmu dalam bab pengenalan kepada Allah ini, lebih-lebih lagi jika kita tidak terdidik khusus dalam bab ini sejak kecil hinggalah mencapai usia dewasa.
 
Tambahan pula subjek ini kurang diminati kerana pemahaman umum yang menganggapkannya sebagai tidak memberi faedah duniawi berbanding subjek dan bidang-bidang lain yang begitu popular yang boleh mengangkat martabat dan populariti seseorang di kalangan manusia. Jika sekiranya terbit perasaan sedemikian rupa hendaklah sentiasa diambil peringatan bahawa syaitan dan tentera-tenteranya tidak pernah merasa jemu, bosan dan berputus asa untuk menyesatkan manusia khususnya orang mukmin agar sama-sama dihumban ke dalam neraka dan berkekalan selama-lamanya di sana bersama-samanya.

Hatta, hingga ke saat-saat akhir hayat seseorang manusia iaitu ketika berhadapan dengan Sakaratul-maut pun syaitan dan tentera-tenteraya terus berusaha untuk merosakkan aqidah keimanan setiap orang mukmin supaya apabila mati kelak menjadi golongan orang kafir. Dalam Hadis Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan yang intipatinya bermaksud bahawa Penghulu syaitan akan hanya merasa kecewa dan putus asa dengan menepuk kepalanya apabila mendapati 500 orang Malaikat Rahmat menyambut dengan penuh penghormatan dan kemuliaan terhadap Roh Hammalil-Amanah seorang mukmin yang soleh apabila dicabut keluar daripada jasad/'Badan Zahirnya' oleh Malaikat Maut semasa menemui ajal Sakaratul-maut. Penghulu syaitan yang amat kecewa itu memarahi tentera-tenteranya kerana gagal melaksanakan misi menyesatkan orang mukmin tersebut hingga ke akhir hayatnya.

Hal ini ada diperjelaskan dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. :

وَرُوِىَ فِي الحَدِيثِ عَنِ النَّبِيِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ أّنَّهُ قَالَ: إِنَّ اللهَ اَذّا رَضِيَ عَنْ عَبْدٍ قَالَ يَا مَلَكَ المَوْتِ اِذْهَبْ اِلَى فُلاَنٍ فَأْتِنِي بِرُوحِهِ لِأُرِيحَهُ حَسْبِي مِنْ عَمَلِهِ قَدْ بَلَوْتُهُ فَوَجَدْتُهُ حَيْثُ اُحِبُّ فَيَنْزِلُ مَلَكَ المَوْتِ وَمَعَهُ خَمْسَمِائَةٍ مِنَ المَلاَئِكَةِ مَعَهُمْ قَضْبَا الرَّيْحَانِ وَاُصَولَ الزَّعْفَرَانِ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ يُبَشِّرُهُ بِبَشَارَةٍ سِوَى بَشَارَةِ صَاحِبِهِ وَتَقُومُ المَلاَئِكَةُ صَفَّيْنِ لِخُرُوجِ رُوْحِهِ مَعَهُمْ الرَّيْحَان فَاِذَا نَظَرَ اِلَيهِمْ اِبْلِيسُ وَضَعَ يَدَهُ عَلَى رَأْسِهِ ثُمَّ صَرَخَ قَالَ فَيَقُولُ لَهُ جُنودُهُ مَالَكَ يَا سَيِّدَنا فَيَقُولُ أَمَا تَرَوْنَ مَا أُعْطِىَ هَذَا العَبْدُ مِنَ الكَرَامَةِ أَيْنَ كُنْتُمْ مِنْ هَذَا قَالُوا قَدْ جَهَدْنَا بِهِ فَكَانَ مَعْصُومًا.
                            Maksudnya :
"......Apabila dilihati oleh Iblis ia pun meletakkan tangannya ke atas kepalanya kemudian dia mengeluh dukacita. Sabdanya (Rasulullah s.a.w.) : Maka berkata tentera-tenteranya kepadanya : 'Kenapakah engkau wahai tuan penghulu kami?' Maka ia (Iblis) berkata : 'Adakah engkau sekalian tidak lihati barang apa yang diberikan kepada hamba ini dengan kemuliaannya, di manakah engkau sekalian daripada orang ini?' Kata mereka : 'Sesungguhnya telah bersungguh-sungguh kami dengannya (menggoda dan menipu daya terhadapnya), maka dia ini termaksum (terpelihara)." 
Cuba kita bayangkan bagaimanakah nasib seseorang yang jahil dalam bab ilmu pengenalan kepada Allah apabila tiba saat-saat genting Sakaratul-maut berhadapan seorang diri dengan kehalusan pujukan dan tipu-daya syaitan mengenai Allah? Demikian juga apakah jawapan yang hendak diberikan apabila berhadapan dengan dua orang Malaikat Fitnah Kubur yang amat menggerunkan itu ketika berada di dalam kubur Alam Barzakh yang bertanyakan bab Allah dan Rasul?

Kita juga hendaklah sentiasa mengambil ingatan betapa besarnya ganjaran pahala, faedah dan fadilat yang dijanjikan Allah kepada mereka yang berkorban dan 'berjihad' mencari kebenaran ilmu beragama dan berusaha bersungguh-sungguh tanpa bosan dan jemu agar terselamat daripada terkena azab seksa api neraka yang tidak terhingga dahsyatnya itu. Lebih dahsyat dan malang lagi sekiranya seseorang itu mati dalam keadaan kufur mensyrikkan Allah yang balasannya ialah berkekalan selama-lamanya tanpa noktah di dalam keseksaan azab api neraka. Sesungguhnya mati dalam kekafiran itu adalah sebesar-besar kehinaan dan bala Allah terhadap seseorang hamba-Nya.

Dalam hal ini Allah memperingatkan kepada manusia jawapan syaitan apabila dihumban ke dalam nerka bersama para pengikut yang menyembah dan mensyirikkan Allah sebagaimana yang termkandung dalam surah سورة إبراهيم Ibrahim ayat 22: 

وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الأمْرُ إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدْتُكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ وَمَا كَانَ لِي عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي فَلا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ مَا أَنَا بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنْتُمْ بِمُصْرِخِيَّ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِنْ قَبْلُ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ 
             Maksudnya :
" Dan berkatalah syaitan tatkala perkara ( hisab) telah diselesaikan: ' Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tidak sesekali ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan ( sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku tidak sesekali dapat menolongmu dan kamupun tidak sesekali dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku ( dengan Allah) sejak dulu'. Sesungguhnya orang yang zalim itu mendapat seksaan yang amat pedih."

SOAL:

Apakah kaedah terpenting dan terbaik yang boleh digunakan untuk menolak atau menyanggah waswas/hujah syaitan dalam pemahaman bab ADA Allah?


JAWAB :

Kaedah terbaik untuk menyanggah dan menolak segala waswas syaitan dalam pemahaman bab ADA Allah yang mudah-mudahan dilimpahkan rahmat pertolongan dan kebarkatan Allah dengan mengurniakan limpahan kefahaman ilmu yang paling jelas lagi meyakinkan adalah seperti berikut:
i.. Apabila seseorang itu telah memahami bahawa MASA dan TEMPAT itu ialah makhluk Allah, maka mudah baginya memahami bahawa Allah Taala jua yang mengadakan MASA dan TEMPAT daripada semata-mata tidak ada kepada ada, maka dengan mudah sahaja ia berkata bahawa kedua-dua MASA dan TEMPAT adalah makhluk Allah yang diadakan Allah dengan Qadrat-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu dan KehendakNya yang Qadim lagi Azali dan BUKAN dengan Zat-Nya.
ii. Dia juga mudah memahami bahawa sebelum diadakan oleh Allah Taala akan MASA dan TEMPAT, maka 'Arasy tidak wujud atau belum wujud sama sekali, bahkan syurga, neraka serta segala lapisan langit dan bumi serta segala isi kandungan dan makhluk di dalamnya yang tidak terhingga banyaknya juga tidak ada/belum diwujudkan, bahkan walaupun sebutir debu zarrah pun belum wujud. Oleh itu sebelum diadakan oleh Allah Taala akan 'Arasy, maka Allah Taala tidak berada di atas 'Arasy, tidak berada di bawah 'Arasy, tidak berada di dalam 'Arasy, tidak berada di luar 'Arasy dan tidak bercampur bersatu-padu dengan 'Arasy.
Begitulah juga apabila telah diadakan oleh Allah Taala akan 'Arasy maka Allah Taala tidak berada di atas 'Arasy, tidak berada di bawah 'Arasy, tidak berada di dalam 'Arasy, tidak berada di luar 'Arasy dan tidak bercampur bersatu-padu dengan 'Arasy. Bahkan maksud kalimah 'literal' yang mengatakan bahawa ALLAH TAALA "ISTIWA" DI ATAS 'ARASY seperti yang dinyataklan di dalam surah Yunus سورة يونس‎‎ ayat 3 :  
إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُدَبِّرُ الأمْرَ مَا مِنْ شَفِيعٍ إِلا مِنْ بَعْدِ إِذْنِهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ أَفَلا تَذَكَّرُونَ
                          Maksudnya :
"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang mengadakan langit dan bumi dalam enam (6) hari, kemudian Dia "Istiwa"di atas 'Arasy untuk mengatur segala urusan......"  
itu ialah dengan makna Allah Taala itu yang mengadakan,  memerintah dan memiliki 'Arasy yang amat mulia dan jauh lebih besar daripada Kursi, langit dan bumi.
iii. Dia juga mudah pula memahami bahawa sebelum diadakan oleh Allah Taala akan TEMPAT seperti al-'Arasy, al-Kursi, syurga, neraka, langit, bumi dan apa juga makhluk atau sesuatu yang dikategorikan sebagai TEMPAT maka Allah Taala tidak ada bertempat, tidak berhajat atau mengambil faedah kepada TEMPAT dan tidak berada di mana-mana TEMPAT.
Begitulah juga apabila telah diadakan oleh Allah Taala akan TEMPAT Allah Taala tidak ada bertempat, tidak memerlukan atau berhajat atau mengambil faedah kepada TEMPAT dan tidak berada di mana-mana TRMPAT.
iv. Sekiranya seseorang itu telah memahami bahawa MASA dan TEMPAT itu makhluk Allah mudahlah baginya mengiktiqadkan bahawa Zat (Diri) Allah Taala itu tiada menyamai segala zat makhluk kerana Zat (Diri) Allah Taala itu TIADA Berjuzu' tetapi zat makhluk ada berjuzu'. Manakala Zat (Diri) Allah Taala itu TIADA berjuzu' maka tertolaklah dan ternafilah sama sekali daripada berupa, berwarna, berpihak, bertempat, di luar sesuatu, di dalam sesuatu dan bercampur bersatu-padu dengan sesuatu.  
Pengertian ini juga memberi erti bahawa tertolak dan ternafilah sama sekali bahawa Zat (DiriAllah itu daripada menerimai pihak, ukuran, sukatan kecil, besar, panjang, lebar dan tertolaklah daripada sifat-sifat bergerak, diam, berhubung, bercerai, dekat dan jauh pada perjalanan, bergerak, diam, dan lain-lain lagi yang melazimkan bagi setiap sesuatu yang berjuzu'.   
Jika seseorang itu telah benar-benar memahami bahawa Zat (Diri) Allah Taala itu TIADA Berjuzu' maka mudahlah dia memahami bahawa Allah Taala itu berbuat dan mengadakan sesuatu dengan Qadrat-Nya yang Qadim dan bukan dengan Zat-Nya. Maka ternyata salahnya jika ada kaum atau sesiapa juga yang berfahman, beranggapan dan menuduhkan bahawa Allah Taala mengadakan sesuatu dengan Zat-Nya atau daripada Zat-Nya. Begitu juga amat nyata salahnya barangsiapa berfahaman dan menuduhkan bahawa Allah Taala itu "ADA di mana-mana", atau "Bersemayam/Bertakhta di atas singgahsana 'Arasy", atau "ADA di dalam 'Arasy", "ADA di atas al-Kursi" atau bercampur bersatu-padu dengan 'Arasy, ADA di atas langit dan berbagai-bagai pemahaman atau persangka lain yang seumpama dengannya yang membawa maksud Allah itu bertempat atau memerlukan/berhajat kepada TEMPAT yang diadakankan-Nya daripada semata-mata tidak ada kepada ada. Kesimpulan dari pemahaman ini ialah Allah itu lemah kerana berhajat dan mengambil faedah daripada makhluk TEMPAT yang diadakan-Nya daripada semata-mata tidak ada kepada ada.

Kesalahan kata-kata dan pegangan iktiqad yang sedemikian rupa sama sahaja salahnya seperti penyembah-penyembah berhala. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan fardhu 'ain bagi setiap diri kita agar bersegera berusaha mempelajari, memahami, beriman dan menghayati dengan sepenuhnya segala ilmu mengenai pengenalan Allah Taala ini serta mengajar/bermuzakarah dan memanfaatkannya kepada sekalian ahli keluarga, saudara-saudara mukmin dan sesiapa juga yang berhajatkannya.

[Lihat : ALLAH DIKATAKAN BERJUZUK, MEMPUNYAI "TANGAN" DAN ISTIWA' DI ATAS ARASY? ]

SOAL :

Apakah kesan atau implikasinya sekiranya terdapat pengajaran yang mengatakan bahawa " Tanda WUJUD atau ADA-Nya Allah itu ialah adanya alam ini atau baharu alam dan juga dengan kata-kata atau pengajaran yang mengatakan "Allah Jadi/Wujud dengan sendiri?."


JAWAB :

Adapun kata-kata atau pemahaman bahawa : 
"Tanda Wujud atau Ada-Nya Allah ialah adanya alam ini atau baharu alam," 
adalah merujuk kepada hujah logik akal manusia yang bersandarkan kepada pancaindera yang lima. Kata-kata atau pengajaran seperti ini amat bersesuaian dengan bisikan atau lintasan hati yang terbit daripada syaitan untuk menyesatkan orang-orang yang beriman seperti yang diperjelaskan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. daripada Saidatina Aishah r.a. di atas. Hujah yang menggunakan logik akal ini mungkin bersesuaian apabila berhujah dengan orang kafir yang tidak beriman kepada Allah, Rasul-Nya, Hari Akhirat, Kitabullah dan segala hal yang berkaitan dengan Rukun Iman Enam (6 ) perkara.

Sewajarnya jawapan paling mudah, tepat dan tanpa mengelirukan pemahaman ialah dengan mengatakan :
"Tanda Wujud atau Ada-Nya Allah SWT ialah adanya al-Quran Kitabullah."
Seseorang yang sudah beriman dan memahami dengan mendalam mengenai pengertian Asma' Ul-Husna, Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Pada Makna Syahdah At-Tawhid dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan Allah Memuji Diri-Nya Sendiri itu dengan mudah akan menolak kata-kata atau pengajaran pemahaman tersebut dengan mengemukakan pula hujah/soalan balas:
 "Bagaimana pula jika sekiranya alam ini tidak ada?"

      "Ada , tidak ada atau rosak binasa alam ini Allah tetap ada dan sentiasa ada sebagaimana Dia ada dengan segala Kebesaran, Kemuliaan dan Kesempurnaan-Nya."

Sekiranya jawapan yang diberikan ialah: Wallahu 'Alam! Atau memberikan jawapan-jawapan yang bertentangan dengan penjelasan yang dihuraikan di atas, maka amat jelas sekali bahawa kata-kata atau pengajaran: Tanda WUJUD atau ADA-Nya Allah ialah adanya alam ini, itu boleh mendorong kepada pemahaman yang mengelirukan atau menjurus kepada mensyirikkan/menyekutukan Allah dengan makhluk-Nya.
Besar kemungkinan ramai orang yang beragama Islam yang mengiktiqadkan atau berfahaman bahawa: 
"Allah Jadi atau ADA dan WUJUD dengan sendiri." 
Pengajaran atau frasa kata-kata seperti ini mungkin dianggap ringan, remeh, tidak penting dan tidak memberikan apa-apa implikasi pun terhadap akidah keimanan seseorang Muslim. Maka tidak menghairankan sekiranya isu pemahaman ini tidak pernah/terlalu jarang diberikan perhatian mendalam dan serius atau terdapat komen, teguran, pembetulan atau penjelasan yang diuar-uarkan kepada umum berbanding isu-isu berbangkit mengenai ilmu-ilmu lain yang menjurus kepada hal duniawi yang begitu hebat dan meluas diperkatakan setiap hari tanpa noktah menggunakan berbagai saluran media massa kerana mempunyai implikasi terhadap kepentingan kehidupan duniawi.

Dari perspektif akidah keimanan dan Ilmu At-Tawhid adalah menjadi satu kesalahan besar sekiranya dikatakan bahawa: Allah itu 'ADA atau WUJUD dengan sendiri.' Kata-kata atau pengajaran seperti ini boleh memberi erti bahawa Allah Taala itu pada asal atau dahulunya TIADA kemudian Dia baru ADA atau WUJUD dengan sendiri. Maka tanggapan, tuduhan atau pemahaman ilmu seperti ini adalah semata-mata dusta dan sangat besar salahnya kerana bertentangan dengan Firman Allah Taala yang diperjelaskan di dalam al-Quran surah سورة الحديد‎‎ al-Hadid ayat 3:
هُوَ الأوَّلُ وَالآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
            Maksudnya:
" Dialah yang awal yang tiada berawal bagi-Nya, ialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya, ialah yang zahir ertinya Al-A'ali (العالي) yakni Yang Maha Tinggi dan Maha Suci daripada segala kekurangan dan tidak sesekali Allah SWT itu menyamai dengan segala apa juga barang yang diadakan oleh-Nya. Dialah yang batin bererti Al-Muhtajibu A'nil-Hawasi Bihajbi Kibria-ihi (  المحتجب عن الحواس بحجب كبريائه) yakni ialah yang terdinding daripada segala pendapatan pancaindera yang lima dengan dindingan kebesaran dan kemuliaan-Nya dan Allah SWT itu dengan tiap-tiap sesuatu Ia Amat Mengetahui."

Seseorang yang beriman kepada Allah, Rasul-Nya dan segala pemahaman ilmu yang berkaitan dengan Rukun Iman yang enam [6] perkara sewajarnya dengan mudah dapat menolak dan menyanggah kata-kata atau pengajaran seperti ini berbekalkan kefahaman dan penghayatan Ilmu At-Tawhid yang terkandung di dalam bahan-bahan rujukan di atas. Sebagai tindak balas keilmuan dia boleh mengemukakan soalan atau hujah balas berikut
"Sekiranya Allah itu WUJUD atau ADA dengan sendiri, bagaimanakah pula hal keadaan Wujud-Nya, adakah Dia Wujud atau berada di dalam, di luar atau bersatu-padu dengan alam yang dijadikan-Nya daripada semata-mata tidak ada kepada ada? Jika Allah berada di dalam, di luar atau bercampur bersatu-padu dengan alam, adakah alam itu lebih besar daripada Allah atau Allah lebih besar daripada alam? Bagaimanakah pula Wujud atau Ada-Nya Allah sebelum dijadikan alam? Siapakah pula yang menjadikan alam, adakah alam itu sudah sedia wujud dan wujud/ada dengan sendiri?" 
Pemahaman keilmuan yang salah terhadap ADA-Nya Allah ini akan memberi implikasi rosaklah iman dan boleh menjurus menjadi murtad kepada sesiapa juga yang beriktiqad sedemikian rupa kerana mendustakan ayat al-Quran tersebut. Sekiranya terbit lintasan di hati atau terbaca atau terdengar ungkapan kata-kata atau frasa yang sedemikian rupa daripada apa juga sumber, kita hendaklah segera menyanggah, menolak, membuang dan menghapuskannya daripada pemahaman di dalam minda kita dan menggantikannya dengan kalimah-kalimah dan pemahaman ilmu yang hak lagi sahih kebenarannya seperti yang tersebut di atas.


SOAL:

Bagaimanakah hal anak-anak, kaum keluarga dan pelajar-pelajar hendak membaca, menghafaz dan memahami kandungan Asma' Ul-Husna dan nama-nama Allah yang menjelaskan 'Allah Taala Memuji Diri-Nya Sendiri dengan-Nya' itu kerana segala hal makna-makna yang ada padanya itu sangat-sangat ringkas dan pendek sahaja ?


JAWAB :

Dalam hal ini hendaklah diminta anak-anak, kaum keluarga dan pelajar-pelajar itu membaca serta memahami kandungan Kitab Terjemah Aqidah Ahli Al- Sunnah dan meminta mereka menghafaznya seperti membaca surah Al- Fatihah. Adapun bab ADA Allah Taala hendaklah diberi faham bersungguh-sungguh kepada mereka apabila membaca bab "At-Tanzihu" dan bab "Af'aal " yang menjelaskan bahawa Allah Taala mengadakan sesuatu bukan kerana mengambil faedah daripadanya dan bukan kerana mengenai hajat kepada makhluk-Nya. 
Ketiga-tiga aspek ini menjadi ukuran dan landasan penting dalam bab iktiqad keimanan kita kepada Allah Taala dan apabila membaca Asma' Ul-Husna jangan sesekali tersalah tafsir pada tiga bab ini sebagaimana Firman Allah di dalam al-Quran surah سورة الذاريات Adz-Zaariyaat ayat 56:

                  وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ


                    Maksudnya :
"Dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka berbahagia (dengan sebab)berbuat ibadat kepada-Ku."
Maksud ayat ini jelas menolak sama sekali daripada menuduhkan atau beranggapan bahawa Allah Taala mengadakan sesuatu itu dengan tujuan Ia berhajat dan mengambil faedah daripada makhluk-Nya. Barangsiapa menuduhkan atau beranggapan bahawa Allah Taala mengadakan jin dan manusia supaya Allah Taala mengambil faedah daripada ibadat-ibadat hamba-Nya maka tuduhan atau anggapan ini bermakna bahawa Allah Taala mengenai sifat lemah kerana berhajat atau mengambil faedah daripada makhluk-Nya.Maka amat jelas lagi nyata salahnya iktiqad seumpama ini.

Kita hendaklah mengiktiqadkan bahawa Allah Taala itu mengadakan makhluk-Nya daripada semata-mata tidak ada kepada ada ialah kerana menzahirkan bagi Kuasa-Nya dan mentahqikkan lagi barang apa yang telah terdahulu daripada Kehendak-Nya dan kerana kebenarannya bagi barang apa yang ada pada Azal-Nya daripada Kalam-Nya dan bukan kerana mengambil faedah kepadanya dan bukanlah kerana mengenai sesuatu hajat kepadanya. Bahkan Allah Taala itu Amat Terkaya daripada hal yang demikian itu.

Allah Taala berbuat sesuatu itu semata-mata kerana Murah Kurniaan-Nya dan Nikmat Pemberian-Nya dan bukan terwajib di atas Allah itu berbuat sesuatu dan tidak termestinya dan tidak termustahak di atas-Nya kerana Allah Taala itu Amat Berkuasa menurunkan berbagai-bagai azab ke atas sekalian hamba-Nya dan mengazab mereka dengan bermacam-macam jenis azab kesakitan dan penderitaan. 

Sekiranya Allah Taala itu berbuat demikian ke atas hamba-hamba-Nya adalah semata-mata disebabkan KEADILAN Allah Taala juga dan tidak sesekali Allah itu zalim kerana tidak ada sama sekali sebarang kekejaman dan kekejian daripada-Nya.
 
Demikianlah betapa eloknya iktiqad orang-orang mukmin yang disuruh Allah Taala untuk membersihkan hati daripada salah faham dalam bab At-Tanzihu yang boleh merosakkan pemahaman dan pegangan iktiqadnya terhadap ADA-Nya Allah. Orang-orang yang jahil tidak mungkin terdaya membersihkan hati seperti tersebut di atas sekiranya tidak berusaha memperluas dan memperdalamkan lagi ilmu pengetahuan mereka dalam bab ini. Tahap keilmuan mereka yang amat terhad ini jauh sekali dapat mengatasi/menandingi ilmu para ulama' yang hak kerana:
i.  Para ulama' Ahli Sunnah yang hak amat memahami bab ADA-Nya Allah kerana mempunyai kefahaman ilmu yang amat luas dan mendalam mengenai segala makna:(a) Asma' Ul-Husna (b) Nama-nama Allah yang menerangkan Allah Taala Memuji Diri-Nya sendiri.
ii. Para ulama' Ahli Sunnah yang hak juga cukup memahami bab Zat Allah Taala sebagaimana yang terkandung di dalam bab At-Tanzihu kitab Terjemah Aqidah Ahli As Sunnah yang amat panjang tafsilnya itu yang tidak mungkin diketahui oleh orang-orang jahil apakah ilmu yang terkandung di dalam bab At-Tanzihu di dalam kitab tersebut.
iii. Para ulama' Ahli Sunnah yang hak juga cukup memahami dengan mendalam apabila membaca ayat al-Quran Surah Adz-Zaariyaat سورة الذاريات  ayat 56  : 
                           وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

                              Maksudnya: 
"Dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan supaya  mereka berbahagia (dengan sebab) berbuat ibadat kepada Ku." 
Orang-orang jahil tidak mengetahui pengertian yang betul, tepat lagi sahih kebenarannya kehendak maksud sebenar ayat ini hingga mereka berani menuduh dan mengatakan bahawa Allah Taala itu mengambil faedah daripada ibadat hamba-hamba-Nya. 
Di sini jelaslah bahawa para ulama' Ahli Sunnah yang hak cukup memahami maksud sebenar ilmu yang terkandung di dalam kalimah-kalimah bertasbih, bertakbir, bertahmid dan berzikir melafazkan segala puji-pujian terhadap kebesaran dan kemuliaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Oleh itu amat mudahlah bagi mereka menolak berbagai-bagai waswas syaitan yang boleh datang menganggu dengan berbagai-bagai cara yang amat bijak melalui bisikan dan lintasan di hati pada ketika membaca kalimah-kalimah tasbih, tahmid, tahlil dan takbir itu.
Apabila menyebut sahaja kalimah-kalimah At-Tawhid ini hati para ulama' Ahli Sunnah yang hak terus mengingati sepenuhnya kepada Allah sahaja, kemuliaan dan kebesaran Allah pada segala makna yang ada pada nama-nama Allah yang Allah Taala Memuji Diri-Nya sendiri dan segala makna yang terkandung di dalam Asma' Ul-Husna sambil hatinya melupakan ingatan terhadap segala makhluk Allah dan segala barang dan perkara yang lain daripada Allah yakni sebelum diadakan oleh Allah akan MASA dan TEMPAT hanya Allah sahaja yang ADA.

Orang-orang yang jahil pula dengan mudah diperdayakan oleh syaitan pada ketika menyebutkan kalimah-kalimah tersebut dengan berbagai-bagai waswas, persangka dan lintasan hati daripada syaitan dan menimbulkan perkara-perkara yang boleh mensyrikkan Allah kerana mereka tidak mempunyai kekuatan ilmu untuk menyanggah dan menolak segala jenis waswas syaitan yang amat bijak memperdayakan manusia.

Iktiqad golongan ulama' Ahli Sunnah yang hak ketika menyebut kalimah-kalimah zikirullah tidak mengaitkan dan tidak ada kena mengena langsung dengan iktiqad dengan beranggapan dan menuduhkan bahawa Allah Taala di atas 'Arasy atau di dalam 'Arasy atau di luar 'Arasy atau bersatu-padu dengan 'Arasy kerana sebelum diadakan oleh Allah Taala akan MASA dan TEMPAT, maka 'Arasy tidak ada, bahkan segala lapisan langit dan bumi juga tidak ada.

Pada ketika menyebut kalimah-kalimah zikirullah itu juga tidak ada kena mengena dengan iktiqad pada menuduhkan bahawa Allah Taala itu ADA di mana-mana kerana sebelum diadakan oleh Allah Taala akan MASA dan TEMPAT maka Allah Taala tidak ADA bertempat dan tidak ADA di mana-mana tempat. Demikian juga setelah diadakan oleh Allah Taala akan MASA dan TEMPAT maka Allah Taala tidak ada bertempat dan tidak ADA di mana-mana tempat pun. 

Sekiranya seseorang itu berfikiran dan melafazkan kata-kata bahawa : "Allah berada di mana-mana" bererti Allah itu bertempat kerana kalimah atau ungkapan frasa dan kosakata "di mana-mana" merujuk kepada TEMPAT juga sedangkan ALLAH BUKAN MAKHLUK yang tidak sesekali berhajat dan mengambil faedah kepada makhluk TEMPAT yang diadakan-Nya daripada semata-mata tiada kepada ada.

Oleh sebab itu ketika golongan ulama' Ahli Sunnah yang hak menyebut kalimah zikirullah mereka melupakan sama sekali di hatinya ( qalbu) daripada mengingati segala makhluk Allah, bahkan hatinya hanya mengingati kebesaran, kemuliaan dan kesempurnaan Allah sahaja sebagaimana tafsil ilmunya ada terkandung di dalam bab At-Tanzihu tersebut.

SOAL :

Akal logik manusia biasa amat sukar memahami atau mungkin TIDAK dapat menerima hakikat bahawa ADA-Nya Allah seperti yang dihuraikan di atas yang tidak berADA di mana-mana dan mengkategorikan MASA dan TEMPAT itu pun sebagai makhluk Allah juga. Penjelasan ini mungkin akan menerbitkan pertanyaan di hati seseorang : "Kalau begitu Allah itu tidak ada ?!". Oleh itu apakah kaedah paling sesuai dan tepat digunakan bagi memudahkan kefahaman seseorang mengenai ADA-Nya Allah yang amat sukar difahami oleh pemikiran manusia biasa sekiranya menggunakan kaedah biasa bersandarkan logik akal dan pancaindera yang lima atau kaedah saintifik sahaja ? 


JAWAB:

Persoalan ini memang sukar diberikan jawapan yang ringkas lagi tepat sekiranya seseorang manusia itu tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Seseorang itu juga amat sukar memahami ADA-Nya Allah seperti yang dihuraikan di atas sekiranya tidak memahami kandungan ilmu yang terdapat di dalam al-Quran kitabullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. yang disampaikan melalui perantaraan Malaikat Jibril Alaihissalam, Penghulu segala malaikat yang berada di langit dan bumi yang tidak terhingga banyaknya.
Tingkatan kefahaman seterusnya perlu diterima bahawa Allah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian bagi membolehkan mereka hidup sempurna di dunia dan bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan dengan beribadat kepada-Nya agar berbahagia hidup mereka apabila berada di akhirat kelak.

Seterusnya hendaklah diambil faham pengertian ayat al-Quran yang berbunyi :
" لَيْسَ كَمِثْــلِــهِ شَئٌ وَهُوَ السَّمِــيـْعُ البَصِيــرُ"
                   [ Al-Quran surah سورة الشورى Asy-Syuura: 11 ]
 yang boleh diertikan bahawa :
"Allah SWT itu tiada seperti seumpama 'sesuatu' apa pun dan Ia Amat Mendengar lagi Amat Melihat."             
Pengertian kalimah شَئٌ (syai') di sini adalah "sesuatu". Maksud "sesuatu" dalam konteks ini adalah merujuk kepada istilah Ilmu Tawhid yang bererti "alam". Maksud "alam " pula adalah segala benda/barang yang diadakan Allah. Ini bererti semua barang atau sesuatu atau apa juga yang ada selain daripada Allah itu dinamakan 'alam': 
              كُلُّ مَوْجُودٍ سِوَى اللهُ يُسَمَّى عَالَمًا
Yang bermaksud: semua barang yang ada selain daripada Allah dinamakan "'ALAM".  
Dalam erti kata lain semua barang yang ada selain daripada Allah dinamakan شَئٌ (syai')Rumusan pemahaman daripada maksud kalimah شَئٌ (syai') itu sangat luas kerana ianya atas makna selain daripada Allah SWT. Maka jadilah masa, tempat, ruang lapang, udara, sejuk, panas, cahaya, gelap, gerak, diam, suara, huruf, warna, rupa, roh, bahkan semua barang yang ada selain daripada Allah dinamakan شَئٌ (syai').
Diperkecilkan atau diringkaskan lagi sebutan semua barang yang ada selain daripada Allah itu dengan kosakata atau kalimah/istilah yang tertakluk di bawah takrif lafaz : JIRIM, JISIM, JAUHAR dan 'ARADH. Ini dapat dirumuskan bahawa semua barang atau setiap sesuatu yang ada selain daripada Allah SWT terbahagi kepada empat [4] bahagian iaitu: JIRIM, (جرم), JISIM (جسم), JAUHAR (جوهر) dan 'ARADH( عرض). Pengertian kalimah-kalimah ini ialah: 
         1. JIRIM (جرم).

Tiap-tiap barang yang ada bertempat dan mengambil lapang.


2. JISIM (جسم).


Jika JIRIM itu besar dinamakan JISIM


3. JAUHAR dibahagikan kepada:

        i. JAUHAR MURAKKAB (جوهر مركب).

JIRIM yang kecil bagi menyempurnakan susunan sesuatu JISIM


        ii. JAUHAR FIRID (جوهر فرد).


JIRIM yang terlalu kecil hingga tidak boleh dibahagi atau  dipecahkan   lagi. 


4.ARADH (عرض)
'Aradh ialah semua keadaan dan hal sifat sesuatu benda.  Misalnya: 'Aradh bagi Jirim itu ialah sifat Jirim itu sendiri seperti berjuzuk, berbenda, berupa, bertempat, berpihak, bergerak, berdiam, berhubung, bercerai, bersatu-padu, bersatu hakikat, bermasuk-masuk, bercampur, berjarak jauh-dekatnya, bersaiz besar-kecilnya, ada timbangan berat-ringannya, bermasa, berbanding, berumpama, bersuara, sunyi dan senyapnya dan lain-lain lagi.
Apabila membicarakan ilmu pengenalan Allah Taala, kalimah dan istilah-istilah tersebut dapat diringkaskan perkataannya pula dengan kata-kata kalimah bahawa Allah Subhanahu Wa Taala itu bukan JIRIM, bukan JISIM,  bukan JAUHAR MURAKKAB, bukan JAUHAR FIRID dan bukan 'ARADH. 

Orang yang tidak memahami pengertian kalimah-kalimah tersebut tidak mungkin dapat memahami atau teramat sukar memahami kaitan kalimah-kalimah tersebut dengan ilmu pengenalan terhadap ADAnya Allah, Zat Allah yang Qadim lagi Azali  dan segala Sifat Allah yang Qadim yang terkandung di dalam Asma' Ullah Ul-Husna.

Bab ilmu pengenalan kepada Allah SWT tidak langsung menyamai sama sekali dengan ilmu mengenal makhluk kerana Zat (Diri) Allah itu tidak sesekali menyamai zat-zat makhluk walau dengan apa jua cara, hal dan jalan sekalipun. Zat Allah SWT tidak berjuzuk tetapi zat makhluk ada berjuzuk. Perbezaan di antara ilmu mengenal Allah SWT dan mengenal makhluk adalah seperti berikut,iaitu:
i.Tiap-tiap barang yang ada rupa dan warna dapat dikenalinya dengan pemandangan mata [Al- Basarالبصر: .]
ii. Tiap-tiap barang yang ada suara atau bunyi dapat dikenali dengan pendengaran telinga [Al-Sama' السمـع : ].
iii. Tiap-tiap barang yang ada bau-bauan dapat dikenali dengan penciuman hidung [Al-Syam الشَّمَّامُ]  
iv. Tiap-tiap barang yang ada rasa seperti pahit, manis, masam, tawar, lemak dan sebagainya dapat dikenali dengan perasaan lidah. 
v. Tiap-tiap barang yang ada rasa seperti kasar, lembut, keras dan sebagainya dapat dikenal dengan sentuhan kulit atau badan [Al-Lams اللمس : ]. 
                            Image result for Pancaindera yang lima pada tubuh badan manusia
                                       Lima pancaindera pada anggota badan manusia

Kaedah ini dinamakan mengenali sesuatu menggunakan deria pancaindera yang lima. Ia juga boleh dikaitkan dengan 'khayalan' atau boleh menerbitkan fikiran khayalan. Misalnya jika seseorang itu melihat seekor burung yang besar sedang terbang di udara, ia melihat burung itu hingga ghaib/hilang daripada pemandangan matanya. Apabila dia pejamkan matanya rupa burung itu ada tersimpan pada khayalan atau data memori ingatannya. Kaedah pengenalan seumpama ini dinamakan pengenalan dengan khayalan yang terbit daripada deria pemandangan mata.

Kaedah pengenalan menggunakan deria pancaindera yang lima ini tidak sesekali boleh digunakan untuk mengenal Allah dan memahami ADA-Nya Allah kerana dia akan membawa kepada rupa, bentuk, warna, ukuran dan sebagainya seperti yang tergambar dalam khayalan fikirannya. Kaedah mengenal Allah boleh digunakan seperti misalan berikut :
"Sekiranya seseorang itu mempelajari ilmu agama Islam itu sangat banyak dan luas dan dia dapat memahami bahawa Nabi Muhammad s.a.w. itu sangat elok, amat cantik, sangat luas, dalam dan tinggi ilmunya. Segala keelokan, keindahan dan keluasan ilmu Nabi Muhammad s.a.w. ini tidak menunjukkan ada rupa, warna dan ukuran sukatan kedalaman dan keluasan tertentu. Orang yang membuat penilaian ilmu Nabi Muhammad s.a.w. ini sangat memahami pengertian sebenar akan hal ilmu Nabi Muhammad s.a.w. tersebut. 
Maka kaedah inilah juga yang boleh digunakan untuk memahami ilmu mengenal Allah iaitu dengan menggunakan Al-Basirah , 'Ainul Qalbi atau Mata Hati atau disebut juga "pancaindera yang ke enam." Disebut juga Allah dapat dikenali dengan akal tetapi akal yang dimaksudkan di sini BUKAN atas makna akal fikiran yang terbit daripada deria pancaindera yang lima dan khayalan tetapi atas maksud akal pada hukum syarak yang digunkan khusus untuk mempelajari ilmu mengenal Allah ialah atas makna memahami dengan menggunakan "Al-Basirah , 'Ainul Qalbi atau Mata Hati" dan bukan menggunakan pancaindera yang lima." 
Rumusan daripada susunan peringkat penerangan ini dapat difahami dengan jelas bahawa untuk memahami ilmu mengenali ADA-nya Allah itu TIDAK boleh dan DILARANG sama sekali menggunakan pancaindera yang lima. Ini adalah disebabkan sekiranya mengguna dan berpandukan pancaindera yang lima akan menerbitkan khayalan seperti yang diperjelaskan di atas.  Akal logik manusia biasa memang amat mudah menerima dan memahami sekiranya diajarkan bahawa Allah itu ada berupa, bertempat di atas, di bawah atau di mana-mana, mempunyai ukuran kecil besar dan sebagainya yang menyerupai makhluk.
Namun adalah sesuatu yang teramat sukar bagi mereka untuk menerima dan memahami bahawa Allah itu tidak sesekali menyamai sekalian makhluk-Nya  walau dalam apa jua hal, cara dan keadaan sekalipun tanpa misalan, umpama dan bandingan kerana Allah itu BUKAN makhluk tetapi yang mengadakan/ menjadikan semua makhluk-Nya.

Justeru sesiapa juga yang berhajat dan berkecenderungan untuk mempelajari dan memahami ilmu pengenalan kepada Allah SWT mestilah dan disyaratkan menggunakan atau menggerakkan Al-Basirah, 'Ainul Qalbi atau Mata Hati atau disebut juga menggunakan pancaindera ke enam (6). Adalah ditegah sama sekali menggunakan pancaindera yang lima kerana akan menerbitkan fahaman khayalan yang salah dan sesat seperti yang diperjelaskan di atas. Akal fikiran dan logik akal manusia yang terbit daripada pancaindera yang lima hanya mampu dan boleh digunakan untuk memikirkan makhluk-makhluk Allah yang begitu elok, sempurna dan ajaib hal keadaan zat dan kejadiannya yang tidak terhingga banyaknya sama ada yang nyata atau yang ghaib.

SOAL:

Akal logik manusia amat sukar menerima dengan segala penjelasan yang diberikan ini. Adalah sesuatu yang amat sukar diterima jika dikatakan Allah itu tidak di luar,  tidak di dalam, tidak meliputi dan tidak bersatu-padu dengan segala sesuatu. Apakah hujah logik bagi menyokong jawapan tersebut di atas?

JAWAB:

Pemikiran otak manusia biasa pada umumnya hanya dapat memikirkan dan memahami sesuatu perkara itu berdasarkan kepada logik akal yang bersandar kepada pendapatan pancaindera yang lima sahaja. Justeru mereka mudah memahami jika dikatakan bahawa seseorang manusia itu mesti mempunyai salah satu sifat iaitu sama ada dia bijak atau bodoh. Adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal logik manusia jika dikatakan si polan itu tidak bijak dan tidak bodoh kerana setiap insan manusia itu dijadikan memang bersifat sedemikian rupa. Tetapi bagaimana pula jika dikatakan bahawa batu itu tidak bijak dan tidak bodoh? Sudah semestinya kita dapat memahaminya dan mengatakan bahawa memang begitulah halnya sifat yang dimiliki bagi batu. 

Maka demikian jugalah segala perkara tentang ilmu mengenali Allah. Allah itu BUKAN MAKHLUK tetapi Dia yang mengadakan sekalian makhluk-Nya yang tidak ada had batasan dan tidak berkesudahan banyaknya. Maka demikianlah jua dengan Qadimnya Sifat dan Zat Allah itu yang tersangat berlainan dan tidak sesekali menyamai sekalian makhluk-Nya walau dengan apa jua jalan dan cara sekalipun tanpa misal, umpama, ibarat dan bandingan serta tidak ada bagi-Nya keadaan yang berlawanan. Jika kita dapat memahami hakikat ini maka jelas dan fahamlah kita tentang Sifat, Zat dan Ada-Nya Allah yang tidak  sesekali menyamai dengan adanya makhluk.

[Lihat : 
              i. Masalah Roh 
             ii. JIRIM, JISIM, JAUHAR dan 'ARADH]

SOAL :

Apakah yang dimaksudkan dengan Zikir Nafi Ithbat La Illahaillallah    

( ذکر نفی اثبات لاَ إِلَهَ إِلَّاالله  )

 yang biasa diperkata dan diamalkan oleh ahli-ahli zikir? 

JAWAB :
Adapun yang dimaksudkan dengan Zikir Nafi Ithbat La Illahaillallah 

( ذکر نفی اثبات لاَ إِلَهَ إِلَّاالله  )

ialah ketika seseorang itu melafazkan zikir La Illahaillallah لاَ إِلَهَ إِلَّاالله
dia beriktiqadkan di dalam hati (qalbu) bahawa semua makhluk yang ada hendaklah dinafikan atau dinyahkan atau ditolak daripada ingatan di hati dan minda kerana  pada asalnya kesemua makhluk Allah tidak ada sama sekali atau belum dijadikan, kemudian Allah mengadakannya dengan Qadrat-Nya yang Qadim daripada semata-mata tidak ada kepada ada berbetulan dengan Ilmu-Nya dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali.

Ini bermakna masa, tempat, malaikat, jin, manusia, syurga, neraka, 'arasy, kursi dan apa juga yang dinamakan alam dan makhluk atau sesuatu daripada yang paling kecil hingga paling besar sama ada yang zahir atau yang tidak kelihatan pada pemandangan mata kepala manusia (ghaib) pada asalnya tiada atau belum dijadikan Allah. Kemudian hendaklah diithbatkan atau dimasukkan ke dalam minda dan pemahaman di hati (qalbu) bahawa sebelum diadakan semua makhluk, yang ADA hanya Allah SWT sahaja sebagaimana Dia ADA itu juga penuh dengan kemuliaan, kesempurnaan, kebesaran dan ketinggian martabat Asma' Allah Al-Husna. 

Adanya Allah itu tidak sesekali sama dengan adanya makhluk. Allah itu ada, sentiasa ada, selama-lamanya ada dan tidak berkeputusan adanya. SEBELUM dijadikan masa dan tempat dan semua makhluk-Nya, hanya Allah sahaja yang ada. 
Adalah menjadi satu kesalahan yang amat besar dari segi pegangan iktiqad dan akidah keimanan kepada Allah sekiranya maksud Zikir Nafi Ithbat La Illahaillallah ini diertikan atau diiktiqadkan bahawa yang wujud hanya Zat [Diri] Allah belaka dan Zat Allah itu bersatu hakikat atau bersatu-padu dengan zat makhluk kerana makhluk itu dikatakan tidak wujud. Salah fahaman terhadap pengertian kalimah "Nafi Ithbat"( نفی اثبات) ini memberi erti bahawa segala makhluk yang dijadikan Allah ini tidak wujud dan semua makhluk yang wujud ini kesemuanya Allah belaka.
Pemahaman yang dikatakan/diistilahkan sebagai Wahdat-al-wujud  (وحدة الوجود)  atau "wujud yang satu" ini hendaklah dibuang sama sekali dari ingatan dan pemahaman di hati kita kerana amat besar implikasi kesesatannya dan digantikan pula dengan pemahaman Aqidah Ahli Sunnah yang hak seperti yang diperjelaskan di atas.

Orang awam yang mengamalkan Zikir Nafi Ithbat La Illahaillallah ini besar kemungkinan akan terus mengamalkan sahaja zikir ini dan tidak bertanyakan lebih lanjut pengertian zikir ini atau mempercayai dan meyakini sepenuhnya terhadap apa juga penerangan yang disampaikan oleh 'Tuan Guru' yang dianggap 'mursyid' lagi 'kasyaf' yang 'mengijazahkannya'. Setiap orang awam Muslim hendaklah memahami bahawa setiap zikirullah yang dilafazkan dengan lidah dan disematkan serta diyakini sepenuhnya di dalam hati adalah kalimah-kalimah At-Tawhid khusus untuk memuji, memulia dan mengagungkan kebesaran Allah sebagai Tuhan yang mengadakan sekalian alam. 

Oleh sebab itu setiap kalimah At-Tawhid yang dilafazkan hendaklah merujuk dan berteraskan kepada ilmu yang terkandung di dalam Ilmu Tawhid yang sebenar dan bukan ilmu-ilmu lain yang direka oleh akal logik manusia. Sekiranya pemahaman dan pengertian Ilmu Tawhid yang difahami di sebalik kalimah-kalimah zikirullah ini bertentangan/bercanggah dengan pengertian At-Tawhid yang hak sebagaimana yang dimaksudkan di dalam Asma' Allah al-Husna dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w., maka terbatallah fadilat zikirullah ini dan rosaklah pegangan iktiqad akidah keimanannya.

Orang mukmin yang mengamalkan Zikir Nafi Ithbat La Illahaillallah 
ذکر نفی اثبات لاَ إِلَهَ إِلَّاالله  cukup memahami dan menghayati Hadis Rasulullah s.a.w ini :
 Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
" تفكروا في خلق الله ولا تفكروا في ذات الله "
                      Maksudnya :
"Berfikirlah kamu sekalian pada makhluk Allah dan jangan sesekali kamu sekalian berfikir pada (hakikat) Zat Allah."
Justeru di dalam Hadis yang lain Rasulullah s.a.w memperjelaskan lagi:
وَقِيلَ يَا رَسُولَ الله : اَيُّ الاَعْمَالِ اَفْضَل. فَقَالَ: اَلْعِلْمُ بِاللهِ عَزَّ وَجَلَّ فَقِيلَ اَيُّ الْعِلْمِ تُرِيدُ؟ قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَمَ: اَلْعِلْمُ بِاللهِ سُبْحَانَهُ. فَقِيلَ لَهُ: نَسْأَلُ عَنِ الْعَمَلِ وَتُجِيبُ عَنِ الْعِلْمِ . فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ:  اِنَّ قَلِيلَ الْعَمَلِ يَنْفَعُ مَعَ الْعِلْمِ بِاللهِ وَاِنَّ كَثِيرَ العَمَلِ لَا يَنْفَعُ مَعَ الجَهْلِ بِاللهِ.
                          Maksudnya :
Sesungguhnya telah dikatakan kepada Rasulullah s.a.w.:  'Apakah amalan-amalan yang lebih afdhal?'. Maka sabdanya : 'Ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah Azzawajalla.' Maka ditanya : 'Apakah dia ilmu yang engkau kehendaki itu?'. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. : 'Ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah SWT.' Maka ditanya kepadanya:  'Kami menanya daripada amalan dan engkau menjawab daripada ilmu.' Maka sabda Nabi Muhammad s.a.w.: 'Bahawasanya sedikit amalan itu memberi manfaat berserta adanya ilmu pengenalan kepada Allah SWT dan bahawasanya banyak amalan itu tiada memberi manfaat berserta kejahilan ilmu pengenalan kepada Allah Subhanahuwataala'." 

SOAL :

Apakah yang dimaksudkan dengan seseorang itu berada pada martabat Maqam Al- Fana' U-Billah dan Maqam Al Baqa' U-Fillah ?

JAWAB :

Maqam Al-Fana' U-Billah  ( مقام الفناء بالله) dan Al-Baqa' U-Fillah (البقاء في الله )adalah istilah yang dikhususkan kepada tingkatan amalan dan kefahaman golongan ahli sufi as-sunnah yang hak yang telah mencapai ke tahap martabat Muraqabah ( مراقبة) yang terjumlah sebagai golongan ahli al-Muqarrabun ( ( المقربونyang terbahagi kepada As-Siddiqin (الصديقين) dan Ashabulyamin (اصحاب اليمين)  .Muraqabah juga mempunyai pengertian yang sama dengan kalimah-kalimah Basirah( بصيرة) ,Musyahadah ( مشاهدة)Mu-aayanah    (معاينة    ) dan Mukasyafah مكاشفة)).
Orang-orang mukminin/mukminat soleh/soleha yang terjumlah dalam golongan sufi Ahli Sunnah ini mempunyai kefahaman yang luas dan mendalam terhadap Ilmu Tawhid dan cukup memahami pengertian ADA Allah mengikut pegangan iktiqad Ahli Sunnah wal Jamaah seperti yang terkandung di dalam Asma' Allah Al-Husna, maksud Hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan Allah Memuji Diri-Nya Sendiri dan memahami bab At-Tanzihu dan kandungan kitab Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Pada Makna Syahadah At-Tawhid dan Syahadah Ar-Rasul.
Sesungguhnya barangsiapa yang telah memahami, beriman dan berpegang teguh terhadap segala kandungan ilmu yang terdapat di dalam sumber-sumber rujukan di atas, apabila dia melafazkan zikirullah dia menghayati sepenuhnya Ilmu At-Tawhid dengan mengingati kemuliaan dan kebesaran Allah sahaja seperti yang diperjelaskan di dalam bahan-bahan sumber rujukan tersebut. Hatinya melupakan sama sekali daripada mengingati masawi [segala perkara berkaitan makhluk Allah sahaja].

Orang mukmin soleh yang sudah mencapai tahap ini, dia sudah terjumlah sebagai orang yang mendapat martabat Maqam Al-Fana' U-Billah yang bermaksud ketika melafazkan zikirullah 'hatinya telah melupakan langsung daripada mengingati segala sesuatu/barang/perkara yang lain daripada Allah'. Dia mendapat fadilat yang amat besar daripada zikirullah yang dilafazkannya dengan lidah dan dihayati di hati kerana ketika lidahnya melafazkan kalimah-kalimah zikirullah hatinya tertumpu sepenuhnya mengingati dan menghayati segala kandungan ilmu mengenai kemuliaan dan kebesaran Allah SWT sahaja. 

Dia dapat berbuat demikian oleh sebab dia cukup memahami segala makna Asma' Ul-Husna dan pengertian At-Tanzihu yang terkandung di dalam sumber-sumber yang tersebut di atas. Pencapaian ketinggian martabat ini baru berada di peringkat pertama.

Pada martabat yang lebih tertinggi lagi seseorang mukmin yang soleh itu tiada mengirakan lagi saat dan ketikanya dia melafazakan zikirullah memuji dan membesarkan kemuliaan Allah SWT. Walaupun lidahnya tidak melafazkan kalimah-kalimah zikirullah tersebut tetapi hatinya tidak lupa dan tidak lalai walaupun sedetik daripada mengingati kebesaran dan kemuliaan Allah sebagaimana yang terkandung pada segala makna nama-nama Allah yang Allah Taala memuji Diri-Nya sendiri dengan-Nya, segala makna yang terkandung di dalam Asma' Allah Ul-Husna dan kandungan ilmu pada bab At-Tanzihu. 

Ketinggian martabat yang amat mulia di sisi Allah ini dinamakan Maqam Fana' Ul-Fana' atau Maqam Al-Baqa' U-Fillah yang bermaksud seseorang mukmin soleh itu telah menghabisi segala waktu di sepanjang hayatnya dengan mengingati kebesaran dan kemuliaan Allah sahaja. Hatinya karam dalam lautan ilmu mengingati Allah dan terus melupakan daripada mengingati segala perkara dan hal yang lain daripada Allah. Maka apabila dia melafazkan zikirullah atau ada juga yang menyebut Zikir Nafi Ithbat Laillaha Illah fikiran dan mata hatinya (qalbu) tidak lagi mengingatkan makhluk lagi atau menafikan bahawa makhluk itu sudah ada sebelum Allah mengadakannya sebagaimana yang dimaksudkan pada pengertian At-Tanzihu yang terkandung di dalam Terjemah Aqidah Ahli-Assunah Pada Makna Syahdah At-Tawhid.

Ahli zikir itu memahami dan mengingatkan dengan mata hatinya dengan mengithbatkan  atau menanamkan di dalam minda dan hatinya (qalbu)bahawa sebelum diadakan sekalian makhluk-Nya hanya Allah sahaja yang Ada sebagaimana Dia Ada dengan segala ketinggian martabat kemulian Asma' Ul-Husna-Nya. Hatinya karam menghayati segala ilmu yang terkandung di dalam Asma'Ul-Husna, Terjemah Aqidah Ahli As-Sunnah, Hadis Rasulullah s.a.w. yang memperjelaskan Allah Memuji Diri-Nya Sendiri Pada Setiap Hari dan ayat-ayat al-Quran yang menerangkan Zat dan Sifat-sifat Allah yang Qadim lagi Azali. 
Ringkasnya ketika seseorang ahli zikir itu berzikir dia melupakan atau menafikan dengan tidak lagi mengingatkan makhluk tetapi tertumpu atau mengithbatkan dengan penuh khusyuk terhadap ilmu pengenalan kepada Allah sahaja.
Maka tidak menghairankan jika kadangkala orang awam tidak memahami kalimah-kalimah yang dipekataka oleh ahli zikir tersebut kerana pada ketika itu dia sedang melafazkan dan mengingati  Hadis tentang "Allah Memuji Diri-Nya Sendiri" dengan caranya sendiri yang tidak difahami orang awam yang belum pernah membaca Hadis tersebut.

[Lihat : Pengertian al-Muraqabah dan  Ahli al-Muqarrabin ]


Sifat dan tingkatan otak manusia memang amat sukar untuk menerima dan memahami bahawa Allah itu BUKAN makhluk dan segala Sifat dan Zat Allah yang Qadim itu tidak langsung menyamai makhluk walaupun mereka mempercayai Allah sebagai Tuhan itu ADA. Hal ini ada diperjelaskan di dalam al-Quran سورة المؤمن surah Al-Mu'min ayat 12 : 
    ذَلِكُمْ بِأَنَّهُ اِذَا دُعِيَ اللهُ وَحْدَهُ كَفَرْتُمْ وَاِنْ يُشْرَكْ  بِهِ تُؤْمِنُوْا  فَالحُكْمُ لِلَّهِ العَلِيِّ الْكَـبِيْرِ
                                     Maksudnya :
" Yang demikian itu adalah apabila kamu diserukan supaya menyembah hanya kepada Allah Yang Maha Esa,  kamu ingkar (kafir), dan apabila dipersekutukan dengan-Nya, lalu kamu sekelian mengimani (mempercayai). Maka hukuman itu (sekarang) adalah milik Allah Yang Maha Tinggi lagi Yang Maha Besar."
Mudah-mudahan naratif penjelasan ringkas ini dapat memberikan sedikit pencerahan serta kefahaman kepada kita bahawa apabila seseorang mukmin yang soleh itu melafazkan zikirullah untuk memuji kebesaran dan kemuliaan Allah dia tidak sesekali ada kena mengena dengan iktiqad yang beranggapan atau menuduhkan bahawa Allah SWT itu di atas 'Arasy, di dalam 'Arasy, di luar 'Arasy dan bersatu-padu dengan 'Arasy atau menuduhkan bahawa Allah SWT itu di dalam, di luar dan bersatu-padu dengan alam, berada di mana-mana dan yang seumpama dengannya. 
Fahaman ini boleh membawa maksud menuduhkan Allah itu ADA bertempat dan mengambil faedah daripada makhluk TEMPAT yang diadakan-Nya daripada semata-mata tidak ada kepada ada dengan Quadrat-Nya dan Kehendak-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali. 

Kesimpulannya pengertian Al-Fana' U-Billah dan Al-Baqa' U-Fillah ini ialah atas makna :
" melupakan langsung ingatan kepada makhluk Allah atas sebab mengingatkan Allah sahaja dan bukanlah bermaksud kekal kepada Allah atau menyatukan Zat Allah dengan zat makhluk."
Dalam hal ini Allah berfirman di dalam al-Quran surah سورة الأعراف‎‎ al-A'raf ayat 205  :

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ 

بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ

                              Maksudnya :
“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menguatkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.”         
Sungguhpun kita sebagai orang mukmin awam adalah amat sulit untuk mencapai ke tahap martabat yang amat tinggi dan mulia di sisi Allah ini kerana berbagai-bagai keperluan keilmuan yang mendalam dalam berbagai bidang dan penghayatan amalan mahmudah di samping beristiqamah meninggalkan perbuatan dan sifat-sifat mazmumah yang tercela di sisi Allah di sepanjang hayat, tetapi setidak-tidaknya kita mempunyai kemampuan atau kekuatan untuk membezakan di antara yang hak dengan yang batil.

Mudah-mudahan dengan naratif asas pedoman yang terbatas ini fikiran kita terbuka luas dan dapat mengenal pasti lintasan-lintasan yang terbit di hati sama ada ianya terbit daripada kembaran (qarin) malaikat atau kembaran syaitan yang sentiasa mengiringi setiap diri manusia di sepanjang hayat. Lebih elok dan dibarkati Allah lagi sekiranya kita dapat menyampaikan atau memperbetulkan fahaman iktiqad keimanan keluarga, sanak saudara dan sahabat handai mengenai perkara ini. 

Semoga dengan keikhlasan di hati dan kekuatan ilmu kurniaan Allah ini kita dapat menyanggah dan menolak segala hujah dan bisikan syaitan yang sentiasa berusha untuk menyesat dan mensyrikkan Allah hingga ke saat-saat terakhir hayat kita apabila berhadapan dengan Sakaratul-maut.

Marilah kita sama-sama mensyukuri segala nikmat kesihatan, kewarasan akal, kelapangan masa dan segala nikmat yang dikurniakan Allah yang tidak terhingga banyaknya dengan memberikan tumpuan yang serius dan berusaha bersungguh-sungguh tanpa merasa jemu dan bosan untuk mendalami, memahami dan meningkatkan penghayatan ilmu mengenali Allah SWT ini di samping tidak putus-putus memanjatkan syukur dan berdo'a kepada Allah Subhanahuwataala semoga kita dikurniakan rahmat, keampunan serta tawfik hidayah supaya terjumlah bersama-sama golongan para Aulia Allah dan ahli al-Muqarrabun, insya Allah.


                                  وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه     
                             ***********************************************************
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
                    Maksudnya :
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau kasihi (seperti Abu Talib) akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (kepada) sesiapa yang Dia kehendaki; dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah.”  
   [Al-Quran‎‎ surah  سورة القصص  Al-Qashash : 56 ]
Image result for jabal rahmah padang arafah
                                    Jabal Rahmah di Padang Arafah
Image result for padang arafah zaman dahulu kala
                       Suasana Jemaah Haji Wukuf di Padang Arafah pada zaman dahulu
 يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ 
             Maksudnya :
"Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sesekali kehidupan dunia memperdayakan kamu dan janganlah sesekali orang yang pandai menipu memperdayakan kamu tentang Allah. 
  [Al-Quran surah سورة فاطر Faathir : 5 ]   



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BILAKAH KIAMAT DUNIA AKAN BERLAKU ?

  بِسْمِ  ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَ...