Halaman

Isnin, 20 Februari 2012

Fitnah Kubur, Alam Barzakh dan Bumi Mahsyar

                                     


                                                                               بسم الله الرحمن الرحيم  

الحمد رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

 حَتَّى اِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ المَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ "لَعَلِّـىْ أَعْمَلُ صَالِحًا فِـيـْمَا تَرَكتُ كَلَّا اِنَّهَاكَلِمَةٌ هُوَ قَـائـِلـُهَا وَمِنْ وَرَائِـهِمْ بَرْزَخٌ اِلَى يَـوْمِ"يـُبْـعَـثُـونَ 

“Sehingga jika telah datang (kepada) seorang dari mereka kematian, dia berkata Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia). Agar aku berbuat yang baik pada apa yang telah aku tinggalkan, sama sekali tidak, sesungguhnya ia (adalah) perkataan/dalih (yang) dia (hanya) mengatakannya dan dari belakang mereka Alam Barzakh sampai pada hari mereka dibangkitkan.”

                         [ Maksud al-Quran surah Al-Mu'minun : 99-100]


"..........Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara Rasul-Rasul-Nya. Oleh sebab itu berimanlah kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya; dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka bagimu pahala yang besar." 
                [ Maksud al-Quran surah Al-'Imran : 179 ]
"Maka apakah orang-orang yang menoleh dengan mukanya menghindari azab yang buruk pada Hari Kiamat (sama dengan orang mukmin yang tidak kena azab?) Dan katakan kepada orang-orang yang zalim : Rasakanlah olehmu balasan apa yang telah kamu kerjakan." 
                 [Maksud asl-Quran surah Az-Zumar: 24
                                        *************************************************************

Sebagaimana yang diperjelas dan ditegaskan di dalam pegangan iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang terkandung di dalam Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Pada Makna Dua Kalimah Syahdah Al Tauhid dan Syahdah Ar Rasul kepercayaan terhadap hari akhirat termasuk segala hal yang berkaitan dengan Sakaratul-maut, Fitnah Kubur, Alam Barzakh dan segala perkara mengenai dibangkitkan hidup semula semua manusia dan jin bersama roh dan jasad pada Hari Kiamat dunia termasuk Padang Mahsyar dan Hari Pengadilan Allah sebelum menerima hukuman masing-masing adalah termasuk di dalam perkara-perkara yang berkaitan Rukun Iman yang mesti dan wajib dijadikan pegangan iktiqad keimanan bersandarkan nas-nas yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Sesiapa juga yang mengaku sudah benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya tetapi tidak beriman atau berpegang kepada pemahaman yang boleh membawa maksud mengingkari segala perkara mengenai Fitnah Kubur dan Hari Pembalasan besandarkan kepada ilmu yang hak berteraskan al-Quran dan Hadis-hadis Rasullah s.a.w. adalah dianggap sebagai ahli bida'ah sesat dan terkeluar daripada golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pegangan aqidah keimanan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah menegaskan

".....bahawasanya tidaklah diterima oleh Allah Taala akan iman seseorang hamba Allah itu melainkan hingga ia beriman dengan semua perkara yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. bersangkutan dengan perkara yang kemudian daripada mati dan adalah awal perkaranya itu soal Munkar wa Nakir. Kedua-duanya adalah dua orang malaikat yang sangat besar dan menggerunkan hamba Allah itu di dalam kuburnya sesudahnya dikembalikan balik roh itu kepada badan, maka kedua-duanya menanyakan dia bersangkutan dengan perkara Tawhid dan Rasul. Kata mereka kedua kepadanya: "Siapa Tuhan engkau, apa agama engkau dan siapa Nabi engkau." Dan kedua-duanya itu dua orang Fitnah Kubur dan pertanyaan mereka kedua itu ialah awal-awal fitnah kemudian daripada mati..."
Di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. yang berbentuk do'a ada menyebut 'Fitnah Kubur' seperti yang dimaksudkan:
".........Ya Allah!, bahawasanya aku memohon kepada Engkau hajat ku dan jikalau sekali pun lemah fikiran ku dan sedikit upaya kekuatan ku dan singkat amalan ku dan aku sangat berhajatkan kepada rahmat Engkau. Maka aku memohonkan kepada Engkau wahai Yang Amat Mencukupkan segala perkara dan wahai Yang Amat Menyembuhkan segala dada sebagaimana Engkau melepaskan di antara lautan-lautan bahawa Engkau lepaskanlah akan daku daripada azab api neraka dan daripada seruan kebinasaan dan daripada fitnah kubur................Ya Allah!, jadikanlah bagi ku cahaya pada hatiku, cahaya pada kubur ku...."
Terlalu banyak peringatan demi peringatan dan amaran demi amaran diberikan mengenai hal yang berkaitan dengan Fitnah Kubur dan Hari Akhirat yang terdapat al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Dalam pada itu mungkin terdapat juga cerita-cerita lisan yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih ditutur dan dijadikan pegangan iktiqad oleh golongan-golongan tertentu mengikut perspektif atau tanggapan-tanggapan yang munasabah pada akal fikiran mereka sendiri atau terus bertaqlid mewarisi kepercayaan nenek moyang terdahulu tanpa memikirkan implikasi terhadap keimanan dan keislamannya.

Semasa Rasulullah s.a.w. menyeru kaumnya supaya beriman kepada Hari Akhirat apabila manusia dan jin yang sudah semuanya mati dibangkitkan hidup semula pada Hari Kiamat untuk menghadapai Hari Pengadilan Allah dan menerima pembalasan yang setimpal dengan amalan mereka kelak sama ada di masukkan ke dalam syurga atau dihumban ke dalam neraka, lalu bangkit pula kaum kafir Quraisy yang diketuai oleh seorang bernama Al 'As bin Wail al-Quraisyi menempelak seruan Rasulullah s.a.w. dengan kata-kata ejekan kesat yang bermaksud :

" Telah menipu Muhammad akan sahabat-sahabatnya bahawa ada hidup mereka itu kemudian daripada mati. Demi Allah tiada membinasakan kami melainkan MASA."
Penghinaan, keingkaran dan ejekan Al-'As bin Wail al-Quraisyi yang sedemikian rupa dibalas keras oleh Allah dengan turunnya wahyu seperti yang terkandung di dalam ayat al-Quran surah Al-Jaatsiyah : 24 :
وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُوَمَا لَهُمْ بِذَلِكَ مِنْ عِلْمٍ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ )
Yang kira-kira ertinya: 
“Dan mereka berkata (orang-orang yang ingkarkan kebangkitan selepas mati):  Tidaklah ia (hidup itu) melainkan hidup kami di dunia ini (sahaja); kami mati dan kami hidup (silih berganti) dan tidak membinasakan kami melainkan (peredaran) masa; tidaklah ada bagi mereka dengan yang demikian itu sebarang ilmu pengetahuan; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata."
Terdapat juga beberapa ayat al-Quran lain yang memperjelaskan betapa Allah Maha Berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk-Nya kembali setelah dimatikan jasadnya/badan zahir. Antara ayat-ayat tersebut ialah seperti yang dimaksudkan:
"Sesungguhnya Dial-lah Yang mengadakan (makhluk) dari permulaan dan menghidupkannnya (kembali)." 
             [Surah Al-Buruuj :13 ]
"Maka hendaklah manusia memperhatikan daripada apakah dia diadakan? 
Dia dijadikan daripada air yang terpancar,
yang keluar dari tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan.
Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Berkuasa untuk mengkembalikannya (hidup sesduah mati). 
Pada hari dinampakkan segala rahsia." 
                    [   Surah Ath-Thaariq : 5-9   ] 
Al-'As bin Wael yang berhutang dengan seorang Muslim bernama Habab bin al 'Arat telah mengejek, memperli dan menghina Habab yang meminta bayaran balik hutangnya seperti yang disebut di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Dan adalah di atasnya  [Al-'As bin Wael ] itu hutang untuk Habab bin al 'Arat seorang daripada lelaki Muslimin. Maka ia meminta bayarkan hutangnya kepadanya. Maka kata Al 'As : Adakah engkau tidak menyangka Muhammad yang engkau itu adalah atas agamanya bahawasanya di dalam syurga itu barang apa sahaja yang dihajati ahlinya daripada emas, perak, pakaian atau khadam? Kata Habab: Bahkan.Katanya lagi: Maka engkau tungguilah aku pada hari [tersebut], maka akan aku datangkan harta dan anak dan akan aku tunaikan kepada engkau hutang engkau itu."
Segala ejekan, penghinaan dan sindiran sinis Al-'As bin Wael tersebut terus dibalas Allah dengan menurunkan wahyu al-Quran seperti yang terkandung di dalam surah Maryam: 77-80 bermaksud :
" Maka apakah kamu telah melihat orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami dan ia mengatakan : 'Pasti aku akan diberi harta dan anak'. 
 Adakah ia melihat yang ghaib atau ia telah membuat perjanjian di sisi Tuhan Yang Maha Pemurah? 
Sekali-kali tidak, Kami akan menulis apa yang ia katakan, dan benar-benar Kami akan memperpanjang azab untuknya, 
dan Kami akan mewarisi apa yang ia katakan itu [Allah akan mengambil kembali harta dan anak-anaknya], dan ia akan datang kepada Kami dengan seorang diri."
Wahyu Allah di dalam surah Maryam : 66-71 pula Allah menempelak serta menjelaskan mengenai hal yang sama seperti yang dimaksudkan:
" Dan berkata manusia: "Betulkah apabila aku telah mati, bahawa aku sungguh-sungguh akan dibangkitkan menjadi hidup kembali?"
Dan tidakkah manusia itu memikirkan bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikannya dahulu, sedangkan dia tidak ada sama sekali?
Demi Tuhanmu, sesungguhnya akan Kami tarik dari tiap-tiap golongan siapa di antara mereka bersama syiatan, kemudian akan Kami datangkan mereka ke sekeliling [neraka] Jahanam dengan berlutut.
Kemudian pasti akan Kami tarik dari tiap-tiap golongan siapa di antara mereka yang sangat derhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah.
Dan kemudian Kami sungguh lebih mengetahui orang-orang yang seharusnya dimasukkan ke dalam neraka.
Dan tidak ada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhan mu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan."
Segala ejekan dan penghinaan yang dilemparkan oleh kaum Arab jahilliah yang ingkar seperti Al-'As bin Wael, Abu Jahal, Abu Lahab dan sesiapa juga yang sehaluan dengan otak pemikiran mereka yang terus wujud di sepanjang zaman kehidupan manusia di dunia adalah disebabkan oleh kejahilan, keingkaran, sifat-sifat mazmumah yang terpahat di dalam diri dan terpengaruh dengan tipu daya syiatan yang menguasai diri mereka menjadikan 'Ainul Qalbi, Alk Basirah atau Mata Hati kegelapan dan pemikiran mereka tertutup rapat daripada cahaya hidayah dan pertunjuk Allah.

Mereka hanya merujuk dan menggunakan kepintaran akal fikiran hasil cetusan pancaindera yang lima sahaja untuk memahami sesuatu ilmu pengetahuan yang di luar kemampuan batasan logik akal fikiran mereka ataupun dengan sengaja mengingkari kebenaran.
Alangkah hina dan 'peliknya' perangai manusia bernama Al-As bin Wael ini yang mempercayai adanya Allah dan sangup bersumpah dengan nama Allah hanya semata-mata untuk mengingkari adanya hidup selepas mati sebagaimana yang dimaksudkan wahyu Allah di dalam al-Quran dan disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya.

Logik akal golongan yang sehaluan dengan kejahilan otak Al-As bin Wael ini yang bersandarkan deria pancaindera yang lima mengesah dan memutuskan tidak terdapat sebarang 'bukti siantifik' yang nyata bahawa ada hidup selepas mati. Mereka beranggapan tidak munasabah pada logik akal manusia bahawa di dalam liang lahad lubang perkuburan tanah yang sempit itu orang yang sudah mati jasadnya akan berhadapan dengan bermacam-macam hal seperti yang diperjelaskan di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
Kononnya mereka mempastikan dengan sahih melalui hasil 'analisis saintifik' oleh ahli-ahli sains berwibawa dengan bersaksikan mata kepala dan menggunakan peralatan teknologi tercanggih hasil ciptaan manusia yang ada pada mereka bahawa yang wujud hanyalah mayat-mayat manusia yang sudah menjadi tulang rangka dan ada pula yang sudah menjadi tanah serta terdapat juga bendapurba-bendapurba berharga yang ditanam bersama mayat-mayat tersebut mengikut kepercayaan tahyul masing-masing.


Maka dengan penuh keyakinan disebarkan keseluruh ceruk pelusuk seantero dunia menggunakan pelbagai media elektronik dan cetak mengenai sesuatu penemuan sensasi dan 'terulung' perkuburan manusia purba pada era zaman-zaman tertentu. Analisis dan pentafsiran saintifik "mengesah" dan merumuskan bahawa "tidak ada bukti kehidupan manusia di dalam kubur."
Rumusan ini  dengan sinis, bangga dan secara halus menempelak, menyindir dan menghina seruan Nabi Muhammad s.a.w. dan wahyu al-Quran dengan andaian dan sangkaan merekalah yang paling benar dan apa yang dituturkan oleh Al-'As bin Wael bersama kuncu-kuncunya adalah logik, paling saintifik, 'tepat' dan 'benar'.

Penghinaan seperti ini masih berterusan sehingga kini dalam pelbagai cara selagi manusia masih wujud dan dunia belum kiamat. Maka berbanggalah segolongan cerdik pandai manusia [termasuk golongan yang mengaku beragama Islam] yang bernaung di bawah payungan institusi-institusi pengajian tinggi menampilkan pakar-pakar arkeologi, antropologi dan ahli-ahli sains dalam pelbagai bidang apabila bertemu perkuburan-perkuburan dan rangka-rangka atau mumia manusia purba yang didakwa konon berusia puluhan atau ratusan ribu tahun.

Walaupun objektif rasmi yang diuar-uarkan adalah untuk membongkar sejarah ketamadunan manusia tetapi pada realiti yang tersirat di dalam minda adalah untuk membuktikan 'tidak wujud' kehidupan di dalam kubur dan tidak ada kehidupan akhirat di Alam Barzakh. Kepada golongan ini pesoalan kehidupan akhirat dan Alam Barzakah bukan satu realiti tetapi hanya kepercayaan tradisdi atau sebagai pengajaran agama sahaja yang tidak memberi sebarang implikasi terhadap kehidupan duniawi manusia.

Dengan penuh kebijaksanaan dan liciknya mereka menyemaikan benih kekeliruan di kalangan umat Islam untuk menjadi 'murtad'.  Umat Islam yang dangkal pengetahuannya dalam Ilmu Tawhid dan aqidah keimanan tidak mungkin mempunyai kekuatan ilmu untuk menolak segala teori dan hujah saintifik yang dihasilkan oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu yang dianggap sebagai pakar rujuk saintifik  berwibawa yang diperakui dan diiktiraf institusi/ agensi/ perbadanan antarabangsa. 

Maka dengan mudah orang awam terpedaya dan mempercayai bulat-bulat segala teori dan hujah akademik yang dianggap paling saintifik ini dan turut sama menyemarakkan penyebarannya di kalangan masyarakat umum yang meminati sejarah ketamadunan manusia.
Adalah tidak menghairankan sekiranya terbit kepercayaan dan tanggapan di kalangan segelintir umat Islam berpendidikan tinggi atau mungkin juga golongan sarjana tertentu yang mengatakan atau mendakwa bahawa apa yang disampaikan di dalam pengajaran agama wahyu hanya kepercayaan agama sahaja yang tidak saintifik, tidak boleh diyakini serta tidak boleh disahkan kebenarannya.

Dalam erti kata lain ilmu sains adalah segala-galanya mengatasi kepercayaan dan pengajaran agama. Sekiranya terdapat percangahan ilmu di antara al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. dengan ilmu sains, maka ilmu sains lazimnya diberikan keutamaan atau lebih diyakini kerana dianggap lebih benar, tepat dan dapat diterima akal logik manusia. 

Di dalam al-Quran surah Al-An'am: 116 memperjelaskan seperti yang dimaksudkan:
“Dan apabila kamu mentaati/menuruti kebanyakan orang di muka  bumi, nescaya mereka akan  menyesatkan kamu dari jalan (agama) Allah, tidak mereka mengikuti kecuali (hanya) persangkaan belaka, dan mereka tidak lain kecuali (hanya)  berbohong (berdusta).”
 Ayat ini memperingatkan manusia supaya jangan terlalu mudah mempercayai dan meyakini kebenaran sesuatu perkara atau pengajaran yang dibawa oleh golongan tertentu dengan hujah-hujah logik yang kelihatan diterima bulat-bulat oleh kebanyakan manusia kerana terlalu ramai pengikutnya. Hanya orang yang beriman dan mempunyai kefahaman mendalam terhadap ilmu yang hak sahaja berkemampuan untuk membenarkan atau menolak pengajaran seperti ini.                      
Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya apakah yang wajar dilakukan bagi menangkis serangan aqidah keimanan yang amat serius dan berleluasa ini agar tidak turut terjerumus ke lembah kekufuran dan kesesatan?
Segala hal yang berkaitan dengan Rukun Iman dan aqidah keimanan adalah perkara-perkara ghaib yang tidak boleh dibukti dan disahkan secara logik akal melalui kajian saintifik menggunakan peralatan teknologi atau ilmu duniawi yang bersumberkan otak pemikiran manusia yang terbit daripada pancaindera yang amat terbatas keupayaannya.


Segala penjelasan yang dihuraikan di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. hendaklah diterima sepenuhnya secara mutlak dan holistik dengan penuh keimanan, keyakinan tanpa uas-uas dan ragu-ragu kerana ilmu yang dikurniakan Allah kepada makhluk manusia, jin dan malaikat adalah amat terbatas, banyak kekurangan dan kelemahannya berbanding Ilmu Allah yang Qadim. 

Ilmu Allah yang  Qadim itu tidak mempunyai sebarang kelemahan walaupun sebesar debu, tidak mempunyai had batasan, tidak bertambah atau berkurangan walau setitik pun. Dalam hal ini para ilmuan hendaklah memahami dan mengenali hakikat "Kenabian" dan wahyu-wahyu yang terkandung di dalam kitabullah adalah Kalam Allah dan bukan kalam manusia, malaikat, jin dan apa juga jenis makhluk Allah yang terdapat di langit dan bumi..
 Di dalam al-Quran surah Al-'Imran : 179  yang bermaksud :
"..........Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara Rasul-Rasul-Nya. Oleh sebab itu berimanlah kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya; dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka bagimu pahala yang besar."
Penjelasan ini dapat memberi kefahaman bahawa segala hal yang ghaib tidak sekali-kali dapat dilihat oleh mata kasar manusia biasa kecuali Rasul-rasul Utusan Allah. Hakikat ini adalah disebabkan persoalan Rukun Iman termasuk hal Fitnah Kubur dan Hari Akhirat tidak diketahui langsung oleh manusia kerana ia adalah sebahagian daripada hal akhirat dan di antara perkara-perkara ghaib yang hanya diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w.

Dalam hal-hal tertentu baginda melihat sendiri dengan mata kepalanya dalam keadaan sedar dan jaga dengan jasad dan roh [bukan mimpi, ilusi atau khayalan] apabila mengalami peristiwa mukjizat besar peristiwa malam Isra' dan Mikraj  seperti yang termaklum.
Apabila Rasulullah s.a.w menceritakan peristiwa tersebut kepada penduduk Mekah ramai orang sudah beriman kembali murtad dan orang yang kafir bertambah kuat kekafiran dan keingkaran mereka di samping terus mengejek dan mempersendakannya kerana tidak mempercayai langsung dengan apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. mengenai peristiwa Isra' dan Mikraj tersebut yang bertentangan dengan logik akal mereka dan hukum tabi'e alam. Namun  demikian apabila peristiwa besar ini dimaklumkan kepada Abu Bakar As-Siddiq r.a.  dengan spontan dan penuh ketegasan serta keyakinan beliau terus memberi jawapan bahawa :

"lebih daripada itu pun aku mempercayainya [membenarkan dan beriman sepenuhnya]."
Jawapan Abu Bakar As-Siddiq RA ini adalah disebabkan kefahaman Ilmu Tawhidnya sangat luas dan mendalam. Dia cukup mendalami kefahaman mengenai Qadrat dan Perbuatan Allah Yang Qadim, mengenali Nabi Muhammad sebagai seorang Nabi dan Rasulullah s.a.w. yang dipilih dan diutuskan Allah untuk memberi rahmat kepada seluruh alam, perjalanan kenabian yang ditempuhinya sejak kecil, kemaksumannya, mukjizat-mukjizat kurniaan Allah yang  dimilikinya apabila berhadapan dengan sesuatu hal yang amat menyulitkan,  akhlaknya yang mulia dan amat terpuji yang bersih daripada segala sifat mazmumah mengatasi semua manusia. Baginda juga adalah Penghulu semua Nabi dan Rasul, manusia dan jin.

Apabila disebut sebagai "Penghulu" dalam konteks Rasulullah s.a.w. tidak bermakna menyamai dengan jawatan "Penghulu", "Pemimpin" atau "Ketua" seperti manusia biasa bagi kaumnya, tetapi bermaksud baginda mengatasi semua para Nabi dan Rasul, manusia dan jin dalam segala aspek termasuk ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi, keimanaan, keilmuan, ibadat, ketaqwaan, kebijaksanaan, kepemimpinan, amanah, kemuliaan akhlak, keadilan, kasih sayang, keberanian, pemurah, kesabaran, dan lain-lain lagi sifat mahmudah. Rasulullah s.a.w. tidak langsung mempunyai walaupun sedikit sebarang cacat cela sifat keji mazmumah pada dirinya dan sahsiah peribadinya bersesuaian dengan sifat maksum baginda yang terpelihara daripada melakukan sebarang dosa dan salah silap.

Rasulullah s.a.w. juga adalah seorang yang ummi iaitu tidak pernah langsung belajar membaca dan menulis daripada sesiapa pun di kalangan manusia. Lautan ilmu pengetahuan yang dimiliki baginda adalah kurniaan Allah SWT dan bimbingan wahyu yang disampaikan melalui Malaikat Jibrael Alaihisalam. Sungguhpun pada zahirnya Rasulullah s.a.w sama seperti sifat manusia, yang makan, berkeluarga, bertutur kata dan sebagainya tetapi 'akhlak al-Quran' kurniaan Allah yang dimilikinya meletakkan martabat baginda adalah sama seperti malaikat juga. 

Setiap detik lintasan hati dan perbuatan baginda adalah sangat terpuji, terpelihara daripada sebarang kemungkaran dan selama-lamanya bertasbih dan bertahmid memuji kemuliaan dan kebesaran Allah sahaja. Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali melafazkan kata-kata dan melakukan sesuatu perkara mengikut kehendaknya sendiri tetapi kesemunya dengan bimbingan wahyu Allah sebagimana yang diperjelaskan di dalam al-Quran: 

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ. إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ
“Tidaklah (Rasullullah) berkata-kata mengikut hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah apa yang telah diwahyukan (kepadanya).”  
(Surah An-Najm: 3-4)
Daripada sini dapatlah difahami mengapa Abu Bakar As-Siddiq r.a. yang begitu tinggi martabat keimanan dan ketaqwaannya di sisi Allah mengatasi manusia-manusia lain selepas Rasulullah s.a.w., sentiasa memuliakan Rasulullah s.a.w. dan mentaatinya dalam segala perkara. Beliau juga tidak pernah bertemu dan jauh sekali dapat berkata-kata dengan Malaikat Jibrael Alaihisalam, Penghulu sekalian malaikat yang berada di langit dan bumi kerana beliau bukan seorang Nabi/Rasul. Ini bermakna beliau tidak tergolong sebagai orang yang 'maksum' seperti para Nabi dan malaikat.  

Sungguhpun martabat Abu Bakr As-Siddiq r.a. begitu mulia  di sisi Allah berbanding seluruh insan mukmin yang salih dan manusia-manusia lain yang hidup sezaman dan selepas beliau tetapi martabatnya tidak langsung menyamai para Nabi dan Rasul bagi melayakkannya bertemu dan berkata-kata dengan Malaikat Jibrael Alaihisalam atau malaikat-malaikat lain.

'Penghulu' dalam konteks Malaikat Jibrael Alaihisalam pula bermaksud kemuliaan, keilmuan, ketaqwaan, keimanan dan segala sifat terpujinya mengatasi semua malaikat, manusia, jin dan sekalian makhluk Allah yang berada di langit dan bumi yang tidak terhingga banyaknya. Maka dialah juga yang menanggung amanah Allah untuk menyampaikan wahyu-wahyu-Nya kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah yang dibangkitkan di kalangan umat manusia.
Ini bermakna lautan ilmu yang dikurniakan Allah kepada Malaikat Jibrael a.s. yang terkandung di dalam kitabullah; Az-Zabur, At-Taurah, Al-Injil dan Al-Quran  mengatasi ilmu-ilmu yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w., para malaikat, Rasul-rasul lain dan apa tah lagi seluruh umat manusia dan jin. Maka amat dusta sama sekali dan satu bida'ah sesat sekiranya ada orang yang mengaku dirinya atau si-polan itu 'maksum', menerima wahyu dan bertemu dengan Malaikat Jibrael atau malaikat-malaikat lain.

[LihatTingkatan Otak Manusia dan Akhlak Mukmin ]


Apabila sudah jelas dan benar-benar memahami kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah satu-satunya manusia pilihan yang maksum dan ummi yang diiutuskan Allah sebagai Rasulullah s.a.w. dan 'Kekasih Allah' untuk menyampaikan wahyu Allah melalui Malaikat Jibrael Alaihisalam bagi memberi pertunjuk dan membimbing manusia dan jin ke jalan yang benar dan hak untuk kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagian yang berkekalan di akhirat, maka tidak timbul sebarang keraguan dan syak wasangaka terhadap kebenaran setiap kalimah ilmu pengetahuan berteraskan wahyu Allah khususnya mengenai sifat-sifat Allah yang Qadim dan 'Alam Akhirat' yang disampaikan Rasulullah s.a.w.

Kebanyakan ilmu yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. lebih tertumpu mengenai hal akhirat, ketaqwaan, keimanan dan yang berkaitan dengan ibadat yang seolah-olah menggambarkan bahawa Islam hanya menitikberatkan persoalan akhirat, ibadat dan keimanan sahaja. Tanggapan seumpama ini hanya dilihat dari sudut pemikiran manusia yang hanya memikirkan hal kepentingan hidup di dunia sahaja. Pada hakikatnya segala ilmu pengetahuan yang diajarkan melalui wahyu Allah dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. adalah mencakupi segala keperluan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. 


Kepentingan ilmu mengenai keimanan dan hari akhirat disebut berulang kali dan dititikberatkan kerana ilmu-ilmu ini amat sukar difahamai oleh pemikiran otak manusia kerana kesemuanya bertentangan dengan adat kebiasaan hukum alam tabi'e dan bertentangan dengan logik akal manusia.

Dalam pengajaran Islam segala detik kehidupan manusia termasuk mepelajari dan mengamalkan ilmu-ilmu untuk keperluan duniawi adalah berlandaskan IMAN dan TAQWA. Segala perbuatan manusia sama ada perhubungannya dengan Allah atau sesama manusia termasuk lintasan-lintasan di dalam hati diberi ganjaran "Pahala" dan "Dosa" yang berkekalan dan akan disoal atau dipertanggungjawabkan hingga ke akhirat. Kesemuanya  adalah tertakluk kepada peraturan hukum-hakam yang ditetapkan mengikut rukun dan kaifiat hukum syarak. 

Sungguhpun Rasulullah s.a.w. tidak mengajarkan secara khusus mengenai ilmu-ilmu bagi keperluan hidup di dunia seperti ilmu-ilmu yang berkaitan dengan sains tabi'e, perubatan, matematik,ekonomi, pengurusan kewangan, politik, bahasa persuratan dan segala ilmu yang dikaitkan dengan keperluan hidup di dunia tetapi ini tidak bermakna baginda tidak mempunyai pengetahuan mengenai ilmu-ilmu tersebut. 

Kesemua ilmu duniawi yang bersandarkan kepada kepintaran otak manusia ini adalah 'terlalu mudah' untuk difahami kerana kesemuanya adalah daya kreativiti manusia yang bersandarkan kepada akal pancaindera yang lima yang mudah dibentuk dan difahami sekiranya diberikan pendedahan dan pendidikan yang betul. 

Perkembangan untuk memajukan pemikiran otak manusia dalam segala hal kesejahteraan kehidupan dan ketamadunan duniawi ini 'amat mudah' dilakukan dan difahami manusia tanpa sebarang bimbingan daripada Rasul Allah dan wahyu Allah. Sekiranya sesuatu kesilapan dilakukan terhadap pelaksanaan sesuatu ilmu duniawi ini akan hanya memberi implikasi dalam kehidupan manusia bagi tempoh masa yang 'singkat' ketika hidup di dunia sahaja. 
Kemungkinan akan berlaku berbagai pergolakan untuk menyelesaikan sesuatu isu atau masalah penerapan ilmu berbangkit yang boleh menyebabkan berlaku perbalahan, pergaduhan, kezaliman dan kematian. Tetapi kesemuanya masih berkisar dalam skop kehidupan duniawi juga. 


Kesemua Rasul yang dibangkitkan di kalangan manusia adalah untuk menyampaikan secara khusus mengenai hal kehidupan di akhirat dan segala hal yang berkaitan dengan Allah Subhanahuwatala dan IMAN di samping memberi pedoman berlandaskan wahyu Allah terhadap menunaikan amanah dan tanggungjawab mentadbir urusan duniawi agar tidak berbangkit masalah ketidakadilan di kalangan manusia yang membawa berlakunya kezaliman dan pertumpahan darah. 
Inilah yang dimaksudkan manusia itu menjadi 'khalifah' di bumi iaitu untuk melaksanakan tanggungjawab mentadbir, memaju dan membentuk ketamadunan hidup di dunia sebagai satu ujian dan ibadat yang akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya apabila kembali ke akhirat menghadapi segala hal yang berkaitan dengan Hari Kiamat dan akhirnya menikmati kebahagiaan hidup di syurga yang kekal abadi.

Namun perkara pokok dan terpenting yang disampaikan oleh para Rasul Allah adalah ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keimanan kepada Allah, Hari Akhirat dan segala hal yang berkaitan dengan Rukun Iman yang tidak diketahui sama sekali oleh manusia biasa walaupn sepintar mana sekalipun tahap otak pemikiran mereka. 


Ilmu mengenali Allah yang tarkandung di di dalam Ilmu At-Tawhid dan segala hal kehidupan di akhirat yang bermula apabila setiap manusia berhadapan dengan saat-saat Sakaratul-maut, seterusnya 'Fitnah Kubur', kehidupan di Alam Barzakh, Hari Kiamat Dunia, hari dihimpunkan semua makhluk Allah untuk dihisab amalan mereka, meniti Sirat, dan akhirnya dimasukkan ke dalam syurga atau di humban ke dalam neraka adalah kesemuanya di luar tabi'e yang tidak diketahui sama sekali dan terjangkau pemikiran otak manusia tanpa bimbingan para Rasul. 

Sekiranya manusia berfahaman atau berpegang kepada ilmu yang salah dan batil mengenai semua perkara atau salah satu daripada ilmu Rukun Iman tersebut, maka mereka terjumlah sebagai orang yang kufur atau munafik. Implikasi kesilapan atau keingkaran terhadap perkara-perkara ini tidak tamat setakat di dunia sahaja tetapi terus berkekalan dan dipertanggungjawabkan hingga ke akhirat yang menyebabkan mereka menerima hukuman azab di dalam neraka dan berkekalan selama-lamanya di sana. 

Jika dikira mengikut perhitungan biasa kadar kehidupan manusia di dunia ini adalah terlalu singkat sahaja jika dibandingkan dengan kehidupan yang kekal abadi selama-lamanya di akhirat. Justeru persoalan kehidupan di akhirat yang kesemuanya di luar tabi'e alam adalah diutamakan di dalam setiap wahyu Allah yang disampaikan melalui Malaikat Jibrael a.s. kepada para Rasul agar manusia mengetahui, memahami dan bersedia menghadapinya dengan segala keperluan yang mencukupi bagi menentukan mereka terselamat daripada hukuman azab seksa api neraka.

Walaupun 'Fitnah Kubur' itu  hanya berlaku apabila mayat si mati sudah berada di dalam kubur tetapi 'Fitnah' atau ujian terhadap 'si mati' sudah bermula ketika dia sedang nazak menghadapi Sakaratul-maut di dunia lagi sebelum rohnya dicabut keluar oleh Malaikat Maut dan jasadnya (badan zahir) menjadi mati.  Pada saat-saat yang paling genting dan kritikal inilah roh 'si mati' didatangi usaha-usaha terakhir daripada tentera-tentera syiatan supaya si mati mensyrikkan Allah dan mati dalam kekafiran.

Mudah-mudahan kalimah Syahdat At-Tawhid ' La Illaha Illallah' yang dituturkan dengan lidah dan hatinya berserta kandungan fahaman ilmu yang dihayatinya di dalam kalimah tersebut dan berbaik sangka dengan sifat-sifat Allah SWT Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun lagi Maha Pemurah seperti yang terkandung di dalam Asma' Ullah Al Husna dapat membantu dia berhadapan dengan detik-detik paling menggerunkan dan amat mencemaskan ini. 
Di samping itu bantuan 'do'a dan 'talqin' daripada anak-anaknya yang salih mudah-mudahan dimakbulkan Allah agar rohnya terselamat daripada gangguan-gangguan syiatan dan dia kembali ke rahmatullah sebagai mukmin/mukminat yang salih mendapat martabat Husnul-khatimah.

Alangkah malangnya sekiranya 'si mati' [walaupun beragama Islam] tidak mengetahui atau mendalami Ilmu Tawhid  di sepanjang hayatnya kerana syiatan-syiatan akan membuat berbagai-bagai tipu daya dan helah supaya roh 'si mati' menyekutukan Allah dengan makhluk-Nya. Apabil Roh Hammalul Amanah sudah tiba di halkum [walaupun masih berada di dalam badan zahirnya yang masih hidup ] taubat tidak lagi diterima Allah. Pada ketika itu hijab pemandangan 'si mati'  dibuka seluas-luasnya hingga dapat melihat sendiri Malaikat Maut, Malaikat Rahmat atau Malaikat Azab, dua orang malaikat yang mencatatkan segala amalannya di sepanjang hayat, melihat sendiri segala perbuatan dan amalannya yang kekal terakam di al-Arasy dan juga tempat balasannya sama ada di syurga atau neraka.

Kata-kata yang dimaksudkan setengah ulama Ahli Makrifat daripada Ahli Al-Salaf  dapat difahami bahawa :
" ....Al-Arasy itu ialah yaqut jauhar yang bergemerlapan cahaya, maka tiada berlaku seseorang hamba itu di atas sesuatu hal melainkan terlekat [tertinggal] contoh misalnya pada al-Arasy itu di atas rupa yang ia ada di atas keadaannya itu. Maka apabila ada ia pada waktu Sakaratul-maut tiba masa ajal matinya dibukakan hijab baginya untuk melihat rupa hal-halnya itu daripada al-Arasy. 
Maka terkadang ia melihat dirinya di atas keadaaan berbuat sesuatu perkara maksiat dan demikian itu juga dibukakan baginya pada Hari Kiamat. Maka ia melihat segala hal dirinya, maka mengenainya daripada malu dan takut barang yang lebih besar malunya dan takutnya daripada dapat disifatkan....."
Kesemua peristiwa dahsyat ini berlaku ketika 'si mati ' dalam keadaan nazak menghadapi Sakaratul-maut yang mungkin dihadapi oleh ramai manusia di sekelilingnya. Hanya Roh Hammalul Amanah 'si mati' sahaja yang mengetahui dan dapat merasakan takdir Allah dan hal keadaan sebenar yang menimpa dirinya. Sekiranya semasa hidup dia terdinding daripada dapat melihat para malaikat yang berada di sisinya yang bertugas merekodkan segala amalan dan perbuatannya pada setiap hari tetapi apabila rohnya sudah tiba di halkum menghadapi Sakaratul-maut dia dibuka hijab untuk melihat sendiri begitu ramai malaikat di sekelilingnya.

Orang ramai yang berada di sampingnya hanya dapat melihat hal keadaan zahir jasadnya sahaja. Mereka terdinding daripada dapat melihat atau merasakan begitu ramai malaikat yang berada di sekeliling untuk melaksanakan tugas masing-masing yang diamanahkan Allah seperti yang diperjelaskan di dalam Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. 

Oleh itu sesiapa juga yang berhajat menziarahi orang yang sakit tenat hendaklah memahami dan mematuhi segala peringatan Rasulullah s.a.w. mengenai adab menziarahi orang sakit. Mudah-mudahan dengan cara ini dapat membantu meringankan segala kesusuhan yang ditanggungnya menghadapi segala kesukaran ujian Sakaratul-maut agar dia kembali ke rahmatullah mendapat martabat Husnul-khatimah.   


            iii.  Masalah Roh
            iv. Tipu Daya Syiatan Iblis]

Apa juga yang berlaku terhadap 'si mati' ini adalah mengenai roh yang hal keadaannya sama jenis dengan malaikat yang tidak diperlihatkan kepada manusia yang masih hidup di dunia kerana sangat besar hikmah dan mempunyai rahsia besar yang tersendiri untuk menguji keimanan, ketaqwaan dan keilmuan mereka. Hal keadaan yang berlaku ketika dalam keadaan nazak menghadapai Sakaratul-maut ini boleh diibaratkan seperti seseorang yang sedang tidur. Jasad badannya berada di atas katil dan rohnya mengalami mimpi ngeri atau menikmati segala keindahan dan kenikmatan yang amat menakjubkan berada di satu alam lain.


Walaupun ramai orang yang melihat jasad badannya tidur nyenyak di atas katil tetapi mereka tidak melihat langsung atau mengetahui segala hal yang dialami oleh roh orang yang tidur itu 'bermimpi' pergi ke alam lain dan berhadapan dengan bermacam-macam perkara yang hanya dia seorang sahaja yang mengetahui dan mengalaminya sendirian.




Rasulullah s.a.w. diutuskan adalah untuk memberikan penjelasan perkara-perkara yang nyata dan hal-hal yang ghaib seperti ini yang langsung tidak diketahui sama sekali oleh manusia biasa supaya manusia beriman dan menyediakan diri dengan secukupnya untuk pergi ke akhirat bermula daripada saat-saat Sakaratul-maut yang pasti ditempuhi setiap diri manusia.

Persoalan Sakaratul-maut dan hal keadaaan Roh Hammalul Amanah 'si mati' menghadapinya adalah babak permulaan perjalanan ke alam akhirat yang wajar dan sangat penting di ulang-ulang peringatan dan pengajarannya kepada umat agar mereka mengetahui dan membuat persediaan mencukupi menghadapinya. 
Bermula daripada saat roh tiba di halkum dan seterusnya dicabut keluar daripada jasadnya oleh Malaikat Maut hinggalah dibangkitkan semula pada Hari Kiamat untuk menghadapi Hari Pembalasan,  'si mati' berada di dalam tempoh hukuman agama sepenuhnya, sama ada menerima kebahagian atau azab seksa yang dijanjikan Allah. Tidak ada seorang pun yang boleh terlepas, terkecuali atau dapat memboloskan diri daripadanya.

Walaupun peringatan demi peringatan dan amaran demi amaran yang disampaikan namun kebanyakan manusia tidak menghiraukannya sebagai sesuatu yang amat penting dan paling utama di dalam kehidupan di dunia. Hanya para Nabi, Rasul dan mereka yang tergolong sebagai Aulia Allah, insan mukmin dan mukminat yang salih, golongan yang mendapat cahaya hidayah Allah kerana keikhlasan beragama serta ulama-ulama Ahli Sunnah yang hak dan berpengetahuan agama yang mendalam dalam Ilmu Tawhid dan aqidah keimanan serta beristiqamah dengan segala sifat dan akhlak mahmudah dan keikhlasan melakukan ibadat-ibadat sahaja yang benar-benar takut tetapi bersedia menghadapi Sakaratul-maut kerana merindui hidup bahagia penuh rahmat di akhirat yang berkekalan seperti yang dijanjikan Allah. 


Golongan orang yang ikhlas berilmu yang hak inilah yang dimaksudkan di dalam al-Quran surah Faathir: 28 yang bermaksud:
 "...Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah para ilmuan/ulamak.  Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."
Golongan inilah yang paling kuat berusaha mempertingkatkan ketaqwaannya agar rahmat pertolongan Allah dan keredaan-Nya sentiasa melimpah dan dengan penuh harapan mereka kembali ke rahmatullah sebagai mukminin dan mukminat salihin sebagaimana yang disebut di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud bahawa orang mukmin salih mendengar seruan Malaiklat Maut yang bererti :

                        "Sukailah olehmu wahai Wali Allah dengan syurga."

Ahli maksiat/munafik, /orang kafir pula mendengar seruan Malikat Maut yang bererti :

                       "Sukailah olehmu wahai seteru Allah dengan neraka."

Seruan-seruan terakhir dan muktamad daripada Malaikat Maut ini sangat-sangat ditakuti oleh orang yang mempunyai mata hati 'Al-Basirah' bertepatan dengan maksud Hadis Rasulullah s.a.w. :
"Tiada sekali-kali keluar seorang kamu daripada dunia hingga ia mengetahui di mana tempat kembalinya dan hingga ia melihat tempat kedudukannya daripada syurga atau neraka."
Apabila seruan Malaikat Maut berbunyi : "Sukailah olehmu wahai seteru Allah dengan neraka", maka ini adalah perkhabaran muktamad bahawa si mati sudah sah menjadi ahli neraka. Ini bererti walau sekuat dan sebanyak mana meratap menangis hingga keluar air mata darah sekalipun atau memohon belas kasihan dan keampunan Allah segala-galanya tidak mempunyai apa-apa erti lagi kepadanya.  Perjalanan seterusnya ke alam akhirat adalah di dalam kesusahan dan kesangsaraan berterusan yang amat dahsyat menghadapi segala jenis azab seksa demi seksa... seperti yang dimaksudkan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w.

Sebaliknya sekiranya Malaikat Maut berkata dengan seruan:  "Sukailah olehmu wahai Wali Allah dengan syurga", maka perkhabaran muktamad ini bermakna dia menjadi ahli syurga. Tidak ada kesusahan langsung [kecuali kesakitan semasa Sakaratul-maut ] yang akan dihadapinya selepas Malaikat Maut mencabut keluar rohnya daripada badan zahir dengan penuh kelembutan dan disambut pula dengan penuh penghormatan dan kemuliaan oleh 500 orang Malaikat Rahmat yang sedia berbaris menunggu bersama pakaian sutera pokok 'raihan' dari syurga berbau harum kasturi.


Babak seterusnya memperlihatkan dia memperolehi kesenangan, kemudahan dan kenikmatan rahmat Allah yang berterusan ketika menghadapi Fitnah Kubur, berada dalam rahmat kebahagian di Ufukil Mubin di hadapan Arasy menunggu ketibaan Hari Kiamat besar, menghadapi timbangan amal, meniti sirat, minum air di 'Kolam Haudh' Nabi Muhammad s.a.w. dan akhirnya masuk ke syurga untuk kekal hidup dalam kenikmatan dan kebahagian tidak terhingga pada setiap detik yang berkekalan selama-lamanya.(Selama-lamanya di sini bukan bermaksud mempunyai satu tempoh masa tertentu seperti seratus tahun, seribu tahun, beribu-ribu tahun atau beribu juta tahun dan seterusnya tetapi berkekalan selama-lamanya tanpa pengakhiran. Demikian juga halnya dengan azab seksa yang ditimpakan kepada golongan yang menerima hukuman azab seksa yang berkekalan di dalam neraka). 

Beruntunglah mereka yang mengakhiri hayatnya dalam keimanan dan tergolong sebagai orang yang mendapat martabat Husnul-khatimah bersama roh orang-orang mukmin yang salih. Betapa malang, dukacita dan kerugian amat besar yang tidak terhingga dan berterusan selama-lamanya andainya seseorang itu mengakhiri hayatnya dalam kesesatan dan kemaksiatan dan tergolong sebagai orang yang mendapat Su-ulkhatimah bersama roh-roh orang yang kafir, ingkar, munafik, ahli maksiat dan tidak beriman.

[Lihat :  Timbangan Amal dan Kefahaman Ilmu Aqidah Ahli Sunnah]


Apakah yang berlaku seterusnya kepada 'badan batin' atau Roh Hammalul Amanah 'si mati' selepas Malaikat Maut mencabutnya keluar daripada jasadnya?
 Di dalam pengertian Asma' Ullah Al Husna ada terkandung nama Allah

        Al Ba'ith yang bermaksud :
"Yang mambangkitkan Rasul-rasul dan yang membangkitkan hidup semula orang-orang yang mati daripada kubur-kubur dan yang membangkitkan segala cita-cita hati kepada perkara-perkara yang tinggi-tinggi."
        Al Jamie'  bermaksud :
 " Yang menghimpunkan segala juzuk badan makhluk kemudian daripada bercerai-cerai pada ketika dibangkitkan hidup semula kemudian daripada mati."
Maksud yang hampir serupa terkandung di dalam al-Quran surah Yaa Siin: 76-81 yang bermaksud :
" Maka janganlah ucapan mereka menyedihkan kamu. Sesungguhnya Kami Amat Mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan. Dan apakah manusia tidak memperhatikan bahawa Kami mengadakannya daripada setitik air (mani), maka tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata!
Dan dia membuat perumpamaan bagi Kami; dan dia lupa kepada kejadiannya; ia berkata : "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-belulang yang telah hancur luluh?"
Katakanlah : "Ia akan dihidupkan oleh Tuhan yang mengadakannya kali pertama. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk,
iaitu Tuhan yang mengadakan untuk mu api dan kayu yang hijau, maka tiba-tiba kamu nyalakan (api) dari kayu itu itu."
Dan tidakkah Tuhan yang mengadakan langit dan bumi itu Maha Berkuasa menjadikan yang serupa dengan itu? Benar, Dia Maha Berkuasa. Dan Dialah Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui." 
Pengertian yang terkandung di dalam Asma'Ul-Husna dan ayat-ayat al-Quran ini memperjelas dan mengesahkan lagi bahawa Allah Maha Berkuasa mengadakan dan menghidupkan semula dan seterusnya menghimpunkan semua makhluk-Nya pada Hari Kiamat yang pasti berlaku seabagaimana yang dijanjikan. Kesemua urusan ini adalah tersangat mudah bagi Allah.


Apabila mayat si mati dimasukkan ke dalam kubur rohnya dikembalikan kepada jasad untuk menjawab Fitnah Kubur daripada Malaikat Munkar dan Nakir serta merasai himpitan kubur mengikut kadar bahagian masing-masing sama ada seperti pelukan kasih sayang seorang ibu yang amat menrinduinya atau himpitan ganas musuh perkasa yang amat membencinya.
Malaikat Munkar dan Nakir mempunyai rupa yang amat menggerunkan, suaranya seperti halilintar memanah dan matanya seperti kilat menyambar. Mereka diamanahkan Allah untuk menyoal roh manusia di dalam kubur mengenai ilmu keimanan At-Tawhid dan Rasulullah seperi yang dimaksudkan di dalam Hadis.


[**Peringatan : Hal keadaan ini bukan bererti jasad manusia itu hidup seperti di dunia tetapi hanya rohnya sahaja dikembalikan seketika pada jasad bagi menjawab soalan-soalan daripada Malaikat Munkar dan Nakir. Jasadnya mungkin sudah dibakar hangus menjadi debu, rosak binasa atau diawet dalam keadaan seperti orang tidur menjadi tontonan manusia yang masih hidup atau dalam keadaan apa sekalipun tetapi Allah Maha Berkuasa untuk mengkembalikan rohnya kepada jasad walau dalam apa jua bentuk dan keadaan sekalipun].
Hadis Rasulullah s.a.w menerangkan yang bermaksud:

" .....Hingga dikatakan kepadanya : Wahai ini.. siapakah Tuhan engkau? Dan siapakah Nabi engkau?, Apa dia agama engkau?  Maka ia berkata : Tiada aku tahu. Maka diperkatakan : Tiada engkau tahu? Dan datang seorang yang sangat buruk rupa muka, sangat busuk baunya, sangat buruk pakaiannya, maka ia berkata : Engkau sukailah dengan kemurkaan daripada Allah  dengan azab yang amat pedih lagi yang berketetapan. Maka ia berkata: Maka engkau juga disukai oleh Allah dengan kejahatan. Siapakah engkau? Maka ia berkata:  Aku ialah amalan engkau yang buruk, wallahi, bahawasanya engkau sangat segera berbuat maksiat kepada Allah dan sangat lambat berbuat taat kepada Allah, maka Allah balasi engkau dengan kejahatan.
Maka ia berkata : Dan engkau Allah balasi dengan kejahatan. Kemudian dikerasi baginya seorang yang pekak lagi bisu dan buta, ada bersertanya satu pemukul daripada besi yang jika sekiranya berhimpun sekalian jin dan manusia hendak mengangkatnya nescaya tiada terdaya mereka. Jika sekiranya dipukulkan dengannya pada satu gunung nescaya hancur menjadi debu. Maka ia memukulnya dengannya [pemukul besi] hingga menjadi debu tanah dan dikembalikan padanya roh. Maka ia memukulnya di antara dua matanya satu kali pukulan. Didengari oleh sekalian yang ada di atas bumi selain daripada jin dan manusia. Ia berkata: Kemudian menyeru seorang malaikat : Bentangkanlah olehmu sekalian dua papan daripada api neraka dan bukakanlah olehmu sekalian satu pintu kepada api neraka....."
Demikianlah maksud Hadis Rasulullah s.a.w. yang menerangkan betapa dahsyatnya azab kubur yang dikenakan ke atas orang kafir dan yang beriktiqad sama seperti Al-'As bin Wael yang mendustakan dan menghina Rasulullah s.a.w. serta ingkar adanya hidup selepas mati, dan adanya balasan nikmat syurga dan azab seksa neraka di akhirat.

Ini bererti sebelum berlakunya lagi Hari Kiamat besar dunia roh atau 'badan batin' orang-orang yang ingkar dan tergolong sebagai kufar, munafik dan ahl-ahli maksiat yang tidak mendapat keampunan Allah sudah menerima azab seksa neraka yang berterusan (tanpa merasai mati) di Alam Barzakh sehingga dibangkitkan semula bersama jasad apabila tiba Hari Kiamat besar kelak.

Alangkah malang, rugi dan amat dukacitanya 'si mati' itu jika dia  termasuk dalam golongan orang ingkar yang menerima azab seksa kubur di Alam Barzakh tetapi semasa hidup di dunia dia adalah orang yang hidup bermegah-megah dengan kemewahan, kaya-raya, mempunyai jumlah harta yang sangat banyak serta berstatus tinggi dan mulia di sisi manusia.


Segala harta kekayaan yang mungkin memenuhi bumi dan kemuliaan hidup di dunia yang ditinggalkannya tidak dapat langsung membantu menyelamatkan dia daripada terkena azab seksa Allah tetapi hanya memberi faedah dan menjadi milik orang  yang masih hidup sahaja, sedangkan semasa hidup dia berpenat-penat dan bersusah payah mengumpulkan harta dengan berbagai-bagai cara termasuk menipu dan menzalimi manusia.
Dalam al-Quran surah Al-Imran: 91 memperjelaskan hal ini seperti yang bermaksud :

“Bahawa orang-orang yang telah kufur dan mereka mati dalam keadaan kekafiran maka tidaklah akan diterima dari seorang pun di antara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas [yang sebanyak] itu. Bagi mereka itulah seksaan yang pedih dan sekali-kali mereka tidak memperoleh penolong."
Nasib yang serupa juga menimpa kepada semua manusia yang ingkar termasuk golongan orang Islam yang fakir miskin atau orang yang dianggap atau pada zahirnya adalah golongan ahli agama tetapi  berpegang kepada iktiqad yang salah dan bertentangan dengan aqidah keimanan yang hak.

Hal keadaan Roh Hammalul Amanah golongan orang mukminin dan mukminat yang salihin pula adalah seperti yang diperjelaskan di dalam maksud Hadis Rasulullah s.a.w. berikut yang diriwayatkan oleh Ka'ab:

"Dan berkata Ka'ab : Apabila dihantarkan hamba yang salih itu di dalam kubur nescaya mengelilinginya oleh segala amalannya yang salih ; iaitu sembahyang, puasa, haji, jihad dan sedekah. Katanya: Maka datang malaikat azab daripada pihak dua kakinya, maka kata Sembahyang: Berundurlah olehmu daripadanya, maka tiada jalan bagi kamu ke atasnya [mengazabnya], sesungguhnya ia telah memanjangkan denganku masa berdiri bagi Allah ke atas keduanya. Maka datang mereka kepadanya daripada pihak kepalanya, maka  berkata Puasa : Tiada jalan bagi kamu ke atasnya, sesugguhnya ia telah memanjangkan masa kedahagaannya bagi  Allah dalam negeri dunia, maka tiada jalan bagi kamu ke atasnya.

Maka datang mereka kepadanya daripada pihak jasadnya [badannya], maka berkata Haji dan Jihad : Berundurlah kamu daripadanya, sesungguhnya ia telah memenatkan diri dan badannya dan ia telah Haji dan Berjihad kerana Allah, maka tiada jalan bagi kamu ke atasnya. Katanya: Maka datang mereka kepadanya daripada pihak dua tangannya, maka kata Sedekah: Berundurlah olehmu daripada tolanku, maka berapalah banyak daripada sedekah telah keluar daripada kedua-dua tangan ini hingga jatuh pada "tangan" Allah [ hingga "diterima" Allah ibadat sedekahnya] kerana semata-mata menuntut keredhaan-Nya sahaja, maka tiada jalan bagi kamu ke atasnya. Katanya: maka dikatakan kepadanya: Berkeluasan bagi engkau telah baiklah engkau semasa hidup dan telah baiklah engkau semasa waktu mati. 

Katanya: Dan datang kepadanya Malaikat-malaikat Rahmat, maka dibentangkan baginya hamparan daripada syurga dan diluaskan baginya dalam kuburnya sejauh pemandangan matanya dan didatangkan dengan kendil [lampu] daripada syurga, maka ia mendapati cerahan dengan cahayanya hingga hari dibangkitkan dia oleh Allah SWT daripada kuburnya."
Pengertian Hadis Rasulullah s.a.w. yang panjang ini banyak memberi kefahaman, kesedaran dan keinsafan bahawa betapa mulianya ibadat-ibadat yang benar-benar ikhlas semata-mata untuk mendapat keredaan Allah kerana segala pahala amalan orang mukmin salih yang diterima Allah ini ditukarkan menjadi makhluk seperti malaikat dan memberi bantuan serta perlindungan kepada tuannya daripada terkena sebarang tindakan Malaikat Azab dengan izin Allah. 

[ Peringatan : Makhluk-makhluk ini adalah pahala cahaya ibadat dan amalan salih yang diterima Allah dan ditukarkan pula menjadi makhluk yang hal keadaannya sama seperti malaikat yang disebut sebagai "Roh Amalan Salih" ]. 
Kuburnya pula diperluaskan sejauh pemandangan mata, dihiasi hamparan syurga dan diterangi oleh lampu yang didatangkan khas daripada syurga oleh Malaikat-malaikat Rahmat. Dalam Hadis-hadis yang lain pula menerangkan terdapat banyak lagi nikmat yang  berterusan disediakan untuknya tanpa kesudahan pada setiap saat laksana berada di dalam syurga menunggu ketibaan Hari Kiamat.

Di dalam al-Quran surah Al-'Imran: 169-170 ada menjelaskan yang bermaksud :

"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur syahid di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu 'hidup' 'di sisi' Tuhannya dengan mendapat rezki,  
mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka amat gembira hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati."
 Maksud yang hampir serupa juga terkandung di dalam surah Al-Baqarah : 154 yang bermaksud :
"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah (bahawa mereka itu) mati, bahkan(sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya."
Nas-nas tersebut memberi pengertian bahawa orang mukmin dan mukminat yang salih dipermuliakan Allah dan para malaikat bermula ketika dicabut keluar rohnya daripada jasad [badan zahir] oleh Malaikat Maut semasa berada di dunia lagi. Segala hal yang dialaminya di dalam kubur adalah sama seperti ketika dia berhadapan dengan Sakaratul-maut di dunia lagi yang tidak dapat dilihat sama sekali dengan mata kepala oleh manusia yang masih hidup di dunia.
Segala kesenangan yang dinikmatinya di dalam kubur Alam Barzakh juga tidak dapat dilihat oleh mata kepala manusia yang masih hidup kerana kesemuanya adalah sama jenis dengan hal keadaan malaikat dan Roh Hammalul Amanah atau badan batin 'si mati'.

Begitu juga kuburnya diperluaskan sejauh pemandangan mata seperti taman syurga.Orang yang beriman tidak merasa hairan atau terkejut apabila mendengar atau membaca segala penjelasan dan perkhabaran ini kerana dia mempunyai 'Ainul Qalbi, Al Basirah atau Mata Hati  untuk memahami betapa ajaibnya hal keadaan makhluk Allah yang dinamakan malaikat dan badan batin atau roh manusia atau Roh Hammalul Amanah serta 'Roh Amalan Salih' yang pada hakikatnya hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui dan tidak diketahui sama sekali oleh manusia, jin dan malaikat termasuk para Nabi dan Rasul.
[** Catatan: Kubur yang dimaksudkan adalah kubur di Alam Barzakh yang sama jenis dengan Roh Hammalul Amanah si mati juga dan bukan lubang kubur tanah yang boleh dilihat oleh manusia yang masih hidup di dunia].


Hal keadaan ini dapat difahami juga apabila membaca sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. dalam bentuk do'a sebagaimana yang dimaksudkan seperti berikut :
"Ya Allah! jadikanlah bagiku cahaya pada hatiku, cahaya pada kuburkucahaya pada pendengaranku, cahaya pada penglihatanku, cahaya pada rambutku, cahaya pada kulitku, cahaya pada dagingku, cahaya pada darahku, cahaya pada tulangku, cahaya di hadapanku, cahaya di belangkangkucahaya di kananku, cahaya di kiriku, cahaya di atasku, dan cahaya di bahuku. Ya Allah! tambahilah oleh-Mu akan cahaya dan kurniakanlah akan daku cahaya dan jadikanlah bagiku cahaya."
Pengertian 'Cahaya' atau 'Nuur' dalam Hadis ini mengandungi kefahaman ilmu yang luas dan mempunyai maksud yang berbeza-beza dalam berbagai konteks mengikut maksud dan kehendak do'a tersebut. Bagi maksud 'Cahaya' yang disediakan Allah Taala di dalam kubur itu ialah daripada jenis 'Cahaya' yang sama jenisnya dengan badan batin atau Roh Hammalul Amanah yang sangat elok rupa wajahnya, sangat harum baunya dan sangat elok pakaiannya yang kesemuanya daripada jenis 'Cahaya'. Bahkan tanah di dalam kubur orang mukmin yang salih pun ditukarkan menjadi 'Cahaya kehijauan'.

Keadaan ini tidak menghairankan kerana apabila seseorang mukmin itu melakukan ibadat dan amalan-amalan salih ketika hidup di dunia pun pahala ibadatnya ditukarkan menjadi 'Cahaya' dan berbunyi seperti petir/guruh  dan bercahaya seperti cahaya matahari, dimuliakan dan diarak oleh Malaikat Hafazah dibawa ke tujuh [7] lapisan langit untuk ditapis kebersihannya daripada sifat-sifat mazmumah oleh tujuh [7 ] orang malaikat yang diamanahkan Allah pada setiap lapisan langit sebelum diperaku dan mengesahkan kebersihannya dan segala amal ibadatnya diterima Allah. 

Kesemua 'Cahaya  Pahala Ibadat' ini terhijab daripada pemandangan mata kasar manusia di dunia. Hanya manusia yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya sahaja yang dapat memahami dan 'melihatnya' dengan mata hati mereka yang membawa maksud mereka memahami dan beriman sepenuhnya tanpa sebarang syak dan ragu-ragu terhadap perkhabaran yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. 

[Lihat: Kemuliaan Manusia dan Kemuliaan Ibadat
dan  : Pengertian Kalimah An Nuur ]


Semasa Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA sakit yang membawa kepada kewafatannya beliau berpesan kepada para sahabat yang menziarahinya dengan kata-kata yang bermaksud:
".........Barangsiapa berkata-kata [berdo'a] dengan kalimah-kalimah ini kemudian dia mati nescaya dijadikan oleh Allah Taala rohnya itu pada al- Ufukil Mubin. Mereka [sahabat-sahabat] berkata/bertanya  : Apa dia al- Ufukil Mubin itu? Katanya : Ialah suatu tempat di hadapan al-Arasy, ada padanya taman-taman, sungai-sungai dan pokok-pokok yang disediakan Allah, turun padanya tiap-tiap hari seratus [100] rahmat. Maka barangsiapa berkata [berdo'a] dengan perkataan-perkataan ini nescaya dijadikan oleh Allah akan rohnya [badan batin] itu pada tempat ini.........."

Perkhabaran ini dapat memberikan juga kefahaman bahawa Alam Kubur di Alam Barzakh yang disediakan Allah khusus untuk orang-orang mukminin dan mukminat yang salih adalah sangat luar biasa dan di luar tabi'e keindahannya [dibandingkan dengan kecantikan dan keindahan yang terdapat di dunia] dengan segala kenikamtan yang selayaknya mengikut martabat dan darjat masing-masing sebagai janji balasan Allah Yang Maha Pemurah terhadap keimanan, ketaqwaan, kesabaran, keikhlasan, ketekunan serta kepenatan mereka berjihad dan menuntut ilmu yang hak serta beristiqamah dengan sifat-sifat dan akhlak mahmudah dengan melakukan ibadat kepada Allah ketika hidup di dunia.

Mereka berada di Alam Barzakh ini dengan penuh kenikmatan tidak terhingga yang langsung tidak menjemukan pada setiap detik sehingga ke satu masa yang ditetapkan apabila berlaku Hari Kiamat besar dunia. Pada Hari Kiamat kelak badan batin atau Roh Hammalul Amanah mereka dikembalikan  kepada jasad untuk bangkit hidup semula bersama jasad dalam keadaan yang berbeza mengikut ketinggian darjat, kemuliaan martabat dan bahagian masing-masing di sisi Allah bagi menghadapi pengadilan Allah sebelum dimasukkan ke dalam syurga untuk menikmati segala janji Allah yang berkekalan selama-lamanya.

Ini bererti semasa berada di Alam Barzakh sama ada menikmati kenikmatan luar biasa seperti berada di taman syurga atau menerima azab seksa neraka, badan batin atau Roh Hammalul Amanah hidup berasingan daripada badan zahir atau jasad badan yang sudah mati dan mereput kembali kepada tanah di dalam kubur atau di mana sahaja mayat/ jenazahnya 'berkubur' mengikut hal keadaannya ketika mati. 
Dalam peristiwa malam Isra' dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. bertemu Nabi Adam a.s. di langit pertama, Nabi-nabi lain di lapisan langit seterusnya dan bertemu Nabi Musa a.s. di langit ke enam. Kesemua Nabi tersebut sudah lama wafat sebelum dibangkitkan Nabi Muhammad s.a.w. [kecuali Nabi Isa a.s. yang belum diwafatkan]. Jenazah atau badan zahir mereka berada di dalam perkuburan masing-masing di dalam bumi.  Mereka menyambut ketibaan Rasulullah s.a.w , Penghulu mereka, dengan penuh kemuliaan dan penghormatan.

Nabi Musa a.s. pula ditakdirakan dapat berkata-kata dan memberi nasihat mengenai jumlah waktu sembahayang yang difardhukan dan diwahyukan seperti yang termaklum. Peristiwa ini dapat memberi pengajaran dan kefahaman bahawa Roh Hammalul Amanah para Nabi dan Rasul tersebut hidup seperti hal keadaan malaikat, menyimpan semua ilmu agama yang dikurniakan semasa hidup di dunia dahulu dan terpisah daripada jasad mati mereka yang dikebumikan di dalam perkuburan tanah di bumi. Maka demikian jugalah hal keadaannya dengan Roh Hammalul Amanah semua manusia lain yang berada di dalam kubur Alam Barzakh dan jasadnya berada di dalam kubur dan menghadapi kebinasaan.

Sebelum berlakunya Hari Kiamat besar dunia kemungkinan ada di antara tanah perkuburan orang mukmin yang salih atau orang kafir itu dibongkar atau ditemui segolongan manusia bagi sesuatu tujuan. Pada ketika itu mungkin hanya mayatnya yang sudah menjadi tulang atau mereput menjadi tanah sahaja yang ditemui dan dapat dilihat oleh mata kepala manusia yang hidup.

Sekiranya orang yang menyaksikan mayat yang sudah mereput itu adalah dari kalangan manusia yang tidak beriman, beriktiqad  dan berfikiran sama seperti Al-'As bin Wail, Abu Jahal, Abu Lahab dan golongan yang  sehaluan dengan mereka, maka berkekalanlah kekafirannya mengingkari adanya Alam Barzakh dan Hari Akhirat seperti yang diperjelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dan al-Quran.

Dalam satu Hadis ada menceritakan ketika gugur syahid Abdullah bin Amru Al Ansari pada hari Perang Uhud, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Jabir yang bermaksud:

"...Ketahui olehmu aku memberi khabaran sukacita kepada engkau wahai Jabir, yang adalah bapanya itu telah mati syahid pada hari Perang Uhud. Maka katanya: Bahkan.  Allah SWT memberi khabar sukacita kepada engkau dengan kebajikan. Maka sabdanya : Bahawasanya Allah Azawajalla telah menghidupkan bapa engkau dan mendudukkan akan dia 'di hadapan-Nya' dan firman-Nya : Citailah ( pintalah) ke atas Aku wahai hamba Ku barang apa yang engkau kehendaki nescaya Aku memberikan kepada engkau akan dia
Maka katanya : Wahai Tuhan tiada aku berbuat ibadat kepada engkau sebenar-benar ibadat kepada engkau, aku bercita-cita (berharap) kepada engkau bahawa engkau kembalikan balik akan aku hidup di dunia supaya aku akan berperang fisabillillah bersama Nabi engkau, maka dengan sebab itu aku mati terbunuh pada agama engkau pada satu kali yang lain. Firman Allah SWT kepadanya : Bahawasanya telah pun terdahulu janjian daripada-Ku bahawasanya engkau kepadanya itu tidak kembali [yakni tidak boleh kembali balik ke dunia]"  
Sungguhpun maksud Hadis ini menjelaskan bahawa bapa Jabir r.a. yang gugur syahid ketika Perang Uhud begitu di muliakan Allah di Alam Barzakh tetapi tidak menjelaskan dengan tepat kenapa dia bermohon kepada Allah untuk kembali balik ke dunia untuk gugur terkorban sebagai syuhada' pada kali yang lain bersama Rasulullah s.a.w. Adalah dijangkakan bahawa dia berbuat demikian disebabkan balasan Allah kepada orang-orang yang gugur syahid dalam perang fisabilillah dengan penuh ikhlas semata-mata kerana agama Allah adalah terlalu besar dan amat luar biasa yang langsung tidak dapat difikirkan atau terjangkau pemikirannya ketika hidup di dunia.

Maka beliau sangat berhajat supaya dapat kembali ke dunia untuk berperang fisabilillah lagi semata-mata kerana Allah dan mati syahid lagi agar dapat memperolehi ganjaran balasan nikmat lebih besar yang disediakan Allah di Alam Barzakh. Namun Allah tidak mengizinkan kerana sudah ditetapkan pada takdir-Nya bahawa orang yang sudah mati tidak boleh balik ke dunia lagi untuk melakukan urusan keduniaan walaupun untuk melakukan ibadat.

Hadis Rasulullah s.a.w. yang lain pula memperjelaskan perumpamaan keluasan Alam Dunia ini adalah sebesar " perut ibu" sahaja jika dibandingkan dengan Alam Barzakh dan hal keadaan rahmat Allah juga amat luar biasa hinggakan tidak berkeinginan/dan tidak memungkinkan langsung bagi roh orang mukmin itu boleh atau berkeinginan balik semula ke dunia :
"Umpama orang mukmin di dunia adalah seumpama seorang janin bayi dalam perut ibunya, apabila ia keluar daripadanya ia menangis atas keluarannya itu, hinggalah apabila ia telah melihat cahya dan diletakkan (ke dalam dunia), tidaklah ia berkenan hendak kembali ke tempatnya, begitulah (dengan) orang mukmin itu berdukacita dari mati, maka apabila ia sampai menerima rahmat Tuhan-Nya tidaklah ia berkenan/berkeinginan untuk kembali ke dunia sebagaimana tidak berkenannya bayi tu masuk semula ke dalam perut ibunya."
Hal keadaan roh orang yang kafir dan golongan ahli maksiat yang tidak mendapat keampunan Allah adalah seperti yang diperjelaskan di dalam al-Quran surah al-Mu'minun : 99-100  kerana mereka tersangat dukacita dan penuh kekesalan  yang tidak terhingga terhadap perbuatan mereka ketika diberi peluang hidup di dunia hingga menyebabkan menerima azab seksa Allah.


Apabila tiba Hari Kiamat besar dunia seperti yang diperjelaskan di dalam: Bilakah Hari Kiamat Akan Berlaku? suasana huru hara yang sangat dahsyat yang tidak dapat digambarkan pemikiran otak manusia akan berlaku di seluruh alam melibatkan seluruh sistem alam, kehidupan makhluk dan penduduk yang berada di langit dan di bumi termasuk roh-roh manusia yang berada di dalam kubur Alam Barzakh. 
Hal ini ada disebut dan diperingatkan berulang-ulang kali di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Roh-roh manusia yang berada di dalam kubur Alam Barzakh terkejut apabila bangkit hidup semula dari kuburnya dengan serta merta seperti yang di maksudkan di dalam al-Quran surah Yaa Siin: 47-52:
" Dan mereka bertanya : Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu?, jika betul kamu orang-orang yang benar.
 Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan kuat yang akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar.
Maka dengan itu mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan dan mereka tidak sempat kembali kepada keluarga mereka.
Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala, maka semuanya dari kubur masing-masing segera bangkit keluar (untuk) mengadap Tuhannya.
(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai ! celakanya kami. Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?. (Lalu dikatakan kepada mereka): Inilah ia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul..." 
Perbandingan tempoh masa hidup di dunia dengan hidup di akhirat adalah seperti yang diperjelaskan di dalam maksud al-Quran surah Al-Mu'minun : 112-114:
"Allah bertanya : 'Berapa tahunkah kamu tinggal di bumi?' 
Mereka menjawab : 'Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung.' 
Allah berfirman : 'Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar sahaja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui.'"
Kemungkinan ramai yang tertanya-tanya atau musykil di hati bagaimanakah mayat manusia yang sudah reput binasa menjadi tulang atau hancur menjadi debu tanah atau dalam apa juga bentuk debu pun boleh hidup semula dengan serta merta dan Roh Hammalul Amanah boleh masuk ke dalam jasad mereka sendiri sama ada sudah menjadi debu tanah atau tulang-tulang yang berserakan di daratan dan di lautan sejak manusia mula wujud di muka bumi ini bermula daripada zaman Nabi Adam a.s. hingga berlaku Hari Kiamat besar dunia?
Persoalan ini ada disebut di dalam al-Quran surah Al-Isra': 49 yang bermaksud:
" Dan mereka berkata : Apakah bila kami telah menjadi tulang belulang dan benda-benda yang hancur, apa benar-benarkah kami akan dibangkitkan kembali sebagai makhluk yang baru?"
Selain daripada berpegang kepada pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w., kita sebagai orang yang beriman hendaklah beriktiqad dengan memberikan jawapan bahawa : 
"Allah Yang Maha Berkuasa amat mudah mengadakan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dia Maha Berkuasa mengadakan sesuatu/makhluk daripada semata-mata tidak ada kepada ada dengan Qadrat-Nya dan Kehendak-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali. Sekiranya Allah Maha Berkuasa menjadikan manusia dalam bentuk roh dan jasad daripada tidak ada kepada ada maka amat mudah bagi Allah menghidupkan semula jasad-jasad manusia yang sudah lama mati dan binasa menjadi debu tanah dan memasukkan kembali Roh Hammalul Amanah yang berada di Alam Barzakah kepadanya sebagaimana yang dijanji dan ditakdirkan."

Perjalanan seterusnya kehidupan manusia ketika berlaku Hari Kiamat adalah seperti yang dimaksudkan di dalam al-Quran surah Yaa Siin di atas, surah al-Waqi'ah dan di dalam maksud Hadis:
" Sabda Rasulullah s.a.w. bagaimanakah aku hendak bersedap-sedap dengan nikmat, kerana tuan peniup Al-Suur itu telah pun meletakkan mulutnya pada Al-Qurn itu dan telah mendongakkan dahi, dan mendengarkan telinga menunggu bilakah diperintahkan menyuruh tiup, maka ia tiup. Kata Muqtal : Al-Suur itu ialah Al-Qurn dan yang demikian itu bahawasanya Israfil Alaihisalam meletakkan mulutnya ke atas Al-Qurn yang ia seperti keadaan trompet yakni kecil pada kepala dan besar di hujung dan besar lubang peniup kepala Al-Qurn itu seperti sebesar segala lapisan langit dan bumi, dan dia menumpukan pemandangan matanya kepada pihak Arasy menunggu bilakah diperintah. Apabila ia tiup pada kali pertama maka matilah semua yang ada yakni mati semuanya kerana bersangatan terkejut dan takut melainkan mereka yang dikehendaki oleh Allah iaitu [Malaikat] Jibrael, Mikael, Israfil dan Malaikat Maut.
Kemudian disuruh Malikat Maut mangambil roh Jibrael, kemudian roh Mikael, Israfil dan kemudian Malaikat Maut.  Dan kemudian semua makhluk Allah hidup kemudian daripada tiupan kali pertama itu di Alam Barzakh selama empat puluh dua [42] tahun. Kemudian dihidupkan oleh Allah akan Israfil Alaihisalam, maka Ia menyuruhnya meniupkan kali kedua,  maka yang demikian itu seperti yang dimaksudkan pada firman Allah yang bererti : Kemudian ia tiupkan padanya  kali yang lain, maka tiba-tiba mereka bangkit berdiri menunggu untuk pergi ke bumi Mahsyar."
[Peringatan : Allah mematikan Malaikat Maut sebagaimana Allah Amat Berkuasa menghidupkannya dan Malaikat Maut BUKAN mencabut rohnya sendiri yang boleh diertikan sebagai membunuh diri].
Manusia dan jin dibangkitkan serentak dengan serta merta dan hidup semula apabila ditiup sangkakala kali kedua oleh Malaikat Israfil AS. Kehidupan kali kedua ini bukanlah untuk hidup sebagaimana kehidupan kali pertama dahulu untuk berurusan hal di dunia dan melakukan ibadat tetapi adalah hidup di Alam Akhirat yang kesemua hal keadaannya adalah di luar hukum alam tabi'e untuk menghadapi Hari Pembalasan Allah sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al- Quran surah al-Waaqi'ah dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Hal keadaan mereka pun adalah tertakluk kepada amalan dan bahagian masing-masing di sisi Allah sama ada menjadi golongan kanan yang menerima kemuliaan Allah atau golongan kiri yang menghadapi kesangsaraan dan penghinaan. Kesemua golongan kiri berhimpun di bumi Mahsyar penuh azab sangsara tetapi golongan kanan pula berkampung di bawah naungan Arasy mendapat kenikmatan yang tidak terhingga seperti berada di syurga.

Jika sekiranya semasa hidup di dunia dahulu orang yang beriman dan mukmin yang salih dengan orang kafir atau munafik boleh hidup bersama, berkomunikasi di antara satu sama lain, berurusan hal duniawa bersama, berjalan bersama atau mungkin makan dan tinggal bersama hinggakan sukar untuk membezakan siapakah orang mukmin yang salih dan orang yang kafir atau munafik. 

Namun apabila dibangkitkan hidup semula kali kedua pada Hari Kiamat kelak mereka dipisahkan mengikut tempat dan bahagian masing-masing yang ditetapkan Allah SWT. Hal ini ada diperjelaskan di dalam al-Quran surah Yaa Siin : 59 yang bermaksud :
" Dan (dikatakan kepada orang-orang kafir) : 'Berpisahlah kamu (dari orang-orang mukmin) pada hari ini, hai orang-orang yang berbuat jahat'."
Wajah-wajah mereka pun amat berlainan mengikut amalan dan bahagian masing-masing seperti yang dimaksudkan di dalam Hadis-hadis Rasulullah s.a.w..Terdapat begitu ramai di kalangan umat manusia yang dibangkitkan hidup semula di akhirat kelak dalam keadaan buta seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran surah Thaahaa: 124-126 yang bermaksud :
"Dan barangsiapa berpaling daripada peringatan Aku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.
Berkatalah ia : 'Ya Tuhan ku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, pada hal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?'
Allah berfirman : 'Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan'. "
Kesemua makhluk yang berhimpun di bumi Mahsyar termasuk binatang-binatang mendapat azab sangsara seperti yang dimaksudkan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w.:
 " Maka kata Ka'ab dan Qatadah: Ia berkata, berdiri mereka sekadar 300 tahun, bahkan kata Abdullah bin Umar, telah membaca Rasulullah s.a.w. akan ayat itu dan kemudian baginda bersabda: Bagaimanakah dengan engkau sekalian sebagaimana dihimpunkan anak-anak panah pada kananah ( tabung bekasan anak-anak panah) yang diisi berasak-asak sempit selama  lima puluh ribu [50,000 ] tahun tiada ia menelek kepada engkau sekalian.
Kesusahan yang dihadapi semasa berada di bumi Mahsyar adalah seperti yang dijelaskan di dalam maksud Hadis Rasulullah s.a.w. :
"Dan kata Al Hassan : Apakah pada sangkaan engkau dengan hari yang berdiri mereka padanya di atas tapak-tapak kaki mereka selama lima puluh ribu [50,000] tahun, tiada mereka makan padanya barang apa makanan pun, dan tiada mereka minum barang apa minuman pun, hingga apabila berasa hampir putus tengkuk-tengkuk mereka rasa kedahagaan, dan berasa terbakar perut-perut mereka kelaparan, dihalau mereka masuk ke dalam api neraka, maka diberi minum daripada air api neraka yang sehabis-habis kuat panasnya dan bersangatan kuat senggarannya."
Azab seksa dan kesangsaraan ketika berada di bumi Mahsyar diperjelaskan juga di dalam maksud Hadis :
"..Didekatkan matahari daripada bumi pada Hari Kiamat, maka keluar peluh manusia; ada daripada manusia yang peluhnya sampai kepada buku lali kakinya, ada daripada mereka yang peluhnya sampai hingga ke pertengahan betisnya, dan ada daripada mereka yang peluhnya sampai ke lutut, dan ada daripada mereka yang peluhnya sampai ke paha, dan ada daripada mereka yang peluhnya sampai ke mulut dan ia memberi isyarat dengan tangannya hingga menggangakan mulutnya, dan ada daripada mereka yang peluhnya menutupi seluruh badannya dan ia memukul dengan tangannya di atas kepala...."
Banyak lagi Hadis yang menjelaskan betapa dahsyatnya kesangsaraan yang terdapat di bumi Mahsyar yang bukan sahaja dihadapi oleh manusia yang kufur ingkar, ahli maksiat yang tidak mendapat keampunan Allah bahkan diterima juga oleh binatang-binatang. 

Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui hikmat dan rahsianya mengapa binatang-binatang dihidupkan semula dan dihimpunkan di bumi Mahsyar sedangkan ketika hidup di dunia binatang tidak diamanahkan untuk beribadat kepada Allah seperti manusia dan jin tetapi hanya makan, beranak, berjalan dan sebagainya bersesuaian dengan kehidupan mereka sebagai binatang.
Sekiranya daging binatang itu halal dimakan ia disembelih manusia sebagai makanan pula. Kelebihan binatang-binatang berbanding manusia semasa berada di bumi Mahsyar ialah mereka dimatikan selepas selesai segala urusan pengadilan dan pertimbangan amal semua makhluk, tetapi manusia dan jin terus hidup berkekalan untuk menerima pembalasan masing-masing sama ada dihumban ke dalam neraka atau masuk syurga. 

Maka tidak hairanlah mengapa ada di kalangan ahli neraka berhajat untuk menjadi binatang yang terlepas daripada kesangsaraan dan kepedihan seksa Allah yang terdapat di dalam api neraka yang jauh lebih dahsyat azab seksanya berbanding dengan apa juga jenis azab seksa  yang terdapat di dunia, Alam Barzakh dan bumi Mahsyar.


Al-Quran memberi peringatan awal tentang hal keadaan dan sikap orang-orang yang ingkar dan tidak beriman apabila berada di akhirat kelak seperti yang diperjelaskan di dalam surah Yunus : 53-55 bermaksud :
" Dan mereka menanyakan kepadamu : 'Benarkah [azab yang dijanjikan] itu? 'Katakanlah : ' Ya, demi Tuhan-ku, sesungguhnya azab itu adalah benar dan kamu sekali-kali tidak boleh luput [daripadanya].'
Dan kalau setiap diri yang zalim [musyrik] itu mempunyai segala apa yang ada di bumi ini, tentu dia menebus dirinya dengan itu, dan mereka menyembunyikan penyesalannya ketika mereka telah menyaksikan azab itu. Dan telah diberi keputusan di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dianiayai. 
Ingatlah, sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang ada di langit dan di bumi. Ingatlah, sesungguhnya janji Allah itu BENAR, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya."
Adapun hal keadaan orang mukminin dan mukminat yang salih dan saliha pula menerima kesenangan yang berterusan bermula daripada rohnya dicabut keluar daripada jasadnya oleh Malaikat Maut semasa Sakaratul-maut, berada di kubur Alam Barzakh dan semasa dibangkitkan semula hidup ketika berlaku Hari Kiamat besar dunia. Oleh sebab ketaatan, berbuat amalan salih dan beriman sepenuhnya kepada al-Quran dan ilmu-ilmu yang terkandung di dalam Hadis-hadis Rasulullah s.a.w., maka Allah Taala selamatkan mereka daripada terkena berhimpun di bumi Mahsyar selama lima puluh ribu [50,000] tahun bahkan Allah melimpahkan rahmat-Nya dengan mengurniakan limpahan nikmat kesenangan seperti yang dimaksudkan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w.:
"Sabda Rasulullah s.a.w.: Tiga [golongan]pada Hari Kiamat berada di atas bukit kasturi yang hitam, tiada menghuru-harakan mereka oleh sebab amalan, dan tiada mengenai dukacita dan ketakutan hingga selesai daripada barang apa yang ada di antara manusia iaitu: Lelaki yang membaca al-Quran berharap semata-mata keredhaan Allah Azawajalla dan menjadi imam dengan satu kaum dan mereka meredaai, dan lelaki yang menjadi muazin dalam satu masjid dan menyeru kepada berbuat ibadat kepada Allah. Dan lelaki yang dikenakan ujian susah mendapat rezki yang halal dalam dunia tetapi tiada menghalangi yang demikian daripada amalan akhirat."
Berdasarkaan penjelasan maksud Hadis Rasulullah s.a.w. berikut terdapat segolongan orang mukmin salih yang berkasih sayang semata-mata kerana agama Allah yang mendapat kedudukan amat istimewa pada Hari Kiamat ketika berada di bawah naungan Arasy:
i. "Dan kata Abu Idris Al Khawlani kepada Ma'az: Bahawasanya aku kasihkan engkau pada agama Allah, maka ia berkata kepadanya: Sukailah, kemudian sukailah. Maka bahawasanya aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Didirikan bagi satu puak daripada manusia itu kerusi-kerusi di sekeliling Arasy pada Hari Kiamat. Muka-muka mereka bercahaya seperti bulan malam empat belas, huru-hara manusia dan mereka tiada huru-hara, dan takut manusia dan mereka tiada takut, dan mereka ialah Aulia Allah yang tiada ketakutan di atas mereka dan mereka tiada berdukacita. Siapakah mereka wahai Rasulullah s.a.w.? Maka ia bersabda : Mereka ialah yang berkasih sayang pada agama Allah Taala."
 ii. "Dan diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a  dan Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya : Bahawasanya di sekeliling Arasy itu ada mimbar-mimbar daripada cahaya, di atasnya itu ada kaum, pakaian mereka ialah cahaya, dan muka-muka mereka ialah cahaya, mereka bukan Nabi-nabi dan bukan mereka itu orang yang mati syahid, berharap mendapat seperti mereka oleh Nabi-nabi dan orang-orang yang mati syahid,kata mereka: Wahai Rasulullah terangkan kepada kami siapa mereka itu? Maka ia  bersabda: Mereka ialah orang-orang yang berkasih sayang pada agama Allah, dan  duduk bersama-sama pada agama Allah, dan ziarah menziarahi pada agama Allah...."
Beginilah hal keadaan dua golongan manusia apabila berlaku Hari Kiamat besar dunia dan dibangkitkan hidup semula kelak.  Golongan pertama ialah manusia yang kafir ingkar dan ahli maksiat dihimpunkan di bumi Mahsyar secara berasak-asak dan berhimpitan menanggung azab sangsara selama lima pulu ribu [50,000]  tahun tanpa makan dan minum.

[** Peringatan: Kesemua hal keadaan di akhirat termasuk kehidupan makhluk-makhluk Allah yang tidak terhingga jumlahnya itu adalah di luar tabi'e berbanding segala perkara yang ada di dunia dalam apa jua hal sekalipun. Mereka berkekalan selama-lamanya dalam keadaan masing-masing yang ditetapkan Allah dan tidak akan dimatikan lagi.  Otak pemikiran manusia di dunia tidak mungkin terjangkau memikirkan keajaibannya. Maka tidak timbul persoalan bagaimana manusia yang tidak beriman dan golongan kafirin boleh hidup tanpa makan minum dan terseksa selama 50,000 tahun yang pasti amat sukar dipercayai, difahami dan diterima oleh akal manusia yang tidak beriman].

Sementara golongan yang kedua pula ialah  orang-orang yang beriman dan mukminin/ mukminat salih yang mendapat limpahan rahmat dan keampunan Allah sebelum saat kematiannya. Mereka dimuliakan Allah sejak saat kematiannya, hidup dengan penuh kenikmatan di kubur Alam Barzakh dan dibangkitkan hidup semula pada Hari Kiamat untuk ditempatkan di bawah naungan Arasy sementara menunggu waktu pengadilan sebelum dimasukkan ke dalam syurga menikmati kebahagian hidup yang berkekalan selama-lamanya di sana sebagaimana yang diperjelaskan di dalam al-Quran dan Hadis-hadis di atas.


Sebagaimana yang dinyatakan mengenai salah satu fadhilat  Do'a Abu Bakar As Siddiq ialah :

"....Apabila mati, roh orang mukmin salih yang berdo'a dengan kata-kata tersebut akan dibawa pada Al-Ufukil Mubin di hadapan Arasy yang disediakan Allah mempunyai taman-taman, sungai-sungai, pokok-pokok dan setiap hari turun 100 rahmat Allah."
Beginilah nikmat kemuliaan yang diberikan Allah kepada roh orang-orang yang beriman dan beramal salih ketika berada di Alam Barzakh sementara menunggu ketibaan Hari Kiamat besar dunia apabila semua roh dikembalikan kepada jasad untuk dibangkitkan semula bagi mengahapi Hari Pembalasan. Selepas dihisab segala amalan mereka dimasukkan ke dalam syurga mengikut darjat martabat masing-masing yang terus hidup berkekalan dalam kebahagian untuk selama-lamanya.
Sementara orang-orang kufur, munafik, sesat jalan dan ilmu agamanya, ingkar dan menghina al-Quran dan Rasulullah s.a.w. seperti yang dilakukan oleh Al-'As bin Wa'il bersama pengikut-pengikutnya yang terus wujud diwarisi pada setiap zaman akan mendapat kehinaan berkekalan selama-lamanya bermula daripada saat-saat kematiannya hinggalah dihimpunkan di bumi Mahsyar dan dihumban ke dalam Neraka Jahanam.

Ertinya bermula daripada saat direntap keluar dengan kasar badan batinnya atau Roh Hammalul Amanah oleh Malaikat Maut daripada badan zahir atau jasadnya dia tidak akan langsung merasa kesenangan, bahkan akan berterusan merasai azab demi azab yang berkekalan hingga ke kemuncak kepedihan azab seksanya apabila berada di dalam neraka yang mengatasi segala azab sangsara yang dirasainya ketika di dunia, Alam Barzakh dan bumi Mahsyar.
Tempoh masa hidup berkekalan selama lima puluh ribu [ 50,000 ]tahun tanpa mengenai kematian di bumi Mahsyar adalah tersangat lama yang tidak dapat digambarkan oleh pemikiran otak manusia biasa di dunia. Namun demikian dalam tempoh masa yang sebegitu lama orang-orang mukmin salih yang berada di bawah naungan Arasy merasakan begitu singkat dan pantasnya masa berlalu sebagaimana yang diterangkan di dalam maksud Hadis Rasulullah s.a.w. :

" Sabda Rasulullah s.a.w. tatkala ditanya mengenai panjang tempoh masa hari itu. Maka ia bersabda : Demi yang diriku di bawah kuasa-Nya, bahawasanya diringankan ke atas orang mukmin hingga adalah ia lebih ringan ke atasnya daripada satu sembahyang fardhu yang ia sembahyangkannya dalam dunia."
Sekiranya dikira tempoh masa sembahyang fardhu subuh itu hanya 10-20 minit maka begitulah tempoh masa yang dirasakan oleh orang-orang mukmin salih yang berada di bawah naungan Arasy tersebut yang menyamai lima puluh ribu [50,000]  tahun yang dirasai penuh azab sangsara oleh mereka yang berhimpun di bumi Mahsyar untuk menunggu hari dihisab/diadili segala amalan mereka.
Persaaan ini adalah disebabkan kenikmatan hidup dan limpahan rahmat Allah yang tidak terhingga banyaknya tersedia di bawah naungan Arasy hinggakan mereka tidak langsung merasakan tempoh masa lima puluh ribu [50,000] tahun yang sebegitu lama. Ini baru diceritakan hal keadaan di bawah naungan Arasy dan belum lagi masuk ke syurga yang kenikmatannya jauh berlipat-lipat kali ganda yang langsung tidak dapat dijangkau pemikiran otak manusia yang hidup di dunia atau boleh dibandingkan dengan segala kenikmatan menurut hukum tabi'e alam yang terdapat di dunia.

Hal keadaan ini dapat diambil iktibar daripada kisah tujuh (7) orang sahabat orang mukmin salih dari golongan ahli al-Kitab seperti yang diceritakan di dalam al-Quran surah al-Kahfi ayat 9-26 yang tertidur di dalam gua selama kira-kira 309 tahun untuk menyelamatkan diri dari pemerintah  yang zalim. Namun apabila tersedar mereka merasakan baru tidur semalaman sahaja. Hal yang  berlaku di dunia ini adalah terlalu sedikit/kecil sahaja berbanding dengan apa yang berlaku di akhirat yang tidak dapat dijangkau oleh pemikiran manusia.

[ Lihat : i.   Kenikmatan Hidup di Syurga  


Kita yang masih diberi kesempatan hidup di dunia sekarang mempunyai peluang dan ruang yang terbuka seluas-luasnya menggunakan kebijaksanaan dan kewarasan akal Al-Basirah, 'Ainul Qalbi atau Mata Hati bagi memilih sama ada untuk menjadi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dengan berpegang teguh dan menghayati sepenuhnya segala pengajaran ilmu yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.  ATAU  mengikuti jejak langkah Al-'As bin Wa'il dan pengikut-pengikutnya yang terus berkembang biak di sekeliling kita dan di seluruh mayapada sekarang. 
Maka beruntunglah orang-orang mukmin salih yang berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. walaupun terpaksa menanggung kesukaran dan kesusahan sedikit laksana mengenggam bara api hingga menjadi arang.

Apa yang berlaku pada hari ini dan akan datang boleh diibaratkan seperti apa yang berlaku kepada Nabi Nuh Alaihisalam berhadapan kaumnya yang mengingkari seruannya selama beratus tahun supaya beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Akhirnya Nabi Nuh a.s. berdo'a supaya Allah membinasakan kaumnya yang ingkar.  Allah menerima do'anya dan mewahyukan kepadanya supaya membina sebuah bahtera untuk menghadapi banjir besar yang akan melanda bumi menenggelamkan semua bukit-bukau dan gunung-ganang.


Sebilangan besar kaumnya tetap ingkar terhadap wahyu amaran terakhir tersebut dan terus  mengejek, mempersenda dan memperbodohkan dia membina bahtera di daratan yang  berjauhan dari laut. Mereka beranggapan bahawa pada logik akal manusia dan hukum tabi'e alam walau sebesar mana sekalipun banjir melanda bumi tidak mungkin dapat melepasi setinggi bukit dan gunung.
Ternyata Allah menyelamatkan Nabi Nuh Alaihisalam dan orang-orang beriman yang begitu sedikit jumlahnya apabila banjir besar yang amat dahsyat itu benar-benar berlaku melanda bumi. Kesemua kaumnya yang ingkar termasuk anak lelakinya sendiri binasa dan kekal dalam azab seksa Allah hingga ke Alam Barzakh, Hari Kiamat,  berhimpun di bumi Mahsyar dan kekal selama-lamanya dalam Neraka Jahanam.

Hakikat yang hampir serupa berlaku kepada Nabi Musa Alaihisalam dan orang-orang mukmin yang ada bersamanya apabila diburu oleh Firaun dan tentera-tenteranya seperti yang diperingatkan di dalam surah Al-Baqarah : 50 bermaksud:

" Dan (ingatlah) ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan (Fir'aun) dan pengikut-pengikutnya sedang kamu sendiri (Nabi Musa a.s.) menyaksikan."
Berpandukan pengajaran rakaman sejarah Nabi Nuh, Nabi Musa Alaihisalam serta para Nabi dan Rasul terdahulu sama-samalah kita berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. walaupun terpaksa menanggung kesusahan sedikit berhadapan dengan berbagai-bagai ujian dan halangan. Mudah-mudahan dengan keikhlasan kita berpegang teguh kepadanya dapat  menjadikannya sebagai "bahtera" penyelamat atau laluan selamat kita untuk berhadapan dengan Sakaratul-maut atau "banjir besar" dalam berbagai-bagai bentuk bala bencana di luar jangka mengikut takdir dan kehendak Allah yang boleh datang melanda dunia pada bila-bila masa.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan