Isnin, 29 Ogos 2011

TINGKATAN OTAK MANUSIA dan AKHLAK MUKMIN





                                  بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم   
          

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تُنْجِينَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ اْلاَحْوَالِ وَاْلآفَاتِ وَتَقْضِى لَنَا بِهَامِنْ جَمِيعَ الْحَاجَاتِ وَتُطَهِّرُنَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ السَّيِّئَاتِ وَتَرْفَعُنَا بِهَا عِنْدَكَ اَعْلَى الدَّرَجَاتِ.وَتُبَلِّغُنَا بِهَا اَقْصَى الْغَايَاتِ مِنْ جَمِيعِ الْخَيْرَاتِ فِى الْحَيَاتِ وَبَعْدَ الْمَمَاتِ
 أَمَّا بَعْـدُ 
وَلا تَمْشِ فِي الأرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَنْ تَخْرِقَ الأرْضَ وَلَنْ تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولا 
                                Maksudnya :
" Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu tidak sesekali dapat menembus bumi dan tidak sesekali kamu akan sampai setinggi gunung."
                  [Al-Quran surah سورة الإسراء  Al-Israa' : 37
                                          ************************************
وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِى هَٰذَا ٱلْقُرْءَانِ لِلنَّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍ  
وَكَانَ ٱلْإِنسَٰنُ أَكْثَرَ شَىْءٍ جَدَلًا
                                    Maksudnya:
                     
" Dan sesungguhnya Kami telah mengulang-ulangi bagi manusia dalam al-Quran ini bermacam-macam perumpamaan. Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah."
[Al-Quran surah سُوۡرَةُ الکهف Al-Kahfi : 54] 
                              *************************************
 قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَتَسُبُّوا أَصْحَابِيْ فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَابَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلاَ نَصِيْفَهُ 
                        (صحيح البخاري)

                              Yang bermaksud :
Sabda Rasulullah s.a.w. :" Janganlah kalian mencaci para sahabatku, jika di antara kalian menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud, maka belum menyamai segenggam dari mereka tidak pula setengah genggam dari mereka. "  (Shahih Bukhari)    
                                   *****************************************
Dalam Hadis Rasullullah s.a.w. ada menyebut yang intipatinya bermaksud bahawa setiap manusia itu dilahirkan ke dunia dengan dua kembaran (qarin) iaitu seorang malaikat dan seorang syaitan. Kembaran malaikat hanya menerbitkan lintasan-lintasan hati yang baik sahaja (mengikut hukum agama), sementara kembaran syaitan pula membisikkan lintasan-lintasan hati untuk melakukan kejahatan sahaja walaupun pada zahirnya ( mengikut penilaian orang awam biasa) seolah-olah mempunyai unsur-unsur kebaikan.

Ada disebut juga di dalam Hadis Rasullullah s.a.w. yang bermaksud Iblis lakanatullah menemui Nabi Isa a.s. menyuruh dia melafazkan kalimah La Illahaillallah. Lalu dijawab oleh Nabi Isa a.s. kalimah itu adalah kalimah hak, dia tidak akan menuturkannya kerana (suruhan) Iblis yang dilaknat Allah: 
"Diriwayatkan bahawa Iblis (laknatullah) telah muncul seperti rupa manusia kepada (Nabi) Isa Bin Maryam Alaihisalam maka ia berkata kepadanya:

 قل: "لا إله إلا الله"

          Maksudnya :
        "Sebutlah (wahai Isa) : لا إله إلا الله  . " 
Jawab Nabi Isa Alaihisalam:
"Itu adalah kalimah hak dan aku tidak akan menyebutnya dengan (suruhan) kata engkau." 

Adapun tingkatan pemikiran dan kefahaman otak manusia terhadap kebenaran agama Islam (agama wahyu Allah) boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat seperti berikut :
i.    OTAK KELEKATU - serangga kelkatu atau binatang lain yang seumpama dengannya apabila melihat cahaya api pada waktu malam hari akan pergi berduyun-duyun menerkam ke arah cahaya tersebut berkali-kali hingga menyebabkan kebanyakan daripadanya jatuh mati. Spesis serangga ini tidak memahami dan mendapat apa-apa pengajaran daripada rasa sakit terkena cahaya api malah berterusan menerkam cahaya api itu beramai-ramai hingga binasa.  
                                  Image result for habitat kelkatu mengejar cahaya lampu

Sifat dan naluri yang seumpama dengan "otak kelekatu" ini berterusan tanpa perubahan, silih berganti dari satu generasi ke satu generasi daripada zaman datuk, nenek-moyang hingga ke anak, cucu, cicit, dan pewaris generasi-generasi seterusnya. Sekiranya terdapat perubahan sekalipun mungkin hanya dari segi kaedah pelaksanaannya sahaja tetapi karenah tabi'at dan matlamat utamanya untuk "mengejar cahaya api" yang disangkakan dapat memberi manfaat atau 'kebahagian' hidup masih berkekalan.


ii.  OTAK BURUNG - Burung atau binatang lain yang seumpama dengannya akan hanya melarikan diri dari bahaya sekiranya mendapati musuh-musuhnya yang pada zahirnya kelihatan baik dihampirinya itu mencemas atau hendak mencederakannya. Selepas itu ia tidak akan datang lagi ke tempat yang membahayakan itu atau pun sekiranya ia datang lagi sekalipun akan lebih berhati-hati agar terhindar dari terkena bahaya musuh yang bersifat sedemikian rupa.   

iii. OTAK KUDA - Kuda atau binatang-binatang lain yang seumpama dengannya sekiranya melihat harimau, singa atau binatang pemangsa muncul keluar dari hutan, nescaya ia akan lari ke tempat yang lebih selamat supaya tidak menjadi habuan dibaham binatang buas tersebut. Tingkatan otak kuda ini lebih tinggi dartipada tingkatan otak kelekatu dan burung kerana baru melihat sahaja musuhnya dari jauh dia telah memahami akan kemudaratan yang akan menimpa dirinya.                          
iv. OTAK MANUSIA- Manusia yang dikurniakan akal mempunyai tahap pemikiran yang jauh lebih tinggi daripada binatang. Apabila dikhabarkan sahaja bahawa ada sesuatu yang merbahaya pada satu tempat yang sangat jauh akan melanda tempat-tempat lain, dia akan menyiasatnya dengan teliti sama ada berita itu benar atau palsu. 

 

                                                     Image result for sistem multimedia dan komunikasi  
     
          
Andainya setelah membuat penilitian dan penyelidikan yang rapi daripada sumber-sumber yang sahih dia mendapati berita itu benar belaka dan tidak dapat dinafikan sama sekali akan kesahihannya, maka dia akan bersiap sedia menjaga keselamatan dirinya agar tidak terkena bahaya tersebut. Tingkatan pemikiran otak manusia ini adalah jauh lebih tinggi daripada binatang-binatang tadi kerana baru mendengar berita sahaja dia telah membuat persediaan secukupnya agar tidak terkena bahaya tersebut.




Berdasarkan contoh tingkatan-tingkatan otak yang menerbitkan pemikiran  seperti yang disebut di atas, manusia juga mempunyai berbagai jenis akhlak dan adab perangai serta kelakuan/perangai buruk ' mazmumah' seperti berikut :
1) Gemar menurut segala keinginan hawa nafsu    kebinatangan  
 2)   Buruk makan minum
 3)   Berbuat kejahatan dan kezaliman 
 4)   Pemarah dan bengis 
 5)   Hasad dengki  
6)   Bermusuh-musuhan  
7)   Benci-membenci 
 8)   Tipu-daya  
 9)   Berbuat helah 
10)  Bakhil dan tamak haloba 
11)  Takbur sombong 
12)  Menuntut kemuliaan dunia semata-mata 
13)  Kasihkan puji-pujian 
14)  Kasihkan ketinggian pangkat dunia 
15)  Gemar hendak memerintah 
16) Kasihkan kemegahan dunia dan lain-lain yang seumpama dengannya.
Diutuskan para Nabi dan Rasul kepada umat manusia adalah untuk membimbing dan membentuk akhlak manusia agar dapat mengikis dan membersihkan diri mereka daripada semua kekejian sifat mazmumah yang terkandung di dalam 16 perkara tersebut dan menanamkan keperibadian bertunjangkan sifat-sifat mahmudah yang terpuji berteraskan akidah keimanan yang diwahyukan Allah melalui al-Kitab yang diturunkan kepada para Rasul yang bangkitkan melalui perantaraan Malaikat Jibril Alaihissalam.

Sifat-sifat mazmumah adalah antara sifat-sifat yang amat keji di sisi Allah kerana ia boleh menjadikan seseorang mukmin menjadi 'muflis' di akhirat kelak sebagaimana yang diperjelaskan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w :

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَتَاعَ فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ 
بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ 
مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ 
حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ 
يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ 
فِي النَّارِ
                          Maksudnya :
"Tahukah kamu siapakah yang muflis? Sahabat menjawab: "Orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang dan juga tiada memiliki harta." Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: " Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah seorang yang datang pada Hari Kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat tetapi dahulunya (ketika hidup di dunia) dia pernah mencaci seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan pernah memukul seseorang.
Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang yang pernah teraniaya. Dia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi. Apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dibayar semuanya, maka diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orng tersebut. Maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka." 
                      [Maksud Hadis Riwayat Muslim] 
Hadis berikut juga memperjelaskan lagi betapa kejinya sifat mazmumah di sisi Allah :
 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ جَرِيءٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ عَالِمٌ وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِئٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ. (مسلم والترمذي والنسائي

                  Maksudnya : 
"Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: 'Sesungguhnya di antara manusia yang mula-mula dibicarakan dan dihukum pada hari kiamat ialah: Pertama, orang yang gugur syahid - ia dibawa 'mengadap', maka Allah berfirman menyatakan kepadanya satu persatu nikmat-nikmat-Nya (yang telah diberikan kepadanya semasa hidupnya) lalu ia mengakui menerimanya; Allah Taala berfirman bertanya kepadanya: "(Sesudah itu) maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?" Ia menjawab:  "Aku berperang kerana mematuhi perintah-Mu sehingga aku gugur syahid". Allah Taala berfirman: "Engkau berdusta! (bukan itu tujuan mu), akan tetapi engkau berperang supaya orang mengatakan: Engkau berani dan telahpun dikatakan yang demikian". Kemudian ia dihukum lalu diseret dengan tertiarap, sehingga ia dihumbankan ke dalam neraka.  
Dan kedua, orang yang mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Qur'an - ia dibawa 'mengadap', maka Allah berfirman menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya satu persatu, lalu ia mengakui menerimanya; Allah Taala bertanya kepadanya: "(Sesudah itu) maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?" Ia menjawab:  Aku mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Qur'an kerana mengharapkan keredanan-Mu". Allah Taala berfirman: "Engkau berdusta! (Bukan itu tujuanmu), akan tetapi engkau mempelajari ilmu supaya orang mengatakan engkau alim dan engkau membaca al-Qur'an supaya orang mengatakan: Si anu seorang qari, maka telahpun dikatakan yang demikian". Kemudian ia dihukum lalu diseret dengan tertiarap, sehingga ia dihumbankan ke dalam neraka.  
Dan ketiga, orang yang telah dimewahkan Allah hidupnya serta diberinya sebahagian dari segala jenis harta benda kekayaan - ia dibawa 'mengadap', maka Allah berfirman menyatakan kepadanya nikmat nikmat-Nya satu persatu, lalu ia mengakui menerimanya; Allah Taala bertanya kepadanya: "(Sesudah itu) maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?" Ia menjawab: "Aku tidak tinggalkan satu jalan pun di antara jalan-jalan yang engkau suka dibelanjakan kekayaan itu padanya melainkan aku belanjakan padanya, kerana mengharapkan rahmat-Mu". Allah Taala berfirman: "Engkau berdusta! (Bukan itu tujuanmu), akan tetapi engkau belanjakan harta kekayaanmu supaya orang mengatakan: Si anu itu seorang dermawan, - maka telah pun dikatakan yang demikian". Kemudian ia dihukum lalu diseret dengan tertiarap; akhirnya ia dihumbankan ke dalam neraka." 
          [HR Muslim, Tirmizi dan An-Nasa'i].
Nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya seperti yang disebut di dalam al-Quran surah سورة لقمان Luqman ayat 12-19 adalah antara sifat-sifat mahmudah yang mengingatkan agar seseorang itu jangan sesekali mensyirikkan Allah kerana perbuatan ini adalah sebesar-besar kezaliman yang tidak sesekali mendapat keampunan daripada Allah dan dilaknat Allah menerima azab seksa berkekalan di dalam neraka. 

Sifat-sifat yang lain pula menyentuh ketaatan terhadap kedua ibu-bapa selagi mereka tidak menyuruh berbuat maksiat dan pembentukan hati agar tidak berlaku sombong dengan meninggikan suara kerana setiap perbuatan yang dilakukan walau sebesar debu zaarah sekalipun akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak:
وَوَصَّيْنَا الإنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ (14) وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (15)  يَا بُنَيَّ إِنَّهَا إِنْ تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ فَتَكُنْ فِي صَخْرَةٍ أَوْ فِي السَّمَاوَاتِ أَوْ فِي الأرْضِ يَأْتِ بِهَا اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ (16)
                       Maksudnya :
"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orng ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada Ku dan kepada dua orang ibu-bapamu, hanya kepada Ku-lah kembalimu.(14) 
Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaullah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan yang kembali kepada Ku, kemudian hanya kepada Ku-lah kembalimu, maka Ku beritakan kepada mu apa yang telah kamu kerjakan. (15)
(Luqman berkata) : 'Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) sebesar biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya Allah itu 'Latiff' لَطِيفٌ lagi Maha Mengetahui."(16)
                      [Al-Quran surah سورة لقمان  Luqman : 14-16 ]

Peringatan yang hampir serupa ada diperjelaskan juga di dalam al-Quran surahسورة الحجرات  Al-Hujurat ayat 2-3 : 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَنْ تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنْتُمْ لا تَشْعُرُونَ (2) إِنَّ الَّذِينَ يَغُضُّونَ أَصْوَاتَهُمْ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ أُولَئِكَ الَّذِينَ امْتَحَنَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ لِلتَّقْوَى لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ (3
                      Maksudnya :
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu lebih daripada suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu, sedangkan kamu tidak menyedarinya. (2)
Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertaqwa. Bagi mereka keampunan dan pahala yang besar."(3)
Pendidikan kearah penerapan dan pembentukan akhlak manusia berteraskan wahyu Allah adalah menjadi tugas utama dan teras peringatan terpenting dibangkit dan diutuskan para Rasul di kalangan umat manusia. Objektif utamanya adalah untuk membina serta membentuk akhlak manusia mencontohi akhlak dan sifat-sifat kemuliaan yang dimiliki para Rasul seperti yang dapat disaksikan pada 'akhlak al-Quran' yang dimiliki oleh Nabi Muhammd s.a.w. supaya manusia beribadat, mensyukuri segala nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya, berbahagia hidup di dunia, mendapat ganjaran nikmat kebahagian hidup yang berkekalan di syurga dan terhindar daripada kemurkaan Allah yang akhirnya dilaknat dengan hukuman setimpal di Neraka Jahanam atas keadilan-Nya. 

Dalam  sebuah hadis menjelaskan bahawasanya akhlak Rasulullah s.a.w itu adalah al-Quran :

Diriwayatkan dari Aisyah Radhiyallahu ‘Anha bahwasanya dia mengatakan itu ketika menggambarkan Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Disebutkan dalam hadis yang panjang tentang kisah Sa’ad bin Hisyam bin Amir ketika berada di Madinah dan mengunjungi Aisyah Radhiyallahu ‘Anha untuk menanyakan beberapa masalah agama. Sa’ad bin Hisyam bin Amir berkata:

فَقُلتُ : يَا أُمَّ المُؤمِنِينَ ! أَنبئِينِي عَن خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ ؟ قَالَت : أَلَستَ تَقرَأُ القُرآنَ ؟ قُلتُ : بَلَى .قَالَت : فَإِنَّ خُلُقَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ كَانَ القُرآنَ .قَالَ : فَهَمَمْتُ أَن أَقُومَ وَلَا أَسأَلَ أَحَدًا عَن شَيْءٍ حَتَّى أَمُوتَ ...الخ رواه مسلم (746)

           Maksudnya :

“Aku berkata, ‘Wahai Ummul Mukminin, beritahulah aku tentang akhlak Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam!” Aisyah bertanya, ‘Bukankah engkau membaca Al-Qur’an?” Aku menjawab, “Ya.” Ia berkata, “Sesungguhnya akhlak Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam adalah Al-Qur’an.” Kemudian aku hendak berdiri dan tidak bertanya kepada siapapun tentang apapun hingga aku mati...” (HR. Muslim).

Pegangan iktiqad Ahli Sunnah mengenai kebangkitan para Rasul Allah adalah sebagaimana yang diperjelaskan seperti berikut :
".....Allah SWT telah membangkitkan Rasul-rasul dan telah menzahirkan kebenaran mereka itu dengan beberapa banyak mukjizat yang terang dan nyata. Maka berkerjalah mereka itu untuk menyampaikan segala suruhan Allah dan  hal-hal tegahan-Nya dan janji-janjian balasan pahala dan balasan azab-Nya.

Maka wajiblah ke atas sekalian hamba Allah itu mempercayai kebenaran mereka itu dan menerima segala seruan Rasul-rasul itu pada sebarang apa juga perkara yang didatangkan dan disampaikan oleh mereka."
Allah pula memperjelaskan di dalam al-Quran surah سورة الذاريات Az-Zaariyat ayat 56 :

              وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

                    Maksudnya :
"Dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan supaya berbahagia mereka [dengan sebab] berbuat ibadat kepada Ku. "
Selain daripada sifat-sifat Rasulullah s.a.w. yang di maksudkan seperti Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah terdapat juga sifat-sifat mahmudah yang amat terpuji yang terdapat  pada diri baginda, antaranya ialah:
  1)  Sehabis-habis benarnya pada perkataan. 
  2)  Sebaik-baik orang berjiran.  
 3) Seafdal-afdal daripada kaumnya dari menjaga maruah kehormatan.                    
4) Semulia-mulia daripada kaumnya dalam pergaulan.  
5) Sekuat-kuat daripada mereka memegang amanah.  
6)  Mempunyai sifat lemah-lembut  
7)  Sabar    
8)  Syukur    
9)  Adil 
10)  Merendah diri
11) Menjauhkan diri daripada segala larangan Allah dan tegahan-Nya.
12)  Pemurah
13)  Berani
14)  Pemalu

Allah memperjelaskan lagi kemuliaan akhlak dan sifat Rasulullah s.a.w yang amat mengasihi umatnya dengan tanpa jemu dan lelah menyeru mereka supaya beriman sebagaimana Firman Allah di dalam al-Quran surah سورة التوبة At-Taubah ayat 128:

 لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

                   Maksudnya:

" Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat  menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang  terhadap orang-orang mukmin."  

Kesemua sifat terpuji mahmudah yang dimiliki oleh para Nabi dan Rasul Alaihimussalam adalah disebabkan rahmat pertolongan Allah.  Salah satu caranya adalah dengan mengislamkan kembaran ( qarin) syaitan mereka sebaik sahaja lahir ke dunia yang mengajarkan/membisikkan hanya perbuatan baik sahaja sama seperti yang dilakukan oleh kembaran ( qarin)  malaikatnya. Kegemilangan dan kemergelapan cahaya keimanan yang menerangi hati para Nabi dan Rasul Alaihimussalam adalah sebagaimana Firman Allah dalam al-Quran surah سورة النور‎‎  An-Nuur ayat 35 :  
اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لا شَرْقِيَّةٍ وَلا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُورٌ عَلَى نُورٍ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
                Maksudnya :
"Allah pemberi cahaya kepada langit dan bumi. Perumpamaannya adalah sebuah masykat yang berisi sebuah lampu, lampu itu di dalam gluk (kendil) kaca, geluk kaca itu pula (jernih terang berseri-seri) laksana bintang yang bersinar cemerlang, lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya (pokok zaitun) yang bukan sahaja disinari matahari ketika naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (ia sentiasa terdedah kepada matahari),  hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana kejernihannya) walaupun ia tidak disentuh api, (sinaran Nuur Hidayah petunjuk) yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda : cahaya berlapis cahaya ! Allah memimpin siapa yang dikehendaki-Nya kepada Nuur Hidayah-Nya itu, dan Allah membuat berbagai-bagai misal dan perumpamaan sebagai perbandingan untuk umat manusia, dan Allah Amat Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
Dalam tempoh masa 23 tahun Rasulullah s.a.w. menyeru umatnya menyampaikan wahyu amanah Allah kepada manusia agar beriman kepada Allah, Rasul-Nya dan Hari Akhirat, meninggalkan amalan jahilliah yang diwarisi daripada zaman nenek-moyang mereka terdahulu dan kembali ke jalan yang hak lagi benar itu telah berjaya mewujudkan tamadun hidup yang sangat terpuji dengan melahirkan insan-insan mukmin bertaqwa yang zuhud lagi beramal soleh di kalangan masyarakat yang dinamakan para sahabat untuk sama-sama berjihad dengan baginda menyebar dan mendaulatkan keimanan yang dan kebenaran Islam kepada umat manusia di seluruh ceruk rantau dunia.

Sebelum beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kehidupan para sahabat adalah seperti manusia biasa juga yang mempunyai tingkatan otak jahilliah seperti yang disebut di atas. Namun setelah mereka beriman dan mendapat pendidikan yang serba sempurna terus menerus secara langsung daripada Rasullullah s.a.w. akhlak mereka telah berubah sepenuhnya menjadi akhlak insan mukmin soleh yang sangat terpuji hinggakan mereka mendapat kepujian daripada Rasullullah s.a.w. dan Allah SWT dengan diberi gelaran Radhiallhu'anhuma yang bermaksud Allah reda terhadap mereka seperti yang disebut di dalam al-Quran surah سورة التوبة At-Taubah ayat 100 :
وَالسَّابِقُونَ الأوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ             
                     Maksudnya :
" Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama mula beriman memeluk agama Islam di antara orang-orang Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka juga reda kepada Allah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang amat besar."
Golongan inilah juga yang dimaksudkan Firman Allah dalam surah سورة الأحزاب  Al-Ahzab ayat 23-24   :
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا (23)لِيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ إِنْ شَاءَ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا (24
                            Maksudnya :
"Di antara orang-orang mukmin itu ada di antara mereka yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur (syahid) dan di antaranya ada yang menunggu giliran (apa yang Allah telah janjikan) dan mereka tiada sedikit pun merubah (janjinya),(23)
supaya Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenarannya, dan menyeksa orang munafik jika dikehendaki-Nya, atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."(24)
Adalah terlalu banyak rakaman kisah perjalanan hidup para sahabat Rasulullah s.a.w. yang menyerlahkan ketaqwaan, zuhud, kesabaran, keberanian, pemurah, amanah dan kemuliaan sifat-sifat mahmudah mereka yang amat terpuji mengatasi akhlak umat manusia selepas mereka. Perjalanan seharian hidup mereka seolah-olah akhirat berada di hadapan mereka dan mereka "berlumba-lumba" untuk menjadi ahli syurga yang dijanjikan Allah dan sangat takut terhadap balasan api neraka. Contohnya ketika Umar Al-Khatab r.a. menjadi khalifah dia sering berjalan pada waktu malam di kota Madinah untuk melihat sendiri masalah umat bagi menentukan kesejahteraan hidup mereka sentiasa terjaga dengan baik. Pada suatu malam dia terhenti sebentar mendengarkan seorang sedang membaca al-Quran surah سورة الطور Ath-Thuur. Dia terus tersandar apabila mendengar bacaan ayat 7-8 surah tersebut yang berbunyi :
إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ لَوَاقِعٌ (7) مَا لَهُ مِنْ دَافِع(8       
                             Maksudnya : 
"Sesungguhnya azab Tuhanmu pasti terjadi (7)
Tidak seorang pun yang dapat menolaknya."(8)
Beliau jatuh sakit selama sebulan, menyebabkan ramai orang tertanya-tanya dan kehairanan apakah puncanya. Demikian juga kadangkala Rasulullah s.a.w. jatuh pengsan apabila membaca al-Quran surah سورة الواقعة Al-Waqi'aah yang menceritakan betapa dahsyat dan huru-haranya Hari Kiamat dan azab seksa yang ditangung oleh ahli neraka. Catatan sejarah juga merakamkan betapa Abu Bakr As-Siddiq r.a. أبو بكر الصديق mengorbankan kesemua harta miliknya dan tidak sedikit pun ditinggalkan bagi keperluan keluarganya demi untuk membantu membiayai Perang Tabuk [ kini terletak di Jordan] yang berhadapan dengan kira-kira 300,000 tentera Rom Byzantine yang hendak menyerang Madinah. Apabila ditanya Rasulullah s.a.w apakah yang ditinggalkan untuk keperluan keluarganya, dia menjawab :
 "Allah dan Rasul...."

Rasulullah s.a.w  pernah bersabda dalam sebuah hadis :

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ

Maksudnya : " Sebaik-baik manusia ialah pada generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya ." [ HR al Bukhari dan Muslim]

Dapatkah kita bandingkan dengan umat Islam dan seluruh manusia di akhir zaman ini?

Ramai golongan para sahabat Rasulullah s.a.w. yang hidup serba sederhana atau ala kadar dalam kemiskinan tetapi mereka tetap reda, bersabar dan sentiasa bersyukur kepada Allah dengan kemiskinan yang menganggapkannya hanya sebagai ujian Allah yang amat ringan dan terlalu kecil sahaja berbanding dengan hal keadaan kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Mereka sentiasa mencontohi cara hidup Rasulullah s.a.w. yang juga hidup dalam keadaan yang amat sederhana sama seperti orang miskin tetapi sentiasa mendampingi fakir miskin dan sifat pemurahnya mengatasi para sahabat yang kaya yang pemurah.

Kekukuhan dan kemantapan iman serta penghayatan sepenuhnya lautan ilmu yang disemaikan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. menjadikan mereka menaruh keyakinan penuh terhadap kebenaran janji-janji Allah untuk memberi balasan syurga  yang sangat luar biasa kenikmatannya kapada orang-orang mukmin soleh yang bersabar, bertawakal dan reda dengan ujian kemiskinan hidup di dunia dan mendapat martabat seperti para Nabi di akhirat kelak.

Namun kemiskinan duniawi tidak menjadikan mereka hidup mengemis sebagai peminta sedekah dan melupakan akhirat, apa tah lagi melemahkan hati, menyesali kerana beriman hingga kembali menjadi murtad.  Cinta mereka kepada Allah, Rasul dan Hari Akhirat mengatasi segala-galanya, melenyapkan keresahan hati hidup dalam kemiskinan dan menghadapi segala ujian duniawi yang menimpa mereka dengan tabah, senang hati dan berlapang dada. Tambahan pula Rasulullah s.a.w. pun adalah orang miskin dan sentiasa bersama dan memuliakan golongan fakir miskin. Allah memuji-muji golongan insan mukmin soleh seumpama ini  melalui Firman-Nya di dalam al-Quran surah  سورة البقرة Al-Baqarah ayat 273 :
 لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ لا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الأرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُمْ بِسِيمَاهُمْ لا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ 
                        Maksudnya :
" ( Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat ( oleh jihad di jalan Allah, mereka tidak dapat ( berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka itu orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang lain secara mendesak. Dan apa sahaja harta yang baik yang kamu nafkahkan ( di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui."

Mereka ( para sahabat Rasulullah s.a.w.) reda berkeadaan demikian kerana cukup insaf, memahami dan menghayati sepenuhnya kebenaran al-Quran sebagai Kalam Allah dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. yang memiliki sifat-sifat mahmudah yang amat terpuji dalam 14 perkara di atas. Sebagai manusia yang pernah bergelumang dengan amalan dan kepercayaan jahilliah mereka juga cukup mengenali dan memahami kebenaran dan kemuliaan akhlak Rasulullah s.a.w. dan cukup mengenali keburukan perangai dan kejahilan golongan yang mendustakan al-Quran dan menghina Rasulullah s.a.w. seperti yang dilakukan oleh Abu Jahal, Abu Lahab, Al-'As bin Wail bersama penyokong-penyokong kufar Quarisy lain yang masih berterusan sehingga kini dan selagi dunia ini dihuni manusia. 

Justeru golongan insan mukmin yang mula-mula beriman kepada seruan Rasulullah s.a.w. dahulu sangat teguh keimanan mereka walaupn jumlah mereka tidak ramai, tidak mempunyai kekuatan dan terpaksa berhadapan pula dengan berbagai-bagai kerenah dan tindakan kezaliaman golongan kufar musyrikin yang ramai jumlahnya dan mempunyai segala kekauatan yang lengkap.**

[** Lihat penjelasan Saidina Jaafar bin Abi Talib kepada Raja An-Najasyi di Habsah dalam: "Persaudaraan Insan Mukmin" ]

Kemunculan ramai para sahabat yang dikenali sebagai Ahli Al-Sufah dari kalangan fakir miskin berpakaian kain kasar 'Suf' yang murah diketuai oleh Abu Hurairah r.a. sangat dimuliakan Rasulullah s.a.w. kerana mereka sentiasa mendahului dalam hal menuntut ilmu, berpuasa sunat pada waktu siang atau sering kelaparan, beribadat di sepanjang malam, melakukan ibadat yang sebahagian besarnya waktunya beri'ktiqaf di masjid, berzikirrullah, dan sentiasa berada di barisan hadapan apabila turun wahyu memerintahkan pergi berperang fisabilillah menentang tentera kafir dan munafik yang mengancam keselamatan agama dan memerangi umat Islam.
Firman Allah di dalam al-Quran surah سورة البقرة Al-Baqarah ayat 269 menjelaskan bahawa :
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلا أُولُو الألْبَابِ 
                            Maksudnya :
"Allah memberikan hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang diberikan hikmah, sesungguhnya telah diberi kebajikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berakal**."
(** Orang-orang yang berakal yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah golongan manusia yang mempunyai tingkatan otak manusia yang beriman dan mempunyai akhlak insan mukmin soleh seperti yang dapat disaksikan pada akhlak para sahabat Rasulullah s.a.w. dan para mukmin soleh yang dikurniakan Allah dengan pemahaman ilmu yang luas lagi mendalam kerana keikhlasan mereka beragama, mempunyai sifat-sifat dan akhlak mahmudah yang terpuji. Mereka menggunakan al Basirah, 'Ainul Qalbi atau Mata Hati untuk mencerna dan memahami sepenuhnya kebenaran ilmu wahyu Allah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.)
                    
Hadis Rasulullah s.a.w. ada disebut yang antara lain bermaksud :
"..... Barangsiapa mencintai Abu Bakr bermakna ia sudah mendirikan asas keimanannya. Barangsiapa mencintai Uthman, ia diterangi cahaya dari Allah, barangsiapa mencintai Ali ia kukuh memegang tali Allah. Barangsiapa mencintai Umar, ia menerimai kepemipinan jalan yang lurus. Barangsiapa menghormati para sahabatku, nescaya ia tidak boleh menjadi seorang munafik. Barangsiapa mencaci mereka, ia pasti menjadi seorang yang suka membuat pembaharuan [bida'ah] atau orang munafik atau seorang yang menentang sunnahku. 
Setiap amal perbuatan yang soleh daripada orang-orang yang seumpama ini pasti tidak akan diterima oleh Allah sehinggalah mereka membersihkan hati mereka daripada perasaan iri hati, hasad dengki dan mulailah mengasihi kesemua para sahabatku." 
Disebutkan dalam riwayat sahabat Ibnu Umar Radhiyallahu anhuma , bahwa beliau Radhiyallahu anhu mengatakan :
كُنَّا نُخَيِّرُ بَيْنَ النَّاسِ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنُخَيِّرُ أَبَابَكْرٍ، ثُمَّ عُمَرَ بْنَ الخَطَّابِ، ثُمَّ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ
                              Maksudnya :
"Kami (para sahabat) pernah menilai orang terbaik di zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, maka kami dapatkan yang terbaik adalah Abu Bakar Radhiyallahu anhu , kemudian Umar bin Khattâb Radhiyallahu anhu ,kemudian Utsmân bin Affân, mudah-mudahan Allâh meredai mereka semua”. [HR. al-Bukhâri, ]
Kejayaan Rasulullah s.a.w membentuk keperibadian mulia insan mukmin soleh seperti yang dapat disaksikan pada sahsiah para sahabat baginda bukanlah semata-mata atas usaha perjuangan baginda, iltizam dan ketaqwaan para sahabat baginda tetapi adalah atas takdir dan kehendak Allah jua kerana keikhlasan hati mereka terhadap Allah. Hakikat inilah yang  dimaksudkan Allah seperti yang terkandung di dalam al-Quran surah سورة القصص‎‎ Al-Qas’as’, ayat 56:
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
                                 Maksudnya :
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau kasihi akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (kepada) sesiapa yang Dia kehendaki; dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah.”

Siapakah yang tergolong sebagai para sahabat Rasulullah s.a.w.? 

Antara takrif yang paling komprehensif untuk menjelaskan siapakah yang tergolong sebagai Sahabat Rasulullah s.a.w ialah takrif yang dikemukakan oleh ulama hadis yang boleh disimpulkan sebagaimana berikut:

مَنْ لَقِيَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقَظَةً بَعْدَ بِعْثَتِهِ حَالَ حَيَاتِهِ مُؤْمِنًا بِهِ وَمَاتَ عَلَى الْإِيْمَانِ
                 Maksudnya: 
“Seseorang yang telah berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w secara jaga (bukan melalui mimpi) selepas baginda menerima wahyu, semasa baginda masih hidup, dalam keadaan dia beriman kepada kerasulan baginda dan dia mati dalam iman.”
Pengertian di atas mengandungi lima ciri penting yang menjadi syarat utama untuk menentukan siapakah yang tergolong, layak serta sewajarnya mendapat gelaran Sahabat Rasulullah s.a.w. Lima ciri yang dimaksudkan boleh diringkaskan sebagaimana berikut:
Pertama- hanya orang yang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w sahaja yang dinamakan sebagai Sahabat sekalipun dia adalah seorang buta yang tidak dapat melihat baginda seperti Abdullah Ibn Ummi Makhtum (‘Amr @ Abdullah bin Qays bin Za’idah) r.a. yang menjadi penyebab turunnya wahyu Allah dalam surah A’Basa سورة عبس‎‎ ayat 1-10.
Kedua-  perjumpaan dengan baginda hendaklah berlaku selepas penerimaan wahyu yang menandakan bermulanya zaman kenabian/kerasulan baginda. Sehubungan itu, maka Waraqah bin Nawfal yang beriman kepada kerasulan baginda selepas penerimaan wahyu yang pertama adalah tergolong sebagai Sahabat Rasulullah s.a.w. Manakala Zayd bin ‘Amr bin Nufayl dan Jarjis bin ‘Abd al-Qays (yang digelarkan sebagai paderi Bahira) tidak termasuk dalam kategori Sahabat kerana perjumpaan itu berlaku sebelum baginda menerima wahyu. 
Ketiga- perjumpaan itu hendaklah berlaku semasa baginda masih hidup. Justeru, orang yang beriman semasa hayat baginda tetapi hanya melihat baginda selepas kewafatan seperti Abu Zu’ayb al-Huzali (Khuwaylid bin Khalid) tidak termasuk dalam kategori Sahabat.
Keempat- orang yang berjumpa Rasulullah s.a.w. selepas baginda dibangkitkan sebagai Rasul hendaklah beriman kepada kerasulan baginda semasa perjumpaan tersebut. Jika orang yang berjumpa itu mengingkari kerasulan baginda, mereka tidak tergolong sebagai Sahabat Rasulullah s.a.w sekalipun mereka akhirnya memeluk Islam selepas kewafatan baginda.
Kelima- selepas memenuhi empat ciri di atas, hanya orang yang meninggal dunia sebagai orang yang beriman sahaja diperakukan sebagai Sahabat Rasulullah s.a.w. Manakala orang memenuhi empat ciri di atas tetapi jika dia kemudiannya menjadi murtad dan mati dalam keadaan murtad ( tidak beriman) adalah terkeluar daripada kategori Sahabat Rasulullah s.a.w.
Kesemua Sahabat Rasulullah s.a.w dipermuliakan Allah dengan kalimah puji-pujian Radhiallhu'anhum (رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ) yang bermaksud Allah reda terhadap mereka  sebagaimana Firman-Nya dalam al-Quran surah سورة التوبة At-Taubah ayat 100 :
وَالسَّابِقُونَ الأوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ  
                        Maksudnya :
" Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama mula beriman memeluk agama Islam di antara orang-orang Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka juga reda kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar." 
Justeru, kita sebagai umat Muhammad pada akhir zaman hendaklah memuji-muji dan memuliakan kesemua Sahabat Rasulullah s.a.w sebagaimana Allah dan Rasul-Nya memuji mereka. 
Adalah sesuatu yang sangat mengaibkan sekiranya ada di antara manusia yang hidup pada zaman sekarang dan akan datang membuat andaian dan penilaian negatif terhadap para sahabat Rasulullah s.a.w. apabila melakukan sesuatu pentafsiran sesuatu peristiwa sejarah yang mencetuskan peperangan dan perbezaan pendapat di kalangan para sahabat yang mereka anggap tahap pemikiran otak para sahabat Rasullullah s.a.w. adalah sama seperti manusia biasa yang hidup pada kurun ke-20-21 Masehi ini.

Begitu juga pentafsiran sesuatu peristiwa melibatkan para sahabat Rasulullah s.a.w. yang seolah-olah berorientasikan sentimen politik kemanusiaan 'modern' hari ini hendaklah dinilai dari perspektif 'suasana zaman turun wahyu al-Quran' dan  kehidupan sebenar para sahabat yang menjadi tunggak agama dan perkembangan tamadun keilmuan Islam yang tiada tolok bandingannya sehingga kini dan akan datang.

Sungguhpun berfikiran kritis itu adalah amat digalakkan dalam konteks pembelajaran dan keilmuan tetapi hendaklah berhati-hati dan berwaspada apabila membuat penilaian terhadap apa yang berlaku di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. dan segala hal yang berkaitan dengan agama Islam pada zaman turun wahyu. Adalah lebih baik dan selamat jika tidak sesekali mengkategorikan dan menyamakan pola pemikiran para sahabat Rasulullah s.a.w. dengan akhlak manusia selepas mereka termasuk golongan yang dikatakan memperjuangkan Islam sejagat.

Sebelum sesuatu pentafsiran pergolakan politik yang berlaku pada zaman pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyiddin seseorang pengkaji sejarah hendaklah membuat penelitian terhadap sifat-sifat dan cara hidup para sahabat selepas mereka beriman di samping meneliti dan memahami mengenai peranan golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubaiy dan diwarisi pula oleh Abdullah bin Saba' serta para pengikutnya di sepanjang zaman yang bergerak seiring dengan perkembangan tamadun hidup umat Islam sejak di zaman Rasullullah s.a.w. ,pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyiddin dan di zaman-zaman seterusnya.

Jika Aisyah r.a, isteri Rasullullah s.a.w. yang begitu mulia lagi suci itu boleh difitnah 'berzina' hingga amat mendukacitakan Rasullullah s.a.w. sendiri sehinggalah turun wahyu membersihkan kesuciannya seperti yang disebut di dalam surah سورة النور An-Nuur : 11- 19, apatah lagi segala peristiwa yang berlaku pada zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyiddin.

[ Lihat : Allah Berkata-kata Dengan Kalam-Nya Yang Qadim ]

Antara sifat-sifat orang-orang munafik adalah seperti Firman Allah yang termaktub  di dalam al-Quran surah  سورة التوبة At-Taubah ayat 62-66  :
يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَكُمْ لِيُرْضُوكُمْ وَاللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَقُّ أَنْ يُرْضُوهُ إِنْ كَانُوا مُؤْمِنِينَ (62) أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّهُ مَنْ يُحَادِدِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَأَنَّ لَهُ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدًا فِيهَا ذَلِكَ الْخِزْيُ الْعَظِيمُ (63) يَحْذَرُ الْمُنَافِقُونَ أَنْ تُنَزَّلَ عَلَيْهِمْ سُورَةٌ تُنَبِّئُهُمْ بِمَا فِي قُلُوبِهِمْ قُلِ اسْتَهْزِئُوا إِنَّ اللَّهَ مُخْرِجٌ مَا تَحْذَرُونَ (64) وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ (65) لا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ ( 66
                      Maksudnya :
" Mereka bersumpah kepada kamu dengan [nama] Allah untuk mencari keredaanmu, pada hal Allah dan Rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredaannya jika mereka adalah orang-orang yang mukmin.(62)
Tidakkah mereka [orang-orang munafik] mengetahui bahawasanya barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya Neraka Jahanamlah baginya, dia kekal di dalamnya. Itu adalah kehinaan yang besar.(63)
Orang-orang yang munafik itu takut akan diturunkan terhadap mereka sesuatu surat yang menerangkan apa yang tersembunyi di dalam hati mereka. Katakanlah kepada mereka: 'Teruskanlah ejekan-ejekanmu [terhadap Allah dan Rasul-Nya]'. Sesungguhnya Allah akan menyatakan apa yang kamu takuti itu.(64)
Dan jika kamu tanyakan kepada mereka [tentang apa yang mereka lakukan] tentulah mereka akan menjawab : 'Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan barmain-main sahaja'. Katakanlah:  ' Apakah dengan Allah, ayat-ayatNya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?'.(65) 
Tidak usaha kamu minta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami maafkan segolongan daripada kamu [kerana bertaubat], nescaya Kami akan mengazab golongan [yang lain] disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa."(66)
Sungguhpun para sahabat itu 'tidak maksum' yang tidak terpelihara daripada melakukan kesalahan pernah berbuat dosa ( sebelum beriman) dan pola pemikiran dan kehidupan sesetengah di antara mereka sebelum beriman pernah bergelumang dengan kancah kehidupan jahiliah.  Namun setelah beriman mereka adalah sumber ilmu terpancarnya agama Islam peringkat ke tiga selepas Malaikat Jibril AS dan Rasullullah s.a.w. Kesemua para sahabat menghafaz, memahami, menghayati, beramal dan beriman sepenuhnya tanpa kompromi atau berbuat ala kadar sahaja atau berpilih-pilih terhadap seluruh kandungan wahyu di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. lebih-lebih lagi segala perkara mengenai hukum hakam berbentuk 'suruhan' dan 'larangan'. 

Keseluruhan kandungan ayat al-Quran dipertanggungjawabkan kepada beberapa orang sahabat menuliskannya di atas berbagai bahan dan mashaf supaya dapat diwariskan kepada generasi terkemudian. Pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakr As-Siddiq kesemua mashaf al-Quran dikumpulkan di satu tempat khas. Tanpa pengorbanan dan kegigihan daya usaha mereka sudah pastinya al-Quran yang masih kekal hingga kini tidak wujud lagi selepas wafat Rasulullah dan kesemua para sahabat baginda.

Para sahabt Rasulullah s.a.w. sentiasa berlumba-lumba melakukan segala kebajikan walaupun pada zahirnya kelihatan amat kecil sahaja dan sangat takut berbuat kemungkaran atau melakukan syubhat.
Segala perkara berkaitan dengan amalan-amalan yang 'digalakkan' seperti ibadat-ibadat 'sunat'; beribadat pada setiap akhir malam, puasa sunat, sedekah jariah, dan sebagainya dilaksanakan mengikut kemampuan masing-masing yang kebanyakannya dilakukan secara senyap/sembunyi tanpa diketahui umum. Perihal yang mereka lakukan secara 'tersembunyi' ini hanya diketahui selepas mereka kembali ke rahmatullah. 

Ada di antara para sahabat yang berterusan melakukan ibadat sembahyang sunat, mambaca al-Quran dan berzikirullah pada sepanjang malam hingga ke subuh ketika aman atau berada di medan perang. Ada di kalangan para sahabat besar yang melakukan qiam, rukuk dan sujud begitu lama hingga menghabisi 1-3 juzuk atau khatam 30 juzuk al-Quran pada setiap malam dan tangisan mereka ketika melakukan ibadat sembahyang menjadikan pakaian mereka basah kuyup dengan air mata.  

Rasulullah s.a.w. adalah 'Hadis Hidup' berada di hadapan mereka yang mengatasi mereka dalam segala hal mengenai ilmu, taqwa, ibadat, amalan kebajikan dan segala hal kebaikan. Setiap detik kehidupan mereka sama ada pada waktu kelapangan, urusan muamalat atau berperang fisabilillah adalah berpandukan sepenuhnya daripada petunjuk secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. Ramai di antara para sahabat yang melihat dan merasakan sendiri mukjizat-mukjizat Rasulullah s.a.w yang jelas lagi nyata. 

Ini bererti baginda adalah tempat rujukan terus dalam segala hal mengenai agama, keilmuan, kepemimpinan dan kehidupan seharian para sahabat. Pada zaman turun wahyu al-Quran ini tidak berbangkit atau dikempenkan merata konsep "taksub","fanatik", "kesederhanaan", "extreme atau melampau" dan sebagainya mengikut pentafsiran manusia-manusia hari ini. Apa yang diwahyukan di dalam al-Quran adalah satu ketetapan daripada Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana sama ada dalam bentuk suruhan atau arahan, larangan, peringatan, janji ganjaran (insentif), hukuman,galakan, peraturan dan sebagainya. 

Kesemua ayat ini dipatuhi dan diamalkan sepenuhnya mengikut keutamaan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. tanpa  kompromi. Mereka sangat takut dilaknat Allah dan boleh menyebabkan turun wahyu mencela dan memasukkan mereka sebagai golongan orang munafik yang menjadi 'kafir' setelah 'beriman'. 
Hakikat ini dapat mereka fahami dan hayati apabila turun wahyu al-Quran mencerca golongan kafirin, munafikin dan Abu Lahab yang hidup seharian bersama mereka dan semestinya amat dikenali segala keburukan perangai dan tingkah laku mereka oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. 

Malah adab sopan ketika menemui dan berbicara dengan Rasulullah s.a.w. pun turun wahyu untuk memperbetulkannya seperti yang disebut dalam surah سورة الحجرات   al-Hujuraat:2-3 di atas yang mungkin bagi kebanyakan kita perkara ini adalah amat remeh atau ringan sahaja.

Setiap detik kehidupan mereka yang amat singkat di dunia ini dipergunakan sepenuhnya secara mutlak untuk mendapat keredhaan Allah semoga apabila kembali ke rahmatullah mereka tergolong sebagai para syuhada', mukmin salihin, muqarabin , siddiqin, ashabulyamin dan dibangkitkan semula pada Hari Kiamat kelak termasuk di dalam 'golongan kanan' ashabulmaimanah yang mendapat martabat tertinggi di sisi Allah sebagaimana yang dijanjikan. Mereka sentiasa bersama Rasulullah s.a.w. yang di sifatkan sebagai mempunyai "akhlak al-Quran" dan semulia-mulia insan manusia di muka bumi ini yang diutuskan "untuk memberi rahmat kepada sekalian alam.

Di atas tunggak setiap detik pengorbanan jiwa raga Rasulullah s.a.w. yang didokong bersama sepenuhnya dengan penuh ikhlas para sahabat baginda jugalah al-Quran sempurna diturunkan dan Allah mengesahkan kesempurnaan Islam itu sebagai satu-satunya agama yang sah dan diredai-Nya sebagaimana yang dimaksudkan melalui Firman-Nya di dalam
  al-Quran surah سورة المائدة  Al-Maa-idah ayat 3 :
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَنْ تَسْتَقْسِمُوا بِالأزْلامِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لإثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
                                  Maksudnya :
" .......Pada hari ini orang-orang kafir putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu........"
                      
Gedung ilmu dan penghayatan Islam yang dimiliki dan dihayati para sahabat Rasulullah s.a.w. menjadi rujukan utama dan terpenting selepas kewafatan Khulafa Ar-Rasyiddin dan kesemua para sahabat Rasulullah s.a.w..Golongan ulama' mujtahid yang bangkit pada zaman Tabi'en dan Tabi'en-Tabi'en terpaksa berusaha keras dan 'berjihad' untuk menyusun semula sumber ilmu dan hukum-hakam agama berpandukan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. kerana pada zaman tersebut telah mula berbangkit masalah kekeliruan hukum-hakam agama di kalangan umat Islam yang semakin berkembang pesat.

Para ulama' mujtahid yang hak dan golongan ulama salafil soleh telah berusaha dan berjihad untuk mengesan, merekod dan mempastikan sumber-sumber Hadis Rasulullah s.a.w.yang terlalu banyak itu diperolehi dari kalangan para solihin yang hidup sezaman atau mempunyai pertalian yang terdekat dengan para sahabat bagi mengesahkan kesahihan sesuatu Hadis yang ditemui agar dapat menetap dan mempastikan sesuatu hukum agama.

Sebelum diturunkan sesuatu ayat al-Quran melalui wahyu yang disampaikan Malaikat Jibrael AS kepada Rasullullah s.a.w. Allah telah mentakdirkan ditimpakan terlebih dahulu sesuatu perkara atau peristiwa yang menyusah dan mendukacitakan Rasullullah s.a.w. dan para sahabatnya yang menjadi kemusykilan yang amat berat.  Setelah didatangkan ujian getir yang susah dan mendukacitakan yang kadangkala memakan masa yang lama barulah Allah menurunkan wahyu al-Quran menerangkan perkara sebenar apa yang berlaku dan hukumannya.
Terdapat ayat-ayat al-Quran yang sangat ringkas dan tidak mungkin dapat difahami dengan jelas maksudnya yang sebenar sekiranya seseorang itu membaca begitu sahaja atau menterjemahkannya mengikut kaedah literal dan bahasa yang tersurat di dalam kamus.  

Dalam hal ini hanya Rasullullah s.a.w. dan para sahabatnya sahaja lebih mengetahui apakah kandungan tafsiran sebenar ayat-ayat tersebut kerana mereka turut merasakan dan mengalami sendiri peristiwa-peristiwa dan kesusahan-kesusahan tersebut di samping menyaksikan punca-punca sesuatu ayat al-Quran itu diturunkan dan huraian tafsirnya daripada Rasulullah s.a.w. dan Malaikat Jibrael AS sendiri sekiranya terdapat ayat-ayat yang memerlukan penjelasan lanjut.

Dalam konteks memahami, menterjemah dan mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dapatlah dirumuskan bahawa terdapat beberapa golongan manusia atau puak iaitu :
1. Para sahabat Rasulullah s.a.w. yang terlibat secara langsung atau menyaksikan sendiri punca atau sebab-sebab sesuatu ayat al-Quran itu diturunkan dan penjelasan-penjelasan atau huraian lebih lanjut daripada Rasulullah s.a.w. di bawah bimbingan wahyu Allah melalui Malaikat Jibril AS.
2.  Golongan yang tahu sedikit sahaja sebab-sebab ayat-ayat al-Quran itu diturunkan berdasarkan apa yang tertulis di dalam kitab-kitab tafsir sahaja.
3.  Golongan yang tidak memahami mengapa sesuatu ayat al-Quran itu diturunkan dan hanya menterjemahkan maksud sesuatu ayat al-Quran kepada bahasa-bahasa lain berpandukan apa yang terdapat di dalam kamus atau kebijaksanaan  akal  mereka sahaja.
 4.  Golongan yang mendustakan Allah dan Rasul-Nya dan ingkarkan adanya hari akhirat akan hanya memahami, menterjemah atau mentafsirkan sesuatu ayat al-Quran itu mengikut kemampuan logik akal sendiri dan pemahaman bahasa sahaja dengan tujuan untuk mendustakan kebenaran al-Quran dan kebenaran agama Islam walaupun pada zahirnya seolah-olah memuji al-Quran.
Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya umat Islam hendaklah memuliakan dan kasihkan para sahabat Rasulullah s.a.w. dengan mengambil dan mengamalkan ilmu pengetahuan yang diwariskan kepada umat Islam di sepanjang zaman.  Tanpa wujudnya mereka maka akan terputuslah sama sekali pengajaran ilmu agama Islam dan Islam yang hak itu akan terhenti hanya setakat hayat para sahabat Rasulullah s.a.w.sahaja.  

Malahan tanpa pengorbanan, usaha, jihad, ijtihad hingga kepada titisan darah, keringat dan air mata para sahabat mukjizat al-Quran tidak mungkin dapat bersinar diwariskan untuk dibaca, dipelajari dan dimanfaatkan oleh setiap manusia di dunia terhadap segala lautan ilmunya sehingga sekarang dan seterusnya berkekalan hingga Hari Kiamat dunia.

Golongan yang mencerca, mengkeji, menghina dan mengejek-ejek para sahabat Rasulullah s.a.w. dalam apa jua cara sekali pun sama ada secara berterang-terangan, kritikan mengikut sentimen-sentimen tertentu atau secara tidak ketara bermakna mereka menyekat sumber pengajian ilmu agama Islam di peringkat ketiga dan menghina agama Islam itu sendiri.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh ulama'-ulama' mujtahid golongan Ahli Sunnah: 
"Hendaklah diiktiqadkan kelebihan martabat sahabat-sahabat Rasullullah s.a.w. itu dan tertib-tertibnya kelebihan mereka itu. Adalah seafdhal-afdhal manusia kemudian daripada Nabi Muhammad s.a.w. itu ialah Abu Bakar, kemudian Omar, kemudian Usman dan kemudian Ali Radziallahu Anhum.Hendaklah menaruh baik sangkaan kepada kesemua sahabat Rasullullah s.a.w. dengan memuji mereka itu sebagaimana Allah SWT dan Rasul-Nya memuji mereka sekalian. Semuanya itu ada tersebut menunjukkan puji-pujian itu di dalam al-Quran al-'Azim dan beberapa Hadis Nabi Muhammad s.a.w."
Di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. menegaskan ketinggian martabat para sahabat baginda adalah  : 
قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَتَسُبُّوا أَصْحَابِيْ فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَابَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلاَ نَصِيْفَهُ            (صحيح البخاري
                     Yang bermaksud :
Sabda Rasulullah s.a.w :" Janganlah kalian mencaci para sahabatku, jika di antara kalian menginfakkan emas sebesar gunung Uhud, maka belum menyamai segenggam dari mereka tidak pula setengah genggam dari mereka. "  (Shahih Bukhari)
Bagi membentuk dan mengubati penyakit hati yang terdapat dalam diri manusia rujukan dan penghayatan ilmu dan amal hendaklah bersandarkan kepada Hadis Rasullullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Mu'az bin Jabal yang panjang itu. Rumusan pengajaran ilmu yang boleh didapati melalui Hadis ini ialah setiap amal ibadat yang dilakukan oleh seseorang mukmin itu akan diterima dan dikurniakan pahala oleh Allah SWT.

Pahala ibadat ini dibawa ke langit oleh Malaikat-malaikat Hafazah dalam bentuk cahaya yang berbunyi seperti guruh dan bercahaya mengikut martabat masing-masing. Ada yang diberi 'cahaya pahala ibadatnya' seperti matahari dan ada yang seperti bulan yang dimuliakan oleh para malaikat untuk ditapis pula kebersihannya oleh tujuh [7 ]orang malaikat yang menjaga setiap tujuh [7] lapis pintu langit sebelum diterima Allah .

Jika sekiranya pahala amal ibadat seseorang itu mengandungi sifat-sifat mazmumah seperti mengumpat, hasad, dengki, riak, takbur, ujub, dan tidak benar-benar ikhlas semata-mata kerana Allah dan sebagainya, ibadatnya tidak diterima  Allah dan dilaknat dipukulkan kepada tuannya. Hanya 'cahaya pahala ibadat' yang benar-benar bersih daripada sifat-sifat mazmumah dan benar-benar ikhlas kerana Allah sahaja yang diterima Allah sebagai pahala ibadat yang akan mengiringinya hingga ke Alam Barzakh yang ditukarkan pula menjadi makhluk yang sama jenis dengan malaikat yang dinamakan "Roh Amalan Soleh" dan "menerangi" hidupnya semasa di akhirat kelak seperti yang terrmaklum di dalam Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Inilah yang dikatakan hati yang dimiliki oleh orang mukmin yang semestinya menjadi asas perjuangan dan perjalanan hidupnya di dunia walau dalam apa jua hal sekalipun.

Ini bererti segala kebaikan dan kebajikan yang dilakukan oleh orang-orang kufur dan munafik ketika hidup di dunia TIDAK diberi pahala untuk ditukar menjadi 'cahaya ibadat' agar dimuliakan dan dibawa Malaikat Hafazah supaya ditapisi kebersihannya oleh 7 orang malaikat di 7 lapisan langit, apa tah lagi untuk diterima Allah kerana sejak awal-awal lagi perbuatan kebajikannya tidak diterima dan tidak ada 'cahaya ibadat' untuk diberikan penilaian dan tapisan kebersihannya. Segala kebaikan dan kebajikan golongan orang kafir dan munafik hanya untuk keperluan dan kebaikan duniawi sahaja dan akan dibalasi Allah dengan memberi kemudahan dan keringanan ketika mereka menghadapi saat kesakitan Sakaratul-maut mengikut kadar yang dikehendaki Allah, tetapi selepas itu menerima azab seksa yang berterusan seperti yang dimaksudkan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w.



Sebagai manusia dan orang mukmin awam biasa adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menapis, mengikis dan membersihkan sifat-sifat mazmumah ini kerana berbagai-bagai hal yang menjadi penghalang khususnya kekurangan ilmu dan pemahamannya menyebabkan tahap ibadahnya longgar, tidak meningkat dan beristiqamah. Dalam hal ini para ulama' muktabar yang hak telah menyusun ilmu dan amal-amalan soleh yang afdhal untuk dijadikan bimbingan amalan kepada umat supaya dapat mengikis sifat-sifat yang keji ini.
Tujuannya adalah untuk melemahkan tipu daya dan bisikan syiatan kembarannya di samping memperkukuhkan keimanannya supaya mendapat keredhaan Allah dengan menghantarkan Malaikat-malaikat Rahmat mendo'akan kesejehteraan dan keselamatannya daripada gangguan syiatan laknatullah.
Maka wujudlah apa yang dikatakan sebagai perjalanan hidup dan ibadah ahli-ahli sufi yang menitik beratkan pendidikan dan penghayatan amalan kerohanian melalui ibadat-ibadat fardhu dan sunat seperti membanyakkan ibadat puasa, sembahyang, zikirullah, membaca al-Quran, mengurangkan makan minum, bersedekah, qiamulail pada malam hari, mengurangkan berkata-kata yang tidak diperlukan dan berbagai-bagai amalan kebajikan yang berteraskan keikhlasan yang amat dituntut oleh syarak. 

Namun demikian mereka yang melalui jalan ahli sufi ini hendaklah mendalami ilmu-ilmu fardhu 'ain dan lebih-lebih lagi Ilmu At-Tawhid dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan aqidah keimanan yang hak agar tidak mudah ditipu syiatan yang amat pintar, licik dan sentiasa berusaha mencari jalan menyesatkan manusia walau melalui apa jalan sekalipun.

Syaitan tidak takut kepada ahli-ahli ibadat yang 'jahil' tetapi amat takut kepada para ilmuan yang luas dan mendalam ilmu pengetahuannya yang mudah dapat menghalang dan menyanggah segala lintasan hati yang terbit daripada bisikan syiatan yang akhirnya menyebabkan ibadatnya tidak diterima Allah dan berlaku kemungkaran. Apabila terbentuk masyarakat Islam yang benar-benar mematuhi segala perintah dan larangan Allah, berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah, maka akan lahirlah insan mukmin salih yang mencintai Allah, Rasul-Nya dan Hari Akhirat mengatasi segala hal duniawi. Golongan inilah yang dimaksudkan di dalam al-Quran sebagai "sebaik-baik umat" seperti Firman Allah dalam  سورة آل عمران  surah Ali-'Imran ayat 110 : 
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
                       Maksudnya :
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik (makruf)dan melarang daripada yang munkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah ahli kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang fasik.”
Peringatan terakhir Rasulullah s.a.w. dalam Khutbah Terakhir baginda di Padang Arafah hendaklah sentiasa diberikan perhatian serius dan ditanam di dalam hati dan jiwa raga sekiranya hendak terselamat daripada tipu daya syiatan walaupun dalam perkara-perkera yang mungkin dianggap 'kecil' atau 'remeh' sahaja pada penilaian manusia biasa seperti yang dimaksudkan: 
 "Wahai manusia,.................Berwaspadalah terhadap syiatan  dan keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa  untuk  menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar.  Maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya  dalam perkara-perkara kecil............". 
 [Sebahagian daripada maksud kandungan,  Khutbah Terakhir Nabi   Muhammad s.a.w. pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijriyyah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.]
Ketika melakukan ibadat zikirullah umpamanya,  seseorang itu hendaklah benar-benar memahami dengan mendalam serta menghayati kandungan pengajaran Ilmu At-Tawhid seperti yang terkandung di dalam Asma Ullah Al-Husna dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Dua Kalimah Syahadat di samping Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. yang menjelaskan Allah Memuji Diri-Nya Sendiri Setiap Hari. 

Adalah amat ditakuti sekiranya seseorang itu tidak memahami dan menghayati kandungan ilmu-ilmu ini mereka terdedah kepada tipu daya syaitan dalam berbagai-bagai cara yang akhirnya boleh merosakkan aqidahnya.
Semoga kita tidak tergolong sebagai orang yang mempunyai tingkatan otak orang yang ingkar kafir munafik sebagaimana yang diperjelaskan dalam al-Quran surah سورة الطور Ath-Thuur ayat 7-12 yang berbunyi :
إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ لَوَاقِعٌ (7) مَا لَهُ مِنْ دَافِعٍ (8) يَوْمَ تَمُورُ السَّمَاءُ مَوْرًا  (9) وَتَسِيرُ الْجِبَالُ سَيْرًا (10) فَوَيْلٌ يَوْمَئِذٍ لِلْمُكَذِّبِينَ (11)الَّذِينَ هُمْ فِي خَوْضٍ يَلْعَبُونَ (12 

                        Maksudnya :
"Sesungguhnya azab Tuhanmu pasti terjadi,(7)
tidak seorang pun yang dapat menolaknya,(8)
pada hari ketika langit benar-benar bergoncang, (9) 
dan gunung benar-benar berjalan. (10)
Maka kecelakaan besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan,(11)  
[Iaitu] orang-orang yang bermain-main dengan kebatilan. "(12)                  
Firman Allah Taala di dalam al-Quran al-Azim pada surah سورة النساء An-Nisaa’ ayat: 119-121  :
وَلأضِلَّنَّهُمْ وَلأمَنِّيَنَّهُمْ وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الأنْعَامِ وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ وَمَنْ يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُبِينًا (119) يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلا غُرُورًا (120) أُولَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَلا يَجِدُونَ عَنْهَا مَحِيصًا (121
                       Maksudnya :
" dan saya (syaitan) benar-benar kan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu akan saya suruh mereka (merubah kejadian Allah), lalu mereka benar-benar merubahnya. Barangsiapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata. (119)
Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, pada hal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka . (120)
Mereka itu tempat kembalinya (adalah)(Neraka)Jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat lari daripadanya.”(121)
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh paling utama dan musuh sebenar manusia yang cukup arif memperdayakan manusia melalui ilmu-ilmu yang membawa kepada kesesatan beragama dan mensyrikkan Allah. Sama-sama kita fikirkan dan tanya pada diri sendiri :
"Di manakah tingkatan otak pemikiran kita? Adakah setaraf dengan Otak Kelkatu, Otak Burung atau Otak Kuda ?"
Mudah-mudahan kita memiliki Otak Manusia  yang mewarisi Otak dan Akhlak Insan Mukmin Soleh, golongan Ahli Al-Muqarabbin dan para sahabat Rasulullah s.a.w.! Amin.
[Lihat : Kitab Tipu Daya Syaitan كتاب تلبيسات الشيطان للانسان]

************************************************************
  مَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ وَمَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ نَصِيبٍ
                          Maksudnya :
" Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat ."
                       [Al-Quran   سورة الشورى surah Asy-Syuura : 20

                                            *************************************

Image result for The dead dates trees
                        Pohon-pohon kurma yang mati dan menjadi buruk
وَأَمَّا عَادٌ فَأُهْلِكُوا بِرِيحٍ صَرْصَرٍ عَاتِيَةٍ (6) سَخَّرَهَا عَلَيْهِمْ سَبْعَ لَيَالٍ وَثَمَانِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومًا فَتَرَى الْقَوْمَ فِيهَا صَرْعَى كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ خَاوِيَةٍ (7
                       Maksudnya :
" Adapun kaum 'Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin dan lagi amat kencang, (6) 
yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus menerus, maka kamu lihat kaum 'Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka itu tunggul pohon kurma yang telah kosong (buruk)." (7)
                         [Al-Quran surah سورة الحاقة Al-Haaqqah : 6-7 ] 

                     ***************************************

أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الأرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الأنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ 
                         Maksudnya :
" Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi-generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, pada hal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu. Dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka. Kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri, dan Kami wujudkan sesudah mereka generasi yang lain."  
       [  Al-Quran surah سورة الأنعام Al-An'aam : 6  ]







                             

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BILAKAH KIAMAT DUNIA AKAN BERLAKU ?

  بِسْمِ  ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَ...