Jumaat, 9 September 2011

TIMBANGAN AMAL dan KEFAHAMAN ILMU AQIDAH KEIMANAN AHLI AL-SUNNAH


                                                                                     


 بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ َالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

اللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِيْ قـُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا رَبَّنَاإنَّكَ رَءُوْفٌ رَحِيْمٌ

 أَمَّا بَعْـدُ 

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحاً وَقَالَ إِنَّنِي 

مِنَ الْمُسْلِمِينَ



                         Maksudnya :   
"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal salih dan berkata : 'Sesungguhnya aku termasuk orang yang menyerah diri (Muslim)'." 
      [Al-Quran surah سورة فصلت Fush Shilat : 33]                                                    *****************************************
يَـأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ ءَامِنُواْ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَـبِوَالْكِتَـبِ الَّذِى نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَـبِ الَّذِى أَنَزلَ     مِن قَبْلُ                      وَمَن يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَـئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ  وَالْيَوْمِ الاٌّخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَـلاً بَعِيداً
      Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya, serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya Rasul-Rasul-Nya dan hari kemudian (akhirat), maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya." 
          [Al-Quran surah سورة النساء An-Nisaa' : 136 ] 
      *****************
Kebenaran yang sahih terhadap pegangan iktiqad aqidah keimanan adalah syarat mutlak untuk mengesahkan keimanan seseorang terhadap Allah, Malaikat, Rasulullah, Kitabullah, Hari Akhirat dan Qadha dan Qadar Allah. Kesemua enam[6 ] perkara yang terkandung dalam Rukun Iman ini mestilah berlandaskan ilmu yang hak daripada al-Quran dan Sunnah Rasullullah s.a.w.. Seseorang yang sudah beriman itu boleh menjadi murtad sekiranya berpegang kepada pemahaman iktiqad yang batil terhadap kesemua enam perkara ini ataupun salah satu daripadanya sahaja  walaupun dianggap atau dikatakan sebagai "kesilapan sedikit" sama ada disengajakan atau tidak.

Ini bermakna sesiapa juga yang mengaku telah beriman tetapi mempunyai pegangan iktiqad keimanan yang salah akan terjumlah sebagai orang kafir, munafik atau fasik.  Sekiranya dia mati dalam keadaan tidak bertaubat dan menggantikan dengan kefahaman ilmu yang sahih kebenarannya, dia akan menerima hukuman Allah yang kekal dalam api neraka sama seperti orang kafir dan munafik sebagaimana yang dijanjikan.

Apakah ukuran dan timbangan untuk menentukan sesuatu pemahaman aqidah keimanan seseorang itu berada di pihak yang benar berlandaskan aqidah keimanan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak atau pun kefahaman batil ahli bida'ah sesat dari golongan-golongan lain?
 Dalam Hadis Rasulullah s.a.w. ada menyebut yang bermaksud : "

"...........dan sesungguhnya kaum Bani Israel telah berpecah belah kepada 72 puak, dan umatku pula akan berpecah belah kepada 73 puak, semuanya (akan dihumbankan) ke dalam neraka kecuali satu  puak sahaja. Sahabat-sahabat baginda bertanya: Siapa dia puak yang satu itu Ya Rasulullah? Baginda menjawab: Puak itu ialah yang tetap di atas jalanku dan jalan sahabat-sahabatku."
Perkara pokok yang perlu diberi penilaian sama ada salah atau benarnya sesuatu pemahaman dan pegangan ilmu itu ialah mengenali Allah SWT yang tertera di dalam Ilmu Tawhid dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan aqidah keimanan yang terkandung di dalam Rukun Iman yang enam [6] perkara.  
Pegangan iktiqad aqidah keimanan Ahli Sunnah Wal-Jamaah adalah jelas seperti yang terkandung di dalam Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Dua Kalimah Syahadat At-Tauhid dan Syahadat Ar-Rasul yang menjadi tunggak perbincangan yang dipaparkan di dalam keseluruhan blog Cahaya Menerangi Kegelapan ini.


Seseorang itu TIDAK terjumlah sebagai berpegang kepada iktiqad aqidah keimanan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak sekiranya pemahaman dan pegangan ilmunya mengandungi ataupun mengajar unsur-unsur atau menjurus kepada pemahaman seperti berikut :

i.    Pemahaman terhadap Allah SWT boleh diertikan atau menjurus kepada mensyirik atau menyekutukan dan menyamakan Allah dengan makhluk seperti Allah bertempat, zat makhluk daripada Zat Allah dan Zat Allah bersatu-padu dengan makhluk, Zat Allah berjuzuk, masa dan tempat wujud dengan sendiri, alam ini kosong/lapang belaka berdasarakan teori pemahaman ilmu sains tabi'e mengenai sistem cakrawala bimasakti. Sifat kosong/lapang, gerak, diam, suara, bunyi dan yang seumpama dengannya tidak ada permulaan atau wujud dengan sendiri dan yang seumpama dengannya.

ii.  Nabi dan Rasul itu anak Tuhan atau Tuhan sendiri yang meniupkan roh-Nya kepada jasad mereka ketika berada dalam kandungan perut ibu.

iii.  Zat atau Diri Allah berada di mana-mana sama ada di luar alam, di dalam alam, meliputi alam atau bersatu-padu dengan alam. Dikatakan pada hakikatnya alam ini ialah Tuhan kerana apabila manusia mati dia dikuburkan dalam tanah dan reput menjadi tanah untuk dikitar semula menjadi alam untuk memberi manfaat kepada manusia dan makhluk-makhluk lain.

iv.    Allah itu hanya wujud pada huruf Alif, Lam, Lam, Ha.  Wujudnya Nabi Muhammad s.a.w. hanya pada huruf Mim, Ha, Mim, Dhal sahaja dan Nabi Adam itu pula sebenarnya hanya wujud pada huruf Alif, Dhal, Mim. Kesimpulan daripada pemahaman ini ialah : Allah itu Muhammad, Muhammad itu Allah, dan Adam itu Allah, Allah itu Adam dan semua yang ada ini adalah Allah belaka kerana kesemuanya berasal daripada Zat Allah.


v.    Allah itu wujud dengan sendiri dan wujudnya Allah itu dikatakan khaliah yang bererti di antara ada dengan tiada dan Allah itu lebih hampir dari urat leher manusia.


vi.    Nabi Muhammad s.a.w. itu tidak maksum, melakukan kesalahan, berbuat dosa dan berakhlak seperti manusia biasa. Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. tidak boleh dijadikan sumber hukum agama Islam kerana sebagai manusia biasa juga Nabi Muhammad s.a.w. boleh terlupa dan melakukan kesalahan. Hadis yang diriwayatkan oleh perawi-perawi Hadis dari kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. juga tidak boleh dipercayai dan diterima  kerana mereka adalah sama seperti manusia biasa juga yang banyak melakukan kesalahan dan berbagai-bagai kelemahan.
Ataupun mereka boleh terlupa dan menokok tambah mengikut sesuka hati mereka. Hal yang sama juga berlaku kepada ulama'-ulama' mujtahid golongan Ahli Sunnah yang menjadi asas pemahaman mazhab Ahli Sunnah yang empat itu. Maka sumber hukum yang boleh dijadikan rujukan agama Islam hanya Al Quran sahaja. Al Quran itu pula diterjemah dan ditafsir mengikut kehendak ulama' pentafsir sendiri tanpa merujuk dan berpandukan pentafsiran yang dibuat oleh ulama' mujtahid  Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak.
vii.     Perbuatan-perbuatan Allah yang diperlihatkan melalui mukjizat-mukjizat para Nabi dan Rasul seperti yang diperjelaskan di dalam Al Quran dan kitabullah yang lain tidak boleh dijadikan pegangan aqidah keimanan kerana kesemuanya tidak logik yang boleh diterima oleh logik akal manusia kerana tidak dapat dibuktikan melalui kajian saintifik berteraskan ilmu sains dan teknologi. Kepercayaan ini kononnya boleh menjadikan umat Islam mundur, tidak saintifik dan ketinggalan dalam hal duniawi, berfikiran beku dan jumud. Maka semua mukjizat yang diceritakan di dalam Al-Quran termasuk peristiwa malam Isra' dan Mikraj Rasullah s.a.w. itu dianggap cerita dongeng dan mitos purbakala sahaja.
viii.    Ibadat sembahyang lima waktu yang difardhukan kepada umat Islam adalah sejenis riadah untuk kesihatan jasmani yang direka oleh Nabi Muhammad s.a.w. sama seperti amalan riadah yang dihasilkan oleh manusia-manusia lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang riadah kesihatan jasmani dan ritual kebatinan.

ix.   Syurga, neraka, titian 'Sirat' dan 'Haudh' kolam Nabi Muhammad s.a.w. tidak wujud atau belum wujud. Apa yang disebut dalam Al-Quran dan Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. hanya fantasi atau illusi sahaja untuk tujuan motivasi dan menakut-nakutkan manusia sahaja supaya mereka tidak berani membuat kesalahan dan sentiasa melakukan kebaikan bagi mewujudkan sistem kehidupan bermasyarakat yang harmoni dan aman sejahtera. Dikatakan sesiapa yang hidup mewah, kaya raya, sihat walafiat dan berbahagia di dunia itulah yang sebenarnya mendapat  nikmat syurga. Sebaliknya sesiapa yang hidup susah, miskin papa kedana, sakit dan kesusahan-kesusahan lain dikatakan mendapat azab neraka.
x.     Hal Fitnah Kubur  dan balasan kesenangan atau azab di Alam Barzakh hanya cerita dongeng manusia purba dan tidak wujud sama sekali bertujuan untuk memberi kesan psaikologi diri manusia supaya menjadi 'baik' kerana apabila seseorang itu mati keadaannya sama seperti binatang atau pokok sahaja atau memang sudah menjadi hukum tabi'i tiap-tiap yang hidup apabila tiba masanya akan mati. Tambahan pula teori ahli-ahli sains tertentu yang diterima pakai oleh kebanyakan manusia [termasuk sesetengah golongan tertentu orang Islam] mempercayai bahawa manusia itu berasal daripada sejenis spesis binatang yang sama jenis dengan  'beruk'. 

Maka asal kejadian manusia daripada Nabi Adam Alaihisalam dan Hawa yang begitu sempurna dan cantik menawan rupanya seperti yang  dijelaskan berulang-ulang kali di dalam al-Quran dan Kitabullah yang lain serta Hadis-hadis Nabi s.a.w. hanya cerita agama sahaja yang tidak saintifik dan tidak boleh diterima logik akal manusia. Tegasnya segala teori sains adalah paling tepat dan benar dan segala pengajaran agama [termasuk apa yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Hadis]  yang bertentangan dengan teori sains adalah salah dan tidak boleh diterima akal atau dijadikan pegangan ataupun hanya sebagai kepercayaan beragama sahaja yang tidak ada kaitan dengan kehidupan duniawi manusia.



Berdasarkan kajian saintifik dan penemuan ahli-ahli arkeologi menunjukkan tidak terdapat sebarang bukti wujudnya tamadun kehidupan manusia di dalam kubur-kubur purba yang dibongkar semula. Apa yang ditemui hanya rangka manusia, mumia dan bahan-bahan khazanah bendapurba yang mengiringi si mati berasaskan kepercayaan tahyul manusia purba sahaja. Bukti-bukti penemuan ini menunjukkan apabila sudah mati manusia tidak mungkin akan dihidupkan semula kerana tidak dapat diterima logik akal berteraskan kajian saintifik bahawa jasad-jasad manusia yang sudah rosak binasa menjadi rangka atau debu tanah boleh bangkit hidup semula pada Hari Kiamat dunia kelak.


Maka apa yang diperkatakan dan menjadi peganbgan pemahaman golongan manusia seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Al 'As bin Wail, Fir'aun dan pengikut-pengikut mereka wajar diikuti supaya manusia hidup bertambah makmur, maju dan aman sejahtera di dunia ini. Oleh itu matlamat hidup di dunia ini adalah untuk kesejahteraan dan keseronokan hidup di dunia sahaja. Justeru adalah tidak perlu memikirkan atau membicarakan hal kehidupan selepas mati kerana bila sudah mati tidak mungkin hidup semula dan tidak akan wujud tamadun manusia selepas mati.



xi.     Hari Kiamat dunia tidak wujud dan tidak akan berlaku kerana tidak munasabah dan logik pada akal dan bersesuaian dengan kajian saintifik bahawa dunia yang sebegini besar bersama bintang-bintang dan planet-planet yang tidak terhingga banyaknya di dalam sistem cekrawala yang begitu luas kesemuanya boleh binasa dan musnah.

Banyak lagi contoh lain yang boleh dikaitkan seperti di atas yang begitu ketara amat bertentangan dengan pegangan iktiqad aqidah keimanan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bagi menyelamatkan aqidah keimanan seseorang itu supaya terhindar daripada pegangan iktiqad ahli bida'ah sesat setiap orang yang telah beriman hendaklah berpegang teguh kepada ilmu yang terkandung dalam iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Antara perkara pokok yang mesti  dipegang  dan diberikan penekanan yang kukuh ialah :

i.      Membaca, memahami, beriman dan menghayati keseluruhan kandungan ilmu yang terdapat di dalam kitab Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Dua Kalimah Syahadat  sebagai pintu pertama memahami erti IMAN. Ilmu-ilmu ini hendaklah dibaca pada setiap hari seperti membaca surah Al-Fatihah agar dapat disebatikan sebagai kaedah atau formula utama kefahaman dan penghayatan terhadap Islam. Sekiranya pemahaman terhadap ilmunya kurang jelas rujukan hendaklah dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan orang yang arif mengenainya walau di mana mereka berada atau merujuk kitab-kitab yang muktabar dengan bimbingan ulama Ahli Sunnah yang hak.
ii.     Membaca, menghafal, memahami, menghayati dan beriman kepada Asma' Allah Al-Husna yang tidak terhingga banyaknya itu tetapi di dalam Al Quran mengandungi 99 nama-nama Allah yang sangat indah itu dengan menghindarkan daripada salah faham terhadap beberapa nama seperti yang dijelaskan dalam : Kekeliruan Pemahaman Terhadap Asma' Allah Al-Husna  yang terdapat dalam blog ini.

iii.     Membaca, memahami dan menghayati kandungan Hadis Rasullullah s.a.w. yang menjelaskan Allah memuji diri-Nya sendiri pada setiap hari seperti yang terkandung dalam: 
Maksud  Doa Saidina Ali RA dan Hadis yang menerangkan Allah SWT Memuji DiriNya sendiri yang terdapat dalam blog ini.

iv.      Membaca, memahami dan menghayati kandungan Doa Abu Bakar As-Siddiq ketika menghadapi sakit membawa maut yang di dalamnya terkandung ilmu menjelaskan Qadha dan Qadar Allah.

v.       Membaca dan memahami Hadis dan Doa Nabi Muhammad s.a.w. yang panjang selepas sembahyang  sunat subuh yang antara lain baginda memohon dikurniakan: "cahaya di qalbu, cahaya di mata, cahaya di telinga, cahaya pada tulang, darah, daging dan cahaya di hadapan, di kanan, di kiri" dan juga kerendahan hati baginda bermohon doa kepada Allah.

vi.      Memahami pengertian kalimah Qadim ( قديم )dan perbezaan di antara Zat Allah yang Qadim dan zat makhluk yang baharu serta memahami bahawa apa juga yang dapat difikirkan selain daripada Allah itu adalah makhluk belaka yang dijadikan Allah daripada semata-mata tidak ada kepada ada tanpa berasal daripada apa-apa jua pun berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali.. Hendaklah sentiasa difahami dan ditanam di dalam hati dan minda bahawa ALLAH itu BUKAN makhluk, tidak menyamai makhluk dalam apa jua sifat dan cara sekalipun dan tidak memerlukan atau berhajat kepada  makhluk sama sekali.
vii.      Mempercayai sepenuhnya dan beriman tanpa sebarang syak wasangka dan ragu-ragu terhadap semua perkara yang berkaitan dengan Rukun Iman yang enam [6] perkara seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran dan Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. Kepercayan yang menyeluruh ini termasuk hal-hal berkaitan Sakratul-maut, fitnah kubur, balasan nikmat dan azab kubur, hari kiamat, dibangkitkan semula manusia daripada kubur pada hari kiamat, segala hal berkaitan dengan hari kiamat, menyeberangi titian 'sirat' yang merentangi api neraka dan balasan syurga dan neraka seperti yang dijanjikan.



viii.     Roh manusia adalah makhluk Allah yang sama jenis dengan malaikat dan bukan terbit daripada Zat Allah kerana Allah hidup dengan Hayat-Nya yang Qadim dan bukan dengan roh. Roh manusia hanya baru wujud apabila Malaikat Roh meniupkan roh kepada janin bayi dalam kandungan perut ibu apabila tiba masanya dengan perintah Allah. Sebelum itu roh manusia  belum diadakan lagi atau berada pada satu tempat di Alam Roh.

 [ Lihat : Masalah Roh]

ix.    Awal makhluk yang dijadikan Allah ialah roh malaikat bernama 'Akal' atau 'Kalam' dan bukan Nuur Muhammad.

x.     Hendaklah sentiasa dihayati dan ditanam kukuh di dalam hati dan fikiran dengan pegangan iktiqad dan pemahaman bahawa Allah itu:
".... ada, sentiasa ada, selama-lamanya ada dan tidak berkeputusan ada-Nya. Sebelum diadakan masa, tempat, alam, arasy, qursi,sunyi sepi,suara, gelap, cahaya, lapang, kosong, gerak, diam dan apa sahaja yang terlintas dalam hati maka yang ada hanyalah Allah SWT sahaja yang ada penuh dengan kesempurnaan, ketinggian martabat dan kemuliaan Asma' Ullah Al-Husna. Sekiranya tidak diadakan alam sama sekali pun Allah tetap ada, sentiasa ada, selama-lamanya ada dan tidak berkeputusan ada-Nya, sentiasa tetap dengan kemuliaan dan ketinggian martabat-Nya.  Dialah yang awal yang tiada berawal bagi-Nya dan Dialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya. Apabila dijadiakan sekalian makhluk-Nya Dia tetap dengan Sifat-Nya dengan tiada berkurangan atau bertambah".

            ii.  Jirim, Jisim, Jauhar dan Aradh

Sekiranya seseorang itu melafazkan zikir "La Illaha Illallah" walau sebanyak mana sekalipun yang terdaya dilakukannya dia hendaklah memahami dan mengingatkan Allah sahaja berteraskan ilmu yang terkandung di dalam Asma' Allah Al-Husna dan Terjemah Aqidah Al-Sunnah dan ditegah sama sekali mengingati makhluk.  Dalam Hadis Rasullullah s.a.w. ada menyebut yang bermaksud :
 "Adalah diketahui bahawa orang yang jahil dalam ilmu mengenai Allah itu tidak memberikan apa-apa faedah pun daripada amalan-amalan salih yang  dilakukannya, malahan ia terdedah kepada pintu kesesatan dalam agama.  Sesungguhnya telah dikatakan kepada Rasulullah s.a.w.:  Apakah amalan-amalan yang lebih afdhal? Maka sabdanya : Ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah Azawajalla. Maka ditanya: Apakah dia ilmu yang engkau kehendaki itu? Sabda Nabi Muhammad s.a.w. : Ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah SWT. Maka ditanya kepadanya:  Kami menanya daripada amalan dan engkau menjawab daripada ilmu. Maka sabda Nabi Muhammad s.a.w. : Bahawasanya sedikit amalan itu memberi manfaat berserta adanya ilmu pengenalan kepada Allah SWT dan bahawasanya banyak amalan itu tiada memberi manfaat berserta kejahilan ilmu pengenalan kepada Allah Subhanahuwatalla."   
 Berdasarkan penjelasan ini dapatlah difahami bahawa ilmu mengenai aqidah keimanan itu boleh diibaratkan seperti akar tunjang kepada sebuah pokok kayu. Jika rosak tunjang akarnya maka binasalah pokok itu. Sekiranya didapati pokok kayu itu mempunyai tanda-tanda berpenyakit kajian terperinci sewajarnya dilakukan kepada akar tunjang pohon tersebut dan bukan hanya lebih tertumpu  kepada ranting, daun, batang atau dahannya sahaja.

Sekiranya perlu 'pokok yang berpenyakit' tersebut dimusnah dan diganti dengan pokok yang baru dengan memberikan baja, ramuan  pencegahan penyakit dan memeliharanya dengan sempurna pada setiap masa. Dengan cara ini pokok yang baru ditanam itu dapat hidup subur dan terhindar daripada mengalami penyakit seperti yang dialami pokok yang telah dimusnahkan.

Demikian juga dengan apa yang berlaku di dalam kancah pergolakan umat Islam sejagat. Apabila pegangan ilmu aqidah keimanan umat Islam lemah atau lebih-lebih lagi dijangkiti berbagai penyakit "bida'ah" sesat yang bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. maka akan berlakulah berbagai-bagai "penyakit" yang boleh mengakibatkan kebinasaan dan porak peranda bermula di peringkat keluarga hinggalah kepada seluruh masyarakat dan negara.
Persoalan aqidah adalah subjek paling utama dan terpenting di antara yang terpenting dalam konteks pemahaman dan penghayatan ilmu agama Islam yang boleh menjadi cermin dan identiti kebenaran, kemuliaan dan kewibawaan agama dan umat Islam itu sendiri.

Terlalu banyak perkara dan persoalan ilmu yang boleh menjejaskan kefahaman seseorang terhadap ilmu ini yang kadang kala sangat sukar untuk dikesan kerana ianya berkisar di dalam minda atau qalbu seseorang sekiranya dia tidak meluahkannya kepada orang lain. Begitu juga sekiranya sesuatu pemahaman ilmu 'bida'ah' sesat yang salah dan bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. itu sudah tersebar meluas dan diterima pakai buat sekian lamanya di dalam sistem pendidikan dan tidak diperbetulkan oleh ulama-ulama yang hak maka berkekalanlah pemahaman ilmu sesat itu dalam pemikiran masyarakat Islam yang menganggapkannya sebagai ilmu agama Islam yang BENAR dan HAK dan menghukumkan pula sesiapa yang tidak berpegang dengan kefahaman ilmu ini dianggap sebagai menyeleweng, sesat dan menjadikan umat Islam mundur dan ketinggalan di dunia ! 

Hal keadaan ini boleh diibaratkan sekiranya sesuatu perkara "maksiat" di sisi agama Islam khususnya yang berkaitan dengan pemahaman dan amalan aqidah keimanan itu sudah sebati di dalam kerangka minda dan amalan tradisi hidup bermasyarakat yang diwarisi  turun temurun sejak zaman nenek-moyang, maka tersangat sukar untuk menghapuskannya tanpa pertunjuk-pertunjuk mantap daripada ulama berwibawa. 

Golongan tertentu yang berkepentingan akan mempertahankan "maksiat" tersebut  dengan apa jua cara sekalipun termasuk  membuat berbagai telahan, ugutan kebatinan dan takwil yang munasabah pada pemikiran masyarakat umum yang kebiasaannya dapat diterima oleh pengikut-pengikut yang taksub kepadanya.  
Dalam hal ini setiap insan mukmin adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap dirinya sendiri, keluarga dan masyarakat di persekitarannya bagi menentukan terselamat daripada bahaya dan bala bencana kesesatan berpunca daripada salah faham terhadap pentafsiran ilmu berkaitan aqidah keimanan ini. Sebasar-besar bala dan mudarat yang ditimpakan Allah kepada manusia yang sesat jalan agamanya ialah berkekalan selama-lamanya berada di dalam neraka.



Islam terbina di atas landasan ilmu yang diwahyukan Allah seperti yang terkandung di dalam al-Quran dan petunjuk-peunjuk yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sunnahnya. Segala amalan yang difardhukan adalah berlandaskan kepada kedua-dua sumber tersebut mengikut peraturan hukum syarak yang telah disusun dan ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w., para sahabat Baginda dan ijtihad ulama'-ulama' mujtahid yang hak yang mewarisi ilmu-ilmu Rasulullah s.a.w.

Umat Islam yang luas ilmu pengetahuannya akan melakukan sesuatu amalan agama adalah berpandu dan berteraskan ilmu dan bukan bertaklid buta tanpa usul periksa dengan melakukan penelitian. Mereka melaksanakan segala suruhan dan perintah agama mengikut kepentingan dan keutamaan setelah membuat pertimbangan dan ukuran teliti mengikut keutamaan hukum syarak seperti mengutamakan ibadat-ibadat yang fardhu.

Ibadat-ibadat yang dikategorikan sebagai "sunnat" yang begitu luas dilakukan mengikut kemampuan dan keutamaan pada dirinya dan umat dengan penuh ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah tanpa menimbulkan sebarang 'fitnah' yang boleh mencacatkan ibadatnya.

Dengan cara ini tidak timbul persoalan "melampau" [ extreme ], " fanatik", "kesederhanaan" dan berbagai-bagai persepsi dan tanggapan lain yang boleh memberikan pengertian kepada masyarakat bukan Islam seolah-olah agama Islam itu mengajar umatnya supaya melakukan kezaliman, menyemaikan akhlak buruk dan menjadikan minda umat Islam begitu bodoh, kolot dan dangkal. 
Apabila al-Quran menyebut bahawa orang-orang mukmin yang beramal salih sebagai "sebaik-baik" umat adalah satu kalimah memperjelaskan ketinggian martabat yang amat penting yang sangat besar ertinya di sisi Allah yang tidak sewajarnya dipandang remeh. Apakah ukuran  ' penanda aras' "sebaik-baik umat" di sisi Allah? Hanya para ilmuan yang hak sahaja yang dapat membrikan jawapan yang meluas dan tepat terhadap persoalan ini. Namun asas terpenting terhadap jawapan yang diberikan sewajarnya berindukkan keluasan dan kemantapan pemahaman terhadap "Aqidah Keimanan Ilmu At-Tawhid" yang menjadi pegangan utama golongan Ahli Assunnah Wal Jamaah.  

Mudah-mudahan Allah sentiasa melimpahkan rahmat pertolongan dan taufik hidayah-Nya untuk menjadikan kita sebagai hamba-Nya dalam golongan mukmin salih ,".... yang tetap di atas jalan ku dan jalan sahabat-sahabatku."
Malakukan sesuatu perbuatan yang dikategorikan sebagai ibadat adalah mnegikut keutamaan iaitu dengan memberikan keutamaan kepada ibadat-ibadat khusus yang difardhukan dan disusuli pula dengan amal kebajikan lain yangt terlalu banyak. Dalam Hadis Rasulullah s.a.w. ada disebut:
"Dari Aisyah ra.a. bahawa dia berkata: Nabi Shallallhu 'alaihiwassalam pernah ditanya: Amalan apakah yang paling dikasihi Allah SWT? Dia menjawab : (Amal kebajikan/kebaikan) yang dikerjakan terus menerus (beristiqamah) walaupun sedikit, lalu bersabda: Beramallah sesuai dengan kemampuan kamu kalian."  
[Maksud Hadis Rasululllah s.a.w. Sahih al-Bukhari].
Marilah sama-sama kita fikir, fahami dan manfaatkan pemaparan wadah ilmu yang terkandung di dalam blog ini kepada saudara-saudara Muslim kita. Mudah-mudahan Allah merahmati segala daya usaha ikhlas kita sebagaimana yang terkandung di dalam maksud Hadis Rasulullah s.a.w. :
 "Dan dari apa yang diriwayatkan, maka sabda Rasulullah s.a.w. apabila mengutuskan Mu'az ke Yaman : Satu orang yang Allah berikan hidayat-Nya melalui engkau adalah lebih baik dari dunia dan barang apa yang ada di dalamnya. Rasulullah s.a.w. bersabda : Sebaik-baik pemberian dan sebaik-baik hadiah ialah sepatah perkataan hikmat yang engkau dengar dan engkau pelihara akan ia kemudian engkau membawanya kepada salah seorang saudaramu yang Muslim, lalu engkau mengajarnya akan dia adalah sama dengan ibadat satu tahun."

Lihat : 

i.      Allah Berkata-kata Dengan Kalam-Nya yang Qadim
ii.      SOAL dan JAWAB Mengenai "ADA " Allah SWT
iii.     Asma' Ullah Al Husna

             *******************************                       
Related image
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِلْعَالَمِينَ 
                          Maksudnya :
"Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia ialah Baitullah yang di Bakkah (Makkah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia."  
                              [Al-Quran surah سورة آل عمران Ali 'Imran : 96 ] 

              *******************************************
وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِي هَذَا الْقُرْآنِ لِلنَّاسِ مِنْ كُلِّ مَثَلٍ وَكَانَ الإنْسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلا
                    Maksudnya :
" Dan sesungguhnya Kami telah mengulang-ulangi bagi manusia dalam al-Quran ini bermacam-macam perumpamaan. Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah."
                        [Al-Quran  سُوۡرَةُ الکهف   surah Al-Kahfi : 54 ]

                          ****************************

Dari Abu Hurairah, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda:

كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ ، حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ سُبْحَانَ اللَّهِ 

وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

 :Maksudnya

Dua kalimat yang ringan di lisan, namun berat ditimbangan, dan disukai Ar Rahman iaitu: “Subhanallah wa bi hamdih, subhanallahil ‘azhim” سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ  (Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Agung)." 

             [HR. Bukhari  dan Muslim ]








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ALLAH 'ISTIWA' DI ATAS AL 'ARASY الْعَرْشِ ?

  Sambugan daripada : UNTUKMU AGAMAMU, DAN UNTUK AKULAH AGAMAKU                      بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم    ال...