Halaman

Ahad, 21 Ogos 2011

ALLAH TAALA ITU ANTARA ADA DENGAN TIADA?


   

                 بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ 

        يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ لا يَحْزُنْكَ الَّذِينَ يُسَارِعُونَ فِي الْكُفْرِ مِنَ الَّذِينَ قَالُوا آمَنَّا بِأَفْوَاهِهِمْ وَلَمْ تُؤْمِنْ قُلُوبُهُمْ وَمِنَ الَّذِينَ هَادُوا سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ سَمَّاعُونَ لِقَوْمٍ آخَرِينَ لَمْ يَأْتُوكَ يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ مِنْ بَعْدِ مَوَاضِعِهِ يَقُولُونَ إِنْ أُوتِيتُمْ هَذَا فَخُذُوهُ وَإِنْ لَمْ تُؤْتَوْهُ فَاحْذَرُوا وَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ فِتْنَتَهُ فَلَنْ تَمْلِكَ لَهُ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا أُولَئِكَ الَّذِينَ لَمْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يُطَهِّرَ قُلُوبَهُمْ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
                     Maksudnya :
 Wahai Rasul, janganlah engkau berdukacita, kerana orang-orang yang bersegera masuk kekafiran iaitu di antara orang-orang yang berkata (dengan mulut mereka): Kami telah beriman, sedang hati mereka tiada beriman, padahal hati mereka belum beriman, dan (juga) di antara orang-orang Yahudi, (orang-orang Yahudi itu) amat suka mendengar (berita-berita) bohong dan amat suka mendengar perkataan-perkataan orang lain yang belum pernah datang kepadamu, mereka merubah perkatan-perkataan ((Taurat) dari tempat-tempatnya......"( hingga akhir maksud ayat)

                                     [Al-Quran surah al-Maa-idah : 41 ]

                   ***********************************
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلا هُدًى وَلا كِتَابٍ مُنِيرٍ  
               Maksudnya :
"Dan di antara manusia ada orang-orang yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan "Allah" tanpa ilmu pengetahuan, tanpa petunjuk dan tanpa kitab (wahyu Allah) yang bercahaya." 
                   [ Al-Quran surah Al-Haj : 8 ]
                    ************************************************************
 ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ لا إِلَهَ إِلا هُوَ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ فَاعْبُدُوهُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ (102) لا تُدْرِكُهُ الأبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ الأبْصَارَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ (103 

                       Maksudnya : 
"(Yang memiliki sifat-sifat] yang demikian itu ialah Allah Tuhan kamu; tidak ada Tuhan selain Dia; yang Mengadakan segala sesuatu, maka sembahlah Dia; dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu. (102) 
Dia tidak dapat dilihat oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat Melihat segala (sesuatu) yang kelihatan; dan Dialah Yang Latiff lagi Maha Mengetahui." (103)
                               [Al-Quran surah Al-An'aam : 102-103 ] 

   ^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Kata-kata kalimah : "Allah Taala itu Antara Ada dengan Tiada"  berpunca kepada pentakrifan atau maksud kalimah "Khaliah" yang mungkin ramai telah membaca daripada bahan-bahan penerbitan rasmi sejak beberapa lama dahulu atau disampaikan oleh penceramah-penceramah dan guru-guru agama di seluruh ceruk rantau negara. Mungkin sehingga kini tiada siapa yang memberi komen atau teguran bahawa maksud kalimah atau pengertian yang diberikan terhadapnya mempunyai implikasi mendalam yang boleh merosakkan aqidah keimanan seseorang Muslim. 

Kemudaratan terhadap kalimah "Allah Taala itu antara Ada dengan Tiada" begitu ketara kerana ia boleh memberi kefahaman yang menerbitkan syak wasangka dan waswas di dalam hati seseorang sama ada  al-Quran al-Karim itu benar Kalam Allah atau bukan Kalam Allah kerana ia berasa waswas dan syak atau tidak pasti kepada adanya Allah itu sama ada Allah itu ada atau tiada.

Apabila seseorang terbit rasa waswas dan syak wasangka di dalam hati atau pemahamannya mengenai segala perkara yang tersebut di dalam al-Quran itu adakah benar atau tidak benar akan berjangkit pula kepada perasaan waswas dan  syak  wasangka sama ada al-Quran itu disampaikan oleh Malaikat Jibrael AS kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu benar-benar wahyu  daripada Allah SWT atau tidak. Dia juga terkena penyakit waswas dan syak di dalam hatinya adakah Malaikat Jibrael Alaihisalam itu benar-benar menjadi Pesuruh Allah untuk menyampaikan wahyu Kalam Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w. atau tidak benar.

Apabila adanya Allah SWT itu telah diwaswaskan adanya atau tiadanya dan Nabi Muhammad s.a.w.  itu juga telah diwaswaskan adakah ia benar-benar menjadi Rasul Pesuruh Allah bagi menyampaikan Kalam Allah kepada sekalian umatnya atau tidak benar dan agama Islam yang datangnya daripada kitab Allah al-Quran al-Karim juga mendatangkan syak wasangka di hati akan kebenarannya,  maka akan timbul syak wasangka dan waswas terhadap kebenaran agama Islam itu sendiri.
Perasaan waswas dan syak wasangka ini akan menjangkiti pula terhadap kebenaran adanya syurga, neraka dan hari akhirat. Maka dalam keadaan waswas dan syak-wasangka ini jadilah ibadat-ibadat sembahyang, puasa ,zakat, haji dan lain-lain lagi itu turut diwaswaskan adakah Allah SWT memfardhukan ke atas hamba-hamba-Nya atau tidak difardhukan kerana adanya Allah SWT itu diwaswaskan dan disyaki pada adanya atau tidak adanya.

Begitu juga segala pahala ibadat yang dilakukan itu diwaswaskan dan disyaki sama ada ianya ada atau tiada dan pahala-pahala itu juga diwaswaskan dan disyaki kebenaran adanya atau tiadanya kerana kewujudan adanya akhirat pun diwaswaskan.  Justeru,  segala ibadat yang dilakukan juga diwaswaskan dan disyaki adakah daripada rekaan manusia atau tidak dan agama Islam itu juga diwaswaskan dan disyaki adakah daripada rekaan manusia atau tidak. Demikianlah rumusan orang yang berfahaman dan beritiqadkan bahawa Allah SWT itu antara ada atau tiada .

Apabila kita bertemu dan berhadapan dengan ungkapan kata kalimah ini dengan segera hendaklah ditolak dengan beriktiqadkan bahawa MASA dan TEMPAT ialah makhluk Allah SWT yang Allah mengadakannya dengan Qudrat-Nya yang Qadim daripada semata-mata tiada kepada ada. Sebelum diadakan oleh Allah SWT akan MASA dan TEMPAT maka yang ada ialah Allah SWT sahaja yang ada dan tiada sesuatu apa-apa pun yang berserta-Nya selain daripada-Nya. .

Adanya Allah SWT tiada menyamai dengan adanya makhluk sama sekali dalam apa jua cara dan hal sekalipun. Pegangan iktiqad Ahli Sunnah wal Jamaah terhadap Adanya Allah SWT adalah: 
"Adalah dengan kitab-Nya yang mulia yang diturunkan kepada Nabi-Nya yang dibangkitkan menjadi Pesuruh-Nya "Rasul-Nya" itu mengetahuilah kita sekalian hamba Allah ini atas lidah Rasul-Nya itu akan bahawasanya Allah SWT, Tuhan kita Jalla Waa'zza itu Ia-Nya Ada Maujud, Qadim, Azali, Baqi dan adanya Allah SWT itu Ia-Nya sentiasa ada, selama-lamanya ada, tiada berkeputusan ada-Nya.


Adanya Allah SWT itu tiada bagi-Nya permulaan, tiada bagi-Nya kesudahan, Allah SWT itu tiada bagi-Nya misal, tiada bagi-Nya bandingan, tidak ada bagi-Nya umpama dan tidak ada bagi-Nya keadaan yang berlawanan.
Bahawasanya Allah SWT itu sentiasa mempunyai kemuliaan dan kesempurnaan Bal Hual Auwalu wal-Aakhiru Wazzahiru Wal-batinu Wahuwa Bikulli Syaia'in 'Alim" [al-Quran surah al-Hadid :3] (  بلهوالأول والآخر والظاهر والباطن وهو بكل شئ عليم ).  Bahkan Allah SWT itu ialah yang awal yang tiada berawal bagi-Nya, Dialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya, Dialah yang zahir ertinya Al-A'ali (العالي) yakni Yang Maha Tinggi dan Maha Suci daripada segala kekurangan dan tidak sekali-kali Allah SWT itu menyamai dengan segala apa juga barang yang diadakan oleh-Nya. 
Dialah yang batin bererti Al-Muhtajibu A'nil-Hawasi Bihajbi Kibria-ihi (  المحتجب عن الحواس بحجب كبريائه) yakni ialah yang terdinding daripada segala pendapatan pancaindera yang lima dengan dindingan kebesaran dan kemuliaan-Nya dan Allah SWT itu dengan tiap-tiap sesuatu Ia Amat Mengetahui."

Jikalau sekiranya Allah SWT tidak mengadakan MASA dan TEMPAT atau tidak mengadakan alam sama sekali pun maka Allah SWT begitu juga yang :
"Ianya ada ,selama-lamanya ada, tiada berkeputusan ada-Nya. Dialah yang Awal yang tiada berawal bagi-Nya dan Dialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya yang sentiasa mempunyai kemuliaan, kebesaran, kesempurnaan,  ketinggian martabat dan mempunyai segala Asma' Ul Husna yang tiada terhingga banyaknya itu."
Adapun Zat Allah SWT yakni Diri Allah SWT tiada menyamai segala zat makhluk kerana Zat Allah SWT tiada berjuzuk tetapi zat makhluk ada berjuzuk. Apabila Zat Allah SWT itu tiada berjuzuk ternafilah dan tertolaklah sama sekali daripada berupa, berwarna, bertempat, berpihak, di luar sesuatu, di dalam sesuatu, berhubung dan bercerai dan bersatu padu dengan sesuatu dan lain-lain lagi yang melazimkan bagi juzuk itu. Oleh itu lemah daripada mendapat tahu hakikat Zat Allah SWT itu, itulah yang dikatakan mendapat atau memahami.

[## Peringatan : Zat Allah yang dimaksudkan di dalam Ilmu Tawhid bukanlah bermakna zat yang dimaksudkan kepada khasiat pemakanan seperti mengandungi bahan-bahan vitamin dan mineral tertentu bagi keperluan kesihatan tubuh badan manusia, haiwan atau tanaman-tanaman. Zat Allah ialah Diri Allah yang tidak sama sekali menyamai zat atau diri makhluk. Zat Allah yang Qadim bererti Diri Allah itu TIDAK berjuzuk yang tidak mempunyai sukatan, ukuran, rupa, mengambil atau memerlukan masa dan tempat, berwarna dan sebagainya yang melazimkan bagi setiap zat yang berjuzuk seperti zat makhluk.]

Qadrat Allah yang Qadim itu tiada menyamai qadrat makhluk. Ini dapat difahami dengan pengurniaan mukjizat kepada Nabi Muhammad s.a.w. seperti ketika baginda dan tentera-tentera Muslimin menghadapi keputusan air dan sangat dahaga semasa berhadapan dengan peperangan fisabillillah. 

Baginda telah mengambil baki air wudhuknya di dalam kendi bekasan air dan meletakkan tapak tangannya dalam kendi tersebut. Dengan serta merta keluar air seperti mata air daripada selang anak-anak jari Rasullullah s.a.w. yang dapat mencukupi segala keperluan hajat seramai mana pun tentera Muslimin yang ada. Hal keadaan ini tiada siapa yang dapat mengatakan dari manakah datangnya mata air dari celah-celah jari Rasullullah s.a.w. itu.  

Demikian juga dengan mukjizat yang berlaku terhadap Nabi Musa a.s. ketika dikejar oleh Firaun dan tentera-tentaranya hingga dia dan pengikut-pengikutnya tidak dapat melarikan diri lagi kerana di hadapannya terbentang laut yang luas dan di belakangnya pula tentera-tentera Firaun. Allah telah mewahyukan kepadanya supaya mengetuk air laut menggunakan tongkatnya dan dengan serta merta laut terbelah dua apabila diketuk bagi membolehkan Nabi Musa a.s. dan pengikut-pengikutnya menyeberangi laut tersebut menggunakan laluan darat di dasar laut yang terbelah itu dengan hingga sampai dengan selamat di tebing daratan seberang. 
Firaun yang tidak memahamai perbuatan dan Qadrat Allah menggunakan logik akalnya dengan tanggapan sekiranya Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya boleh melalui dengan selamat menggunakan laluan jalan yang terbentang di tengah-tengah laut yang terbelah dua  itu maka dia pun boleh selamat juga. 

Tidak terlintas langsung di hati dan kerangka fikiran logik Firaun bahawa laut yang terbelah dua itu boleh terkatup semula dengan serta merta. Andaian logik akalnya ternyata meleset kerana apabila Allah mewahyukan kepada Nabi Musa a.s. yang sudah selamat sampai di daratan seberang laut supaya mengetuk semula dengan tongkatnya kepada air laut maka terkatup semula laut yang terbelah dua itu dengan serta merta membinasa dan menenggelamkan Firaun bersama tentera-tenteranya. 
Banyak lagi contoh-contoh keajaiban perbuatan dan Qadrat Allah yang dikurniakan untuk menyelamatkan para Nabi dan Rasul melalui mukjizat apabila mereka berhadapan dengan kesulitan dan kesusahan mendesak yang tidak dapat diatasi kecuali mereka yang sudah ditakdirkan.  Hakikat yang sama juga berlaku kepada para Aulia Allah dan orang-orang mukmin yang salih melalui 'karamah' yang diberikan kepada mereka apabila berhadapan dengan kesusahan yang amat menyulitkan.


Orang yang beriman dengan mudah  dapat memahami bahawa ini semua perbuatan Allah yang di luar tabi'e dan tidak menyamai perbuatan makhluk kerana Allah SWT Amat Berkuasa mengadakan apa juga yang dikehendaki-Nya dengan Qadrat-Nya dan Qadrat Allah SWT itu tidak boleh dibandingkan sama sekali dengan qadrat makhluk tanpa misal, ibarat atau umpama, maka lemah daripada dapat mengetahui akan hakikat Qudrat Allah SWT itu ialah mendapat atau memahaminya. Dalam hal ini hendaklah difahami bab ADA Allah SWT dan bab Zat Allah SWT dan bab Qudrat Allah SWT adalah satu bab yang lain pula. 


Mudah-mudahan daripada penerangan ringkas ini dapatlah kita fahami bahawa sesiapa juga yang mengatakan bahawa adanya Allah SWT itu  "khaliah " yang bererti "antara ada dengan tiada" adalah satu ajaran dan kalimah yang bertentangan dengan aqidah keimanan agama Islam.  Maka fahaman yang salah ini hendaklah dihapuskan dan digantikan dengan kefahaman Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sahih benarnya. Wallahu A'lam.

[ Lihat :
              i.SOAL JAWAB Mengenai "ADA" Allah SWT 
             ii. Asma' Ullah Al-Husna
                 iii. Maksud Hadis Allah Memuji Diri-Nya sendiri ]

  
*************************************************************************

    هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ 

                             Maksudnya : 
"Dia-lah Allah Yang Menjadikan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk rupa, Yang Mempunyai Nama-nama Yang Paling  baik dan amat indah 'Asma' Ul Husna'. Bertasbih kepada-Nya apa yang ada di langit dan bumi. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."   
                               [  Al-Quran surah Al-Hasyr : 24 ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan