Rabu, 7 September 2011

Kekeliruan Pemahaman Terhadap ASMA' ULLAH AL-HUSNA (اسماء الله الحسنى )



                                                     




                                  بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم   

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تُنْجِينَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ اْلاَحْوَالِ وَاْلآفَاتِ وَتَقْضِى لَنَا بِهَامِنْ جَمِيعَ الْحَاجَاتِ وَتُطَهِّرُنَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ السَّيِّئَاتِ وَتَرْفَعُنَا بِهَا عِنْدَكَ اَعْلَى الدَّرَجَاتِ.وَتُبَلِّغُنَا بِهَا اَقْصَى الْغَايَاتِ مِنْ جَمِيعِ الْخَيْرَاتِ فِى الْحَيَاتِ وَبَعْدَ الْمَمَاتِ
 أَمَّا بَعْـدُ 

فَبَدَّلَ الَّذِينَ ظَلَمُوا قَوْلا غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَهُمْ فَأَنْزَلْنَا عَلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا رِجْزًا مِنَ السَّمَاءِ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ (59) وَإِذِ اسْتَسْقَى مُوسَى لِقَوْمِهِ فَقُلْنَا اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ فَانْفَجَرَتْ مِنْهُ اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَشْرَبَهُمْ كُلُوا وَاشْرَبُوا مِنْ رِزْقِ اللَّهِ وَلا تَعْثَوْا فِي الأرْضِ مُفْسِدِينَ (60 
                           Maksudnya :
" Lalu orang-orang yang zalim mengganti perintah dengan (mengerjakan) yang tidak diperintahkan kepada mereka. Sebab itu Kami timpakan atas orang-orang yang zalim itu seksa dari langit, kerana mereka berbuat fasik. (59)
 Dan (ingtlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman : 'Pukullah batu itu dengan tongkatmu'. Lalu memancarlah daripadanya dua belas (12) mata air. Sungguh tiap-tiap suku telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing). Makan dan minumlah rezeki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat kerosakan." (60)
 [Al-Quran surah Al-Baqarah سورة البقرة‎‎ :59-60]
                            *****************************
تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالأرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا 
                                     Maksudnya :
"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya betasbih kepada Allah. Dan tidak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun." 
        [Al-Quran surah  سورة الإسراء  Al-Israa' : 44 
                                   ******************************
 يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ 
             Maksudnya :
" Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sesekali kehidupan dunia memperdayakan kamu dan janganlah sesekali orang yang pandai menipu memperdayakan kamu tentang Allah."
                            [Al-Quran سورة فاطر  surah Faathir : 5


 ********************************                     
Terdapat banyak nas yang menjelaskan bahawa sesiapa yang membaca, menghafaz dan beriman terhadap Asma' Ullah Al-Husna ( اسماء الله الحسنى ) akan masuk syurga. Antara nas-nas ini ialah seperti yang dimaksudkan Firman Allah :
قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى وَلا تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ وَلا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلا 
                        Maksudnya :
" Katakanlah : 'Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana sahaja kamu seru. Dia mempunyai al-Asma' Ul Husna (nama-nama Allah yang indah lagi terbaik) dan janganlah kamu mengeraskan suara mu dalam solat mu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu'." 
                      [Al-Quran سورة الإسراء surah Al-Israa' : 110]

Firman Allah lagi :
وَلِلَّهِ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ 
         Maksudnya : 
"Allah mempunyai nama-nama yang sangat indah 'Asma' Ul Husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut 'Asma' Ul Husna' itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."
       [ Al-Quran  سورة الأعراف‎‎ surah al-A'raaf : 180]
Dalam Hadis sahih ada menjelaskan   :
إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا ، مِائَةً إِلا وَاحِدَةً ، مَنْ 
أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ
                         Maksudnya :
"....bahawasanya bagi Allah itu 99 nama, 100 melainkan satu, barangsiapa mengiranya nescaya ia masuk syurga. Bahawasanya Ia ialah yang witir (yang tiada mempunyai pasangan), Ia kasihkan bilangan yang gasal(bilangan yang tiada mempunyai pasangan) ."
Dalam Hadis yang lain riwayat Al-Bukhari ada menmyebut yang bermaksud :
"... dan tiada menghafaznya oleh seseorang melainkan dia masuk syurga." 
Maksud mengiranya itu ialah menghafaznya. Kata satu qaul ia bermaksud memahami segala maknanya dan beriman dengannya. Sementara satu qaul yang lain pula berkata maksud mengira di sini ialah beradab baik dengan barang yang membolehkannya beramal dan menghayati dengan segala maknanya.

Adapun yang dimaksudkan dengan makna "masuk syurga" yang dijelaskan di dalam Hadis ini bukanlah bererti bahawa apabila seseorang itu tahu mengiranya daripada 1 hingga 99 nescaya ia masuk syurga. Bahkan maksud mengira dalam Hadis ini ialah dengan makna menghafaznya dan maksud menghafaznya pula ialah memahami segala maknanya dan maksud memahami segala maknanya itu ialah beriman dengannya.

Dalam konteks ini orang-orang kafirin dan munafikin boleh membaca Asma' Ullah Al-Husna tetapi mereka tidak memahami segala maknanya dan jika mereka diberi faham segala maknanya sekalipun mereka tetap tidak mahu beriman dengan segala maknanya oleh sebab segala makna yang terkandung pada Asma' Ullah Al-Husna ini berlawanan dengan apa yang diiktiqadkan oleh hati-hati mereka. Oleh itu orang yang mendapat balasan syurga kerana menghafaz Asma' Allah Al-Husna adalah mereka yang bukan sekadar membaca dan menghafaz Asma' Ullah Al-Husna ini sahaja bahkan memahami dan beriman dengan segala maknanya yang amat luas tasfsilnya itu.

Adalah lebih elok lagi sekiranya dia beradab baik dan beramal serta berpegang teguh dengan segala ilmu yang boleh beramal dengannya. Umpamanya apabila ia membaca kalimah Al-Ghafur yang ertinya ialah "Allah itu amat mengampuni segala dosa hamba-hamba-Nya," lantas ia terus mengingatkan di dalam hatinya bahawa ia meminta keampunan segala dosanya daripada Allah SWT. Begitu juga apabila ia membaca kalimah Al-'Afu pada Asma' Allah Al-Husna yang bererti "Allah SWT amat memaafkan segala dosa kesalahan hamba-Nya" maka dia hendaklah mengingatkan di dalam hatinya bahawa ia memohonkan ampun kepada Allah SWT supaya memaafkan segala kesalahannya.

Demikian juga apabila dia membaca kalimah Al-Quddus yang bererti "Maha Suci Allah daripada mengenai segala sifat kekurangan dan segala sifat baharu," maka dia hendaklah menolak segala lintasan hati dan waswas syaitan yang  membisikkan kepadanya dengan kata-kata dan fahaman supaya mengatakan atau menuduh bahawa Allah SWT itu menyamai makhluk-makhluk-Nya.
Pemahaman kalimah Al-'Afu yang bererti "Allah SWT Amat Mengampuni segala dosa-dosa hamba-Nya" boleh diamalkan juga oleh hamba-hamba-Nya apabila berlaku perbuatan zalim-menzalimi sesama mereka lantas mereka hendaklah berampun mengampuni di antara sesama hamba Allah kerana dengan cara ini juga Allah SWT tidak memberi balasan seksa ke atas orang yang membuat zalim. Namun demikian kalimah Al-Quddus yang ertinya "Maha Suci Allah SWT daripada mengenai segala sifat kekurangan dan segala sifat baru" tidak boleh diamalkan oleh hamba-hamba Allah kerana kalimah ini hanya dikhususkan milik  sifat bagi Allah sahaja.

Di dalam Asma' Ullah Al-Husna yang 99 itu terdapat juga kalimah-kalimah yang boleh memberikan kefahaman yang mengelirukan kepada sesiapa yang hanya membaca dan memahami berdasarkan kehendak bahasa Arab secara zahir (literal)  sahaja tanpa merujuk huraian lanjut mengenainya berlandaskan Ilmu At-Tawhid. Misalnya kalimah-kalimah Al-Awal  yang diertikan: "Yang awal dahulu daripada tiap-tiap sesuatu dengan tiada permulaan bagi-Nya" dan Al-Akhir  diertikan: "Yang akhir kemudian daripada tiap-tiap sesuatu dengan tiada berkesudahan bagi-Nya".

Bagi mengukuh dan memantapkan lagi kefahaman kedua-dua nama Allah di dalam Asma' Ullah Al-Husna ini hendaklah diperkemaskan lagi pengertiannya dengan kalimah : 
(بل هو الأول والآخر والظاهر والباطن وهو بكل شئ عليم) yang bererti : 'Dialah yang awal yang tiada berawal bagi-Nya dan Dialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya'."  ( al-Quran surah al-Hadid : 3)


Al-Zahir  sewajarnya bererti: "Yang zahir dengan segala tanda-tanda-Nya dan segala barang pertukangan-Nya.

Al-Batin  pula diertikan:  "Yang amat batin pada hakikat Zat-Nya dan hakikat Sifat-sifat-Nya yakni yang tidak dapat diketahui sama sekali oleh sekalian hamba Allah akan hakikat Sifat-Nya dan Zat-Nya".  Apabila diberikan pengertian yang mantap bagi memahami dan menghayati kalimah-kalimah:  Al- Awal, Al-Akhir, Al-Zahir dan Al- Batin serta dijadikan ayat atau ungkapan kata: " Bal Hual Auwali wal-Aakhiru Wazzahiru Wal-batinu Wahuwa Bikulli Syaiain 'Alim "( بل هو الأول والآخر والظاهر والباطن وهو بكل شئ عليم)maka dapatlah difahami ertinya yang lebih luas dan mendalam lagi :

Adanya Allah SWT itu tiada bagi-Nya permulaan, tiada bagi-Nya kesudahan, Allah SWT itu tiada bagi-Nya misal, tiada bagi-Nya bandingan, tidak ada bagi-Nya umpama dan tidak ada bagi-Nya keadaan yang berlawanan.

Allah SWT itu sentiasa mempunyai kemuliaan dan kesempurnaan: 
Bal Hual Auwalu wal-Aakhiru Wazzahiru Wal-batinu Wahuwa Bikulli Syaia'in 'Alim"( بلهوالأول والآخر والظاهر والباطن وهو بكل شئ عليم ).  Bahkan Allah SWT itu ialah yang awal yang tiada berawal bagi-Nya, Dialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya, Dialah yang zahir ertinya Al-A'ali (العالي) yakni Yang Maha Tinggi dan Maha Suci daripada segala kekurangan dan tidak sekali-kali Allah SWT itu menyamai dengan segala apa juga barang yang diadakan oleh-Nya. Dialah yang batin bererti : Al-Muhtajibu A'nil-Hawasi Bihajbi Kibria-ihi (  المحتجب عن الحواس بحجب كبريائه) yakni ialah yang terdinding daripada segala pendapatan pancaindera yang lima dengan dindingan kebesaran dan kemuliaan-Nya dan Allah SWT itu dengan tiap-tiap sesuatu Ia Amat Mengetahui.
Sekiranya kalimah Al-Zahir diertikan sebagai "luar" dan Al-Batin pula difahami atau dituduhkan dengan makna "dalam" maka rosaklah segala makna kalimah-kalimah yang lain itu kerana ternyata salahnya sesiapa yang berfahaman,  memperkata dan menuduhkan bahawa Allah SWT itu menyamai makhluk atau bersatu-padu dengan makhluk kerana sebelum diadakan oleh Allah SWT akan alam maka Allah SWT tidak di luar alam, tidak di dalam alam, dan tidak bersatu-padu dengan alam.

Demikian juga setelah diadakan oleh Allah SWT akan alam maka Allah SWT begitu juga, tidak di luar alam, tidak di dalam alam dan tidak bersatu-padu dengan alam. Oleh itu ternyata salahnya pada menuduhkan ataupun mengatakan hingga dijadikan pegangan iktiqad bahawa makna kalimah Al-Zahir itu dengan makna "luar "dan kalimah Al-Batin itu dengan makna "dalam". Hendaklah sentiasa diingati dan difahami bahawa Zat Allah SWT itu tidak berjuzuk tetapi zat makhluk ada berjuzuk. Apabila Zat Allah itu tidak berjuzuk maka ternafi dan tertolaklah sama sekali daripada menerimai bahagi-bahagi, menerimai tempat, menerimai pihak dan ada rupa, warna, di luar dan di dalam sesuatu dan bersatu-padu dengan sesuatu yang melazimkan bagi setiap segala sesuatu yang kesemuanya dijadikan Allah mempunyai juzuk.

Di dalam huraian bab At-Tanzihu  Terjemah Aqidah Ahli As-Sunnah wal Jamaah  ada diperjelaskan bahawa : 
"....dan tidak sekali-kali Allah SWT itu menyamai dengan segala apa jua barang yang diadakan oleh-Nya atas apa jua jalan sekalipun; dan tidak Allah Taala itu menyamai sesuatu, dan tidak sesuatu apa pun yang ada menyamai Tuhan; dan tidak Tuhan itu mengenai tempat, masa, pihak, sukatan, bilangan; dan tidak Tuhan itu di atas sesuatu dan tidak di bawah sesuatu dan mafhum makna bahawa Tuhan itu atas 'Arasy (عَرْش) ialah dengan makna bahawa Tuhan itu memerintah dan memiliki 'Arasy (عَرْش); dan bukan makna atas itu pihak dan tempat. Maka tidaklah sekali-kali Tuhan itu menerimai pihak dan tempat; dan tidak Tuhan itu di luar tujuh lapis langit dan bumi, tidak di dalamnya, tidak meliputinya, tidak bercampur dengannya; dan tidak Tuhan itu di luar syurga, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak bercampur dengannya, bahkan Allah Taala Tuhan kita kita Jalla Wa Azza itu lain dan segala barang yang ada yang diadakan oleh Allah Taala itu lain. Maka Allah Taala itu sangat berlainan yang sehabis-habis berlainan, tiada suatu apa pun yang menyamai-Nya...."
Kalimah An-Nuur boleh merosakkan keseluruhan maksud Asma' Ullah Al-Husna sekiranya diertikan sebagai cahaya atau 'al-dhawun' (الضوء) yang bererti cahaya iaitu seperti cahaya terang yang disinar lampu, cahaya matahari dan sebagainya yang mempunyai rupa, ukuran dan berjuzuk. An-Nuur dalam Asma Ullah Al-Husna dikhususkan kepada Allah sahaja yang bererti :
" Yang menzahirkan bagi tiap-tiap barang yang tersembunyi (tidak ada) dengan mengeluarkannya kepada ada yakni yang mengadakan tiap-tiap sesuatu yang tidak ada daripada semata-mata tidak ada wujudnya sama sekali kepada ada."
Firman Allah : 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
                       Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepada mu 'Furqaana'** dan menghapuskan segala kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar."
                       [Al-Quran سورة الأنفال  surah Al-Anfaal : 29 ] 

[** Penjelasan: Kata satu qaul maksud Furqana ini ialah cahaya yang membezakan dengannya di antara yang benar dan yang salah dan mengeluarkan dengannya daripada segala perkara syubahat yakni perkara-perkara yang tidak jelas di antara benar dan salahnya. Oleh itu al-Quran dinamakan 'Nuur' kerana al-Quran menerangkan yang mana benar dan yang mana salah pada hukuman Allah.

[ Lihat :Pengertian Kalimah An-Nuur dalam blog ini]

Al-Hayy pula jika diertikan secara ringkas bermaksud "hidup" tetapi pengertian ini jika tidak dihuraikan lebih meluas boleh memberi pengertian bahawa Allah itu hidup seperti makhluk. Adapun kehendak maksud sebenar kalimah ini ialah :
" Yang ada baginya Al-Hayat yang hidup selama-lamanya yang berkekalan hidup yang tiada bagi-Nya permulaan dan tiada bagi-Nya kesudahan. Bahawasanya Allah SWT itu hidup dengan Hayat-Nya yang Qadim dan tidak dengan roh dan tidak dengan barang apa yang terlintas di hati hamba-hamba Allah kerana hidup Allah itu tiada menyamai dengan hidup makhluk-makhluk. Hidupnya Allah itu tidak ada bandingan, tidak ada misal dan tidak ada umpamanya dengan hidup makhluk-makhluk Allah".
Maka lemah daripada mengetahui akan hakikat hayat Allah itu maka itulah mendapat atau memahami. 
Al-Qayyum  pula bererti : 
" Yang Maha Besar pendirian Allah dengan mentadbirkan segala makhluk-Nya."
Orang awam yang membaca dan memahami erti kalimah "Al-Qayyum" ini dengan kata-kata : "Yang Maha Berdiri" dengan sendiri nescaya akan terbit kefahaman di hatinya bahawa Allah itu bersifat "berdiri" lawan sifat "duduk"seperti makhluk berdiri dan duduk. Pemahaman ini sudah pastinya amat salah dan jauh terpesong daripada maksud sebenar sifat "Al-Qayyum"  Allah yang membatalkan keseluruhan kandungan maksud sebenar Asma' Ullah Al-Husna.

Kalimah Al-Wahidu Al-Ahadu dalam Asma' Ullah Al-Husna tidak boleh diumpamakan dengan angka bilangan seperti Tunggal atau Satu sebagaimana yang difahamkan dalam Bahasa Melayu.  Sekiranya kalimah-kalimah bercirikan angka bilangan tersebut digunakan juga bagi menjelaskan bab Allah, maka ia hendaklah dikhususkan kepada Allah sahaja yang tidak boleh disamakan langsung seperti angka bilangan makhluk. Justeru adalah lebih tepat dan afdhal pada kata-kata sebutan maksud dalam Bahasa Melayu " Allah Yang Maha Esa" itu diakhiri pula dengan sebutan kalimah :  لا شريك له yang bermaksud 'tiada bersekutu bagi-Nya'.   Pengertian yang lebih jelas, tepat dan sesuai pada kalimah Al-Wahidu Al-Ahadu ialah :
" Ia sahaja yang bersifat ketuhanan dan bersifat pemilikan tiap-tiap sesuatu. Tidak ada sesuatu apa pun yang menyekutui bagi-Nya pada keduanya itu yakni pada sifat ketuhanan dan sifat pemilikan tiap-tiap sesuatu. Al-Wahid itu pula ialah tidak ada juzuk bagi-Nya dan tidak menerimai bahagi-bahagi iaitu tiada sukatan atau ukuran seperti kecil, besar, panjang, lebar dan apa juga yang seumpama dengannya. Dikehendaki juga dengan makna Al-Wahid itu ialah Allah tidak ada bandingan bagi-Nya dengan sesuatu apa pun pada martabat-Nya."
Kalimah Allahu Akbar (اَللّهُ اَكْبَرُ ) yang sentiasaa diucapkan ketika mendirikan ibadat sembahyang serta ibadat-ibadat lain yang berkaitan termasuk juga untuk memberi semangat kepada seseorang yang berhadapan dengan sesuatu cabaran sering diertikan dengan hanya "Allah Yang Maha Besar" sahaja. Sekiranya pengertian ini tidak diberikan penjelasan yang lebih lanjut boleh memberi erti kepada seseorang itu bahawa Allah itu mempunyai saiz ukuran yang melazimkan bagi sesuatu/makhluk/benda yang berjuzuk. 
Adapun maksud kalimah Allahu Akhbar  ( اَللّهُ اَكْبَرُ )  adalah seperti penjelesannya seperti berikut :

اَكْبَرُ
di sini bukanlah dengan makna mengikut kadar sukatan, kecil lawannya besar, tetapi adalah dengan makna:

i. اكبر من أن ينال بالحواس

                   Maksudnya :
"Yang Maha Besar daripada dapat dikenali dengan segala pancaindera."

ii. أكبر من أن يدرك كنه جلاله
                  Maksudnya :
"Yang Maha Besar daripada dapat diketahui hakikat kemuliaan-Nya."
 iii. اكبر من أي يعرفه غيره فإنه لا يعرف الله تبارك وتعالىإلا الله

                  Maksudnya :
"Yang Maha Besar daripada dapat diketahui hakikat Zat-Nya itu oleh yang lain-Nya, sesungguhnya tiada yang mengetahui hakikat Zat Allah Tabaraka Wa Taala, melainkan Allah."
Berpandukan penjelasan tersebut dapatlah disimpulkan pengertian Allahu Akbar (اَللّهُ اَكْبَرُ ) seperti berikut : 
"  Yang Maha Besar Allah daripada dapat dikenali dengan segala pancaindera yang lima. Yang Maha Besar Allah  daripada dapat diketahui akan hakikat kemulian-Nya. Yang Maha Besar Allah daripada dapat mengetahui akan hakikat Zat-Nya (Diri-Nya). Bahawasanya tiada dapat mengetahui akan hakikat Zat Allah SWT itu melainkan Allah."
Sungguhpun kalimah Allahu Akhbar (اَللّهُ اَكْبَرُ ) ini tidak terkandung secara khusus  di dalam Asma' Ul-Husna tetapi ia dikaitkan atau termaklum maksudnya dengan kalimah Al-'Azim yang diertikan : 
"Yang tiada dapat memikirkannya oleh akal dan tiada dapat mengetahui akan hakikat kemuliaan Zat-Nya oleh mata hati.
Ia juga boleh dikaitkan dengan kalimah Al Kabir yang bererti :
"Yang mengatasi pujian orang-orang yang memuji dan mengatasi kesifatan orang-orang yang mensifati (atau) Yang Amat Mempunyai Kebesaran."
Kalimah Al-Sami' Al-Basir yang terkandung dalam Asma' Ullah Al-Husna bererti
"Yang Mempunyai Pendengaran dan Penglihatan bagi semua barang yang ada bukan dengan pancaindera dan alat kerana Maha Suci Allah SWT itu daripada menyamai segala barang yang baharu (makhluk-makhluk). Adalah tiada tersembunyi daripada penglihatan-Nya itu segala lintasan hati dan segala perkara yang disembunyikan dalam sangkaan dan pemikiran dan tiada tersembunyi daripada pendengaran-Nya itu perjalanan semut hitam pada malam yang sangat gelap gelita di atas batu pejal yang hitam."
Kalimah Allah yang menjadi fokus dan tumpuan utama dalam segala aspek ibadat dan keseluruhan hidup beragama mempunyai pengertian yang sangat luas. Allah dalam Asma' Ullah Al-Husna bererti : 
"ALLAH": ialah sebesar-besar nama bagi Allah untuk menunjukkan ke atas Zat yang Maha Tinggi Martabat yang berhimpun ke semua sifat ketuhanan."
Pengertian ini bermakna apabila seseorang itu menyebut kalimah "ALLAH" dengan lidah dan di hatinya maka terhimpunlah padanya segala ilmu pengetahuan Ilmu At-Tawhid yang terkandung di dalam Asma' Allah Al Husna yang tidak terhingga banyaknya dan 99 nama Allah yang disebut di dalam al-Quran. Hakikat ini memberi pengertian bahawa apabila seseorang itu beriman kepada Allah dengan melafazakan syahdat At-Tawhid La Illaha Illallah (لا إله إلا الله ) maka gugurlah segala kefahaman ilmu yang memberi pengeritan mensyrikkan Allah dan tertanamlah keimanan di dalam dirinya iktiqad keimanan yang hak bertuhankan kepada Allah sahaja.
Untuk memperkukuhkan lagi iktiqad di hati dan bagi memantapkan lagi kefahaman terhadap Asma' Ullah Al-Husna boleh disusun pengertian-pengertian berikut:

  i) Al-Mubdiu - Yang mengadakan permulaan sesuatu. 
 ii) Al-Badiiu - Yang mengadakan dan menerbitkan segala barang sesuatu dengan tiada contoh ikutan misal yang lalu.
iii) Al-Bariu' - Yang mengadakan bagi segala tiap-tiap sesuatu dengan ketiadaan contoh misal yang lalu.
 iv) Al-Khaliq - Yang mengadakan bagi segala barang sesuatu dengan Qadrat-Nya atas menurut Ilmu-Nya dengan Kehendak-Nya .(Atau) yang menzahirkan (mengadakan) semua barang yang ada dengan Qadrat-Nya dan mentakdirkan tiap-tiap sesuatu daripadanya dengan kadar yang tertentu dengan Kehendak-Nya di atas menurut Hikmah-Nya. 
 v) An-Nuur - Yang menzahirkan bagi tiap-tiap yang tersembunyi dengan mengeluarkannya kepada ada yakni yang mengadakan bagi tiap-tiap sesuatu yang tidak ada daripada semata-mata tidak ada wujudnya sama sekali kepada ada dengan tidak berasal daripada sesuatu apa-apa pun.
Jika dibaca kehendak makna pada lima (5) kalimah daripada Asma' Ullah Al-Husna ini nescaya didapati bahawa Allah SWT Amat Berkuasa mengadakan segala sesuatu daripada tidak ada wujudnya sama sekali barang itu kepada ada dengan tidak berasal daripada apa-apa pun dan diadakan barang itu dengan Qadrat-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali.


Keseluruhan pemahaman ilmu ini hendaklah, dihayati dan ditanamkan dengan kukuh di dalam Al-Basirah, 'Ainul Qalbi atau Mata Hati dan dibaca di dalam hati ketika melakukan ibadat-ibadat seperti sembahyang, berzikir, berdo'a dan ibadat-ibadat lain. Mudah-mudahan dengan cara ini menjadikan sembahyang, zikirullah dan ibadat-ibadat lain dapat dilakuklan dengan khusyuk, terhindar daripada waswas dan gangguan syiatan laknatullah, dikurniakan pahala yang besar sebagaimana yang termaklum, diterima Allah dan mendapat limpahan rahmat Allah.


Berdasarkan penjelasan-penjelasan ringkas yang dihuraikan ini dapatlah difahami bahawa kemuliaan Asma' Ullah Al-Husna itu boleh terjejas kesucian dan kemuliaan-Nya sekiranya orang yang membaca dan melafazkannya  pada lidah dan memahaminya di hati memberikan kefahaman yang bertentangan dengan maksud sebenar kalimah-kalimah yang mulia ini.  Maka sesiapa juga yang berhajat untuk memperkukuhkan iktiqad keimanannya kepada Allah SWT dia hendaklah membuat rujukan yang lebih mendalam terhadap pengertian dan pemahaman ilmu yang terkandung dalam Asma' Ullah Al-Husna. 
Dia juga hendaklah membaca, memahami, beriman dan menghayati sepenuhnya kandungan ilmu yang terdapat di dalam Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Dua Kalimah Syahadat yang panjang tafsilnya itu di samping memahami kandungan makna hadis Rasullullah s.a.w. yang menjelaskan Allah Memuji Diri-Nya Sendiri pada setiap hari.

Adalah menjadi kebiasaan bagi orang-orang kafir, munafik dan juga orang Islam yang jahil Ilmu Tawhid menggunakan nama Tuhan khususnya kalimah 'ALLAH' bagi sesuatu tujuan dalam urusan duniawi tanpa memahami dan mengambil kira kaitannya dengan Asma' Ul Husna Allah yang amat luas, mulia, indah dan teramat dalam tafsiran ilmunya. 
Mudah-mudahan segala penjelasan yang dipaparkan ini dapat dijadikan garis panduan berguna bagi sesiapa juga di kalangan orang Islam yang berhadapan dengan masalah yang dibangkitkan oleh golongan-golongan yang mempersoalkan hal ini.

[Lihat :
            i.  ALLAH MENGETAHUI DENGAN ILMU-NYA YANG QADIM
           ii.  "MASA" dan "TEMPAT" Makhluk Allah 
           iii.   Maksud Hadis Allah SWT Memuji Diri-Nya Sendiri 
           iv.   Do'a Saidina Ali Bin Abi Talib r.a.]


**************************************
أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الألْبَابِ
                                 Maksudnya :
" (Apakah kamu hai orang-orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah : 'Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang tidak mengetahui?' Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran."
                       [Al-Quran سورة الزمر‎‎ surah Az-Zumar : 9]

                                                    ****************************
هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلا أُولُو الألْبَابِ
                  Maksudnya :        
"Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci al-Quran. Sebahagaian besar isi al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat "Muhkamaat" itu ialah ibu (atau pokok) isi al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang kedamaran, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah kefahaman yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari "Takwilnya "(memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Pada hal tidak ada yang mengetahui "Takwilnya" (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: 'Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami'. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berakal."                                    
       [Al-Quran surah سورة آل عمران Ali-'Imran: 7 ]  
        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BILAKAH KIAMAT DUNIA AKAN BERLAKU ?

  بِسْمِ  ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَ...