بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلا يَخْرُصُونَ (116) إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ مَنْ يَضِلُّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (117
Maksudnya :
"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)(116)
Sesungguhnya Tuhan-mu, Dia-lah yang lebih mengetahui tentang orang yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia lebih mengetahui tentang orang-orang yang mendapat petunjuk."(117)
[ Al-Quran surah Al-An'am : 116-117 ]
********************************
Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak saya tercari-cari di dalam internet penulisan-penulisan dan maklumat menarik mengenai agama Islam untuk memanfaatkan kelapangan masa. Saya tertonton video ceramah mengenai Isra' dan Mikraj yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (TGNA) di dalam YouTube 100702 TGNA-Isra' dan Mikraj yang dirakamkan pada 5 Mei 2011 selama satu jam. Ada beberapa perkara menarik di dalam ceramah ini yang pada saya jelas boleh menimbulkan persoalan dan keraguan yang akan mendorong pemikiran seseorang kepada fahaman yang terkeluar dari pegangan iktiqad Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi fahaman dan pegangan rasmi umat Islam negara ini.
Dalam tempoh masa satu jam ceramah TGNA mengenai tajuk ini tidak banyak perkara pokok dalam konteks Isra' dan Mikraj yang diberikan kupasan mendalam. Ceramah TGNA banyak tersasar kepada hal-hal lain yang pada hemat saya tidak perlu disebut di dalam ceramah yang terhad ruang masa ini.
Umpamanya persoalaan "Tugu Negara", telatah orang Arab melawat makam yang dikatakan Makam Saidina Hassan dan Hussein di sebuah masjid di Kaherah dan sentimen-sentimen berunsur isu-isu politik semasa tidak perlu disebut di sini tetapi gunakankanlah wadah-wadah atau gelanggang lain yang bersesuaian .
Perkara pokok yang sewajarnya diberi penerangan di dalam ceramah ini seperti wahyu yang difardhukan solat daripada lima puluh waktu hingga dikurangkan menjadi lima waktu, pertemuaan dengan Nabi-nabi dan Rasul-rasul terdahulu dan hal-hal penting yang boleh memberikan kefahaman dan menguatkan keimanan seseorang. Anehnya perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. menaiki binatang Al-Buraq yang didatangkan khas dari syurga hanya disebut TGNA secara sepintas lalu sahaja .
Perlu diperingatkan kepada TGNA bahawa peristiwa Isra' dan Mikraj ini adalah salah satu peristiwa sangat penting yang mengandungi banyak rahsia, hikmah dan pengajaran keimanan yang hak untuk difahami seluruh umat manusia dan insan-insan yang beriman.
Antara perkara pokok dan amat penting yang wajar kita fahami ialah peristiwa Isra' dan Mikraj ini merupakan salah satu mukjizat besar kurniaan Allah SWT kepada Nabi Muhammad Rasullullah s.a.w. yang dapat memberi kefahaman yang jelas bahawa :-
i. Perbuatan Allah itu terbahagi kepada dua iaitu:a) Perbuatan yang mengikut hukum alam tabi'e.b) Perbuatan yang di luar adat tabi'e yang tidak tertakluk kepada hukum alam tabi'e.Peristiwa Isra' dan Mikraj Rasullullah s.a.w. ini adalah termasuk di dalam kategori perbuatan Allah di luar tabi'e yang tidak sekali-kali dapat diuji secara saintifik dan diterima oleh logik akal manusia biasa yang dihasilkan deria pancaindera yang lima.
ii. Masa, tempat, kepantasan, kelambatan, langit , bumi, Arasy, Qursi, syurga, neraka, Alam Barzakh, roh, malaikat, jauh, dekat, cahaya, gelap, suara, sunyi sepi, gerak, diam dan apa juga yang dapat difikirkan oleh akal manusia semuanya adalah makhluk Allah belaka yang Allah adakan daripada semata-mata tidak ada kepada ada dengan Qudrat-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali.
iii. Apa yang dialami sendiri dan disaksikan oleh mata kepala Rasullullah s.a.w. pada malam peristiwa Isra' dan Mikraj ini adalah semata-mata limpah kurniaan dan kemurahan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk disampai dan dikhabarkan kepada umat manusia bahawa segala perkara yang diwahyukan kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul terdahulu adalah benar dan tahqik belaka dan mesti dipercayai dan dijadikan pegangan aqidah keimanan.
iv. Manusia itu mempunyai dua badan iaitu badan zahir dan badan batin. Badan zahir dihidupkan oleh nyawa yang terbit daripada darah yang dimiliki juga oleh haiwan. Apabila mati ia hilang lenyap seperti wap sahaja.
Badan batin ialah Roh atau disebut juga sebagai Roh Hammalul Amanah yang ditiupkan oleh Malaikat Roh kepada janin bayi ketika berada di dalam kandungan perut ibu dengan perintah Allah apabila tiba masa yang ditetapkan. Badan batin atau Roh ini kekal selama-lamanya apabila jasadnya mati dan segala ilmu agama yang dipelajari kekal padanya hingga ke akhirat.
Hakikat ini dapat difahami daripada pertemuan Nabi Muhammad s.a.w. dengan Nabi Allah Adam a.s. dan Nabi-nabi lain pada setiap lapisan langit pada malam Isra' Mikraj. Nabi Musa Alaihisalam pula mengajarkan hal-hal bab ibadat solat seperti yang sedia dimaklumi. Kesemua para Nabi dan Rasul tersebut sudah lama wafat [kecuali Nabi Isa Alaihisalam yang masih belum diwafatkan] dan badan zahir [jenazah] mereka dikebumikan di dalam perkuburan tanah di bumi.
Maka yang ditemui oleh Rasulullah s.a.w di setiap lapisan langit pada malam Isra' dan Mikraj itu adalah Roh mereka yang hal keadaan kehidupannya sama seperti para malaikat. Jelasnya hal Roh manusia ini bukanlah seperti bayang-bayang tetapi sama jenis dengan malaikat.
Dalam bab diwahyukan fardhu ibadat solat 50 waktu hingga dikurangkan menjadi 5 waktu , TGNA tidak menjelaskan bahawa segala kaifiat solat itu adalah mencontohi ibadat para malaikat di Baitul Makmur yang disaksikan sendiri oleh Rasullullah s.a.w. Di dalam Hadis Rasullulah s.a.w. menjelaskan bahawa ada di antara para malaikat ini yang melakukan ibadat secara berdiri sahaja selama-lamanya, ada yang rukuk sahaja, ada pula yang sujud sahaja dan ada yang duduk sahaja selama-lamanya tanpa merasa jemu atau penat.
Perkara ini wajar dijelaskan kerana besar kemungkinan akan terbit kefahaman di kalangan orang awam bahawa perbuatan dan kaifiat fardhu solat di dalam Rukun Islam dan berbagai-bagai solat lain seperti yang termaklum adalah sejenis riadah untuk kesihatan badan yang direka oleh Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang terdapat di dalam amalan riadah kerohanian dan jasmani fahaman-fahaman golongan tertentu di kalangan manusia.
Sekiranya terbit pemahaman demikian akan rosaklah ibadat solat ini yang pada hakikatnya adalah semulia-mulia ibadat di sisi Allah yang mencontohi ibadat para malaikat di Baitul Makmur.
TGNA ada menyebut binatang Al-Buraq semasa Isra' dan Mikraj tetapi tidak menjelaskan bahawa ia sejenis binatang yang didatangkan khas dari syurga dan membawa Nabi Muhammad s.a.w. masuk ke dalam syurga dan ke tempat-tempat lain yang disebut di dalam nas. Binatang-binatang syurga tidak sekali-kali menyamai/menyerupai binatang-binatang yang ada di dunia dalam apa jua cara pun.
Umpamanya di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. ada disebut bahawa di dalam syurga ada kuda terbang berwarna 'yaqut' merah yang akan membawa ahli-ahli syurga ke mana sahaja yang mereka hajati .
Begitu juga segala keindahan dan nikmat yang disediakan di syurga tidak setitik pun menyamai dengan apa juga keindahan dan nikmat yang terdapat di dunia walaupun ada yang mempunyai nama yang sama. Hal nikmat dan keindahaan yang tersedia dalam syurga ada disebut di dalam al-Quran dan banyak dijelaskan dengan lebih mendalam di dalam Hadis-hadis Rasullulah s.a.w. kerana baginda memasuki dan melihat sendiri dengan mata kepalanya [dalam keadaan jaga dan bukan mimpi ] apa yang tersedia di syurga pada malam Isra' dan Mikraj.
Hakikat ini memberi kefahaman kepada orang awam bahawa Rasulullah s.a.w adalah satu-satunya Nabi dan Rasul Allah yang masuk ke syurga dengan jasad dan roh [kecuali Nabi Adam Alaihisalam ] ketika masih hidup dan balik semula ke dunia.
[Lihat : MASA dan TEMPAT Makhluk Allah
Demikian juga hal azab seksa Allah yang tersedia di neraka. Malangnya TGNA tidak langsung menyebut hal ini sedangkan hal akhirat adalah terjumlah di dalam Rukun Iman. Saya tertanya-tanya kenapa TGNA menghilangkan cerita Al-Buraq apabila Nabi Mikraj ke langit dan Sidratul Muntaha dengan mengatakan baginda Mikraj ke langit seperti 'naik tangga' ataupun 'lif'.
Kata-kata ini tidak wajar dituturkan kerana keseluruhan perjalanan Nabi di dalam peristiwa Isra' dan Mikraj ini adalah satu mukjizat kurniaan Allah yang langsung tidak boleh di ibaratkan atau disamakan dengan apa jua walau secanggih mana pun teknologi pengangkutan buatan manusia yang terdapat di dunia hari ini dan akan datang. Kita semua sedia maklum bahawa setiap mukjizat yang dikurniakan Allah kepada para Nabi dan Rasul adalah untuk memperjelaskan lagi bahawa perbuatan Allah yang Qadim itu tidak menyamai sama sekali dengan segala perbuatan makhluk dalam apa jua hal sekalipun.
Ada kemungkinankah TGNA merasakan tidak logik pada akal atau tidak saintifik sekiranya Nabi Muhammad s.a.w. Mikraj ke langit dengan menaiki binatang bernama Al- Buraq ? Ataupun sekiranya disebut Rasulullah s.a.w menaiki kenderaan binatang dalam pertistiwa Isra' dan Mikraj ini memperlihatkan bahawa agama Islam ini mundur, tidak saintifik, mitos dan khayalan?
TGNA ada menyentuh sepintas lalu mengenai Nabi-nabi terdahulu sama-sama sembahyang berjemaah berimamkan Rasullullah s.a.w. di Masjidil Aqsa. Timbul keraguan di hati orang yang mendengar/menonton apabila TGNA mengatakan 'roh manusia daripada Allah secara langsung'. Sedangkan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. ada disebut roh manusia itu ditiupkan oleh Malaikat Roh pada janin bayi ketika berada dalam kandungan ibunya.
TGNA hendaklah menjelaskan apa yang dimaksudkan 'roh manusia daripada Allah secara langsung' ini kerana roh manusia itu ialah makhluk Allah yang dijadikan serta merta daripada semata-mata tidak ada kepada ada apabila ditiupkan kepada janin bayi oleh Malaikat Roh seperti yang dimaksudkan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w.
Ada kemungkinankah maksud TGNA ialah 'roh itu bermaksud roh Allah dan Allah hidup dengan roh dan bukan dengan hayat-Nya yang Qadim? Jika inilah maksud yang tersirat di dalam hati dan minda TGNA maka ternyata amat jelaslah salahnya kerana roh manusia itu adalah makhluk Allah dan Allah itu hidup dengan Hayat-Nya yang Qadim dan bukan dengan roh! Roh adalah makhluk Allah yang dijadikan daripada semata-mata tidak ada kepada ada. Malaikat Jibrael Alaihisalam dikenali juga sebagai Rohul Quddus dan Rohul Amin.
Keraguan ketara dan persoalan paling besar bagi saya ialah apabila TGNA mengatakan Nabi 'berjumpa' Tuhan yang 'beristiwa' di Arasy mengikut 'cara Dia'. Penjelasan beliau terhadap perkara ini amat ringkas dan mengelirukan. Sebagaimana yang disebut di atas bahawa Arasy, Qursi, Sidratil Muntaha, Syurga, Neraka dan lain-lain lagi yang ditakrifkan sebagai TEMPAT adalah makhluk Allah belaka yang dijadikan Allah daripada semata-mata tidak ada kepada ada dengan Qudrat-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali.
Jika sekiranya Allah 'beristiwa' atau 'bersemayam' atau 'bertakhta' atau 'bersila' atas Qursi di Arasy mengikut 'cara Dia', bagaimana pula adanya Allah sebelum dijadikan Arasy, Qursi dan sekalian makhluk-makhluk-Nya yang ditakrifkan sebagai tempat? Adakah Dia 'beristiwa' di tempat-tempat lain sedangkan semua TEMPAT asalnya tidak ada?
Sekiranya Allah beristiwa atas Arasy adakah Zat-Nya berjuzuk [boleh dibahagi-bahagi, berupa, mempunyai ukuran kecil besar yang melazimkan bagi zat makhluk yang berjuzuk ?] . Adakah Dia beristiwa dalam keadaan diam atau bergerak ? Kita semua sedia maklum bahawa perbuatan atau sifat 'diam', 'gerak', 'bersila', 'berdiri' dan yang seumpama dengannya adalah sifat-sifat makhluk, sedangkan Allah BUKAN makhluk yang semestinya tidak sekali-kali mengambil faedah atau mengenai 'gerak', 'diam', 'bersila, 'berdiri' dan apa juga sifat yang ada pada diri makhluk!
Apa yang kita semua fahami al-Arasy dan al-Qursi ialah TEMPAT yang lebih besar daripada langit dan bumi dan sangat mulia di sisi Allah kerana terpelihara dari sebarang keburukan atau kemaksiatan dan Allah menjadikan Arasy dan Qursi ini mempunyai rahsia yang tersangat besar yang tidak diketahui dan mampu difikirkan oleh akal manusia, jin, malaikat dan sekalian makhluk-Nya.
Berdasarkan kefahaman Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah:
"...sebelum diadakan Allah akan masa dan tempat Allah sahaja yang ada, sentiasa ada, selama-lamanya ada dan tidak berkeputusan ada-Nya. Dialah yang awal yang tidak berawal bagi-Nya dan dialah yang akhir dan tidak berakhir bagi-Nya. Sebelum diadakan masa dan tempat dan sekalian makhluk-makhluk-Nya Allah sahaja yang ada. Apabila di adakan masa dan tempat dan makhluk-makhluk-Nya, Allah tetap tidak berubah akan ada-Nya dengan kemuliaan Asma' Ul-Husna-Nya kerana Allah tidak berhajat dan tidak memerlukan atau mengambil apa-apa faedah pun daripada sekalian makhluk-Nya...."
Sesungguhnya gerak, diam, di atas, di bawah, di mana-mana dan berjuzuk adalah sifat-sifat makhluk yang Allah jadikan daripada semata-mata tiada kepada ada tetapi Zat Allah itu Qadim yang sama sekali tidak menyamai zat makhluk-makhluk-Nya tanpa misal, ibarat dan tanpa umpama. Huraian ini ada diterangkan dengan jelas dalam kitab; Ihya' Ulumuddin juzuk pertama dalam bab- Qawaid Al-Aqaid-Aqidah ahlil alsunnah fi kalimati alsyahadah mengenai Al-Tanzihu.
[ Lihat: Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jemaah Pada Makna Syahdah At Tauhid/ في ترجمة عقيدة اهل السنة في كلمتي الشهادة التي هي أحد مباني الاسلام ]
Justeru adalah lebih sesuai dan menepati sekiranya kalimah 'beristiwa' ini dimaksudkan dengan:
"Allah yang mengadakan dan memiliki al-Arasy dan al-Qursi yang mulia itu."
Perkara ini adalah persoalan ilmu terpenting di antara yang terpenting dalam Islam dan adalah salah satu daripada perkara pokok yang mesti dan wajib fardhu 'ain diselesaikan serta difahami dengan mendalam terlebih dahulu apabila kita mengaku diri kita sudah beriman pada Allah, RasulNya dan semua perkara berkaitan dengan Rukun Iman yang enam [6] perkara itu sebelum mengatakan atau menuduh orang lain tidak beriman. Sekiranya orang-orang yang telah beriman dan memeluk agama Islam pada zaman Rasullullah s.a.w. dahulu boleh menjadi murtad kerana tidak mempercayai dan mengingkari peristiwa Isra' dan Mikraj yang tidak dapat diterima oleh akal logik mereka, perkara yang sama juga boleh berlaku pada zaman sekarang dan pada bila-bila masa.
[Sila lihat : i. Pengertian "HAMPIR" Allah
Adalah diharapkan yang mulia Tuan Guru Nik Aziz , ulama'-ulama' dan guru-guru agama dapat mengambil perhatian berat terhadap kemusykilan dan persoalan yang dikemukakan ini bagi mengelakkan daripada berlakunya kerosakan aqidah keimanan umat Islam di negara ini mengikut jalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak.
Persoalan dan pandangan yang terbit daripada orang awam ini walaupun dianggap sebagai satu isu remeh sahaja kepada golongan yang begitu gairah dengan isu-isu agama Islam yang mendominasi pemikiran manusia tetapi pemahaman ilmu-ilmu khusus mengenai Ilmu At-Tawhid adalah perkara yang amat serius yang sewajarnya diberikan keutamaan berbanding isu-isu politik semasa untuk menguasai pemerintahan dunia.
Implikasi kesalahan terhadap ilmu berkaitan Rukun Iman adalah amat berat hukumannya yang boleh menjadikan seseorang Muslim itu jatuh murtad dan rosak keimanan dan gugur keislamannya. Sekiranya tidak bertaubat serta memperbetulkan kesalahannya mereka tidak mendapat keampunan Allah menyebabkan mereka dihumban ke dalam neraka dan berkekalan selama-lamanya di sana menanggung segala azab seksa Allah.
Sedangkan kesalahan melakukan maksiat-maksiat lain yang tidak merosakkan pegangan aqidah keimanan terhadap Rukun Iman menjadikan seseorang itu berdosa sahaja tetapi belum menjatuhkannya sebagai murtad, munafik atau kafir.
Sekiranya Allah menghukumnya dengan balasan seksa api neraka tetapi hukuman tersebut tidak berkekalan selama-lamanya. Atas sifat Ar-Rahman, Ar-Rahim dan Pemurah-Nya Allah menjanjikan mereka yang mempunyai IMAN walau sekecil manapun akhirnya akan dikeluarkan daripada api nereka dan dimasuklkan ke dalam syurga.
Pengertian IMAN yang dikatakan sangat kecil ini bererti pemahaman dan pegangan imannya seperti yang terkandung di dalam Rukun Iman tidak rosak. Balasan seksa yang dikenakan terhadapnya adalah disebabkan melakukan dosa-dosa maksiat lain sahaja yang tidak melibatkan kesalahan pendirian, pemahaman ilmu dan kepercayaannya terhadap Rukun Iman yang enam perkara.
Jika keimanannya terhadap salah satu sahaja daripada pemahaman ilmu-ilmu yang terkandung di dalam Rukun Iman tersebut rosak, walaupun pada penilaiannya dianggap 'kecil' sahaja, maka dia sudah terkeluar daripada pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan termasuk dalam golongan ahli bid'ah sesat. Jika ini berlaku, walau sebesar dan sebanyak mana segala ibadat dan kebajikan yang dilakukannya ketika hidup di dunia akan menjadi sia-sia sahaja kerana tidak mendapat ganjaran pahala daripada Allah. Yang tinggal padanya sudah semestinya dosa belaka. Dosa dan kezaliman paling besar yang tidak diampunkan Allah ialah mensyrikkan atau menyekutukan Allah atau menyamakan Allah dengan makhluk-Nya.
Kita semua sedia memahami bahawa pengertian mensyrikkan atau menyekutukan Allah dengan makhluk-Nya adalah terlalu luas kerana apa juga yang ada selain daripada Allah adalah makhluk Allah belaka yang diadakan Allah daripada semata-mata tidak ada kepada ada.
Demikian juga pengertian ilmu yang terkandung di dalam Rukun Iman yang enam perkara itu adalah amat luas bahasannya yang sukar difahami pemikiran manusia biasa tetapi kesemuanya mesti dijadikan pegangan iktiqad keimanan berlandaskan ilmu yang sahih kebenarannya dan tidak boleh silap walau pun dianggap kecil atau remeh sahaja.
Inilah sebenarnya yang paling ditakuti oleh orang awam yang sepanjang hayat banyak bergantung dan bersandar kepada ulama'-ulama' yang hak untuk membimbing mereka ke jalan yang benar agar terhindar dari jalan kebinasaan ke neraka.
Sebagai salah seorang daripada golongan ulama' terkenal dan pemimpin parti politik ternama dan tersohor negara ini yang dipercayai berpegang teguh kepada Iktiqad Ahli Sunnah Wal Jammah sudah pasti dan semestinya TGNA mempunyai kemampuan yang tinggi dan amat mudah untuk memberikan reaksi positif menangani isu SEKECIL atau SEREMEH ini.
Maka adalah sangat diharapkan agar Yang Amat Berhormat Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dapat memberikan penjelasan yang lengkap, menyeluruh dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan keraguan terhadap permasalahan isu ilmu yang dibangkitkan ini agar orang-orang awam dapat memahami dan memanfaatkannya, insya Allah.
Penjelasan terhadap persoalan ini hendaklah diuar-uarkan kepada umum ke seluruh negara melalui ceramah dan penerbitan pelbagai media cetak dan elektronik sebagaimana yang Tuan Guru Nik Aziz paparkan di dalam YouTube berkenaan. Semoga Allah melimpahkan Rahmat-Nya atas segala usaha dan pengorbanan yang dilakukan dan memberi pertunjuk ke jalan yang benar kepada seluruh umat Islam negara ini. Amin. Wasalam.
"...Ya Allah!, jadikanlah akan kami orang-orang yang memberi pertunjuk lagi yang mendapat pertunjuk lain daripada orang-orang yang sesat dan tiada orang-orang yang menyesatkan perseteruan bagi seteru-seteru Engkau dan perdamaian bagi Aulia-aulia Engkau. Kami kasihi dengan sebab kasihkan Engkau akan orang yang mentaati Engkau daripada hamba-hamba Engkau. Kami memusuhi dengan sebab permusuhan Engkau akan orang yang menyalahi Engkau daripada hamba-hamba Engkau...."
Mohon share artikel tuan... Mohon tuan haji join group fb Malaysian Quranic Education Society... Di sana ramai anti hadis... Islam perlu dibela di sana ... Ramai silent reader lebih 8000 org...
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Padam