Jumaat, 9 September 2011

Kemuliaan dan Keajaiban Malaikat

                            



               بسم الله الرحمن الرحيم
  "[iaitu] ketika dua orang malaikat mencatat amlan perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir.  Dan datanglah Sakaratul Maut dengan sebenar-benarnya.  Itulah yang kamu selalu lari daripadanya.  Dan ditiuplah Sangkakala. Itulah hari terlaksananya ancaman.  Dan datanglah tiap-tiap diri, bersama dengan dia seorang malaikat pengiring dan seorang malaikat penyaksi." 
                        [ Maksud al-Quran surah Qaaf : 17-21]


"Demi (malaikat-malaikat) yang mencabut (nyawa)dengan keras,dan (malaikat-malaikat) yang mencabut (nyawa)dengan lemah lembut,dan (malaikat-malaikat) yang mendahului dengankencang,dan (malaikat-malaikat) yang mengatur urusan (dunia).(Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan) pada hariketika tiupan pertama mengoncangkan alam.Tiupan pertama itu diiringi oleh tiupan kedua."

                         [Maksud al-Quran surah An Naazi'aat :1-7]

Kepercayaan kepada malaikat adalah termasuk salah satu daripada Rukun Iman yang enam [6] perkara.  Ini bererti sesiapa juga yang tidak mempercayai kewujudan malaikat adalah termasuk orang yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan terjumlah sebagai golongan orang yang kafir. 

Kepercayaan kepada malaikat juga hendaklah berdasarkan keterangan ilmu yang dijelaskan melalui al-Quran dan Hadis-hadis  Rasullullah s.a.w. dan bukan berdasarkan tanggapan sendiri atau mengikut sangkaan logik akal manusia dengan bersandarkan kepada pancaindera yang lima kerana makhluk malaikat adalah tergolong sebagai makhluk-makhluk Allah yang 'ghaib' yang tidak dapat dilihat oleh mata kepala manusia biasa (kecualai para Nabi dan Rasul Allah) di dunia dan tidak dapat dikesan atau diuji melalui apa juga kaedah atau segala jenis peralatan teknologi saintifik ciptaan manusia.

Kesemua kitab Allah yang diturunkan kepada Rasul-rasul yang dibangkitkan untuk dijadikan pedoman hidup manusia di dunia dan akhirat adalah wahyu dan Kalam Allah yang disampaikan melalui Malaikat Jibrael AS.  Ini bererti untuk memahami kebenaran dan kemuliaan agama yang disampaikan oleh para Rasul seseorang itu hendaklah mengenali dan memuliakan para Rasul, memahami kebenaran wahyu yang terkandung di dalam Kitabullah adalah Kalam Allah serta mengenali dan memuliakan Malaikat Jibrael AS yang memegang amanah Allah khusus untuk menyampaikan wahyu Allah kepada para Rasul.

[ Lihat : Allah Berkata-kata Dengan Kalam-Nya Yang Qadim ]


Terdapat banyak nama malaikat yang disebut di dalam al-Quran dan Hadis Rasullullah s.a.w. dan diamanahkan Allah SWT untuk melakukan tugas-tugas tertentu. Di antaranya ialah :
Malaikat Jibrael Alaihisalam- Menyampaikan wahyu Allah kepada Rasul-rasul yang dibangkitkan.
 Malaikat Mikail AS- Menyampaikan dan membawa rezeki yang ditentukan Allah. 
 Malaikat Israfil AS- Meniup sangkakala apabila diperintahkan Allah pada Hari Kiamat.
 Malaikat Izrail AS- Mencabut keluar roh manusia daripada badan zahir [jasad] ketika  Sakratul Maut. 
 Malaikat Munkar AS- Menyoal roh manusia di dalam kubur atau Fitnah Kubur.
 Malaikat Nakir AS- Menyoal roh manusia di dalam kubur atau Fitnah Kubur.
 Malaikat Ridhuan AS- Menjaga pintu syurga dan mengalu-alukan kedatangan masuk ahli-ahli syurga.
 Malaikat Malik AS-  Menjaga pintu neraka dan melontar ahli neraka ke dalam neraka.
 Malaikat Raqib AS- Mencatat segala amalan baik dan kebajikan yang dilakukan setiap diri manusia di sepanjang hayatnya di dunia. 
 Malaikat 'Atid AS- Mencatat segala amalan buruk dan kejahatan yang dilakukan setiap diri manusia di sepanjang hayatnya di dunia.
Di samping nama-nama dan fungsi tugas malaikat tersebut terdapat juga malaikat-malaikat lain yang diamanahkan dengan bermacam-macam tugas. Di antaranya ialah Malaikat Roh yang meniupkan Roh Hammalul Amanah kepada janin bayi manusia di dalam rahim kandungan ibunya apabila tiba masa yang ditetapkan dengan perintah Allah. Hal keadaan Roh Hammalul Amanah ini adalah sama jenis dengan malaikat dan dikekalkan hidupnya selama-lamanya dan tidak dimatikan.


Malaikat-malaikat Rahmat - melaksanakan amanah Allah untuk menyampaikan rahmat Allah, memberi perlindungan kepada orang mukmin serta mendo'akan kesejahteraan mereka. Jumlah Malaikat Rahmat ini tersangat ramai yang tidak dapat diketahui sama sekali jumlah sebenar bilangan mereka oleh sekalian makhluk Allah. Malaikat-malaikat Azab pula ditugaskan untuk mengazab manusia yang kufur dan ingkar bermula ketika dicabut keluar Roh Hammalul Amanah daripada jasad semasa Sakaratul-maut dengan meletakkannya di atas tempat bara api neraka dan membawanya ke tempat azab di Alam Barzakh.

Hadis Rasullullah s.a.w.ada menjelaskan bahawa Allah merahmati ibadat dan amalan salih seseorang hamba-Nya yang mukmin dengan menghantarkan Malaikat-malaikat Rahmat untuk menjaga keselamatannya daripada terkena godaan dan tipu daya syaitan yang sentiasa berusaha mengganggu dan merosakkannya supaya menjadi kafir. 


Jumlah Malaikat Rahmat yang menjaga dan mendo'akan setiap diri orang mukmin yang salih adalah seramai 160 orang. Inilah yang dimaksudkan dengan ayat al-Quran bahawa Allah sentiasa 'bersama' orang-orang mukmin yang bererti bukanlah Zat (Diri ) Allah 'hadir bersama' orang mukmin tetapi Malaikat Rahmat yang dimuliakan dan diamanahkan Allah untuk menjaga dan mendo'akan kesejahteraan orang mukmin tersebut daripada gangguan syiatan.

Di dalam al-Quran ada menyatakan asal kejadian malaikat itu daripada 'cahaya'. Namun ada juga malaikat yang dijadikan bukan berasal daripada cahaya atau apa-apa asal pun. Ini dapat difahami daripada kejadian makhluk Allah yang mula-mula dijadikan iaitu malaikat bernama 'Akal atau Kalam. Sekiranya Malaikat 'Akal atau Kalam itu dijadikan daripada cahaya bermakna 'cahaya' yang mula-mula dijadikan dan 'cahaya' pula memerlukan tempat kerana hal keadaan 'cahaya' walau sebesar atau sekecil mana sekalipun itu memerlukan tempat untuk berdiri wujud sedangkan tempat BELUM diadakan lagi. Kajaiban kejadian Malaikat 'Akal ini ialah dirinya (zatnya) berjuzuk tetapi dia tidak memerlukan tempat untuk wujud.


[Lihat : Polemik Wujudiah, Nuur Muhammad dan Awal Makhluk]


Hal keadaan ini dapat difahami bahawa ada Hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan apabila seorang mukmin salih bertasbih memuji dan memuliakan kebesaran Allah, maka  ibadat-ibadat seperti solat, berzikirullah dan bertasbih memulia dan memuji kebesaran Allah yang dilakukan itu akan dijadikan makhluk seperti malaikat yang mendo'akan dia hingga Hari Kiamat apabila semua manusia yang mati dibangkitkan hidup semula. 


Begitu juga setiap pahala ibadat yang dikurniakan kepada orang mukmin yang salih akan ditukarkan menjadi Roh Amalan Salih iaitu makhluk seperti malaikat yang menemani, membantu dan menjaga dia daripada dua orang Fitnah Kubur dan Malaikat Azab. Nas ini dapat memberikan kefahaman kepada kita bahawa Allah Maha Berkuasa mengadakan sesuatu dengan mudah, lebih cepat/pantas daripada kerlipan mata dan lintasan hati yang bukan berasal daripada apa-apa jua pun tanpa misal dan tanpa ibarat.

Adapun kebersihan iktiqad kesemua para malaikat terhadap Allah SWT dan kemuliaan mereka adalah seperti yang dimaksudkan dalam Hadis s.a.w. berikut :

"...bermula mereka (malaikat-malaikat) dijadikan dan diletakkan Allah SWT semata-mata untuk berbuat taat dengan menurut segala perintah Allah SWT dan tidak ada jalan sama sekali untuk berbuat maksiat....... Maka tidak syak bahawa mereka tidak melanggar perintah Allah barang apa yang disuruhi dan mereka perbuat segala perintah yang diamanahkan, mereka bertasbihkan Allah pada malam dan siang [dengan tiada merasa letih dan penat].
Di antara mereka ada yang berbuat ibadat dengan rukuk sahaja selama-lamanya, ada pula daripada mereka yang sujud sahaja selama-lamanya, ada yang berdiri sahaja selama-lamanya dengan tidak ada perbalahan pada segala perbuatan mereka. Mereka tidak merasa letih, penat dan jemu dan bagi tiap-tiap seorang malaikat itu ada makam  [pekerjaan ] yang tertentu yang termaklum dan tidak ia melampauinya dan ketaatan mereka kepada Allah daripada apa juga jalan bagi menyalahi hak mereka....". (hingga akhir hadis).
Hal keadaan ibadat para malaikat ini disaksikan sendiri oleh Rasullullah s.a.w. ketika berada di Sidratil Muntaha pada malam Isra' dan Mikraj dan kaifiat fardhu sembahyang lima waktu yang difardhukan adalah mencontohi kaifiat ibadat para malaikat tersebut.

Dalam al-Quran surah An-Najm ayat 13-18 ada menyebut bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melihat rupa sebenar Malaikat Jibrael di Sidratil Muntaha semasa berlakunya peristiwa mukjizat besar malam Israk dan Mikraj tersebut:
" Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibraelitu (dalam rupanya yang sebenar) pada waktu yang lain. (Iaitu) di Sidratil Muntaha.Di dekatnya ada syurga tempat tinggal,(Muhammad melihat Jibrael) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya.Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yangdilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya.Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda(kekuasaan) Tuhannya yang paling besar."  

 Para malaikat sentiasa bertasbih memuji kebesaran Allah dan sentiasa mendo'akan keselamatan dan kesejahteraan orang-orang mukmin seperti yang di maksudkan pada surah Al-Mu'min : 7-9 :

" [Malaikat-malaikat] yang memikul 'Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta meminta ampun bagi orang-orang yang beriman(seraya mengucapkan) : 'Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari seksaan neraka yang bernyala-nyala.
 Ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang salih di antara bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
 Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. Dan orang-orang yang Engkau pelihara dari (pembalasan) kejahatan pada hari itu maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya dan itulah kemenangan yang besar."
Malaikat Jibrael AS adalah penghulu segala malaikat yang berada di langit dan di bumi. Dalam al-Quran surah An-Najm ada menyebut Malaikat Jibrael AS mempunyai akal yang sangat pintar lagi amat bijaksana. Ilmu dan ketaqwaannya kepada Allah sangat tinggi dan lautan luasnya mengatasi semua malaikat, manusia dan sekalian makhluk Allah yang berada di langit dan bumi.  Dalam surah Maryam: 64 pula menjelaskan yang bermaksud:
" Dan tidaklah kami (Malaikat Jibrael) turun, kecuali dengan perintah Tuhanmu. Kepunyaan-Nya lah apa-apa yang ada di belakang kita dan apa-apa yang ada di antara keduanya, dan tidaklah Tuhanmu lupa."
Kelebihan Malaikat Jibrael AS terhadap malaikat-malaikat adalah seperti kelebihan Nabi Muhammad s.a.w. terhadap manausia.  Antara Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang menerangkan sifat-sifat kemuliaan dan ketaqwaan Malaikat Jibrael AS ialah :
i.  Dan sabda Nabi Muhammad s.a.w. : Tiada datang Jibrael kepada ku sama sekali melainkan dia menggeletar kerana takutkan Allah yang amat mempunyai kekerasan.

ii.  Dan kata satu qaul tatkala berlaku ke atas Iblis barang apa yang telah berlaku jadilah Jibrael dan Mikail AS menangis kedua-duanya. Maka Allah SWT mewahyukan kepada keduanya : Kenapakah engkau menangis dengan sehabis-habis tangisan ini ? Maka kata keduanya : Wahai Tuhan kami, adakah kami aman daripada kemurkaan Engkau? Firman Allah SWT : Begitulah engkau kedua dijadikan tidak aman daripada kemurkaan Ku.......

iii.   Riwayat daripada Muhammad bin Al-Munqadar katanya : Tatkala diadakan/dijadikan api neraka berterbangan hati-hati malaikat daripada tempatnya, maka tatkala diadakan anak-anak Adam (manusia) ia pun kembali yakni kembali kepada tempatnya.

iv.   Daripada Anas bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. menanya Jibrael AS: Kenapa aku tiada melihat Mikail itu suka (ketawa). Kata Jibrael AS : Tiada suka Mikail semenjak diadakan api neraka.

v.  Kata satu qaul bahawasanya bagi Allah SWT itu malaikat-malaikat yang tiada ketawa walau seorang pun daripada mereka semenjak diadakan api neraka kerana takut dimurkai Allah ke atas mereka hingga menyebabkan mereka diazab. 

Malaikat Jibrael Alaihisalam atau dikenali juga dengan nama Rohul Qudus dan Rohul Amin yang diamanahkan Allah untuk menyampaikan wahyu Allah kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul telah melaksanakan tugasnya dengan penuh amanah, bijaksana dan sempurna. Semasa diturunkan wahyu kepada Rasullullah s.a.w. dia sentiasa berada di sisi Rasullullah s.a.w. walaupun pada kebanyakan masa tidak dapat dilihat atau terhijab dari pemandangan mata para sahabat yang mengiringi Rasulullah s.a.w. atau mengikuti pengajian dan melaksanakan jihad di medan perang fisabilillah.

Hanya pada masa-masa tertentu sahaja dia memperlihatkan dirinya yang menyerupai salah seorang daripada para sahabat Rasulullah s.a.w. yang kacak bernama Dahyatul Qalbi RA. Dalam pada itu tidak seorang pun, kecuali Rasulullah s.a.w., yang mengenalinya. Semasa Rasulullah s.a.w. menyampaikan pengajian ilmu pengetahuan kepada  para sahabat, Malaikat Jibrael AS turut bersama mengikutinya.


Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan ilmu dibangkitkan oleh para sahabat yang tidak dapat dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. baginda akan bertanya Malaikat Jibrael AS. Sekiranya tidak mengetahui jawapannya, Jibrael AS akan memohon pertunjuk wahyu daripada Allah SWT. Ini bermakna segala ilmu pengetahuan yang diterima dan dihayati para sahabat adalah secara terus daripada Rasulullah s.a.w. dan Malaikat Jibrael AS  yang pastinya sangat jelas dan luas yang sukar dan tidak mungkin diperolehi manusia-manusia lain selepas zaman itu.


Adalah amat sukar untuk menggambarkan suasana para sahabat berhadapan dan mempelajari lautan ilmu agama Islam khususnya yang berkaitan dengan wahyu ayat-ayat al-Quran secara langsung daripada "Hadis Hidup" di hadapan mereka dan diiringi pula pembawa wahyu yang sentiasa berada di sisinya.  Inilah kelebihan dan ketinggian martabat para sahabat berbanding manusia-manusia lain selepas mereka.

Apa yang dikhabarkan melalui Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang sangat banyak itu adalah sebahagian kecil sahaja daripada lautan ilmu yang dipelajari, diamalkan dan dihayati oleh para sahabat yang dapat dikumpul dan diturunkan dalam bentuk hafazan dan tulisan selepas zaman mereka berlalu. Sebilangan besar ilmu mereka yang berkaitan dengan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang tidak dapat diingati, diwariskan atau ditulis ke dalam kitab dibawa bersama mereka apabila mereka kembali ke rahmatullah.


Sebagaimana yang termaklum Rasulullah s.a.w. mula bertemu dengan Malaikat Jibrael AS pada 17 Ramadhan tahun 13 sebelum Hijrah bersamaan dengan bulan Julai 610 tahun Masehi di Gua Hir'q. Dalam pertemuan pertama itu Malaikat Jibrael AS melakukan sesuatu yang amat melemaskan Nabi Muhamad dan meminta baginda membaca "Ikraq" (baca)  sebanyak tiga kali tetapi baginda menjawab dia tidak boleh membaca (kerana baginda tidak penah belajar membaca daripada sesiapa pun). Akhirnya barulah Malaikat Jibrael AS melafazkan wahyu-Quran surah Al'Alaq :1-5 yang bermaksud:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang telah mengadakan (segala makhluk)”(1). “Ia telah mengadakan manusia dari a’laq (segumpal darah beku)”(2). “Bacalah dan Tuhanmu (adalah) Yang Maha Mulia (yang tiada menyamai-Nya sekalian yang mulia)(3).“Yang Dia telah mengajar (menulis) dengan kalam”(4). “Dia mengajar manusia apa yang tidak ia ketahui”(5).
Rasulullah s.a.w yang ketakutan itu pulang ke rumah dan meminta isterinya Khadijah menyelimutkanya. Setelah terputus wahyu yang dikatakan selama 40 hari Malaikat Jibrael AS datang kembali yang dilihat oleh Rasulullah s.a.w. berada di antara langit dan bumi. Baginda yang sangat ketakutan melihat hal keadaan Jibrael AS itu dan peristiwa yang amat mencemaskan di Gua Hira' dulu telah meminta isterinya Khadijah menyelimutkannya. Lalu Malakat Jibrael AS menyampaikan wahyu al-Quran surah al-Muddaththir 1-7 seperti yg termaklum.

Dalam al-Quran surah An Najm ayat 13-18 ada menyebut bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melihat rupa sebenar Malaikat Jibrael di Sidratul Muntaha semasa berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj:
" Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibraelitu (dalam rupanya yang sebenar) pada waktu yang lain. (Iaitu) di Sidratil Muntaha.Di dekatnya ada syurga tempat tinggal,(Muhammad melihat Jibrael) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya.Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yangdilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya.Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda(kekuasaan) Tuhannya yang paling besar."  

Adapun ukuran rupa asal Malaikat Jibrael AS begitu besar hingga menutupi seluruh langit.  Rasullullah s.a.w. jatuh pengsan disebabkan sangat terkejut kerana tidak terlintas di hatinya ada makhluk Allah yang sebesar ini seperti yang dimaksudkan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w :

" Maka tiada melihat Nabi Muhammad s.a.w. akan Jibrael AS pada rupanya yang benar-benar rupanya melainkan dua kali dan yang demikian itu ialah ianya meminta kepadanya supaya menunjukkan rupa dirinya Jibrael itu atas rupanya yang benar-benar rupanya. Maka ia menjanjikannya di Baqi', Madinah dan ia zahirkan baginya di Hira', maka ia menutupi al-ufuk segala pihak langit daripada pihak matahari terbit hingga pihak matahari jatuh dan ia melihat pada kali yang lain di atas rupanya itu pada malam Al-Mikraj pada ketika di Sidratil Muntaha dan sesungguhnya adalah ia pada ghalibnya melihatnya pada rupa seorang manusia, maka ia melihatnya seperti Dahyatul Qalbi [sahabat Rasulullah]yang kacak  [tampan]  rupa wajahnya."

Selepas sedar dari pengsannya Jibrael AS memberitahu Rasullullah s.a.w. bahawa Malaikat Israfil AS jauh lebih besar lagi rupa asalnya hinggakan Arasy yang lebih besar daripada langit dan bumi itu berada di atas bahunya tetapi apabila dia bertasbih memuji, memulia dan membesarkan Allah dia menjadi kecil seperti burung "pipit" sahaja besarnya. 

Dalam pada itu Malaikat Maut Izrail AS yang ditugaskan mencabut roh manusia, jin dan malaikat pada Hari Kiamat turut mencabut keluar roh malaikat Jibrael dan Israfil AS yang sangat besar dan kuat itu. Ini menunjukkan Malaikat Maut Izrail AS ini lebih kuat dan ukuran sebenarnya adalah jauh lebih besar daripada Malaikat Jibrael dan Israfil AS.

Dalam hal ini mungkin akan terbit pula pertanyaan di hati seseorang:

  "Siapa pula yang mematikan dan mencabut keluar roh Malaikat   Maut Izrail AS?" 
Sekiranya terbit lintasan hati atau pertanyaan yang sedemikian rupa hendaklah segera dijawab bahawa: 
"Sebagaimana Allah Amat Berkuasa mengadakan dan menghidupkan Malaikat Izrail AS, Allah juga Amat Berkuasa mematikan dia tanpa misal dan tanpa ibarat dengan sangat mudah." 
Maka ternafilah sangkaan atau andaian yang mengatakan dia mencabut rohnya sendiri yang boleh membawa maksud dia "membunuh diri" yang amat ditegah oleh syarak.

Demikian juga para malaikat yang ditugaskan untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing pada Hari Kiamat pula adalah sangat besar belaka ukurannya. Ini dapat dibayangkan kalaulah neraca untuk menimbang amal manusia itu sahaja sudah sebesar langit dan bumi, sebesar mana pula ukuran malaikat yang diberi tanggungjawab mengendalikannya?

Apabila seorang manusia dilahirkan ke dunia dia disertai dengan dua kembaran iaitu seorang malaikat dan seorang syaitan. Kembaran malaikat hanya mengajarkan manusia untuk melakukan kebaikan sahaja tetapi kembaran syaitannnya pula menerbitkan lintasan-lintasan hati untuk melakukan kejahatan dan kemungkaran belaka. 

Kembaran syaitan yang ada pada Nabi-nabi dan Rasul-rasul pula telah dibantu Allah dengan menjadikannya Muslim yang hanya mengajarkan dan menerbitkan lintasan-lintasan hati yang baik sahaja sama seperti kembaran malaikat. Inilah salah satu sebab mengapa para Nabi dan Rasul itu "maksum" yang bermaksud terpelihara daripada melakukan sebarang dosa kesalahan atau melakukan sebarang kesilapan.


 Di dalam al-Quran surah Ath-Thaariq : 4 ada menyatakan yang bermaksud :

" Tidak ada  [diri] seorang pun melainkan ada penjaganya."
Maksud yang lebih jelas lagi ada dinyatakan di dalam surah Qaaf : 17-21 yang maksudnya seperti tertera di atas. 

 [ Lihat : Tipu Daya Syiatan Iblis ]


Setiap orang yang beriman sudah pasti takut atau setidak-tidaknya merasa malu untuk melakukan sebarang maksiat atau kemungkaran sekiranya di dalam hatinya menghayati, memahami dan mata hatinya sentiasa "melihat"  ada [2 ] orang malaikat berada di sisinya [seperti polis] mencatatkan segala perbuatan dan amalannya setiap hari.  


Pada masa yang sama ada pula malaikat yang merakamkan [ seperti rakaman video kamera] segala perbuatanya sebagai rekod dokumentasi yang berkekalan hingga hari pembalasan yang akan diperlihatkan dan disaksikannya sendiri apabila rohnya tiba di halkum semasa berhadapan dengan Sakaratul-maut dan ketika dihisab pada hari pembalasan kelak.

Bagi orang-orang mukmin salih yang luas, mendalam dan kuat penghayatan kefahaman ilmunya akan berfikir terlebih dahulu serta memohon petunjuk Allah apabila terbit sesuatu lintasan di hati bagi menentukan sama ada ianya terbit daripada kembaran malaikat atau syaitan. Sekiranya dia mendapati lintasan hati itu daripada kembaran malaikat dia bersungguh-sungguh melakukannya tetapi sekiranya dia mendapat petunjuk bahawa lintasan hati itu terbit daripada syaitan dia terus beristighfar memohon ampun kepada Allah sebelum melakukannya.

Seseorang mukmin salih yang luas ilmunya dalam bab At-Tawhid dan mempunyai keimanan yang kukuh sudah pasti amat mengharapkan Malaikat-malaikat Rahmat sentiasa berada bersamanya untuk mendo'akan keselamatan dan kesejahteraan hidupnya di sepanjang hayat dari sebarang godaan dan gangguan jin dan syiatan yang tidak pernah merasa jemu untuk merosakkannya pada setiap masa.


Bagi manusia biasa yang tidak beriman dan tidak berilmu sebagaimana yang difardhukan mereka tidak mungkin dapat membezakan lintasan-lintasan yang terbit di hatinya sama ada daripada kembaran malaikat atau kembaran syiatannya.  Ini bererti dia  terdedah seluas-luasnya kepada hasutan dan tipu daya syiatan melalui berbaga-bagai cara kerana Malaikat Rahmat tidak berada bersama orang kafir dan ahli maksiat untuk mendo'akan dan melindunginya sebagaimana orang mukmin yang salih.


[Lihat : i. Kemuliaan Manusia dan Kemuliaan Ibadat].

            ii. Fitnah Kubur, Alam Barzakh dan Bumi Mahsyar ]

Ketika berhadapan dengan sakit Sakratul-maut dan rohnya sudah tiba di halkum dan pintu taubat sudah ditutup setiap orang manusia itu akan dibuka hijab hingga dapat melihat Malaikat Maut, Malaikat Rahmat atau Malaikat Azab mengikut hal keadaan dan bahagian masing-masing yang ditakdirkan Allah. Sekiranya dia tergolong sebagai mukmin salih dan ahli kebahagiaan dia akan melihat rupa Malaikat Maut yang begitu cantik menawan dan berpakaian indah berbau harum diiringi pula 500 orang Malaikat Rahmat yang menunggu-nunggu rohnya dicabut keluar untuk memuliakannya seperti menyambut pengantin sebagaimana yang dijanjikan.


Pada ketika itu walaupun roh masih berada di dalam badan dan pada zahirnya dia masih hidup bernyawa dia akan melihat dua orang malaikat pencatat amalannya mengkhabarkan berita baik atau berita buruk mengenai segala amalan dan perbuatannya di sepanjang hayat dan diperlihatkan pula tempat balasannya di akhirat kelak sama ada syurga atau neraka.

Pada saat ini juga roh 'si mati' dibuka hijab untuk melihat rakaman perbuatannya di sepanjang hayat yang dipancarkan terus menerus daripada Arasy oleh malaikat yang menjaganya dengan perintah Allah walaupun pada zahirnya kesakitan nazak yang dilihat oleh orang yang berada di sekelilingnya begitu singkat masanya ataupun dia hanya kelihatan tidur [koma ] dalam tempoh masa yang lama. Inilah saat-saat yang paling kritikal dan genting yang dihadapi setiap diri manusia. 


[ Lihat : Tarbiyatu Fikrit-Tifli Li-Fahmi Ulumiddin ]


Apabila berada di dalam kubur pula roh si mati akan berhadapan dengan Fitnah Kubur atau ujian kubur daripada dua orang malaikat Munkar dan Nakir Alaihisalam yang sangat dahsyat dan menggerunkan rupanya bertanyakan hal-hal Ilmu Tawhid seperti yang dimaksudkan dalam Hadis.

Ada pula malaikat yang buta, pekak dan bisu yang ditugaskan untuk mengazab dengan memukul roh si mati tanpa belas kasihan dengan perintah Allah sekiranya ahli kubur yang disoal gagal menjawab atau tidak dapat memberikan jawapan yang betul hinggakan jeritan kesakitannya didengari oleh semua makhluk yang berada di bumi kecuali manusia dan jin.


[Lihat:  Bersediakah Anda Menghadapi SAKARATUL MAUT?]


Setiap amal ibadat orang mukmin dinilai dan diperhatikan oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan untuk menentukan ibadat itu sah dari segi hukum mengikut kaifiat yang ditetapkan hukum syarak. Setiap ibadat yang sah mengikut hukum syarak pada zahirnya diberi pahala.  Pahala itu ditukarkan pula dalam bentuk cahaya yang dimuliakan oleh para Malaikat Hafazah yang ditugaskan membawa pahala cahaya ibadat ini ke tujuh lapisan langit untuk ditapis pula kebersihannya oleh tujuh orang malaikat penjaga setiap pintu langit yang diamanahkan Allah untuk menapis 'cahaya ibadat' setiap hamba Allah yang mukmin daripada sifat-sifat mazmumah yang keji.

'Cahaya ibadat' yang di bawa Malaikat Hafazah ini sangat ajaib kerana berbunyi seperti guruh dan bercahaya terang seperti cahaya matahari. Malaikat yang menapis 'cahaya ibadat' ini mempunyai ilmu pengetahuan istimewa untuk melihat tanda-tanda sifat mazmumah yang terlekat pada 'cahaya ibadat' ini. 


Sekiranya terdapat tanda-tanda sifat-sifat mazmumah seperti; hasad, dengki, mengumpat, takbur, riak, ujub, tidak ikhlas dan sebagainya seperti yang dimaksudkan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. ketika beribadat kepada Allah maka malaikat penapis akan memerintahkan Malaikat Hafazah supaya memukulkan dan melaknatkan 'cahaya ibadat' ini kepada tuannya kerana Allah tidak menerimanya disebabkan sifat-sifat mazmumah yang ada padanya ketika melakukan ibadat.

[ Peringatan : Sila fahami maksud Hadis Rasulullah s.a.w. yang panjang riwayat daripada Mu'az bin Jabbal ini dalam entri:

 Kemuliaan Manusia dan Kemuliaan Ibadat].

Sungguhpun Allah SWT itu Maha Berkuasa terhadap setiap sesuatau yang diadakan-Nya tetapi Allah telah mewasitahkan para malaikat melakukan segala perkara yang ditakdirkan berbetulan dengan ilmu-Nya dan kehendak-Nya yang Qadim.  Kesemua ini mempunyai hikmah dan rahsia tersendiri yang antaranya dapat difahami bahawa sekiranya malaikat yang melakukan segala kehendak dan perintah Allah ini maka ternafilah bahawa Allah SWT itu bertempat sama ada berada di dalam, di luar atau bersatu padu dengan alam. Huraian-huraian ini dapat menjelaskan juga bahawa segala ibadat dan setiap detik perbuatan manusia itu diperhatikan dan dicatatkan oleh para malaikat dan diambil kira, hatta walaupun hanya segerak lintasan hati sahaja.

Segala perbuatan hamba Allah ini diberi pahala atau dosa dan dikekalkan untuk dihisab dan diadili pada Hari Pembalasan di akhirat kelak dengan seadil-adilnya dengan disaksikan dan diperakukan oleh anggota tubuh badan manusia itu sendiri di samping catatan amalan-amalannya oleh dua orang malaikat pencatat bagi menunjukkan keadilan Allah yang tidak terhingga.


Di sini dapat dilihat betapa mulia dan tingginya martabat malaikat di sisi Allah sebagai makhluk  yang sangat ajaib, mulia, maksum dan sangat istimewa untuk menjalankan segala amanah dan perintah Allah daripada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara seperti kejadian langit dan bumi, arasy, qursi, syurga, neraka dan Hari Kiamat besar yang sangat dahsyat itu hinggalah kepada perkara-perkara yang pada zahirnya terlalu kecil pada penilaian pemikiran manusia.


Sebagai orang yang beriman kepercayaan yang penuh kepada malaikat ini dapat mengukuhkan lagi keyakinan terhadap kebenaran al-Quran sebagi Kalam Allah dan kebangkitan Rasullullah s.a.w. untuk menyampaikan perkhabaran dan mengingatkan segala perkara mengenai hal duniawi dan lebih-lebih lagi hal hari akhirat yang tidak diketahui sama sekali dan dapat difikirkan oleh akal biasa umat manusia.

Kerosakan pemahaman terhadap para malaikat akan merosakkan keimanan seseorang kerana al-Quran itu adalah wahyu Allah yang disampaikan oleh Malaikat Jibrael AS kepada Rasullullah s.a.w. dan seterusnya memikul amanah untuk disebarkan kepada seluruh umat manusia.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan