بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ
اَلْحَمْدُ ِللهِ الْمَلِكِ الْحَقِّ الْمُبِيْنِ، الَّذِي حَبَانَا بِالْإِيْمَانِ واليقينِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّد،ٍ خَاتَمِ الأَنْبِيَاءِ وَالمُرْسَلِين، وَعَلَى آلِهِ الطَّيِّبِيِن، وَأَصْحَابِهِ الأَخْيَارِ أَجْمَعِين، وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksudnya :
"Sesungguhnya Aku ini adalah Allah; tidak ada Tuhan selain Aku; maka ibadatkanlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.
[Al-Quran سورة طه surah Thaahaa : 14]
********************************
Setelah
membaca dan memahami Kitab Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Syahdat At Tauhid dan Syahdat Ar-Rasul,
أشهد أن لا اله الا الله وأشهد ان محمد رسول اللهadalah amat penting ibu bapa mengajar anak-anak mereka mengenai kandungan Ilmu At-Tauhid yang terkandung di dalamnya agar anak-anak dapat memahami, meyakini dan menghayatinya di sepanjang hayat sebagai pegangan aqidah keimanan yang hak.
Bagi memudahkan lagi kefahaman mereka terhadap ilmu
fardhu ‘ain yang dianggap rumit tetapi sangat penting ini adalah amat bermanfaat sekiranya kaedah pemahaman
melalui SOALAN (S) dan JAWAB (J) seperti di bawah ini dapat digunakan sebagai
panduan.
MENGENAL ALLAH
S. Siapa Tuhan kita?
J. Tuhan kita ialah Allah
Yang mengadakan sekalian alam.
S. Apa itu alam?
J. Apa jua barang
yang diadakan oleh Allah yang tiada terkira banyaknya, dinamakan alam.
S. Sebelum Allah
mengadakan alam, apakah yang ada?
J. Hanya Allah Taala Azawajalla sahaja yang ada, tiada tempat, tiada
lapang, tiada masa dan lain-lainnya.
S. Dengan apa kita
mengenal dan mengetahui Allah?
J. Kita mengenal dan
mengetahui adanya Allah itu dengan “akal pada
syarat iaitu mata hati atau dinamakan juga 'ainul qalbi atau al-basirah.
Kita mengenal dan mengetahui makhluk Allah dengan “akal fikiran” melalui pancaindera yang lima.
S. Apa itu pancaindera
yang lima?
J. Pancaindera yang
lima ialah:
i. deria
bau (hidung)
ii. deria
sentuh (kulit)
iii. deria
rasa (lidah)
iv. deria
dengar (telinga)
v. deria
lihat (mata)
S. Bagaimana kita boleh mengenal
Allah?
J. Kita mengenal
Allah melalui kitab-Nya (al-Quran) yang mulia yang dipersampaikan oleh Nabi kita Muhammad s.a.w yang dibangkitkan oleh Allah menjadi
Rasul-Nya kepada sekalian manusia
dan jin. Maka mengetahuilah sekalian hamba-Nya
bahawa Allah Taala itu Ada, Maujudun
(موجود), Qadimun (قديم) , Azaliun
(ازلي) , Baqin
(باق) .
S. Apakah
maksud “Maujudun (موجود), Qadimun (قديم) , Azaliun (ازلي) , Baqin ( باق ”?
J. Maksudnya ialah
bahawa Allah Taala itu Ianya:
2. selama-lamanya ada,
3. tiada berkeputusan ada-Nya,
4. tiada bagi-Nya permulaan,
5. tiada bagi-Nya kesudahan,
6. tiada bagi-Nya misal atau umpama,
7. tiada bagi-Nya bandingan,
8. tiada bagi-Nya keadaan yang
berlawanan.
Dan Allah Taala itu sentiasa mempunyai:
1. Kemuliaan dan
2.
Kesempurnaan.
Firman Allah:
" هو الأول والأخر والظاهر والباطن وهو بكل شئ عليم".
Maksudnya :
[Al-Quran surah Al-Hadid : 3 ]“ (Allah Taala) Dialah yang awal (yang tiada berawal bagi-Nya) dan Dialah yang akhir (yang tiada berakhir bagi-Nya) dan Dialah yang Zahir, dan Dialah yang Batin dan Dia itu dengan tiap-tiap sesuatu Amat Mengetahui”.
S. Apa
maksud “Dialah yang Zahir dan Dialah
yang Batin” dalam ayat tersebut ?
J. 1. Maksud “Dialah yang Zahir”
ialah:
Dialah Yang Maha
Tinggi dan Maha Suci dari segala kekurangan yakni tidak sekali-kali Allah Taala itu menyamai
dengan segala apa juga barang yang diadakan oleh-Nya.
2.
Maksud “Dialah yang Batin” ialah:
Dialah Yang
terdinding dari segala pendapatan pancaindera yang lima dengan dindingan kebesaran dan kemuliaan-Nya.
AT-TANZIHU -الـتـنـزيه -(perihal mensucikan Allah Taala):
S. Adakah Allah Taala
itu di luar atau di dalam sesuatu?
J. Allah Taala bukan
di luar atau di dalam sesuatu.
S. Apakah ertinya "Allah Taala itu bukan di dalam dan bukan di luar sesuatu?"
J. Ertinya Tuhan kita
tidak menyamai sama sekali mana-mana dan apa jua makhluk-Nya iaitu walau barang apa juga yang diadakan-Nya, kerana keadaan di dalam atau di luar sesuatu itu adalah
sifat bagi makhluk.
S. Adakah Allah Taala
bercampur dengan sesuatu atau meliputi-Nya?
J. Allah Taala tidak bercampur
dengan sesuatu atau meliputi sesuatu.
S. Adakah Allah Taala ada
menyamai sesuatu dengan barang yang diadakan-Nya?
J. Allah Taala tidak
sesekali menyamai apa jua barang yang
diadakan oleh-Nya atas jalan mana sekalipun.
S. Adakah Allah Taala
ada bagi-Nya tempat (bertempat) atau ada bagi-Nya pihak (arah) atau bagi-Nya masa?
J. Adanya Allah Taala itu tidak bertempat , tidak berpihak dengan sesuatu (atas,bawah, kiri,kanan, depan,belakang, bersatu-padu) dan tidak mengenai (melibatkan) masa.
S. Adakah Allah Taala
ada bagi-Nya sukatan atau bilangan?
J. Allah Taala tidak
ada bagi-Nya sukatan atau bilangan atau sebaliknya.
S. Apakah Allah Taala
di atas sesuatu atau di bawah sesuatu?
J. Allah Taala tidak
di atas sesuatu atau di bawah sesuatu.
S. Apakah yang
dimaksudkan “tidak di atas sesuatu dan
tidak di bawah sesuatu”?
J. Maksudnya Allah
Taala tidak menyamai segala makhluk-Nya. Hanya makhluk Allah sahaja yang bertempat atau memerlukan tempat dan berada di atas atau di bawah sesuatu. Maha Suci Allah itu daripada mengenai pihak dan tmpat (atas-bawah, kiri-kanan, depan-belakang, meliputi dan bersatu padu)
yang diadakan-Nya daripada semata-mata tidak ada kepada ada.
S. Apakah mafhum Allah Taala itu di atas 'Arasy?
J. Mafhum makna Allah
itu di atas 'Arasy ialah dengan makna Allah yang memiliki dan memerintah 'Arasy. Kalimah tersebut bukanlah bermakna atas itu arah atas dan tempat , tidaklah sesekali Allah Taala
itu menerima pihak (arah) dan tempat.
S. Apakah Allah Taala
di luar tujuh lapis langit dan bumi?
J. Allah Taala tidak
di luar tujuh lapis langit dan bumi , tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan
tidak bercampur dengannya.
S. Adakah Allah Taala
di luar syurga atau di dalamnya?
J. Allah Taala tidak
di luar syurga, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak bercampur dengannya. Bahkan Allah Taala itu lain dan segala barang/sesuatu yang diadakan-Nya itu lain. Maka Allah Taala
sangat berlainan dan tiada suatu apa pun yang menyamai-Nya.
S. Bagaimana adanya
Allah Taala sebelum ada apa-apa sesuatu benda pun barang yang diadakan oleh-Nya
?
J. Sebelum ada:
·
Masa
·
Tempat
·
Lapang
·
Cahaya
·
Warna
·
Rupa
·
Huruf
·
Suara
·
Sukatan
·
Bilangan
·
Ukuran
·
Gerak
·
Diam
·
Sunyi
·
Senyap
·
Arasy
·
Syurga
·
Neraka
·
Tujuh lapis langit
· Tujuh lapis bumi dan segala barang/sesuatu yang diadakan-Nya, adalah Allah Subhanahu Wa Taala, Tuhan kita Jalla Wa Azza itu Ia-Nya ada sebagai mana Ia ada itu juga, sentiasanya ada, selama-lamanya ada dan Ia
mempunyai kemuliaan dan kesempurnaan.
S. Apa makna hampir Allah?
J. Makna hampir Allah ialah hampir rahmat dan nikmat-Nya.
Maka tidak menyamai hampir Tuhan itu dengan hampir makhluk.
S. Apa makna "berserta Allah"?
J. Makna berserta
Allah ialah berserta rahmat pertolongan-Nya
dan nikmat-Nya. Maka tidaklah menyamai persertaan Allah itu dengan
persertaan makhluk.
S. Adakah Allah boleh menerima perubahan dan perpindahan?
J. Allah Taala tidak menerima
perubahan dan tidak menerimai perpindahan sebagaimana Zat (Diri) Allah itu
tiada menyamai dengan zat makhluk.
S. Adakah Zat Allah
menyamai dengan segala zat yang baharu atau sebaliknya?
J. Zat Allah tidak
menyamai segala zat yang baharu, begitu juga dengan segala zat yang baharu itu tidak
menyamai Zat Tuhan.
S. Adakah Zat Tuhan
itu masuk bersatu-padu pada zat yang baharu atau sebaliknya?
J. Zat Tuhan itu tidak
masuk bersatu-padu pada zat-zat yang baharu dan tidak zat-zat yang baharu itu
masuk bersatu-padu pada Zat Tuhan. Bahkan Allah Taala itu sentiasalah dengan
kemuliaan-Nya dan kesempurnaan-Nya.
S. Adakah
kemuliaan Allah dan kesempurnaan-Nya itu berlebih berkurang, selepas atau sebelum
diadakan segala makhluk-Nya?
J. Kemuliaan
dan kesempurnaan Allah Taala tidak sesekali mengenai sebarang kekurangan,
tidak sesekali menyamai sesuatu dari segala makhluk-Nya dan tidak
sesekali menerimai berlebih berkurang kemuliaan Allah Taala sama ada sebelum
atau selepas diadakan makhluk-makhluk-Nya.
S. Adakah kita dapat
mengetahui Zat Allah itu dengan akal dan dapat melihat Allah dengan mata kepala
di akhirat kelak?
J. Sesungguhnya Zat
Tuhan itu dapat diketahui ada-Nya dengan
‘akal’ dan dapat dilihat di akhirat kelak dengan pemandangan mata, sebagaimana yang diketahui dengan ‘akal’ itu juga. Itulah nikmat dari Allah dan murah kurniaan-Nya
kepada sekalian hamba-hamba-Nya yang ahli kebahagian dalam negeri akhirat kelak
bagi menyempurnakan segala nikmat yang ada disediakan di dalam syurga
dengan dapat melihat Zat Allah Yang Mulia itu.
S. Adakah ada apa-apa atau sesuatu yang menyamai
Tuhan?
J. Maha
suci Allah dari apa jua yang menyamai-Nya. Allah itu bukanlah suatu benda atau
suatu barang atau suatu bangsa atau suatu jenis.
S. Apa maksudnya “Allah itu bukan suatu benda” dan apakah kesimpulannya?
J. Maksudnya,
segala barang yang Allah Taala adakan
tak kira apa jua, tetap merupkan suatu benda. Setiap benda itu sama ada besar,
sebesar-besar mana sekalipun atau pun sekecil, sekecil-kecilnya, mestilah ada
baginya itu:
·
Tempat.
·
Arah (atas-bawah, kiri-kanan, depan-belakang)
·
Bilangan
·
Sukatan (panjang-pendek dan sebagainya)
·
Jauh-dekat
·
Gerak-diam
·
Besar-kecil
·
Berat- ringan
·
Tinggi rendah
·
Luar- dalam
·
Warna
·
Rupa
·
Elok-buruk
·
Dan lain-lain yang seumpamanya.
Kesimpulannya:
Apabila Allah itu bukan suatu benda
maka ternafilah dari segala sifat-sifat makhluk.
AL-HAYATU WAL QUDRATU ( الحياة والقدرة )
S. Adakah Allah Taala
itu hidup dan berkuasa?
J. Ya, Allah Taala
itu hidup dan Amat Berkuasa. Tidak
mengenai lemah, tidak mengenai binasa
dan tidak mengenai mati.
S. Adakah Allah itu
mengenai lupa atau lalai?
J. Allah Taala tidak
mengenai lupa ataupun lalai.
S. Bagaimana
pemerintahan Allah?
J. Allah Taala
mempunyai pemerintahan dan memiliki semua perkaranya. Mempunyai kemuliaan dan kebesaran. Segala tujuh lapis langit dan bumi dan sekalian
makhluk Allah adalah semuanya terletak di bawah kuasa Allah, tadbir Allah dan
di bawah kehendak Allah belaka. Dia-lah jua yang mengadakan sekalian makhluk-Nya
itu dan mengadakan segala amalan pekerjaan mereka.
Dia jugalah yang mentadbirkan
segala rezeki mereka dan mentakdirkan segala ajal mati mereka. Dialah sahaja Yang
Amat Berkuasa mengadakan sesuatu dan mentiadakannya, tidak ada sesuatu apapun
barang yang di bawah kuasa Allah itu terlepas daripada kuasa Allah dan milik
Allah dan di bawah perintah Allah. Tidaklah terhingga segala barang yang di
bawah kuasa Allah, tiada berhad kuasa-Nya
itu, tiada berkesudahan segala barang yang diketahui-Nya.
AL-ILMU (العلم)
S. Adakah Allah
mengetahui segala benda?
J. Allah Taala Amat Mengetahui semua barang yang di bawah ilmu Allah yang tiada berhingga dan mengetahui akan segala apa juga barang yang berlaku daripada bawah tujuh lapis bumi hingga terkeatas daripada tujuh lapis langit.
S. Apakah ada sesuatu
yang tersembunyi daripada ilmu Allah?
J. Tidak ada sebarang
apa pun yang tersembunyi daripada Ilmu
Allah walau sekadar sebiji debu juapun
pada bumi dan pada langit melainkan semuanya itu diketahui oleh-Nya belaka,
bahkan Ia Amat Mengetahui perjalanan semut hitam, binatang-binatang yang halus di atas
batu pejal yang hitam pada waktu malam yang sangat gelap itu dan Ia Amat mengetahui
gerak tiap-tiap sebiji debu yang berterbangan di udara.
S. Mengetahuikah Allah
akan rahsia-rahsia?
J. Allah Amat Mengetahui
segala rahsia dan segala barang yang lebih tersembunyi. Dia Amat Mengetahui sebarang
apa juga gerak-geri tujuan dan
cadangan-cadangan hati sekalian hamba-Nya dan segala apa juga barang yang
terlintas di hati mereka. Dia Amat Mengetahui segala pati kemahuan hati dari
rahsia-rahsia yang disembunyikan oleh mereka.
Maka diketahui oleh Allah akan
yang demikian itu semuanya ialah dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali yang
sentiasalah Allah itu mengetahuinya pada Azalil-azal. Maka Ilmu Allah itu tidak
sama sekali berdatang-datang, tidak menerimai berbilang-bilang dan tidak
menerimai berubah-ubah dan berpindah-pindah.
AL-IRADATUH (الارادة)
S. Adakah bagi Allah itu Iradah yakni kehendak?
J. Ya, sesungguhnya
Allah mempunyai kehendak. Maka semua barang yang ada dan akan ada dari segala
makhluk Allah itu adalah semuanya itu Allah Taala jua yang mengkehendaki bagi
mengadakan semua barang itu.
S. Siapakah yang mentadbir
dan memiliki segala barang yang ada yang diadakan oleh Allah itu?
J. Allah jualah yang
mentadbir dan memiliki segala barang yang diadakan-Nya. Maka tidak berlaku pada sesuatu, sebarang apa juga
daripada milik Allah itu sedikitnya, banyaknya, kecilnya, besarnya,
kebajikannya, jahatnya, manfaatnya, mudaratnya, imannya, kufurnya, mengenalnya,
ingkarnya, kebahagiaannya, untungnya, ruginya, lebihnya, kurangnya, taatnya, maksiatnya,
melainkan adalah semuanya itu dengan ‘Qadak’ dan Takdir Allah dan hikmah Allah
dan kehendak Allah belaka.
S. Adakah boleh berlakunya sesuatu tanpa kehendak Allah?
J. Tidak boleh
berlaku sebarang apa pun melainkan dengan kehendak Allah. Maka apa yang
dikehendaki oleh Allah itulah sahaja yang berlaku dan apa yang tidak
dikehendaki oleh Allah tidaklah berlaku,
tidak terkeluar daripada kehendak Allah berlakunya sesuatu perkara itu sekadar
sekerlipan mata dan sekadar lintasan hati jua pun.
S. Siapakah yang
menjadikan permulaan sesuatu?
J. Allah Taala jualah yang
menjadikan permulaan sesuatu dan Dia jugalah yang mengembalikannya.
S. Adakah kuasa-kuasa lain yang boleh menghalang kuasa Allah?
J. Tiada sebarang
kuasa yang boleh menghalang kuasa Allah dan Allah Amat Berkuasa berbuat bagi
barang apa sahaja yang Ia kehendaki.
S. Adakah sesiapa yang dapat lari dari kehendak Allah?
J. Tidak ada seseorang hamba Allah yang dapat lari dari ‘Qadak’
Allah atau dari berbuat maksiat kepada
Allah melainkan ialah semata-mata dengan pertolongan Allah dan rahmat-Nya; dan
tiada terdaya mengekalkan di atas berbuat taat kepada Allah melainkan ialah semata-mata
dengan kehendak Allah.
S. Jika berhimpun
sekalian manusia, jin, malaikat dan syaitan untuk menggerakkan sebiji debu
dalam alam ini, bolehkah mereka itu melakukannya?
J. Jikalau berhimpun
sekalian manusia, jin, malaikat dan syaitan berkehendak menggerakkan walaupun sebiji
debu dalam alam ini atau hendak memberhentikan sebiji debu yang bergerak itu
supaya diam, tetapi bukan dengan kehendak Allah tentulah tiada terdaya mereka itu
semuanya melakukan yang demikian itu.
S. Bagaimana Allah itu
berkehendak?
J. Sebagaimana Allah
Taala mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali maka begitulah juga
Allah itu berkehendak dengan kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali. Dan
sentiasalah Allah Taala itu berkehendak pada Azal-Nya. Sebarang apa yang Allah
Taala kehendaki adanya pada Azal-Nya pada masa yang ditakdirkan adanya maka
didapatilah adanya barang itu pada waktu yang Allah Taala telah takdirkan
adanya menurut sebagaimana yang Ia kehendaki pada Azal-Nya itu juga dengan
tiada terdahulu dan tiada terkemudian, bahkan berlakunya berbetulan dengan Ilmu-Nya
dan kehendak-Nya dengan tiada bertukar dan tiada berubah.
S. Bagaimana pula
Allah Taala mentadbir?
J. Allah Taala
mentadbir semua perkaranya bukan dengan susunan fikiran dan tidak mengenai masa
kerana yang demikian itu tidak membimbangkan Allah itu oleh sesuatu pekerjaan
daripada sesuatu pekerjaan.
السمع والبصر ) AS-SAMA'U WALBASARU)
S. Bahawasanya Allah
Taala itu Amat Melihat dan Amat
Mendengar. Adakah tidak ada sesuatu barang
atau perkara pun yang ada tidak
didengari-Nya atau tidak dilihati-Nya?
J. Tidak ada apa-apa
pun yang tidak didengari oleh Allah Taala melainkan didengari belaka walaupun
perkara itu tersangat tersembunyinya dan
tidak ada apa-apa pun yang tidak dilihat oleh Allah Taala melainkan dilihat-Nya
belaka walaupun perkara itu dan barang itu tersangat halus dan berada di dalam kegelapan.
S. Adakah pendengaran
Allah itu terdinding dengan sebab jauh atau terdinding penglihatan-Nya oleh
sebab kegelapan?
J. Tidak terdinding sama
sekali daripada pendengaran Allah itu dengan sebab jauh dan tidak terdinding sama
sekali daripada penglihatan Allah itu dengan kegelapan. Allah melihat tidak seperti
sekalian makhluk-Nya melihat, bahkan Ia melihat tidak dengan mata dan Ia
mendengar tidak dengan telinga sebagaimana juga Ia mengetahui tidak dengan hati
dan berbuat sesuatu tidak dengan anggota dan mengadakan sesuatu tidak dengan
alat kerana keadaan Allah Taala itu tidaklah sesekali menyamai dengan segala
keadaan makhluk atas jalan mana sekalipun yang sebagaimana juga Zat Allah itu tidak
sesekali menyamai dengan segala zat makhluk (segala barang yang diadakan
oleh-Nya).
AL-KALAM (الكلام)
S. Adakah Allah Taala
itu Berkata-kata?
J. Ya, sesungguhnya
Allah Taala itu berkata-kata, menyuruh, menegah, menjanjikan balasan kebaikan,
menjanjikan balasan kejahatan. Ia berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim lagi Azali, sentiasanya berkata-kata, selama-lamanya berkata-kata dengan Kalam-Nya
yang Qadim, tidak sesekali Kalam Allah itu menyamai dengan segala kalam
makhluk. Maka tidaklah Kalam Allah Taala itu dengan berhuruf dan tidak dengan
bersuara dan tidak berkafiat bagaimana-bagaimananya pun.
S. Kalam Allah Taala
tidak berhuruf dan tidak bersuara maka bagaimana dengan al-Quran dan Kitabullah-kitabullah yang lain?
J. Walaupun Al-Quran, At-Taurat, Al-Injil dan Az-Zabur
iaitu kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada Rasul-rasul-Nya Alaihumussalam yang dibangkitkan itu dibaca dengan lidah, ditulis dalam mashhaf, dihafaz dalam hati tetapi Kalam
Allah Taala itu tetap Qadim, berdiri kepada Zat Allah yang Qadim, tidak sesekali menerimai berhubung, bercerai, berpindah kepada hati-hati, kertas-kertas atau
kepada lidah-lidah. Sesungguhnya Nabi Musa AS telah mendengar Kalam Allah
Taala di dunia dengan tiada bersuara dan tiada berhuruf sebagaimana juga
orang-orang mukmin yang ahli kebahagiaan melihat Zat Allah di negeri akhirat dengan tiada rupa, tiada warna, tiada berpihak (arah), tiada bertempat dan tiada kafiat akan bagaiamana-bagaimananya pun.
Manakala
sedemikian itulah keadaan Allah Taala, maka mengetahuilah kita bahawa Allah
Taala itu Ia-Nya hidup dengan Hayat-Nya yang Qadim, Ia-Nya mengetahui dengan Ilmu-Nya
yang Qadim, Ia-Nya berkuasa dengan Kudrat-Nya yang Qadim, Ia berkehendak dengan
kehendak-Nya yang Qadim, Ia mendengar dengan pendengaran-Nya yang Qadim, Ia
melihat dengan penglihatan-Nya yang Qadim dan Ia berkata-kata dengan Kalam-Nya
yang Qadim, tidaklah semata-mata Zat-Nya sahaja yang Qadim.
[Untuk penjelasan lanjut sila lihat : Allah Berkata-kata Dengan Kalam-Nya Yang Qadim]
AL-AFA’AL (Perbuatan Allah) (الافعال)
S. Segala barang yang
diadakan oleh Allah dikenali (dipanggil) sebagai apa?
J. Semua yang
ada selain dari Allah adalah makhluk Allah belaka dan dinamakan barang-barang
yang baharu. Jadi yang ada hanya dua sahaja iaitu Allah (al-Khaliq) dan makhluk-Nya (barang-barang yang diadakan oleh-Nya)
tanpa ada yang ketiga. Allah Taala
jualah yang mengadakan semua barang itu dengan perbuatan-Nya dan limpah murah
daripada keadilan-Nya.
Segala sesuatu dan barang perbuatan Allah itu adalah atas keadaan
yang sehabis-habis elok sempurnanya, berbetulan sangat pada tempat letaknya dan
susunannya dan timbangannya. Maka adalah Allah Taala Ia mempunyai hikmah pada
segala barang perbuatan-Nya itu lagi Ia sangat adil pada segala hukumannya.
S. Apakah kiasannya bagi keadilan Allah?
J. Tidaklah
sesekalii dapat dikiaskan keadilan Allah Taala itu dengan keadilan sekalian
hamba-hamba-Nya kerana hamba Allah boleh berlaku kezaliman, terbit dari sebab
memerintah pada hak milik orang lain, tetapi tidak sesekali boleh berlaku
kezaliman daripada Allah Taala sebab tidak ada suatu barang apa pun yang tidak
dimiliki oleh Allah melainkan semuanya itu dimiliki oleh Allah belaka dan tidak
ada bagi yang lain daripada Allah itu
memiliki sesuatu apa pun.
S. Apakah yang
dimaksudkan dengan “barang-barang yang baharu”?
J. Semua barang yang
ada selain daripada Allah iaitu sekalian:
·
Manusia
·
Jin
·
Malaikat
·
Syaitan
dan segala sesuatu seperti:
·
Langit
·
Bumi
·
Binatang
·
Pokok
·
Batu
·
Segala jenis kebendaan
·
Segala khasiat benda-benda dan kekuatannya
· Segala barang yang didapati dengan segala pancaindera yang lima
·
Segala jenis cahaya
·
Segala jenis rupa dan warna
·
Masa
·
Lapang
·
Tempat
·
Suara
·
Huruf
·
Bilangan
·
Ukuran
·
Sukatan
·
Gerak
·
Diam
dan lain-lain lagi. Maka
semuanya itu adalah barang-barang yang
baru iaitu barang yang diadakan oleh Allah dengan Kudrat-Nya yang Qadim,
kemudian daripada tidak adanya barang-barang itu sama sekali kepada adanya
barang itu diadakan oleh Allah Taala.
Maka ada atau
tidak ada atau belum ada atau rosak binasa, barang perbuatan Allah itu maka
adalah Allah Taala itu Ia ada sebagaimana Ia ada itu juga, kerana adalah yang ada pada Azal itu ialah Allah Taala sahaja yang ada dan tidak ada yang lain daripada-Nya.
S. Apakah faedahnya bagi Allah mengadakan segala makhluk-Nya itu?
J. Allah Taala telah
mengadakan segala makhluk-Nya itu daripada semata-matanya tidak ada barang itu
kepada adanya ialah kerana menzahirkan bagi kuasa-Nya dan mentahkikkan bagi
barang apa yang telah terdahulu daripada kehendak-Nya dan kerana kebenaran-Nya
bagi barang apa yang ada pada Azal-Nya daripada Kalam-Nya dan bukan kerana
mengambil faedah kepadanya dan bukan kerana mengenai sesuatu hajat kepadanya
bahkan Allah Taala itu Amat Terkaya daripada yang demikian itu dan adalah Allah
Taala itu mempunyai kelebihan dan kemurahan dan sentiasanya memberi berbagai
rahmat yang tiada terhingga.
S. Adakah terwajib ke
atas Allah itu berbuat sesuatu?
J. Allah Taala
berbuat sesuatu itu semata-mata limpah murah kurniaan-Nya dan nikmat pemberian-Nya
dan bukan terwajib di atas Allah itu berbuat sesuatu dan tidak termestinya dan
tidak termustahak di atas-Nya kerana adalah Allah Taala itu amat berkuasa di
atas menurunkan berbagai azab ke atas hamba-hamba-Nya dan mengazabkan mereka
itu semuanya dengan bermacam-macam jenis kesakitan dan penderitaan dan jikalau
pun Allah Taala itu berbuat sedemikian itu ke atas hamba-hamba-Nya nescaya
adalah yang demikian itu ialah semata-mata kerana keadilan daripada Allah juga dan tidak ada
daripada-Nya itu kezaliman dan tidak ada daripa-Nya itu kekejian.
S. Apakah terwajib ke atas Allah itu memberikan pahala
kepada hamba-hamba-Nya yang mukmin atas keataan mereka?
J. Sesungguhnya Allah
Taala itu memberikan pahala kepada hamba-hamba-Nya
yang mukmin di atas ketaatan mereka ialah semata-mata dengan hukuman kemurahan dan janjian-Nya dan bukan
dengan hukuman termestinya dan terwajibnya dan termustahaknya bagi Allah itu
berbuat demikian itu kerana tiada terwajib di atas Allah itu berbuat sesuatu
bagi hamba-Nya dan tidak sesekali ada daripada Allah itu kezaliman.
S. Adakah tidak wajib
bagi hamba Allah hak ke atas Allah?
J. Tidak ada wajib
bagi hamba Allah itu sama sekali sebarang hak ke atas Allah dan haknya itu adalah pada berbuat taat kepada Allah sahaja. Maka wajiblah di atas hamba Allah itu
berbuat taat kepada Allah Taala dengan sebab adalah pekerjaan taat itu
diwajibkan oleh Allah ke atas hamba-Nya berbuat yang demikian itu atas
perkhabaran daripada lidah Nabi-nabi-Nya Alaihimussalam dan bukan semata-mata
akal. Dalam hal yang demikian itu
ialah bahawa Allah Taala telah membangkitkan Rasul-rasul dan telah menzahirkan
kebenaran mereka itu dengan beberapa banyak mukjizat yang nyata dan terang. Maka
berkerjalah mereka itu untuk menyampaikan segala suruhan Allah dan barang-barang
tegahan-Nya dan janjian-janjian balasan pahalanya dan janjian-janjian balasan
azab-Nya.
Maka wajiblah di atas sekalian hamba Allah ini beriman, mempercayai kebenaran
mereka itu dan menerima segala seruan Rasul-rasul itu pada sebarang apa juga
barang yang didatangkan dan dipersampaikan oleh mereka.
TERJEMAHAN AQIDAH AHLI AS SUNNAH WAL JAMAAH PADA KALIMAH SYAHDAT AR-RASUL:
S. Siapakah Nabi kita?
J. Nabi kita ialah
Muhammad s.a.w.
S. Kepada siapakah
Nabi Muhammad s.a.w dibangkitkan menjadi Rasul?
J. Sesungguhnya Allah
Subhanahu wa Taala telah membangkitkan Nabi Ummi Quraisyi Muhammad s.a.w itu
menjadi Rasul-Nya (Pesuruh-Nya) kepada sekalian bangsa Arab dan ‘Ajam dan jin
dan manusia. Maka termansuhlah segala syariat-syariat yang lainnya dengan
sebab adanya syariat Nabi Muhammad s.a.w itu melainkan apa yang disabitkannya
daripadanya.
S. Adakah Nabi kita
Muhammad s.a.w terlebih afdalnya jika dibandingkan dengan para Nabi lainnya?
J. Benar, Nabi
Muhammad s.a.w itu terlebih afdalnya daripada sekalian Nabi dan dijadikan oleh
Allah ianya itu penghulu sekalian manusia.
S. Adakah tertegah
kesempurnaan iman dengan mengucap syahadat at-Tahuhid (أشهد أن لا إله إلا الله) selamanya tidak disertakan dengan ucapan syahadat ar-Rasul أشهد أن محمدا رسول الله ?
J. Ya, tertegah
kesempurnaan iman dengan mengucap syahadat at-Tauhid iaitu أشهد أن لا إله إلا الله tanpa disertakan ucapan syahadat ar-Rasul
iaitu أشهد أن محمدا رسول الله yang ertinya: “Aku menaik saksi bahawa Nabi Muhammad
adalah Pesuruh Allah”.
.
S. Wajibkah kita
mempercayai segala apa yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w?
J. Adalah wajib bagi sekalian
hamba Allah itu beriman dan mempercayai kebenarannya pada semua perkara sebarang apa juga
yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. itu daripada perkara dunia dan akhirat.
Tidaklah diterima oleh Allah Taala iman seseorang hamba Allah itu melainkan
hingga ia beriman dengan semua perkara yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. bersangkutan
dengan perkara yang kemudian daripada mati (selepas mati). Maka
sesungguhnya awal perkara itu ialah soal Munkar dan Nakir.
Kedua-duanya itu adalah dua malaikat yang sangat besar dan
sangat menggerunkan rupanya lagi sangat dahsyatnya mendudukkan hamba Allah itu
di dalam kuburnya setelah dikembalikan balik nyawa (roh) itu kepada badan.
Kedua-duanya menanyakan dia bersangkutan dengan perkara Tauhid dan Rasul. Kata
mereka kedua kepadanya:
"Siapakah Tuhan kamu, dan apa agama kamu dan siapa Nabi kamu?".
Kedua-duanya iaitu Munkar dan Nakir adalah
dua orang fitnah kubur. Pertanyaan
mereka berdua itu adalah awal-awal fitnah kemudian daripada mati.
S. Adakah kita
dikehendaki beriman dengan azab kubur dan kesenangannya?
J. Kita hendaklah
beriman dengan azab kubur dan kesenangannya. Sesungguhnya balasan azab dan kesenangan dalam kubur itu adalah benar sebagai hukum keadilan, berlakunya ke atas
jisim (jasad/badan) dan roh atas barang yang dikehendaki Allah.
S. Bagaimana dengan
neraca, apakah wajib beriman dengannya?
J. Kita adalah wajib dan dikehendaki beriman dengan neraca iaitu penimbangan segala amalan kita semasa
di dunia. Neraca itu mempunyai dua daun neraca dan ada baginya lidah.
S. Besar manakah
neraca itu?
J. Besarnya daun
neraca itu adalah menyamai besar tujuh
lapis langit dan bumi. Maka ditimbang padanya segala amalan-amalan hamba
Allah dengan sehabis-habis sempurnanya kerana kesempurnaan keadilan Allah. Maka diletakkan segala suratan amalan-amalan
kebajikan yang dalam rupa keelokan itu pada daun neraca kecahayaan maka
beratlah timbangan itu dengannya atas kadar darjat-darjat kelebihannya dan
kemuliaannya di sisi Allah dengan kemurahan Allah. Maka diletakkan segala
amalan-amalan kejahatan yang di dalam rupa keburukan kegelapan itu pada daun
neraca kegelapan maka ringanlah timbangan itu dengannya dengan keadilan Allah.
S. Kita dikehendaki
beriman dengan 'Sirat' صراط , apakah dia 'Sirat' itu?
J. Kita hendaklah
beriman dengan 'Sirat' (titi) iaitu satu
titian yang sangat panjang, terbentang di atas muka api Neraka Jahannam, terlebih tajam dari mata pedang,
lebih halus dari rambut, tergelincir di atasnya segala kaki orang-orang kafirin
dengan hukuman Allah Taala. Maka jatuhlah mereka ke dalam api neraka dan Allah
tetapkan segala kaki orang-orang mukmin dengan semata-mata kemurahan Allah
Taala maka masuklah mereka ke dalam syurga.
S. Kita juga
dikehendaki beriman dengan 'Haudh',
apakah dia 'Haudh' itu?
J. Kita dikehendaki
beriman dengan 'Haudh'حوض iaitu kolam air yang disediakan bagi Nabi
Muhammad s.a.w di sana. Maka sekalian orang-orang mukmin dapat meminuminya dari
air kolam itu terlebih dahulu sebelum masuk ke syurga selepas selamat meniti titian ‘sirat’ yang
panjang itu. Barangsiapa telah meminumi air itu satu minuman dia tidak akan
merasai dahaga selama-lamanya.
S. Besar manakah kolam
itu?
J. Besar dan luasnya
kolam itu adalah perjalanan satu bulan
dan airnya terlebih putih dari susu, lebih manis dan lebih sedap dari al-A’sal
(madu). Sekelilingnya ada banyak
kendi-kendi bekas air sebanyak bilangan bintang-bintang di langit. Airnya itu mengalir
ke dalamnya daripada al-Kauthar.( (الكوثر
S. Adakah kita
dikehendaki beriman dengan perkiraan bagi segala amalan-amalan yang telah kita
lakukan di dunia?
J. Kita hendaklah
beriman dengan hisab iaitu perkiraan bagi segala amalan- amalan itu. Berkurang berlebihlah seseorang itu dalam perkiraannya.
Ada mereka yang diberatkan perkiraannya, ada mereka yang diringankan
perkiraannya dan ada mereka yang tidak dikenakan apa-apa perkiraannya melainkan
teruslah mereka itu dimasukkan ke dalam syurga iaitulah mereka yang muqarrabun
(مقربون)
.
S. Adakah Allah Taala
akan menanya sesiapa yang dikehendaki-Nya?
J. Allah Taala akan
menanya sesiapa yang dikehendaki ditanya di kalangan Nabi-nabi mengenai
perkara-perkara yang mereka persampaikan, bersangkutan dengan pekerjaan
mereka itu menjadi Rasul (Pesuruh-Nya) dan di kalangan orang-orang kafir itu
ditanya sebab-sebab mereka mendustakan Rasul-rasul itu. Di kalangan orang-orang
ahli bida’ah dan sesat pada agama itu ditanya sebab-sebab kesesatan dan bida’ah mereka daripada
mengikuti jalan Ahli As Sunnah dan di kalangan orang-orang muslimin itu ditanya
daripada segala amalan-amalan mereka.
S. Orang-orang yang
beriman tetapi dimasukkan ke dalam api neraka disebabkan dosa-dosa mereka,
adakah mereka itu akan dikeluarkan atau dikekalkan di dalam api neraka ?
J. Kita hendaklah
beriman dengan bahawa orang-orang yang beriman itu akan dikeluarkan dari api
neraka selepas dikenakan balasan seksa ke atas mereka dengan sebab dosa-dosa
mereka itu sehinggalah tidak tertinggalnya seorang pun ahli at-tauhid di dalam
api Neraka Jahannam dengan kemurahan Allah Taala. Maka tidaklah dikekalkan
orang yang ahli at-tauhid itu di dalam api neraka.
S. Bagaimanakah
dengan syafaat Nabi-nabi, ulamak-ulamak, orang-orang yang mati syahid dan
orang-orang mukmin?
J. Mengenai
syafaat, kita dikehendaki beriman dengan syafaat Nabi-nabi dan kemudiannya
syafaat ulamak-ulamak, kemudiannya orang-orang yang mati syahid dan kemudiannya
syafaat orang-orang mukmin atas kadar martabat kemegahan dan kemuliaan mereka
itu di sisi Allah Taala. Barangsiapa yang tertinggal di kalangan orang-orang
mukmin di dalam api neraka dan tiada baginya sesiapa orang yang
mensyafaatkannya maka Allah Taala akan mengeluarkannya dari api neraka dengan
kemurahan Allah Taala. Maka tidaklah dikekalkan seseorang mukmin (yang berbuat maksiat) itu dalam api
neraka bahkan dikeluarkan daripadanya
sesiapa mereka yang ada pada hatinya setimbang
berat zarrah daripada iman.
S. Mengenai
sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w, adakah kita dikehendaki mengiktiqadkan
kelebihan martabat sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w itu dan tertib-tertib mereka itu?
J. Kita dikehendaki
mengiktikadkan kelebihan martabat sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w dan tertib-tertib
kelebihan mereka itu. Adalah
seafdal-afdal manusia kemudian daripada Nabi Muhammad s.a.w itu ialah Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian Uthman, kemudian Ali Radiallahu
a’nhum(رضي الله
عنهم) dan hendaklah menaruh
baik sangkaan kepada sekalian sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w dan hendaklah dipuji mereka itu sebagaimana Allah Taala dan Rasul-Nya
memuji mereka sekalian. Semuanya itu ada tersebut (pujian-pujian ) itu di dalam al-Quran
al-A’zim dan beberapa Hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Maka barangsiapa beriktiqad di hatinya semua kandungan iktiqad yang tersebut dalam makna
dua kalimah syahadat At-Tahuhid dan syahadat Ar-Rasul yang tersebut ini dan
berkeyakinan di hatinya dengan iktiqad ini semuanya adalah orang itu termasuk
dalam jumlah orang-orang ahli al-hak, berpegang kepada iktiqad Ahli As Sunnah Wal
Jamaah dan bercerailah daripada ahli puak sesat dan ahli bida’h.
فنسأل الله كمال اليقين وحسن الثبات في الدين لنا ولكافة المسلمين برحمته انه ارحم الراحمين وصلى الله على سيدنا محمد وعلى كل عبد مصطفى
[ Mudah-mudahan segala
panduan yang dipaparkan di sini dapat dibaca, difahami, diimani, dihayati sepenuhnya serta dimanfaatkan bersama keluarga dan anak-anak dalam usaha kita untuk memperkukuh serta memantapkan lagi pemahaman ilmu dan pegangan akidah keimanan kita terhadap
Allah Subhanahu Wa Taalla dan Rasulullah s.a.w. Amin.]
**************************************************
Rasulullah s.a.w. bersabda :
وَقِيلَ يَا رَسُولَ الله : اَيُّ الاَعْمَالِ اَفْضَل. فَقَالَ: اَلْعِلْمُ بِاللهِ عَزَّ وَجَلَّ فَقِيلَ اَيُّ الْعِلْمِ تُرِيدُ؟ قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَمَ: اَلْعِلْمُ بِاللهِ سُبْحَانَهُ. فَقِيلَ لَهُ: نَسْأَلُ عَنِ الْعَمَلِ وَتُجِيبُ عَنِ الْعِلْمِ . فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ: اِنَّ قَلِيلَ الْعَمَلِ يَنْفَعُ مَعَ الْعِلْمِ بِاللهِ وَاِنَّ كَثِيرَ العَمَلِ لَا يَنْفَعُ مَعَ الجَهْلِ بِاللهِ.
Maksudnya :
" Sesungguhnya telah dikatakan kepada Rasulullah s.a.w.: 'Apakah amalan-amalan yang lebih afdhal?'. Maka sabdanya : 'Ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah Azawajalla.' Maka ditanya : 'Apakah dia ilmu yang engkau kehendaki itu?.' Sabda Nabi Muhammad s.a.w. : 'Ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah SWT.' Maka ditanya kepadanya: 'Kami menanya daripada amalan dan engkau menjawab daripada ilmu.' Maka sabda Nabi Muhammad s.a.w.: 'Bahawasanya sedikit amalan itu memberi manfaat berserta adanya ilmu pengenalan kepada Allah SWT dan bahawasanya banyak amalan itu tiada memberi manfaat berserta kejahilan ilmu pengenalan kepada Allah Subhanahuwatalla'."