Jumaat, 3 Januari 2014

ALLAH BERKATA-KATA DENGAN KALAM-NYA YANG QADIM


[Sambungan daripada : Kitab Tipu Daya Syaitan   (تلبيسات الشيطان للانسان)

         

                                              بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ

الحمد رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه  
أجمعين 
 تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَى عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا 
                               Maksudnya :
"Maha Suci Allah yang telah menurunkan al-Furqaan (al-Quran) kepada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada  seluruh alam." 
           [ Al Quran surah al-Furqaan : 1 ]
                                  ************************************************
وَلَوْ جَعَلْنَاهُ قُرْآنًا أَعْجَمِيًّا لَقَالُوا لَوْلا فُصِّلَتْ آيَاتُهُ أَأَعْجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ وَالَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى أُولَئِكَ يُنَادَوْنَ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ 
         Maksudnya :
 " Dan jikalau Kami jadikan al-Quran itu suatu bacaan dalam bahasa selain daripada Bahasa Arab tentulah mereka mengatakan : ' Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya?' Apakah (patut al-Quran ) dalam bahasa asing sedang Rasul adalah orang Arab?'. Katakanlah :  'Al-Quran itu adalah penawar bagi orang-orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang al-Quran itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah (seperti) orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh." 
                [Al-Quran surah Fushshilat : 44
                                            **********************************
لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْآنَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الأمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ 
                      Maksudnya :
"Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu tunduk terpecah-belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." 
                [ Al-Quran surah al-Hasyr : 21]
          ********************************                       


                                                    Naskah Al-Quran Manuskrip Sana'a
Pegangan iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap adanya Allah menegaskan bukan Zat Allah sahaja yang Qadim tetapi meliputi juga: Dia Hidup dengan Hayat-Nya yang Qadim, Dia Mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim,  Dia Berkuasa dengan Qadrat-Nya yang Qadim, Dia Berkehendak dengan Kehendak-Nya yang Qadim, Dia Mendengar dengan Pendengaran-Nya yang Qadim, Dia Melihat dengan Penglihatan-Nya/Pemandangan-Nya yang Qadim dan Dia BERKATA-KATA dengan Kalam-Nya yang Qadim (tanpa huruf dan tanpa suara.)

Perkara ini ada diperjelaskan oleh Imam al-Ghazali di dalam Kitab Ihya'Ulumuddin yang berbunyi:
الكــــلام :وأنه تعالى آمر ناه متوعد بكلام أزلي قديم قائم بذاته لا يشبه كلام الخلق فليس بصوت يحدث من انسلال هواء او اصطكاك أجرام ولا بحرف ينقطع باطباق شفة أو تحريك لسان . وأن القرآن والتوراة  والانجيل والزبور كتبه المنزلة على رسله عليهم السلام. وأن القرآن مقروء بالألسنة مكتوب في المصاحف محفوظ في القلوب وأنه مع ذلك قديم قائم بذات الله تعالى لا يقبل الانفصال والافتراق بالانتقال الى القلوب والاوراق، وأن موسى صلى الله عليه وسلم سمع كلام الله بغير صوت ولا حرف ، كما يرى الأبرار ذات الله تعالى في الآخرة من غير جوهر ولا عرض . واذا كانت له هذه الصفات كان حيا عالما قادرا مريدا سميعا بصيرا متكلما بالحياة والقدرة والعلم والارادة والسمع والبصر والكلام لا بمجرد الذات .
          Mafhumnya : 
"AL-KALAMU  (الكــلام):
Bahawasanya Allah SWT itu Berkata-kata, menyuruh, menegah, menjanjikan balasan kebaikan dan balasan kejahatan. Dia Berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim lagi Azali dan Dia sentiasa Berkata-kata dan selama-lamanya berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim. Sesungguhnya Kalam Allah SWT itu tidak menyamai kalam segala makhluk kerana Kalam Allah SWT itu tiada berhuruf, tiada bersuara dan tidak berkafiat walau dengan apa jua cara sekalipun.

Bahawasanya Al-Quran, At-Taurat, Al-Injil, dan Az-Zabur ialah kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada Rasul-rasul-Nya Alaihisalam. Al-Quran itu dibaca dengan lidah, ditulis dalam mashaf, dihafaz dalam hati dan dalam begitu pun adalah Kalam Allah SWT itu ianya Qadim berdiri kepada Zat Allah yang Qadim yang tiada menerimai berhubung, bercerai, berpindah, tiada kepada hati-hati, tiada kepada kertas-kertas dan tiada kepada lidah-lidah.

Bahawasanya Nabi Allah Musa AS mendengar Kalam Allah SWT itu dengan tiada bersuara dan tiada berhuruf sebagaimana juga orang mukminin yang ahli kebahagiaan itu melihat Zat Allah di negeri akhirat kelak dengan tiada berupa, tiada berwarna, tiada berpihak, tiada bertempat dan tiada berkafiat walau bagaimana cara sekalipun.

Apabila Allah SWT itu sedemikian keadaannya maka Allah SWT itu Ia-Nya yang Hidup, yang Berilmu, yang Berkuasa, yang Berkehendak, yang Mendengar, yang Melihat, yang Berkata-kata dan Dia hidup dengan Hayat-Nya yang Qadim, Dia mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim, Dia berkuasa dengan Qadrat-Nya yang Qadim, Dia berkehendak dengan Kehendak-Nya yang Qadim, Dia mendengar dengan Pendengaran-Nya yang Qadim, Dia melihat dengan penglihatan-Nya yang Qadim dan Dia Berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim dan tidaklah semata-mata Zat-Nya sahaja (yang Qadim)."
Penggunaan kalimah Qadim bagi Allah adalah merujuk kepada nama-nama Allah yang sangat indah seperti yang terkandung di dalam Asma' Ullah Al Husna dan bukan hanya digunakan/dimaksudkan kepada Zat-Nya [Diri-Nya] sahaja. Adalah tersangat besar salahnya jika penggunaan kalimah Qadim ini hanya merujuk kepada Zat Allah sahaja. Antara contoh kalimah/pemahaman/kata-kata salah yang boleh merosakkan pegangan iktiqad ini adalah seperti kata-kata 
"Allah mengadakan sesuatu dengan Zat-Nya yang Qadim, berkata-kata dengan Zat-Nya yang Qadim, Allah mendengar dan melihat dengan Zat-Nya yang Qadim...." dan seterusnya kepada sifat-sifat Allah yang lain.
Allah berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim di sini hanya dikhususkan kepada Kalam Allah sahaja yang bererti : 
 " Allah BERKATA-KATA dengan Kalam-Nya yang Qadim yang tidak menyamai sama sekali dengan sifat-sifat kalam makhluk dalam apa jua hal sekalipun tanpa misal, tanpa ibarat, tanpa kaifiat  dan tanpa umpama. Allah berkata-kata menyuruh, menegah menjanjikan balasan-balasan kebaikan dan kejahatan dengan Kalam-Nya yang Qadim lagi Azali dan Dia sentiasa BERKATA-KATA dengan Kalam-Nya yang Qadim. Kalam Allah tidak menyamai sama sekali dengan kalam makhluk kerana Kalam Allah tidak bersuara, tidak berhuruf dan tidak berkaifiat sama sekali dalam apa jua hal sekalipun."
 Al-Quran,  Al-Taurat, Al-injil dan Az-Zabur adalah kitab-kitab Allah yang diwahyu dan diturunkan kepada Rasul-rasul Alaihimussalam melalui perantaran Malaikat Jibrill Alaihisalam sebagaimana Firman Allah dalam al-Quran : 
                 قُلْ نَزَّلَهُ رُوحُ الْقُدُسِ مِن رَّبِّكَ بِالْحَقِّ لِيُثَبِّتَ الَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهُدًى وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ 
                       Maksudnya :
i." Katakanlah : 'Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan al-Quran itu dari Tuhanmu dengan benar untuk meneguhkan (hati) orang-orang yang beriman, dan menjadi petunjuk serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri kepada Allah'."
                              [Surah An-Nahl : 102]

المر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ وَالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ الْحَقُّ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يُؤْمِنُونَ 
                      Maksudnya :
ii." Alif laam mim raa. Ini adalah ayat-ayat Al-Kitab (Al-Quran). Dan Kitab yang diturunkan kepadamu daripada Tuhan mu itu adalah benar; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (kepadanya)."
                          [Surah Ar-Ra'd : 1]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ وَمَنْ يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا بَعِيدًا 
                      Maksudnya :
iii."Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya, serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, Malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, dan Hari Kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya." 
                    [Surah An-Nisaa': 136

Firman Allah dalam surah Al-Israa' ayat 82 menjelaskan bahawa diturunkan al-Quran itu adalah untuk menjadi penawar dan rahmat kepada orang yang beriman :

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلا خَسَارًا 
                      Maksudnya :
" Dan Kami turunkan al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian."
Di dalam surah At-Takwir ayat 15-20 Allah memperjalaskan lagi dengan tegas bahawa al-Quran itu adalah benar-benar Firman-Nya:
فَلا أُقْسِمُ بِالْخُنَّسِ (15) الْجَوَارِ الْكُنَّسِ (16) وَاللَّيْلِ إِذَا عَسْعَسَ (17) وَالصُّبْحِ إِذَا تَنَفَّسَ (18) إِنَّهُ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ (19) ذِي قُوَّةٍ عِنْدَ ذِي الْعَرْشِ مَكِينٍ (20

                         Maksudnya :
" Sungguh, Aku bersumpah dengan bintang-bintang,(15)  
yang beredar dan terbenam, (16)  
demi malam apabila telah hampir meninggalkan gelapnya, (17)  
dan demi subuh apabila fajarnya mulai menyingsing,(18)  
sesungguhnya al-Quran itu benar-benar Firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia, (Jibril), (19) 
yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah yang memiliki 'Arsy."(20)

Al-Quran dibaca dengan lidah, ditulis dalam mashaf dan dihafaz dalam hati seperti Firman Allah di dalam al-Quran surah Al-Alaq ayat 1-5 :

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1) خَلَقَ الإنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأكْرَمُ (3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الإنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (5 
                       Maksudnya : 
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang telah mengadakan (segala makhluk). (1)
Ia telah mengadakan manusia daripada a’laq (segumpal darah beku).(2) 
Bacalah dan Tuhanmu (adalah) Yang Maha Mulia (yang tiada menyamai-Nya sekalian yang mulia).(3) 
Yang Dia telah mengajar (menulis) dengan kalam. (4)
Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya."(5)
Dalam begitu pun Kalam Allah itu Qadim berdiri kepada Zat-Nya yang Qadim yang tiada menerimai berhubung, bercerai, berpindah, tiada kepada hati-hati dan tiada pada kertas dan lidah-lidah.  Bersandarkan pengajaran yang terkandung di dalam iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah tersebut mungkin akan berbangkit berbagai-bagai persoalan atau kemusykilan sama ada secara terbuka berterang-terangan atau berkata-kata/lintasan di dalam hati mengenai maksud sebenar Kalam Allah yang Qadim ini kerana apa yang dapat difahami oleh manusia dan kebanyakan orang awam apabila disebut sahaja kitab al-Quran dan kitabullah-kitabullah lain yang suci lagi mulia itu ianya mempunyai huruf, ditulis pada kertas dan mashaf serta mempunyai bunyi suara apabila dibaca yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan sifat-sifat makhluk.

Justeru timbullah pemahaman atau persangka di kalangan umat Islam sejak beberapa kurun yang lalu hingga kini (dan mungkin akan datang) yang mengatakan bahawa al-Quran itu tidak Qadim dan bersifat baharu  sama seperti makhluk-makhluk lain yang diadakan Allah juga dan menafikan/menyanggah/membatalkan sama sekali terhadap pegangan iktiqad Ahli Sunnah wal Jamaah yang berpendirian bahawa al-Quran itu adalah Kalam Allah yang Qadim seperti yang diperjelaskan di atas.
Kepada golongan yang berfahaman bahawa al-Quran dan Kalam Allah itu tidak Qadim kita boleh merujuk al-Quran surah Al-A'raaf ayat 143 yang berbunyi:
وَلَمَّا جَاءَ مُوسَى لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنْظُرْ إِلَيْكَ قَالَ لَنْ تَرَانِي وَلَكِنِ انْظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي فَلَمَّا تَجَلَّى رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَى صَعِقًا فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ  
        Bermaksud : 
"Dan tatkala Musa datang untuk (bermunajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: " Ya Tuhanku, nampakkanlah (Diri Engkau)." Tuhan berfirman:"Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tetapi melihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) nescaya kamu  dapat melihat-Ku. Tatkala Tuhannya 'nampak' bagi gunung itu kejadian itu menjadikan gunung itu hancur luluh dan Musa pun pengsan. Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata : " Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman." 
Berpandukan maksud ayat al-Quran tersebut persoalan-persoalan berikut boleh dikemukakan kepada golongan yang mengatakan atau berpendirian bahawa al-Quran Kalam Allah itu tidak Qadim (makhluk yang dijadikan /diadakan Allah):
1.  Adakah Nabi Musa Alaihisalam mendengar Kalam Allah itu ada bersuara dan melihatnya dengan pemandangan matanya ada berhuruf?
2.   Mengikut lumrah hukum tabi'e sesuatu kalam atau kata-kata itu akan hanya boleh didengari dan difahami melalui deria anggota telinga dan dilihat melalui deria pemandangan mata.  Maka bagaimanakah Nabi Musa a.s. mendengar, mengetahui dan memahami bahawa yang didengarinya itu ialah benar-benar Kalam Allah dan bukan kalam makhluk jika Kalam Allah yang didengari itu tanpa huruf dan tanpa suara?
 3.   Tidakkah menjadi satu perkara yang mustahil bagi seseorang manusia boleh mendengar dan memahami Kalam Allah yang tidak ada suara dan tidak ada huruf?
4.  Jika dikatakan Kalam Allah yang didengari dan diketahui oleh Nabi Musa a.s. itu ada bersuara dan ada huruf, maka jelaslah yang didengari dan diketahui oleh Nabi Musa a.s. itu bukan Kalam Allah yang Qadim tetapi ialah kalam makhluk kerana ada mempunyai suara dan ada huruf. Maka tidakkah ini  memberi erti bahawa Nabi Musa a.s. mendengar dan berkata-kata dengan 'sejenis' makhluk juga dan bukan dengan Allah yang Qadim Zat dan Sifat-Nya?  
Bagi menjelaskan permasalahan dan persoalan ini adalah sangat penting bagi seseorang itu mengetahui bahawa perkara pokok yang mesti dan wajib difahami ialah Allah Azawajalla itu BUKAN makhluk.  Oleh itu apa juga sifat yang ada pada diri makhluk tidak menyamai sama sekali dengan Allah dalam apa jua hal, jalan dan cara sekalipun sama ada pada Zat ataupun Sifat-sifat Allah walaupun pada sebutan zahirnya ada di antara Sifat-sifat Allah itu menggunakan istilah/kalimah yang sama. 
Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana mengadakan setiap sesuatu dengan Qadrat-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali tanpa mengambil contoh misal daripada apa yang ada terdahulu atau melalui proses rekaan dan  penyelidikan uji-kaji dan 'Trial and Error'.  Pemahaman ini diperjelaskan di dalam Asma' Ullah al-Husna seperti yang dimaksudkan :

        i.     AL-BARIU' (البارئ): 
          Yang Mengadakan, bagi segala sesuatu dengan ketiadaan misal    (contoh) yang lalu.  
            ii.    AL-BADI'K البديع) ):  
 Yang Mengadakan permulaan sesuatu, yakni yang mengadakan  permulaan sesuatu daripada semata-mata tidak ada kepada ada dengan tidak berasal daripada apa-apa pun.
Allah SWT menjadikan manusia yang sempurna bersesuaian dengan zat dan sifat-sifatnya sebagai manusia dan bukan sebagai makhluk-makhluk lain. Manusia dikurniakan anggota-anggota badan, deria pancaindera, akal fikiran dan saraf yang mempunyai berbagi-bagai fungsi dan tugas supaya mereka dapat memahami dan mengenali sesuatu serta membolehkan mereka melakukan ibadat kepada Allah, berkomunikasi, berhubung dan berurusan sesama manusia dan hidup sebagai manusia di dunia dalam tempoh masa tertentu sebelum menghadapi kematian. Hal kejadian malaikat pula adalah jauh berbeza sama sekali dengan kejadian manusia dan makhluk-makhluk lain.

Dalam hal ini manusia dikurniakan pancaindera yang lima bagi memudahkan mereka bergerak dan melaksanakan segala keperluan dan tanggungjawab mereka sebagai manusia semasa hidup di dunia. Manusia mempunyai mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, hidung untuk mencium bau-bauan, lidah untuk merasai sesuatu makanan atau sesuatu yang boleh dirasai dengan lidah dan kulit sentuhan di badan untuk merasa sesuatu yang lembut, kasar, tajam, panas, sejuk dan sebagainya. 

Begitu juga tubuh badan manusia mempunyai sumber tenaga penggerak yang terbit daripada darah di samping diperlengkapkan pula dengan berbagai-bagai jenis organ dalaman serta mempunyai bertrillion urat dan saraf yang serba elok kejadiannya yang mempunyai fungsi dan tugas-tugas tertentu bagi menyempurnakan kehidupan sebagai seorang manusia di dunia ini. 
Melalui deria pancaindera yang lima akan dihantar mesej melalui saraf kepada otak untuk mencerna dan membuat tafsiran yang bersesuaian sebelum diterjemahkan dalam bentuk tindakan-tindakan yang bersesuaian atau disimpan dalam data memori sebagai ingatan. Adalah mustahil sama sekali bagi seseorang manusia untuk memahami sesuatu mesej sekiranya mesej tersebut tidak mempunyai suara, huruf, simbul atau sebarang tanda isyarat yang boleh dicerna oleh sel-sel organ di dalam badannya bagi membolehkan sel-sel otak atau akal fikiran mencerna, mentafsir dan melakukan sebarang tindakan bersesuaian yang sewajarnya.

Setiap anggota pancaindera yang lima mempunyi deria fungsinya tersendiri untuk dinikmati oleh manusia. Umpamanya untuk menikmati kelazaatan sesuatu jenis makanan dan minuman deria rasa yang terdapat pada lidah dapat memahami dan menikmati atau membezakan kelazatan atau tidaknya sesuatu makanan atau minuman yang dimakan/diminumnya. Melaluinya dia boleh mengenal pasti nilai dan erti kelazatan sesuatu makanan dan menceritakan atau mengkhabarkannya kepada orang lain. 
Orang lain pun dapat memahami apa yang diperjelaskannya dengan merasai sendiri makanan atau minuman tersebut. Namun jika dia hanya mendengar sahaja apa yang diceritakan dan tidak menjamah dan merasainya sendiri dengan lidah dia tidak mungkin dapat memahami erti kelazatan makanan atau minuman tersebut. 

Kenikmatan dan kelazatan yang dinikmati oleh deria lidah tidak menyamai dengan kenikmatan dan kelazatan yang dinikmati pula oleh pancaindera-pancaindera yang lain. Orang yang buta sejak dilahirkan tidak mengetahui dan memahami sama sekali erti keindahan pemandangan alam atau mengenali warna sesuatu objek. Demikian juga jika seseorang itu tidak pernah keluar dari tempat kediamannya dia tidak mungkin dapat memahami dan menikmati keindahan yang terdapat di tempat-tempat lain yang tersangat jauh lokasinya. Dia hanya dapat memahaminya melalui perkhabaran lisan orang lain yang pernah ke tempat tersebut kerana tiada sebarang bahan visual atau objek sebagai bukti sokongan untuk mengesahkannya. 
Begitu juga jika seseorang itu dilahirkan pekak/tuli dia tidak mungkin dapat memahami kenikmatan mendengar sesuatu bunyi-bunyian yang merdu atau sebaliknya. Demikian juga dengan kelazatan berjimak yang dirasai melalui sentuhan kulit tidak menyamai dengan kelazatan menikmati makanan atau melihat sesuatu pemandangan yang indah menawan. 
Kesemua contoh ini adalah untuk memperjelaskan kepentingan fungsi kelima-lima pancaindera yang dimiliki oleh setiap diri manusia bagi keperluan kesempurnaan hidup mereka di dunia sebagai makhluk insan manusia tetapi mempunyai had batasan keupayaannya. Namun demikian kelima-lima pancaindera yang ada pada diri manusia ini TIDAK BOLEH digunakan sama sekali untuk mendengar, memahami dan mengetahui tentang Qadimnya   Kalam Allah yang tidak ada suara dan huruf. 

Atas sifat Ar-Rahman, Ar-Rahim dan Al-Wahab lagi Maha Pemurah, Allah telah mentakdirkan membangkitkan  di kalangan manusia diutus sebagai Rasul untuk menyampaikan kata-kata Kalam-Nya melalui Wahyu-Nya sebagai peringatan kepada manusia melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s., Penghulu segala malaikat yang amat bijaksana, paling gagah perkasa, tersangat luas ilmunya, paling amanah dan sangat bertaqwa kepada Allah mengatasi semua malaikat, manusia dan makhluk-makhluk lain.
   
Para Nabi dan Rasul pula walaupun pada zahirnya sama dengan hal keadaan manusia biasa tetapi mereka terpelihara daripada melakukan sebarang dosa maksiat atau membuat sebarang kesilapan sejak dilahirkan ke dunia kerana mereka adalah maksum. Sekiranya ada di antara mereka yang seolah-olah tanpa disengajakan melakukan sesuatu kesilapan yang 'terlalu kecil' sahaja pada penilaian akal fikiran manusia biasa yang membawa kepada seolah-olah satu 'hukuman' daripada Allah, ia hanya satu hikmah takdir Allah yang mempunyai rahmat dan rahsia tersendiri bagi kepentingan umat manusia yang Allah sahaja lebih mengetahui rahsia dan hakikatnya. Pengertian ini dapat difahami bahawa darjat martabat kemuliaan para Nabi dan Rasul di sisi Allah hampir sama dengan para malaikat.

Antara rumusan maksud yang terkandung daripada Firman Allah dalam al-Quran surah An-Nur ayat 35 yang berbunyi :
اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لا شَرْقِيَّةٍ وَلا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُورٌ عَلَى نُورٍ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
dapatlah difahami bahawa :
"....  hati orang-orang mukmin [para Nabi dan Rasul ] itu diibaratkan mempunyai cahaya. Ia boleh diumpamakan seperti sebuah rumah yang ada bilik yang mempunyai lampu pelita di dalamnya. Pelita ini mempunyai minyak yang sangat bersih dan kerana bersihnya minyak itu ia hampir-hampir bercahaya walaupun tidak  disentuhi oleh api. Begitu juga hati orang-orang mukmin [ para Nabi dan Rasul ] mempunyai segala adab perangai amat mulia yang sangat terpuji serta bersih.  Sekiranya Allah tidak mengutuskan Malaikat Jibril a.s. menurunkan wahyu sekalipun hati mereka sangat bercahaya untuk menerima kebenaran."
Sebagaimana juga pancaindera yang lima : telinga, hidung, mata, lidah dan kulit itu sangat bersesuaian dan menjadi kelazatan baginya sekiranya dapat mendengar bunyi-bunyian yang elok, mencium bau-bauan yang harum, melihat segala rupa yang cantik dan indah menawan, mengecapi barang makanan dan minuman yang lazat dan menyentuh barang yang lembut maka begitulah juga Al-Basirah, 'Ainul Qalbi atau Mata Hati yang dimiliki Roh Hammalil Amanah para Nabi dan Rasul sangat suka menerima kebenaran. Hati (qalbu) mereka diibaratkan sebagai cahaya dan ilmu yang didatangkan melalui wahyu Kalam Allah adalah sebagai cahaya juga. Inilah yang dimaksudkan dengan kalimah   "cahaya dalam cahaya" yang terkandung di dalam ayat tersebut.

                        
Nabi Musa a.s mendengar Kalam Allah yang  Qadim [tanpa huruf dan tanpa suara]  itu seperti yang disebut di dalam al-Quran surah Taahaa dan surah Al-A'raaf : 143 di atas. Hanya dia seorang sahaja yang memahami dan mendengar Kalam Allah yang tiada bersuara dan tiada berhuruf itu yang tidak mungkin atau mustahil sama sekali  dapat difahami oleh manusia biasa. Hal keadaannya adalah sama seperti orang mukminin dan mukminat yang ahli kebahagiaan itu melihat Zat Allah di negeri akhirat kelak dengan tiada berupa, tiada berwarna, tiada berpihak, tiada bertempat dan tiada berkafiat walau bagaimana cara sekalipun. Bagi manusia biasa hakikat ini tidak mungkin akan berlaku ketika masih hidup dan berada di dunia kerana hal keadaan manusia biasa adalah sangat jauh berbeza dan berlainan dengan hal keadaan Nabi dan Rasul yang maksum, tepelihara daripada melakukan sebarang dosa kesalahan dan dikurniakan bermacam-macam kelebihan dan mukjizat yang tidak dikurniakan kepada manusia biasa.

Wahyu yang diturunkan kepada para Rasul Allah untuk disampaikan kepada umat mereka adalah dalam bahasa yang digunakan oleh Rasul itu sendiri dan diterjemahkan/diturunkan/disalin pula dalam bentuk tulisan huruf dalam mashaf yang boleh dibaca secara oral dan diperdengarkan supaya mudah difahami oleh umatnya terhadap kandungan wahyu yang disampaikan dan disebarkan kepada manusia sebagaimana yang diamanahkan untuk dijadikan pedoman hidup umat manusia bagi kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagian berkekalan di akhirat.

Hakikat ini terkandung dalam Firman Allah surah Ibrahim ayat 4  :

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ 
                     Maksudnya :
" Kami tidak mengutus seorang Rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana."  
Sebagaimana yang sedia dimaklumi al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab seperti yang diperjelaskan di dalam Firman Allah surah Ar-Ra'd ayat 37 :
 وَكَذَلِكَ أَنزلْنَاهُ حُكْمًا عَرَبِيًّا وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَمَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا وَاقٍ  
                       Maksudnya:
"Dan demikianlah, Kami telah menurnkan al-Quran itu sebagai peraturan [yang benar] dalam Bahasa Arab. Dan seandainya kamu mengikuti hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu, maka sekali-kali tidak ada pelindung dan pemelihara bagimu terhadap (seksa ) Allah."
Pengesahan dan perakuan Allah bahawa kitab al-Quran itu adalah Wahyu dan Kalam-Nya diperjelaskan lagi melalui Firman-Nya dalam surah al-Haaqqah ayat 38-43 : 
فَلَا أُقْسِمُ بِمَا تُبْصِرُونَ (38) وَمَا لَا تُبْصِرُونَ (39) إِنَّهُ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ (40) وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَاعِرٍ قَلِيلًا مَا تُؤْمِنُونَ (41) وَلَا بِقَوْلِ كَاهِنٍ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ (42) تَنْزِيلٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ (43)
                            Maksudnya :
" Maka Aku bersumpah dengan apa yang kamu lihat.(38)
               Dan dengan apa yang kamu tidak lihat.(39) 
Sesungguhnya al-Quran itu adalah benar-benar Wahyu (Allah yang diturunkan kepada) Rasul yang mulia,(40)
dan al-Quran itu bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kamu beriman kepadanya. (41)
Dan bukan pula perkataan tukang tenung. Sedikit sekali kamu  mengambil pelajaran daripadanya.(42)
Ia adalah wahyu yang diturunkan dari Tuhan semesta alam."(43)  
Sekiranya wahyu kitabullah yang asalnya tanpa huruf dan tanpa suara itu tidak diterjemah/ diturunkan dan disalin dalam bentuk huruf pada mashaf dan bunyi bahasa asal yang dituturkan oleh seseorang Nabi yang diutuskan bagi sesuatu kaum/umatnya adalah tidak mungkin atau mustahil sama sekali ia dapat difahami oleh manusia biasa kerana berlawanan dengan sifat tabi'e deria kelima-lima pancaindera yang ada pada mereka. Hal keadaan ini boleh diibaratkan seperti seseorang pemelihara ayam itu memanggil ayam ternakannya untuk diberi makan atau bagi sesuatu tujuan. Ayam tersebut tidak mungkin dapat memahami dan datang kepada si pemanggil/pemeliharanya sekiranya dia tidak menggunakan bunyi bahasa atau isyarat yang biasa diketahui dan difahami oleh ayam tersebut.

Sungguhpun Kalam Allah yang diturunkan kepada para Rasul itu menggunakan bahasa yang digunakan oleh Rasul dan kaum yang berada bersamanya tetapi tatabahasa, susunan ayat dan kandungan ilmunya begitu indah dan amat mendalam yang tidak mampu dihasilkan oleh sesiapa juga di kalangan pakar-pakar bahasa atau para ilmuan sama ada di kalangan manusia, jin atau malaikat. 
Hakikat ini terbukti dengan setiap ayat dan kalimah yang terkandung di dalam al-Quran yang sehingga kini tidak mampu sesiapa juga pun menandinginya dalam segala aspek. Perkara ini bertepatan sekali dengan Firman Allah di dalam al-Quran surah al-Kahfi ayat 109  :
قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا 
                 Maksudnya:
"Katakanlah : ' Kalau sekiranya [air] lautan menjadi tinta untuk [menulis] kalimat-kalimat Tuhan ku, sungguh, hingga habislah [air] lautan itu sebelum habis [ditulis] kalimat-kalimat Tuhan ku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu [pula]."
Di dalam surah al-Baqarah ayat 23-24 pula Allah mencabar sesiapa juga yang ragu-ragu tentang kebenaran al-Quran itu sebagai Kalam-Nya supaya membuat satu ayat yang setanding dengan ayat-ayat al-Quran seperti Firman-Nya:  
وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُواْ بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُواْ شُهَدَاءكُم مِّن دُونِ اللّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (23
فَإِن لَّمْ تَفْعَلُواْ وَلَن تَفْعَلُواْ فَاتَّقُواْ النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ (24
                  Maksudnya:
" Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu ayat (sahaja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang memang benar.(23)
Maka jika kamu tidak dapat membuat(nya), dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir (ingkar)."(24)
 Dalam surah Al-Israk: 88 pula Allah berfirman :
قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآَنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا . وَلَقَدْ صَرَّفْنَا لِلنَّاسِ فِي هَذَا الْقُرْآَنِ مِنْ كُلِّ مَثَلٍ فَأَبَى أَكْثَرُ النَّاسِ إِلَّا كُفُورًا.
                      Maksudnya : 
“Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya jika berhimpun sekalian manusia dan jin untuk mereka mendatangkan dengan seumpama al-Quran ini nescaya tidak mereka (berupaya) mendatangkan dengan seumpamanya (al-Quran), dan sekalipun adalah setengah mereka bagi setengahnya (sesama mereka) saling tolong menolong. Dan sesungguhnya telah pun Kami menyatakan bagi manusia dalam al-Quran ini dari semua (jenis) perumpamaan (supaya mereka dapat pengajaran), maka kebanyakan manusia enggan melainkan mereka mengingkari (perkara yang hak).”
Dalam konteks Kalam Allah yang diturunkan melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s. untuk disampaikan kepada Rasul-rasul, walaupun Kalam Allah itu Qadim yang berdiri kepada Zat Allah yang Qadim, tiada menerimai berhubung, berpindah, bercerai, tiada kepada hati-hati dan tiada pada kertas-kertas dan tiada pada lidah tetapi wahyu yang disampaikan oleh Malaikat Jibril a.s. kepada Rasul-rasul dalam bentuk suara dan diterjemahkan dalam bentuk tulisan huruf abjad dan bahasa yang dipelajari dan difahami manusia mempunyai 'MAKSUD yang sama dengan kehendak Kalam Allah yang Qadim.' 

Hakikat ini boleh diambil contoh misalan seperti untuk menjelaskan hal api. Bahasa persuratan/tulisan untuk memberi kefahaman kepada orang lain mengenai hal api ialah menggunakan huruf/abjad A.P.I atau huruf-huruf lain yang sama erti dengannya yang bermaksud api. Namun demikian huruf A.P.I itu bukanlah hakikat sebenar bagi zat atau jisim api yang  mempunyai sifat-sifatnya seperti panas, boleh membakar dan membinasakan. Jika huruf A.P.I atau huruf-huruf lain yang seumpama dengannya itu mempunyai zat dan sifat yang sama seperti sifat api atau 'ain bagi api yang sebenar nescaya terbakarlah kertas atau komputer ini.



Demikian juga dengan bunyi sebutan untuk menjelaskan hal api adalah menggunakan bahasa pertuturan dan kosakata yang seiring dan selaras dengan bahasa tulisan yang digunakan, difahami dan diterima umum oleh semua manusia yang mendengarnya bahawa sebutan api itu adalah sahih sebagai maksud api dan bukan dimaksudkan dengan hal-hal yang berlainan. 

Oleh itu semua Kitab Allah ini hendaklah diimani, dipermuliakan kesuciannya, dibaca, dipelajari dan dilarang sama sekali dilakukan  sebarang pindaan atau diubah suai [walaupun satu huruf] mengikut kehendak, selera dan kebiasaan hidup manusia di dunia yang boleh memberi maksud yang bertentangan dengan hakikat sebenar wahyu Allah yang disampaikan kepada Rasul-Rasul-Nya.


Sekiranya seseorang yang sudah beriman itu melakukan sesuatu yang boleh mencemarkan kesucian kitabullah, mengubah suai kalimah atau pengertiannya [walaupun sedikit ] yang sebenar atau tidak beriman kepadanya maka rosaklah keimanannya. Maka dengan sendirinya dia terkeluar daripada golongan orang yang beriman dan menjadi golongan yang kufur atau munafik. 
Perbuatan meminda, mengubah dan sengaja menyelewengkan ayat-ayat dan pengertian sebenar Kalam Allah yang diwahyukan kepada Rasul-Rasul terdahulu berlaku pada kitab-kitab terdahulu sebelum dibangkitkan Nabi Muhammad s.a.w. oleh golongan tertentu/munafik ahli al-Kitab bagi kepentingan duniawi atau disesuaikan dengan kebiasaan tradisi hidup atau kehendak logik akal kefahaman mereka sebagai manusia biasa.

Bagi menentu dan mempastikan perbuatan ini tidak berlaku dan sebagai jaminan Allah bahawa al-Quran itu adalah Kitab Allah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., seorang Nabi dan Rasul terakhir sebagai  'Kekasih Allah', Penghulu dan 'Penutup' sekalian Rasul Utusan Allah di bumi yang diutuskan kepada sekalian umat manusia dan jin, maka Allah telah memberi jaminan untuk memelihara kesucian al-Quran dan berkekalan hingga Hari Kiamat seperti yang dimaksudkan dalam surah Al-Hijr ayat 9 :
          إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَـفِظُونَ 
                        Maksudnya :

"Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya."
Jaminan Allah ini memberi erti bahawa manusia yang dikurniakan kebijaksanaan seperti golongan cerdik pandai dan para ilmuan dari kalangan ahli al-Kitab terdahulu [hingga sekarang dan akan datang] tetapi mempunyai niat yang jahat bagi kepentingan duniawi tidak mempunyai kemampuan dan kebijaksanaan untuk mengubah walau sedikit pun ayat-ayat al-Quran. 

Namun atas sifat 'munafik' dan ingkar yang berakar umbi di dalam diri dan minda golongan ini berusaha pula melakukan sesuatu melalui  "pentafsiran" dan "penterjemahan" ayat-ayat al-Quran untuk menimbulkan kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat Islam dengan memesongkan maksud dan pengertian kalimah dan ayat-ayat tertentu al-Quran sebenar melalui agenda bersifat ilmiah, akademik atau keilmuan atas nama  'critical thinking'  atau 'percambahan pemikiran dan keilmuan' atau apa juga istilah-istilah dan konsep menarik yang lain bagi maksud mengingkari al-Quran.
   
Golongan yang berlindung di belakang tabir ulama'-ulama' 'suk' atau para ilmuan di dalam sesuatu bidang keilmuan duniawi atau sekular  ini juga yang telah mencetuskan polemik yang berlarutan sejak sekian lama mengenai  "al-Quran itu Baharu/ Bukan Qadim." Isu ini reda apabila bangkit ulama-ulama Ahli As-Sunnah yang hak memperbetulkan keadaan dan memberi nasihat dan hujah-hujah yang berkesan kepada umat Islam dan institusi Ameir/Khalifah  yang memerintah negara supaya berpegang teguh dengan pegangan iktiqad bahawa:
"Allah berkata-kata menyuruh, menegah menjanjikan balasan-balasan kebaikan dan kejahatan dengan Kalam-Nya yang Qadim lagi Azali dan Dia sentiasa berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim. Kalam Allah tidak menyamai sama sekali dengan kalam makhluk kerana Kalam Allah tidak bersuara, tidak berhuruf dan tidak berkaifiat sama sekali dalam apa jua hal sekalipun."  Al-Quran itu ialah Kalam Allah Yang Qadim."
Sebagaimana yang menimpa umat para Rasul terdahulu yang dicemari golongan 'munafik agama' dengan meminda dan mengubah kesucian kitabulah-kitabulah mengikut kesesuaian fahaman dan selera mereka, perkara yang sama juga terus melanda umat Islam dalam pelbagai cara.  Kemunculan golongan 'munafik' dan 'ulama-ulama suk' yang mempunyai sifat-sifat mazmumah di hati mereka terus wujud dan berkembang secara halus pada setiap zaman melalui dunia keilmuan khususnya pentafsiran dan penterjemahan al-Quran tanpa dapat dikesan atau diketahui oleh pihak berkuasa agama Islam. Apabila jumlah mereka semakin ramai dan suara mereka mendapat perhatian umum, maka mereka dengan berani dan lantang mencabar sesiapa juga para ilmuan agama untuk tampil ke hadapan berdebat dengan mereka secara tertutup atau terbuka.

Golongan manusia yang membuat penterjemahan dan pentafsiran terhadap al-Quran boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan :
i.  Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.  yang hadir bersama Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. menanggung segala kesusahan dan kedukacitaan dalam perkara-perkara yang ditakdirkan Allah SWT menjadi penyebab turunnya sesuatu ayat al-Quran. Mereka berupaya dan berkemampuan tinggi mentafsirkan pengertian maksud ayat-ayat al-Quran itu dengan meluas dan bertepatan maksudnya yang sebenar. Mereka boleh menerangkan hal-hal Nabi Muhammad s.a.w. semasa turun ayat-ayat tersebut dan apakah Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. bagi memperjelaskan lagi berkenaan sesuatu ayat yang diwahyukan.

Para sahabat Rasulullah s.a.w. tidak membaca atau mendengar perkhabaran orang lain mengenai sesuatu pengertian dan pentafsiran ilmu ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kerana mereka turut hadir sendiri bersama-sama Rasulullah s.a.w. Malahan ramai di antara mereka yang turut mengalami sendiri sesuatu peristiwa yang menjadi sebab ayat-ayat al-Quran itu diturunkan yang kadangkala memakan masa yang lama tetapi ayat yang diturunkan amat ringkas sahaja. Mereka boleh mentafsirkan pengertian ayat yang ringkas ini dengan panjang lebar hingga boleh memenuhi keperluan kitab kecil. 
ii.  Orang yang tidak membaca sebab-sebab turunya sesuatu ayat al-Quran hanya berupaya mentafsirkan pengertian ayat-ayat al-Quran sekadar apa yang ada tertulis di dalam kitab-kitab tafsir sahaja.
iii.  Orang yang tidak membaca sejarah yang menjadi sebab turunnya sesuatu wahyu dan ayat al-Quran itu hanya berupaya menterjemah dan mentafsirkan lafaz kalimah dan ayat-ayat al-Quran itu kepada bahasa-bahasa lain berpandukan apa yang terdapat maksudnya seperti yang tertera di dalam kamus sahaja.
iv.  Golongan yang mendustakan Allah, Rasul-Nya dan Hari Akhirat akan menterjemah dan mentafsirkan sesuatu ayat al-Quran menurut pertimbangan dan kebijaksanaan akal fikiran mereka sendiri yang mungkin mengandungi beberapa muka surat dengan tujuan untuk membentuk dan memesongkan pemikiran orang lain (disengajakan dengan niat atau secara tidak disedari) supaya mengikuti jejak langkah mereka mengingkari/meremehkan kebenaran al-Quran dan Islam walaupun pada zahirnya seolah-olah memuji al-Quran dalam bentuk kajian ilmiah.  
Golongan ini bukan sahaja terdiri daripada orang yang pada rasmi dan zahirnya bukan beragama Islam dan mempunyai latar belakang kecemerlangan akademik berprofil tinggi dan dikenali umum bahkan termasuk juga golongan dari kalangan orang yang berketurunan dan mempunyai nama Islam serta mempunyai latar belakang pendidikan tinggi Islam.
Berpandukan kepada pembahagian golongan tersebut ternyata sekali kita hendaklah berdiri teguh di belakang sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. dan kasihkan mereka dengan memuji dan menimba ilmu pengetahuan, penterjemahan dan pentafsiran al-Quran melalui Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang mereka riwayatkan dan diwarisi pula oleh ulama'-ulama' mujtahid Ahli Sunnah wal Jamaah yang hak.  

Kita hendaklah memahami bahawa IMAN kesemua sahabat Rasulullah s.a.w. adalah sangat kuat dan kukuh kerana mereka bukan sekadar mengetahui sebab-sebab turunnya sesuatu wahyu dan ayat-ayat al-Quran itu sahaja bahkan mereka sendiri bersama-sama menempuh segala kesusahan dan kedukacitaan dalam perkara-perkara yang Allah letakkan/takdirkan menjadi penyebab turunya sesuatu ayat al-Quran. 

Mereka cukup memahami bahawa hukuman-hukuman Allah SWT itu tiada disentuh oleh fikiran manusia sama ada melalui cetusan fikiran hasil nukilan daripada pembacaan atau idea seseorang atau hasil keputusan dalam permesyuaratan manusia pilihan dari golongan cerdik pandai dan dipersetujui sebulat suara oleh majoriti orang ramai.

Apabila Allah SWT mentakdirkan berlakunya perkara-perkara  yang melibatkan para sahabat Rasulullah s.a.w.,  tidak ada sesiapa pun tahu atau dapat menjangkakan sama ada wahyu al-Quran akan diturunkan oleh Allah SWT atau tidak bagi memperjelaskan perkara-perkara tersebut. Malahan Malaikat Jibril a.s. dan Rasulullah s.a.w. sendiri pun tidak mengetahui adakah wahyu al-Quran akan turun atau tidak apabila berlaku sesuatu perkara yang menimpa mereka yang kadangkala memakan masa yang lama, amat menyulitkan dan mendukacitakan.

Apabila diturunkan wahyu al-Quran bagi menerangkan perkara yang berlaku dan memperjelaskan hukuman-hukuman Allah mengenainya barulah mereka mengetahuinya. Demikianlah kaifiat diturunkan ayat-ayat al-Quran dengan mengadakan sebab-sebabnya terlebih dahulu serta didatangkan berbagai-bagai ujian kesusahan yang mendukacitakan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. 

Maka amat jelas bahawa para sahabat Rasulullah s.a.w. telah cukup terlatih dalam keadaan susah dan dukacita pada setiap kali ayat-ayat al-Quran itu diturunkan. Ayat-ayat al- Quran itu bukan diturunkan Allah SWT dengan mudah sahaja tanpa sebab tetapi Allah mentakdirkan menimpakan berbagai -bagai kesusahan dan kedukacitaan terlebih dahulu kepada Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda.

Justeru kita dapat memahami dengan jelas bahawa dada para sahabat Rasulullah s.a.w. penuh dengan ilmu pengetahuan yang diambil daripada al-Quran serta penjelasan-penjelasan mengenainya melalui Hadis-hadis yang disampaikan sendiri secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. yang berada di hadapan mereka. Mereka amat mengenali Nabi Muhammad s.a.w. dengan kemuliaan akhlak mahmudahnya  bukan sebagai manusia biasa tetapi sebagai seorang Rasul Utusan Allah yang dikurniakan Allah dengan berbagai-bagai mukjizat yang terang lagi nyata yang mereka dapat merasa dan menyaksikannya sendiri. 
Sekiranya berbangkit sebarang kemusykilan mengenai sesuatu masalah ilmu mereka bertanya terus kepada Rasulullah s.a.w.. Andainya baginda tidak mengetahui jawapan sebenar akan hal yang dimusykilkan baginda memanjangkan pertanyaan tersebut kepada Malaikat Jibril a.s.. Jika sekiranya Malaikat Jibril a.s. pun tidak mengetahui jawapan sebenar terhadap kemusykilan ilmu yang dibangkitkan oleh para sahabat dia memohon petunjuk wahyu daripada Allah SWT. Selepas itu baru diturunkan wahyu susulan untuk memberikan jawapan penjelasan terhadap kemusykilan yang dibangkitkan. 

Maka jelaslah bahawa para sahabat Rasulullah s.a.w. ialah tempat terpancarnya lautan ilmu agama Islam peringkat ketiga dan mereka adalah gedung-gedung ilmu tempat terbitnya agama Islam setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. Tanpa mereka agama Islam tidak mungkin terus berkembang hingga kini dan Hari Kiamat menyinari kehidupan manusia sejagat.


Di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang kurang jelas atau kesamaran maksud sebenarnya ['mutasyabiha'] yang jika disalahertikan boleh merosakkan kefahaman akidah keimanan seseorang khususnya yang berkaitan dengan Allah.  
Dalam hal ini Allah memberikan peringatan awal mengenai ayat-ayat al-Quran yang boleh memberikan berbagai-bagai pemahaman dan intepratasi maksudnya oleh berbagai golongan manusia sebagimana Firman-Nya dalam surah Al-Imran ayat 7 : 
هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلا أُولُو الألْبَابِ
                           Maksudnya :
 " Dia-lah yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu. Di antara (isi)nya ada ayat-ayat yang muhkamaat (terang dan tegas), itulah pokok-pokok isi al-Quran dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat (kesamaran maksud pengertiannya). Adapun orang-orang yang di dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, pada hal tidak ada yang mengetahui takwilnya  melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata : 'Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan Kami.' Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orng yang berakal."
Sebagai Kalam Allah yang Qadim, al-Quran mempunyai kandungan ilmu yang tidak terbatas dan tanpa had keluasannya.  Hakikat ini dapat difahami daripada maksud ayat al- Quran surah al-Kahfi seperti yang tertera di atas. Ayat ini sangat jelas memberi peringatan kepada manusia dan makhluk-makhluk-Nya di seluruh alam bahawa Ilmu Allah yang Qadim yang terkandung di dalam al-Quran yang Qadim itu tersangat luas dan tidak mempunyai had batasannya berbanding ilmu-ilmu yang dikurnia dan diajarkan kepada para Malaikat, Nabi dan Rasul, manusia,  jin dan sekalian makhluk-Nya.

Adalah terlalu sukar dan tidak mungkin manusia dan semua makhluk Allah dapat memikirkan kalaulah sehingga kering air lautan yang sebegitu luas dan tidak terhingga banyaknya itu dan ditambah lagi air lautan sebanyak itu walau beribu kali ganda sekalipun untuk dijadikan tinta bagi menulis dan menghuraikan ilmu-ilmu yang terkandung di dalam al-Quran kitabullah, namun masih belum mencukupi. 

Penjelasan ini memberikan kefahaman kepada kita bahawa ilmu pengetahuan yang dikurniakan dan dimiliki oleh manusia dan jin boleh diibaratkan hanya seperti mencampakkan sebutir pasir ke dalam lautan yang sangat luas dan dalam atau sebesar kuman sahaja jika dibandingkan dengan ilmu yang dikurniakan Allah kepada Malaikat Jibril a.s., Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. dan ilmu para malaikat, Nabi dan Rasul. 

Namun jika dihimpunkan kesemua ilmu kurniaan Allah yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w, para Nabi dan Rasul, Malaikat Jibril a.s. dan semua malaikat untuk dibandingkan dengan Ilmu Allah yang Qadim nescaya kesemuanya TIDAK LAYAK dinamakan ilmu. Ertinya Ilmu Allah yang Qadim itu tidak setitik pun boleh dibandingkan sama sekali atau disamakan dengan segala ilmu yang dikurniakan-Nya kepada sekalian makhluk-Nya yang mempunyai had batasan tertentu, serba kekurangan dan kelemahan.
Mudah-mudahan kita dapat mengambil faham dan mencontohi  kisah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. bernama`Akramah r.a.  (anak Abu Jahal) yang terkadang kala jatuh pengsan apabila membuka Ma'shaf al-Quran seraya berkata: 
 "هذا كلام ربي . . هذا كلام ربي" 
Ertinya: “Ini kalam Tuhanku.. Ini kalam Tuhanku”.
Rumusan daripada huraian ini dapatlah difahami bahawa al-Quran yang sebenar adalah Qadim dan bukan makhluk kerana ia tanpa huruf dan tanpa suara yang berdiri pada Zat Allah yang Qadim. Al-Quran yang dibaca oleh manusia yang mempunyai huruf dan suara adalah sama maksudnya dengan al-Quran yang Qadim itu juga.  Dalam erti kata lain huruf dan suara yang terdapat pada al-Quran yang dibaca oleh manusia itu adalah baharu tetapi kandungan maksudnya sama dengan al-Quran yang Qadim. Maka al-Quran yang dibaca oleh manusia itu hendaklah dihormati dan dipermuliakan sebagai Kalam Allah yang Qadim juga dan tidak boleh dilakukan sebarang perkara yang boleh mencemarkan dan merosakkan kesuciannya.

[Untuk huraian lanjut sila rujuk :
AL-IQTISAD FI'L- I'TIQAD (الاقتصاد في الاعتقاد)oleh Al-Imam al-Ghazali.]


[Lihat :

v. Pengertian "PAHALA" dan "DOSA" 
vi.  Allah Mengetahui Dengan Ilmu-Nya Yang Qadim 
vii. Allah Mengadakan Sesuatu Dengan Qadrat-Nya 
viii.Ahli Syurga Melihat Zat Allah dengan Mata Kepala 
ix.  Khutbah Terakhir Rasulullah s.a.w. 
x.   Bhg 6 : Tarbiyatu Fikrit -Fifli- Li - Fahmi Ulumuddin


************************************************************




اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُتَشَابِهًا مَثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ ذَلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ
             Maksudnya :
" Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) al-Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk."
                      [ Al-Quran surah Az-Zumar : 23 ]

                                                       **************************
لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لأولِي الألْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ 
      Maksudnya :
" Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman." 
                  [Al-Quran surah Yusuf : 111] 
                                    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ALLAH 'ISTIWA' DI ATAS AL 'ARASY الْعَرْشِ ?

  Sambugan daripada : UNTUKMU AGAMAMU, DAN UNTUK AKULAH AGAMAKU                      بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم    ال...