Ahad, 16 Mei 2021

Polemik Allah Istiwa' Di Atas 'Arasy.



[ Sambungan daripada : WIRID DAN ZIKIR AL-MUSBA'AT AL 'ASYARAH]



                            بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم   
          

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تُنْجِينَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ اْلاَحْوَالِ وَاْلآفَاتِ وَتَقْضِى لَنَا بِهَامِنْ جَمِيعَ الْحَاجَاتِ وَتُطَهِّرُنَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ السَّيِّئَاتِ وَتَرْفَعُنَا بِهَا عِنْدَكَ اَعْلَى الدَّرَجَاتِ.وَتُبَلِّغُنَا بِهَا اَقْصَى الْغَايَاتِ مِنْ جَمِيعِ الْخَيْرَاتِ فِى الْحَيَاتِ وَبَعْدَ الْمَمَاتِ
 أَمَّا بَعْـدُ 

 وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ 

                   Maksudnya :

" Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya : ' Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar'."

                       [Al-Quran  سورة لقمان  surah Luqman : 12 ] 

                           **********************************

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ أَلا لَهُ الْخَلْقُ وَالأمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ 

                Maksudnya :

" Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah mengadakan langit dan bumi dalam enam hari., lalu Dia Istiwa' di atas 'Arasy. Dia menutup malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (dijadikan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing ) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, mengadakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam.

                        [Al-Quran surah سورة الأعراف Al-A'raaf : 54 ]

  ******************************************


POLEMIK ALLAH ISTIWA' ATAS 'ARASY

Salah satu permasalahan pemahaman ilmu yang sudah sekian lama menjadi 'FITNAH AGAMA' hingga mencetuskan perdebatan berpanjangan di kalangan para agamawan dan ilmuan agama hingga menerbitkan berbagai-bagai aliran pemahaman agama di kalangan umat Islam sejagat ialah berkaitan dengan pentafsiran ayat al-Quran :

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى             
      
Pada maksud zahir ayatnya ialah :
(Iaitu) Tuhan Ar-Rahman Yang Maha Pemurah, Yang "ISTIWA' " di atas 'Arasy.
[Surah
سورة طه Thaahaa : 5]

Ayat-ayat lain yang mempunyai maksud yang hampir sama terkndung juga di dalam Surah-surah : " Al-A'raaf : 54, Yunus : 3, Ar-Ra'd :2 , Al-Furqan : 59, As-Sajadah: 4 dan Al-Hadid : 4. "
Berbagai-bagai tafsiran/pengertian, pendapat dan juga telahan terhadap istilah/kosa kata/kalimah "ISTIWA' ATAS 'ARASY". Ramai yang mengatakan "ALLAH 'BERSEMAYAM' ATAS SINGGAHSANA seperti 'raja berada atas takhta pemerintahan' dengan mengandaikan 'Arasy itu ialah seperti 'Singgahsana'. Terdapat banyak yang memberi pengertian 'Arasy (عَرْش) di sini dengan merujuk pada kalimah 'arasy Ratu Balqis yang memerintah kerajaan Saba' pada zaman Nabi Sulaiman a.s. (Surah An-Naml : 23) dan 'arasy Nabi Yusof ( Surah Yusof : 100). Terdapat juga yang mentakrifkan "ALLAH ISTIWA' DI ATAS 'ARASY" itu mengikut kehendak yang layak dengan kebesaran dan kemuliaan-Nya.

Ada juga yang mengekalkan kalimah "ISTIWA" tanpa memberi terjemahan khusus dengan andaian bahawa kalimah tersebut tidak sesekali boleh diberikan takwil atau kefahaman-kefahaman lain kerana ia adalah kalimah al-Quran.

Dalam pada itu terdapat juga golongan yang memberikan pengertian/tafsiran yang bermaksud : "ALLAH YANG MEMILIKI DAN MEMERINTAH 'ARASY", dengan hujah bahawasanya 'Arasy itu adalah TEMPAT yang paling mulia di sisi Allah yang dijadikan Allah daripada semata-mata TIDAK ADA kepada ADA dengan Qadrat-Nya berbetulan dengan Ilmu dan Kehendaknya yang Qadim lagi Azali.

Kepada golongan yang memahami dan berpendirian kepada pemahaman kalimah "ISTIWA' DI ATAS ARASY" itu sebagai 'BERSEMAYAM/BERTAKHTA" terpaksa mengakui bahawa mereka menggunakan akal fikiran yang berpandukan pancaindera yang lima sahaja untuk memahami kalimah tersebut dengan mengandaikan bahawa "ZAT (Diri) DAN SIFAT ALLAH ITU SAMA SEPERTI MAKHLUK JUGA" yang boleh dikenali dan fahami menggunakan pancaindera yang lima. Apabila manusia menggunakan pancaindera yang lima untuk menterjemahkan kalimah dan ayat tersebut maka akan terbitlah andaian atau pemahaman bahawa Allah itu seperti makhluk juga yang mempunyai juzuk , menerima bahagian-bahagian, ukuran dan sukatan dan memerlukan TEMPAT untuk wujud/ada.
Mungkin tidak terlintas langsung di hati dan fikiran mereka bahwa ALLAH ITU BUKAN MAKHLUK dan tidak sesekali menyamai makhluk dan segala sesuatu yang diadakan-Nya walau dalam apa jua hal, jalan dan cara sekalipun. Besar kemungkinan mereka tidak mengetahui bahawa untuk mengenali Allah hendaklah menggunakan "pancaindera ke enam" yang  dikenali sebagai Al-H’assu Assadisu (الحس السادس)  atau dikenali juga sebagai "AL-BASIRAH, 'AINUL QALBI atau MATA HATI" . Inilah yang dimaksudkan sebagai 'AKAL SYARAK' yang akan menerbitkan kefahaman "memahami" mengikut hukum syarak bahawasanya Zat (Diri) dan Sifat Allah itu Qadim yang tidak sesekali menyamai segala sesuatu yang diadakan-Nya tanpa misal, tanpa umpama, tanpa bandingan, tanpa ibarat dan tanpa kaifiat.

Maksud "memahami" mengikut "akal syarak" adalah sebagaimana seseorang itu dapat memahami jika dikatakan kepadanya bahawa ilmu Nabi Muhammad s.a.w itu : sangat tinggi, sangat luas, sangat dalam dan sangat cantik. Ertinya dia cukup "memahami" bahawa ilmu Nabi Muhammad s.a.w itu tidak mempunyai sebarang ukuran dan rupa tertentu seperti sesuatu objek yang mempunyai ukuran bermeter-meter jauh ke atas ketinggiannya, kedalamannya, keluasannya dan ada rupa dan warna tertentu. Jika dia 'memahami' hal keadaan makhluk ilmu bermaksud demikian , maka dia juga cukup "memahami" juga apabila dikatakan kepadanya bahawa Allah itu bukan makhluk. Oleh itu Zat (Diri) dan Sifat Allah itu Qadim lagi Azali yang tidak sesekali menyamai zat dan sifat sekalian makhluk-Nya walau dalam apa jua hal, cara dan jalan sekalipun.

Bagi memahami ayat-ayat al-Quran yang menerbitkan fitnah agama ini kita hendaklah memahami maksud "ALAM" dalam kontaks Ilmu At-Tauhid ialah :

                   "كُلُّ مَوْجُودٍ سِوَى اللهُ يُسَمَّى عَالَمًا"

Yang bermaksud:
"SEMUA BARANG/SESUATU YANG ADA (SELAIN DARIPADA ALLAH) DINAMAKAN ALAM."

Alam ini pula dibahagikan kepada dua katogeri iaitu :

i. ALAM AL-'AMMAR ii. ALAM AL-KHALIQ

i. ALAM AL-'AMMAR adalah merujuk kepada makhluk Allah yang zatnya (dirinya) ada berjuzuk tetapi tidak boleh dibahagi-bahagi dan ianya boleh ada dengan tidak perlu adanya tempat. Makhluk ini dinamakan ALAM AL-'AMMAR. Dalam konteks ini ALAM yang dimaksudkan di sini bukanlah tempat bagi sesuatu itu berada tetapi adalah nama bagi sesuatu barang atau makhluk Allah atau boleh ditakrifkan juga sebagai tiap-tiap barang sesuatu yang ada. Roh malaikat yang pada hakikatnya mempunyai juzuk yang tidak menerima bahagi-bahagi dan tidak memerlukan tempat ia boleh ada adalah termasuk dalam kategori Alam Al-'Ammar.

ii. ALAM AL-KHALIQ adalah merujuk kepada setiap sesuatu yang berjuzuk yang menerima bahagi-bahagi dan hanya boleh wujud/ada setelah diadakan tempat. Maka Al-'Arasy, Al-Kursi, syurga, neraka, tujuh lapisan langit dan bumi serta setiap benda yang terdapat di dalamnya daripada yang paling halus sebesar debu zarrah hingga kepada yang paling besar dan segala sesuatu yang boleh didapati melalui pancaindera yang lima dinamkan/dikategorikan sebagai Alam Al-Khaliq.
Segala sesuatu/makhluk Allah yang terkandung di bawah takrif ALAM AL-'AMMAR dan ALAM AL-KHALIQ adalah terhimpun di bawah maksud JIRIM, JISIM, JAUHAR MURAQAB dan JAUHAR FIRID yang kesemuanya mempunyai sifat yang disebut sebagai 'ARADH.
Kesemua benda dan segala sesuatu yang terkandung dalam pengertian ALAM AL-'AMMAR dan ALAM AL-KHALIQ tersebut adalah baharu belaka yang diadakan oleh Allah daripada semata-mata tidak ada kepada ada. Sebelum diadakan kesemua benda tersebut HANYA ALLAH SAHAJA YANG ADA dengan kebesaran, ketinggian martabat dan kemuliaan-Nya. Setelah diadakan benda-benda (alam) tersebut segala kemuliaan , kebesaran dan ketinggaian martabat Allah masih tetap tidak berubah, tidak bertambah dan tidak berkurangan sebagaimana yang terkandung di dalm Asma' Ul Husna. Justeru jika setiap sesuatu itu baru diadakan Allah, atau belum ada, tidak ada atau rosak binasa sekalipun ia tidak sesekali mengenai Allah. Allah tidak sesekali mangambil faedah dan tidak berhajat kepada segala sesuatu yang diadakan-Nya.

Mungkin akan terbit di dalam minda, hati atau dengan nyata yang bertanyakan jika Allah tidak berhajat atau mengambil faedah daripada setiap sesuatu yang diadakanNya maka mengapakah Dia mengadakan barang sesuatu itu?

Jika terbit persoalan seperti ini hendaklah diperjelaskan bahawa Allah Taala mengadakan segala makhluk-Nya dan setiap sesuatu benda yang ada dan akan ada daripada semata-mata tidak ada kepada ada adalah untuk menzahirkan bagi kuasa-Nya dan mentahkikkan lagi bagi barang apa yang telah terdahulu daripada kehendak-Nya dan kerana kebenaran-Nya bagi barang apa yang ada pada Azal-Nya daripada Kalam-Nya dan bukan kerana mengambil faedah daripadanya atau berhajat kepadanya. Bahkan Allah Taala itu amat terkaya daripada yang demikian itu dan bahawasanya Allah Taala itu mempunyai kelebihan dan kemurahan dan sentiasa memberi berbagai-bagai rahmat yang tiada terhingga.

Setelah memahami pejelasan perkara pokok ini barulah kita tanya pada diri kita sendiri dengan persoalan berikut:

i. Apakah Allah berhajat dan mengambil faedah apabila menjadikan sekalian alam termasuk Al-'Arasy dan Al-Kursi?

ii. Sebelum Allah menjadikan alam tersebut dan sebelum diadakan apa jua segala sesuatu yang dinamakan TEMPAT adakah Allah bertempat dan beristiwa' di mana-mana tempat?

iii. Setiap sesuatu yang berjuzuk itu memerlukan tempat untuk ada. Adakah Zat (Diri) Allah itu berjuzuk dan memerlukan tempat untuk ada?


iv. Adakah al-'Arasy, al-Kursi , langit dan bumi itu tidak atau bukan dinamakan tempat?


v. Setiap sesuatu objek/benda yang berjuzuk itu mengenai gerak dan diam. Adakah Zat (Diri) yang tidak berjuzuk itu mengenai gerak dan diam?.

Jika kesemua jawapan yang kita berikan adalah "TIDAK" sesekali mengenai dan menyamai Allah, maka dengan sendiri ternafilah/terbatallah sebarang rumusan/hukuman /pendapat/andaian yang mengatakan bahawasanya Allah itu bertakhta/bersemayam/berada di atas 'Arasy dan apa jua pendapat yang bercanggah dengannya.

Oleh itu apakah jawapan kita mengenai hal ini?

Sebagai insan mukmin yang berpegang kepada pegangan iktiqad Ahli Sunnah wal Jemaah kita hendaklah berpegang teguh dengan apa yang tersurat dan tersirat di dalam kitab Ihya' Ulumuddin , nukilan Ulamak mujtahid tersohor Ahli Sunnah wal Jemmah , Hujatul Islam Imam Al-Ghazali (meninggal dunia pada 1111 M) dalam bab Terjemah Aqidah Ahli Al-Sunnah Pada Kalimah Syahdat At-Tauhid yang berterang-terangan menegaskan yang antara lain menyebut yang bermaksud :
" ...dan tidak Tuhan itu mengenai TEMPAT dan tidak mengenai MASA , tidak mengenai pihak, tidak mengenai sukatan dan bilangan. ..Dan tidak Tuhan itu di atas sesuatu, dan tidak di bawah sesuatu dan mafhum makana bahawa Tuhan itu ATAS 'ARASY ialah dengan makna Tuhan itu MEMERINTAH dan MEMILIKI 'ARASY, dan bukan makna atas itu pihak dan tempat, maka tidak sesekali Tuhan itu menerimai pihak dan tempat, dan tidak Tuhan itu di luar tujuh lapis langit dan bumi, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak bercampur dengannya...dan tidak Tuhan itu di luar syurga, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak bercampur dengannya, bahkan Allah Taala Tuhan kita Jalla Waazaa itu lain dan segala barang dan setiap sesuatu yang diadakan Allah itu lain, maka Allah sangat-sangat berlainan yang sehabis-habis berlainan dan tidak ada sesuatu pun yang menyamai-Nya dalam apa jua cara, jalan dan hal sekalipun.."
Jika kita masih tidak 'memahami' hal ini bererti kita masih tidak mempunyai 'pancaindera yang ke enam' Al-H’assu Assadisu (الحس السادس)  atau dikenali juga sebagai "AL-BASIRAH, 'AINUL QALBI atau MATA HATI" yang disebut sebagai 'AKAL SYARAK'.

Semoga kita dapat memahami pengertian yang terkandung di dalam al-Quran surah سورة طه Thaahaa ayat 5:

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى                       

dan tidak tersalah faham hingga boleh membawa maksud kepada mensyirikkan /menyamakan /menyekutukan Allah dengan makhluk/segala sesuatu yang baharu. Sesungguhnya pemahaman dan perbuatan mensyirikkan/menyekutukan Allah adalah sebesar-besar dosa kezaliman yang tidak sesekali mendapat keampunan daripada Allah. Firman Allah di dalam al-Quran :
 إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا 
Maksudnya :
i." Sesungguhnya Allah tidak akan mengampun dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada ( syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar."

  [ Surah سورة النساء An-Nisaa' : 48 ]

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ 

Maksudnya :

ii. Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata : Sesungguhnya Allah ialah Al-Masih putera Maryam', pada hal Al-Masih sendiri berkata : ' Hai Bani Israli, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu'. Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang yang zalim itu seorang penolong."

[ Surah سورة المائدة Al-Maa idah : 72  ] 

ذَلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya :

iii. " Itulah petunjuk Allah, yang dengannya Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hambaNya. Seandainya mereka mempersekutukan Allah, nescaya lenyaplah dari mereka amalan (kebaikan/kebajikan) yang telah mereka kerjakan."

[ Surah سورة الأنعام Al-An'aam : 88 ]

Mudah-mudahan dengan penjelasan ringkas dalam ruang yang terbatas ini pemikiran kita tidak lagi berlegar-legar mencari jawapan yang pasti lagi sahih kebenarannya tanpa menimbulkan sebarang syak wasangka dan keraguan. Bacalah berulang kali dan manfaatkan bersama dengan keluarga, anak-anak, sahabat, rakan tolan dan sesiapa jua yang berhajatkannya. Semoga Allah melimpahkan kebarkatan dan rahmat-Nya kepada kita di sepanjang hayat. Amin.

اللهم أسعد أمة حبيبك صلى الله عليه وآله وسلم 

وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


********************************************

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ
                    Maksudnya :
" Tidakkah kamu tahu bahawasanya Allah : kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha mengetahui apa yang mereka kerjakan."            

                       [ Al-Quran surah سورة النّور An-Nuur : 41


ALLAH 'ISTIWA' DI ATAS AL 'ARASY الْعَرْشِ ?

  Sambugan daripada : UNTUKMU AGAMAMU, DAN UNTUK AKULAH AGAMAKU                      بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم    ال...