Jumaat, 23 Disember 2011

Tipu Daya Syiatan Iblis [Bhg I]





 Iblis berkata : " Ya Tuhan ku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka."
                    [Maksud al-Quran surah Al-Hijr : 39]                                       
 "Dan berkatalah syiatan tatkala perkara [hisab] telah diselesaikan: 'Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu melainkan [sekadar] aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah diri kamu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat mnenolong aku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku [dengan Allah] sejak dahulu'. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat keseksaan yang pedih.
                                  [ Al-Quran surah Ibrahim : 22 ]

Kehalusan dan kebenaran pengajaran ilmu agama Islam begitu terserlah dengan menerangkan "Kemuliaan Manusia dan Kemuliaan Ibadat " yang difardhukan Allah SWT ke atas manusia melalui wahyu yang diutuskan melalui Malaikat Jibrael AS kepada Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. untuk disampai dan diajarkan kepada manusia.  Kesemua pengajaran ilmu agama Islam ini sangat dipermusuhi oleh syiatan iblis kerana syiatan telah diletakkan dan ditakdirkan Allah Taala untuk memimpin segala jalan kejahatan dan syiatan adalah seteru atau musuh utama Malaikat Jibrael AS, Nabi-nabi, Rasul-rasul dan sekalian anak cucu Nabi Adam Alaihisalam atau manusia.

Di dalam al-Quran terdapat banyak peringatan bahawa "syiatan itu adalah musuh manusia" dan dilarang sama sekali menuruti dan mentaati suruhan syiatan. Amaran demi amaran dan peringatan demi peringatan yang berulang kali disebut di dalam al-Quran sudah mencukupi bagi manusia supaya berjaga diri supaya tidak terkena hasutan dan tipu daya syiatan iblis laknutallah.


Namun demikian orang-orang jahil yang ingkar, mendustakan dan tidak beriman kepada kebenaran al-Quran dan Rasulullah s.a.w. dan sesiapa juga yang tidak mempercayai wujudnya makhluk yang dinamakan syiatan, iblis dan makhluk-makhluk jenis jin yang sama jenis dengan iblis syiatan ini tersangat mudah tertipu dengan godaan dan tipu daya syiatan melalui berbagai-bagai cara dan pendekatan sama ada secara berterang-terangan atau secara halus tanpa disedari.


Tipu daya Iblis sudah bermula sejak  Nabi Adam AS dijadikan lagi seperti yang dimaksudkan di dalam al-Quran surah Al-Baqarah : 35-36 :

 " Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para Malaikat: " Sujudlah kamu kepada Adam,"  maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takbur dan ia termasuk golongan orang-orang yang kafir." Dan Kami berfirman : "Hai Adam, diamlah kamu dan isterimu di syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana sahaja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim."
Lalu kedua-duanya digelincirkan oleh syiatan dari syurga itu dan kedua-duanya dikeluarkan dari keadaan semula dan Kami berfirman : "Turunlah kamu!, sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan."
Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya.  Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. "  
Dalam surah Thahhaa ayat 115-123 pula diperingatkan lagi yang bermaksud: 
Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu ), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat.
Dan (ingatlah) ketika Kami berkata kepada malaikat : "Sujudlah kamu kepada  Adam", maka mereka sujud kecuali Iblis. Ia membakang.
Maka Kami berkata : " Hai Adam, sesungguhnya ini (Iblis) adalah musuh bagimu dan bagi isterimu, maka sekali-kali janganlah sampai ia mengeluarkan kamu berdua dari syurga yang menyebabkan kamu menjadi celaka.
Sesungguhnya kamu tidak kelaparan di dalamnya dan tidak akan telanjang [ terdedah aurat].
Dan sesungguhnya kamu tidak akan merasi dahaga dan tidak (pula) akan ditimpa panas matahari di dalamnya."
Maka keduanya memakan dari buah pohon itu, lalu nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun (yang ada dalam syurga) dan derhakalah Adam kepada Tuhan dan sesatlah ia.
Kemudian Tuhan memilihnya, maka Dia menerima taubatnya dan memimpinnya.
Allah berfirman : " Turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, maka jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, lalu barangsiapa yang mengikut petunjuk-Ku ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka."
Dalam surah Al-A'Raaf : 13-18 diulangi peringatan dan permohonan Iblis diperkenankan Allah seperti yang bermaksud :
Allah berfirman : "Turunlah kamu dari syurga itu kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina".
Iblis menjawab : " Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan".
Allah berfirman : "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh."
Iblis menjawab : " Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus.
Kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur."
Allah berfirman : "Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi Neraka Jahanam dengan kamu semuanya."
Maksud yang hampir sama juga diulangi dalam surah Al-Hijr : 28-38.

Dalam ayat 39-44 pula diperjelaskan lagi yang bermaksud :

Iblis berkata : " Ya Tuhan ku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, 
kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka."
Allah berfirman : " Ini adalah jalan yang lurus; kewajiban Aku lah (menjaganya).
Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang yang sesat.
Dan sesungguhnya Jahanam itu benar-benar tempat yang telah diancamkan kepada mereka (pengikut-pengikut syiatan) semuanya.
Jahanam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka.
Sungguhpun manusia biasa tidak mengenali dan tidak dapat berbicara dengan syiatan tetapi Allah telah meletakkan para  Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang "maksum" itu mempunyai kelebihan "istimewa" dapat melihat, mengenali dan boleh berbicara dengan syiatan iblis, sama seperti mereka menemui dan berbicara dengan malaikat, agar dapat memberi peringatan kepada manusia supaya berjaga-jaga dengan tipu daya syiatan yang sangat halus dan licik yang sukar diatasi oleh manusia yang jahil dan tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Dalam hal ini terdapat satu riwayat yang bermaksud :
"Maka sesungguhnya diriwayatkan bahawasanya Noh Alaihisalam tatkala menaiki bahetra ia pun menghitungkan ke dalamnya daripada tiap-tiap dua kelamin itu dua sebagaimana disuruhkannya oleh Allah Taala . Maka ia melihat dalam bahtera itu seorang tua yang dia tidak mengenalinya. Maka kata Noh kepadanya : Apakah sebab yang memasukkan engkau. Maka jawabnya : Aku masuk supaya aku dapat mengenai hati-hati sahabat-sahabat engkau supaya jadilah hati-hati mereka bersertaku dan badan-badan mereka berserta engkau. Maka kata Noh AS kepadanya : Keluarlah olehmu daripadanya wahai seteru Allah yang dilaknati.  Maka kata Iblis kepadanya : Ada lima (5) perkara aku binasakan  dengannya manusia , dan aku khabarkan kepada engkau daripadanya dengan tiga (3) perkara dan tiada aku khabarkan kepada engkau dengan dua(2) perkara lagi. Maka Allah mewahyukan kepada Noh bahawasanya tiada berhajat bagi engkau dengan tiga (3) perkara itu. Hendaklah ia mengkhabarkan kepada engkau dengan dua (2) perkara itu. 
Maka kata Noh kepadanya : Apa dia dua (2) perkara itu?. Maka katanya : Ada dua yang tidak pernah mendustakan akan daku ialah dua yang tidak pernah menyalahi akan daku; dengan duanya itulah aku membinasakan manusia iaitu :  HASAD dan TAMAK. Dengan sebab HASAD aku dilaknati dan dijadikan aku syiatan yang kena laknat. Adapun itu dengan sebab TAMAK aku mengenai hajatku terhadap Adam supaya memakan buah daripada satu pokok yang terlarang di dalam syurga. [maksudnya Adam diberikan kebebasan menikmati memakan apa juga buah-buahan yang terdapat di dalam syurga kecuali buah yang terdapat pada satu pokok khusus yang terlarang.  Dengan kebijaksanaannya  menggunakan pujuk rayu dan tipu helah Iblis telah berjaya menyemaikan perasaan TAMAK hingga menyebabkan dia [Nabi Adam] dan isterinya, (Hawa) memakan buah yang terlarang itu]".
Terdapat satu lagi riwayat mengenai pertemuan Nabi Musa AS dengan Iblis yang bermaksud :
"Maka sesungguhnya diriwayatkan bahawasanya Musa AS menemui Iblis.  Maka kata Iblis kepadanya:
Wahai Musa engkau ialah orang yang Allah Taala pilihi dengan menjadikan engkau Rasul Pesuruh-Nya dan Ia telah berkata-kata dengan kau sebagai berkata-kata tidak dengan wasitah. Dan aku ialah hamba daripada hamba Allah. Telah aku berbuat dosa  dan aku kehendaki bertaubat, maka engkau syafaatkanlah bagiku kepada Tuhan ku bahawa Ia menerimai taubat ke atasku. Maka kata Musa AS : Ya.
Tatkala naik Musa kepada bukit dan berkata-kata dengan Tuhan nya Azawajalla dan ia hendak turun, Allah berfirman kepadanya : Tunaikanlah amanat. Maka kata Musa:  Wahai Tuhan bermula hamba engkau Iblis ia berkehendak  bahawa Engkau menerima taubatnya ke atas Engkau. Maka Allah Taala mewahyukan kepada Musa AS : Wahai Musa sesungguhnya telah aku tunaikan hajat engkau. Suruhkanlah akan dia sujud kepada kubur Adam hingga diterimakan taubat ke atasnya. Maka menemui Musa akan Iblis dan berkata kepadanya : Sesungguhnya telah aku tunaikan hajat engkau. Disuruh engkau sujud kepada kubur Adam hingga diterima taubat engkau.  Dengan marah dan bersombong diri Iblis berkata : Tidak aku sujud kepadanya sewaktu sedang ia hidup, adakah aku sujud kepadanya sewaktu is sudah mati?!.  Kemudian ia berkata kepadanya : Wahai Musa , bahawasanya bagi engkau di atasku hak dengan sebab barang apa yang telah engkau syafaatkan bagiku kepada Tuhan engkau. 
Hendaklah engkau ingatkan akan daku pada tiga (3) perkara nescaya aku tidak membinasakan engkau padanya iaitu : Engkau ingatkan akan daku pada ketika engkau marah, bahawasanya roh aku pada hati engkau dan mata aku pada mata kau dan aku berjalan daripada engkau sebagaimana perjalanan darah.  Ingatkanlah akan daku apabila engkau marah, maka bahawasanya apabila marah manusia itu nescaya aku tiupkan pada hidungnya.  Maka tidak ia tahu akan barang apa yang ia perbuat. Dan engkau ingatkan akan daku pada ketika engkau menemui pertempuran, maka bahawasanya aku datang kepada anak Adam pada ketika itu mengingatkan akan isterinya, anak-anaknya dan ahli-ahlinya hingga ia berpaling.  Dan engkau peliharai daripada duduk kepada perempuan yang bukan mempunyai mahram, bahawasanya aku ialah jadi pesuruhnya kepada engkau kepadanya hingga aku memfitnahkan engkau dengannya dan aku memfitnahkan akan dia dengan engkau."
Syiatan dan tentera-tenteranya tidak pernah merasa jemu atau kecewa dan berputus asa untuk merosakkan manusia selagi manusia itu masih hidup bernyawa di dunia.  Objektif utama misi mereka adalah untuk menjadikan setiap diri manusia itu sesat kafir dengan menyekutukan Allah dan melakukan perkara-perkara yang ditegah Allah hingga menjadikan mereka tidak beriman dan terjumlah sebagai orang yang ingkar.

Dalam Hadis Rasulullah s.a.w. yang menerangkan hal keadaan roh orang mukmin salih ketika berhadapan dengan saat Sakaratul-maut yang begitu dipermuliakan dengan dihantar 500 orang Malaikat Rahmat menyambut rohnya apabila dicabut keluar daripada jasadnya oleh Malaikat Maut. Pada ketika itu baharulah penghulu Iblis merasa kecewa dan kesal seperti yang dimaksudkan Hadis :

"..............Apabila dilihat oleh Iblis ia pun meletakkan tangannya ke atas kepalanya kemudian dia mengeluh dukacita. Sabda  [Rasulullah s.a.w.] : Maka berkata tentera-tenteranya kepadanya : Kenapakah engkau wahai tuan penghulu kami?  Maka ia berkata : Adakah engkau sekalian tidak lihati barang apa yang diberikan kepada hamba ini dengan kemuliaaannya, di manakah engkau sekalian daripada orang ini? Kata mereka : Sesungguhnya telah bersungguh-sungguh kami menipu daya terhadapnya tetapi dia "termaksum" [terpelihara].
Setiap orang yang mengaku telah beriman kepada Allah dan RasulNya hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dan beristiqamah mempelajari, memahami, menghayati dan berpegang teguh kepada ilmu yang hak mengenai akidah keimanan dalam usaha untuk menyanggah, melawan dan menolak segala hasutan syaitan, walau bagaimana susah mempelajari dan memahaminya semasa hidup di dunia ini. 


Ujian terakhir akan dihadapi setiap orang apabila tiba masanya seseorang itu hampir mati dan berpindah daripada dunia ini ke suatu tempat yang lain iaitu di Alam Barzakh, negeri akhirat. Pada ketika itu, syaitan dan sekelian kaumnya akan menggunakan segala daya upaya mereka itu untuk mencari jalan menyesatkan orang yang hampir mati itu dengan bermacam-macam cara tipu daya dengan memujuk bermacam-macam pujukan supaya meninggalkan pegangan iktiqad akidah keimanan yang benar itu kepada iktiqad yang lain daripada agama Islam.

Mereka itu datang berpuak-puak menyerupai orang kenalan, sahabat-sahabat karib, kaum kerabat yang jauh dan dekat kepada orang yang hampir mati itu. Mereka datang menghampiri orang yang sakit tenat membawa maut itu dengan berbagai cara dan keadaan seperti menyerupai bapa, ibu, sama ada yang masih hidup atau sudah mati, ulama terkenal bahkan mengaku sebagai Nabi.



Mereka mengeluarkan kata-kata yang manis berbentuk pujukan, rayuan dan hasutan supaya mendengar dan menerima pengajaran sesat yang dibentangkan ketika saat nazak itu. Didatangkan juga bermacam-macam ujian dan percubaan dengan tujuan hendak mengelirukan iktiqad keimanannya supaya mahu mempertuhankan lain daripada Allah Taala.

Orang yang hampir mati itu hanya mempunyai satu pilihan sahaja  iaitu  melawan dan membangkang sekuat-kuatnya akan segala tipu syaitan itu supaya terlepas daripada bahaya mati dalam agama kafir dengan mensyirikkan Allah Taala. Sekiranya dia tidak mempunyai kekuatan ilmu untuk melawan hujjah-hujjah syiatan ini adalah amat ditakuti dia mati dalam keadaan mensyrikkan Allah. 


Mensyirikkan Allah adalah sebesar-besar dosa dan sebesar-besar kezaliman yang tidak diampunkan Allah dan dijanjikan balasan seksa yang berkekalan selama-lamanya di dalam api neraka  bagi orang yang  mati dalam kekafiran  mensyirikkan Allah itu.

Mungkin terdapat pengajaran fahaman agama sesat yang mengatakan bahawa apabila seseorang itu hendak mati maka datanglah rupa diri sendiri, rupa cahaya putih seperti kapas  atau seorang yang tertulis di dahinya dengan kalimah (لا إله إلا الله) atau rupa huruf alif, lam, lam, ha (ال ل ه) itu yang dikatakan Itulah Tuhan”. Ini adalah pegangan iktiqad sesat yang dipegang oleh orang kafir yang mesti disanggah, dikikis dan dibersihkan daripada pemahaman di hati.  



Sesungguhnya sesiapa juga yang percayakan ajaran ini, bukan sahaja apabila orang itu hampir hendak mati dihukumkan kafir bahkan pada saat itu jugalah telah bertukar menjadi kafir dan bukan lagi beragama Islam yang tidak diketahui orang lain yang berada di sisinya.


 [ Lihat: i. Bersediakah Anda Menghadapi SAKARATUL MAUT? .
              ii. Perbandingan Iktiqad Orang Melayu (Bhg 2)]
             iii. SOAL JAWAB Mengenai "ADA" Allah SWT.]

Terlalu banyak pengajaran ilmu dan peringatan yang terkandung di dalam nas-nas yang dipaparkan di atas. Rumusannya dapatlah difahamai bahawa :


1.  Syiatan adalah sebesar-besar musuh sebenar manusia yang telah bermula sejak kejadian Nabi Allah Adam Alaihisalam.


2.  Oleh sebab syiatan telah dilaknat Allah dia telah bermohon agar dipanjangkan hayat supaya dapat merosakkan anak cucu Nabi Adam AS hingga berlakunya Hari Kiamat. Dengan cara itu mereka mendapat hukuman yang sama bersamanya di dalam api Neraka Jahanam. Allah telah memperkenankan permohonan Iblis tetapi dia tidak berdaya merosakkan orang-orang yang beriman, beramal salIh dan bermukhlis atau benar-benart ikhlas beribadat kepadaNya.


3.  Syiatan Iblis mempunyai kepintaran luar biasa dan indah lunak pertuturan kata bicaranya untuk menipu umat manusia dengan bermacam-macam cara dan tipu helah yang sukar disanggah oleh orang-orang jahil dan lebih-lebih lagi mereka yang tidak beriman kepada Allah dan RasulNya dan tidak memahami dengan mendalam Ilmu At-Tawhid dan keimanan.


4.  Syiatan iblis bukanlah orang halus atau seperti bayang-bayang tetapi boleh menyerupai  manusia seperti orang tua hinggakan Nabi Allah Noh AS tidak mengenalinya. Syiatan juga  boleh masuk ke dalam badan manusia melalui perjalanan darah hingga menjadikan mata dia pada mata manusia dan roh dia pada hati manusia.


5.  Syiatan iblis tidak berdaya melawan atau berkata dusta kepada Nabi dan Rasul yang maksum dan terpelihara dari berbuat sebarang dosa kesalahan. Sebagai makhluk yang tidak mempunyai kuasa menentang kuasa dan kehendak Allah syiatan terpaksa berkata benar terhadap apa juga perkara yang dirahsiakannya seperti yang berlaku kepada Nabi Noh, Nabi Musa dan Nabi Yahya AS.


6.  Nabi Musa AS mendengar kalam Allah yang Qadim itu [ tiada berhuruf dan tiada bersuara] dan tiada berkaifiat walau dengan apa jua cara sekalipun kerana Kalam Allah itu tiada menyamai sama sekali dengan kalam makhluk dengan tiada misal dan tiada kias dan bandingan dengan kalam makhluk.  Sungguhpun Nabi Allah Musa AS  mendengar kalam Allah tetapi dia TIDAK sekali-kali melihat Zat [Diri] Allah Taala.


[Peringatan penting :  Adalah sangat besar salahnya jika seseorang menuduhkan bahawa Nabi Musa AS ada melihat Zat Allah ketika berada di atas bukit berkenaan kerana Allah itu bukan makhluk yang memerlukan TEMPAT dan ketika ketika berada di dalam dunia ini tidak ada sesiapa pun dapat melihat Zat Allah sama ada Nabi-nabi dan Rasul-rasul Alaihisalam.]


7.  Sifat-sifat mazmumah  seperti sombong, takbur, hasad, dengki, tamak, riak dan yang seumpamanya itu adalah mewarisi sifat-sifat syiatan yang dibenci Allah.  Walaupun pada penilaian manusia biasa sifat-sifat ini adalah begitu lumrah dimiliki kebanyakan manusia dan dipandang ringan sahaja tetapi kepada Allah sifat-sifat mazmumah ini adalah dosa besar dan hendaklah dihapuskan pada setiap diri manusia dan digantikan dengan sifat-sifat mahmudah yang terpuji seperti yang dimiliki oleh para Nabi dan Rasul Alaihisalam.

Ini adalah disebabkan Iblis Laknatullah  mempunyai sifat-sifat yang tercela ini. Bersandarkan kepada maksud Hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabbal RA, orang mukmin yang melakukan ibadat tetapi masih memiliki sifat-sifat mazmumah maka ibadatnya tidak diterima Allah.


[ Sila lihat :Kemuliaan Manusia dan Kemuliaan Ibadat ] .


Mampukah kita berhadapan dengan tipu daya syiatan tanpa pertolongan Allah Taala? Apakah amalan-amalan yang boleh memberi kekuatan dan perlindungan daripada tipu daya dan gangguan syiatan?


 Persoalan-persoalan ini ada diperjelaskan sedikit dalam: Tipu Daya Syiatan Iblis Bhg 2].

Kita hendaklah sentiasa mengulangi terhadap peringatan Allah di dalam al-Quran surah Faathir: 6 yang barmaksud :

"Sesungguhnya syiatan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh mu, kerana sesungguhnya syiatan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala."
 Mudah-mudahan kita sentiasa terpelihara dan mendapat limpahan rahmat perlindungan Allah dari sebarang tipu daya syiatan yang telah diletakkan dan ditakdirkan Allah menjadi ujian kepada setiap diri manusia untuk menentukan keimanan dan ketaqwaan mereka. Amin.
















                    


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan