Halaman

Khamis, 1 September 2011

KEBAHAGIAAN, KENIKMATAN dan KEINDAHAN HIDUP DI SYURGA

                                             
         بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ


مَّثَلُ الْجَنَّةِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ أُكُلُهَا دَآئِمٌ وِظِلُّهَا تِلْكَ عُقْبَى الَّذِينَ اتَّقَواْ وَّعُقْبَى الْكَافِرِينَ النَّار 
                    Maksudnya : 
" Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tidak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertaqwa; sedangkan tempat kesudahan bagi orang-orang yang kafir ialah neraka."
                   [ Al-Quran surah Ar-Ra'd: 35 ]


                                   *************************************

                  
وَمَآ أَمْوَلُكُمْ وَلاَ أَوْلَـدُكُمْ بِالَّتِى تُقَرِّبُكُمْ عِندَنَا زُلْفَى إِلاَّ مَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـلِحاًفَأُوْلَـئِكَ لَهُمْ جَزَآءُ الضِّعْفِ بِمَا عَمِلُواْ وَهُمْ فِى لْغُرُفَـتِ ءَامِنُونَ.
                     Maksudnya :
"Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (pula) anak-anak   kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami sedikitpun; tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal salih, mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang  telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam syurga.)"
[Al-Quran surah Saba' : 37]
                                                                     ***************************************************************
وَحُورٌ عِينٌ (22) كَأَمْثَالِ اللُّؤْلُؤِ الْمَكْنُونِ (23) جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (24) لا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا وَلا تَأْثِيمًا (25) إِلا قِيلا سَلامًا سَلامًا (26) 
                              Maksudnya :
"Dan di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang bermata jeli,(22) 
laksana mutiara yang tersimpan baik. (23) 
Sebagai balasan bagi apa yang telah dikerjakan.(24) 
Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan tidak pula yang menimbulkan dosa,(25)   
akan tetapi mereka mendengar ucapan salam."(26) 
                     [ Al-Quran surah Al-Waaqi'ah : 22-26]  
                                  ******************************************

Kebenaran, keindahan dan kemuliaan agama Islam itu sangat luar biasa, begitu jelas dan nyata kerana melalui kitabullah al-Quran dan Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. menceritakan segala hal yang berlaku sejak diadakan makhluk termasuk kejadian manusia, cara kehidupan di dunia yang diredai Allah, apa yang berlaku di Alam Barzakh dan juga segala hal yang berkaitan dengan hari akhirat yang tidak diketahui sama sekali akan hakikatnya oleh manusia biasa.

Demikian juga al-Quran dan Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. mengkhabarkan dengan jelas apa yang akan berlaku kepada setiap diri dan roh manusia [badan batin] apabila berhadapan dengan Sakratul-maut sebagai 'pintu' pertama yang mesti dilalui untuk menuju ke alam akhirat. Ini bererti akhirat itu 'tersangat hampir' dan pasti ditemui setiap diri manusia pada bila-bila masa apabila maut datang 'menjemputnya'.

Adapun hal-hal yang berkaitan dengan hari akhirat tidak dapat dijangkau oleh fikiran manusia biasa tanpa bimbingan wahyu Allah melalui malaikat Jibrael Alaihisalam kepada Rasullullah s.a.w. untuk disampai dan dikhabarkan kepada umat manusia dan jin agar mereka membuat persediaan secukupnya untuk berhadapan dengannya.


Ini bermakna Rasullullah s.a.w. adalah sebenar-benar 'Utusan' Allah Ar- Rahman Ar-Rahim untuk memberi pertunjuk yang benar dalam bidang Ilmu At-Tawhid, aqidah keimanan dan segala hal mengenai hari akhirat termasuk padang mahsyar, neraca penimbang amalan manusia, titian sirat  yang sangat panjang, sangat tajam dan lebih halus daripada rambut terbentang di atas permukaan api neraka yang mesti dilalui oleh setiap diri manusia, kolam haudh Nabi Muhammad s.a.w., neraka dan syurga. 
Sebagaimana yang diperjelaskan di dalam al-Quran Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada manusia biasa hal keadaan di akhirat atas hikmah dan rahsia tertentu sebagai ujian keimanan kepada manusia yang dijadikan untuk hidup sementara di dunia dan melaksanakan amanah yang diberikan. Firman Allah:
ما كانَ اللَّهُ لِيَذَرَ المُؤمِنينَ عَلىٰ ما أَنتُم عَلَيهِ حَتّىٰ يَميزَ الخَبيثَ مِنَ الطَّيِّبِ ۗ وَما كانَ اللَّهُ لِيُطلِعَكُم عَلَى الغَيبِ وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَجتَبى مِن رُسُلِهِ مَن يَشاءُ ۖ فَـٔامِنوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ ۚ وَإِن تُؤمِنوا وَتَتَّقوا فَلَكُم أَجرٌ عَظيمٌ 
                   Maksudnya : 
"Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang, sehingga Dia menyisihkan yang buruk (munafik) dengan yang baik (mukmin).Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara Rasul-rasul-Nya. Oleh sebab itu berimanlah kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka bagimu pahala yang besar." 
              [  Al-Quran surah Al-Imran : 179 ]
Namun atas sifat Ar-Rahman, Ar-Rahim, Maha Pemurah lagi Maha Bijaksana, Allah Taala telah mentakdirkan Rasullullah s.a.w. mengalami sendiri dengan roh dan jasad dalam keadaan jaga [bukan mimpi]  peristiwa malam Isra' dan Mikraj. Melalui peristiwa mukjizat besar tersebut Rasullullah s.a.w. telah dibawa oleh haiwan yang didatangkan khas daripada syurga bernama Al-Buraq untuk dijadikan kenaikan perjalanan Isra' baginda daripada Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Muqadis dan Mikraj ke langit hingga sampai ke Sidratil Muntaha yang berada di hadapan Arasy. 
Rasullullah s.a.w. juga telah dibawa oleh Al-Buraq masuk ke dalam syurga dan melihat sendiri dengan mata kepala baginda (dalam keadaan sedar dan bukan mimpi dengan jasad dan roh) akan hal keadaan sebenar yang terdapat di dalam syurga seperti yang dimaksudkan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. :
" Dan kata Annas: Sabda Rasulullah s.a.w. : Tatkala di Isra'kan denganku, aku memasuki syurga suatu tempat namanya Al-Badigh, di atasnya khemah-khemah daripada luk-luk [mutiara] dan zabrijad dan yaqut yang merah. Maka kata mereka:   Assalamualalaikum wahai Rasulullah. Maka aku kata [kepada Malaikat Jibrael A.S]:  Apa dia seruan ini? Ia [ Jibrael ] berkata : Mereka ialah perempuan-perempuan bidadari yang hanya tinggal pada khemah-khemah sahaja, minta izin mereka kepada Tuhan mereka untuk memberi salam, kepada engkau. Maka Dia mengizinkan bagi mereka dan jadilah mereka berkata: Kami sangat-sangat meredhai, maka kami tiada marah selama-lamanya.........[hingga akhir hadis].
Peristiwa ini dapat mentahqikkan lagi kebenaran syurga sudah wujud dan Rasullullah s.a.w. memasuki dan melihat sendiri dengan mata kepalanya dengan jasad dan roh dalam keadaan jaga [bukan mimpi] untuk mengesahkan hal-hal syurga yang berulang-ulang kali disebut di dalam al-Quran.
Sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Nabi Adam Alaihisalam adalah bapa manusia yang asal kejadiannya daripada tanah telah memulakan kehidupannya di dalam syurga bersama isterinya Hawa sebelum diperintahkan turun ke bumi atas sebab-sebab yang termaklum.

Justeru manusia biasa termasuk orang Islam tidak boleh sama sekali membuat tafsiran sendiri terhadap kalimah "syurga" yang banyak disebut di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. atau membuat apa juga andaian-andaian, khayalan imaginasi atau mereka-reka sendiri mengikut munasabah atau logik akal mereka.  Adalah menjadi kebiasaan bagi orang-orang  yang tidak beriman mengatakan atau membuat andaian bahawa syurga itu tidak wujud atau belum wujud atau syurga itu sama seperti apa yang terdapat di dunia atau perumpamaan-perumpamaan lain yang bertentangan dengan apa yang diperjelaskan di dalam al Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
Di dalam al-Quran ada menyebutkan beberapa nama syurga, antaranya :
Firdaus, 'Adn, Na'iim, Ma'wa, Darussalam, Muaqaamah, Al-Muqqamul Amin dan Khuldi.

Di dalam al-Quran tidak menjelaskan secara terperinci akan hal keadaan syurga yang sebenarnya membuatkan pembaca al-Quran hanya mendapat gambaran sepintas lalu sahaja mengenai hal keadaan di dalam syurga.

Firman Allah dalam al Quran surah Al-Waaqi'ah: 11-24  ada menyebut hal di dalam syurga  :
 أُولَئِكَ الْمُقَرَّبُونَ (11) فِي جَنَّاتِ النَّعِيمِ (12) ثُلَّةٌ مِنَ الأوَّلِينَ (13) وَقَلِيلٌ مِنَ الآخِرِينَ (14) عَلَى سُرُرٍ مَوْضُونَةٍ (15) مُتَّكِئِينَ عَلَيْهَا مُتَقَابِلِينَ (16) يَطُوفُ عَلَيْهِمْ وِلْدَانٌ مُخَلَّدُونَ (17) بِأَكْوَابٍ وَأَبَارِيقَ وَكَأْسٍ مِنْ مَعِينٍ (18) لا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا وَلا يُنْزِفُونَ (19) وَفَاكِهَةٍ مِمَّا يَتَخَيَّرُونَ    (20) وَلَحْمِ طَيْرٍ مِمَّا يَشْتَهُونَ (21) وَحُورٌ عِينٌ (22) كَأَمْثَالِ اللُّؤْلُؤِ الْمَكْنُونِ (23) جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (24)
                  Maksudnya :
" Mereka itulah orang yang didekatkan [kepada rahmat Allah].(11) 
Berada [tinggal tetap] dalam syurga-syurga kenikmatan. (12)
[Di antaranya] segolongan besar daripada orang-orang terdahulu,(13) 
dan segolongan kecil daripada orang-orang yang kemudian.(14) 
[Mereka berada di dalam syurga] di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan emas dan permata, (15)
Sambil berteleku di atasnya berhadap-hadapan.(16) 
Mereka dikelilingi [dilayani] oleh anak-anak muda yang tetap muda,(17) 
Dengan membawa gelas, cerek dan piala berisi minuman yang diambil dari mata air yang menglir,(18)
        mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk,(19)
dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih,(20) 
dan daging burung dari apa yang mereka inginkan.(21)
           Dan (di dalam syurga itu) ada bidadari-bidadari yang bermata jeli,          (22)

         laksana mutiara yang tersimpan baik.(23)

         Sebagai balasan bagi apa yang telah mereka kerjakan."(24)
          
Dalam surah yang sama ayat: 27-40 pula dikhabarkan lagi hal syurga seperti berikut: 
وَأَصْحَابُ الْيَمِينِ مَا أَصْحَابُ الْيَمِينِ (27) فِي سِدْرٍ مَخْضُودٍ (28) وَطَلْحٍ مَنْضُودٍ (29) وَظِلٍّ مَمْدُودٍ (30) وَمَاءٍ مَسْكُوبٍ (31) وَفَاكِهَةٍ كَثِيرَةٍ (32) لا مَقْطُوعَةٍ وَلا مَمْنُوعَةٍ (33) وَفُرُشٍ مَرْفُوعَةٍ (34) إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً (35) فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا (36) عُرُبًا أَتْرَابًا (37) لأصْحَابِ الْيَمِينِ (38) ثُلَّةٌ مِنَ الأوَّلِينَ (39) وَثُلَّةٌ مِنَ الآخِرِينَ (40)
                   Maksudnya :

        " Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu.               (27)


         Berada di antara pohon bidara yang tidak berduri,(28)

         dan pohon pisang yang bersusun-susun rapi [ buahnya],(29)

         dan naungan yang tetap terbentang luas,(30)

         dan air yang sentiasa tercurah mengalir,(31)

         dan buah-buahan yang banyak.(32)

         Yang tidak berhenti buahnya dan tidak terlarang mengambilnya,     (33)
         dan kasur-kasur [tempat tidur] yang tebal lagi empuk.(34)
Sesungguhnya Kami mengadakan mereka [bidadari-bidadari] dengan dengan langsung, (35)
dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan [yang tidak pernah disentuh],(36)
penuh cinta  lagi sebaya umurnya (37) 
[Kami adakan mereka ] untuk golongan kanan,(38) 
[Iaitu] segolongan besar daripada orang-orang terdahulu, (39)
dan segolongan besar pula daripada orang yang kemudian."(40)

Dalam surah An-Nisaa' : 57 juga ada menjelaskan hal yang hampir sama seperti yang disebut dalam Firman Allah :
وَالَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّـلِحَـتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّـتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا الاٌّنْهَـرُ خَـلِدِينَ فِيهَآ أَبَداً
لَّهُمْ فِيهَآ أَزْوَجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَنُدْخِلُهُمْ ظِـلاًّ ظَلِيلاً

                     Maksudnya :
"Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan salih, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai; kekal mereka di dalamnya; mereka di dalamnya mempunyai isteri-isteri yang suci, dan Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh lagi nyaman."
Pengertian yang hampir sama diperjelaskan di dalam FirmanAllah  surah Al-Ankabuut ayat 58-59: 
 وَالَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّـلِحَـتِ لَنُبَوِّئَنَّهُمْ مِّنَ الْجَنَّةِ غُرَفَاً تَجْرِى مِن تَحْتِهَا الاٌّنْهَـرُ خَـلِدِينَ فِيهَانِعْمَ أَجْرُ الْعَـمِلِينَ
الَّذِينَ صَبَرُواْ وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

                    Maksudnya :
" Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan salih, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat-tempat yang tinggi di dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-sebaik pembalasan bagi orang-orang yang beramal. (58) 
(Iaitu) yang bersabar dan bertawakkal kepada Tuhannya."(59)  
 Demikian juga penjelasan yang terkandung dalam surah Al-Ghaasyiyah ayat 8-16  : 
 وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاعِمَةٌ (8) لِسَعْيِهَا رَاضِيَةٌ (9) فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ (10) لا تَسْمَعُ فِيهَا لاغِيَةً (11) فِيهَا عَيْنٌ جَارِيَةٌ (12) فِيهَا سُرُرٌ مَرْفُوعَةٌ (13) وَأَكْوَابٌ مَوْضُوعَةٌ (14) وَنَمَارِقُ مَصْفُوفَةٌ (15) وَزَرَابِيُّ مَبْثُوثَةٌ (16
               Maksudnya :
" Banyak muka pada hari itu berseri-seri, (8)
merasa senang kerana usahanya, (9)
dalam syurga yang tinggi, (10)
tidak kamu dengar di dalamnya perkataan yang tidak berguna. (11)
Di dalamnya ada mata air yang mengalir.(12) 
Di dalamnya ada takhta-takhta yang ditinggikan, (13)
dan gelas-gelas yang terletak (berhampirannya), (14)
dan bantal-bantal sandaran yang tersusun,(15) 
dan permaidani-permaidani yang terhampar."(16)

Sungguhpun tidak diperjelaskan secara khusus mengenai ukuran keluasan syurga tetapi di dalam al-Quran ada menerangkan seperti berikut :

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (133) الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (134 
            Maksudnya:
          i. "Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan mu 

           dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi; yang 
           disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. (133)

           (Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya)
            baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang 
            yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan)
            orang. Allah menyukai orang-orng yang berbuat kebajikan."     (134)

                        [  Surah Al-'Imran : 133-134 ] 


سَابِقُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا كَعَرْضِ السَّمَاءِ وَالأرْضِ أُعِدَّتْ لِلَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ 
Maksudnya :
ii. "Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) keampunan dari Tuhan mu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar."  
                 [   Surah Al Hadid : 21 ]

 Firman Allah dalam surah Al-'Imran ayat  136  diperjelaskan pula :

أُوْلَـئِكَ جَزَآؤُهُمْ مَّغْفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَجَنَّـتٌ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا الاٌّنْهَـرُ خَـلِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَـمِلِينَ

                     Maksudnya :
" Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal."

Firman Allah dalam surah Ar-Rahman pula menceritakan berulang-ulang kali mengenai hal keadaan keindahan, kebahagian dan kenikmatan di dalam syurga. Antaranya adalah seperti yang dimaksudkan di dalam ayat-ayat 54-61:
    مُتَّكِئِينَ عَلَى فُرُشٍ بَطَائِنُهَا مِنْ إِسْتَبْرَقٍ وَجَنَى الْجَنَّتَيْنِ دَانٍ (54) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (55) فِيهِنَّ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنْسٌ قَبْلَهُمْ وَلا جَانٌّ (56) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (57) كَأَنَّهُنَّ الْيَاقُوتُ وَالْمَرْجَانُ (58) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (59) هَلْ جَزَاءُ الإحْسَانِ إِلا الإحْسَانُ (60) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (61 
                  Maksudnya :
" Mereka bertelekan di atas permaidani yang sebelah dalamnya dari suteraz. Dan buah-buahan kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat. (54) 
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah hendak kamu dustakan?(55)   
Di dalam syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari dari yang sopan dan menundukkan pandangannya yang tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka)dan tidak pula oleh jin. (56)
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah hendak kamu dustakan? (57)  
Seakan-akan bidadari-bidadari itu [cantik berseri] seperti permata yakut dan marjan. (58)
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah hendak kamu dustakan? (59)  
Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?(60)
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah hendak kamu dustakan?(61)
 Hal keindahan dan kenikmatan syurga diperjelaskan juga pada ayat-ayat 62-78 dalam surah yang sama yang dikhaskan kepada orang-orang mukmin yang salih dari golongan istimewa ahli Al-Muqarrabun dan Ashabul Yamin.

[Lihat : Pengertian Al-Muraqabah dan Golongan Ahli Al-Muqarrabin ]

Kenikmatan hidup di dalam syurga yang tidak terhingga pada setiap detik itu adalah berkekalan selama-lamanya tanpa kesudahan berbanding  terlalu 'sedikit' sahaja kebahagian dan kenikmatan hidup di dunia yang diakhiri pula dengan KEMATIAN yang pasti. Di dalam surah Ad-Dukhan ayat 51-57 diperjelaskan hakikat ini:

 إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي مَقَامٍ أَمِينٍ (51) فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ (52) يَلْبَسُونَ مِنْ سُنْدُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ مُتَقَابِلِينَ (53) كَذَلِكَ وَزَوَّجْنَاهُمْ بِحُورٍ عِينٍ (54) يَدْعُونَ فِيهَا بِكُلِّ فَاكِهَةٍ آمِنِينَ (55) لا يَذُوقُونَ فِيهَا الْمَوْتَ إِلا الْمَوْتَةَ الأولَى وَوَقَاهُمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ (56) فَضْلا مِنْ رَبِّكَ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (57
              Maksudnya :
" Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di dalam tempat yang aman (syurga),(51)
         (Iaitu) di dalam taman-taman dan mata air-mata air; (52)
Mereka memakai pakaian sutera yang halus dan sutera yang tebal,(duduk) berhadap-hadapan, (53)
demikianlah. Dan Kami berikan kepada mereka bidadari.(54)
Di dalamnya mereka meminta segala macam buah-buahan dengan aman [dari segala kekuatiran/kekurangan/kehabisan],(55)
mereka TIDAK akan merasakan MATI di dalamnya (syurga) kecuali MATI (ketika) hidup di dunia. Dan Allah memelihara mereka dari azab neraka,(56)
sebagai kurniaan dari Tuhanmu. Yang demikian itu adalah keberuntungan yang besar." (57)

Di dalam Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. juga banyak memberikan gambaran bahawa keluasan milik syurga bagi seseorang ahli syurga itu adalah mengikut martabat dan bahagian masing-masing. Ada yang memiliki seluas 100 tahun sejauh pemandangan mata dan seterusnya mengikut balasan dan darjat masing-masing. Ini menunjukkan bahawa syurga itu tersangat luas, jauh lebih luas daripada segala lapisan langit dan bumi. 
Kesemuanya ini dijadikan Allah dengan Qadrat-Nya yang Qadim dan Allah Maha Berkuasa mengadakannya berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim sebagai balasan kepada hamba-hamba-Nya yang taat, bersabar menghadapi ujian, penuh tawakkal dan bertaqwa. Janji Allah Maha Benar dan Allah tidak pernah dan tidak sekali-kali memungkiri janji-janji-Nya.

Terdapat banyak Hadis Rasullullah s.a.w. yang memberikan huraian lebih jelas terhadap ayat-ayat al-Quran akan hal keadaan di dalam syurga mengenai segala nikmat dan keindahan syurga. Rumusan maksud Hadis-hadis berikut adalah sebahagian daripada penjelasan untuk memberikan gambaran bagaimanakah hal keadaan sebenar yang terdapat di syurga itu. Antaranya ialah :
i.  Meriwayatkannya oleh Al-Bukhari pada al-sahih kata Ibnu Abbas :  Bermula khemah itu ialah mutiara yang berongga pada satu parsakh kepada satu parsakh yang lain ada baginya empat ribu pintu daripada emas.
ii.  Daripada Said bin Jabil daripada Subaan katanya, sabda Rasullullah s.a.w. : Barangsiapa beriktikaf dirinya dalam masjid di antara Maghrib dan Isyak kerana menunggu sembahyang Isyak berjemaah, tidak ia berkata-kata melainkan dengan sembahyang atau membaca al-Quran, maka adalah hak di atas Allah SWT membinakan baginya dua buah istana dalam syurga, (jarak jauh) tiap-tiap satu daripada duanya itu seratus tahun perjalanan dan ditanam di antara keduanya itu barang-barang tanaman [ yang sangat luar biasa kecantikan dan keindahannya] yang jikalau sekiranya mengelilingi oleh ahli dunia nescaya memuatkan (kesemua) mereka.
iii.  Sabda Rasullullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a.: Bahawasanya seafdhal-afdhal daripada sembahyang di sisi Allah ialah sembahyang Maghrib,  tidak Ia menggugurkannya daripada orang musafir dan tidak daripada orang yang bermukim. Dia memulakan dengannya sembahyang malam dan dia menjelaskannya dengan sembahyang siang hari. Maka barangsiapa sembahyang Maghrib dan ia sembahyang (sunat) dua rakaat kemudiannya nescaya Allah SWT membinakan baginya dua istana dalam syurga. Kata yang meriwayatkan Hadis ini : tiada aku tahu daripada emas atau daripada perak.
iv.  Dan meriwayatkan oleh Annas bin Malik daripada Nabi Muhammad s.a.w. bahawasanya dia bersabda : Barangsiapa sembahyang pada hari Isnin 12 rakaat, dia membaca pada tiap-tiap rakaat surah Al-Fatihah dan ayat Al-Kursi satu kali, apabila telah selesai dia membaca Qul Huallah Hu Ahad 12 kali dan beristigfar 12 kali , nescaya diserukan pada Hari Kiamat : di mana si polan bin si polan.... hendaklah dia berdiri mengambil pahalanya daripada Allah Azawajalla, maka awal-awal barang yang dikurniakan daripada pahala itu ialah seribu pakaian perhiasan dan dimahkotakan lalu dikatakan padanya : masuklah oleh mu akan syurga. Maka menerimai sambutan kedatangannya oleh 100,000 orang malaikat yang berserta tiap-tiap seorang malaikat itu satu hadiah yang mereka memuliakannnya hingga mengelilingi di atas 1000 buah istana yang diperbuat daripada jenis cahaya yang bergermelapan.
v. Meriwayatkan oleh Anas r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. bersabda : Bermula berpagi-pagi atau berpetang-petang pada perang fisabilillah adalah lebih baik daripada dunia dan segala barang yang ada di dalamnya dan tempat letak tapak kaki panah seseorang kamu itu ialah daripada syurga dan lebih baik daripada dunia dengan segala barang yang ada di dalamnya. Jika sekiranya seorang perempuan daripada perempuan-perempuan ahli syurga itu menjenguk kepada bumi nescaya mencerahkan cahaya dan memenuhi barang apa yang ada di antara keduanya itu akan keharuman baunya. Kain tudungnya yang berada di atas kepalanya itu lebih baik daripada dunia yang ada padanya. 
vi.  Adapun barang minuman di dalam syurga adalah seperti yang dimaksudkan Hadis Rasullullah s.a.w. : Kata Al-Darda' r.a. pada firman Allah SWT yang bermaksud : Penyudahan itu kasturi, katanya iaitu suatu barang minuman yang putih seperti perak yang jikalau sekiranya seorang lelaki daripada ahli dunia memasukkan tangan ke dalamnya kemudian ia mengeluarkannya nescaya tidak tertinggal suatu apa pun barang yang ada mempunyai roh melainkan mendapati bau keharuman.
vii.  Berkata seorang Yahudi pada Rasullullah s.a.w. (bagaimana pula hal) jika sekiranya orang yang makan dan minum ada baginya hajat (sudah kenyang). Sabda Rasullullah s.a.w. : Adapun hajat mereka (sudah kekenyangan ) peluhnya melimpah keluar daripada kulit-kulit badannya yang bau harum seperti kasturi dan tiba-tiba perutnya menjadi kempis.[maksudnya segala barang makanan di syurga tidak menjadi hampas najis yang mesti dikeluarkan seperti tabi'e hidup di dunia].
viii.  Dan kata Ibnu Mas'ud, sabda Rasullullah s.a.w. : Bahawasanya engkau melihat pada burung dalam syurga lalu kau ingin memakannya, burung itu pun jatuh di hadapan engkau dalam keadaan yang sudah siap bermasak.
ix.  Datang seorang lelaki pada Rasullullah s.a.w. dan bertanya kepada baginda: Adakah di dalam syurga itu ada kuda, aku ingin kepadanya. Sabda Rasullullah : Jika engkau gemari yang demikian itu nescaya didatangkan kepada engkau dengan kuda tunggangan daripada yaqut merah , ia menerbangkan kau di dalam syurga barang ke mana sahaja yang engkau kehendaki.
x.  Sabda Rasullullah s.a.w.: Bahawasanya ahli syurga itu muda belia, putih bercahaya, berambut elok, bercelak mata, berumur 33 tahun di atas kejadian Adam a.s., tingginya 60 hasta dan lebarnya 7 hasta mengikut ukuran [tubuh badan] Adam a.s.
xi.  Keluasan syurga yang dimiliki seseorang ahli syurga pula adalah : ......dan kata Mujahid bahawasanya sekurang-kurang ahli syurga itu pangkat martabat bagi mereka memiliki syurga sejauh 1000 tahun sejauh pemandangan mata yang terjauh dapat dilihatnya. Dan yang lebih tinggi martabat mereka ialah orang 'melihat Tuhannya pada pagi dan petang'....... Dan ada tersebut pula bahawasanya keharuman baunya didapati daripada perjalanan 500 tahun...
  xii.  Maka kata Jarir bin Abdullah kepada Salman Al Farisi:  Wahai bapa Abdullah di  mana pohon tamar dan di mana pohon kayu? Ia berkata : Pangkalnya luk-luk [mutiara] dan emas dan di atasnya buah-buahan. 
       xiii.  Kata Abu Hurairah : Sabda Rasulullah s.a.w. : 
Bahawasanya kota syurga itu ialah batu-bata daripada perak dan batu-bata  daripada emas, debu tanahnya ialah za'faran dan tanah liatnya kasturi.....
 xiv. Rasulullah s.a.w. bersabda : "Dua sungai daripada emas untuk  Muqarrabin dan dua buah lagi sungai daripada perak untuk Ashabul Yamin.
          xv. Dan kata Ali bin Abi Talib yang bermaksud :
Telah kenyang Yahya bin Zakaria Alaihisalam daripada makan roti gandum, maka ia tertidur daripada wiridnya hingga subuh. Maka Allah SWT wahyukan kepadanya : "Wahai Yahya, adakah engkau dapati negeri tempatan yang lebih baik bagi engkau daripada negeri tempatan milik-Ku, ataupun engkau dapati perkhabaran yang lebih baik bagi engkau daripada perkhabaran-Ku?.  Wahai Yahya jikalau sekiranya diberi lihat engkau kepada syurga Al-Firdaus itu sekali penglihatan nescaya cair lemak engkau dan keluar roh engkau kerana keinginan. Dan jika sekiranya diberi lihat engkau kepada Neraka Jahanam sekali penglihatan nescaya cair lemak engkau dan engkau menangiskan dengan keluar darah bercampur nanah kemudian daripada air mata dan engkau memakai kulit kemudian daripada kain kasar."
  xvi.  Dan bahawasanya orang yang akhir sekali masuk syurga itu sekurang-kurangnya mereka mendapat martabat ialah [memiliki syurga] sejauh pemandangan matanya, dan  pemilikannya 100 tahun perjalanannya, penuh dengan istana-istana daripada emas dan perak, dan khemah-khemah daripada mutiara, dan diluaskan baginya pada pemandangan matanya hingga ia melihat kepada yang lebih-lebih jauhnya itu sebagaimana ia melihat hingga ia melihat kepada yang lebih dekatnya. Diberikan makanan pagi ke atas mereka dengan 70,000 piring daripada emas dan diberikan makanan petang ke atas mereka dengan seumpama itu juga. Pada setiap satu piring itu [mempunyai ] satu jenis makanan yang berlainan yang tiada seperti itu jenisnya. Dia dapati rasa kelazatannya yang pada akhirnya  itu sebagaimana juga ia rasa lazatnya  pada mula-mula ia memakannya.
 xvii.  Segala kesenangan, keindahan dan kebahagian hidup yang dinikmati oleh ahli-ahli syurga adalah berkekalan selama-lamanya. Jika sekiranya diperkatakan kepada mereka itu bahawa mereka akan berada di syurga hanya untuk satu tempoh masa tertentu sahaja mereka akan berdukacita sebagaimana yang dimaksudkan dalam sabda Rasulullah s.a.w. :
"..... dan jika dikatakan kepada ahli syurga bahawa engkau kalian akan tinggal di dalam syurga (selama) sebilangan pasir di dunia nescaya berdukacitalah mereka [kerana segala nikmat kesenangannya ada had tempoh masa habisnya], akan tetapi dijadikan bagi mereka [ahli syurga dan ahli neraka] berkekalan.” 
 xviii.  Dan kata Abu Zarr al-Ghafari : Kata Abu Bakr al-Siddiq r.a.: Wahai   Rasulullah, adakah daripada jihad itu lain daripada memerangi orang-orang musyrikin?. Maka sabda Rasulullah s.a.w. : Ya, wahai Abu Bakr. Bahawasanya ada bagi Allah SWT itu orang-orang mujahidin pada bumi lebih afdhal daripada orang-orang yang mati syahid, mereka hidup diberi rezeki, berjalan mereka itu di atas bumi, bermegah Allah SWT dengan mereka akan malaikat-malaikat di langit dan berhias bagi mereka oleh syurga sebagaimana berhias Ummi Salmah bagi Rasulullah s.a.w.
 Maka kata Abu Bakr r.a.: Wahai Rasulullah, siapakah mereka ? Ia bersabda : Ialah orang-orang yang menyuruh dengan perkara makruf [ yakni perkara kebaikan ] dan orang yang menegah daripada perkara mungkar, dan orang-orang yang berkasih sayang pada agama Allah.
Kemudian ia bersabda : Demi yang diriku di bawah kuasa-Nya, bahawasanya seorang hamba Allah daripada mereka nescaya adalah ia pada 'ghurfah' yang mengatasi segala  'ghurfah', mengatasi 'ghurfah'-ghurfah' orang yang mati syahid. Bagi satu 'ghurfah' daripadanya itu ada 300,000 pintu daripada yaqut, zabbarjad dan zamrud hijau. Pada setiap pintu itu ada cahaya dan seorang lelaki daripada mereka mengahwini 300,000 orang perempuan bidadari yang hanya membanyakkan pemandangan mata kepada suami sahaja.......... [ Hingga akhir Hadis ]

Demikian gambaran secara ringkas dan sepintas lalu sahaja di antara nas-nas al-Quran dan Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. yang menerangkan serba sedikit nikmat-nikmat dan keindahan tidak terhingga yang tersedia di syurga untuk dinikmati pada setiap detik kehidupan yang berkekalan tanpa berakhir buat selama-lamanya oleh ahli-ahli kebahagiaan. 
Berkekalan di sini bukanlah mempunyai tempoh masa tertentu seperti satu jam, seminggu, setahun, puluhan, ratusan atau seribu tahun, sejuta atau beribu-ribu-ribu juta tahun tetapi pada setiap detik untuk selama-lamanya berada dalam keadaan kenikmatan yang sedemikian rupa. Adalah teramat sukar atau mustahil untuk digambarkan dengan mata kepala dan logik akal fikiran manusia yang masih hidup di dunia akan hal yang demikian ini.

Di datangkan haiwan syurga bernama Al-Buraq ke dunia untuk menjadi kenderaan kenaikan Nabi Muhammad s.a.w. dalam peristiwa besar Isra' dan Mikraj adalah satu mukjizat yang mengandungi hikmah dan pengajaran yang sangat besar ertinya untuk menjelaskan dan difahami umat manusia yang berakal dan beriman betapa ajaibnya binatang Al-Buraq daripada syurga ini dalam segala hal termasuk kepantasannya dan nikmat menaikinya yang sama sekali tidak dapat digambarkan dan berlawanan dengan hukum adat tabi'e duniawi yang difahami oleh lima pancaindera manusia yang masih hidup di dunia.
Kedatangan Al-Buraq daripada syurga ini juga adalah satu rahmat yang amat besar dan murah kurniaan Allah untuk membuktikan dengan lebih jelas lagi kepada manusia bahawa syurga itu memang sudah wujud dan bukan satu fantasi atau dongengan agama seperti yang dianggap atau disangka oleh orang-orang jahil dan tidak beriman. Dalam hal ini orang-orang yang beriman dapat memahami dengan penuh keyakinan bahawa segala hal yang berlaku dan terdapat di akhirat kesemuanya di luar hukum tabi'e kehidupan di dunia belaka.

Berdasarkan penjelasan ringkas mengenai hal balasan kenikmatan yang tersedia di syurga untuk ahli-ahli kebahagian, maka tidak menghairankan mengapa perjalanan hidup para sahabat Rasulullah s.a.w.begitu mulia, serba sederhana, mementingkan orang lain daripada diri sendiri, menjauhi kezaliman, mencintai akhirat, menggunakan dunia semata-mata untuk akhirat dengan tidak melepaskan segala ruang dan peluang untuk kebahagian hidup di akhirat dengan melakukan apa juga perkara yang boleh diberi ganjaran pahala walaupun dalam perkara-perkara yang 'dilihat kecil' dan mudah sahaja pada penilaian manusia hari ini dan jauh sekali melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan balasan dosa dan kemurkaan Allah.

Dalam erti kata lain akhirat itu seolah-olah sentiasa berada di hadapan mereka. Oleh itu seluruh gerak laku, tindakan dan tujuan kehidupan mereka di dunia adalah semuanya ibadat belaka yang semata-mata untuk mendapat balasan pahala dan keredaan Allah. Iman mereka begitu kukuh walaupun terpaksa berhadapan dengan bermacam-macam jenis ujian Allah yang amat getir dan berat. 

Mereka inilah yang menghidup dan membangunkan ketamadunan lautan ilmu di bawah bimbingan dan didikan terus daripada Rasulullah s.a.w., penghulu semua Nabi, Rasul, seluruh manusia dan jin, di samping Malaikat Jibrael A.S, penghulu seluruh malaikat yang berada di langit dan bumi yang terus menjadi pedoman beragama kepada seluruh manusia laksana bintang-bintang bergermerlapan di langit.

Ringkasnya dapatlah dirumuskan bahawa dengan rahmat pertolongan dan keredhaan Allah SWT,  Rasulullah s.a.w. telah berjaya membentuk keperibadian dan akhlak terunggul dan paling mulia di kalangan barisan manusia yang dikenali sebagai 'sahabat' untuk dicontohi oleh manusia sejagat hingga ke Hari Kiamat. 

Atas kebarkatan beristiqamah menghayati sifat-sifat mahmudah yang mulia dan terpuji, mencintai Allah, Rasul dan kehidupan di akhirat, Allah melimpahkan rahmat hidup mereka dengan menghamparkan kemuliaan di dunia lagi dengan memberikan kegerunan di hati musuh-musuh mereka dari kalangan golongan orang kafir dan munafik. Kejayaan mereka menumbangkan tamadun jahiliah dan golongan manusia mungkar tidak menjadikan mereka manusia zalim dan berebut-rebut untuk kekal memerintah dan menguasai dunia.
Kehidupan seharian mereka bukan berlumba-lumba mengejar habuan duniawi tetapi mengerjakan ibadat dan melaksanakan amanah Allah berlandaskan al- Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.  Wawasan kehidupan yang kekal abadi di akhirat adalah pegangangan dan amalan harian mereka. Justeru terhindarlah perbuatan maksiat, kezaliman, tidak berlaku adil dan segala sifat mazmumah yang dibenci dan dilaknat Allah. Ini adalah satu realiti sejarah ketamadunan manusia [ walaupun singkat usianya] yang terbina pada zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafa Ar-Rasyideen yang menyinari dunia ini sewajarnya menjadi contoh kepada umat Islam di sepanjang zaman.

Marilah sama-sama kita fikirkan dan hayati maksud kata-kata [berbentuk do'a]  Mu'az bin Jabal r.a. sebelum dia kembali ke Rahmatullah:
" Ya Allah!, sesungguhnya aku berlindung kepada Mu dari pagi yang membawa aku ke neraka. Ya Allah!, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa aku tidak mencintai hidup hanya untuk menanam pokok tanaman, bukan untuk mengalirkan sungai-sungai, bukan untuk membangunkan gedung-gedung dan bukan pula untuk membina istana-istana, tetapi........aku mencintai hidup untuk tiga perkara, iaitu; untuk berpuasa pada siang hari, untuk qiyamullail pada malam hari dan untuk berkumpul bersama-sama para 'ulama' di majlis-majlis zikir."
Maka tersangat besarlah ruginya mereka yang 'menghina' para sahabat dan mengambil mudah dan mengabaikan peluang menikmati kehidupan yang kekal abadi di syurga yang disediakan Allah. Lebih malang dan hina lagi sekiranya mereka berfikiran seperti Al 'As bin Wail yang mengejek-ejek Nabi Muhammad s.a.w. tentang adanya hidup selepas mati dan ada balasan syurga dan azab neraka di akhirat kelak.


               ii. Tingkatan Otak Manusia dan Akhlak Mukmin ].

Seseorang ahli syurga itu akan mula dapat melihat dan memahami betapa luar biasanya keindahan syurga itu apabila dia berhadapan dengan sakratul-maut ketika rohnya sudah sampai ke halkum. Pada saat itu pemandangan mata rohnya (badan batin) dibukakan hijab dapat melihat tempat balasannya di syurga yang amat luar biasa keindahan dan kenikmatannya di samping menatap rupa Malaikat Maut yang keharuman baunya, berwajah cantik berseri-seri dan 500 orang Malaikat Rahmat yang berbaris menunggu untuk menyambut dan memuliakan rohnya yang ditarik keluar dengan kelembutan daripada jasad  (badan zahir) seperti meraikan pengantin berdarjat tinggi.

Apabila berlaku demikian dia seolah-olah cair lemak badannya agar dapat bersegera mati meninggalkan dunia untuk pergi ke akhirat menikmati kebahagian hidup yang kekal abadi di dalam syurga. Orang-orang mukmin salih yang dijanjikan balasan syurga juga mendapat nikmat hidup di Alam Barzakh selepas kematiannya seperti berada di dalam taman-taman syurga sbagaimana yang disebut dalam banyak Hadis Rasullullah s.a.w.

Roh ahli-ahli Al-Muqarrabun ditempatkan di bawah naugan Arasy yang dilimpahi dengan berbagai-bagai rahmat dan kenikmatan yang tidak terhingga sementara menunggu kedatangan Hari Kiamat. Walaupun pada Hari Kiamat besar dunia manusia yang berada di Padang Mahsyar mengambil masa selama 50,000 tahun dalam keadaan azab sangsara sebelum dihisab dan diberikan pengadilan dengan seadil-adilnya, ahli-ahli Al-Muqarrabun yang berada di bawah naungan Arasy itu merasakan tempoh masa 50,000 tahun itu lebih ringan daripada melakukan ibadat satu waktu sembahyang fardhu sahaja kerana menikmati balasan Allah di luar tabi'e yang amat luar biasa di sana. Inilah balasan Allah terhadap orang-orang mukmin salih yang sangat dimuliakan Allah. Alangkah rugi dan sia-sianya hidup seseorang yang tidak mengambil berat terhadap tawaran insentif dan janji-janji Allah yang amat besar dan benar ini.

[Lihat : Pengertian Al-Muraqabah dan Golongan Ahli Al-Muqarrabin ]

Sungguhpun kita tidak mungkin mempunyai kemampuan yang setanding atau setaraf dengan para sahabat Rasulullah s.a.w. dari segi pemahaman dan penghayatan lautan ilmu yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah khususnya dalam bab kehidupan di akhirat tetapi setidak-tidaknya kita menanamkan iltizam, semangat dan kecenderungan yang kuat untuk mencontohi para sahabat Rasulullah s.a.w. dengan melakukan kesungguhan menuntut ilmu yang hak dan beristiqamah mengamalkannya di samping terus memanjatkan do'a memohon rahmat pertolongan dan kekuatan daripada Allah SWT. 
Sekiranya Rasulullah s.a.w., penghulu para Nabi dan Rasul, manusia dan jin sendiri berdo'a dengan begitu merendah diri kepada Allah pada setiap masa di sepanjang hayat baginda yang penuh dengan ungkapan kata-kata ilmu yang begitu halus dan indah, maka alangkah ruginya jika kita tidak berbuat demikian.

Sekiranya Rasulullah s.a.w yang maksum terpelihara daripada sebarang dosa pun bermohon kepada Allah untuk masuk syurga bermartabat para Aulia Allah dan Nabi-nabi, kita juga sewajarnya tidak putus-putus berdo'a kepada Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Pemurah untuk dimasukkan ke syurga berjiran dengan para Nabi, Rasul dan para Aulia Allah walaupun pada zahirnya kita hanya orang awam biasa yang tidak layak mendapat darjat martabat kemuliaan setinggi mereka.
Amalkanlah berdo'a dan hayati  ilmu yang terkandung dalam  Do'a Rasulullah s.a.w. dan Do'a Khalifah Abu Bakar As-Siddiq yang terdapat di dalam blog ini pada setiap masa tanpa jemu.  Di dalamnya mengandungi ilmu pengetahuan khusus mengenai aqidah keimanan yang sangat besar fadhilatnya bagi sesiapa yang memahami, beriman dan mengamalkannya.
Tidak ramai yang menggemari persoalan "Hari Akhirat" ini dengan teliti dan mendalam kerana kejahilan mereka terhadapnya atau beranggapan tuntutan kehidupan di dunia ini terlebih utama berbanding kehidupan di akhirat yang belum pasti dan tidak seorang pun manusia yang masih hidup di dunia melihatnya dengan mata kepala.  

Sebagai insan mukmin yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kita hendaklah sentiasa mengulang kaji kefahaman dan penghayatan terhadap segala perkara mengenai Hari Akhirat bersama keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai yang memerlukannya.

Mudah-mudahan dengan cara ini rahmat dan taufik hidayah Allah akan menyinari hidup kita dengan terbina benteng kekuatan ilmu dan amal yang dapat menangkis segala serangan ilmu dan mental daripada manusia dan syiatan yang sentiasa menganggu untuk menghalang keyakinan perjalanan hidup kita ke alam akhirat.
Wallahu 'alam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan