Halaman

Khamis, 27 Oktober 2011

ASMA’ UL HUSNA



                                                                 بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم



وَلِلَّهِ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ 
                   Maksudnya :
"Allah mempunyai Asma' Ul Husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Asma' Ul Husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."

                              [Maksud al-Quran surah Al-A'raaf : 180]
             
                                 ******************************************************

".....dan ditanya wahai Rasullullah, apakah amalan-amalan yang lebih afdhal? Maka sabdanya ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah Azawajalla. Maka ditanya apakah dia ilmu yang kau kehendaki itu ?Sabda Nabi Muhammad s.a.w. : ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah SWT. Maka ditanya kepadanya : Kami menanya daripada amalan dan engkau menjawab daripada ilmu. Maka sabda Nabi Muhammad s.a.w.: Bahawasanya sedikit amalan itu memberi manfaat berserta adanya ilmu pengenalan kepada Allah dan bahawasanya banyak amalan itu tiada memberi manfaat berserta kejahilan dengan ilmu pengenalan kepada Allah SWT ".
                                    [ Maksud Hadis Rasulullah s.a.w. ]
                        ***********************************************

Adapun Asma’ UL-Husna atau nama-nama Allah yang sangat indah yang diturunkan dalam Bahasa Melayu ini adalah terjemahan daripada bahasa Arab yang sangat luas maknanya. Adalah lebih afdhal dan mudah untuk memahaminya sekiranya dapat dibaca juga kandungan hadis Rasullullah s.a.w. daripada Saidina Ali bin Abi Talib RA yang dijadikan do'a bagi  menjelaskan Allah SWT memuji diri-Nya sendiri di samping membaca kandungan ilmu Terjemah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Syahadat Tawhid dan Syahadat Rasul  dan  Kekeliruan Pemahaman Terhadap Asma' Allah Al-Husna yang terdapat dalam blog ini.

Ketika membaca Asma’ Ullah Al-Husna ini hendaklah sentiasa diingati dan diiktiqadkan di dalam hati bahawa sebelum Allah SWT mengadakan masa, tempat, lapisan langit dan bumi dan segala isi kandungan di dalamnya hanya Allah sahaja yang ada, sentiasa ada dan tidak berkeputusan adanya, Dialah yang awal yang tiada berawal baginya , Dialah yang akhir yang tiada berakhir baginya.  Dengan adanya asas kefahaman ini mudah-mudahan akan bertambah kukuh dan mantap kefahaman kita terhadap ilmu mengenal Allah SWT apabila berhadapan dengan berbagai suasana dan keadaan yang mencabar kekuatan iman.

Berikut ialah Asma’ Ullah Al- Husna yang ada tersebut dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis Rasulullah s.a.w.:

الله الذي لا إله إلا هو الرحمن الرحيم الملك القدوس. السلام. المؤمن. المهيمن. العزيز. الجبار. المتكبر. الخالق. البارئ. المصور. الغفار. القهار. الوهاب. الرزاق. الفتاح. العليم. القابض. الباسط. الخافض. الرافع. المعز. المذل. السميع. البصير. الحكم. العدل. اللطيف. الخبير. الحليم. العظيم. الغفور. الشكور. العلي. الكبير. الحفيظ. المقيت. الحسيب. الجليل. الكريم. الرقيب. المجيب. الواسع. الحكيم. الودود. المجيد. الباعث. الشهيد. الحق. الوكيل. القوي. المتين. الولي. الحميد. المحصي. المبدئ. المعيد. المحيي. المميت. الحي. القيوم. الواجد. الماجد. الواحد. الأحد. الصمد. القادر. المقتدر. المقدم. المؤخر. الأول. الآخر. الظاهر. الباطن. الوالي. المتعالي. البر. التواب. المنتقم. العفو. الرؤوف. مالك الملك ذو الجلال والاكرام. المقسط. الجامع. الغني. المغني. المانع. الضار. النافع. النور. الهادي. البديع. الباقي. الوارث. الرشيد. الصبور.



Nama-nama Allah Yang Sangat Indah Lagi Mulia dan Makna-maknanya:

1. ALLAH  الله

Iaitu sehabis-habis besar nama-nama Allah bagi menunjukkannya ke atas Zat Yang Maha Tinggi Darjat atau “Martabat” yang berhimpun bagi kesemua sifat ketuhanan.

2. AR-RAHMAN   الرحمن

Yang Maha Pemurah dengan barang apa yang Ia tutupi dalam dunia daripada dosa-dosa hamb-Nya yang mukmin.

3. AR-RAHIM  الرحيم

Yang Maha Pengasih dengan barang apa yang Ia ampuni dalam negeri akhirat daripada dosa-dosa hamba-Nya yang mukmin.

4. AL-MALIK   الملك

Yang Mempunyai Pemilikan dan Kebesaran dan Kesultanan.

5.  AL-QUDDUS  القدوس

Yang Maha Suci daripada semua kekurangan dan daripada segala tanda-tanda baharu, dan setengah daripada-Nya itu ialah masa dan tempat maka tidak menyertai-Nya “Allah” itu oleh masa dan tidak melinkungi-Nya oleh tempat kerana Dialah yang mengadakan bagi kedua-duanya itu, maka tidak sama sekali Ia berhajat kepada keduanya itu.

[Lihat : MASA dan TEMPAT Makhluk Allah ]

6. AS-SALAM  السلام

Yang Sejahtera daripada semua kecederaan, kecacatan dan kekurangan.

7.  AL-MU’MIN  المؤمن

Yang Membenari Diri-Nya sendiri dan Rasul-rasul-Nya dan Kitab-kitab-Nya (atau) Yang Mengamankan hamba-hamba-Nya daripada segala ketakutan   [hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal salih].

8.  AL-MUHAIMIN   المهيمن

Yang Amat Melihat yang bersangat-sangatan pada Penjagaan dan Pemeliharaan (atau) Mengetahui yakni Yang Amat Mengetahui dan Yang Mempunyai Ilmu yang tidak tersembunyi daripada-Nya kadar walau satu biji debu jua pun.

9. AL-AZIZ   العزيز

Yang Mempunyai Kekerasan iaitu kekuatan dan kekerasan (atau) Yang Tiada Mempunyai Bandingan.
10. AL-JABBAR  الجبار

Yang Mengerasi hamba-hamba-Nya di atas barang apa yang Ia kehendaki.

11. AL-MUTAKABBIR   المتكبر

Yang Amat Tinggi Martabat yang amat mempunyai kekerasan (atau) Yang Maha Tinggi Martabat daripada mengenai segala sifat sekalian makhluk-Nya.

12. AL-KHALIK  الخالق

Yang Mengadakan segala barang yang ada daripada tidak ada kepada ada dengan Qadrat-Nya, dan sesungguhnya Ia mentakdirkan tiap-tiap satu daripadanya itu dengan sukatan yang tertentu dengan Kehendak-Nya menurut Hikmat-Nya “atau” yang mentakdirkan bagi segala sesuatu.

[ Lihat : Allah Mengadakan Sesuatu Dengan Qadrat-Nya ]

13. AL-BARIU`  البارئ

Yang mengadakan bagi segala sesuatu di atas ketiadaan contoh misal yang lalu.

14. AL-MUSAWUWIR    المصور

Yang mengadakan bagi segala rupa makhluk dan Yang Memperhiaskan “Memperelokkan” dan yang mengaturkan susunan baginya.

15. AL-GHAFFAR  الغفار

Yang Amat Mengampuni, yang menghulurkan penutupan di atas dosa-dosa hamba-hamba-Nya “yang beriman” di dalam dunia dan memaafkan daripada kesalahan dengan tiada membalaskan seksa-Nya dalam negeri akhirat.

16. AL-QAHHAR  القهار

Yang Mengerasi bagi semua makhluk  “atau” Yang Memecahkan belakang-belakang orang-orang yang berbuat zalim Yang Melakukan kekerasan , maka Ia mengerasi mereka itu dengan mematikan,  menghina dan membinasakan.

17. AL-WAHHAB   الوهاب

Yang Amat Banyak Pemberian dan Pengurniaan lagi Yang Amat Banyak memberi nikmat dan limpah murah pengurniaan lagi Yang Amat Besar pemberian taufiq dan hidayah dengan tidak payah diminta dan tiada memutuskan pemberian-Nya daripada hamba-hamba-Nya sama sekali.

18. AR-RAZZAQ  الرزاق

Yang Memerintahi mengadakan rezeki Yang Amat Murah pengurniaan-Nya dengan menyampaikannya kepada hamba.

19. AL-FATAH  الفتاح


Yang Amat Menghukumi di antara sekalian makhluk (atau) Yang Membukakan segala khazanah “perbendaharaan” Rahmat ke atas berbagai-bagai jenis makhluk.

20. AL-'ALIM   العليم

Yang Mempunyai Ilmu Yang Azali “ dan Ia dengan tiap-tiap suatu Amat Mengetahui” Ia mengetahui pada azal akan tiap-tiap suatu sama ada yang wajib atau yang harus dan mustahil atas jalan menghabisi ketahui-Nya dengannya itu di atas barang apa yang ada dengan-Nya dengan tiada mendahului tersembunyi yakni tiada tersembunyi daripada Ilmu Allah itu kadar satu biji zarah jua pun melainkan diketahui belaka pada Azal. Meliputi Ilmu-Nya dengan tiap-tiap suatu ; yakni maka tidak tersembunyi di atas-Nya daripada perkara itu oleh sesuatu apa pun yang tersembunyi.

[ Lihat : Pengertian "HAMPIR" Allah ]

21. AL-QABIDZ  القابض

Yang Menyempitkan rezeki di atas barang siapa yang Ia kehendaki.

22. AL-BASITH   الباسط

Yang Meluaskan rezeki di atas barang siapa Ia kehendaki.

23. AL-KHAFIDZ    الخافض

Yang Merendahkah martabat orang yang membuat maksiat kepada-Nya.

24. AR-RAFI'K   الرافع

Yang Mengangkat Martabat orang yang berbuat amalan taat kepada-Nya.

25. AL-MUI'ZZ  المعز

Yang Memuliakan Wali-Wali-Nya ( Aulia-Aulia-Nya ) semata-mata Murah Pengurniaan (atau) Yang Memuliakan orang-orang yang berbuat amalan taat kepada-Nya kerana semata-mata Murah Pengurniaan.

26. AL-MUZIL  المذل

Yang Menghinakan seteru-seteru-Nya kerana semata-mata Keadilan-Nya.

27. AS-SAMU ,  28. AL-BASHIR    السميع. البصير

Yang Bersifat pada Azal dengan AS-SAMU dan AL-BASHIR yakni Yang Amat Mendengar lagi Yang Amat Melihat bagi semua yang ada maujud bukan dengan pancaindera dan bukan dengan alat. Bukan mendengar dengan telinga dan bukan melihat dengan mata bahkan Ia Mendengar dengan Pendengaran-Nya Yang Qadim dan Ia Melihat dengan Penglihatan-Nya Yang Qadim dan Ia Hidup dengan Hayat-Nya yang Qadim dan bukan hidup dengan nyawa dan bukan hidup dengan Roh.

Maka sebagaimana diri Allah SWT itu tiada menyamai dengan diri segala barang yang diadakan oleh-Nya, maka begitulah Hayat Allah itu dan Samik Allah dan Bashir Allah dan Kalam Allah tiada menyamai dengan hidup makhluk, pendengaran makhluk, penglihatan makhluk dan kalam makhluk .

Maka adakah terdaya oleh sekalian hamba Allah ini memikirkan hakikat Kalam Allah SWT  itu tiada berhuruf dan tiada bersuara?  Maka tidak terdaya sama sekali akan mengetahui hakikat Kalam Allah itu dan begitu juga adakah terdaya sekalian hamba Allah memikirkan hakikat Zat Allah atau "Diri Allah” yang tiada menyamai dengan segala zat-zat barang yang diadakan oleh-Nya? 

Maka tidak terdaya sama sekali akan mengetahui hakikat Zat Allah itu, sama ada jin, manusia, Nabi-nabi/Rasul-rasul Alaihisalam dan Malaikat-malaikat sekalian,  kerana Allah SWT sahaja yang mengetahui akan hakikat Zat-Nya dan begitu juga Allah SWT sahaja yang mengetahui akan hakikat Hidup-Nya dengan Hayat-Nya yang Qadim. Demikian juga hanya Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui akan hakikat Sami'-Nya “Pendengaran-Nya” dan hakikat Basar-Nya “Penglihatan-Nya” dan hakikat Kalam-Nya yang tiada berhuruf dan tiada bersuara itu dan Allah SWT sahaja yang mengetahui akan hakikat Qadrat-Nya.

Adapun hakikat Zat Allah, Qudrat Allah, Hayat Allah, Sami' Allah, Basar Allah dan hakikat Kalam Allah yang tiada berhuruf dan tiada bersuara itu hendaklah kita sebagai orang-orang Mukminin dan Mukminat beriktiqad , bahawa lemah daripada mendapat tahu akan hakikat kemuliaan Allah itu, itulah mendapat (memahami). Maka ini satu sekatan dan batasan perenggan yang jangan dilampaui. 

Maka tiap-tiap perkara yang mustahil diketahui oleh sekalian makhluk Allah hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya dan hendaklah kita katakan: “ Bahawa lemah daripada mendapat tahu akan hakikat Kemuliaan itu, itulah mendapat" kerana tiada mengenai sama sekali Allah SWT itu daripada menyamai segala barang yang diadakan oleh-Nya atas barang mana jalan jua pun.


Kita hendaklah memuji Allah sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. memuji Allah pada bab Zat Allah SWT yang tiada menyamai dengan segala zat makhluk Allah itu dan lain-lainnya, sebagaimana Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
“Tiada aku menghinggakan kepujian ke atas Engkau sebagaimana telah Engkau memuji ke atas diri Engkau".
Maka tidak tersembunyi daripada Penglihatan-Nya itu segala gerak lintasan hati dan segala perkara yang halus-halus yang disembunyikan pada sangkaan-sangkaan hati dan segala perkara yang difikir-fikirkan dan tiada tersembunyi daripada Pendengaran-Nya itu bunyi perjalanan seekor semut yang hitam pada malam yang sangat gelap di atas batu pejal yang hitam itu. “Tidak seperti seumpama-Nya suatu apa pun dan Ia yang amat Mendengar lagi Yang Amat Melihat”.

29. AL-HAKAM   الحكم

Dengan baris atas di tengahnya “Pada kalimah itu” . Yang Amat Menghakimi yang tidak ada suatu apa pun yang menolakkan bagi hukuman-Nya dan tidak ada sesiapa pun mengubahkan bagi hukuman-Nya.

30. AL-'ADLU   العدل

Yang Maha Adil yang tiada Ia berbuat melainkan barang apa yang selayak bagi-Nya memperbuatnya.

31. AL-LATHIFF   اللطيف

Yang Amat Berlembutan segala perbuatan-Nya dan Elok (atau) Yang Amat Mengetahui dengan segala perkara yang tersembunyi dan segala perkara yang halus-halus.

32. AL-KHABIR   الخبير

Yang Amat Mengetahui segala perkara yang tersembunyi daripada sebalik perkara yang terzahir itu.

33. AL-HALIM  العظيم


Yang Tiada bersegera memberi balasan seksa dengan sebab berbuat dosa [hamba-hamba-Nya.]

34. AL-'AZHIM   العظيم


Yang Amat Mempunyai Kebesaran yang tiada dapat diketahui oleh akal akan hakikat Zat-Nya dan tiada dapat diketahui akan hakikat Kemuliaan Zat-Nya oleh mata hati.

35. AL-GHAFUR   الغفور

Yang Banyak Memberi Keampunan dan Tutupan Keaiban bagi dosa-dosa hamba-hamba-Nya yang  Mukmin dan Mukminat.

36. AS-SYAKUR   الشكور


Yang Amat Memuji di atas orang-orang yang berbuat amalan ta’at daripada hamba-hamba-Nya

37. AL-'ALI   العلي

Yang Maha Tinggi yang sehabis-habis tinggi pada ketinggian Martabat-Nya , “atau” Yang Maha Tinggi Martabat-Nya pada Zat-Nya dan pada Sifat-sifat-Nya daripada dapat diketahui oleh sekalian makhluk dengan hakikat Zat-Nya dan hakikat Sifat-sifat-Nya.

38. AL-KABIR   الكبير

Yang Mengatasi Pujian sekalian orang-orang yang memuji dan mengatasi kesifatan orang-orang yang mensifati (atau) , Yang Amat mempunyai kebesaran.

39. AL-HAFIZH  الحفيظ

Yang Sehabis-Habis Tinggi pada pemeliharaan bagi barang apa yang Ia kehendaki memeliharainya.

40. AL-MUQIT  المقيت

Yang Amat menyanggupi dengan memberi rezeki hamba-hamba-Nya dan memberikan mereka itu barang makanan mereka.

41. AL-HASIB    الحسيب

Yang Amat Mencukupi dan tiap-tiap kecukupan itu hanya daripada Allah SWT sahaja.

42. AL-JALIL   الجليل

Yang Amat Sempurna pada segala Sifat-Nya yakni segala Sifat-Nya pada Asma'-Allah-Al-Husna yang tiada terhingga banyaknya itu. “Atau” Yang Amat Sempurna pada Kemuliaan dan Kesempurnaan dan Kebesaran dan Ketinggian Martabat pada semua Sifat-Nya yakni sama ada pada Sifat Hayat-Nya atau sifat Qudrat-Nya atau Sifat Ilmu-Nya atau Sifat Iradat-Nya atau Sifat Sama'k-Nya atau Sifat Basar-Nya atau Sifat Kalam-Nya.

43. AL-KARIM   الكريم

Yang Amat Berikhsan dan Bermurah yang tiada meluputkan orang yang berwasilah kepada-Nya dan tiada meninggalkan dan membiarkan orang yang berlindung minta pertolongan kepada-Nya.

44. AR-RAQIB  الرقيب 

Yang Amat Memeliharai “atau” Yang Amat Melihat di atas segala amalan hamba-hamba-Nya.  “Atau” Yang Amat Memeliharai tiada Ia lupa, “ Dan adalah Allah SWT itu di atas tiap-tiap suatu Ia Amat Memeliharai”.

45. AL-MUJIB    المجيب

Yang Amat Menerima perdo'aan orang yang berdo'a apabila ia berdo'a kepada-Nya.

46. AL-WASI'K   الواسع

Yang Maha Pemurah segala Pengurniaan-Nya dan pemberian-Nya itu amat sempurna “atau” Yang Amat Luas Ilmu-Nya dan Qudrat-Nya.

47. AL-HAKIM    الحكيم

Yang Membetuli pada Takdir yang Elok pada Tadbir “atau” Yang Amat Mempunyai Hikmat dan iaitu Kesempurnaan Ilmu dan Elok Perbuatan-Nya.

48. AL-WADUD  الودود

Yang Amat Kasih kepada orang-orang yang berbuat amalan taat daripada hamba-hamba-Nya dan yang sangat kasih kepada mereka itu dengan memberikan limpahan nikmat-nikmat-Nya.

49. AL-MAJID   المجيد

Yang Sehabis-Habis Tinggi pada Kemuliaan-Nya “atau” Yang Amat Mulia pada Zat-Nya.  Yang Amat Elok segala Perbuatan-Nya dan Yang Amat Banyak Pemberian-Nya.

50. AL-BAI'THS  الباعث

Yang Membangkitkan Rasul-rasul  dan Yang Membangkitkan orang-orang yang mati hidup semula daripada kubur dan membangkitkan segala hemat-hemat cita-cita mulia kepada perkara-perkara yang tinggi.

[Lihat : Fitnah Kubur, Alam Barzakh dan Bumi Mahsyar ]

51. ASY-SYAHID   الشهيد


Yang Sehabis-Habis Mengetahui pada Ilmu-Nya berserta tidak ada yang tersembunyi. “Atau” Yang Amat Meliputi pada Ilmu-Nya berserta kehadiran yang tidak terselindung daripada Ilmu-Nya kadar satu zarrah jua pun apa yang ada pada langit dan bumi dan lain-lainnya, lagi Yang Amat Melihat.

[ Lihat : Pengertian "HAMPIR" Allah ]

52. AL-HAQ الحق 

Yang sentiasa Ada dan selama-lamanya Ia Ada, tiada berkeputusan Ada-Nya, Ialah yang awal yang tiada berawal bagi-Nya, dan Ialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya, atau Ialah yang awal yang tiada permulaan bagi-Nya dan Ialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya yakni yang thabit ada-Nya pada Azal dan selama-lamanya (atau) yang berhak dengan berbuat ibadat hamba-hamba kepada-Nya.

[ Lihat : SOAL JAWAB Mengenai "ADA" Allah ]

53. AL-WAKIL الوكيل 

Yang Amat Memerintahi pada tiap-tiap sesuatu sebagaimana Ia kehendaki “atau” Yang Amat Memeliharai ke atas-Nya yakni ke atas tiap-tiap suatu “atau” Yang Amat Meliputi pada Ilmu-Nya “atau” Yang Amat Mengetahui.

54. AL-QAWIY   القوي

Yang Amat Sempurna pada kekuatan,  maka tiada Ia lemah sama sekali.

55. AL-MATIN  المتين


Yang Amat Bersangatan Kuat, maka tidak Ia dhaib sama sekali “atau” tiada mengenai lemah sama sekali.

56. AL-WALIY  الولي

Yang Amat Mencangkupi dengan segala perkara semua makhluk-Nya  “atau” Yang Memerintahi pada segala perkara kesemua hamba Allah.

57. AL-HAMID الحميد 

Yang dipuji di atas tiap-tiap hal.

58. AL-MUHSHI  المحصي

Yang Amat Melihat segala perkara yang zahir dan Yang Amat Melihat dan Yang Amat Mengetahui segala perkara yang batin. 

59. AL-MUBDI'U   المبدئ

Yang Mengadakan Permulaan sesuatu daripada tidak ada kepada ada dengan tidak berasal daripada apa-apa pun.

60. AL-MUA'ID  المعيد

Yang Mengadakan Kesudahan sesuatu.

61. AL-MUHYI , 62. AL-MUMIT   المحيي. المميت

Yang Menghidupkan makhluk dengan mengadakan roh-roh dan mematikan dengan mencabutkannya.

63. AL-HAYU   الحي

Yang Ada bagi-Nya Al-Haiyat yang hidup yang selama-lama-Nya hidup yang berkekalan tiada mengenai mati,  hidup yang tiada bagi-Nya permulaan dan tiada bagi-Nya kesudahan.

[Tanbihun/Peringatan : Bahawasanya hidup Allah SWT dengan Hayat-Nya yang Qadim tidak dengan roh dan tidak dengan apa-apa barang apa yang terlintas di hati dan fikiran hamba-hamba Allah,  kerana hidup Allah tiada menyamai dengan hidup makhluk-makhluk. Maka hidup Allah tidak ada bandingannya dan tidak ada misalnya dan tidak ada umpamanya dengan hidup makhluk-makhluk Allah,  maka lemah daripada mendapat ketahui akan hakikat hayat Allah SWT itu, itulah mendapat (memahami).]

64. AL-QAYYUM   القيوم

Yang Amat Besar Pendirian atau Yang Maha Besar Pendirian dengan mentadbirkan sekalian makhluk-makhluk-Nya.

65. AL-WAJID   الواجد


Yang Amat Terkaya “atau” Yang Amat Mengetahui “atau” Yang dapat tiap-tiap barang yang Ia menuntupi-Nya dan mengkehendaki-Nya dan tiada melindungi-Nya “atau” menghalangi-Nya oleh sesuatu apa pun.

66. AL-MAJID   الماجد

Yang Sehabis-habis Mulia “atau” Yang Amat Mulia pada Zat-Nya , Yang Amat Elok segala Perbuatan-Nya, Yang Amat banyak Pemberian-Nya.

67. AL-WAHID ,  AL-AHAD  الواحد, الأحد


Dia (Allah) sahaja Yang Mempunyai sifat Ketuhanan dan Memiliki pada semua perkara,  maka tidak ada sesuatu apa pun yang menyekutui bagi-Nya pada kedua-duanya itu ( yakni pada sifat ketuhanan dan sifat pemilikan tiap-tiap suatu ). Dikehendaki juga dengan makna AL-WAHIDU itu pula tiada juzuk bagi-Nya (Zat Allah) dan tiada menerima bahagi-bahagi dan tiada menerima sukatan pada besar, kecil, panjang dan lebar dan terkadang dikehendaki maknanya AL-WAHIDU itu ialah (Allah) Yang Tiada Bandingan bagi-Nya sesuatu apa pun pada martabat-Nya.

68. ASH-SHAMAD  الصمد

Yang Dipinta pada segala hajat kepada-Nya selama-lamanya kerana kesempurnaan Qadrat-Nya.

69. AL-QADIR القادر  dan 70. AL-MUQTADIR     المقتدر

Yang Amat Berkuasa Yang Mempunyai  Qadrat Yang Amat Sempurna.

71. AL-MUQADDIM      المقدم     dan    72. AL-MUAKHIR   المؤخر

Yang Mendahulukan barang siapa Ia kehendaki dan mengkemudiankan barang siapa Ia  kehendaki daripada bab Taufik Hidayat-Nya dan amalan ta'at dan taqwa kepada-Nya.

73. AL-AWWAL   الأول

Ialah Yang Awal Yang tiada berawal bagi-Nya. Yang Awal sebelum ada tiap-tiap sesuatu yakni sebelum diadakan oleh Allah SWT akan masa dan tempat maka yang Ada hanya Allah SWT sahaja yang Ada dan Ada-Nya Allah SWT itu Dialah Yang Awal yang tiada berawal bagi-Nya dan Dialah Yang Akhir yang tiada berakhir bagi-Nya , Yang Mempunyai segala Asma-Ullah-Ul-Husna yang tiada terhingga banyaknya.

74. AL-AKHIR   الظاهر

Yang Akhir Kemudian daripada tiap-tiap sesuatu yakni yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya. “Atau” Yang Akhir Kemudian daripada tiap-tiap sesuatu dengan tiada kesudahan.

75. AZ-ZHAHIR  الظاهر

Yang Zahir dengan segala tanda-tanda-Nya dan dalil-dalil-Nya dan segala barang-barang perbuatan-Nya yakni segala barang-barang hasil pertukangan-Nya.

76. AL-BATIN  الباطن

Yang Amat Batin dengan hakikat Zat-Nya dan hakikat segala Sifat-Nya yakni yang tiada dapat diketahui sama sekali oleh sekalian makhluk Allah sama ada Nabi-nabi, Rasul-rasul dan Malaikat-malaikat akan hakikat Zat Allah dan hakikat segala Sifat-Nya “atau” Yang Amat Batin pada hakikat Zat-Nya dan pada hakikat Sifat-sifat-Nya yang zahir. Yang Maha Tinggi dan Maha Suci daripada kekurangan,  yakni tidak sekali-kali Allah SWT itu menyamai dengan segala apa juga barang yang diadakan oleh-Nya. (Maksudnya Ialah yang terdinding daripada segala pendapatan pancaindera yang lima dengan dindingan kebesaran-Nya dan kemuliaan-Nya).

77. AL-WALI  الوالي

Yang Memiliki bagi segala perkara dan tiap-tiap suatu lagi yang memerintahi pada-Nya.

78. AL-MUTA'ALI  المتعالي

Yang Sehabis-Habis Tinggi Pada Martabat dan Sehabis-Habis Tinggi yang tertolak daripada segala kekurangan, yakni sebarang apa sahaja dituduhkan menyamai makhluk maka itu kekurangan bagi Allah, maka Allah SWT amat tertolak daripada segala kekurangan.

79. AL-BARRU   البر

Yang Amat Berikhsan dengan memberikan kebajikan.

80. AT-TAWWAB التواب 

Yang Amat menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya dan memaafi segala kesalahannya.

81. AL-MUNTAQIM   المنتقم

Yang Amat Membalasi seksa bagi orang-orang yang berbuat maksiat (melanggar hukuman Allah)  kerana memperbuat perbuatan-perbuatan yang dibenci dan dilarang Allah.

82. AL-'AFUW  العفو

Yang Amat Memaafi dan iaitu meninggalkan apabila balasan di atas dosa.

83. AR-RAUF  الرؤوف

Yang Amat Mempunyai Kasih Sayang dan Rahmat.

84. MALIKUL MULKI  مالك الملك

Yang Amat Luas pada barang apa kehendak-Nya pada pemilikkan-Nya dan berjalan hukuman-Nya ke atas barang apa yang Ia kehendaki.

85. ZULJALALI WAL-IKRAM  ذو الجلال والاكرام

Yang Amat Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan, yang hanya bagi Allah SWT sahaja Kemuliaan, Kebesaran dan Kesempurnaan dan tiada kemuliaan melainkan daripada Allah SWT sahaja.

86. AL-MUQSIT   المقسط

Yang Amat Adil pada hukuman-Nya

87. AL-JAMI'K  الجامع

Yang Menghimpunkan segala juzuk makhluk Allah kemudian daripada bercerai-berainya (berselerakkan) pada ketika bangkit hidup semula.

88. AL-GHANIY  الغني

Yang Amat Terkaya daripada tiap-tiap barang yang lain daripada-Nya, yakni Allah SWT tiada berhajat kepada sekalian makhluk-Nya kerana Dialah yang mengadakan sekalian makhluk-Nya itu daripada tidak ada kepada ada dengan Qudrat-Nya.

89. AL-MUGHNI  المغني

Yang Mengkayakan barang siapa Ia kehendaki daripada barang yang lain daripada-Nya,  yakni hanya Allah SWT sahaja yang mengurniakan kepada hamba-Nya dan Dia tiada berharap sebarang pertolongan sesiapa pun daripada makhluk-Nya.  “Atau” (  yang dikayakan oleh Allah pada hatinya, tiada berharap pertolongan kepada yang lain daripada-Nya)

90. AL-MAN'IK  المانع

Yang tidak memberikan daripada limpahan murah kurniaan-Nya kepada siapa-siapa mereka yang telah termustahak tidak diberikan.

91. AD-DZDARU الضار 

Yang Mengadakan Kemudaratan.

92. ANNAF'IK   النافع

Yang Mengadakan Kemanfaatan.

93. AN-NUUR  النور

Yang Mengzahirkan bagi tiap-tiap barang yang tersembunyi (tidak ada) dengan mengeluarkannya kepada ada, yakni Yang Mengadakan bagi tiap-tiap sesuatu yang tidak wujudnya sama sekali kepada ada dengan tidak berasal daripada sesuatu apa pun. Dan Firman Allah SWT yang kira-kira ertinya :
“Wahai orang-orang yang beriman jika kamu sekalian takutkan Allah nescaya ia jadikan bagi kamu Furqanan”. 
Kata satu qaul ialah cahaya yang memperbezakan dengannya di antara yang benar dan yang salah mengeluarkan dengannya daripada segala perkara-perkara yang subahat, “Perkara-perkara yang tidak jelas di antara benar dan salahnya” . 

Demikianlah makna Nuur dengan makna ilmu yang memperbezakan di antara benar dan salah. Oleh itu al-Quran dinamakan Nuur kerana al-Quran menerangkan yang mana benar dan yang mana salah pada hukuman Allah.


 [ Lihat :  Pengertian An Nuur ].

94. AL-HADI  الهادي

Yang Memberi petunjuk kepada hati-hati kepada segala perkara yang membaikinya.

95. AL-BAD'IK  البديع

Yang Mengadakan dan Menerbitkan bagi segala barang sesuatu dengan tidak ada contoh ikutan misal yang lalu.

96. AL-BAQI  الباقي

Yang Kekal Yang sentiasa ada dan selama-lamanya Dia ada, tiada berkesudahan bagi ada-Nya.

97. AL-WARITH  الوارث

Yang Kekal kemudian daripada fanak sekalian makhluk, yakni Yang Kekal kemudian daripada mati sekalian makhluk yakni dimatikan semua makhluk apabila tiupan Sangkakala yang pertama dan dibangkitkan hidup semula pada tiupan yang kedua pada Hari Kiamat kelak.

98. AR-RASYID  الرشيد

Yang Memberi Ajaran Baik kepada hamba-hamba dan Memberi Pertunjuk kepada mereka itu kepada segala perkara kebaikan yang mereka lakukan.

99. ASH-SHABUR   الصبور

Yang Mengakhirkan balasan seksa pada masa yang termaklum.

[ Lihat : i. SOAL JAWAB Mengenai "ADA" Allah SWT

           ii. Kekeliruan Pemahaman Terhadap Asma' Ul Husna 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan