Sabtu, 18 Jun 2022

INSAN MUKMIN SOLEH YANG TIDAK DIKENALI

 

[ Sambungan daripada : APABILA BERHADAPAN DENGAN MALAIKAT MUNKAR DAN NAKIR ]



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيم
الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ 
وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ أَمَّا بَعْدُ

 

أَلا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ (62) الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (63) لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ لا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ      (64)

            Maksudnya :

" Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak ( pula) mereka bersedih hati. ( 62 )

( Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. ( 63)

Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat ( janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar." (64)                        

                  [ Al-Quran surah سورة يونس Yunus : 62-64

                      *******************************************

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ 
                    Maksudnya :  

"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta (rahmat dan pertolongan-Nya) orang-orang yang sabar ." 
              [ Al-Quran surah سورة البقرة Al-Baqarah : 153  


************************************************************

SECEBIS KISAH SILAM SEBAGAI INGATAN

Doa Insan Mukmin Soleh Yang Tidak Dikenali dan Diketahui Umum...



Tidak ramai yang mengetahui atau ambil peduli bahawa rahmat Allah yang melimpah diturunkan ke bumi ini adalah kerana sifat-sifatNya yang Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Pemurah, doa para malaikat di samping keikhlasan doa para insan mukmin soleh yang silih berganti di bumi ini sama ada diketahui atau tidak diketahui langsung oleh manusia. Setiap perbuatan Allah SWT di seluruh alam ini mempunyai rahsia dan hikmah tersendiri yang tidak sesekali diketahui oleh hamba-Nya kecuali dalam hal-hal tertentu yang dikehendaki-Nya sahaja.

Pada suatu ketika dahulu Madinah al-Munawarah dilanda kemarau panjang yang amat berat ditanggung oleh penduduk-penduduknya menjadikan bumi Madina kering kontang. Seorang ulamak ternama bernama Ibn Mukandir telah pergi ke Masjid Nabawi dan melakukan solat mohon hujan di Ar-Raudah berhampiran dengan Mihrab dan bersebelahan dengan Maqam Rasulullah s.a.w.. Pada ketika itu dia mendapati berhampiran dengannya seorang hamba Allah yang tidak dikenali sedang berdoa dan bermunajat kepada Allah dengan kelembutan suaranya melafazkan kalimah-kalimah yang mengguris kalbunya yang kira-kira bermaksud :
" ...Ya Allah!, susungguhnya bencana kemarau yang mencengkam bumi ini sekian lama telah menyebabkan hamba-hamba Mu amat menderita kesusahan. Sebagai hamba Mu sesungguhnya aku merayu dan bersumpah dengan nama Mu agar Engkau Yang Maha Pemurah limpahkanlah bumi ini dengan hujan......." 
Dalam tempoh masa kira-kira satu jam kelihatan awan mendung terbentuk di udara dan disusuli dengan hujan lebat yang turun mencurah-curah. Ibn Mukandir, seorang ulamak ternama di kota Madinah ketika itu begitu kaget menyaksikan apa yang berlaku di hadapan matanya...doa seorang hamba Allah yang tidak sesiapa pun mengenalinya terus dimakbulkan Allah. Maka terbit di hatinya untuk mengetahui siapakah hamba Allah 'misteri' ini.

[ Hanya gmbar hiasan awan mendung ]

Setelah hamba Allah tersebut beredar meninggalkan Masjid Nabawi, Ibn Mukandir mengekorinya dari belakang hingga sampai ke tempat kediamannya. Lalu dia mengetuk pintu dan memberi salam. Setelah diberi keizinan masuk, secara sepintas lalu dia dapat melihat hal keadaan di dalam rumah orang tersebut yang serba sederhana seperti tempat kediaman orang miskin. Barang-barang bersepah tidak kemas dan kelihatan alat mengisar gandum yang digunakan untuk membuat tepung gandum dan membakar roti sendiri. Apabila bersalaman Ibn Mukandir dapat merasakan tapak tangan orang tersebut yang begitu kasar menandakan kerja berat yang dilakukannya.

Ibn Mukandir bertanyakan khabar. Orang tersebut menjawab dengan penuh kesopanan tetapi kelihatan dia terpinga-pinga juga menerima kedatangan seorang asing masuk ke dalam rumahnya yang begitu daif. Orang tersebut bertanyakan apa tujuan dia datang ke rumah beliau. Ibn Mukandir menjelaskan apa yang beliau saksikan tadi di Masjid Nabawi. Dia menawarkan untuk memberi bantuan kewangan secukupnya kepada orang tersebut agar dia lebih aman selesa menumpukan kepada amal ibadat sahaja tanpa menanggung sebarang kesusahan menanggung beban menyara kehidupan.

Kedatangan Ibn Mukandir yang tidak diundang dan tawaran yang dijanjikannya menimbulkan keresahan kepada orang tersebut kerana tanpa sesekali disangkakannya rahsia peribadi hidupnya yang tersembunyi selama ini telah diketahui orang. Dia dapat menjangkakan jika hal peribadinya diketahui umum dia akan menjadi tumpuan masyarakat di kota Madinah, menjadi terkenal di seluruh negeri dan beliau disebut-sebut sebagai orang alim zuhud sebagai 'Wali Allah'.

Mungkin seperti inilah lorong tempat tinggal hamba Allah ini di Madinah

Lalu dia pun memberi peringatan kepada Ibn Mukandir agar jangan sesekali mengkhabarkan hal dia kepada orang ramai dan jangan sesekali datang ke rumah dia lagi kerana dia amat bimbang jika diketahui umum orang ramai akan datang berduyun-duyun menemui beliau. Ibn Mukandar bersetuju dan berjanji tidak sesekali akan mengkhabarkannya kepada penduduk Madinah.


Setelah Ibn Mukandir meninggalkan rumah, orang tersebut mengemas segala barang keperluannya untuk berpindah ke tempat lain. Dia tidak yakin Ibn Mukandir akan berpegang kepada janjinya dan dalam pada itu pun rahsia perihal peribadinya sudah diketahui oleh Ibn Mukandir. Maka dia pun terus meningglkan bumi Madinah berkelana ke tempat lain yang tidak sesekali diketahui oleh orang lain. Kisah hidup dia yang serba zuhud mengabadikan diri kepada Allah SWT sahaja akhirnya diketahui orang. Jiran tetangga orang tersebut amat kesal atas 'kehilangan' beliau dan mereka menyalahkan Ibn Mukandir yang menjadi penyebab pemergiannya.


Inilah salah satu contoh hamba Allah dari golongan mukmin soleh yang disebut dalam riwayat yang bermaksud :

" Pada suatu hari Umar al-Khatab r.a. mendatangi Mu'az Ibn Jabal r.a. yang kebetulan ketika itu ia sedang menangis. Maka Umar berkata kepadanya : ' Apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Mu'az?'. Kata Mu'az : ' Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :  
'Orang yang dikasihi Allah adalah mereka yang bertaqwa dan lebih suka hidup 'menyendiri', jika mereka tiada maka tidak ada sesiapa yang mencarinya, dan jika mereka hadir, maka mereka tidak diketahui/dipeduli, mereka adalah imam petunjuk dan menjadi 'PELITA ILMU'."

Kisah yang tercatat dalam riwayat ini dan banyak lagi kisah lain yang seumpama dengannya amat bersesuaian dengan hadis berikut : 

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ الّلهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ الّلهِ صَلَّ

الّلهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الّلهَ تَعَالَى لاَ يَنْظُرُ اِلَى اَجْسَامِكُمْ وَلاَ اِلَى صُوَرِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ اِلَى قُلُوْبِكُمْ (رواه مسلم)

   Maksudnya : 

“Dari Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk badan dan rupamu, tetapi ia melihat niat dan keikhlasan dalam hatimu”. [HR. Muslim]

Ar-Raudah di Masjid Nabawi

************************************************************
وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلا 
Maksudnya :

" Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah; sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus?. Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya."

[ Al-Quran surah  سورة النساء An-Nisaa' : 125 ]

                     ***************************************************

فَكُلُواْ مِمَّا رَزَقَڪُمُ ٱللَّهُ حَلَـٰلاً۬ طَيِّبً۬ا وَٱشۡڪُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ

Maksudnya :

“Maka makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang Allah telah kurniakan kepada kamu (wahai orang-orang yang beriman) dan syukurlah nikmat Allah itu jika benar kamu hanya beribadah kepada-Nya.”

[ Al-Quran surah سورة النحل An-Nahl : 114 ]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ALLAH 'ISTIWA' DI ATAS AL 'ARASY الْعَرْشِ ?

  Sambugan daripada : UNTUKMU AGAMAMU, DAN UNTUK AKULAH AGAMAKU                      بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم    ال...