Selasa, 6 Oktober 2026

SURAT KHALIFAH ALI BIN ABI THALIB R.A. KEPADA GABENUR MESIR

                   بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 


اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تُنْجِينَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ اْلاَحْوَالِ وَاْلآفَاتِ وَتَقْضِى لَنَا بِهَامِنْ جَمِيعَ الْحَاجَاتِ وَتُطَهِّرُنَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ السَّيِّئَاتِ وَتَرْفَعُنَا بِهَا عِنْدَكَ اَعْلَى الدَّرَجَاتِ.وَتُبَلِّغُنَا بِهَا اَقْصَى الْغَايَاتِ مِنْ جَمِيعِ الْخَيْرَاتِ فِى الْحَيَاتِ وَبَعْدَ الْمَمَاتِ

 أَمَّا بَعْـدُ 


قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنزعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (26) تُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَتُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَتُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَتَرْزُقُ مَنْ تَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ (27) 

              Maksudnya :

" Katakanlah : ' Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki, Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. 'Di tangan' Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (26) 
Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam, Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup, dan Engkau beri rezeki kepada siapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab'." (27)

                  [ Surah  سورۃ آل عمرن Ali 'Imran : 26-27 ]

         ******************************************

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ 

      Maksudnya :

" Ingatlah ketika Tuhan mu berfirman kepada para malaikat : ' Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi'. Mereka berkata : ' Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di muka bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau'? Tuhan berfirman : 'Sesungguhnya Aku Mengetahui apa yang tidak kamu ketahui'." 

            [ Surah  سورة البقرة‎ Al-Baqarah : 30 ]

***************************************************************

Salinan surat Khalifah Ali bin Abi Thalib r.a. kepda Malik bin al-Haris yang ditulis semula pada tahun  1149 M  yang terkandung dalam kitab Naj al-Balagah

Pembunuhan tragis Khalifah Rasydeen Ketiga,  Uthman bin Affan r.a. pada hari Khamis 18 Zulkhijjah tahun 35 Hijrah ( 656 M) di rumahnya di Madinah al-Munawarah telah mencetuskan pergolakan hebat berpanjangan dalam dunia Islam yang semakin meluas di seluruh jazirah Arab. Sayidina Ali bin Abi Thalib r.a., seorang sahabat besar yang juga sepupu dan menantu kepada Rasulullah s.a.w telah dibai'ah sebagai Khalifah Rasydeen Keempat pada 25 Zulhijjah tahun 35 Hijrah ( 24 Jun 656 M), 7 hari selepas pengebumian jenazah Khalifah Uthman Affan.  

Terdapat penentangan dari berbagi pihak yang dipelopori golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Saba' terhadap lantikan beliau sebagai Khalifah yang cuba mengambil kesempatan dengan mengadu domba di kalangan para sahabat yang tidak setuju dengan cara Khalifah Ali menangguhkan mengambil tindakan  terhadap golongan yang membunuh Khalifah Uthman Affan. Namun dengan kebijaksanaannya, Khalifah Ali tetatap berdiri teguh menghadapi berbagai cabaran hebat dengan mengatur berbagai pelan strategi untuk menyatukan umat dan memperkukuhkan sistem pemerintahan dan pertahanan dalam sebuah negara yang semakin pesat berkembang di seluruh rantau. Antara strategi utama beliau ialah memindahkan pusat pemerintahan di Madinah al-Munawarah ke Kufah (sekarang di Iraq) dengan ijtihad dan rasional menjaga kesucian kota Madinah dan Makkah dari pertumpahan darah dan perkembangan geopolitik yang semakin ketara. 

Dalam usha untuk mentadbir wilayah-wilayah Islam yang semakin tersebar luas  Khalifah Ali telah menyediakan garis panduan lantikan Gabenur Wilayah agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh ketaqwaan, berkesan, berintegriti, adil dan berwibawa yang boleh  memperkukukah sistem pemerintahan Islam yang  berteraskan al-Quran dan Sunnah. Antara intipati pemikiran, dan daya kepimpinan Khalifah Ali bin Abi Thalib dapat ditelusuri melalui pembacaan dan penilaian sepucuk surah beliau kepada Malik bin al-Haris al-Ashtar yang terpilih untuk menjadi Gabenur Mesir pada tahun 34 Hijrah setelah penilaian teliti dilakukan oleh Khalifah Ali terhadap latar belakang, kewibawaan, keilmuan, kepimpinan, ketaqwaan  dan sumbangan besar beliau dalam beberapa medan perang utama hingga menyebabkan matanya luka dan ia digelar al-Ashtar.

Berikut adalah sebahagian daripada  intipati terjemahan surat Khalifah Ali bin Abi Thalib kepada Malik bin Al-Haris al-Ashtar yang mudah-mudahan dapat memberikan sedikit pemahaman kepada kita untuk menilai tahap keilmauan kepimpinan dan wawasan pemikiran Khalfah Ali dalam konteks memimpin umat dan pengurusan pentadbiran negara. 

 

SURAT KHALIFAH ISLAM YANG KEEMPAT, ALI BIN ABI THALIB, KEPADA MALIK BIN AL-HARIS AL-ASHTAR SEMPENA PERLANTIKANNYA SEBAGAI GABENOR MESIR PADA TAHUN 34 HIJRAH 

"KETAHUILAH kamu wahai Malik bahawa aku mengutuskan engkau sebagai pemerintah di negeri yang pada masa lalu pernah mengalami pemerintahan yang adil dan tidak adil. Penduduknya akan memerhatikan tindakan-tindakan kamu dengan pemandangan mata yang tidak menyenangkan, walaupun sebelum ini kamu pernah meneliti tindak-tanduk orang-orang yang kamu pimpin. Mereka juga akan membicarakan mengenai kamu seperti apa yang pernah kamu membicarakan mengenai mereka. Hakikatnya, masyarakat hanya memuji mereka yang melakukan perkara yang terbaik sahaja. Merekalah yang akan membuktikan kebenaran tindak-tanduk kamu. Oleh itu harta yang paling berharga yang amat dicari ialah amalan-amalan yang terbaik. Perkukuhkan keimanan kamu dan jauhi sama sekali perkara-perkara yang dilarang, nescaya kamu akan dapat mengenal antara yang baik atau sebaliknya.

Semaikan dan semarakkan di hati kamu perasaan kasih kepada rakyat kamu dan biarkan ia menjadi sumber kebaikan dan rahmat kepada mereka. Jangan percaya dan tanggapan bahawa mereka seperti orang yang tidak bertamadun dan janganlah merampas apa yang mereka miliki. Ingatlah bahawa rakyat negara itu terbahagi kepada dua. Mereka sama ada saudara seagama dengan kamu atau sebangsa. Mereka mempunyai kelemahan dan boleh melakukan kesilapan, malah sesetengahnya memang melakukan kesalahan. Maafkan mereka seperti kamu sangat berhajat agar Allah mengampunkan kamu. Ingatlah bahawa kamu diletakkan di atas mereka, begitu juga saya diletakkan di atas kamu. Sesungguhnya ingatlah bahawa Tuhan mengatasi orang yang melantik kamu sebagai pemimpin bagi membolehkan kamu menjaga kebajikan orang-orang bawahan kamu. Kamu akan diadili atas apa yang sudah kamu lakukan terhadap mereka.

Janganlah sesekali kamu melanggar perintah Allah kerana kamu bukan sahaja tidak mempunyai kekuatan untuk melindungi diri kamu daripada kemurkaan-Nya, tetapi kamu juga tidak boleh meletakkan diri kamu di luar belas kasihan-Nya dan keampunan-Nya. Jangan berasa bersalah atas tindakan kamu memberi maaf atau bergembira atas sesuatu hukuman yang kamu jatuhkan terhadap mereka. Janganlah biarkan diri kamu dalam kemarahan kerana ia tidak akan membawa sebarang keuntungan.

Jika kamu dilantik ke jawatan yang mempunyai kuasa dan berasa megah atau sombong, ingatlah kuasa dan keagungan Yang Maha Esa ke atas alam ini yang kamu langsung tidak mempunyai sebarang kawalan. Ini akan mengembalikan kepada kamu unsur-unsur keseimbangan dan akan meletakkan kamu dalam ketenteraman dan ketenangan. Berhati-hatilah dan janganlah menentang keagungan dan kebesaran Tuhan dan jangan meniru kekuasaan-Nya: kerana Allah boleh membinasakan orang-orang yang menentang-Nya dan orang yang zalim.


ORANG BIASA/AWAM

Biarkan fikiran kamu menghormati, melalui tindak-tanduk kamu, akan kuasa dan hak Tuhan serta juga hak-hak manusia. Oleh itu pujuklah rakan-rakan kamu dan saudara-saudara kamu supaya turut sama berbuat demikian. Jika tidak, kamu akan bersikap tidak adil bukan sahaja kepada diri kamu sendiri bahkan terhadap kemanusiaan. Sesungguhnya insan manusia dan Allah SWT akan menjadi musuh kamu. Tidak pernah diketahui ada orang yang menjadikan Allah musuhnya dan jika ini berlaku dia akan dianggap “berperang” dengan Allah sehingga dia mohon keampunan-Nya. Tidak ada yang boleh menafikan manusia daripada menerima rahmat atau membangkitkan kemurkaan-Nya kecuali kekejaman. Itulah sebabnya Allah mendengar doa mereka yang tertindas dan dizalimi dan menghukum mereka yang melakukan penindasan dan kezaliman tersebut. 

Kekalkan keadilan dalam pentadbiran dan semaikan semangat ini dalam jiwa raga kamu dan dapatkan persetujuan orang ramai kerana rasa tidak puas hati rakyat jelata mengatasi rasa puas hati segelintir masyarakat yang menikmati keistimewaan. Ingatlah bahwa mereka yang mempunyai keistimewaan itu amat kecil bilangannya dan mereka tidak akan membantu kamu ketika dalam kesusahan. Mereka akan cuba memesongkan keadilan dan akan meminta lebih daripada yang mereka sepatutnya menerima. Mereka juga tidak akan bersyukur dengan apa yang sudah diberikan kepada mereka. Mereka akan gelisah menghadapi dugaan dan tidak berasa kesal akan kelemahan-kelemahan mereka. Sesungguhnya, golongan rakyat biasalah yang menjadi kekuatan sesebuah negara dan agama.

Jauhilah mereka yang cuba mendedahkan kelemahan orang lain dan rakyat jelata tidak terkecuali daripada kelemahan. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah melindungi mereka. Jangan mendedahkan sesuatu yang tersembunyi, tetapi cuba hilangkan kelemahan ketara yang sudah nyata dan diketahui umum. Allah sentiasa melihat segala yang terselindung daripada kamu, dan Dia sahaja yang akan mengendalikan perkara itu. Kamu hendaklah, sebaik mungkin, menutup kelemahan rakyat kamu dan Allah akan menutup kelemahan-kelemahan yang kamu cuba sembunyikan daripada pengetahuan mereka.

Hapuskan kekusutan perasaan benci membenci antara rakyat dan pentadbiran dan hapuskan segala perkara yang menyebabkan ketegangan dalam hubungan mereka. Lindungi diri kamu daripada melakukan perkara-perkara yang tidak adil bagi kamu. Jangan tergesa-gesa mencari kebenaran fitnah yang diceritakan kepada kamu kerana orang itu adalah manusia yang tidak jujur serta cuma berpura-pura menjadi sahabat kamu.

Janganlah menerima nasihat daripada orang yang bakhil kerana dia akan melemahkan semangat dan menakutkan kamu sehingga menjadi miskin. Janganlah terima nasihat daripada orang yang pengecut kerana dia akan melemahkan semangat kamu. Di samping itu janganlah sesekali kamu menerima nasihat daripada orang yang tamak kerana dia akan menanamkan sifat tamaknya kepada kamu yang akhirnya mendorong kamu berbuat zalim. Sikap bakhil, pengecut dan tamak akan menghakiskan keyakinan seseorang terhadap Allah.

Penasihat yang buruk adalah mereka yang pernah berkhidmat kepada pemimpin yang tidak adil dan berkongsi jenayah yang dilakukan. Jadi janganlah sesekali menerima orang-orang seumpama ini sebagai penasihat kamu. Kamu boleh mendapat nasihat daripada orang-orang yang lebih baik daripada mereka iaitu orang- orang yang dianugerahkan kepintaran dan berpandangan jauh serta tidak dinodai oleh dosa dan tidak pernah bersubahat dengan orang yang zalim melakukan kezalimannya atau penjenayah dalam melakukan jenayahnya. Orang seperti ini tidak akan membebankan kamu. Mereka sebaliknya akan menjadi sumber pertolongan dan kekuatan kepada kamu pada setiap masa. Dia akan menjadi kawan kamu dan orang yang asing kepada musuh-musuh kamu. Gunakanlah kebijaksanaan kamu untuk mencari dan memilih orang-orang seperti ini sebagai rakan baik dalam perjuangan mahupun ketika bekerja. Di kalangan mereka itu juga, tunjukkan minat kamu terhadap mereka yang jujur, walaupun kadangkala amar sukar dilakukan.

Dekatilah mereka yang jujur dan takutkan Allah dan beritahu mereka bahawa mereka tidak boleh cuba memuji kamu atas sebarang perkara kebaikan yang mungkin kamu belum lakukan. Ini kerana sikap tolak ansur dan toleransi terhadap kata-kata pujian akan hanya memupuk sikap megah dalam jiwa manusia dan ini akan menjadikannya sombong dan angkuh. Jangan beri layanan yang sama kepada orang-orang yang baik dan yang jahat. Ini akan menghalang mereka yang baik daripada terus mlakukan perkara yang baik dan akan menggalakkan mereka yang jahat supaya terus melakukan kejahatan mereka. Berilah pujian kepada mereka yang berhak diberi pujian. Ingatlah bahawa kepercayaan dan muhibah antara pemimpin dan rakyat hanya dapat dipupuk melalui kebaikan, keadilan dan perkhidmatan. Oleh itu pupuklah muhibah silaturrahim di kalangan rakyat kerana hanya hubungan ini sahaja akan menyelamatkan kamu daripada bencana. Mereka akan membalas sikap kebaikan dan murah hati kamu dengan memberi kepercayaan penuh kepada kamu.


KUMPULAN MANUSIA YANG BERBEZA

Jangan mengabaikan tradisi – tradisi murni lagi mulia yang diwarisi daripada nenek moyang kita yang memupuk semangat keharmonian di kalangan penduduk, dan jangan melakukan sesuatu yang boleh mengurangkan daya usaha seperti itu. Mereka yang meletakkan asas tradisi ini sudah medapat ganjaran mereka, tetapi jika tradisi itu diganggu gugat, ia akan menjadi tanggungjawab kamu. Justeru berusahalah agara kamu sentiasa belajar daripada mereka yang berpengetahuan dan bijak dan mintalah nasihat mereka mengenai urusan-urusan negara supaya kamu dapat mengekalkan keamanan dan keharmonia yang sudah terbina. Ingatlah bahawa masyarakat dianggotai oleh pelbagai jenis manusia. Kemajuan sesuatu kumpulan itu bergantung kepada kemajuan yang lain, dan tidak ada yang boleh bergerak secara persendirian tanpa bantuan orang lain. Kita mempunyai bala tentera, kakitngan awam, badan kehakiman, pemungut cukai dan pegawai perhubungan awam. Masyarakat umum pula dianggotai oleh mereka yang beragama Islam dan zimmi. Di kalangan mereka pula ada ahli perniagaan dan ahli pertukangan, penganggur dan orang yang degil. Allah sudah menentukan hak, tugas dan tanggungjawab masing-masing. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi.

Bala tentera dengan rahmat Allah adalah sebagai benteng kepada manusia dan lambang kebesaran dan kedaulatan negara. Ia adalah tonggak keimanan dan mengekalkan keamanan negara. Tanpanya sesebuah negara itu akan tergugat. Bala tentera pula tidak dapat bertahan tanpa sokongan negara, kerjaan dan rakyat biasa. Bala tentera kita sudah terbukti amat kuat kerana mereka berjuang kerana Allah, tetapi mereka memerlukan bantuan material yang terpaksa  bergantung kepada hasil pendapatan negara. Anggota tentera dan orang awam yang membayar cukai, kedua-duanya perlu bantu membantu antara satu sama lain. Begitu juga hakim, pegawai kerajaan dan kakitangannya. Hakim (Kadi) bertanggungjawab dalam pentadbiran awam dan undang-undang jenayah, pegawai kerajaan memungut cukai dan mentadbir negara dengan bantuan kakitangannya. Seterusnya golongan ahli perniagaan dan pedagang juga menyumbang pendapatan mereka untuk negara. Mereka adalah orang yang menjalankan pasaran dan berada dalam kedudukan yang lebih baik daripada mereka yang menolak kehendak sosial. Allah memberi peluang yang adil pada semua orang, ada hak dalam semua kelas dalam pentadbiran di mana pentabdbir perlu memenuhinya. Mencari yang baik untuk penduduknya, satu tanggungjawab yang tidak boleh dipenuhi dengan sempurna kecuali dia mempunyai minat untuk  melaksanakannya dan meminta pertolongan Allah. Sesungguhnya, itu adalah kewajipan mereka menjalankan tugas dan bersabar ketika berhadapan dengan berbagai cabaran dan kesusahan dalam menjalankan tugas.

Berikan perhatian khusus kepada kebajikan mereka yang berkhidmat dalam angkatan tentera yang pada pendapat kamu mereka itu taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan taat kepada ketua agar mereka boleh bersabar dan menahan diri jika dipengaruhi nafsu. Mereka yang mendengar dengan tenang kepada nasihat yang berguna, dan mereka yang boleh membantu orang miskin dan membinasakan yang kuat dan  tidak bertindak ganas apabila dihasut dan sentiasa tetap pendirian.

Hendaklah kamu menjaga mereka dengan kebijaksanaan dan kelembutan sebagaimana kamu melayani anak-anak kamu. Jangan kamu mendabik dada mengenai kebaikan yang telah kamu lakukan kepada mereka dan jangan pula memandang ringan kemesraan yang mereka tunjukkan kepada kamu. Sikap seperti ini akan menimbulkan rasa ketaatan, kesetiaan dan baik sangka antara kamu dan mereka. Kamu hendaklah melayan kehendak mereka walau sekecil mana sekalipun. Janganlah kamu berpuashati dengan pertolongan yang sudah diberikan kepada mereka, kerana kadangkala, permintaan yang kecil jika diberi perhatian akan mendatangkan kelegaan yang amat besar kepada mereka. Sudah tentu mereka ini tidak akan lupa jasa-jasa kamu dan ketika kamu memerlukan pertolongan mereka.

Adalah berfaedah jika kamu memilih Ketua Turus Angkatan Tentera daripada mereka yang sanggup menunaikan tugas dan bertanggungjawab membantu anggota tentera di bawah pemerintahannya. Mereka yang mengatasi pegawai –pegawai lain dalam memberi kebaikan kepada anggota tenteranya dan menjaga keluarga mereka apabila mereka pergi menunaikan tanggungjawab di lokasi-lokasi perbatasan negara. Dengan cara ini seluruh anggota tentera akan sentiasa bersiap siaga, bersatu padu dan akan memberi  kekuatan apabila berhadapan menentang musuh. Kekalkan sikap lemah-lembut terhadap mereka supaya mereka terasa sentiasa bersama kamu. Hakikatnya kegembiraan sebenar seseorang pentadbir dan keselesaan yang memuaskan terletak kepada usahanya menegakkan keadilan dalam negera dan mengekalkan hubungan mesra dengan rakyat. Kejujuran perasaan mereka dicurahkan melalui kecintaan dan penghormatan yang mereka tunjukkan kepada kamu, dan ini dapat mengekalkan keselamatan negara. Nasihat kamu kepada bala tentera tidak memberi impak yang berkesan sehingga kamu menunjukkan sikap kasih sayang kepada anggota tentera dan pegawai-pegawainya supaya mereka tidak menganggap kerajaan dan tanggungjawab menjaga keselamatan dan pertahanan negara sebagai beban yang menindas yang boleh membawa kepada kejatuhannya.

Teruskan usaha memenuhi keperluan mereka dan memuji mereka berkali-kali terhadap perkhidmatan baik yang mereka berikan. Sikap seumpamanya itu insya-Allah akan mendorong tindakan yang lebih berani dan mengalakkan yang penakut menjadi berani. Cubalah memahami perasaan orang lain dan jangan menyalahkan antara satu sama lain dan jangan merungut apabila memberi ganjaran yang sewajarnya.

Berhati-hatilah ketika memilih pegawai bagi badan kehakiman kerana ia adalah badan tertinggi yang mungkin dipergunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, untuk kepentingan sendiri. Sahkan jawatan mereka setelah mereka menjalani latihan dan ujian. Jangan memilih mereka untuk jawatan yang memerlukan amanah yang tinggi kerana hubungan peribadi atau dipengaruhi oleh orang lain. Ini membawa kepada ketidakadilan, salah guna kuasa dan rasuah.

Pilihlah mereka yang berpengalaman, tegas, kuat imannya dan daripada keluarga yang baik-baik untuk menduduki jawatan-jawatan tertinggi. Mereka yang seumpama itu tidak mudah mengalah dengan godaan nafsu dan akan menjalankan tugas mereka dengan baik. Naikkanlah gaji mereka supaya mereka dapat hidup lebih selesa. Taraf hidup yang lebih baik dapat membersihkan diri daripada kejahatan. Mereka tidak akan terdorong untuk mencukai pendapatan orang bawahan bagi kesenangan mereka sendiri. Dengan itu, mereka tidak mempunyai sebab sama ada untuk melanggar arahan kamu atau menyalahgunakan kewangan negara. Awasilah mereka dengan orang yang setia dan mulia tanpa pengetahuan mereka. Carilah orang yang jujur dan setia untuk mengawasi pegawai-pegawai ini tanpa pengetahuan mereka. Melalui cara ini, mereka dapat membentuk kejujuran dan memberi perhatian yang sebenar kepada kebajikan orang ramai. Jika ada antara mereka dituduh tidak amanah dan siasatan Jabatan Perisikan kamu memdapatinya bersalah, anggaplah bukti ini sudah memadai untuk menghukum mereka. Biarlah hukuman itu berat dan dijalankan di khalayak ramai.


PENTADBIRAN KEWANGAN 

Pentadbiran kewangan perlu diberi perhatian berat, bagi menjamin kemakmuran mereka yang membayar cukai kepada negara. Kemakmuran orang lain, khususnya rakyat bergantung kepada kemakmuran pembayar cukai. Sebenarnya sesebuah negara itu wujud kerana adanya hasil pendapatan. Kamu mesti menganggap perniagaan tanah pertanian yang diusahakan lebih penting daripada memungut cukai, kerana cukai tidak dapat dikutip jika tanah tidak produktif. Mereka yang meminta hasil tanpa membantu petani memajukan tanahnya, menimbulkan kesukaran yang tak diingini kepada petani dan menghancurkan negara. Kaedah pemerintahan seperti itu tidak akan berkekalan. Orang seumpama itu tidak lama jadi pemerintah.

Jika petani meminta dikurangkan cukai tanah kerana tanamannya musnah diserang serangga, kemarau, banjir atau tanah tidak subur, maka kurangkan cukai mengikut kadar yang sepatutnya. Dengan itu keadaan hidup mereka akan bertambah baik. Jangan dibimbangkan soal kekurangan pendapatan kepada negara kerana satu hari nanti tanah itu akan mendatangkan kemakmuran yang berlipat ganda dan membolehkan kamu memperbaiki keadaan bandar kamu dan menaikkan imej negeri kamu. Rakyat akan percaya kepada keadilan yang kamu tegakkan itu. Keyakinan yang diberikan kepada kamu ini akan menambahkan kekuatan kamu kerana mereka akan bersedia pula untuk berkongsi beban bersama kamu.

Kamu mungkin dapat menempatkan sebanyak manusia di tanah pertanian, tetapi perasaan tidak puas hati akan menyelubungi mereka jika tanah tidak dimajukan. Punca petani menjadi binasa adalah kerana pemimpin yang tamak, cuba mengaut kekayaan berlipat ganda kerana bimbang dia tidak kekal lama. Mereka yang sedemikian adalah orang yang tidak belajar dari pengalaman dan teladan masa lalu.


GOLONGAN PENGURUSAN PENTDBIRAN

Sentiasa awasi kakitangan kamu dan pilihlah yang terbaik di kalangan mereka untuk mengendalikan urusan surat menyurat sulit kamu. Mereka yang berakhlak tinggi dan yang kamu percayai. Mereka yang tidak akan mengambil kesempatan mempergunakan kedudukan istimewa untuk menentang kamu dan mereka yang apabila menulis perjanjian, tidak terpangaruh dengan nafsunya dan menjejaskan kepentingan kamu atau gagal menjelesaikan masalah kamu. Pilihlah mereka yang apabila menjalankan tugas sedar betapa beratnya tanggungjawap mereka. Mereka yang tidak sedar tanggung jawabnya sendiri sukar menghargai tanggung jawab orang lain.

Janganlah memilih semata-mata berasaskan kekuatan pandangan pertama, kecintaan dan keikhlasan kamu. Sesungguhnya lakonan dan kepura-puraan boleh menipu pemerintah yang pintar. Pemilihan hendaklah dibuat setelah menjalani tempoh percubaan yang akan menguji kesesuian mereka. Dalam membuat perlantikan terus, pastikan mereka yang dipilih itu mempunyai pengaruh di kalangan rakyat dan mempunyai nama baik di setiap jabatan pentadbiran. Ingatlah sebarang kelemahan di kalangan kakitangan kamu, jurutulis yang kamu tidak mengambil berat terhadapnya akan menulis menentang kamu.


PERDAGANGAN DAN PERINDUSTRIAN

Amalkan skim-skim yang berguna bagi mereka yang terbabit dalam perdagangan dan perindustrian dan bantulah mereka dengan nasihat yang bijaksana. Sesetengah daripada mereka tinggal di bandar dan sesetengahnya pula berpindah dari setempat ke setempat dengan kemahiran masing-masing dan hidup dengan menjadi buruh harian. Perdagangan dan perindustrian adalah sumber keuntungan kepada negara. Kebanyakan rakyat tidak cenderung untuk memikul tanggungjawab berat itu. Sebaliknya mereka yang menyertai profesion ini sanggup bersusah payah memungut barang-barang perniagaan dari jauh dan dekat, dari daratan dan laut, gunung dan hutan untuk mendapatkan faedah daripadanya.

Inilah golongan yang cintakan kedamaian dan bagi mereka kekacauan tidak perlu ditakutkan kerana mereka akur dan setia  menurut perintah. Tentu sekali mereka tidak mahu menimbulkan keadaan huru-hara. Lawatilah ke seluruh pelusuk negeri dan jalinkan hubungan peribadi dengan golongan ini serta bertanyakan masalah mereka. Namun perlu diingati, ramai juga di kalangan mereka yang tamak dan terdorong dengan urusan menipu. Mereka menyorok hasil tanaman untuk dijual dengan harga yang mahal, dan ini menyusahkan rakyat. Perkara-perkara ini akan menjatuhkan maruah pemerintah jika perbuatan buruk itu tidak dihalang. Halang mereka daripada menyembunyikan hasil. Nabi Muhammad s.a.w. melarang perbuatan ini. Dan beri perhatian, supaya perdagangan berjalan dengan mudah, timbangannya betul dan harganya ditetapkan supaya golongan yang berurusan jual-beli tidak mengalami kerugian. Jika ada yang tidak menghiraukan amaran kamu dan menyorok hasil tanaman, bertindak dan hukumlah mereka sewajarnya dengan penuh keadlan.


ORANG MISKIN

Takutkan Allah apabila berurusan dengan masalah orang miskin yang tidak mempunyai sesiapa untuk berlindung, terbiar, susah dan tidak bermaya dan yang terganggu fikirannya kerana menjadi mangsa kepada takdir yang berlaku. Antara mereka ada yang tidak mempersoalkan nasib mereka dan sanggup menanggung kesusahan daripada meminta sedekah. Demi Allah, peliharalah hak mereka, kerana kamu bertanggung-jawab untuk melindungi mereka. Peruntukkanlah sebahagian daripada wang simpanan Baitul-mal untuk membaiki kedudukan mereka, tanpa megambil kira di mana mereka berada, dekat atau jauh dari kamu. Mereka hendaklah diberikan hak yang sama-rata dan adil. Jangan sesekali menjadikan kesibukan sebagai alasan kamu mengabaikan tanggungjawab kamu terhadap mereka hingga menyebabkan mereka mengalami kesusahan. Jangan kamu anggap bahawa kepentingan mereka adalah kurang daripada kepentingan kamu, dan jangan mengenepikan mereka dalam perkiraan kamu. Awasilah orang-orang yang memandang rendah dan membiarkan kamu melupai akan nasib orang miskin.

Pilihlah antara pegawai-pegawai kamu mereka yang rendah diri dan bertaqwa kepada Allah, yang akan memberi nasihat serta sentiasa mengingatkan kamu mengenai orang miskin. Sediakan peruntukan bagi mereka supaya kamu tidak payah memberi alasan kepada Allah di hari pengadilan, kerana mereka inilah orang yang patut menerima layanan baik daripada kamu. Carilah ganjaran daripada Allah dengan memberikan apa yang menjadi hak mereka. Inilah tanggungjawab suci kamu untuk memenuhi kehendak orang-orang tua di kalangan mereka yang tidak mempunyai tempat pergantungan hidup dan tidak mahu meminta bantuan kewangan. Tanggungjawab seumpama itulah biasanya sukar dilakukan oleh pemerintah, tetapi ia sangat dialu-alukan oleh masyarakat yang berpandangan jauh. Hanya masyarakat dan negara yang benar-benar menunaikan tanggungjawab dan perjanjian mereka dengan Allah sahaja dapat memenuhi keperluan orang miskin.


MUSYAWRAH TERBUKA 

Temui mereka yang tertindas dan rakyat berpendapatan rendah dalam musyawarah-musyawarah terbuka. Ingatlah Allah Maha Mengetahui dan rahmat-Nya sentasa bersama hamba-hambaNya. Adakan perbincangan dari hati ke hati dengan mereka dan janganlah membenarkan pengawal, pegawai-pegawai kerajaan atau anggota polis dan pegawai-pegawai dari Jabatan Perisikan berada di situ, supaya mereka yang mewakili rakyat miskin dapat menyuarakan rasa tidak puas hati mereka secara jujur berterang-terangan tanpa perasaan takut dan bimbang.

Tabahkanlah hati dan bertenang menghadapi bahasa yang keras, yang mungkin digunakan oleh mereka, dan janganlah mudah naik berang jika mereka tidak dapat menyatakan alasan mereka dengan jelas. Allah akan membuka pintu rahmat dan memberi ganjaran kepada kamu. Apa sahaja yang kamu boleh berikan kepada mereka, berikanlah tanpa merungut,  dan apa sahaja yang kamu tidak mampu untuk berikannya beritahulah mereka dengan berterus-terang dan penuh kejujuran.

Ada beberapa perkara yang memerlukan tindakan segara. Terimalah cadangan yang dibuat oleh pegawai-pegawai kamu bagi membaiki sungutan kakitangan pentadbiran. Pastikan supaya bantahan dan permohonan yang dikemukakan untuk pertimbangan kamu sampai kepada pengetahuan kamu di hari ia dikemukakan, walaupun pegawai-pegawai kamu cuba bertindak sebagai orang tengah. Selesaikan sesuatu kerja pada hari itu juga, kerana keesokan hari akan membawa kerja dan tanggungjawab yang lain pula.


MUNAJAT KEPADA ALLAH

Jangan lupa mengasingkan masa kamu yang paling baik untuk bermunajat dengan Allah, walaupun setiap ketika kamu adalah untuk-Nya (jika ia digunakan dengan jujur untuk berkhidmat kepada rakyat kamu). Masa yang kamu peruntukkan bagi mengerjakan solat hendaklah digunakan sepenuhnya untuk menunaikan solat lima waktu. Lakukanlah kewajipan badat solat pada waktu siang hari dan pada waktu malam. Bagi mendapatkan hubungan langsung yang sempurna dengan Allah, seboleh-bolehnya janganlah kamu memanjangkan solat hinggga ia memenatkan kamu. Apabila kamu menjadi imam dalam solat, jangan kamu membenarkan solat itu berpanjangan hingga menyebabkan kesulitan kepada makmum atau menyebabkan mereka tidak suka melakukan solat berjemaah, atau setidak-tidaknya mengurangkan kesannya, kerana dalam jemaah solat itu ada yang cacat dan juga mempunyai urusan penting yang mesti diuruskan.

Ketika saya diarah pergi ke Yaman saya bertanya kepada Nabi Muhamamad s.a.w. bagaimana harus saya mengimamkan solat. Rasulullah bersabda: 

“Kerjakanlah solat kamu seperti mana orang yang paling lemah di antara kamu melakukannya, dan jadikanlah contoh bertimbang rasa terhadap mereka yang taqwa.”

Selain daripada perkara yang sudah saya sebutkan di atas, se perkara lagi yang patut diperhatikan oleh kamu ialah jangan sesekali memisahkan diri kamu daripada rakyat, kerana jika kamu berbuat demikian kamu tidak akan tahu hal-ehwal mereka. Ia akan menyebabkan seseorang pemerintah itu mempunyai perspektif yang salah, selain menyebabkan dia tidak boleh membezakan mana yang penting dan yang tidak penting, yang mana betul dan yang mana salah, dan di antara yang benar dan palsu. Pemerintah adalah manusia biasa. Dia tidak mampu mengeluarkan pandangan yang betul untuk semua perkara, apatah lagi bagi perkara-perkara yang di luar jangkauan dan pengetahuannya. Tidak ada tanda-tanda khusus untuk kebenaran bagi membolehkan seseorang itu membezakan di antara kebenaran dan kepalsuan. Sebenarnya dua perkara yang boleh berlaku kepada kamu, iaitu sama ada kamu berlaku adil atau zalim.

Jika kamu berlaku adil, kamu tidak boleh memisahkan diri kamu daripada rakyat, tetapi mendengar aduan mereka dan memenuhi kemahuan mereka. Jika kamu tidak berlaku adil, rakyat kamu sendiri akan menghindari kamu. Jadi apakah kebaikannya jika kamu menjauhkan diri daripada mereka? Dalam semua hal, menjauhkan diri daripada rakyat adalah tidak diingini, terutama apabila tugas kamu menuntut kamu menunaikan kehendak rakyat. Aduan mengenai penindasan daripada pegawai-pegawai untuk keadilan tidak sepatutnya menjemukan kamu.

Hendaklah kamu sentiasa berwaspada dengan ingatan bahawa mereka yang di keliling kamu akan mengambil peluang mempergunakan kedudukan mereka untuk merampas apa yang menjadi hak orang lain dan melakukan ketidakadilan. Hapuskan kecenderungan seumpama itu. Kamu sendiri janganlah memberi walau seinci tanah pun kepada saudara mara kamu. Amalan ini akan menghalang pegawai-pegawai di sekeliling kamu daripada menyusahkan orang lain dan menyelamatkan kamu daripada penghinaan Allah dan manusia.

Laksanakanlah keadilan secara sama rata tanpa mengira sama ada seseorang itu bersaudara dengan kamu atau tidak. Jika ada saudara mara atau kawan-kawan kamu yang melanggar undang-undang, laksanakanlah hukuman yang ditentukan walaupun ia pahit kepada kamu, kerana ia adalah untuk kebaikan negara. Jika pada sebarang waktu orang mengesyaki bahawa kamu tidak berlaku adil kepada mereka dalam apa jua urusan, jelaskanlah pendirian kamu kepada mereka supaya sebarang syak wasangka terhadap kamu dapat dihapuskan. Cara ini akan menyebabkan mereka menghormati dan menyayangi kamu. Ini juga akan memenuhi keinginan kamu kerana rakyat yakin dengan pemerintahan kamu.


PERDAMAIAN DAN PERJANJIAN 

Ingatlah bahawa kamu tidak akan menolak tawaran perdamaian yang dibuat oleh musuh kamu. Terimalah kerana ia disukai oleh Allah. Keamanan adalah punca keselesaan kepada angkatan tentera, ia mengurangkan kebimbangan kamu dan meningkatkan kedamaian dan kententeraman dalam negara. Namun kamu hendaklah  berhati-hati selepas perjanjian perdamaian ditandatangani. Sesetengah musuh menawarkan perdamaian untuk memperdayakan kamu. Mereka menawarkan perdamaian dengan harapan kamu akan berasa lebih selamat, sebaliknya mereka akan menyerang kamu apabila kamu tidak bersedia.

Justeru, kamu hendaklah sentiasa berwaspada dan jangan meletakkan keyakinan terhadap bantahan mereka. Jika mengikut perjanjian perdamaian itu kamu menerima kewajipan, maka hendaklah kamu melaksanakan kewajipan itu bersungguh-sungguh. Ia adalah amanah dan mesti dipertahankan seikhlas-ikhlasnya dan apabila kamu menjanjikan sesuatu hendaklah kamu tunaikan dangan segala keupayaan yang ada pada kamu, walaupun wujudnya perbezaan pendapat dalam hal lain. Tidak ada kemuliaan yang lebih mulia daripada menunaikan janji. Ini juga diakui oleh orang bukan Islam kerana mereka tahu padah melanggar perjanjian. Oleh itu, jangan membuat alasan dalam melaksanakan kewajipan kamu dan jangan sekali-kali memungkiri janji atau menipu musuh kamu. Perbuatan memungkiri janji adalah satu kesalahan di sisi Allah.

Sesungguhnya janji rahmat Allah untuk semua manusia. Janji Allah adalah pelindungan yang dicari, termasuk oleh manusia yang berkuasa di bumi ini kerana Allah tidak sesekali memungkiri janji-Nya. Oleh itu, jangan membuat janji yang kamu tidak mungkin dapat menunaikannya. Jangan cabuli janji yang kamu buat walaupun ia menyakitkan hati. Adalah lebih baik menunggu dengan sabar akibat daripadanya daripada melanggarnya kerana kebimbangan. Awas! Jangan menumpahkan darah tanpa sebab yang sah.

Di Hari Kiamat akan ditanya jenayah yang dilakukan. Oleh itu, berhati-hatilah, jangan membina kekuatan negara kamu dengan darah kerana darah itulah yang akan melemahkan negara dan menyebabkan negara bertukar tangan. Di hadapanku dan di hadapan Allah tidak ada alasan akan diterima bagi pembunuhan yang disengajakan.

Pembunuhan adalah jenayah yang boleh dihukum mati. Jika dalam melaksanakan hukuman rotan terhadap kesalahan jenayah ringan yang menyebabkan kematian, janganlah berbangga dengan martabat negara sehingga menghalang keluarga si mati menuntut ganjaran ganti rugi.


ARAHAN TERAKHIR 

Jangan tergopoh-gopoh melakukan sesuatu sebelum masanya, atau melengah-lengahkannya apabila masanya tiba. Jangan mendesak melakukan perkara yang salah, atau berlengah-lengah membetulkan kesalahan. Lakukan segala sesuatu dalam tempohnya, dan biarkan segala sesuatu mendapat tempat yang sewajarnya. Apabila semua orang bersetuju dengan sesuatu, jangan memaksa mereka menurut pandangan kamu dan jangan cuai dalam menjalankan tanggung-jawab kamu. Mata rakyat sentiasa memerhatikan kamu dan kamu bertanggung-jawab terhadap apa jua yang kamu lakukan kepada mereka. Kecuaian yang kecil akan memberi kesan buruknya. Kawallah kemarahan dan jagalah tangan dan lidah kamu. Apa jua yang menimpa, cubalah bersabar, jika tidak ia akan menambahkan kebimbangan kamu.

Adalah amat penting bagi kamu mempelajari prinsip-prinsip yang telah mengilhamkan orang yang adil dan pemerintah yang saksama sebelum kamu. Berikan perhatian yang teliti terhadap contoh teladan Nabi Muhammad s.a.w., hadisnya dan perintah Kitab Allah dan apa jua yang kamu telah pelajari daripada urusan kamu. Berusahalah dengan segala kemampuan kamu untuk menjalankan arahan yang saya berikan dan yang kamu telah bersumpah setia untuk mengikutinya. Melalui arahan ini, saya memerintahkan kamu supaya jangan tunduk kepada hasutan bisikan hati kamu atau berpaling daripada menjalankan tugas yang diamanahkan kepada kamu.

Saya mencari perlindungan Allah Yang Maha Berkuasa dan Rahmat-Nya yang tidak terbatas, dan menyeru kamu berdoa bersama saya supaya Dia memberi rahmat kepada kita menerusi penyerahan qudrat kita kepada kemahuan-Nya agar manusia sejagat menghargai kita dan kerja kita beroleh kejayaan. Saya mencari puncak rahmat Allah dan berdoa agar Dia memberi kepada kita kesyahidan di jalan-Nya. Sesungguhnya, kita akan kembali kepada-Nya. Saya melafazkan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan Ahlul Bait." 

Sudah lebih seribu tahun lamanya warkah Khalifah Ali bin Abi Thalib r.a. ini diabadikan dalam persuratan untuk ditatapi, diselami dan menjadi ingatan kepada sekalian umat manusia dan seluruh umat Islam sejagat di sepanjang zaman. Amat jelas kepada kita bahawa inilah hamba Allah yang bernama Ali bin Abi Thalib yang dilahirkan ke dunia untuk hidup dan bergerak mendampingi Rasulullah s.a.w hingga ke akhir hayatnya menyampaikan amanat Allah kepada seluruh umat manusia. Walaupun zaman telah lama berlalu meninggalkan warisan  yang tidak terhingga banyaknya, namun warisan keilmuan berteraskan kitabullah dan sunnah  yang ditinggalkan sentiasa bersinar di sepanjang zaman. Hanya mereka dikurniakan Allah dengan taufik dan hidayah sahaja yang dapat meneguk dan menikmatinya untuk bekalan hari akhirat yang berkekalan. 

Wallahu'alam.


[ Catatatan Ringkas Latar Belakang Malik al-Haris al-Ashtar :

Nama penuhnya ialah Malik bin al-Harits bin Hisyam al-Makhzumi ( مالك بن الحارث بن هشام المخزومي). Beliau dilahrian di Yaman pada sekitar tahun 586 Masehi. Dia berasal dari suku Arab Bani Nakha' dari Yaman dan beriman memeluk Islam pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Beliau adalah seorang panglima tentera yang yang handal dan berani yang  terlibat dalam Perang Yarmuk . Dalam Perang Yarmuk ( 15H/636M) menentang tentera Rom Byzantium beliau mengalami cedera parah pada matanya. Justeru beliau diberi gelaran AL-ASHTAR. Apabila  Sayidina Ali bin Abi Thalib dibai'ah sebagai Amirul Mukminin Khalifah Ar-Rasydeen Keempat, Malik adalah salah seorang yang turut memberi bai'ah dan terus setia bersamanya. Beliau turut bersama barisan tentera Khalifah Ali dalam Perang Jamal (36H/656M), Perang Siffin (37H) dan peperangan menentang golongan pemberontak. Atas sahsiah peribadi dan kewibawaan daya kepimpinan yang amat membaggakan Khalifah Ali telah melantik Malik sebgai Gabenur Mesir pada tahun 38H menggantikan Gabenur Qais bi Sa'ad. Namun Allah telah mentakdirkan Malik al-Haris mati keracunan apabila sampai di Fustat untuk memulakan tugas sebagai Gabenur Mesir. Dia kembali ke ramatullah pada 38 H dan jenazahnya dikebumikan di Desa Qalaj, al-Khankh, Kota Qalyubiyah timur laut Kaherah, 


                                 Makam Malik al-Haris 


**************************************************************

 وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ (169) فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِمْ مِنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (170)

   Maksudnya :

" Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki, (169)

mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada mereka dan  mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum meyusul mereka, bahawa tidak ada kekhwatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (170)

           [Al-Quran surah  سورۃ آل عمرن Ali 'Imran : 169-170 ]








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SURAT KHALIFAH ALI BIN ABI THALIB R.A. KEPADA GABENUR MESIR

                    بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم   السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ  اَللَّهُمَّ صَ...