Sabtu, 9 Julai 2022

WASIAT DAN NASIHAT AL IMAM AS-SYAFI'E RAHIMAULLAH


[ Sambungan daripada : KEMURAHAN HATI HAMBA MUKMIN YANG LUAR BIASA ]

 بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْن. اَللَّهُمَّ إِنَّكَ خَلاَّقُ الْعَظِيْم ،إِنَّكَ سَمِيْعٌ عَلِيْم ، إِنَّكَ غَفُوْرٌ رَحِيْم ، إِنَّكَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْم
 أَمَّا بَعْـدُ

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ 

              Maksudnya :

" Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman dan kebanykan mereka adalah orang yang fasik ."

                 [ Al- Quran surah سورۃ آل عمرن Ali 'Imran : 110  ] 

                    ******************************************* 

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا 

               Maksudnya :

" Sesunguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan ( menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

                 [ Al-Quran surah سورة النساء An-Nisaa' : 58 ] 

              ****************************************

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالأقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

            Maksudnya :

" Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan karib kerabatnya secara ma'ruf, (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa."

           [Al-Quran surah سورة البقرة  Al-Baqarah : 180 ]

***********************************************************

BIOGRAFI RINGKAS IMAM AL-SYAFI'E


Nama penuh Imam al-Syafi’e ialah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafie bin Ubaid bin Abdu Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdi Manaf al- Quraisy. Beliau dilahirkan  pada tahun 150H/767 M di sebuah tempat bernama Ghazzah di kota Ashqelon pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyah kedua, Abu Jaafar Al-Mansur.  Nasab beliau bertemu dengan nasab Rasulullah s.a.w pada moyang mereka berdua iaitu Abd Manaf.

Ketika berusia dua tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Hijaz dan apabila umurnya mencecah 10 tahun, ibunya membawanya ke Mekah kerana khuatir nasabnya yang mulia akan lenyap. (Rujuk Manaqib al-Syafi’e oleh Imam al-Baihaqi, 1/472 dan Tawali al-Ta'sis li Ma'ali Muhammad ibn Idris, hlm. 51)

Di Mekah, beliau menuntut ilmu dengan beberapa orang ulama terkenal, antaranya Imam Khalid bin Muslim al-Zanji iaitu mufti Mekah pada waktu itu, Fudhail bin ‘Iyadh dan Sufyan bin ‘Uyainah.

Kemudian beliau berpindah ke Madinah ketika berusia 12 tahun, dan telah menghafal kitab Al-Muwatto hasil karya Imam Malik bin Anas ( 93H/713m- 179h/796M) hanya dalam tempoh masa 9 hari sahaja. Kecerdasan dan kebijaksanaan beliau  membolehkannya  berguru dengan Imam Malik bin Anas.  Ternyata beliau telah menjadi anak murid Imam Malik yang paling alim lagi bijaksana. Beliau turut belajar daripada beberapa orang ulama Madinah yang lain. Kebijaksanaan dan kealiman beliau berkemampuan tinggi memberikan fatwa ketika umurnya baru berusia 15 tahun.

                     Maqam Imam Malik bin Anas Di Perkuburan Jannatul Baqi', Madinah 

Seterusnya Imam al-Syafi'e berhijrah ke Yaman dan menuntut ilmu daripada beberapa orang ulama ternama seperti  Mutorrif bin Mazin, Hisyam bin Yusuf, ‘Amru bin Abi Salamah dan Yahya bin Hassan. selepas tiu beliuau berhijrah dan menetap di Iraq dan berguru dengan beberapa orang ulama lagi seperti  Waki’ bin Jarrah, Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, Hammad bin Usamah, Ayyub bin Suwaid al-Ramli dan Ismail bin ‘Ulayyah. Ketika berada di Iraq, beliau telah menghasilkan karangan kitab al-Hujjah yang menghimpunkan pandangan beliau yang lama (qaul qadim).

Apabila beliau berpindah dan berada di Mesir, beliau memperbaharui banyak fatwa beliau yang terdahulu dan mengasaskan mazhab baru yang menghimpunkan qaul jadid, yang dimuatkan di dalam kitab Al-Umm. Beliau turut mengarang kitab Al-Risalah mengenai ilmu Usul Fiqh, yang juga menjadi pengasas  ilmu tersebut.

                                           Kitab Al Umm Karya Imam Al Syafi'e

Beliau telah diiktiraf sebagai mujaddid (pembaharu/islah) agama Islam bagi kurun yang kedua hijrah atas sumbangan besar beliau menghimpunkan antara dua manhaj, iaitu manhaj Ahlu Ra’yi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah dan manhaj Ahlu al-Hadith yang dilazimi oleh Imam Malik bin Anas. Imam al-Syafi’e telah kembali ke rahmatullah pada tahun 204H/820 M di Kaherah ketika berusia 54 tahun. Kembara ilmu Imam al Syafi'e di sepanjang hayat untuk membimbang umat adalah satu sumbangan jihad beliau yang teramat besar  yang terus bercahaya menyenari umat Islam di sepanjang zaman. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati roh beliau hingga hari dibangkitkan. Amin.(Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah hlm. 31-32

                   Pemandangan salah satu lokasi di Gaza pada kurun ke 19. 

SEPULUH (10 ) NASIHAT IMAM AS-SYAFI'E RAHIMAULLAH YANG DIWASIATKAN KEPADA MURID-MURIDNYA SEBELUM DIA KEMBALI KE RAHMATULLAH :

Sebelum Imam As-Syafi'e kembali ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada murid-muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah terjemahan kandungan wasiat tersebut yang bermaksud:

"Barangsiapa yang berhajat meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh (10) perkara:
PERTAMA : HAK PADA DIRI SENDIRI 
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada. 
KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT 
Iaitu: Mengqadakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa kasihkan Allah sahaja. 
KETIGA : HAK KEPADA KUBUR 
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.  
KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR 
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati. 
KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT) 
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA JAHANAM PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.  
KETUJUH : HAK KEPADA MALAIKAT MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT dan berbuat baik kepada ibu bapa.  
KELAPAN : HAK KEPADA MALAIKAT RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA) 
Iaitu : Berasa reda dengan Qadha' Allah, bersabar menerima ujian bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat. 
KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W. 
Iaitu : Bersalawat ke atas baginda, berpegang teguh dengan syariat, bergantung kepada As-Sunnah (Hadis), menyayangi para sahabat baginda, dan bersaing dalam mencari keredaan Allah.  
KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT 
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan."

Menurut riwayat selain daripada wasiat tersebut, Imam As-Syafi'e kerap beramal dengan zikir dan doa berikut khususnya apabila beliau berada dalam kesusahan apabila berhadapan dengan masalah yang besar: 

  Do'a Imam Syafi'i Rahimullah ketika dia dalam kesusahan :


        اَللَّهُمَّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا وَلَا مَوْتًا 
وَلَا حَيَاةً وَلَا نُشُورًا وَلَا  
أَسْتَطِيْعُ أَنْ آ  خُذَ إِلَّا مَا أَعْطَيْتَنِي وَلَا أَتَّقِي إِلَّا مَا وَقَّيْتَنِي  
 اَللَّهُمَّ فَوَفِّقْنِي لِمَا  
تُحِبُّ وَتَرْضَى مِنَ القَوْلِ وَالْعَمَلِ فِي عَافِيَةٍ
   Maksudnya:  
"Ya Allah, bahawasanya aku tiada memiliki bagi diriku kemanfaatan, tiada memiliki kemudaratan, tiada memiliki kematian, tiada memiliki kehidupan, tiada memiliki hidup kemudian daripada mati, tiada aku berupaya mengambil melainkan barang apa yang Engkau berikan kepada ku dan tiada dapat aku memelihara melainkan barang apa yang telah Engkau pelihara akan aku. Ya Allah, Engkau berilah taufik kepada aku bagi barang apa yang Engkau kasihi dan Engkau redai daripada perbuatan dan amalan dalam 'afiat."
#Syair Imam as-Syafie:

شكَوْتُ إِلَى وَقِعٍ سُوْءَ حِفْظى
فَأَرْشَـدَنِي إلى تَرْكِ المَعاصِي
وَأَخْـبَرَني بِـأَن العِلمَ نُـورٌ
ونُـورُ اللهِ لا يُهدَي للعَاصى

         Maksudnya : 

"Aku telah mengadu kepada guruku Waqi’ tentang buruknya hafalanku,

Beliau menasihatkanku supaya meninggalkan maksiat,

Beliau memberi tahu kepadaku sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya,

Dan sesungguhnya cahaya ( ilmu petunjuk) Allah itu tidak akan dianugerahkan kepada mereka yang melakukan maksiat."

                                  Maqam Imam As-Syafi'e di Kaherah, Mesir 


Ceramah : Saat Kewafatan Imam As-Syafie :https://www.youtube.com/watch?v=qvDbIfsFyNY


Masjid Agung Al Omari di Gaza. Pada asalnya kompleks bangunan ini adalah sebuah kuil. Pada zaman pemerintahan Kerajaan Bizantine ia bertukar menjadi sebuah Gereja Bizantine oleh Ratu Bizantium Ratu Aelia Eudocia pada tahun 406 M. Pada tahun 634 M gereja ini bertukar fungsinya  menjadi Masjid yang dinamakan Masjid  Agung Al-Omari apabila seluruh bumi Sham berada di bawah pemerintahan Kerajan Khalifah Umar Al-Khatab. Apabila berlaku Perang Salib pada tahun 1149 gereja ini bertukar nama dan fungsi menjadi  gereja  Katedral St John The Baptist. Pada zaman pemerintahan Kerajaan Mamluk Katedral ini dikembalikan semula fugsinya sebagai sebuah masjid dengan nama Masjid Agung Al Omari yang berkekalan hingga kini.



   Kemusnahan Masjid Agung Al Omari yang dibom oleh tentera Israel pada 07 Oktober, 2023.

***********************************************************

اَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاۤءَ اِذْ حَضَرَ يَعْقُوْبَ الْمَوْتُۙ اِذْ قَالَ لِبَنِيْهِ مَا تَعْبُدُوْنَ مِنْۢ بَعْدِيْۗ قَالُوْا نَعْبُدُ اِلٰهَكَ وَاِلٰهَ اٰبَاۤىِٕكَ اِبْرٰهٖمَ وَاِسْمٰعِيْلَ وَاِسْحٰقَ اِلٰهًا وَّاحِدًاۚ وَنَحْنُ لَهٗ مُسْلِمُوْنَ

             Maksudnya :

" Adakah kamu hadir ketika Ya'qub kedatangan ( tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya : ' Apakah yang kamu sembah/ibadatkan sepeninggalanku?'. Mereka menjawab : 'Kami akan menyembah/berbadat kepada Tuhanmu dan Tuhan nenek moyang mu, Ibrahim, Ismail dan Ishaq, ( iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya'.

                    [ Al Quran surah سورة البقرة  Al Baqarah : 133 ]     

            *************************************

Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :
إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا، وَأَوْرَثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
                 Maksudnya : 
“Sungguhnya ulama' itu pewaris segala Nabi a.s. Bahawasanya Nabi-Nabi a.s. itu tidak mewariskan wang emas dan wang perak dan mereka mewariskan akan ilmu. Maka barangsiapa mengambilnya nescaya dia telah mengambil akan bahagian yang cukup.”

                 ***********************************

Di dalam hadis riwayat Abu Hurairah r.a., sabda Nabi Muhammad s.a.w:


Daripada Abi Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلَّ مِئَةٍ سَنَةٍ مَنْ يُجَدَدَ لَهَا دِينَهَا

           Maksudnya:

Sesungguhnya Allah membangkitkan untuk ini (umat Islam) pada setiap 100 tahun akan seorang (alim atau sekumpulan ulama, mujadid yang membaharui baginya akan agamanya (daripada penyimpangan).”

[Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud, Hakim di dalam Mustadrak dan al-Baihaqi di dalam al-Ma'rifah].

                              *********************************

عَنْ أَبِيْ عَمْرٍو، وَقِيْلَ، أَبِيْ عَمْرَةَ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللهِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ


 قَالَ: قُلْتُ يَارَسُوْلَ اللهِ قُلْ لِيْ فِي الإِسْلامِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدَاً


 غَيْرَكَ؟ قَالَ: “قُلْ آمَنْتُ باللهِ ثُمَّ استَقِمْ” رَوَاهُ مُسْلِمٌ

Maksudnya:

"Dari Abu ‘Amr—ada yang menyebut pula Abu ‘Amrah—Sufyan bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata: 'Aku berkata: Wahai Rasulullah katakanlah kepadaku suatu perkataan dalam Islam yang aku tidak perlu bertanya tentangnya kepada seorang pun selainmu.' Baginda bersabda: 'Katakanlah: aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah'.” [HR. Muslim] 

                **********************************************

اغْتَنِمْ خَمْساً قبْلَ خَمْسٍ حَياتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وفَراغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ وشَبابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وغِناكَ قَبْلَ فَقْرِكَ

         Maksudnya :
“Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara. Hidup sebelum mati. Sihat sebelum sakit. Waktu lapang sebelum waktu sempit. Muda sebelum tua. Kaya sebelum miskin.”

[Hadis Diriwayatkan oleh Ibnu Mubarak dalam al-Zuhd, Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra] 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BILAKAH KIAMAT DUNIA AKAN BERLAKU ?

  بِسْمِ  ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَ...