Sabtu, 12 Mac 2022

AL-BURAQ البراق HAIWAN SYURGA


[ Sambungan daripada : POLEMIK ALLAH ISTIWA' DI ATAS ARASY ]


                          بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  
           

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 


اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تُنْجِينَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ اْلاَحْوَالِ وَاْلآفَاتِ وَتَقْضِى لَنَا بِهَامِنْ جَمِيعَ الْحَاجَاتِ وَتُطَهِّرُنَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ السَّيِّئَاتِ وَتَرْفَعُنَا بِهَا عِنْدَكَ اَعْلَى الدَّرَجَاتِ.وَتُبَلِّغُنَا بِهَا اَقْصَى الْغَايَاتِ مِنْ جَمِيعِ الْخَيْرَاتِ فِى الْحَيَاتِ وَبَعْدَ الْمَمَاتِ

 أَمَّا بَعْـدُ 

 وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى (13) عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى (14) عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى (15) إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى (16 

           Maksudnya : 

" Dan sesungguhnya Myhammad telah melihat Jibril itu ( dalam keadaan rupanya yang asli) pada waktu yang lain, ( 13)

( iaitu ) di Sidratil Muntaha. ( 14)

Di dekatnya ada syurga tempat tinggal, ( 15 )

( Muhammad melihat Jibril ) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya ." ( 16)

         ***************************************************

Dalam riwayat Muslim, daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah s.a.w bersabda:

أُتِيتُ بِالْبُرَاقِ وَهُوَ دَابَّةٌ أَبْيَضُ طَوِيلٌ فَوْقَ الْحِمَارِ وَدُونَ الْبَغْلِ يَضَعُ حَافِرَهُ عِنْدَ مُنْتَهَى طَرْفِهِ قَالَ فَرَكِبْتُهُ حَتَّى أَتَيْتُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ قَالَ فَرَبَطْتُهُ بِالْحَلْقَةِ الَّتِي يَرْبِطُ بِهِ الْأَنْبِيَاءُ

                Maksudnya: 

"Aku telah didatangi al-Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih tinggi daripada keldai tetapi lebih kecil daripada baghal. Satu langkah kakinya berada di hujung pandangannya. Baginda bersabda lagi: ‘Maka aku segera menungganginya sehingga sampai ke Baitul Maqdis.’ Baginda bersabda lagi: ‘Kemudian aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi'.[Riwayat Muslim dan Ahmad ]

******************************************************



AL-BURAQ البراق HAIWAN SYURGA

Pada setiap 27 Rejab, umat Islam mengadakan majlis khas bagi memperingati peristiwa mukjizat besar berlakunya peristiwa malam Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w. dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis dan Mikraj ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh dan balik semula ke bumi pada malam yang sama.

Malaikat Jibril AS telah diutuskan Allah bagi mengiringi Rasulullah s.a.w. melakukan peristiwa Isra' dan Mikraj dengan menaiki kenderaan binatang yang didatangkan khas daripada syurga bernama Al-Buraq pada masa dan ketika yang telah ditakdirkan Allah berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali.
Manusia biasa yang mempunyai tahap pemikiran dan tingkatan otak yang tidak disinari cahaya keimanan dan hanya bersandar kepada pancaindera yang lima dan kebijaksanaan akal logik yang menerbitkan pemikiran khayalan sudah pasti menolak sama sekali dan amat sukar untuk mempercayai bahawa Rasulullah s.a.w. dibawa melakukan Isra' dan Mikraj dengan menaiki seekor binatang dinamakan Al-Buraq yang disebut di dalam Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Dalam riwayat Muslim, daripada Anas bin Malik r.s., Rasulullah s.a.w bersabda:

أُتِيتُ بِالْبُرَاقِ وَهُوَ دَابَّةٌ أَبْيَضُ طَوِيلٌ فَوْقَ الْحِمَارِ وَدُونَ الْبَغْلِ يَضَعُ حَافِرَهُ عِنْدَ مُنْتَهَى طَرْفِهِ قَالَ فَرَكِبْتُهُ حَتَّى أَتَيْتُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ قَالَ فَرَبَطْتُهُ بِالْحَلْقَةِ الَّتِي يَرْبِطُ بِهِ الْأَنْبِيَاءُ

                Maksudnya: 

Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih tinggi daripada keldai tetapi lebih kecil daripada baghal. Satu langkah kakinya berada di hujung pandangannya. Baginda bersabda lagi: ‘Maka aku segera menungganginya sehingga sampai ke Baitul Maqdis.’ Baginda bersabda lagi: ‘Kemudian aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi.’[Riwayat Muslim  dan Ahmad ]

Dalam hadis yang lain ada juga menjelaskan:

 Dalam riwayat at-Tirmizi, daripada Anas bin Malik r.a., katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ بِالْبُرَاقِ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِهِ مُلْجَمًا مُسْرَجًا فَاسْتَصْعَبَ عَلَيْهِ فَقَالَ لَهُ جِبْرِيلُ أَبِمُحَمَّدٍ تَفْعَلُ هَذَا فَمَا رَكِبَكَ أَحَدٌ أَكْرَمُ عَلَى اللَّهِ مِنْهُ قَالَ فَارْفَضَّ عَرَقًا

     Maksudnya:  
Nabi s.a.w diberikan al-Buraq pada malam Baginda diisra’kan, lengkap dengan tali (kendali) dan pelana, tetapi Buraq itu memayahkan Baginda (iaitu tidak mahu ditunggangi), lalu Jibril berkata kepadanya: ‘Patutkah kamu lakukan ini pada Muhammad, padahal belum ada yang menunggangimu yang paling mulia di sisi Allah selain Muhammad?’. Baginda bersabda: ‘Lantas mengalirlah keringat Buraq itu dek kerana malu'.
Bagi tahap pemikiran manusia biasa hampir pasti beranggapan bahawa walau sepantas mana sekalipun perjalanan/pergerakan binatang yang terdapat di dunia ini adalah mustahil atau tidak mungkin dapat mengatasi kelajuan dan kepantasan perjalanan bunyi/suara dan cahaya. Malahan, sekiranya bersandarkan kepada kajian saintifik atau sains dan teknologi tercanggih yang berteraskan pemikiran logik akal manusia biasa adalah sesuatu yang sukar diterima akal logik dan mustahil sama sekali bagi apa juga jenis binatang yang wujud di dunia ini dapat menandingi atau mengatasi kelajuan dan kepantasan kenderaan berteknologi tinggi seperti pesawat terbang, kapal angkasa atau roket hasil ciptaan manusia yang serba canggih dan termaju pada kurun ke 20/21 Masehi dan seterusnya pada kurun-kurun mendatang.

Adalah tidak menghairankan sekiranya wujud di kalangan orang-orang Islam sendiri yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya pun yang mempunyai persepsi dan beranggapan demikian. Mereka membuat berbagai-bagai andaian atau tafsiran hipotesis bermaksud untuk menafikan perjalanan Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Isra' dan Mikraj ini menaiki seekor haiwan yang pada penilaian logik akal mereka 'amat' kolot, tidak saintifik, 'memalukan' dan berbagai tanggapan sinis dan negatif lagi yang pada tanggapan mereka boleh memberi gambaran seolah-olah pengajaran Islam itu ketinggalan zaman, mundur, kolot dan peristiwa Isra' dan Mikraj ini seolah-olah sama seperti kisah khayalan dongeng alam fantasi agama sahaja.

Lalu terbitlah pelbagai andaian, persepsi atau pentafsiran yang mungkin amat mudah diterima umum dengan mengatakan bahawa oleh sebab kenaikan pada zaman Rasulullah s.a.w adalah binatang maka Allah menghantarkan binatang sebagai kenderaan. Andaian ini memberi pengertian sekiranya kenderaan yang digunakan pada zaman Rasullah s.a.w. adalah seperti kenderaan manusia zaman sekarang maka Allah akan menghantar kenderaan yang serba canggih berteknologi tinggi bersesuaian dengan manusia sezaman.

Mungkin terdapat juga andaian atau pemahaman di kalangan umat Islam dari golongan 'ulamak' atau agamawan yang mengatakan bahawa 'Mikraj itu diertikan seumpama menaiki tangga' ke atas langit seperti menggunakan lif dalam bangunan tinggi. Ada juga gologan juga yang mentafsirkan bahawa Al-Buraq itu ialah sejenis cahaya dan Rasulullah s.a.w. melakukan Isra' dan Mikraj dengan menggunakan sejenis cahaya juga. Tanggapan dan andaian ini kononnya selaras dan amat bersesuain dengan kecanggihan dunia sains dan teknologi terkini dan menepati konsep 'ad-din' atau 'Islam is a way of live' dan bersesuaian pada setiap zaman. Ada juga yang membuat andaian bahawa perjalanan Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w itu seperti ikan yang berada di dalam satu balang kaca khas dan dibawa oleh Malaikat Jibril AS dari satu tempat ke satu tempat yang dimaksudkan.
Ada kemungkinan juga pada satu masa kelak akan wujud pula golongan umat Islam yang membuat andaian mentafsirkan bahawa Al-Buraq bukan binatang tetapi sebagai 'kiasan sahaja' atau metafora untuk memberi peringatan bahawa akan tiba masanya kelak manusia mempunyai keupayaan mencipta peralatan jentera pesawat terbang berteknologi tinggi tercanggih untuk menguasai angkasa lepas. Ataupun Al-Buraq adalah sejenis pesawat angkasa lepas berteknologi tertinggi dan tercanggih yang belum atau tidak mampu dicipta oleh manusia atau apa yang disebut hari ini sebagai pesawat UFO.
Persepsi ini atau fahaman-fahaman lain yang seumpama dengannya menenggelamkan atau melenyapkan langsung peranan dan kepentingan binatang Al-Buraq yang didatangkan khas daripada syurga dalam peristiwa Isra' dan Mikraj ini serta mengetepikan Qadrat dan Kehendak Allah yang Qadim lagi Azali yang tidak mempunyai had batasan dan tidak langsung menyamai kuasa/kudrat mengikut ketetapan hukum tabi'ie sekalian makhluk-Nya.

Bagi mencerahkan kefahaman mengenai hal binatang Al-Buraq kita sewajarnya memahami bahawa segala hal yang berkaitan dengan keindahan dan kenikmatan yang tersedia di dalam syurga alam akhirat sana adalah kesemuanya di luar tabi'ie dan tidak setitik pun menyamai dengan segala keindahan, kehidupan dan kenikmatan yang terdapat di dunia ini. Dalam hal ini sebuah Hadis Qudsi menjelaskan :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلَا خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ اقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ { فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ }

        :     Maksudnya          

Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu bahwa Rasulullah  bersabda: Allah tabaraka wa ta'ala berfirman'Aku telah menyiapkan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat mata, belum pernah didengar telinga, dan tidak pernah terlintas dibenak manusia.' Abu Hurairah berkata: ‘Jika kalian mahu, bacalah ayat al-Quran yang intipatinya bermaksud:  ' Tidak seorangpun mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu ( bermacam-macam nekmat) yang amat menyedapkan pemandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan'. (Al-Quran Surat As-Sajdah: 17).” [Hadis Riwayat Al-Bukhari  dan Muslim ]

Walaupun terdapat juga nama-nama sesuatu benda di syurga yang menyamai dengan apa yang ada di dunia tetapi ianya hanya menyamai pada sebutan nama sahaja tetapi hakikat keadaannya yang sebenar adalah tersangat jauh perbezaannya yang tidak mungkin dapat digambar dan difikirkan oleh otak manusia yang masih hidup di dunia.

Dalam Hadis Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan bahawa di dalam syurga terdapat kuda terbang berwarna yaqut merah yang digunakan sebagai kenaikan ahli-ahli syurga yang akan membawa mereka ke mana sahaja yang dihajati kerana syurga itu tersangat besar dan luas mengatasi segala lapisan langit dan bumi:

Dari Abu Ayub radhiyallahu 'anhu berkata,
Datang seorang Badui kepada Rasulullah s.a.w lalu dia berkata:
يا رسول الله ! إني أحب الخيل، أ في الجنة خيل؟
Maksudnya :
"Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku sangat suka kuda, apakah di syurga ada kuda ?"
Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda:
إن دخلت الجنة أتيت بفرس من ياقوتة، له جناحان، فحملت عليه ثم طار بك حيث شئت.

:Maksudnya  

"Jika kamu masuk syurga, akan didatangkan kepadamu seekor kuda dari Yakut yang memiliki 2 sayap.
Lalu kamu akan naik di atasnya, dan kuda itu akan membawamu terbang kemana saja yang kamu suka."

( Hanya ilustrasi grafik pelukis sebagai hiasan sahaja. Ia bukanlah gambaran kuda terbang yang menjadi tunggangan ahli syurga seperti yang dimaksudkan dalam Hadis Rasulullah s.a.w. )


Keluasan syurga yang dimiliki seseorang ahli syurga itu adalah bergantung kepada darjat dan martabat masing-masing. Ahli syurga yang paling rendah martabatnya pun dikurniakan pemilikan keluasan syurga sejauh 1000 tahun pemandangan mata seperti yang tersebut di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Dan kata Mujahid bahawasanya sekurang-kurangnya ahli syurga itu martabatnya ialah bagi orang yang berjalan pada pemilikannya seribu tahun ia melihat yang lebih jauhnya, dan yang lebih tinggi martabat mereka ialah orang yang melihat kepada [Zat] Tuhannya pada pagi dan petang."
Firman Allah di dalam al-Quran surah سورة الحديد Al-Hadid ayat 21 pun ada menjelaskan keluasan syurga :
سَابِقُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا كَعَرْضِ السَّمَاءِ وَالأرْضِ أُعِدَّتْ لِلَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ 
Maksudnya :
"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) keampunan dari Tuhan mu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurniaan yang amat besar."
Al-Buraq binatang syurga yang didatangkan khas untuk dijadikan kenaikan Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Isra' dan Mikraj. Ini bererti Al-Buraq tidak sesekali menyamai binatang atau apa juga kenderaan dan kenaikan tercanggih hasil ciptaan manusia yang sedia ada dan akan wujud di dunia dalam segala aspek seperti kepantasan, kenikmatan menaikinya, naluri dan apa jua hal yang dapat difikirkan manusia.
Ketentuan untuk menggunakan binatang Al-Buraq ini adalah daripada perintah dan kehendak Allah sendiri yang lebih mengetahui segala rahsia alam yang dijadikan-Nya dengan penuh hikmah yang tidak mungkin dapat diketahui sama sekali dan terjangkau otak pemikiran manusia di dunia.

Sekiranya dikehendaki, Allah Maha Berkuasa untuk membawa terus Rasulullah s.a.w tanpa menggunakan apa juga kenaikan tetapi terdapat rahsia serta hikmah dan sebab-sebab tertentu di sebaliknya. Antara rahsia dan hikmah yang dapat difahami ialah didatangkan khas binatang Al-Buraq dari syurga ini adalah untuk mengesah dan meyakinkan lagi kepada umat manusia bahawa syurga itu sudah wujud berdasarkan bukti kehadiran Al-Buraq yang membawa Rasulullah s.a.w. ke tempat-tempat yang ditentukan Allah SWT dan syurga adalah salah satu destinasi penting yang diziarahi Rasulullah s.a.w. semasa Mikraj.

Sunguhpun di dalam Hadis ada menyebutkan serba sedikit mengenai rupa bentuk binatang Al-Buraq tetapi hakikat sebenarnya hanya Rasulullah s.a.w. sendiri yang lebih mengetahui. Adalah satu bida'ah sesat bagi sesiapa juga yang melukiskan rupa bentuk Al-Buraq seperti imaginasi khayalan pelukis-pelukis pada zaman-zaman terkemudian.
Firman Allah di dalam al-Quran surah سورة الأنبياء Al-Anbiyaa' ayat 81 ada menceritakan perihal Nabi Allah Sulaiman a.s. dibawa terbang oleh angin :
 وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ عَاصِفَةً تَجْرِي بِأَمْرِهِ إِلَى الأرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَكُنَّا بِكُلِّ شَيْءٍ عَالِمِينَ 
Maksudnya
" Dan [telah Kami tundukkan] untuk Sulaiman angin yang sangat kencang tiupannya yang menghembus dengan perintahnya ke negeri yang Kami telah membarkatinya. Dan Kami Maha Mengetahui segala sesuatu."
Dalam surah سورة النّمل An-Naml ayat 40 pula Allah berfirman menceritakan bagaimana seorang ilmuan mukmin soleh dari golongan ahli al-kitab dikurniakan 'karamah' boleh mengatasi kelebihan Jin 'Ifrit yang mendakwa dirinya gagah perkasa dan mempunyai keupayaan hingga boleh membawa singgahsana (al-'arasy) Ratu Balqish dengan pantas sebelum Nabi Sulaiman a.s. berdiri dari tempat duduknya. Namun insan mukmin soleh ahli al-kitab tersebut boleh membawa singgahsana bersama Balqish dengan sekelip mata sahaja seperti Firman-Nya :
 قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ 

Maksudnya :
"Berkata seorang yang mempunyai ilmu dari al-Kitab : 'Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip'. Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, ia pun berkata: 'Ini termasuk kurnia Tuhan ku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhan ku Maha Kaya lagi Maha Mulia'."
Kedua-dua ayat al-Quran ini dapat memberikan sedikit pencerahan dan pengertian bahawa Qudrat Allah yang Qadim itu tidak mempunyai had batasan tanpa misal, ibarat dan umpama. Ia boleh berlaku mengikut ketentuan takdir-Nya berbentulan dengan Iradah (Kehendak) dan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali yang tidak mengenai masa dan di luar kemampuan akal fikiran manusia untuk memikirkannya.
Sesungguhnya Allah mentadbirkan segala sesuatu dan semua perkara itu bukan dengan susunan fikir dan tidak sesekali mengenai masa kerana yang demikian itu tidak membimbangkan Allah oleh satu pekerjaan daripada sesuatu pekerjaan.
Maka begitulah juga Allah mengurniakan mukjizat kepada Rasulullah s.a.w. dengan menaiki haiwan dari syurga bernama Al-Buraq pada malam Isra' dan Mikraj yang tidak dapat diumpamakan dan dibandingkan dengan hukum alam tabi'ie yang dialami manusia biasa dan sekalian hamba makhluk-Nya.

Pegang iktiqad akidah keimanan Ahli Sunnah ada menjelaskan tentang "AL-AFA'AL" iaitu Perbuatan Allah :

" Dan bahawasanya Allah Taala itu selain daripada semua yang ada itu maka semuanya itu adlah barang yang baharu atau makhluk Allah Taala belaka. Iaitu Allah Taala jualah yang mengadakan semua barang itu dengan perbuatan-Nya dan limpah murah daripada keadilannya. Maka semua barang perbuatan Allah itu adalah atas keadaan yang sehabis elok perbuatannya, berbetulan sangat pada tempat letaknya, susunannya dan timbangannya..."

Wallahu'alam.

Terdapat berbagai lukisan gerafik mengikut persepsi/prasangka khayalan pelukis yang mereka andaikan konon inilah rupa Al-Buraq. Yang pasti ia hanya khayalan fantasi sahaja yang jangan sesekali dipercayai dan diyakini kesahiannya.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BILAKAH HARI KIAMAT BESAR DUNIA AKAN BERLAKU ?

[Sambungan daripada :  Untukmu Agamamu, dan Untuk Akulah Agamaku. ]   بِسْمِ  ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَ...