Sabtu, 12 Mac 2022

AL-BURAQ البراق HAIWAN SYURGA


[ Sambungan daripada : POLEMIK ALLAH ISTIWA' DI ATAS ARASY ]


                          بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  
           

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 


اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تُنْجِينَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ اْلاَحْوَالِ وَاْلآفَاتِ وَتَقْضِى لَنَا بِهَامِنْ جَمِيعَ الْحَاجَاتِ وَتُطَهِّرُنَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ السَّيِّئَاتِ وَتَرْفَعُنَا بِهَا عِنْدَكَ اَعْلَى الدَّرَجَاتِ.وَتُبَلِّغُنَا بِهَا اَقْصَى الْغَايَاتِ مِنْ جَمِيعِ الْخَيْرَاتِ فِى الْحَيَاتِ وَبَعْدَ الْمَمَاتِ

 أَمَّا بَعْـدُ 

 وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى (13) عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى (14) عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى (15) إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى (16 

           Maksudnya : 

" Dan sesungguhnya Myhammad telah melihat Jibril itu ( dalam keadaan rupanya yang asli) pada waktu yang lain, ( 13)

( iaitu ) di Sidratil Muntaha. ( 14)

Di dekatnya ada syurga tempat tinggal, ( 15 )

( Muhammad melihat Jibril ) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya ." ( 16)

         ***************************************************

Dalam riwayat Muslim, daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah s.a.w bersabda:

أُتِيتُ بِالْبُرَاقِ وَهُوَ دَابَّةٌ أَبْيَضُ طَوِيلٌ فَوْقَ الْحِمَارِ وَدُونَ الْبَغْلِ يَضَعُ حَافِرَهُ عِنْدَ مُنْتَهَى طَرْفِهِ قَالَ فَرَكِبْتُهُ حَتَّى أَتَيْتُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ قَالَ فَرَبَطْتُهُ بِالْحَلْقَةِ الَّتِي يَرْبِطُ بِهِ الْأَنْبِيَاءُ

                Maksudnya: 

"Aku telah didatangi al-Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih tinggi daripada keldai tetapi lebih kecil daripada baghal. Satu langkah kakinya berada di hujung pandangannya. Baginda bersabda lagi: ‘Maka aku segera menungganginya sehingga sampai ke Baitul Maqdis.’ Baginda bersabda lagi: ‘Kemudian aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi'.[Riwayat Muslim dan Ahmad ]

******************************************************



AL-BURAQ البراق HAIWAN SYURGA

Pada setiap 27 Rejab, umat Islam mengadakan majlis khas bagi memperingati peristiwa mukjizat besar berlakunya peristiwa malam Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w. dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis dan Mikraj ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh dan balik semula ke bumi pada malam yang sama.

Malaikat Jibril AS telah diutuskan Allah bagi mengiringi Rasulullah s.a.w. melakukan peristiwa Isra' dan Mikraj dengan menaiki kenderaan binatang yang didatangkan khas daripada syurga bernama Al-Buraq pada masa dan ketika yang telah ditakdirkan Allah berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali.
Manusia biasa yang mempunyai tahap pemikiran dan tingkatan otak yang tidak disinari cahaya keimanan dan hanya bersandar kepada pancaindera yang lima dan kebijaksanaan akal logik yang menerbitkan pemikiran khayalan sudah pasti menolak sama sekali dan amat sukar untuk mempercayai bahawa Rasulullah s.a.w. dibawa melakukan Isra' dan Mikraj dengan menaiki seekor binatang dinamakan Al-Buraq yang disebut di dalam Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Dalam riwayat Muslim, daripada Anas bin Malik r.s., Rasulullah s.a.w bersabda:

أُتِيتُ بِالْبُرَاقِ وَهُوَ دَابَّةٌ أَبْيَضُ طَوِيلٌ فَوْقَ الْحِمَارِ وَدُونَ الْبَغْلِ يَضَعُ حَافِرَهُ عِنْدَ مُنْتَهَى طَرْفِهِ قَالَ فَرَكِبْتُهُ حَتَّى أَتَيْتُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ قَالَ فَرَبَطْتُهُ بِالْحَلْقَةِ الَّتِي يَرْبِطُ بِهِ الْأَنْبِيَاءُ

                Maksudnya: 

Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih tinggi daripada keldai tetapi lebih kecil daripada baghal. Satu langkah kakinya berada di hujung pandangannya. Baginda bersabda lagi: ‘Maka aku segera menungganginya sehingga sampai ke Baitul Maqdis.’ Baginda bersabda lagi: ‘Kemudian aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi.’[Riwayat Muslim  dan Ahmad ]

Dalam hadis yang lain ada juga menjelaskan:

 Dalam riwayat at-Tirmizi, daripada Anas bin Malik r.a., katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ بِالْبُرَاقِ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِهِ مُلْجَمًا مُسْرَجًا فَاسْتَصْعَبَ عَلَيْهِ فَقَالَ لَهُ جِبْرِيلُ أَبِمُحَمَّدٍ تَفْعَلُ هَذَا فَمَا رَكِبَكَ أَحَدٌ أَكْرَمُ عَلَى اللَّهِ مِنْهُ قَالَ فَارْفَضَّ عَرَقًا

     Maksudnya:  
Nabi s.a.w diberikan al-Buraq pada malam Baginda diisra’kan, lengkap dengan tali (kendali) dan pelana, tetapi Buraq itu memayahkan Baginda (iaitu tidak mahu ditunggangi), lalu Jibril berkata kepadanya: ‘Patutkah kamu lakukan ini pada Muhammad, padahal belum ada yang menunggangimu yang paling mulia di sisi Allah selain Muhammad?’. Baginda bersabda: ‘Lantas mengalirlah keringat Buraq itu dek kerana malu'.
Bagi tahap pemikiran manusia biasa hampir pasti beranggapan bahawa walau sepantas mana sekalipun perjalanan/pergerakan binatang yang terdapat di dunia ini adalah mustahil atau tidak mungkin dapat mengatasi kelajuan dan kepantasan perjalanan bunyi/suara dan cahaya. Malahan, sekiranya bersandarkan kepada kajian saintifik atau sains dan teknologi tercanggih yang berteraskan pemikiran logik akal manusia biasa adalah sesuatu yang sukar diterima akal logik dan mustahil sama sekali bagi apa juga jenis binatang yang wujud di dunia ini dapat menandingi atau mengatasi kelajuan dan kepantasan kenderaan berteknologi tinggi seperti pesawat terbang, kapal angkasa atau roket hasil ciptaan manusia yang serba canggih dan termaju pada kurun ke 20/21 Masehi dan seterusnya pada kurun-kurun mendatang.

Adalah tidak menghairankan sekiranya wujud di kalangan orang-orang Islam sendiri yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya pun yang mempunyai persepsi dan beranggapan demikian. Mereka membuat berbagai-bagai andaian atau tafsiran hipotesis bermaksud untuk menafikan perjalanan Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Isra' dan Mikraj ini menaiki seekor haiwan yang pada penilaian logik akal mereka 'amat' kolot, tidak saintifik, 'memalukan' dan berbagai tanggapan sinis dan negatif lagi yang pada tanggapan mereka boleh memberi gambaran seolah-olah pengajaran Islam itu ketinggalan zaman, mundur, kolot dan peristiwa Isra' dan Mikraj ini seolah-olah sama seperti kisah khayalan dongeng alam fantasi agama sahaja.

Lalu terbitlah pelbagai andaian, persepsi atau pentafsiran yang mungkin amat mudah diterima umum dengan mengatakan bahawa oleh sebab kenaikan pada zaman Rasulullah s.a.w adalah binatang maka Allah menghantarkan binatang sebagai kenderaan. Andaian ini memberi pengertian sekiranya kenderaan yang digunakan pada zaman Rasullah s.a.w. adalah seperti kenderaan manusia zaman sekarang maka Allah akan menghantar kenderaan yang serba canggih berteknologi tinggi bersesuaian dengan manusia sezaman.

Mungkin terdapat juga andaian atau pemahaman di kalangan umat Islam dari golongan 'ulamak' atau agamawan yang mengatakan bahawa 'Mikraj itu diertikan seumpama menaiki tangga' ke atas langit seperti menggunakan lif dalam bangunan tinggi. Ada juga gologan juga yang mentafsirkan bahawa Al-Buraq itu ialah sejenis cahaya dan Rasulullah s.a.w. melakukan Isra' dan Mikraj dengan menggunakan sejenis cahaya juga. Tanggapan dan andaian ini kononnya selaras dan amat bersesuain dengan kecanggihan dunia sains dan teknologi terkini dan menepati konsep 'ad-din' atau 'Islam is a way of live' dan bersesuaian pada setiap zaman. Ada juga yang membuat andaian bahawa perjalanan Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w itu seperti ikan yang berada di dalam satu balang kaca khas dan dibawa oleh Malaikat Jibril AS dari satu tempat ke satu tempat yang dimaksudkan.
Ada kemungkinan juga pada satu masa kelak akan wujud pula golongan umat Islam yang membuat andaian mentafsirkan bahawa Al-Buraq bukan binatang tetapi sebagai 'kiasan sahaja' atau metafora untuk memberi peringatan bahawa akan tiba masanya kelak manusia mempunyai keupayaan mencipta peralatan jentera pesawat terbang berteknologi tinggi tercanggih untuk menguasai angkasa lepas. Ataupun Al-Buraq adalah sejenis pesawat angkasa lepas berteknologi tertinggi dan tercanggih yang belum atau tidak mampu dicipta oleh manusia atau apa yang disebut hari ini sebagai pesawat UFO.
Persepsi ini atau fahaman-fahaman lain yang seumpama dengannya menenggelamkan atau melenyapkan langsung peranan dan kepentingan binatang Al-Buraq yang didatangkan khas daripada syurga dalam peristiwa Isra' dan Mikraj ini serta mengetepikan Qadrat dan Kehendak Allah yang Qadim lagi Azali yang tidak mempunyai had batasan dan tidak langsung menyamai kuasa/kudrat mengikut ketetapan hukum tabi'ie sekalian makhluk-Nya.

Bagi mencerahkan kefahaman mengenai hal binatang Al-Buraq kita sewajarnya memahami bahawa segala hal yang berkaitan dengan keindahan dan kenikmatan yang tersedia di dalam syurga alam akhirat sana adalah kesemuanya di luar tabi'ie dan tidak setitik pun menyamai dengan segala keindahan, kehidupan dan kenikmatan yang terdapat di dunia ini. Dalam hal ini sebuah Hadis Qudsi menjelaskan :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلَا خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ اقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ { فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ }

        :     Maksudnya          

Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu bahwa Rasulullah  bersabda: Allah tabaraka wa ta'ala berfirman'Aku telah menyiapkan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat mata, belum pernah didengar telinga, dan tidak pernah terlintas dibenak manusia.' Abu Hurairah berkata: ‘Jika kalian mahu, bacalah ayat al-Quran yang intipatinya bermaksud:  ' Tidak seorangpun mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu ( bermacam-macam nekmat) yang amat menyedapkan pemandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan'. (Al-Quran Surat As-Sajdah: 17).” [Hadis Riwayat Al-Bukhari  dan Muslim ]

Walaupun terdapat juga nama-nama sesuatu benda di syurga yang menyamai dengan apa yang ada di dunia tetapi ianya hanya menyamai pada sebutan nama sahaja tetapi hakikat keadaannya yang sebenar adalah tersangat jauh perbezaannya yang tidak mungkin dapat digambar dan difikirkan oleh otak manusia yang masih hidup di dunia.

Dalam Hadis Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan bahawa di dalam syurga terdapat kuda terbang berwarna yaqut merah yang digunakan sebagai kenaikan ahli-ahli syurga yang akan membawa mereka ke mana sahaja yang dihajati kerana syurga itu tersangat besar dan luas mengatasi segala lapisan langit dan bumi:

Dari Abu Ayub radhiyallahu 'anhu berkata,
Datang seorang Badui kepada Rasulullah s.a.w lalu dia berkata:
يا رسول الله ! إني أحب الخيل، أ في الجنة خيل؟
Maksudnya :
"Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku sangat suka kuda, apakah di syurga ada kuda ?"
Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda:
إن دخلت الجنة أتيت بفرس من ياقوتة، له جناحان، فحملت عليه ثم طار بك حيث شئت.

:Maksudnya  

"Jika kamu masuk syurga, akan didatangkan kepadamu seekor kuda dari Yakut yang memiliki 2 sayap.
Lalu kamu akan naik di atasnya, dan kuda itu akan membawamu terbang kemana saja yang kamu suka."

( Hanya ilustrasi grafik pelukis sebagai hiasan sahaja. Ia bukanlah gambaran kuda terbang yang menjadi tunggangan ahli syurga seperti yang dimaksudkan dalam Hadis Rasulullah s.a.w. )


Keluasan syurga yang dimiliki seseorang ahli syurga itu adalah bergantung kepada darjat dan martabat masing-masing. Ahli syurga yang paling rendah martabatnya pun dikurniakan pemilikan keluasan syurga sejauh 1000 tahun pemandangan mata seperti yang tersebut di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Dan kata Mujahid bahawasanya sekurang-kurangnya ahli syurga itu martabatnya ialah bagi orang yang berjalan pada pemilikannya seribu tahun ia melihat yang lebih jauhnya, dan yang lebih tinggi martabat mereka ialah orang yang melihat kepada [Zat] Tuhannya pada pagi dan petang."
Firman Allah di dalam al-Quran surah سورة الحديد Al-Hadid ayat 21 pun ada menjelaskan keluasan syurga :
سَابِقُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا كَعَرْضِ السَّمَاءِ وَالأرْضِ أُعِدَّتْ لِلَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ 
Maksudnya :
"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) keampunan dari Tuhan mu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurniaan yang amat besar."
Al-Buraq binatang syurga yang didatangkan khas untuk dijadikan kenaikan Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Isra' dan Mikraj. Ini bererti Al-Buraq tidak sesekali menyamai binatang atau apa juga kenderaan dan kenaikan tercanggih hasil ciptaan manusia yang sedia ada dan akan wujud di dunia dalam segala aspek seperti kepantasan, kenikmatan menaikinya, naluri dan apa jua hal yang dapat difikirkan manusia.
Ketentuan untuk menggunakan binatang Al-Buraq ini adalah daripada perintah dan kehendak Allah sendiri yang lebih mengetahui segala rahsia alam yang dijadikan-Nya dengan penuh hikmah yang tidak mungkin dapat diketahui sama sekali dan terjangkau otak pemikiran manusia di dunia.

Sekiranya dikehendaki, Allah Maha Berkuasa untuk membawa terus Rasulullah s.a.w tanpa menggunakan apa juga kenaikan tetapi terdapat rahsia serta hikmah dan sebab-sebab tertentu di sebaliknya. Antara rahsia dan hikmah yang dapat difahami ialah didatangkan khas binatang Al-Buraq dari syurga ini adalah untuk mengesah dan meyakinkan lagi kepada umat manusia bahawa syurga itu sudah wujud berdasarkan bukti kehadiran Al-Buraq yang membawa Rasulullah s.a.w. ke tempat-tempat yang ditentukan Allah SWT dan syurga adalah salah satu destinasi penting yang diziarahi Rasulullah s.a.w. semasa Mikraj.

Sunguhpun di dalam Hadis ada menyebutkan serba sedikit mengenai rupa bentuk binatang Al-Buraq tetapi hakikat sebenarnya hanya Rasulullah s.a.w. sendiri yang lebih mengetahui. Adalah satu bida'ah sesat bagi sesiapa juga yang melukiskan rupa bentuk Al-Buraq seperti imaginasi khayalan pelukis-pelukis pada zaman-zaman terkemudian.
Firman Allah di dalam al-Quran surah سورة الأنبياء Al-Anbiyaa' ayat 81 ada menceritakan perihal Nabi Allah Sulaiman a.s. dibawa terbang oleh angin :
 وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ عَاصِفَةً تَجْرِي بِأَمْرِهِ إِلَى الأرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَكُنَّا بِكُلِّ شَيْءٍ عَالِمِينَ 
Maksudnya
" Dan [telah Kami tundukkan] untuk Sulaiman angin yang sangat kencang tiupannya yang menghembus dengan perintahnya ke negeri yang Kami telah membarkatinya. Dan Kami Maha Mengetahui segala sesuatu."
Dalam surah سورة النّمل An-Naml ayat 40 pula Allah berfirman menceritakan bagaimana seorang ilmuan mukmin soleh dari golongan ahli al-kitab dikurniakan 'karamah' boleh mengatasi kelebihan Jin 'Ifrit yang mendakwa dirinya gagah perkasa dan mempunyai keupayaan hingga boleh membawa singgahsana (al-'arasy) Ratu Balqish dengan pantas sebelum Nabi Sulaiman a.s. berdiri dari tempat duduknya. Namun insan mukmin soleh ahli al-kitab tersebut boleh membawa singgahsana bersama Balqish dengan sekelip mata sahaja seperti Firman-Nya :
 قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ 

Maksudnya :
"Berkata seorang yang mempunyai ilmu dari al-Kitab : 'Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip'. Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, ia pun berkata: 'Ini termasuk kurnia Tuhan ku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhan ku Maha Kaya lagi Maha Mulia'."
Kedua-dua ayat al-Quran ini dapat memberikan sedikit pencerahan dan pengertian bahawa Qudrat Allah yang Qadim itu tidak mempunyai had batasan tanpa misal, ibarat dan umpama. Ia boleh berlaku mengikut ketentuan takdir-Nya berbentulan dengan Iradah (Kehendak) dan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali yang tidak mengenai masa dan di luar kemampuan akal fikiran manusia untuk memikirkannya.
Sesungguhnya Allah mentadbirkan segala sesuatu dan semua perkara itu bukan dengan susunan fikir dan tidak sesekali mengenai masa kerana yang demikian itu tidak membimbangkan Allah oleh satu pekerjaan daripada sesuatu pekerjaan.
Maka begitulah juga Allah mengurniakan mukjizat kepada Rasulullah s.a.w. dengan menaiki haiwan dari syurga bernama Al-Buraq pada malam Isra' dan Mikraj yang tidak dapat diumpamakan dan dibandingkan dengan hukum alam tabi'ie yang dialami manusia biasa dan sekalian hamba makhluk-Nya.

Pegang iktiqad akidah keimanan Ahli Sunnah ada menjelaskan tentang "AL-AFA'AL" iaitu Perbuatan Allah :
" Dan bahawasanya Allah Taala itu selain daripada semua yang ada itu maka semuanya itu adlah barang yang baharu atau makhluk Allah Taala belaka. Iaitu Allah Taala jualah yang mengadakan semua barang itu dengan perbuatan-Nya dan limpah murah daripada keadilannya. Maka semua barang perbuatan Allah itu adalah atas keadaan yang sehabis elok perbuatannya, berbetulan sangat pada tempat letaknya, susunannya dan timbangannya..."

Wallahu'alam.

Terdapat berbagai lukisan gerafik mengikut persepsi/prasangka khayalan pelukis yang mereka andaikan konon inilah rupa Al-Buraq. Yang pasti ia hanya khayalan fantasi sahaja yang jangan sesekali dipercayai dan diyakini kesahiannya.






Ahad, 16 Mei 2021

Polemik Allah Istiwa' Di Atas 'Arasy.



[ Sambungan daripada : WIRID DAN ZIKIR AL-MUSBA'AT AL 'ASYARAH]



                            بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم   
          

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تُنْجِينَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ اْلاَحْوَالِ وَاْلآفَاتِ وَتَقْضِى لَنَا بِهَامِنْ جَمِيعَ الْحَاجَاتِ وَتُطَهِّرُنَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ السَّيِّئَاتِ وَتَرْفَعُنَا بِهَا عِنْدَكَ اَعْلَى الدَّرَجَاتِ.وَتُبَلِّغُنَا بِهَا اَقْصَى الْغَايَاتِ مِنْ جَمِيعِ الْخَيْرَاتِ فِى الْحَيَاتِ وَبَعْدَ الْمَمَاتِ
 أَمَّا بَعْـدُ 

 وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ 

                   Maksudnya :

" Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya : ' Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar'."                      

                     [Al-Quran surah  سورة لقمان Luqman : 12 ] 

                     ********************************************

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ أَلا لَهُ الْخَلْقُ وَالأمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ 

                     Maksudnya :

" Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah mengadakan langit dan bumi dalam enam hari., lalu Dia Istiwa' di atas 'Arasy. Dia menutup malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (dijadikan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing ) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, mengadakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam.

                          [Al-Quran surah سورة الأعراف Al-A'raaf : 54 ]

  ****************************************************************


POLEMIK ALLAH ISTIWA' ATAS 'ARASY

Salah satu permasalahan pemahaman ilmu yang sudah sekian lama menjadi 'FITNAH AGAMA' hingga mencetuskan perdebatan berpanjangan di kalangan para agamawan dan ilmuan agama hingga menerbitkan berbagai-bagai aliran pemahaman agama di kalangan umat Islam sejagat ialah berkaitan dengan pentafsiran ayat al-Quran :

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى             
      
Pada maksud zahir ayatnya ialah :
(Iaitu) Tuhan Ar-Rahman Yang Maha Pemurah, Yang "ISTIWA' " di atas 'Arasy.
[Surah
سورة طه Thaahaa : 5]

Ayat-ayat lain yang mempunyai maksud yang hampir sama terkndung juga di dalam Surah-surah :
" Al-A'raaf : 54, Yunus : 3, Ar-Ra'd :2 , Al-Furqan : 59, As-Sajadah: 4 dan Al-Hadid : 4. "
Berbagai-bagai tafsiran/pengertian, pendapat dan juga telahan terhadap istilah/kosa kata/kalimah "ISTIWA' ATAS 'ARASY". Ramai juga yang mengatakan "ALLAH 'BERSEMAYAM' ATAS SINGGAHSANA seperti 'raja berada atas takhta pemerintahan' dengan mengandaikan 'Arasy itu ialah seperti 'Singgahsana'. Terdapat golongan yang memberi pengertian 'Arasy (عَرْش) di sini dengan merujuk pada kalimah 'arasy (singgahsana) Ratu Balqis yang memerintah kerajaan Saba' pada zaman Nabi Sulaiman a.s. (Surah An-Naml : 23) dan 'arasy Nabi Yusof ( Surah Yusof : 100). Ada juga golongan yang mentakrifkan "ALLAH ISTIWA' DI ATAS 'ARASY" itu sebagai : mengikut kehendak yang layak dengan kebesaran dan kemuliaan-Nya.

Ada juga yang mengekalkan kalimah "ISTIWA" tanpa memberi terjemahan khusus dengan andaian bahawa kalimah tersebut tidak sesekali boleh diberikan takwil atau kefahaman-kefahaman lain kerana ia adalah kalimah al-Quran Kalam Allah.

Dalam pada itu terdapat juga golongan yang memberikan pengertian/tafsiran yang bermaksud : "ALLAH YANG MEMILIKI DAN MEMERINTAH 'ARASY", dengan hujah bahawasanya 'Arasy itu adalah TEMPAT yang paling mulia di sisi Allah yang dijadikan Allah daripada semata-mata TIDAK ADA kepada ADA dengan Qadrat-Nya berbetulan dengan Ilmu dan Kehendaknya yang Qadim lagi Azali.

Kepada golongan yang memahami dan berpendirian kepada pemahaman kalimah "ISTIWA' DI ATAS ARASY" itu sebagai "BERSEMAYAM/BERTAKHTA" terpaksa mengakui bahawa mereka menggunakan akal fikiran yang berpandukan pancaindera yang lima sahaja untuk memahami kalimah tersebut dengan mengandaikan bahawa "ZAT (Diri) DAN SIFAT ALLAH ITU SAMA SEPERTI MAKHLUK JUGA" yang boleh dikenali dan fahami menggunakan pancaindera yang lima. Apabila manusia menggunakan pancaindera yang lima untuk memahami dengan menterjemahkan/mentakrifkan kalimah dan ayat tersebut maka akan terbitlah andaian, prasangka atau pemahaman bahawa Allah itu seperti makhluk juga yang mempunyai juzuk, menerima/mempunyai bahagian-bahagian, ukuran dan sukatan dan memerlukan TEMPAT untuk wujud/ada.
Mungkin tidak terlintas langsung di hati dan fikiran mereka bahwa ALLAH ITU BUKAN MAKHLUK dan tidak sesekali menyamai makhluk dan segala sesuatu yang diadakan-Nya walau dalam apa jua hal, jalan dan cara sekalipun tanpa misal, ibarat, umpama atau kaifiat. Besar kemungkinan mereka tidak mengetahui bahawa untuk mengenali Allah hendaklah menggunakan "pancaindera ke enam" yang dikenali sebagai Al-H’assu Assadisu (الحس السادس)  atau dikenali juga sebagai "AL-BASIRAH, 'AINUL QALBI atau MATA HATI". Inilah yang dimaksudkan sebagai 'AKAL SYARAK' yang akan menerbitkan kefahaman "memahami" mengikut hukum syarak bahawasanya Zat (Diri) dan Sifat Allah itu Qadim yang tidak sesekali menyamai segala sesuatu yang diadakan-Nya tanpa misal, tanpa umpama, tanpa bandingan, tanpa ibarat dan tanpa kaifiat.

Maksud "memahami" mengikut "akal syarak" boleh dikiaskan sebagaimana seseorang itu dapat memahami jika dikatakan kepadanya bahawa ilmu Nabi Muhammad s.a.w itu : sangat tinggi, sangat luas, sangat dalam dan sangat cantik. Ertinya dia cukup "memahami" bahawa ilmu Nabi Muhammad s.a.w itu tidak mempunyai sebarang ukuran dan rupa tertentu seperti sesuatu objek yang mempunyai ukuran bermeter-meter jauh ke atas ketinggiannya, kedalamannya, keluasannya dan ada rupa dan warna tertentu. Jika dia 'memahami' hal keadaan makhluk ilmu bermaksud demikian, maka dia juga cukup 'memahami' juga apabila dikatakan kepadanya bahawa Allah itu bukan makhluk. Oleh itu Zat (Diri) dan Sifat Allah itu Qadim lagi Azali yang tidak sesekali menyamai zat dan sifat sekalian makhluk-Nya walau dalam apa jua hal, cara dan jalan sekalipun.

Bagi memahami ayat-ayat al-Quran yang menerbitkan fitnah agama ini kita hendaklah memahami maksud "ALAM" dalam kontaks Ilmu At-Tauhid ialah :

                   "كُلُّ مَوْجُودٍ سِوَى اللهُ يُسَمَّى عَالَمًا"

Yang bermaksud:
"SEMUA BARANG/SESUATU YANG ADA (SELAIN DARIPADA ALLAH) DINAMAKAN ALAM."

Alam ini pula dibahagikan kepada dua katogeri iaitu :

i. ALAM AL-'AMMAR ii. ALAM AL-KHALIQ

i. ALAM AL-'AMMAR adalah merujuk kepada makhluk Allah yang zatnya (dirinya) ada berjuzuk tetapi tidak boleh dibahagi-bahagi dan ianya boleh ada dengan tidak perlu adanya tempat. Makhluk ini dinamakan ALAM AL-'AMMAR. Dalam konteks ini ALAM yang dimaksudkan di sini bukanlah tempat bagi sesuatu itu berada tetapi adalah nama bagi sesuatu barang atau makhluk Allah atau boleh ditakrifkan juga sebagai tiap-tiap barang sesuatu yang ada. Roh malaikat yang pada hakikatnya mempunyai juzuk yang tidak menerima bahagi-bahagi dan tidak memerlukan tempat ia boleh ada adalah termasuk dalam kategori Alam Al-'Ammar.

ii. ALAM AL-KHALIQ adalah merujuk kepada setiap sesuatu yang berjuzuk yang menerima bahagi-bahagi dan hanya boleh wujud/ada setelah diadakan tempat. Maka Al-'Arasy, Al-Kursi, syurga, neraka, tujuh lapisan langit dan bumi serta setiap benda/segala sesuatu yang terdapat di dalamnya daripada yang paling halus sebesar debu zarrah hingga kepada yang paling besar dan segala sesuatu yang boleh didapati/difahami melalui pancaindera yang lima dinamkan/dikategorikan sebagai Alam Al-Khaliq.

Segala sesuatu/makhluk Allah yang terkandung di bawah takrif ALAM AL-'AMMAR dan ALAM AL-KHALIQ adalah terhimpun di bawah maksud JIRIM, JISIM, JAUHAR MURAQAB dan JAUHAR FIRID yang kesemuanya mempunyai sifat yang disebut sebagai 'ARADH.
Kesemua benda dan segala sesuatu yang terkandung dalam pengertian ALAM AL-'AMMAR dan ALAM AL-KHALIQ tersebut adalah baharu belaka yang diadakan oleh Allah daripada semata-mata tidak ada kepada ada. Sebelum diadakan kesemua benda tersebut HANYA ALLAH SAHAJA YANG ADA dengan kebesaran, ketinggian martabat dan kemuliaan-Nya. Setelah diadakan benda-benda (alam) tersebut segala kemuliaan, kebesaran dan ketinggaian martabat Allah masih tetap tidak berubah, tidak bertambah dan tidak berkurangan sebagaimana yang terkandung di dalam Asma' Ul Husna.

Justeru jika setiap sesuatu itu baru diadakan Allah, atau belum ada, tidak ada atau rosak binasa sekalipun ia tidak sesekali mengenai Allah kerana hanya Allah sahaja yang ada pada Azal.
Dalam hal ini, nescaya akan terbit di dalam minda, hati atau dengan nyata yang bertanyakan jika Allah tidak berhajat atau mengambil faedah daripada setiap sesuatu yang diadakan-Nya maka mengapakah Dia mengadakan barang sesuatu itu?

Jika terbit persoalan atau pertanyaan seperti ini hendaklah diperjelaskan bahawa Allah Taala mengadakan segala makhluk-Nya dan setiap sesuatu benda yang ada dan akan ada daripada semata-mata tidak ada kepada ada adalah untuk menzahirkan bagi kuasa-Nya dan mentahkikkan lagi bagi barang apa yang telah terdahulu daripada kehendak-Nya dan kerana kebenaran-Nya bagi barang apa yang ada pada Azal-Nya daripada Kalam-Nya dan bukan kerana mengambil faedah daripadanya atau berhajat kepadanya. Bahkan Allah Taala itu amat terkaya daripada yang demikian itu dan bahawasanya Allah Taala itu mempunyai kelebihan dan kemurahan dan sentiasa memberi berbagai-bagai rahmat yang tiada terhingga.

Setelah memahami pejelasan perkara pokok ini barulah kita tanya pada diri kita sendiri dengan persoalan berikut:

i. Apakah Allah berhajat dan mengambil faedah apabila menjadikan sekalian alam termasuk Al-'Arasy dan Al-Kursi?
ii. Sebelum Allah menjadikan alam tersebut dan sebelum diadakan apa jua segala sesuatu yang dinamakan TEMPAT adakah Allah bertempat dan beristiwa' di mana-mana tempat?
iii. Setiap sesuatu yang berjuzuk itu memerlukan tempat untuk ada. Adakah Zat (Diri) Allah itu berjuzuk dan memerlukan tempat untuk ada?

iv. Adakah al-'Arasy, al-Kursi , langit dan bumi itu tidak atau bukan dinamakan tempat?

v. Setiap sesuatu objek/benda yang berjuzuk itu mengenai gerak dan diam. Adakah Zat (Diri) yang tidak berjuzuk itu mengenai gerak dan diam?.

Jika kesemua jawapan yang kita berikan adalah "TIDAK" sesekali mengenai dan menyamai Allah, maka dengan sendiri ternafilah/terbatallah sebarang rumusan/hukuman /pendapat/andaian/prasangka yang mengatakan bahawasanya Allah itu bertakhta/bersemayam/berada di atas 'Arasy dan apa jua pendapat yang bercanggah dengannya.

Oleh itu apakah jawapan kita mengenai hal ini?
Sebagai insan mukmin yang berpegang kepada pegangan iktiqad Ahli Sunnah wal Jemaah kita hendaklah berpegang teguh dengan apa yang tersurat dan tersirat di dalam kitab Ihya' Ulumuddin, nukilan ulama mujtahid tersohor Ahli Sunnah wal Jemmah, Hujatul Islam Imam Al-Ghazali (meninggal dunia pada 1111 M) dalam bab Terjemah Aqidah Ahli Al-Sunnah Pada Kalimah Syahdat At-Tauhid yang berterang-terangan menegaskan yang antara lain menyebut yang bermaksud :
" ...dan tidak Tuhan itu mengenai TEMPAT dan tidak mengenai MASA , tidak mengenai pihak, tidak mengenai sukatan dan bilangan. ..Dan tidak Tuhan itu di atas sesuatu, dan tidak di bawah sesuatu dan mafhum makana bahawa Tuhan itu ATAS 'ARASY ialah dengan makna Tuhan itu MEMERINTAH dan MEMILIKI 'ARASY, dan bukan makna atas itu pihak dan tempat, maka tidak sesekali Tuhan itu menerimai pihak dan tempat, dan tidak Tuhan itu di luar tujuh lapis langit dan bumi, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak bercampur dengannya...dan tidak Tuhan itu di luar syurga, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak bercampur dengannya, bahkan Allah Taala Tuhan kita Jalla Waazaa itu lain dan segala barang dan setiap sesuatu yang diadakan Allah itu lain, maka Allah sangat-sangat berlainan yang sehabis-habis berlainan dan tidak ada sesuatu pun yang menyamai-Nya dalam apa jua cara, jalan dan hal sekalipun.."
Jika kita masih tidak 'memahami' hal ini bererti kita masih tidak mempunyai Al-H’assu Assadisu (الحس السادس)  atau dikenali juga sebagai "AL-BASIRAH, 'AINUL QALBI atau MATA HATI" yang disebut juga sebagai 'AKAL SYARAK'.

Semoga kita dapat memahami pengertian yang terkandung di dalam al-Quran surah سورة طه Thaahaa ayat 5:

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى                       

dan tidak tersalah faham hingga boleh membawa maksud kepada mensyirikkan /menyamakan /menyekutukan Allah dengan makhluk/segala sesuatu yang baharu. Sesungguhnya pemahaman dan perbuatan mensyirikkan/menyekutukan Allah adalah sebesar-besar dosa kezaliman yang tidak sesekali mendapat keampunan daripada Allah. Firman Allah di dalam al-Quran :
 إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا 
Maksudnya :
i." Sesungguhnya Allah tidak akan mengampun dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar."

  [ Surah سورة النساء An-Nisaa' : 48 ]

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ 

Maksudnya :

ii. Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata : Sesungguhnya Allah ialah Al-Masih putera Maryam', pada hal Al-Masih sendiri berkata : ' Hai Bani Israil, sembahlah (beribadatlah) kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu'. Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang yang zalim itu seorang penolong."

[ Surah سورة المائدة Al-Maa idah : 72  ] 

ذَلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya :

iii. " Itulah petunjuk Allah, yang dengannya Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hambaNya. Seandainya mereka mempersekutukan Allah, nescaya lenyaplah dari mereka amalan (kebaikan/kebajikan) yang telah mereka kerjakan."

[ Surah سورة الأنعام Al-An'aam : 88 ]

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

            Maksudnya:

“Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa."

آمِيْنُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن 

Mudah-mudahan dengan penjelasan ringkas dalam ruang yang terbatas ini pemikiran kita tidak lagi berlegar-legar mencari jawapan yang pasti lagi sahih kebenarannya tanpa menimbulkan sebarang syak wasangka dan keraguan. Bacalah berulang kali dan manfaatkan bersama dengan keluarga, anak-anak, sahabat, rakan tolan dan sesiapa jua yang berhajatkannya. Semoga Allah melimpahkan kebarkatan dan rahmat-Nya kepada kita di sepanjang hayat. Amin.

اللهم أسعد أمة حبيبك صلى الله عليه وآله وسلم 

وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


*******************************************************************

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ
                    Maksudnya :
" Tidakkah kamu tahu bahawasanya Allah : Kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) solat dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan."            

                       [ Al-Quran surah سورة النّور An-Nuur : 41






KEUTAMAAN dan HIKMAH ZIKIR dan DO'A

[ Lihat : NAMA-NAMA HAIWAN DALAM AL-QURAN ]                بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم   السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْم...