[ Sambungan daripada : PENGERTIAN KALIMAH ALLAHU AKBAR ]
بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ, َالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ
اللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِيْ قـُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا رَبَّنَاإنَّكَ رَءُوْفٌ رَحِيْمٌ
أَمَّا بَعْـدُ
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ وَإِذَا قِيلَ انْشُزُوا فَانْشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya :
" Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu : 'Berlapang-lapanglah dalam majlis', maka berlapanglah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan : 'Berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
[ Al-Quran surah سورة المجادلة Al Mujaadalah : 11 ]
******************************************
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ
Maksudnya :
" Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu , kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui."
[ Al-Quran surah سورة النحل An Nahl : 43 ]
***********************************************************
APA ITU BID’AH بدعة ?
Pada ingatan sesetengah orang, perkataan BID'AH itu adalah sesuatu yang buruk seperti perkataan bohong, dusta, fitnah dan yang seumpama dengannya. Oleh kerana itulah bila disebut sahaja BID’AH maka terus terbayang di hati dan minda mereka sesuatu yang negatif lagi boleh mendatangkan keburukan/kejahatan dan fitnah.
Dari segi bahasa, perkataan BID’AH, bererti apa jua ciptaan baru yang tidak ada atau belum wujud yang seumpama atau semisal dengannya. Dari segi istilah syaraknya: Apa jua perkara baru dalam agama yang tidak ada/tidak wujud pada zaman Nabi.
Pastinya ramai yang terkeliru tentang mafhum bid’ah. Ada yang mengatakan bid’ah itu kesemuanya sesat. Ada pula yang mengatakan bid’ah itu terbahagi dua iaitu bid’ah hasanah (بدعة حسنة) dan bid’ah sayi’ah (بدعة سيئة). Di samping itu terdapat juga yang mengatakan bid’ah itu terbahagi lima iaitu bid’ah wajib (واجبة), mubah/harus (مباحة), makruh (مكروهة), sunat (سنة) dan haram (محرمة).
Dalam isu bid’ah, terdapat dua golongan utama yang bercanggah fahaman sehingga berlakunya khilaf yang keras dalam bentuk tuduh-menuduh di antara satu sama lain iaitu:
i. Golongan yang mengatakan bahawa yang ada hanyalah BID’AH sesat, tanpa ada yang lainnya.
ii. Golongan yang mengatakn BID’AH itu terbahagi dua iaitu Bid’ah Hasanah dan Bid’ah Sayi’ah.
Golongan pertama(i) berpegang kepada hadis Nabi s.a.w yang berbunyi:
"...كل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار".
Maksudnya:
“… setiap bid’ah itu sesat dan setiap sesat itu masuk neraka.”
Bid’ah dalam hadis tersebut menunjukkan kepada bid’ah sesat yang melibatkan kerosakan akidah keimanan dan ini dapat difahami bila disebut pada akhir hadis:
“… dan setiap sesat itu masuk neraka”.
Oleh kerana golongan pertama (i) itu tadi berpegang kepada hanyalah bid’ah sesat (بدعة ضلالة) sahaja yang terdapat dalam ajaran Islam, lalu mereka dengan sewenang-wenangnya menuduh orang-orang yang melakukan apa jua bid’ah sebagai sesat dan setiap yang sesat itu akan dilaknat masuk neraka.
Contoh yg paling mudah:
Golongan mengatakan bahawa lafaz 'usalli' (اصلي) sebelum melafaz dan melakukan takbiratul-ihram dalam solat itu adalah bid’dah, kerana niat itu letaknya di hati, bukan pada lidah. Perkara semudah ini pun susah untuk difahami oleh mereka. Kalau nak dikira, berjuta-juta orang umat Islam mengamalkan lafaz 'usalli' ketika takbiratul-ihram kerana kebanyakan kita bermazhab syafie, sedangkan mereka itu, sudahlah tak bermazhab, menolak pula empat imam muktabar yang diperakui dan disahkan oleh jumhur ulamak ahli sunnah di seluruh dunia.
Justeru kita tidak perlu merasa risau, ragu-ragu atau musykil kerana apa yang kita lakukan adalah selari dengan kehendak hukum syarak. Sebenarnya lafaz 'usalli' itu adalah cara menyampaikan niat ke dalam hati untuk solat, samalah juga seperti seorang yang pergi ke masjid dengan kenderaan berbagai kenderaan seperti kereta,bas, keretra api, motorsikal, basikal atau apa jua jenis kenderaan yang tidak terdapat pada zaman Rasulullah s.a.w. Berbagai jenis kenderaan itu hanyalah utk menyampaikan seseorang itu ke masjid untuk melakukan ibadat solat. Andainya lafaz itu bid’ah maka kenderaan itu juga termasuk dalam kategori bid’ah juga kerana Nabi tidak ke masjid menaiki kereta, motosikal dan apa jua jenis kederaan yang tidak terdapat/wujud pada zaman baginda.
Jika ditanya golongan yang tidak berpegang kepada mana-mana bermazhab ahli sunnah ini, mereka ini tidak pula mengatakan ke masjid dengan menaiki kenderaan itu bid’ah dan setiap bid'ah itu sesat dan akan masuk neraka. Kalau berhibur di kelab malam tidak termasuk dalam kategori bid’ah, kerana kononnya tidak berkait dengan agama tetapi apabila makmum mengaminkan doa yang dibaca oleh imam dikatakan bid’ah sesat. Demikian juga menziarahi kubur bukan setakat bid’ah tetapi dikatakan menyembah kubur, lebih teruk dari kuffar quraisy menyembah berahala di hadapan ka'bah.
Fahaman yang dibawa oleh golongan pertama ini ditentang pula oleh satu pihak lain dengan mengatakan bahawa: Tidak semua bid’ah itu sesat, kerana perkataan “SETIAP” sesat itu dalam hadis: كل بدعة ضلالة bukan bererti: “KESEMUANYA”, tetapi dengan maksud: “hanya sebahagian besarnya” sahaja. Mereka memberikan contoh, petikan dari Al-Quran, surah al-Kahfi, ayat 79 disebut:
"وكان وراءهم ملك يأخذ كل سفينة غصبا"
yang bermaksud :
" ...kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas 'setiap' perahu..."
Perkataan 'SETIAP' perahu dalam ayat al-Quran ini bukan bermaksud: 'keseluruhan/kesemua perahu' tetapi hanya bermaksud kepada sebahagian besarnya sahaja yang berada dalam keadaan baik … kerana raja yang zalim itu hanya mengambil perahu yang elok lagi baik sahaja. Maka begitu juga bila disebut 'setiap' bid’ah itu sesat … ertinya bukanlah pada keseluruhannya, bid’ah itu sesat, tetapi ada yang 'hasanah' dan ada yang 'sayi’ah'.
Memang betul perkataan "كل" ertinya “setiap” dan tidak semestinya bererti “kesemua atau keseluruhannya” akan tetapi bukan dalam hadis:
كل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار
Kerana dalam hadis tersebut, bid’ah yg dimaksudkan itu ialah bid’ah yang melibatkan AKIDAH. Bid’ah yg melibatkan akidah, kesemuanya sesat tanpa kecuali dan kesemuanya membawa ke neraka dan tidak sesekali boleh ditafsirkan perkataan "كل" (setiap) itu kepada sebahagian besarnya.
Bagi golongan Ahli As Sunnah Wal Jamaah, bid’ah itu terbahagi kepada dua iaitu BID’AH HASANAH dan BID’AH SAYI’AH, berpandukan kepada hadis riwayat Muslim yang berbunyi:
مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَام سُنَّةً حَسَنَــةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَام سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.
Mafhumnya:
“Barang siapa mencontohkan sesuatu perbuatan terpuji (yakni sunnah hasanah/سنة حسنة) dalam Islam maka ia mendapatkan pahalanya dan pahala orang yang mengamalkan setelahnya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Dan barangsiapa mencontohkan sesuatu perbuatan tercela (sunnah sayi’ah/سنة سيئة) dalam Islam maka ia mendapat dosanya dan dosa orang yang mengamalkan setelahnya tanpa mengurangkn dosa-dosa mereka”.
Daripada hadis inilah terbitnya/bermulanya BID’AH HASANAH dan BID’AH SAYI’AH, bukannya dari hadis: “… setiap bid’ah itu sesat dan setiap sesat itu masuk neraka”, dan ini selari dengan kata-kata Imam Syafie:
البدعة بدعتان محمودة ومذمومة
"Bid'ah itu (terbahagi) dua iaitu bid'ah terpuji (hasanah) dan bid'ah terkeji (sayi’ah)." والله اعلم
Tiada ulasan:
Catat Ulasan