[ Sambungan daripada : APABILA ROH AHLI MAKSIAT DAN ORANG KAFIR MUNAFIK BERADA DI DALAM KUBUR ]
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيم
الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ أَمَّا بَعْدُ
هَذَا بَيَانٌ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةٌ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya :
" ( Al-Quran ) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa."
[ Al-Quran surah آل عمران Ali 'Imran : 138 ]
***********************************************
وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَى (1) مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَى (2) وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلا وَحْيٌ يُوحَى (4) عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى (5) ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوَى (6) وَهُوَ بِالأفُقِ الأعْلَى (7) ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى (8) فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَى (9) فَأَوْحَى إِلَى عَبْدِهِ مَا أَوْحَى (10)
Maksudnya :
" Demi bintang ketika terbenam, ( 1)
kawanmu ( Muhammad ) tidak sesat dan tidak keliru, ( 2)
dan tiadalah yang diucapkannya itu ( al-Quran ) menurut hawa nafsunya. ( 3)
Ucapannnya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya), (4)
yang diajarkan kepadanya oleh ( Jibril) yang sangat kuat, (5)
yang mempunyai akal yang cerdas; dan ( Jibril itu) menampakkan diri dengan rupa yang asli, (6)
sedang dia berada di ufuk yang tinggi. ( 7)
Kemudian dia mendekat, lalu bertambah dekat lagi, ( 8)
maka jadilah dia dekat ( pada Muhammad sejarak ) dua hujung busur panah atau lebih dekat ( lagi). ( 9)
Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya ( Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan. (10)
[ Al-Quran surah سورة النجم An-Najm : 1-10 ]
************************************************************
AL-QURAN IALAH KALAM ALLAH YANG QADIM
Sebagaimana Kitabullah-kitabulllah Az-Zabur, At-Taurah dan Al-Injil yang diturunkan kepada Rasul-rasul terdahulu, Al-Quran adalah Kitabullah yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. Pegangan iktiqad akidah keimanan Ahli Sunnah wal Jemaah menegaskan bahawasanya :
"Allah berkata-kata, menyuruh, menegah, menjanjikan balasan kebaikan, menjanjikan balasan kejahatan. Maka Ia berkata-kata itu dengan Kalam-Nya yang Qadim lagi Azali dan Ia sentiasa berkata-kata dan selama-lamanya berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim. Maka tidaklah menyamai Kalam Allah itu dengan segala kalam makhluk kerana Kalam Allah itu tidak berhuruf, tidak bersuara dan tidak berkafiat walau dengan apa jua cara sekalipun.....
Bahawasanya Nabi Allah Musa Alaihissalam mendengar Kalam Allah SWT itu dengan tiada bersuara dan tiada berhuruf sebagaimana juga orang mukminin yang ahli kebahagiaan itu melihat Zat Allah di negeri akhirat kelak dengan tiada berupa, tiada berwarna, tiada berpihak, tiada bertempat dan tiada berkafiat walau bagaimana cara sekalipun....."
Allah mengurniakan akal dan pancaindera yang lima kepada manusia bagi membolehkan mereka membina tamadun hidup sempurna di dunia ini dengan kejayaan menghasilkan berbagai ilmu pengetahuan sebagai alat (tool) supaya mereka berkeupayaan mencipta berbagai kemudahan hidup bertamadun termasuk kaedah berkomunikasi dan berinteraksi. Maka terbitlah bahasa berkomunakasi menggunakan huruf yang mempunyai tatabahasa standard yang difahami oleh manusia melalui pembelajaran oleh para ilmuan yang bangkit di kalangan mereka. Adalah sesuatu yang hampir mustahil manusia boleh berkomunikasi sesama mereka tanpa menggunakan perantaran bahasa oral atau tulisan (termasuk bahasa isyarat dan huruf braille).
Besar kemungkinan akan terbit persoalan biasa bagaimana pula dengan Kitabullah-kitabullah yang diturunkan kepada para Rasul berkenan. Jika Kitabullah tersebut Kalam Allah yang Qadim pastilah ianya tidak berhuruf dan tidak bersuara. Sedangkan semua kitabullah mempunyai huruf dan menggunakan tatabahasa yang dituturkan oleh Rasul dan umat mereka?
Dalam hal ini kita hendaklah memahami dan berkeyakinan penuh bahawasanya ALLAH itu BUKAN MAKHLUK dan tidak sesekali menyamai sekalian makhluk serta segala sesuatu yang dijadikan-Nya tanpa misal ,tanpa ibarat dan tanpa umpama. Ilmu mencipta HURUF dan menghasilkan BUNYI SUARA apabila dilafazkan melalui lidah dan halkum adalah kurniaan Allah kepada manusia bagi keperluan manusia tetapi Allah tidak sesekali berhajat kepadanya.
Apabila Allah SWT mengutuskan Malaikat Jibril AS untuk menyampaikan sesuatu wahyu Kalam-Nya kepada seseorang Rasul yang dibangkitkan untuk menjadikan kitabullah sebagai peringatan, rujukan dan panduan hidup kepada kaumnya di dunia dan akhirat, Jibril menyampaikan wahyu tersebut menggunakan bahasa yang dituturkan oleh Rasul tersebut yang boleh difahami kaumnya. Justeru demikianlah jua halnya dengan wahyu al-Quran yang diturunkan kepada Rasululllah s.a.w melalui perantaraan Malaikat Jibril AS dalam bahasa Arab Quraisy yang menjadi bahasa Rasulullah s.a.w dan kaum Quraisy yang bermastautin dan mentadbirkan kota Mekah sebagaimana Firman-Nya dalam al-Quran:
حم (1) تَنْزِيلٌ مِنَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (2) كِتَابٌ فُصِّلَتْ آيَاتُهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (3) بَشِيرًا وَنَذِيرًا فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ فَهُمْ لا يَسْمَعُونَ (4)
Maksudnya :
i." Haa Mim. ( 1)
diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (2)
Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang mengetahui, (3)
yang membawa berita gembira dan yang membawa peringatan, tetapi kebanyakan mereka berpaling (daripadanya); maka mereka tidak mahu mendengarkan. (4)
[ Surah فصلت Fushshilat : 1-4 ]
وَكَذَلِكَ أَنْزَلْنَاهُ حُكْمًا عَرَبِيًّا وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَمَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا وَاقٍ
Maksudnya :
ii." Dan demikianlah, Kami telah menurunkan al-Quran itu sebagai peraturan (yang benar) dalam bahasa Arab. Dan seandainya kamu mengikuti hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu, maka tidak sesekali ada pelindung dan pemelihara bagimu terhadap ( seksa ) Allah."
[ Surah سورة الرعد Ar-Ra'd : 37 ]
Terdapat banyak perbahasan mengenai kaedah penyampaian wahyu al-Quran kepada Rasulullah s.a.w selama 23 tahun yang terkandung di dalamnya sebanyak 30 juzu' menghimpunkan 114 Surah daripada ayat-ayat 'Makkiyyah' dan ' Madaniyyah. Menurut kajian terdapat 6,236 atau 6,666 ayat yang terkandung dalam al-Quran. Ayat-ayat al-Quran diturunkan secara berperingkat yang mengambil masa selama 23 tahun dengan mentakdirkan berlakunya dahulu sesuatu peristiwa atau hal keadaan yang amat menyulitkan/memberatkan yang dikenakan kepada Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda sebagai penyebab turunnya ayat-ayat tersebut bagi menjelaskan sesuatu perkara yang berlaku dan hukum-hakam mengenai sesuatu masalah atau persoalan yang berbangkit yang tidak sesekali diketahui oleh Rasulullah s.a.w dan Malikat Jibril AS.
Untuk memahami bahawa al-Quran itu adalah Kalam Allah seseorang itu seharusnya mempunyai dan menggunakan "Al-Basirah, 'Ainul Qalbi atau Mata Hati" yang tidak berkaitan dengan deria pancaindera yang lima. Kelima-lima pancaindera yang dikurniakan Allah kepada manusia itu hanya berfungsi sebagai laluan atau 'alat perantaraan' sahaja untuk sampai kepada Al-Basirah, 'Ainul Qalbi atau Mata Hati.
Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai atau tidak menggunakan Al-Basirah, 'Ainul Qalbi atau Mata Hati atau dikenali sebagai Al-H’assu Assadisu (الحس السادس) yang disebut juga sebagai pancaindera yang ke enam untuk memahami ilmu-ilmu pengenalan terhadap Allah dan Rukun Iman yang enam (6) perkara termasuk 'Kalam Allah" yang Qadim dan segala aspek yang berkaitan dengannya, sebaliknya hanya menggunakan akal fikiran yang bersandarkan kepada deria pancaindera yang lima sahaja, dia tidak mungkin akan dapat atau terlalu sukar untuk memahaminya ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya.
Ini adalah disebabkan akal fikiran yang bersandarkan kepada lima deria pancaindera yang terdapat pada diri manusia akan menerbitkan khayalan dan memerlukan fakta logik yang dapat diterima dan munasabah pada akal manusia. Sedangkan untuk memahami ilmu mengenali Allah dan Zat serta Sifat-sifat-Nya yang Qadim lagi Azali yang tidak berjuzuk, tidak berupa, tidak berwarna, tidak bertempat dan tidak sesekali boleh dikiaskan dengan apa jua hal, jalan dan cara sekalipun itu tidak akan dapat difahami sekiranya menggunakan akal fikiran khayalan yang bersandarkan kepada deria pancaindera yang lima sahaja. Justeru kaewdah ini juga yang wajar digunakan untuk memahami bahawa al-Quran dan Kitabullah yang diturunkan kepda para Rasul alaihimussalam adalah Kalam Allah Yang Qadim.
Dalam konteks wahyu al-Quran, sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. menerima wahyu tersebut daripada Malaikat Jibril AS baginda terus membaca dan diajarkan kepada para sahabat untuk dihafal, difahami dan dicatatkan oleh para sahabat kerana Rasulullah s.a.w adalah seorang yang 'ummi' yang tidak pernah belajar membaca dan menulis daripada sebarang manusia. Antara penulis wahyu yang terkenal ialah 'Ali bin Abi Thalib, Uthman bin Affan, Ubay bin Ka'ab, Mu'awiyah bin Sufyan dan Zaid bin Tsabit. Dalam hal ini para sahabat Rasulullah s.a.w amat mengetahui penjelasan dan pentafsiran sesuatu ayat al-Quran kerana mereka melihat serta mengalami sendiri punca sesuatu ayat al-Quran itu diturunkan selain daripada hurain lebih mendalam daripada lidah Rasulullah s.a.w melalui hadis-hadisnya di hadapan mereka.
Perlu difahami juga Rasulullah s.a.w melarang sama sekali para sahabat mencatatkan/menulis pada apa juga alat catatan mengenai segala perkara yang berkaitan dengan Hadis bagi mengelakkan daripada terbitnya salah faham antara ayat al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. di kalangan umat. Justeru apabila Rasulullah s.a.w wafat dan para sahabat besar menyampaikan ilmu Hadis kepada jemaah umat Islam mereka tidak merujuk kepada sebarang catatan atau kitab. Bahkan mereka menyampaikan segala ilmu secara hafazan (oral) sahaja kerana sebahagian besar daripada para sahabat bukan sahaja menghafaz al-Quran bahkan mereka juga menghafaz ribuan Hadis Rasulullah s.a.w untuk memperluaskan lagi kefahaman dengan ayat-ayat al-Quran mengenai sesuatu hukum-hakam dan yang beriaktan dengannya. Di samping mereka mememperhati dan menghafal segala perbuatan dan tindak tanduk Rasulullah s.a.w pada setiap masa kerana kebanyakan mereka sentiasa bersama Rasulullah s.a.w. dalam segala urusan.
Hendaklah difahami juga bahwa huruf dan bunyi sebutan yang terkandung al-Quran itu adalah baharu, tetapi maksudnya adalah sama dengan al-Quran Kalam Allah di Lauh Mahuz yang tidak berhuruf, tidak bersuara dan tidak berkafiat walau dalam apa jua cara, jalan dan hal sekalipun. Oleh itu al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w yang ditulis pada mushaaf hendaklah dipermuliakan sebagai Kalam Allah yang Qadim yang dilarang sama sekali dipinda pada kandungan, kalimah, tatabahasa, sebutan serta pentafsirannya sebagaimana yang berlaku pada kitabullah-kitabullah terdahulu.
Di samping itu terdapat juga peraturan-peraturan khusus apabila membaca al-Quran seperti berada dalam keadaan bersih dan membacanya mengikut 'tartil' berpandukan hukum tajwid yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Allah berfirman dalam al-Quran سورة المزمل surah al-Muzzamil ayat 4 :
أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا
Maksudnya :
" ...Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan ( tartil *).
[ * Bacaan degan tartil bermaksud membaca dengan sebutan makhraj yang jelas mengikut hukum tajwid yang betul dan tidak dilakukan secara terburu-buru. Membaca dengan jelas hanya boleh dilakukan jika dia menyebut semua huruf, dan memenuhi cara pembacaan huruf dengan benar. Inti tartil dalam membaca adalah membacanya pelan-pelan, jelas setiap hurufnya, tanpa berlebihan.]
[ Manuskrip Mushaf Uthman antara manuskrip al-Quran tertua di dunia yang dipercayai ditulis dan dijilid pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan (menjadi Khlifah pada 644-656 M). Dipercayai mushaf al-Quran inilah yang sedang dibaca oleh Khalifah Uthman ketika dia dibunuh. Naskah al-Quran ini ditulis pada kulit kijang/rusa dan sudah dalam keadaan yang rapuh. Kini naskah ini tersimpan dengan keadah penjagaan yang terbaik di sudut khas di Perpustakaan Mufti di Tashkent, Uzbekistan. Naskah salinan yang diperlihatkan kepada umum adalah naskah salinan yang dihasilkan oleh pakar-pakar khat dan disemak dan disahkan oleh para hafiz al-Quran].
Walaupun khat-khat bahasa Arab telah mengalami evolusi perubahan dari semasa ke semasa yang turut dialami juga pada penulisan ayat-ayat al-Quran tetapi ianya tidak menjadi masalah kerana Allah telah mentakdirkan akan sentiasa wujud di kalangan umat Islam golongan yang menghafal dan ahli al-Quran bagi menyemak dan menentukan setiap ayat al-Quran sentiasa terpelihara ketulenannya. Inilah janji Allah untuk memelihara al-Quran sebagai Kalam-Nya sebagaimana Firman-Nya dalam al-Quran surah سورة الحجر al-Hijr ayat 9 :
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
:Maksudnya
"Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya."