Rabu, 6 November 2013

Bhg 5: Tarbiyatu Fikrit-Tifli Li-Fahmi Ulumuddin (تربية فكر الطفل لفهم علوم الدين)


PERPINDAHAN PARA ANBIA'K ( NABI-NABI)

Related image
                                        
Dengan ini, sempurnalah sudah hijrah Rasul kita Nabi Muhammad s.a.w itu. Itulah sunnah (perjalanan) saudara-saudara baginda di kalangan Anbia`k-anbia`k sebelumnya. Tidak ada seorang Nabi, tanpa berlakunya hijrah dari negeri tempat kelahirannya itu, seperti berpindahnya Nabi Allah Ibrahim Khalilullahbapa Anbia'-anbi', dan Nabi Isa Alaihisalam yang semua mereka itu mempunyai kedudukan dari segi kebesaran darjat dan ketinggian martabat. Namun diperhina oleh kaum-kaum mereka sendiri. 

Dalam begitupun mereka, para Anbia' tetap menghadapinya dengan penuh tabah dan kesabaran supaya mereka menjadi contoh teladan bagi pengikut-pengikut mereka dalam ketetapan hati dan bersabar di atas segala perkara yang tidak digemari pada mentaati hukuman-hukuman Allah.

Baca dan lihatlah kisah-kisah Nabi Yak’qub dan anak-anaknya, kisah-kisah Nabi Yusuf, Nabi Musa dan Nabi Harun dan perginya Nabi Isa Alaihisalam dari orang-orang Yahudi ketika  mereka mendustakan segala yang diserukan oleh Nabi Isa Alaihisalam itu. Mereka hendak membunuhnya tetapi diselamatkan Allah Taala dari sebarang pengkhianatan dan kezaliman mereka. Sesungguhnya Nabi Isa Alaihisalam tidak dibunuh dan tidak disalib, bahkan diangkatkan oleh Allah Taala naik ke langit sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran.  Firman Allah Taala pada surah سورة النساء  An-Nisaa, ayat 156-158:
وَبِكُفْرِهِمْ وَقَوْلِهِمْ عَلَى مَرْيَمَ بُهْتَانًا عَظِيمًا (156) وَقَوْلِهِمْ إِنَّا قَتَلْنَا الْمَسِيحَ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ رَسُولَ اللَّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَكِنْ شُبِّهَ لَهُمْ وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِيهِ لَفِي شَكٍّ مِنْهُ مَا لَهُمْ بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِلَّا اتِّبَاعَ الظَّنِّ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِينًا (157) بَلْ رَفَعَهُ اللَّهُ إِلَيْهِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا (158)
                      Maksudnya :
Dan dengan kekafiran mereka dan kata-kata (tuduhan) mereka terhadap Maryam (dengan) kebohongan (yang sangat) besar (menuduhnya berzina).(156) 
Dan kata-kata mereka (dengan sombong) sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa Ibni Maryam, Pesuruh Allah; dan (pada hal) tidak mereka membunuhnya dan tidak pula mereka memalangnya (di kayu palang – salib) dan akan tetapi (wajah yang dibunuh) diserupakan kepada mereka; dan sesungguhnya orang-orang yang mereka berselisih mengenainya (pembunuhan Isa) benar-benar dalam syak (keraguan) terhadapnya, tiada sesuatu pengetahuan  pun bagi mereka mengenainya kecuali (hanya) mengikut sangkaan semata-mata dan mereka tidak membunuhnya (Isa) (dengan) yakin.(157)  
Bahkan Allah telah mengangkatnya (Isa) kepada-Nya; dan Allah adalah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(158)
Perpindahan Rasulullah s.a.w dari negeri kelahirannya yang ditegah oleh penduduknya bukanlah sesuatu yang pelik tetapi adalah bagi menyempurnakan apa yang dikehendaki oleh Allah. Firman-Nya dalam surah سورة الأحزاب‎‎ Al-Ahzab, ayat 62:
سُنَّةَ اللَّهِ فِي الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلُ وَلَنْ تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّهِ تَبْدِيلًا 
                                   Maksudnya :
(Yang demikian, itulah) sunnatullah (perjalanan undang-undang dan peraturan yang diletakkan oleh Allah) kepada sekalian mereka yang telah berlalu dari sebelum (kamu); dan tidak (sesekali) engkau akan dapat bagi sunnatullah gantian." 


SERUAN RASULULLAH S.A.W. DI MAKKAH 

 

Ringkasan usul agama yang diserukan oleh Rasulullah s.a.w di Makkah adalah terletak pada dua perkara iaitu:

Menyuruh mentawh’idkan Allah yakni ketiadaan menyamainya Allah Taala dengan sesuatu apa pun dari segala makhluk-Nya, sama ada pada Zat-Nya, keadaan-Nya atau pada perbuatan-Nya, melarang mempersamakan beserta-Nya itu dalam ibadat dengan yang lain-Nya, sama ada berhala sebagaimana yang dilakukan oleh kuffar Quaisy ataupun bapa, isteri atau anak perempuan sebagaimana yang diik’tiqadkan oleh beberapa puak kuffar Quraisy yang lain seperti orang-orang Nas’ara.

Menyuruh beriman dengan hari kebangkitan dari kubur dan Hari Kiamat besar. Di sana ada hari yang kedua bagi manusia untuk dibalasi apa yang telah dilakukan ketika hidup di dunia. Jika baik, baiklah balasannya, dan jika  jahat,  maka jahat lagi buruklah balasannya.

Dua perkara mengenainya inilah kebanyakan ayat al-Quran diturunkan di Makkah. Jarang sekali didapati adanya surah-surah yang diturunkan di Makkah yang tidak disertakan dua perkara tersebut, malahan dicela sesiapa yang meninggalkan keduanya itu.

Ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Makkah adalah selain dari dua puluh tiga surah iaitu:
al-Baqarah, al-‘Imran, an-Nisa`k,  al-Maidah, al-Anfal, at-Taubah, al-H’aj, an-Nur, al-Ah’zab, al-Qital, al-Fateh’, al-H’ujurat, al-H’adiid, al-Mujadalah, al-H’asyr, al-Mumtah’anah, as’-S’af, al-Juma’ah, al-Munafiqun, at-Taghabun, at’-T’alaq, at-Tah’rim, an-Nas’er.**
[**Catatan : Kesemua surah ini turunnya di Madinah, manakala bakinya di Makkah.]
                           
Ketika di Quba`k, Rasulullah s.a.w singgah berhenti dan bertemu ketua Bani A’mru Kalthum bin Al-Hadam  dan duduk di rumah Saa’d Bin Khaithamah (خيثمة) sebagai majlis kedatangan orang-orang kerana ia adalah seorang bujang, tidak beristeri dan di situlah Rasulullah menyampaikan sabda-sabdanya.  Manakala  Abu Bakar singgah di Sanaj (سنج)  (suatu tempat di Madinah ) kepada Kharijah Bin Zaid dari Bani Al-H’arith dari Al-Khazraj.



MASJID QUBA'K

Semasa Rasulullah s.a.w berada di Quba`k untuk beberapa malam, baginda telah memulakan dengan mendiri Masjid Quba`k, yang disebutkan oleh Allah Taala sebagai masjid yang didirikan atas at-taqwa dari awal hari di mana Rasulullah s.a.w. telah menunaikan sembahyang berjamaah bersama-sama dengan puak Ans’ar dan puak Muhajirin. Kesemua masjid pada zaman Rasulullah s.a.w adalah dibuat dalam sehabis-habis mudah. Firman Allah dalam al-Quran surah At Taubah  (  سورة التوبة )  ayat 108-109 :
 لا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ (108) أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى تَقْوَى مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (109)
                Maksudnya :
" ....Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba'a), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu melakkan solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih. ( 108 )
Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keridaan(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya  di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahanam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim." ( 109 )

Tidak terdapat padanya sesuatu apa pun dari apa yang biasanya dibuat pada adatnya oleh tukang-tukang dan ahli seni bina masjid pada kurun-kurun yang akhir ini. Ini kerana tidak ada yang terlebih besar selain dari menumpukan ke arah memperhiaskan segala hati, membersihkan hati dari bahagian syaitan. Setiap masjid yang dibina adalah setakat adanya atap bumbung sebagai pelindung yang memeliharai daripada kepansan matahari.

                                          Masjid Quba' Pada Hari Ini

https: img.okeinfo.net content 2016 06 06 406 1407678 masjid-di-ethiopia-ini-terbuat-dari-ranting-kayu-OC76MKiFZg.jpg
     Gambar hiasan: Sebuah masjid di Habsyah (Ethopia) diperbuat daripada batang pokok  kayu




KETIBAAN RASULULLAH S.A.W. DI MADINAH ( YATHRIB)


           Related image
Kemudian Rasulullah s.a.w menuju ke Madinah, dengan diiringi oleh puak-puak Ans’ar yang menyandang pedang-pedang mereka. Tidak terkiralah sukacitanya penduduk Madinah. Bagi mereka (penduduk Madinah), kedatangan Rasulullah s.a.w. adalah hari yang paling bahagia, tidak pernah dirasai oleh mereka sebelumnya. Maka keluarlah beramai-ramai, perempuan-perempuan, budak-budak dan ibu-ibu dengan pujian-pujian mereka kepada Rasulullah s.a.w. Demikian bunyinya:
طــــلع البدر علينا          من ثنيــــات الــواع
وجب الشكر علينا          مــا دعــــــا لله داع
أيها المبعوث فينـا          جئت بالأمر المطـاع
Mereka berjalan di belakang Rasulullah s.a.w, ada yang berjalan kaki, ada yang menunggang, berebut-rebut mereka pada tali untanya.  Setiap orang  berhajat  Rasulullah s.a.w. menjadi tetamunya.

JUMA'AT PERTAMA

Maka singgahlah Rasulullah s.a.w. dirumah Bani salim bin Auf dengan melakukan ibadat solat Jumaat di situ. Itulah Juma'at pertama bagi Rasulullah s.a.w. Baginda memulakan khutbahnya dengan puji-pujian ke atas Allah, kemudian baginda bersabda :

" أما بعد ايها الناس فقدموا لأنفسكم تعلمن والله ليصعقن أحدكم ثم ليدعن غنمه ليس لها راع ثم ليقولن له ربه ليس له ترجمان ولا حاجب يحجبه دونه ألم يأتك رسولي فبلغت وآتيتك مالا وافضلت عليك فما قدمت لنفسك فلينظرن يمينا وشمالا فلايرى شيئا ثم لينظرن قدامه فلا يرى غير جهنم فمن استطاع أن يقي وجهه من النار ولو بشق تمرة فليفعل  ومن لم يجد فبكلمة طيبة فانها تجزي الحسنة عشرة أمثالها الى سبعمائة ضعف , والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته                 
 
PERSINGGAHAN RASULULLAH S.A.W. KEPADA ABI AYYUB

Kemudian mereka meneruskkan perjalanan. Pada setiap kali melalui rumah-rumah puak Ans’ar, mereka mengharapkan  agar ia singgah berhenti di sisi mereka dengan mengambil tali untanya.  Maka berkatalah Rasulullah; sabdanya: 
 دعوها فانها مأمورة 
                     Maksudnya : 
Biarkanlah ia, sesungguhnya ia adalah (menurut apa yang)  diperintah.
Maka teruslah unta itu berjalan sehingga sampail di hadapan halaman rumah Bani Udai Bin An-Najjar, bapa saudaranya dari sebelah pihak ibunya yang datuknya Hasyim telah berkahwin dengan mereka itu. Di situlah turunnya unta itu, di suatu tempat berhadapan dengan rumah Abi Al-Ayuub Al-Ans’ari, bernama Khalid Bin Zaid dan di situlah tempat masjid didirikan. Maka sabda Rasulullah s.a.w:
"ههنا المنزل إن شاء الله ، رب انزلني منزلا مباركا وأنت خير المنزلين".
                       Maksudnya :
"Di sinilah tempat hentian, jika dikehendaki Allah. 'Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di hentian yang diberkati dan Engkau-lah sebaik-baik yang memberi tempat hentian'.
Maka Abu Ayyub pun mengangkat segala barang yang dibawa untuk diletakkan ke dalam rumahnya maka datanglah Saa’d Bin Zirarah lalu ia mengambil untanya untuk ditempatkan di sisinya. Maka keluarlah kaum-kaum ibu Bani An-Najjar memuji Rasulullah s.a.w.
Maka Rasulullah s.a.w itu pun memilih untuk tinggal  di tingkat bawah rumah Abi Ayyub bagi kemudahan orang-orang yang menziarahinya. Ditakuti terkena debu-debu jalan dari pijakan tapak kaki  atau pun tumpahan air dari tingkat atas, Abu Ayuub r.a mahukan Rasulullah s.a.w tinggal di tingkat atas. Secara kebutulan pada suatu malam, isterinya terpecah satu takar bekas air.  

Lalu bergegaslah Abu Ayyub dan isterinya membawakan satu hamparan yang satu-satunya sahaja mereka miliki. Kedua mereka menyapukan air itu dengan hamparan tersebut kerana bimbang terkena Rasulullah s.a.w. Oleh itu, Abu Ayyub sentiasa meminta belas kasihan Rasulullah s.a.w. supaya berada di tingkat atas.
 
Untuk mempertahankan Rasulullah dari sebarang ancaman musuh, puak Ansar menghantar pada tiap-tiap malam pasukan kawalan kecil terdiri daripada beberapa orang pengawal.

Di antara mereka ialah:
  •         Saa’d Bin U’badah
  •         Asa’d Bin Zirarah
  •         Um Zaid Bin Thabit 
Tidak ada satu malam pun melainkan pada  pintunya terdapat tiga atau empat orang pengawal di waktu malam.


PERSINGGAHAN PUAK MUHAJIRIN 


Kebanyakan orang Muhajirin yang berhijrah bersama Rasulullah s.a.w telah menjadi rebutan puak Ans’ar. Masing-masing mahukan mereka singgah berhenti dan tinggal bersama mereka sehinggalah mereka meletak undi. Dengan itu tiada seorang pun di kalangan puak Muhajirin yang singgah berhenti kepada seseorang puak Ans’ar melainkan dengan undi.

       Related image
                       Ilustrasi pemandangan Kota Yathrib/Madinah Zaman Dahulu



PERSAUDARAAN DALAM ISLAM


Jika diperhatikan kasih sayang dan ramah mesra yang terjalin antara mereka adalah suatu perkara yang hampir mustahil dapat dilakukan oleh manusia biasa.
Ianya adalah semata-mata kemurahan pengurniaan Allah Taala dan rahmat pertolongan-Nya. Dalam hal ini dapatlah difahami oleh seseorang bagaimana mereka dapat mengatasi kaum kuffar Quraisy dan puak-puak orang kafir yang mempunyai kitab. Sedangkan ( orang-orang Musliminsangatlah sedikit dari segi bilangan dan persediaan mereka.

Tambahan pula , puak-puak Ansar lebih mengutamakan pertolongan kepda saudara-saudara mereka dari puak Muhajirin dari diri mereka sendiri. Firman Allah Taala dalam surah سورة الحشر al-Hasyr ayat 9 :
وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالإيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ 

                   Maksudnya :                 

“ Dan sekalian mereka (orang-orang Ansar) yang telah mendiami negeri itu (Madinah) dan beriman sejak sebelum mereka (orang-orang Muhajirin) sangatlah mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan dari apa yang diberikan kepada mereka (orang-orang yang berhijrah) dan mereka lebih mengutamakan dari diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat (kepada apa yang diberikan); dan barangsiapa memelihara dirinya dari tabiat bakhilnya maka merekalah orang-orang yang berjaya.

TAHAP TERTINGGI DALAM PERSAUDARAAN

Rasulullah s.a.w memperteguhkan persaudaraan antara mereka sehingga puak-puak Muhajirin dan Ans’ar menjalin tali persaudaran yang kukuh. Setiap orang puak Ans’ar dengan seorang yang singgah berhenti di sisinya itu dari puak Muhajirin adalah dua orang yang bersaudara dalam agama Allah. Mereka bersatu hati dalam badan-badan yang  bertaburan.

Semoga Allah Taala memberikan kepada orang-orang Islam masa kini persaudaraan itu dan berbahagialah mereka sebagaimana bahagianya orang-orang  terdahulu. 


PERPINDAHAN AHLI KELUARGA RASULULLAH S.A.W.

Apabila Rasulullah s.a.w telah menetap di Madinah baginda mengirimkan Zaid bin H’arithah dan Abu Raafik’  ke Makkah untuk menjemput orang-orang yang masih tertinggal di Makkah dari kalangan ahli-ahli keluarga mereka. Turut dikirimkan bersama kedua mereka ialah Abdullah bin Ariqat untuk menunjukkan jalan kepada keduanya. Apabila balik ke Madinah mereka berdua membawa:
  •         Fat’imah  (anak perempuan Rasulullah)
  •         Ummul-Kalthum (anak perempuan Rasulullah)
  •         (dua anak perempuan Rasulullah s.a.w)
  •         Saudah (isterinya)
  •        Um Aiman (isteri Zaid) dan
  •         Usamah (anak Zaid) 
Adapun Zainab  ditegah oleh suaminya Abu Al-A’as’ Bin Ar-Rabii’.  

Antara yang keluar bersama kumpulan orang ramai ialah: 
  •         Abdullah bin Abi Bakar
  •        (dengan  isteri bapanya):
  •         Um Ruman (isteri Abdullah) 
  •         A’isyah (saudara perempuannya) dan
  •    Asma`k (isteri Az-Zubair Bin Al-a’wam.  Asma`k sedang  mengandung anaknya A’bdullah iaitu anak pertama yang diputerakan bagi orang-orang Muhajirin di Madinah).

PENYAKIT DEMAM DI MADINAH (YATHRIB)

Bagi orang-orang Makkah yang baru berpindah ke Madinah mendapati perubahan cuaca pada mulanya tidaklah begitu bersesuaian.  Oleh itu, ramai di kalangan mereka yang mengalami penyakit demam. Maka pergilah Rasulullah s.a.w menziarahi mereka  yang sakit.  Bila diadukan,  baginda pun berdo'a kepada Allah Taala:
"اللهم حبب إلينا المدينة كما حببت إلينا مكة وأشد وبارك لنا في مدها وفي صاعها
وانقل وباءها إلى الجحفة".

Dengan do'a yang dikabulkan Allah Taala Jalla Wa A’la itu, hiduplah mereka sekalian di Madinah dalam kedaan sihat sejahtera.



SEKATAN KE ATAS ORANG-ORANG YANG 
DAIF BERHIJRAH KE MADINAH (YATHRIB)

Sebahagian daripada orang-orang Islam telah pun dihalang keras oleh kuffar Quraisy dari berhijrah ke Madinah. Malahan, mereka dipenjara dan diseksa. Antara mereka yang diseksa ialah:
  • Al-Waleed Bin Al-Waleed ,
  • A’yyasy Bin Rabia’h 
  • Hisyam Bin Al-A’as’
Lalu Rasulullah s.a.w mendo'akan bagi mereka dalam sembahyangnya. Inilah asal bermulanya pembacaan 'Do'a Qunut' yang dilakukan pada waktu-waktu tertentu dalam sembahyang iaitu pada witir Isya`k dan sembahyang Subuh selepas rukuk. Perkara ini telah diriwayatkan oleh tiap-tiap sahabat Rasulullah s.a.w. mengenai apa yang telah mereka saksikan.


ORANG-ORANG YAHUDI DI MADINAH (YATHRIB)
Sebagaimana berlakunya percubaan ke atas orang-orang Muslimin di Makkah dengan puak kuffar Quraisy, begitulah juga Allah Taala mendatangkan percubaan ke atas orang-orang Islam di Madinah dengan orang-orang Yahudi daripada golongan:
  •        Banu Qinqak’,  
  •        Banu Qariz’ah dan
  •        Banu An-Nad’iir
Orang-orang Yahudi ini melahirkan permusuhan dan kebencian terhadap Rasulullah s.a.w disebabkan hasad dengki setelah ternyata kebenaran Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana yang ditunggui-tunggu oleh mereka. Sejak sebelum dibangkitkan menjadi Rasulullah lagi, mereka mengugut hendak menak’luki orang-orang Arab yang menyembah berhala bersama Nabi yang bakal dibangkitkan yang telah pun hampir tiba masanya itu iaitu tatkala berlakunya peperangan. Justeru mereka berdoa:
"اللهم انصرنا عليهم بالنبي المبعوث آخر الزمان"
                     Maksudnya :
Ya Allah berilah kami kemenangan ke atas mereka dengan Nabi yang (bakal) dibangkitkan di akhir zaman.”
Apabila mereka mengetahui perkara yang hak iaitu kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w, lalu mereka mengingkarinya kerana khuatir akan kehilangan pangkat kepemimpinan. Oleh itu mereka tidak mahu mempercayai segala ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah Taala kepada Nabi Muhammad s.a.w kerana kedengkian di hati mereka.

Pada hal, mereka sendiri telah menyaksikan bahawa kedatangannya itu adalah bagi membenarkan apa yang telah diketahui sebelumnya dari kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah Taala kepada Rasul-rasul yang terdahulu tetapi segala keterangan mengenainya telah dicampak ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahuinya walau kadar sedikit pun.

Di antara perkara-perkara agama yang dicela oleh orang-orang Yahudi ialah pemansuhan beberapa hukum. Tidaklah mereka itu mengetahui bahawa Allah Yang Amat Berkuasa lagi Amat Mengetahui akan apa yang dihajati oleh manusia.

Sebelum dibangkitkan menjadi Rasulullah, Nabi Muhammad s.a.w telah pun berada di kalangan puak orang-orang Arab yang ramai yang tidak pandai membaca, menulis dan tidak pula mereka mengetahui perkara ik’tiqad ketuhanan yang bersangkutan dengan keimanan.

Oleh kerana manusia terdorong kepada tabia’t melihat berlakunya sesuatu perkara itu secara beransur-ansur maka terjadilah ‘hikmahnya, dengan datangnya sesuatu hukum syarak itu ke atas orang-orang Arab secara beransur-ansur. Andainya diharamkan oleh Allah Taala ke atas mereka meminum arak, memakan harta riba, kemudian disuruh pula menunaikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan begitulah seterusnya hingga kepada segala perkara suruhan dan larangan sekali gus, nescaya tidaklah dapat mereka terima seruan yang sedemikian itu kerana hati mereka yang sangat liar dan sangat berlawanan  dengan segala kemahuan hawa-nafsu mereka di samping kesesatan lain yang  mereka pegang teguh.

Oleh sebab itulah mereka diseru oleh Rasulullah s.a.w secara beransur-ansur, dari satu perkara ke satu perkara lainnya hinggalah terbentuk kebaikan akal mereka dengan terlatihnya diri-diri mereka melakukan amalan kebajikan. Segala hukum-hakam syarak juga tidak diturunkan oleh Allah Taala kepada Rasulullah s.a.w. melainkan selepas terjadinya perkara-perkara yang memerlukan kepada hukum-hukum yang berkaitan dengannya. Akan tetapi orang-orang Yahudi mahukan sesuatu yang hendak dibuat hendaklah menurut apa yang mereka mahukan.

Perkara ini telah pun dibantah oleh al-Quran al-Karim dengan menyatakan bahawa mereka mengetahui sejauh mana terpesongnya diri mereka sendiri  dari jalan yang hak.  Firman Allah Taala dalam surah سورة البقرة  Al-Baqarah ayat 94:
قُلْ إِنْ كَانَتْ لَكُمُ الدَّارُ الْآَخِرَةُ عِنْدَ اللَّهِ خَالِصَةً مِنْ دُونِ النَّاسِفَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ.
                       Maksudnya :
Katakanlah (wahai Muhammad) jika ada bagi engkau kalian negeri akhirat (syurga) di sisi Allah teristimewanya dari selain manusia (orang-orang lain) maka berharaplah kalian kematian jika engkau kalian orang-orang yang benar.
Kemudian Allah Taala  menegaskan untuk tidak menjawab dengan Firman-Nya dalam surah سورة البقرة  Al-Baqarah, ayat 95:
وَلَنْ يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ.
                       Maksudnya :
Dan mereka tidak akan mencitakannya (kematian) selama-lamanya dengan (sebab dosa-dosa) yang telah dikerjakan oleh tangan-tangan mereka; dan Allah Maha Mengetahui dengan sekalian orang-orang yang zalim.  
Jika mereka tahu bahawa itu adalah di landasan yang hak nescaya tidaklah mereka berlengah-lengah dari apa yang dipinta dari mereka yang begitu mudah sekali (untuk ditunaikan) dan dengan perbuatan mereka mendustakan Nabi yang benar lagi dipercayai. Tidak pernah disampaikan kepada kita tentang adanya seseorang di kalangan mereka mencitakan mati walaupun sekadar menuturkannya dengan lidah. 

Akan tetapi salah seorang pengetua orang Yahudi dari puak Bani Qinqak’ iaitu A’bdullah Bin Salam telah mendapat petunjuk, lalu ia meninggalkan segala keinginan hawa nafsunya dan terus memeluki agama Islam selepas ia mendengar dan memahami bacaan ayat-ayat al-Quran al-Karim.

Sebaik sahaja diketahui tentang keislaman Abdullah bin Salam, orang-orang Yahudi yang menganggapnya sebagai ketua mereka telah menyifatkannya sebagai orang bodoh. Itulah sejahat-jahat perbuatan yang mereka beli untuk diri mereka dengan mengingkari apa yang diturunkan oleh Allah Taala  iaitu al-Quran kepada mereka yang  dikehendaki dari hamba-hamba-Nya itu.

Tatkala tersemat kuat di hati-hati mereka permusuhan terhadap agama Islam, mereka pun bersungguh-sungguh berusaha untuk memadamkan cahaya (syaria’t) agama Islam. Firman Allah Taala dalam surah سورة التوبة At-Taubah, ayat 32:
يُرِيدُونَ أَنْ يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلا أَنْ يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ 
              Maksudnya :
Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah  dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya agama-Nya, sekalipun dibenci  orang-orang kafir.

 


ORANG-ORANG MUNAFIQIN

Terdapat orang-orang yang besekongkol membantu orang-orang Yahudi bagi melaksanakan segala maksud jahat mereka itu. Mereka ialah satu kumpulan orang Arab Madinah yang telah dibutakan oleh Allah Taala mata hati mereka. Mereka ini adalah Arab Madinah yang munafiqin yang menyembunyikan kekufuran mereka semat-mata kerana takutkan kersoakan kehidupan mereka.

Kumpulan ini diketuai oleh Abdullah bin Ubai Salul Al-Khazarji, seorang pemimpin yang terkenal di kalangan penduduk Madinah sebelum hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah.

Oleh kerana itulah orang-orang  munafiq adalah lebih bahaya daripada kuffar Quraisy, kerana mereka berada di kalangan orang-orang Islam. Maka segala maklumat yang diperolehi dapat disalurkan kepada orang-orang Yahudi sebagaimana berulang-kalinya berlaku hal yang sedemikan.

Adalah menjadi asas perjalanan Rasulullah s.a.w menerima sesuatu itu menurut apa yang ternyata dan menyerahkan apa yang tersembunyi kepada Allah Taala.  Namun baginda tidak mempercayai mereka (Yahudi) dalam sebarang urusan.  Semasa ketiadaannya di Madina, baginda meletakkan orang yang menjadi pemerintah di Madinah dari puak Ans’ar. 

Tidak pernah berlaku seseorang yang diketahui kemunafikannya itu diletakkan menjadi pemerintah kerana bahawasnya Rasulullah s.a.w mengetahui barang apa yang terbit dari diri mereka jika diamanahkan sesuatu pekerjaan. Ini ialah suatu pelajaran terpenting bagi ketua-ketua agama Islam supaya tidak meletakkan kepercayaan kepada seseorang melainkan kepada orang-orang yang tidak ada sebarang tanda kemunafikan atau menzahirkan perkara-perkara yang menyalahi barang apa yang ada tersimpan di dalam hati.

BERIKAT JANJI DENGAN ORANG-ORANG YAHUDI MADINAH
Sebagaimana yang telah diketahui, terdapat dua pihak lawan di Madinah iaitu: 
  •         Orang-Orang Yahudi
  •         Orang-Orang  Munafiqin
Rasulullah s.a.w menerima segala perkara yang terzahir dari mereka dan berikat janji dengan mereka, bertujuan mengelakkan peperangan dan perbuatan yang menyakiti. Rasulullah s.a.w. tidak memerangi dan tidak menyakiti mereka supaya mereka tidak menolong seseorang di pihak lawan. Jika dilanggar (diserang) di Madinah oleh musuh, hendaklah mereka menolongnya.

Dari apa yang telah berlaku jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w tidak memerangi seseorang supaya memeluki agama Islam tetapi hanya sekadar memberitahu orang-orang yang beriman, balasannya syurga dan orang-orang yang ingkar, tidak mahu beriman akan dikenakan azab neraka. Ayat-ayat Quran yang diturunkan Allah Subhanahu Wa Taala kepada Rasul-Nya adalah untuk memperkuatkan suruhan-Nya supaya bersabar di atas segala kesusahan yang akan di hadapi dari perbuatan-perbuatan yang menyakiti oleh kuffar Quraisy. Firman Allah Taala dalam surah سورة الأحقاف Al-Ah’qaf, ayat 35:
فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُولُو الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلَا تَسْتَعْجِلْ لَهُمْ كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ بَلَاغٌ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلَّا الْقَوْمُ الْفَاسِقُونَ .
                       Maksudnya :
Maka bersabarlah (wahai Muhammad) sebagaimana sabarnya Ulul-Azmi (orang-orang yang mempunyai keazaman dan keteguhan hati dari kalangan Rasul-rasul) (sebelum engkau) dan janganlah engkau minta disegerakan (azab) bagi mereka seakan-akan mereka pada hari mereka melihat apa  yang dijanjikan (kepada) mereka, tidak mereka tinggal (di dunia) kecuali saat dari siang hari; (al-Quran ini adalah) penjelasan (dari Allah), maka tidak dibinasakan (ketika melihat keseksaan) kecuali kaum orang-orang yang fasik/kafir.
Allah Taala mewahyukan banyak ayat al-Quran yang menceritakan tentang kisah-kisah saudara-saudaranya di kalangan Rasul-rasul terdahulu supaya dapat memperkukuh, mententeram dan menetapkan hati-hatinya melalui pengajaran dan tauladan seperti yang terkandung di dalam kisah-kisah tersebut.

Apabila penduduk Makkah di kalangan puak-puak kuffar Quraisy telah melampaui batas sehingga ke tahap pengusirannya dari negeri sendiri secara kekerasan, diikuti pula dengan pakatan untuk membunuhnya, mereka pun memulakan permusuhan dan perseteruan terhadap orang-orang Islam dengan mengusir keluar orang-orang Muslimin secara batil. Setelah mereka berhijrah ke Madinah, datanglah keizinan dari Allah Taala untuk memerangi kuffar Quraisy. Firman-Nya dalam surah سورة الحج Al-H’aj, ayat 39:
أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ
                      Maksudnya :
"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu."

Kemudian Allah memerintah mereka dengan yang demikian dalam surah سورة البقرة  Al-Baqarah, ayat 190-193:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (190) وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُمْ مِنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ وَلَا تُقَاتِلُوهُمْ عِنْدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ حَتَّى يُقَاتِلُوكُمْ فِيهِ فَإِنْ قَاتَلُوكُمْ فَاقْتُلُوهُمْ كَذَلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ (191) فَإِنِ انْتَهَوْا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (192) وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انْتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ (193)
                             Maksudnya : 
Dan kalian perangilah di jalan Allah, orang-orang yang memerangi kalian dan janganlah kalian menceroboh (dengan memulakan peperangan); sesungguh Allah tidak menyukai orang-orang yang menceroboh.(190) 
Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kalian) di mana sahaja kalian menemui mereka dan usirlah mereka dari tempat (Makkah) yang mereka telah mengusir kalian, dan fitnah itu lebih berat dari pembunuhan dan janganlah kalian memerangi mereka di sekitar Masjidil Haram (Kota Makkah) kecuali mereka memerangi kalian di dalamnya. Jika mereka memerangi kalian maka bunuhlah mereka; demikian itu (pembunuhan dan pengusiran) balasan (bagi) orang-orang kafir.(191) 
Maka jika mereka berhenti (memerangi kalian) sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.(192) 
Dan perangilah mereka sehingga tidak terjadinya fitnah dan (sehingga) menjadilah agama hanya bagi Allah; jika mereka berhenti maka tidak ada permusuhan kecuali atas orang-orang yang zalim."(193)
Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w tidak menghadapi sebarang gangguan dari bangsa Arab lainnya selain dari puak Quraisy. Tetapi apabila kuffar Arab di luar Makkah mula memusuhi orang-orang Islam dan mereka itu bersatu padu pula dengan pihak musuh menentang mereka, lalu Allah memerintahkan supaya memerangi orang-orang musyrikin keseluruhannya melalui Firman-Nya dalam surah سورة التوبة  At-Taubah, ayat 36:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ.
                       Maksudnya :
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi  Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah (Lauh Mahfuzh) pada hari Ia mengadakan semesta langit dan bumi, di antaranya (bulan-bulan itu)  empat bulan haram (yang dihormati); itulah agama yang lurus maka janganlah kalian berbuat zalim di dalamnya (dalam bulan-bulan yang dihormati itu) kepada diri-diri kalian; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

BERUBAH QIBLAT

Selama 16 bulan, Rasulullah s.a.w berada di Madinah baginda berqiblatkan Baitul-Maqdis ketika melakukanibadatsolat. Ketika mengharapkan agar qiblatnya mengadap Ka'abah dengan berdo'a kepada Allah Taala akan yang demikian maka tiba-tiba diwahyukan oleh Allah Taala dalam sembahyangnya itu untuk berubah qiblat kepada Ka'abah lalu berpalinglah orang-orang yang di belakangnya. Kejadian ini (berubah qiblat)  telah menjadi salah satu sebab membuatkan orang-orang yang lemah imannya jatuh murtad.


Related image
                                         Masjid Qiblatain hari ini

Orang-orang Yahudi itu pun mengambil kesempatan ini untuk memperhebatkan celaan-celaan mereka terhadap agama Islam.  Pada hal, tidaklah mereka mengetahui bahawa Allah memiliki Al-Masyriq dan Al-Maghrib yakni bumi kesemuanya, Ia memberikan petunjuk-Nya kepada sesiapa yang Ia kehendaki ke jalan agama Allah. Firman-Nya dalam surah سورة البقرة  Al-Baqrah, ayat 115:
وَلِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ .
                       Maksudnya :
Dan bagi Allah (jualah) yang memiliki Al-Masyriq (sebelah timur bumi) dan Al-Maghrib (sebelah barat bumi) maka di mana sahaja engkau kalian berhadap muka (di dalam sembahyang) maka di situlah qiblatnya; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.  
Turunnya ayat ini tatkala orang-orang Yahudi mencela pertukaran qiblat ketika sembahyang dan ketika berada di atas tunggangan semasa dalam perjalanan sekira-kira barang kemana sahaja berhadap.

Pada ayat 143  dalam surah yang sama Allah berfirman:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا إِلا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَى عَقِبَيْهِ وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ 
                        Maksudnya :
" Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan ) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menjadikan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan qiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia."   
                 
PUASAN FARDHU BULAN RAMADAN

Pada tahun itu di bulan Syak’ban,  Allah Taala mewajibkan puasa bulan Ramad’an ke atas umat Islam. Sebelumnya, Rasulullah s.a.w  berpuasa 3 hari pada tiap-tiap bulan. Puasa merupakan tiang  agama. Oleh kerana manusia dipengaruhi dan tunduk kepada tabia’t cintakan diri sendiri; mereka hanya bekerja kepada apa yang mendatangkan faedah kepada dirinya tanpa menghirau atau mengambil kira apa yang diperlukan oleh orang-orang yang daif dan yang miskin.

Maka tiadalah ada sesuatu yang lebih baik daripada mengalaminya sendiri kepedihan rasa lapar dan dahaga untuk melembutkan diri supaya terlatih kepada kelakuan yang baik, sekali gus mendorong mereka untuk bersedekah kepada orang-orang yang daif  dan yang miskin.


SEDEKAH FITRAH

Oleh hal yang demikian maka apabila Allah Taala wajibkan zakat fit’rah, dapatlah dilihat orang-orang Muslimin memberikan zakat fit’rah mereka dengan begitu bermurah hati dengan kerelaan yang tulus ikhlas.


ZAKAT HARTA

Pada tahun yang sama juga difard’ukanlah zakat harta. Peraturan inilah yang mermpunyai keelokan yang tidak ada bandingannya kerana orang-orang yang memerlukannya mendapat faedah dari saudara-saudara mereka yang kaya tanpa ada sebarang kemud’aratan ke atas mereka (orang kaya-kaya). Apabila cukup  (wang) DINAR Dua Puluh ataupun wang DARHAM itu Dua Ratus dan genap satu tahun, wajiblah dikeluarkan 2.5% daripada barang yang melebihinya itu  dengan kiraannya.

Bagi binatang ternakan,  diwajibkan zakatnya dikeluar mengikut apa yang telah ditentukan oleh syarak jika genap haulnya (tahunnya). Bagi kambing, nisabnya 40 ekor, lembu 30 ekor dan unta 5 ekor dan begitulah juga dengan segala harta perniagaan dan pendapatan pertanian; kesemuanya adalah dipegang oleh al-Imam untuk diagihkan kepada mereka yang layak menerimanya di kalangan orang-orang fakir, orang-orang miskin dan orang-orang yang lain, sebagaimana tersebut di dalam surah 
سورة التوبة  At-Taubah, ayat 60:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ .
                     Maksudnya :
Sesungguhnya sedekah-sedekah (hanya diberikan) untuk orang-orang fakir dan untuk orang-orang miskin dan untuk para a’mil dan para muallaf (yang dijinakkan hatinya sehingga iman mereka jadi kuat) dan untuk riqab-riqab (hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya) dan untuk orang-orang yang berhutang dan untuk sabilillah (perjuangan di jalan Allah) dan Ibnus Sabil (musafir yang kehabisan bekal); (Itulah) ketetapan (hukuman) dari Allah dan Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana.
Jika diulang-kaji dengan penuh teliti keterangan yang lalu sebagaimana yang dibentangkan nescaya nampaklah kita bahawa hanya sedikit sahaja ayat-ayat Quran sebanyak 30 juzuk itu dihuraikan mengenai sebab-sebab turunnya ayat Quran itu bagi perkara-perkara yang telah berlaku sebelum dan selepasnya, bersabit dengan hukuman-hukumannya. Nabi kita Muhammad s.a.w hanyalah semata-mata tunduk taa’t di bawah hukuman Allah Taa’la, tiada menyalahi sekadar sebesar debu jua pun. Sebagaimana ia mentaati segala hukuman Allah, begitulah juga diperintahkan sekalian umatnya mentaa’ti hukuman-hukuman Allah. 

Buatlah apa apa yang disuruh dan tinggalkan apa jua yang dilarang. Jadilah seorang hamba yang benar-benar mentaa’ti Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah dalam surah سورة آل عمران  Ali 'Imran ayat 31:
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ 
                    Maksudnya :
Katakan (wahai Muhammad) jika engkau kalian kasihkan Allah maka ikutilah aku nescaya Allah mengasihi engkau kalian dan mengampunkan dosa-dosa engkau kalian; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Firman-Nya lagi dalam surah سورة الحشر Al-Hasyr, ayat 7:
"... وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ..."
                        Maksudnya :
…. dan apa jua perintah yang dibawa Rasulullah kepada engkau kalian maka ambillah ia, dan apa jua yang ditegah darinya maka engkau kalian tinggalkanlah…..
Mengikuti Nabi, bukanlah tertentu kepada perkara yang bersangkutan dengan segala ibadat tetapi termasuklah juga perkara-perkara lainnya pada adat-adat hinggalah kepada begaimana cara Nabi berpakaian, membuang kuku dan begitulah juga dengan segala gerak diamnya dalam semua hal.

Seorang sahabat bernama Muhammad bin Aslam, tidak makan buah tembikai kerana tidak sampai maklumat kepadanya mengenai cara Rasulullah s.a.w memakannya.

Dalam perkara ibadat, tidaklah boleh sesekali dicuaikan pada segenap perkaranya.

Dari sini, nampaklah kita dengan jelasnya akan bagaimana kadar susah-payah yang telah ditanggung oleh Rasulullah s.a.w untuk menyampaikan segala seruan agama Islam kepada sekalian umatnya, betapa susah-payahnya pula yang telah ditanggung oleh para pengikutnya dan bagaimana Rasulullah s.a.w menjalankan perintah Allah dengan sehabis-habis takutnya.

Pada hal, apa yang diterangkan perihal bagaimananya susah-payah yang telah dilalui mereka hanyalah sebahagian kecil sahaja.

Maka nampaklah kita bahawa menerima seruan agama Islam, mentaati segala hukuman Allah Taala adalah sesuatu yang sangat pahit pada kemahuan hawa nafsu tetapi amat manisnya pada pertimbangan akal syarak yang sempurna.

Bagi orang  yang dapat melihat kebenaran seruan agama Islam sedangkan dirinya itu dikuasai oleh kemahuan hawa nafsunya, orang-orang ini akan merasa takut kehilangan pangkat kebesaran duniawinya atau menyimpan perasaan takbur atau hasad dengki maka teruslah ia berkeras kepala, tiada mahu menerima seruan yang benar. Pada masa yang sama ia terus berusaha sedaya upayanya pula untuk menutup jalan yang benar. Begtulah perihal yang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin kuffar Quraisy setelah diakui al-Quran itu bukan kalam jin atau kalam makhluk, bahkan ialah kalam Allah Taala. Diakui keelokan segala ajarannya, kemudian kebenaran itu dikatakan pula sebagai sih’ir.

Sekiranya seseorang itu dapat melihat perkara yang benar dan sanggup membuang perasaan hasad dengki, takbur tanpa menghirau pangkat kepimpinan, ketika itu barulah berjaya melepasi diri dari cengkaman kesesatan sebagaimana yang telah berlaku di kalangan orang-orang Yahudi itu sendiri yang telah memeluki agama Islam seperti Abdullah bin Salam dan sahabat-sahabatnya walaupun diperbodoh dan diperejek-ejekan, namun mereka tidak terpadaya dengan yang demikian.

Penerangan ringkas sekadar ini pun kita telah dapat melihat bagaimana urusan seseorang yang telah dipilihi oleh Allah Taala menjadi Pesuruh-Nya, menyampaikan segala yang diperintah untuk menyampaikan kepada sekalian umatnya tanpa ada sepatah kata jua pun disembunyikan. Adalah semuanya disampaikan belaka kepada sekalian umatnya. Firman Allah Taala dalam surah Al-Maidah سورة المائدة ayat 67:

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ .
                    Maksudnya :
Wahai Rasul (Muhammad) sampaikanlah apa yang diturunkan kepada engkau, daripada Tuhanmu dan jika tidak engkau lakukan (perintah itu) maka tidaklah engkau menyampaikan risalah-Nya dan Allah memeliharamu dari (kejahatan) manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum orang-orang yang kafir.  

Dan adalah Nabi Muhammad s.a.w dijaga hingga turunnya ayat:

"... وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ ..."

                         Maksudnya:
...dan Allah memeliharai engkau dari (kejahatan) manusia …
Maka sabdanya:
Bersurailah engkau kalian. Sesungguhnya Allah telah pun memeliharai aku. 
[Hadis diriwayatkan oleh Al-H’aakim.]
Dalam perkara orang-orang Yahudi, diturunkan ayat ini dalam surah سورة البقرة  Al-Baqarah, ayat 159:
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُولَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ
                      Maksudnya :
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang Kami telah turunkan (dalam Taurat) dari segala keterangan dan petunjuk dari sesudah apa yang Kami telah terangkannya kepada manusia di dalam kitab (At-Taurat), mereka itulah yang dilaknat oleh Allah dan dilaknati para pelaknat (para malaikat dan orang-orang mukmin).
 Firman-Nya lagi  di dalam surah سورة البقرة  Al-Baqarah, ayat 174:
" إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ الْكِتَابِ وَيَشْتَرُونَ بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًاأُولَئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلَّا النَّارَ ..."
                      Maksudnya :
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa yang Allah telah turunkan dari kitab itu (At-Taurat) (tentang Muhammad dan perintah beriman kepada-Nya) dan mereka menjual belikan dengannya (At-Taurat) (dengan) harga yang sedikit/murah mereka itu tidak memakan di dalam perut-perut mereka melainkan api neraka…
Sabda Nabi Muhammad s.a.w :
"كاتم العلم يلعنه كل شئ حتى الحوت في البحر والطير في السماء"
                       Maksudnya :
Penyembunyi ilmu dilaknati oleh tiap-tiap suatu hingga ikan di lautan dan burung unggasan di udara.

 

KEMULIAAN AL QURAN AL KARIM

Firman Allah Taala dalam surah سورة الإسراء Al-Isra`k, ayat 88-89:
قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآَنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا (88). وَلَقَدْ صَرَّفْنَا لِلنَّاسِ فِي هَذَا الْقُرْآَنِ مِنْ كُلِّ مَثَلٍ فَأَبَى أَكْثَرُ النَّاسِ إِلَّا كُفُورًا(89)
                         Maksudnya :
Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya jika berhimpun sekalian manusia dan jin untuk mereka mendatangkan dengan seumpama al-Quran ini nescaya tidak mereka (berupaya) mendatangkan dengan seumpamanya (al-Quran), dan sekalipun adalah setengah mereka bagi setengahnya (sesama mereka) saling tolong menolong.(88)
Dan sesungguhnya telah pun Kami menyatakan bagi manusia dalam al-Quran ini dari semua (jenis) perumpamaan (supaya mereka dapat pengajaran) maka kebanyakan manusia enggan melainkan mereka mengingkari (perkara yang hak).(89)

 

Firman Allah Taala dalam surah  سُوۡرَةُ الکهف Al-Qahfi ayat 109:
قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّيوَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا
                      Maksudnya :
Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah (semua jenis) lautan (menjadi) tinta bagi (menuliskan) segala kalimah Tuhanku (yang menunjukkan segala hikmah dan segala barang ajaibnya) nescaya habislah air laut itu (pada menuliskannya) sebelum habis segala kalimah Tuhanku itu, dan sekalipun Kami datangkan dengan seumpamanya itu lagi tinta.
 Sabda Nabi Muhammad s.a.w:
" فضل القرءان على سائر الكلام كفضل الرحمن على سائر خلقه"(. رواه أبو هريرة.
                                  Maksudnya :
Kelebihan al-Quran ke atas semua kalam adalah seperti kelebihan Tuhan Yang Amat Pemurah ke atas sekalian makhluk-Nya." [Hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah.]
Dan Firman Allah Taala dalam surah سورة يونس‎‎  Yunus ayat 37-39:
مَا كَانَ هَذَا الْقُرْآنُ أَنْ يُفْتَرَى مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ الْكِتَابِ لا رَيْبَ فِيهِ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ (37) أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِثْلِهِ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (38) بَلْ كَذَّبُوا بِمَا لَمْ يُحِيطُوا بِعِلْمِهِ وَلَمَّا يَأْتِهِمْ تَأْوِيلُهُ كَذَلِكَ كَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الظَّالِمِينَ (39
 Maksudnya :
Dan bukanlah al-Quran ini (sesuatu yang boleh) dibuat-buat dari selain Allah akan tetapi (ia diturunkan untuk) membenarkan (kitab-kitab) yang ada di depannya (yang diturunkan sebelumnya) dan (untuk) menjelaskan dengan terperinci kitab (hukum dan ketetapan Allah) yang tidak ada keraguan di dalamnya dari Tuhan yang mengadakan semesta alam. (37)
Ataukah mereka berkata: (Muhammad) telah mengada-adakannya, katakanlah (wahai Muhammad): (kalau demikian) maka kalian datangkanlah satu surah  seperti al-Quran dan ajaklah kalian siapa yang kalian boleh (mengajaknya) dari selain Allah jika kalian adalah orang-orang yang benar. (38) 
Bahkan mereka telah mendustakan dengan apa yang mereka belum menguasai pengetahuannya (al-Quran) dan belum datang kepada mereka penjelasannya seperti itu (juga) telah berdusta orang-orang yang dari sebelum mereka maka lihatlah bagaimana jadinya akibat orang-orang yang zalim.(39)
Dan Firman Allah Taala di dalam pada surah سورة يونس‎‎ Yunus ayat 94 :
فَإِنْ كُنْتَ فِي شَكٍّ مِمَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ فَاسْأَلِ الَّذِينَ يَقْرَءُونَ الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكَ لَقَدْ جَاءَكَ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ 
                      Maksudnya :
Maka jika engkau berada dalam keadaan uas-uas (syak) dari apa yang telah Kami turunkan kepada engkau (Muhammad) maka engkau tanyalah orang-orang yang membaca kitab itu (At-Taurat) dari sebelum engkau, sesungguhnya telah datang kepada engkau kebenaran dari Tuhanmu maka jangan sesekali engkau  menjadi (termasuk) dari orang-orang yang ragu-ragu. 
[Lihat sambungannya : Bhg 6 : Tarbiyatu Fikrit-Tifli Li- Fahmi Ulumuddin ]


                                               Gunung Uhud di Madinah 

       Keadaan Bilik Tidur Rasulllah s.a.w Berpandukan Catatan Sejarah Mengenainya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ALLAH 'ISTIWA' DI ATAS AL 'ARASY الْعَرْشِ ?

  Sambugan daripada : UNTUKMU AGAMAMU, DAN UNTUK AKULAH AGAMAKU                      بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم    ال...