Rabu, 31 Ogos 2011

Roh Orang Mati Boleh Balik Ke Dunia?




"Dan bahawasanya ada beberapa lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan." 
       [ Maksud al-Quran surah Al-Jin: 6 ]
 "Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan tidak [pula] kemanfaatan, dan mereka berkata : 'Mereka itu adalah pemberi syafa'at kepada kami di sisi Allah.' Katakanlah :'Apakah kamu megkhabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya baik di langit dan tidak [ pula ] di bumi?' Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka mempersekutukan [itu]."

              [  Maksud al-Quran surah Yunus : 18 ]

                                          
Kepercayaan terhadap roh orang yang sudah mati boleh balik ke dunia untuk melakukan berbagai-bagai hal seperti membantu orang yang menghadapi kesusahan dalam pelbagai urusan duniawi atau menganggu manusia yang berbuat zalim terhadapnya hingga menyebabkan jasadnya 'mati' dan bermacam-macam kepercayaan lagi adalah satu fenomena biasa yang menjadi kepercayaan umum manusia di seluruh dunia. Upacara-upacara pemujaan terhadap apa yang dipercayai sebagai roh nenek moyang, roh orang-orang alim yang dikatakan sebagai 'Wali Allah' dan berbagai-bagai jenis roh lagi begitu lumrah dilakukan oleh berbagai golongan masyarakat. 

Perbuatan menyeru/memanggil roh-roh orang mati tertentu yang dilakukan oleh "Pawang", " Bomoh","Paranormal" dan berbagai-bagai gelaran lagi "orang perantraan" dalam satu upacara khas sempena sesuatu perayaan, mencari sesuatu barang yang hilang, mengubati orang sakit atau mengingati orang-orang yang sudah mati sebagai tanda kasih dan ingatan mereka terhadap si mati dan bermacam-macam kepercayaan lagi terhadap roh orang yang sudah mati adalah satu fenomena biasa yang lumrah dilakukan oleh manusia tanpa mengira kepercayaan agama dan suku kaum.  

Masyarakat Islam juga tidak terkecuali daripada kepercayaan ini walaupun dalam bentuk yang mungkin berbeza daripada yang dilakukan oleh orang yang bukan beragama Islam.  Umpamanya dalam amalan beberapa golongan yang mendakwa  daripada kumpulan tareqat sufi,  'roh si mati' yang dianggap atau dipercayai sebagai 'Roh Wali Allah' boleh dipanggil datang atau balik ke dunia menggunakan kalimah-kalimah berbentuk 'seruan tertentu' atau kaedah khusus yang dinamakan bertawassul, berwasitah  atau berrabitah untuk tujuan tertentu seperti mengubati orang sakit, mencari harta karun, mencari barang hilang,membuat ramalan dan apa jua tujuan duniawi yang dihajati oleh pengamal atau orang yang berhajat.

Orang perantarannya pula tidak dipanggil "Pawang" atau "Bomoh"  tetapi memakai gelaran yang dianggap mulia berciri keislaman seperti; "Syeikh ", "Tok Guru" atau setidak-tidaknya "al-Ustaz"  bagi memberi imej bahawa dia adalah seorang "mursyid" yang sangat arif dalam urusan berkaitan hukum-hakam agama Islam yang tidak perlu diragukan.  Kemungkinan kaedah "rawatan dan tindakannya" bersamaan dengan "Pawang" dan "Bomoh" menyeru "roh orang yang sudah mati" atau makhluk "ghaib" tetapi dengan menggunakan kalimah-kalimah jampi serapah yang diselit atau disisipkan secara "rahsia/sirr"  dengan kalimah-kalimah "Arab" atau dipersesuai dan dicampur-adukkan dengan ayat-ayat al-Quran atau kalimah-kalimah Arab. Hakikat ini dapat dikesan dalam amalan kumpulan tareqat Aurad Muhammadiah yang diamalkan oleh kumpulan Al-Arqam pada suatu ketika dahulu. Dalam buku amalan Aurad Muhammadiah ini dijelaskan :
" .......mereka yang mendapat ijazah dan mengamalkan Aurad ini mendapat satu faedah lagi yang besar,  iaitu apabila mereka di dalam kecemasan berilah salam kepada yang mempunyai Aurad ini dengan berkata,  'Assalamualaikum Ya Saidi Al Syeikh Muhammad Al-Suhaimi,[ 3 kali satu nafas] dan kemudian nyatakanlah segala hajat dan akhir sekali katakanlah dengan izin Allah'  seperti kata kita ,   "Asslamualaikum Ya Saidi Al-Syeikh Muhammad Al-Suhaimi  [3 kali satu nafas ] , Saya mintalah supaya diubatkan orang sakit ini dengan izin Allah ."
Kaedah yang hampir sama juga terdapat dalam amalan wirid Tareqat Khojakan yang terkenal di Johor dengan mengatakan berbentuk seruan:
"..menyeru Rijal-al-Ghaib ,[ yang dimaksudkannya ialah roh Syeikh Abdul Qadir Jailani ]  iaitu Assalamualaikum Ya Rijal-al-Ghaib , Dasturi Ya Rijal-al-Ghaib , Dasturi Ya Rijal-al-Ghaib , Dasturi Ya Ahlal Waqati , Dasturi Ya Ahla Naubati , Dasturi Ya Saidi Al Syeikh 'Abdul Qadir al-Jailani Mahbubillah ,Ghautillah , Aghithni (tolonglah aku) biiznillah (dengan izin Allah )".
Bagi menolak tanggapan orang ramai bahawa 'syeikh-syeikh' tareqat yang diseru ini adalah jin syaitan, kumpulan-kumpulan ini menjelaskan dengan mengakatakan bahawa 'Wali Allah', Syeikh, Khalifah atau guru-guru tareqat ini sebenarnya tidak mati tetapi hanya 'ghaib'  sementara waktu sahaja dan tidak dapat dilihat dengan mata kepala manusia. Jasad yang dikuburkan itu bukanlah tubuh badan atau mayat guru-guru tersebut tetapi hanya sebagai 'ganti' kepada tubuh badannya sahaja [ walaupun pada hakikatnya yang dikebumikan itu adalah mayat sebenar guru tareqat tersebut].

Di dalam amalan 'perubatan tradisional' juga menggunakan kaedah yang hampir serupa apabila mengubati orang yang sakit kena rasuk jin syaitan atau dikuasai 'saka' keturunan. Orang yang mengamalkan zikir tareqat juga dikatakan apabila dia sudah sampai ke makam Fana' U Billah dia  menjadi majzub  hingga tidak sedarkan diri dan bertindak seperti 'hysteria' kena kerasukan jin. 


Kebiasaannya keadaan menjadi 'majzub' ini berlaku apabila diadakan zikir berjemaah sempena sesuatu majlis tertentu seperti 'pengurniaan ijazah' sesuatu tingkatan atau ketinggian martabat kepada ahli-ahli tareqat tertentu, menerima bai'at ahli-ahli baru, memperingati 'Syeikh' tareqat berkaitan dan sebagainya.  

Dikatakan dia berkeadaan demikian kerana "sudah sampai ke makam Fana'U-Billah atau Baqa'U-Billah hingga menjadikan dia tidak sedar atau 'lupakan dirinya' seperti kena kerasukan jin.  Apabila sudah berkeadaan demikian, guru atau khalifah tareqat akan memulihkannya menggunakan jampi serapah atau bacaan-bacaan tertentu dengan menepuk anggota badannya hingga dia kembali sedar semula. 

Kaedah yang hampir sama terdapat juga di dalam sesetengah seni persembahan permainan Melayu/Jawa tradisional dan persilatan yang beranggapan bahawa amalan kebatinan ini adalah 'saka' warisan untuk memperkukuhkan mental, fizikal dan kerohanian seseorang pesilat apabila berada di pentas atau gelanggang.


Syeikh-syeikh tareqat ini dikatakan atau mendakwa mempunyai pertalian salasilah amalan zikir tareqat tersebut berterusan hingga sampai kepada Rasulullah s.a.w.. Mereka hanya layak dilantik sebagai 'Syeikh' sesuatu kumpulah tareqat setelah mendapat 'bai'at' secara 'ghaib' atau 'nyata' daripada 'Syeikh' tareqat terdahulu atau seorang 'Wali Allah' yang menjadi sandaran bertawassul, berwasitah  atau berrabitah  melalaui proses kerohanian 'suluk' dalam keadaan berpuasa, tidak makan makanan daripada sumber bernyawa atau berdarah dan berzikir 'Nafi Ithbat Laillaha Illahaillah' sejumlah yang ditetapkan oleh 'Syeikh Mursyid'  yang 'Kasyaf' tersebut dalam tempoh masa tertentu bergantung kepada tujuan atau peringkat dan martabat yang hendak dicapai. 


Kepercayaan-kepercayaan terhadap roh orang mati boleh balik ke dunia juga dijadikan tarikan komersial hiburan sensasi melalui tayangan-tayangan video/filem movie yang begitu popular dan laris menjadi tarikan perhatian jutaan penonton di seluruh dunia.



Di dalam bab Muqaddimah halaman 2Kitab Majmuah Maulud Syaraf Al-Annam (Kitab Berzanji, tanpa nama pengarang), Maktabah Wamatba al-Muariff, Pulau Pinang ada menyatakan bahawa :
" Bahawasanya roh Penghulu kita yang amat suci Sallallahi Alaihi Wassalam itu hadir pada ketika orang berdiri membaca Maulud, demikian juga hadiri pada sekalian Maulud Diba'i......adalah yang demikian kehadiran roh Penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w. itu kelebihan kepada Allah Subhanahu Watalla didatangkan-Nya orang yang dikehendaki-Nya."
Tradisi membaca 'Berzanji' ketika mengadakan majlis Maulid Nabi dan majlis-majlis tertentu serta berdiri ketika membaca Salawat Nabi ini telah diamalkan hampir di seluruh dunia Melayu sejak sekian lamanya tanpa sesiapa pun dari pihak berkuasa agama dan para ulama' memberikan teguran atau memberi fatwa mengenainya dengan tanggapan bahawa pemahaman, kepercayaan dan amalan yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak. 

Ia hanya dianggap sebagai 'bida'ah hasanah ' dan bukan 'bida'ah dhalalah' atau sesat.  Maka berterusanlah tradisi Berzanji dan berdiri ketika membaca 'Salawat Nabi' yang kononnya untuk mengalu-alukan kehadiran roh Nabi Muhammad s.a.w. ini tanpa sesiapa pun memperduli dan mengambil tahu langsung apakah implikasinya terhadap aqidah umat Islam kerana tradisi ini sudah menjadi sebati sebagai salah satu budaya dan tradisi hidup beragama orang Melayu. 


Hinggakan pada tanggapan sesetengah pihak sesiapa yang tidak berdiri ketika 'bersalawat' bererti tidak menghormati dan 'biadab' terhadap Rasulullah s.a.w.. Ada kemungkinan juga kebanyakan orang yang mengikuti amalan ini hanya menurut sahaja dan tidak mengetahui atau bertanyakan persoalan yang dibangkitkan ini dengan tanggapan apa juga amalan berbentuk keagamaan yang diajarkan guru-guru agama adalah benar belaka dan tidak wajar dipersoalkan kesahihannya.
Seperti yang telah dibicarakan dalam bab 'Masalah Roh' dalam blog ini, roh manusia atau Roh Hammalul Amanah [badan batin] wujud dengan serta merta ketika Malaikat Roh meniup kepada janin bayi yang berada dalam kandungan rahim perut ibu apabila tiba masanya dengan perintah Allah. Roh Hammalul Amanah dikekalkan dan tidak dimatikan selama-lamanya walaupun jasadnya [badan zahir] rosak binasa apabila mati. 

Roh Jasmani atau nyawa yang menghidupkan jasad terbit daripada darah dan apabila mati ia hilang lenyap seperti wap sahaja kerana ia hanya dapat bertahan hingga ke satu tahap kesakitan sahaja. Roh Hammalul Amanah daripada tiupan Malaikat Roh tidak akan mati selama-lamanya walaupun sekuat mana kesakitan yang ditanggungnya. Dalam Hadis Rasullullah s.a.w. ada menjelaskan bahawa apabila seseorang anak Adam itu mati maka "terputuslah hubungan [amalannnya] dengan dunia kecuali sedekah jariah, doa anak yang salih dan ilmu (agama) yang dimanfaatkan".

Hadis Rasullullah s.a.w. juga ada menjelaskan yang maksudnya seperti berikut :
"...Ketahui olehmu aku memberi khabaran sukacita kepada engkau wahai Jabir, yang adalah bapanya itu telah mati syahid pada hari Perang Uhud. Maka katanya: Bahkan.  Allah SWT memberi khabar sukacita kepada engkau dengan kebajikan. Maka sabdanya : Bahawasanya Allah Azawajalla telah menghidupkan bapa engkau dan mendudukkan akan dia "'di hadapan-Nya"dan firman-Nya : Citailah ( pintalah) ke atas Aku wahai hamba-Ku barang apa yang engkau kehendaki nescaya Aku memberikan kepada engkau akan dia. 
Maka katanya : Wahai Tuhan tiada aku berbuat ibadat kepada engkau sebenar-benar ibadat kepada engkau, aku bercita-cita (berharap) kepada engkau bahawa engkau kembalikan balik akan daku hidup di dunia supaya aku akan berperang fisabillillah bersama Nabi engkau,  maka dengan sebab itu aku mati terbunuh pada agama engkau pada satu kali yang lain. Firman Allah SWT kepadanya : Bahawasanya telah pun terdahulu janjian daripada-Ku bahawasanya engkau kepadanya itu tidak kembali [yakni tidak kembali balik ke dunia]." 
Dalam satu riwayat ada menceritakan hal roh seperti yang bermaksud:
 "  Dan kata Abu Umar : Tukang air melalui dengan kami Ibnu Umar dan kami sedang budak-budak lagi. Maka ia memandang kepada satu kubur, tiba-tiba terzahir satu tengkorak kepala, maka ia menyuruh seorang lelaki memperlihatkannya, kemudian ia berkata : Bahawasanya badan-badan ini tidak memudaratkannya oleh tanah ini suatu apa pun, hanya roh-roh itulah yang diseksai dan diberi pahala nikmat kesenangan hingga Hari Kiamat. 
Dan ditanya Abdullah bin Amru bin Al 'As : Daripada roh-roh orang mukminin apabila mereka mati ke mana ia?  Katanya: Pada temolok-temolok burung yang putih pada naungan Arasy dan roh-roh orang kafirin itu pada [bawah] bumi yang ke tujuh."
 Dalam satu lagi riwayat ada juga menceritakan peri hal seperti yang bermaksud :
 "Diriwayatkan oleh Abu Ayub Al Ansari daripada Nabi Muhammad s.a.w. bahawasanya ia bersabda: Bahawasanya diri orang mukmin [roh orang mukmin] itu apabila diambil [dicabut], datang kepadanya untuk menemuinya oleh orang-orang Ahli Al-Rahmat  [orang-orang ahli kebahagian] daripada sisi Allah sebagaimana datang menemui orang-orang yang memberi perkhabaran baik di dalam dunia. 
Kata mereka : Lihatlah kepada saudara kamu hingga ia berehat, maka bahawasanya adalah ia dalam kesusahan yang sangat kuat. Maka bertanya mereka kepadanya : Apa dia perbuat si-polan dan apa dia perbuat si-polanah perempuan itu, adakah dia telah berkahwin?.  Maka apabila mereka bertanya kepadanya daripada si-polan yang telah mati dahulunya dan ia berkata : Telah mati sebelumku. Kata mereka : Inna lillahi wa inna illaihi rajiun, telah pergi dengannya dibawa kepada ibunya Neraka Hawiyah....".

Nas-nas tersebut memberi pengertian bahawa orang-orang mukmin yang salih pada ketika sakit berhadapan dengan Sakaratul-maut begitu dimuliakan Allah hinggakan roh-roh orang-orang mukmin salih yang jasadnya sudah mati dan mempunyai tali persaudaraan dengan orang yang sedang nazak itu diutuskan Allah khusus menemuinya untuk menghibur dan meredakan/ meringankan kesakitannya itu.

Ia juga menjelaskan lagi roh-roh orang mukmin salih yang jasadnya sudah mati tidak mengetahui hal-hal dunia lagi setelah mereka bersenang-senang dengan kenikmatan hidup di Alam Barzakh sana hingga menyebabkan mereka bertanyakan apa yang diperbuat si-polan dan si-polanah adakah sudah berkahwin. Tambahan pula apabila roh orang yang nazak sudah sampai ke halkum semasa Sakaratul-maut dia sudah berada di alam akhirat dan taubatnya sudah tidak diterima Allah lagi. Pada saat ini dia hanya melihat para malaikat yang berada di sekelilingnya dan tempat balasannya sama ada di syurga atau neraka.

Jika mereka mengetahui hal-hal dunia tentulah mereka tidak bertanya begitu. Mereka datang pun semata-mata atas murah kurnia dan dengan izin dan perintah Allah untuk menghiburkan saudara mukmin yang sedang sakit berhadapan dengan Sakaratul-maut dan bukan datang dengan kehendak mereka sendiri atau diseru pulang ke dunia melalui 'orang perantaraan' tertentu untuk sesuatu urusan duniawi.



Di dalam al-Quran surah Ali 'Imran: 169-170 ada menjelaskan yang bermaksud :
"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur syahid di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu 'hidup' 'di sisi' Tuhannya dengan mendapat rezki, 
mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka amat gembira hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati."
Maksud 'hidup' 'di sisi' Tuhannya dalam ayat ini bererti Roh Hammalul Amanah orang yang gugur syahid  dalam perang fisabillillah mendapat kurniaan berbagai-bagai nikmat kesenangan hidup di Alam Barzakh yang disediakan Allah seperti yang dijanjikan. Jasadnya yang sudah mati terkorban berada di dalam tanah perkuburan tetapi rohnya amat bergembira dan bersenang linang di Alam Barzakh mendapat limpahan rahmat dan kemuliaan tertinggi daripada Allah. Hal ini dapat difahamai juga bahawa Alam Barzakah itu amat luar biasa keadaannya yang tidak menyamai sama sekali dengan apa yang terdapat di dunia. 

Kegembiraan para syuhadak seperti yang dimaksudkan di dalam ayat al-Quran ini adalah kegembiraan luar biasa yang berpanjangan hingga hari dibangkitkan semula pada Hari Kiamat kelak yang  tidak menyamai sama sekali dengan kegembiraan seketika yang terdapat di dunia. Mereka bersenang linang seperti berada di dalam taman syurga. Maka amat rugilah golongan manusia yang mengambil mudah dan tidak menghiraukan hal keadaan kehidupan di Alam Barzakh yang pasti ditemuinya pada bila-bila masa selepas jasadnya mati dan ditanam di dalam perkuburan.

Roh-roh orang kafirin dan munafiqin pula terus menerima azab seksa di Alam Barzakh seperti berada di dalam lubang neraka sementara menunggu ketibaan Hari Kiamat dunia dan tidak ada jalan langsung bagi mereka untuk melepasakan diri daripada azab seksa tersebut dan apa tah lagi untuk balik ke dunia untuk melakukan sesuatu tujuan duniawi.

Dalam peristiwa malam Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w. ada diperjelaskan bahawa ketika Rasulullah s.a.w berada di Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis baginda mengimamkan sembahyang berjemaah yang dihadiri oleh roh para Nabi dan Rasul terdahulu. Mungkin peristiwa ini dijadikan alasan atau hujah kepada golongan tertentu sebagai bukti roh orang yang sudah mati boleh balik ke dunia.


Sebagaimana Allah memuliakan orang mukmin yang sedang nazak berhadapan dengan kesakitan Sakaratul-maut dengan menghantarkan Malaikat Rahmat dan roh saudara mara terdekat yang sudah mati dan bersenang-senang mendapat balasan kebahagian di Alam Barzakh khusus untuk menceria dan meringankan beban kesakitan saudaranya, demikian jugalah yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w yang sedang mengalami mukjizat besar peristiwa malam Isra' dan Mikraj yang amat besar rahsia, hikmah dan pengertiannya kepada seluruh alam khususnya insan mukmin salih yang paling mulia di sisi Allah. 

Roh-roh para Nabi dan Rasul yang berada di Alam Barzakh diwahyu dan diperintahkan Allah supaya menjadi makmum sembahyang yang diimamkan oleh Rasulullah s.a.w. tidak langsung bertujuan untuk urusan duniawi tetapi mempunyai hikmah dan rahsia tertentu yang Allah sahaja yang lebih mengetahui hakikatnya.

Antara hikmah besar yang boleh difahami adalah di samping melakukan ibadat sembahyang mereka bersama-sama Malaikat Jibrael AS dan para Malaikat Rahmat berdo'a kepada Allah agar perjalanan Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w memberi rahmat yang besar kepada insan-insan mukmin yang masih hidup di dunia supaya bertambah teguh keimanan mereka kepada Allah dan Rasul serta melimpahkan rahmat-Nya kepada seluruh alam. Di samping itu ia juga mengesahkan lagi kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul terakhir yang dibangkitkan dan diutuskan Allah kepada sekalian manusia dan jin sebagaimana yang disebutkan di dalam kitabullah-kitabullah terdahulu.


Peristiwa Isra' dan Mikraj ini adalah mukjizat paling besar yang dikurniakan Allah kepada Rasulullah s.a.w. yang tidak dikurniakan kepada Nabi-nabi terdahulu. Sebagai penghulu semua para Nabi dan Rasul, manusia dan jin, pengakhir sekalian Nabi dan Rasul peristiwa Isra' dan Mikraj ini memberi pedoman yang lebih jelas kepada manusia terhadap kebenaran alam akhirat dan tidak menjadi sebab atau alasan kepada manusia dan jin mengingkarinya dan tidak mengetahuinya di samping untuk memfardhukan ibadat Sembahyang 50 Waktu sebagai ibadat yang teramat mulia, paling utama dan tertinggi di sisi Allah seperti yang termaklum.


Jelasnya semua perkara yang berlaku di Masjidil Aqsa semasa berlaku peristiwa Isra' dan Mikraj ini adalah urusan kenabian, wahyu Allah dan hal akhirat sahaja. Maka dalam hal ini adalah tidak wajar sama sekali untuk menjadikan peristiwa ini sebagai alasan, hujah dan bukti untuk menyokong pendirian yang mengatakan roh orang yang sudah mati boleh dipanggil atau diseru balik ke dunia untuk melakuklan urusan duniawi.

Dalam nas-nas yang lain pula ada menjelaskan yang intipatinya bermaksud :
i."...bahawasanya orang mukmin yang salih itu dibukakan hijab baginya pada mengiringi mati itu dengan diberi lihat keluasan rahmat Allah dengan pengurniaan Allah yang amat mempunyai kebesaran dan kemuliaan bahawa dunia ini seperti tempat penjara dan tempat sempit dimisalkan seperti orang yang dikurung dalam rumah yang gelap gelita dibukakan baginya satu pintu kepada satu taman yang amat luas yang tiada sampai [dilihat] sejauh pemandangan matanya [sangat luas]. Di dalamnya terdapat berbagai jenis pokok, bunga-bunga, buah-buahan, burung-burung serta berbagai keindahan yang luar biasa, hingga dia tidak ingin hendak balik kepada tempat penjara yang gelap itu." 
 ii.  "Umpama orang mukmin di dunia adalah seumpama seorang janin bayi dalam kandungan rahim perut ibunya, apabila ia keluar daripadanya ia menangis atas keluarannya itu, hinggalah apabila ia telah melihat cahya dan diletakkan (ke dalam dunia), tidaklah ia berkenan hendak kembali ke tempatnya, begitulah (dengan) orang mukmin itu berdukacita (يجزع) dari mati, maka apabila ia sampai menerima rahmat Tuhannya tidaklah ia berkenan untuk kembali ke dunia sebagaimana tidak berkenannya bayi itu masuk semula ke dalam perut ibunya."
       
       iii.Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang kira-kira maksudnya: 
"Bahawa seseorang hamba Allah, apabila dihantar ke dalam kuburnya hingga ia mendengar jejak-jejak langkah kasut sekelian sahabat-sahabatnya yang pulang, datanglah dua malaikat mendudukkan dia dan menanya: Apa engkau kata pada lelaki ini (Nabi Muhammad s.a.w.)?  
Orang mukmin akan jawab: Aku menaik saksi bahawasanya ia adalah hamba Allah dan Rasul-Nya (Pesuruh-Nya), kemudiannya diperkatakan: Lihatlah tempat kedudukan engkau daripada api neraka, sesungguhnya Allah Taala telah tukarkan tempat engkau itu dengan suatu tempat daripada syurga. Maka ia melihat kedua-dua tempat itu, diluaskan baginya di dalam kuburnya itu tujuh puluh hasta, dipenuhi di atasnya tanaman-tanaman yang menghijau hingga hari dibangkitkan sekelian ahli isi kubur daripada kubur mereka. 
Bagi orang kafir atau munafik  (yang menzahirkan rupa Islam di luarnya dan menyimpan iktiqad kufur dan sesat pada agama di dalam hatinya) maka ditanyakan kepadanya: Apa engkau kata pada lelaki ini?
Jawabnya: Tidak aku tahu, aku kata ikut apa orang kata.

Maka diperkatakan kepadanya: Tidaklah engkau tahukah? Kemudian ia pun dipukul dengan pemukul besi, satu pukulan yang kuat yang mengenainya di antara dua telinganya. Ia pun menjerit dengan jeritan yang dapat didengari suaranya itu oleh yang lainnya selain dari jin dan manusia, disempitkan kuburnya sehingga terselisih segala tulang rusuknya itu."

Rasullullah s.a.w. memperjelaskan apabila seseorang [mukmin yang salih ] itu mati dia berpindah daripada dunia meninggalkan kaum keluarganya. Sekiranya dia diredhai Allah maka dia:
"tidak menyukai balik ke dunia sebagaimana tidak menyukai    seseorang itu balik ke dalam kandungan perut ibunya."
Berpandukan nas-nas ini maka tertolak dan ternafilah sama sekali bahawa roh-roh orang yang sudah mati sama ada orang mukmin atau kafir/munafik boleh balik ke dunia, masuk ke dalam tubuh manusia atau binatang, atau menjadi 'roh jahat'; syiatan, hantu jembalang, atau memasuki ke dalam tubuh manusia sebagai 'roh baik' sebagai penjelmaan semula [incarnation] seseorang tokoh fahaman agama atau pemimpin tertentu, menggegar pokok-pokok, memindahkah meriam besar dari satu tempat ke tempat lain yang dihajati,  dan bermacam-macam kepercayaan atau sangkaan lagi. 

Kepercayaan seumpama ini SANGAT SALAH kerana membawa erti "tidak percayakan [mengingkari] adanya balasan azab dan kesenangan kubur yang termasuk sebagai alam akhirat" yang sekaligus mendustakan perkhabaran al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Sekiranya dia orang Islam maka rosaklah aqidah keimanan dan gugurlah keislamannya. 

Bagi memperkukuhkan lagi kefahaman bahawa roh orang yang sudah mati itu tidak mungkin dan tidak sekali-kali boleh balik ke dunia, seseorang itu hendaklah membaca dengan teliti Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang menceritakan hal keadaan Roh Hammalul Amanah apabila sampai ke halkum ketika menghadapi Sakratul-maut yang sangat dahsyat itu.


[Sila lihat :  Bersediakan Anda Menghadapi SAKARATULMAUT? ]


Hadis-hadis Rasullullah s.a.w.menjelaskan yang antara lain intipatinya  dapat dirumuskan bahawa semasa menghadapi Sakratul-maut, Roh Hammalul Amanah setiap orang manusia akan berhadapan dengan situasi berikut  seperti yang diperjelaskan di dalam maksud Hadis Rasulullah s.a.w. :


         i. Berkata Abu Hurairah R.A : Sabda Rasullullah s.a.w. :
"Bahawasanya orang Mukmin itu apabila hampir ajal matinya datang kepadanya malaikat-malaikat dengan membawakan kain sutera yang adanya bahu harum kasturi dan dahan-dahan pokok Raihan [ daripada syurga]. Maka ditarikkan rohnya itu sebagaimana ditarik satu helai rambut daripada tepung beruli dan diperkatakan : Wahai diri yang Mutmainnah (bertetap dalam iman dan taat ), keluarlah olehmu yang sedang meredhai lagi yang diredhakan ke atas engkau kepada tempat rahmat Allah dan kemuliaan-Nya. Apabila dikeluarkan rohnya diletakkan ke atas sedemikian itu kasturi dan Raihan dan dilipatkan ke atasnya sutera itu di bawa ke tempat yang tinggi.
Bahawasanya orang yang kafir itu apabila hampir ajal matinya datang kepadanya malaikat-malaikat dengan membawakan suatu tempat yang ada padanya bara api (neraka). Maka direntapkan rohnya dengan rentapan yang sangat kuat dan diperkatakan : Wahai diri yang keji, keluarlah olehmu sedang dalam keadaan marah lagi dimurkai ke atas engkau kepada tempat kehinaan yang disediakan Allah dan azabnya. Apabila dikeluarkan rohnya diletakkan ke atas bara api itu dan bahawasanya ada baginya bunyi suara mendidih menggelegak dan dilipatkan ke atasnya penempatan itu dibawakan dengannya kepada api neraka."
 ii. "Bahawasanya apabila Allah SWT meredhai seseorang hamba Ia berfirman:  Wahai Malaikat Maut pergilah oleh mu kepada si polan, engkau bawakanlah kepada Ku dengan rohnya supaya Aku memberi kerehatannya, memadai Aku daripada amalan itu. Sesungguhnya Aku telah datangkan ujian kepadanya maka Aku dapati akan dia barang apa yang Aku kasihi. Maka turun Malaikat Maut dan bersertanya 500 orang daripada malaikat-malaikat dan berserta mereka dahan-dahan pokok Raihan yang wangi dan pangkal-pangkal Za'faran, tiap-tiap seorang daripada mereka memberi khabaran sukacita kepadanya dengan khabaran yang berlainan daripada taulan-taulan yang lain. Berdiri malaikat-malaikat itu dua barisan kerana keluaran rohnya berserta mereka dahan-dahan pokok Raihan.
Apabila dilihati oleh Iblis ia pun meletakkan tangannya ke atas kepalanya kemudian dia mengeluh dukacita. Sabdanya [Rasulullah s.a.w.] : Maka berkata tentera-tenteranya kepadanya : Kenapakah engkau wahai tuan penghulu kami? Maka ia [Iblis] berkata : Adakah engkau sekalian tidak lihati barang apa yang diberikan kepada hamba ini dengan kemuliaannya, di manakah engkau sekalian daripada orang ini? Kata mereka : Sesungguhnya telah bersungguh-sungguh kami dengannya [menggoda dan menipu daya terhadapnya ], maka dia ini termaksum [ terpelihara ]".
Hadis-hadis  ini dapat memberikan penjelasahan dan rumusan yang ketara bahawa: 

i.  Jika yang menghadapi Sakratul-maut adalah Roh Hammalul Amanah orang mukmin yang salih maka Malaikat Maut datang dengan wajahnya yang berseri-seri berbau harum kasturi diiringi pula 500 orang Malaikat Rahmat untuk menyambut dan memuliakan rohnya keluar daripada jasad. Dua orang malaikat pencatat amalan di sepanjang hayat si mati akan memperlihatkan dirinya untuk mengkhabarkan segala perbuatan kebajikan atau kejahatan yang dilakukan di sepanjang hayatnya.

Dia (rohnya)  dibuka hijab hingga dapat melihat sendiri segala perbuatan yang dilakukan di sepanjang hayatnya yang dirakam dan dipancarkan dari Arasy. Dia juga akan diperlihatkan dan diberikan perkhabaran tempat balasannya di akhirat kelak sama ada syurga atau neraka. Sekiranya dia melihat dan diberikan perkhabaran bahawa tempat balasannya ialah syurga dia tersangat gembira hinggakan seolah-olah menjadi cair lemak badannya untuk mati segera dan bersegera pergi ke syurga yang dilihatnya itu.


Malaikat Maut akan mencabut keluar Roh Hammal Amanah orang mukmin salih secara perlahan penuh kelembutan seperti menarik rambut keluar daripada tepung beruli. Setelah rohnya keluar atau berpisah daripada jasad, 500 orang Malaikat Rahmat akan menyambut dan memuliakannya seperti pengantin dan memakaikannya dengan pakaian sutera daripada pokok Raihan di syurga yang berbau harum kasturi.


Selepas itu rohnya dibawa ke sesuatu tempat di hadapan Arasy dan dikembalikan semula kepada jasad apabila berada di dalam kubur untuk menghadapi Fitnah Kubur [ujian soalan daripada dua orang malaikat] dan menikmati kehidupan seperti dalam taman syurga di Alam Barzakh hingga dikembalikan semula pada jasadnya untuk hidup semula bersama jasad pada Hari Kiamat kelak untuk ditimbang dan dihisab segala amalannya sebelum menyeberangi titian "Sirat" yang terbentang di atas neraka. Maka beruntunglah mereka yang selamat hingga ke seberang dan bertemu dan menekmati air kolam  'Haudh' Nabi Muhammad s.a.w.yang amat luas itu  sebelum masuk ke syurga.

ii.   Jika sekiranya Roh Hammalul Amanah yang berhadapan dengan Sakratul-maut itu adalah orang kafir, munafik, ahli maksiat dan orang yang ingkar dimurkai dan tidak mendapat pengampunan Allah keadaan yang sangat dahsyat akan berlaku. Pada ketika itu roh tersebut didatangi oleh Malaikat Maut yang sangat dahsyat dan menggerunkan rupanya berpakaian dengan pakaian daripada api neraka diiringi pula oleh Malaikat Azab.

Dua orang Malaikat pencatat amal akan menghadirkan diri mengkhabarkan berita buruk kerana dosa maksiat yang dilakukan di sepanjang hayatnya dan diperlihatkan pula rakaman amalan dia yang dilakukan di sepanjang hayat. Lebih dahsyat lagi dia diperlihatkan dan diberikan perkhabaran bahawa tempat balasannya ialah neraka.

Malaikat Maut merentap rohnya keluar dengan kasar dan menyerahkannya kepada Malaikat Azab. Malaikat Azab menerima roh itu dan meletakkannya di atas tapak bara api neraka menjadikannya mendidih kepanasan.  Pada ketika itu Roh Hammalul Amanah menjerit sekuat-kuat hatinya kerana kesakitan azab yang tidak terhingga.

Kesemuanya ini berlaku ketika si mati masih lagi berada di dunia sama ada di hadapan keluarga atau orang-orang yang menziarahinya, tanpa sesiapa pun yang mengetahui dan melihatnya dengan mata kepala. Apabila dimasukkan ke dalam kubur Roh Hammalul Amanah si mati akan berhadapan pula dengan soalan-soalan Fitnah Kubur daripada dua orang malaikat yang sangat dahsyat dan menggerunkan itu yang akan bertanyakan hal-hal mengenai Allah, Rasul, dan keimanan seperti yang termaklum di dalam Hadis Rasulullah s.a.w.


Dia akan merasakan segala azab pukulan daripada Malaikat Azab yang sangat dahsyat sekiranya tidak mengetahui jawapannya atau memberikan jawpan yang salah bertentangan dengan apa yang dikehendaki hukum syarak yang hak. Segala jeritan kesakitan yang ditanggungnya bermula pada saat Sakaratul-maut lagi didengari oleh semua makhluk di bumi kecuali manusia dan jin.

Berdasarkan keterangan-keterangan yang diberikan dalam maksud Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. ini jelas menunjukkan tidak ada jalan langsung bagi setiap Roh Hammalul Amanah manusia kembali ke dunia untuk apa jua tujuan sekali pun. Oleh sebab itu, disebutkan sakit Sakratul-maut itu ialah 'kiamat kecil' kerana apa yang berlaku pada saat itu kesemuanya di luar tabi'e yang tidak dapat diketahui dan dijangkau akal fikiran manusia yang masih hidup di dunia untuk memikirkannya sama sekali seperti juga apa yang akan berlaku pada Hari Kiamat besar yang akan menimpa seluruh alam sebagaimana yang dijelaskan dengan terang dalam nas-nas al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

[Lihat : Tarbiyatu Fikrit-Tifli Li-Fahmi Ulumiddin ]


Sekiranya seseorang itu beriktiqad dan mempercayai bahawa roh orang mati itu boleh balik ke dunia untuk melakukan urusan duniawi maka terpaksalah dia menafikan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tersebut di atas dan menolak adanya balasan nikmat kebaikan dan azab seksa yang dijanjikan Allah di dalam kubur Alam Barzakh. Maka dengan sendiri rosaklah aqidah keimanannya.

Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui nasib dan apa tah lagi dapat menentukan balasan dan takdir Allah yang diterima oleh roh si mati seseorang apabila berada di dalam kubur Alam Barzakh sama ada mendapat balasan nikmat seperti berada di dalam taman syurga yang amat luas atau menerima azab seksa seperti di dalam lubang neraka walaupun ketika hidup di dunia pada zahirnya dia beriman, beragama Islam dan dikebumikan sebagai jenazah orang Islam atau didakwa dan dipercayai bahawa si mati itu sebagai 'Wali Allah' dan gelaran-gelaran kemuliaan lain yang seumpama dengannya. 


Sekiranya dia termasuk sebagai golongan mukmin/mukminat salih yang mendapat balasan nikmat berada di Alam Barzakh seperti taman syurga, maka tidak berkeinginan langsung baginya untuk kembali ke dunia yang hanya diumpamakan 'sebesar perut ibu' itu  kerana dia mendapat limpahan kenikmatan tidak terhingga yang tersedia di dalam kubur Alam Barzakh mengatasi segala kenikmatan yang terdapat di dunia. Hadis Rasulullah s.a.w. memperjelaskan hal ini seperti yang bermaksud :
 
“Kubur itu sama ada salah satu lubang api neraka atau salah satu taman syurga."
Sabdanya lagi yang bererti : 
“Apabila mati seseorang kamu, dia diperlihatkan tempat duduknya, pagi-petang, jika dia ahli syurga maka syurgalah (baginya), jika ia ahli neraka maka nerakalah (baginya) dan diperkatakan (kepadanya): Inilah tempat kedudukan engkau hingga engkau dibangkitkan (dibawakan kepadanya) pada Hari Kiamat kelak.”
Sekiranya roh si mati yang terjumlah sebagai ahli neraka dan menerima azab seksa seperti berada di dalam lubang neraka, tidak ada jalan atau berpeluang langsung baginya kembali ke dunia untuk melakukan amalan salih walaupun sangat berhajat berbuat demikian kerana takdir Allah telah menetapkan segala keperluan dan hukuman di akhirat yang bermula daripada saat Sakaratul-maut adalah berdasarkan amalan yang dilakukan ketika hidup di dunia. Kubur Alam Barzakh adalah alam akhirat yang akan disusuli pula dengan Hari Kiamat Dunia dan dibangkitkan semula semua manusia daripada kuburnya masing-masing untuk menghadapi Hari Pembalasan seperti yang dimaksudkan di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Dalam hal ini dapatkah seseorang itu menentu atau mengesahkan hal keadaan roh si mati seseorang sama ada dia menerima balasan nikmat berada seperti di dalam taman syurga atau menerima azab seperti berada di dalam lubang neraka? Sudah pastinya jauh sekali dia dapat mengetahuinya kerana segala hal Alam Barzakh adalah semata-mata urusan Allah dan hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui mengenainya.

Mungkin akan timbul pertanyaan siapakah yang sebenarnya kelihatan dan dianggap  hadir apabila 'orang perantaraan' itu menyeru roh seseorang yang sudah mati atau membuat upacara-upacara pemujaan sama ada untuk tujuan perubatan atau apa-apa tujuan duniawi sekalipun. Dakwaan atau sangkaan  ini berdasarkan perubahan atau kesan fizikal seperti orang 'kerasukan' yang dapat dilihat pada 'orang perantaraan' yang menyeru/ memanggilnya dan hal keadaan orang yang dirawati atau upacara ritual yang dikendalikan.

Hakikat ini perlu difahami bahawa syaitan boleh menipu manusia dengan berbagai-bagai cara kerana berdasarkan Hadis Rasullullah s.a.w. syaitan boleh masuk ke dalam tubuh manusia melalui saluran darah, matanya pada mata manusia, rohnya pada hati manusia dan dia menguasai seluruh tubuh manusia. Hakikat ini ada disebut dalam satu riwayat yang bermaksud :
i. "....Kemudian ia (Syiatan/Iblis)berkata kepadanya : Wahai Musa  bahawasanya bagi engkau di atasku hak dengan sebab barang apa yang telah engkau syafaatkan bagiku kepada Tuhan engkau. 
Hendaklah engkau ingatkan akan daku pada tiga (3) perkara nescaya aku tidak membinasakan engkau padanya iaitu : Engkau ingatkan akan daku pada ketika engkau marah, bahawasanya roh aku pada hati engkau dan mata aku pada mata kau dan aku berjalan daripada engkau sebagaimana perjalanan darah.  Ingatkanlah akan daku apabila engkau marah, maka bahawasanya apabila marah manusia itu nescaya aku tiupkan pada hidungnya.  Maka tidak ia tahu akan barang apa yang ia perbuat. Dan engkau ingatkan akan daku pada ketika engkau menemui pertempuran, maka bahawasanya aku datang kepada anak Adam pada ketika itu mengingatkan akan isterinya, anak-anaknya dan ahli-ahlinya hingga ia berpaling.  Dan engkau peliharai daripada duduk kepada perempuan yang bukan mempunyai mahram, bahawasanya aku ialah jadi pesuruhnya kepada engkau kepadanya hingga aku memfitnahkan engkau dengannya dan aku memfitnahkan akan dia dengan engkau....." [hingga akhir... ]
 ii. "Maka sesungguhnya diriwayatkan bahawasanya Noh Alaihisalam tatkala menaiki bahetra ia pun menghitungkan ke dalamnya daripada tiap-tiap dua kelamin itu dua sebagaimana disuruhkannya oleh Allah Taala . Maka ia melihat dalam bahtera itu seorang tua yang dia tidak mengenalinya. Maka kata Noh kepadanya : Apakah sebab yang memasukkan engkau. Maka jawabnya : Aku masuk supaya aku dapat mengenai hati-hati sahabat-sahabat engkau supaya jadilah hati-hati mereka bersertaku dan badan-badan mereka berserta engkau. Maka kata Noh AS kepadanya : Keluarlah olehmu daripadanya wahai seteru Allah yang dilaknati.  Maka kata Iblis kepadanya : Ada lima (5) perkara aku binasakan  dengannya manusia , dan aku khabarkan kepada engkau daripadanya dengan tiga (3) perkara dan tiada aku khabarkan kepada engkau dengan dua(2) perkara lagi. Maka Allah mewahyukan kepada Noh bahawasanya tiada berhajat bagi engkau dengan tiga (3) perkara itu. Hendaklah ia mengkhabarkan kepada engkau dengan dua (2) perkara itu....[hingga akhir...] 

 Mungkin akan berlaku dakwaan yang dijadikan pegangan amalan seperti dikata bahawa seseorang itu mendakwa bertemu roh si mati orang tertentu di dalam mimpinya dan roh itu mengajarkan sesuatu amalan tertentu untuk diamalkannya. Dalam hal ini perlu ditelitikan adakah ilmu yang terkandung di dalam amalan yang diajarkan oleh 'roh si mati ' itu selaras dengan hukum syarak atau tidak. Jika apa yang dikhabarkan itu bertentangan dengan hukum syarak ternyata bahawa 'roh si mati' itu adalah dari kalangan syiatan untuk menyesatkannya. 

Syaitan boleh mengaku atau menyerupai wajah orang-orang salih dan mengaku dia itu orang salih [ Wali Allah ] yang berkenaan atau wajah-wajah ibu bapa dan siapa juga yang diseru [kecuali wajah sebenar Nabi Muhammad s.a.w.].Maka tertipulah manusia oleh syaitan laknatullah.

Riwayat berikut boleh dijadikan ingatan dan perhatian kita bersama agar lebih berhati-hati apabila membuat sesuatu penilaian dan kata putus sekiranya berhadapan dengan sesuatu keadaan yang pada zahirnya nampak elok dan benar :
"Diriwayatkan bahawa Iblis (laknatullah) telah muncul seperti rupa manusia kepada (Nabi) Isa Bin Maryam Alaihisalam maka ia berkata kepadanya:

قل: "لا إله إلا الله"

Ertinya: Sebutlah (wahai Isa) : لا إله إلا الله  Jawab Nabi Isa Alaihisalam: "Itu adalah kalimah hak dan aku tidak akan menyebutnya dengan (suruhan) kata engkau." 
Lihatlah betapa Iblis begitu berani menemui Nabi Isa Alaihisalam, seorang Rasul Allah yang maksum seolah-olah untuk mengajarkan kalimah hak yang pada zahirnya memang benar, amat elok dan bertepatan dengan hukum syarak. Tetapi sebagai seorang Rasul yang maksum Nabi Isa AS sentiasa terpelihara dan mendapat bimbingan wahyu Allah enggan menuturkan pengajaran kalimah hak daripada seteru Allah yang dilaknat. Bagaimana hal kita sebagai manusia biasa sekiranya bertemu suasana begini?

Antara kandungan  Khutbah Terakhirnya di padang Arafah pad 9 Zulhijjah, tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah s.a.w. ada memperingatkan yang bermaksud :
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia (syiatan) telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil."

[Lihat : Adakah Benar Imam Mahadi Akan Muncul?]



 Di dalam al-Quran surah Al-Infithaar: 14-19 ada memperjelaskan hal keadaan azab seksa yang ditanggung oleh ahli neraka seperti yang bermaksud:
" Dan sesungguhnya orang-orang yang derhaka benar-benar berada dalam neraka. Mereka masuk ke dalamnya pada Hari Pembalasan.  Dan mereka sekali-kali tidak dapat keluar dari neraka itu. Tahukah kamu apakah Hari Pembalasan itu? Sekali lagi, tahukah kamu apakah Hari Pembalasan itu? [Iaitu] hari [ketika] seseorang tidak berdaya sedikitpun untuk menolong orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah."
Setiap makhluk Allah itu mempunyai lima (5) kelemahan iaitu tidak memiliki bagi dirinya sendiri untuk: 
  i.     Memberi Kemanfaatan 
 ii.     Memberi Kemudaratan
 iii.    Memberi Kematian 
iv.    Memberi Kehidupan 
v.    Menolak daripada dibangkitkan hidup semula kemudian daripada mati.
Maksud yang hampir sama juga boleh difahami di dalam kandungan maksud do'a Al-Imam As-Syafiee Rahimullah :
اللهم اني لا أملك لنفسي نفعا ولا ضرا ولا موتا ولا حياة ولا نشورا ولا أستطيع أن آخذ إلا ما أعطيتني ولا اتقي إلا ما وقيتني اللهم فوفقني لما تحب وترضى من القول والعمل في عافية.
 Maksudnya: 
Ya Allah!, bahawasanya aku tiada memiliki bagi diriku kemanfaatan, tiada memiliki kemudaratan, tiada memiliki kematian, tiada memiliki kehidupan, tiada memiliki hidup kemudian daripada mati, tiada aku berupaya mengambil melainkan barang apa yang Engkau berikan kepada ku dan tiada dapat aku memelihara melainkan barang apa yang telah Engkau pelihara akan aku. Ya Allah!, Engkau berilah taufik kepada aku bagi barang apa yang Engkau kasihi dan Engkau redhai daripada perbuatan dan amalan dalam 'afiat.

Dalam Hadis Rasullullah s.a.w. ada memperjelaskan yang antara lainnya bermaksud :
"...........Demi yang adalah diriku itu di bawah kuasa-Nya iaitulah pada tiga [3] tempat seseorang itu tiada ingat melainkan diri sendirinya sahaja iaitu apabila : diletakkan penimbangan dan ditimbang segala amalan hingga melihat anak Adam itu adakah ringan timbangnya atau pun berat , iaitu pada ketika surat amalan hingga dia melihat adakah dia menerima dengan tangan kanannya ia mengambil suratan itu atau dengan tangan kirinya dan iaitulah pada ketika meniti titian itu......" 
Diriwayatkan juga bahawa akan didatangkan kepada anak Adam pada Hari Kiamat hingga didirikan dua daun neraca penimbangan itu dan diwakilkannya dengan seorang malaikat. Jika berat timbangannya maka menyeru malaikat itu dengan suara yang didengari semua makhluk :
"Telah bahagia si polan kebahagian yang tidak celaka kemudiannya selama-lamanya. Jika ringan timbangannya menyeru malaikat itu dengan suara yang didengari oleh semua makhluk Telah celaka si polan dengan kecelakaan yang tidak ada bahagia kemudiannya selama-lamanya. Pada ketika ringan daun neraca penimbangan pihak kebajikan datang berhadap Malaikat Az-Zabaniah dan di tangan mereka ada pemukul-pemukul daripada besi, mereka berpakaian daripada api neraka dan mereka mengambil akan manusia yang menjadi ahli neraka untuk menghumbankan mereka ke dalam api neraka." 
Demikian juga ada Hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebutkan bahawa dibentangkan titian di antara tengah-tengah api Neraka Jahanam. Rasullullah s.a.w. adalah orang yang mula-mula melalui titian tersebut dan pada ketika itu semua Nabi-nabi dan Rasul-rasul berdo'a yang berbunyi :
      "Allahumma Sallim Allahumma Sallim yang bermaksud :
         Ya Allah selamatkanlah oleh Mu." 
Rasullullah sendiri akan hanya boleh memberi syafaat pada umatnya sekiranya diizinkan Allah . Maksud Hadis tersebut ialah :
"Sabda Rasulullah s.a.w. : Dibentangkan titian di antara tengah-tengah api neraka Jahanam, maka adalah aku awal-awal orang yang melaluinya dengan umatnya daripada Rasul-rasul.  Dan tiada berkata-kata pada hari itu melainkan Rasul-rasul.  Perdo'aan Rasul-rasul pada hari itu : Allahuma Salam, Allahuma Salam, [Ya Allah selamatkanlah oleh Mu Ya Allah, Selamatkanlah oleh Mu].
Dalam Neraka Jahanam itu ada beberapa penyangkuk besi seperti duri pokok Sa'dan, adakah engkau sekalian melihat duri pokok Sa'dan?Kata mereka : Bahkan wahai Rasulullah. Sabdanya : Bahawasanya seumpama duri Sa'dan selain daripada bahawasanya tiada mengetahui kadar besarnya itu melainkan Allah Taala, menyambari manusia dengan amalan-amalan mereka,  maka ada  yang binasa dengan amalannya dan  ada yang susah dan terlambat kemudian ia terlepas..........."
Dalam maksud Hadis yang lain ada menceritakan bahawa Rasullullah s.a.w. itu sendiri diganggu oleh syiatan tetapi setelah membaca ayat-ayat al-Quran syiatan tersebut masih tidak pergi. Pada ketika itu Malaikat Jibrael Alaihisalam ada berhampiran dengannya tetapi Rasullullah tidak meminta pertolongan daripada Malaikat Jibrael yang sangat kuat itu. Apabila melihatkan hal yang demikian itu Malaikat Jibrael A.S. mengajarkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan satu do'a seperti berikut:

             أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ الَّتِي لَاْ يُجَاوِزُهَنَّ
بِرٌّ وَلَاْ فَاجِرٌ مِنْ شَرِّ مَا يَلِجُ فِيْ الأَرْضِ وَمَا
يَخْرُجُ  مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ
فِيْهَا وَمِنْ فِتَنِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَمِنْ طَوَارِقِ
اللَّيْلِ  وَالنَّهَارِ إِلاَّ طَارِقًا يَطْرُقُ بِخَيْرٍ يَا رَحْمَن 

                    Maksudnya:
 " Aku meminta peliharakan [perlindungan] dengan segala kalimah yang sempurna yang tiada melampaui oleh orang yang jahat daripada kejahatan barang apa yang masuk pada bumi dan barang apa yang keluar daripadanya, dan barang apa yang turun daripada langit dan barang apa yang naik kepadanya, dan daripada segala fitnah malam dan siang, dan daripada segala yang datang malam dan siang melainkan yang datang mendatangkan dengan kebajikan, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah."
Apabila ia [Rasulullah s.a.w. ] mengatakan [ berdo'a] yang demikian itu maka padam sepotongan nyalaan api itu jatuh ke atas muka syiatan tersebut. 

Nas ini menjelaskan bahawa seseorang makhluk itu hanya dikehendaki memohon pertolongan daripada Allah sahaja dan bukan daripada sesama makhluk kerana setiap makhluk itu mempunyai lima [5] kelemahan pada diri masing-masing seperti yang disebut di atas.

Sesungguhnya Allah SWT itu mempunyai sifat Al-Karim seperti yang yang terkandung di dalam Asma' Ullah Al-Husna yang bererti :
"Yang Amat Berkemurahan yang tiada meluputkan orang yang berwasilah (berbuat taat kepada-Nya) dan tiada membiarkan dan tiada meninggalkan orang yang berlindung meminta peliharaan kepada-Nya".
Al-Wahab  pula bererti :
 "Yang Amat Besar pemberian dan penganugerahan Yang Amat Banyak memberi nikmat dan murah penggunaannya. [atau ] Yang Maha Besar Taufik dan pemeliharaan-Nya dan Amat Pengasih dengan tidak payah memohon dan tiada memutuskan pemberianNya kepada hamba-hamba-Nya sama sekali ."
Di dalam al-Quran surah Al-Hasyr : 22-24 ada diperjelaskan yang bermaksud:
" Dialah  Allah Yang tiada Tuhan selain Dia. Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dialah Allah Yang tiada sah diibadatkan selain Dia, Raja Yang Maha Suci. Yang Maha Sejahtera. Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki Segala Keagungan. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.Dialah Allah Yang Maha Menciptakan, Yang  Mengadakan (daripada semata-mata tiada kepada ada) Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Nama-nama Yang Paling Indah (Asma' Ul Husna). Bertasbih kepada-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." 
Mungkin terdapat dakwaan yang konon mengatakan bahawa si polan itu sudah mati dan sudah ditanam di dalam kubur tetapi dia bangkit hidup semula, keluar daripada kubur dan hidup seperti biasa. Andainya terbit dakwaan seperti ini hendaklah ditanya kepadanya peri hal Sakaratrul-maut, Fitnah Kubur dan juga Himpitan Kubur seperti yang dijelaskan di dalam maksud Hadis Rasulullah s.a.w.:
" Dan daripada Annas ia berkata : Telah wafat Zainab binti Rasulullah s.a.w. dan adalah ianya perempuan yang sentiasa mengidap sakit. Maka mengikutinya Rasulullah s.a.w.dan mendukacitakan kami halnya. Maka manakala sampai kami kepada kubur ia memasukinya dan berubah mukanya pucat. Tatkala ia keluar berubah mukanya. 
Maka kami berkata: Wahai Rasulullah, kami lihat daripada engkau ada perkara, maka daripada kerana apakah itu? Maka ia bersabda: Aku teringat himpitan anak perempuanku dan bersangatan azab kubur. Maka aku datang dan khabarkan bahawa Allah telah meringankan daripadanya. Sesungguhnya dihimpiti satu himpitan yang didengari suaranya barang yang ada di antara masyriq dan maghrib."
Dalam Hadis yang lain yang mempunyai maksud yang hampir sama :
 "Aisyah R.A berkata bahawa Rasuluillah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya setiap kubur memiliki himpitan. Seandainya seseorang selamat daripadanya, pastilah Sa'ad bin Mu'adz akan selamat...".
Hadis ini memberi penjelasan bahawa setiap mayat [badan batin atau roh atau kedua-duanya mengikut kehendak Allah] yang dikebumikan di dalam kubur menerima himpitan kubur mengikut kadar dan bahagian seseorang. Bagi Zainab, anak perempuan Rasulullah s.a.w. dan juga orang-orang mukmin salih himpitan ini adalah himpitan sayang seperti ibu memeluk dengan kasih mesra terhadap anak kesayangannya. Sebaliknya bagi mayat dan roh orang-orang kafir dan ahli maksiat yang dimurkai Allah akan mendapat himpitan azab yang amat dahsyat dan sangat menyeksakan.

Dalam hal ini sekiranya orang yang mengaku/mendakwa dirinya sudah mati, mayatnya dikuburkan dan hidup semula balik ke dunia seperti masnusia biasa, hendaklah ditanya mengenai himpitan kubur ini. Demikian juga sekiranya terjadi kes atau kepercayaan yang mendakwa roh orang yang sudah mati masuk ke dalam badan seseorang dan mengaku roh orang alim terkenal, Wali Allah atau roh sesiapa juga, hendaklah ditanya soalan-soalan yang sama dan perihal kesakitan ketika menghadapi Sakaratul-maut, Fitnah Kubur dan Alam Barzakh dan tempat dia berada sama ada di taman yang indah seperti taman syurga atau lubang neraka.


Sekiranya mereka tidak memberikan jawapan yang selaras/sama seperti yang diperjelaskan di dalam Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tersebut maka jelaslah dakwaan tersebut adalah dusta/palsu belaka ataupun orang tersebut belum mati tetapi hanya mengalami 'pengsan' sahaja sama seperti dirasuk jin syiatan. 

Sekiranya dia mengaku roh orang alim atau orang-orang tertentu yang masuk di dalam badan 'orang perantaraan' atau orang sakit yang dirawatinya nyatalah yang datang itu ialah makhluk jenis  jin atau syiatan.

[Adalah sudah menjadi lumrah kehidupan manusia khususnya mereka yang sudah sebati dengan kepercayaan dan amalan ini enggan merujuk dan apa tah lagi bertaubat kepada Allah walaupun mereka gagal memberikan jawapan-jawapan yang benar dan mengakui kebenaran ilmu yang berteraskan al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.].

Berbagai-bagai alasan yang diberikan untuk mempertahankan kepercayaan dan amalan salah mereka. Antara jawapan yang biasa diberikan ialah: " "Itu semua hanya pandangan ulama'-ulama' dan orang  syariat yang jahil ilmu tareqat, hakikat dan makrifat.Tok Guru dan Syeikh tareqat si polan adalah ulama terkenal yang mempunyai ribuan murid dan pengikut setia sejak sekian lamanya, semua orang alim 'berguru' ' berubat' dan merujuk kepadanya", dia adalah 'Wali Allah' yang 'mursyid' dan 'kasyaf' dan bermacam-macam alasan lagi.

Maka tidak menghairankan sekiranya kepercayaan dan amalan sesat di sebalik  'roh orang mati ' ini berpanjangan hingga ke satu masa yang sukar untuk ditentukan atau apabila manusia sudah tidak memerlukan lagi khidmat kebatinan daripada golongan mistik dan kebatinan ini.

Penjelasan yang dipaparkan ini dengan jelas menafi dan menolak sama sekali hujjah, kepercayaan atau dakwaan yang mengatakan "roh orang yang sudah mati itu boleh balik ke dunia" untuk melakukan apa juga tujuan duniawi sekalipun dan orang yang hidup boleh menyeru meminta pertolongan daripada roh orang yang sudah mati.

Adapun membaca do'a yang disusun dan dijadikan amalan para mukmin salihin,  ulama'-ulama' mujtahid termasyhur, para sahabat Rasullah s.a.w. serta Nabi-nabi adalah sangat digalak dan dituntut oleh syarak kerana do'a-do'a tersebut tersusun dengan bahasa yang begitu indah mengandungi keluasan ilmu pengetahuan yang mudah dibarkati, dirahmati dan dimakbulkan Allah. Do'a-do'a daripada Rasulullah dan Nabi-nabi adalah sama seperti wahyu Allah juga kerana semua kata-kata para Nabi dan Rasulullahs.a.w.  adalah datangnya daru wahyu Allah jua.

Kalimah-kalimah yang terkandung di dalam "do'a-do'a" tersebut juga tidak mengandungi sebarang kalimah yang bermaksud 'meminta tolong' kepada makhluk dan tidak mempunyai lima [5] kelemahan seperti yang dijelaskan di atas.

Berubat menggunakan khidmat kepakaran doktor perubatan melalui kaedah dan proses penyelidikan perubatan saintifik terhadap bahan-bahan daripada kekayaan sumber alam tabi'e adalah sangat digalakkan dan dituntut oleh hukum syarak kerana ilmu perubatan ini mengandungi rahsia menggunakan khasiat-khasiat tabi'e kekayaan sumber alam yang Allah jadikan untuk kemanfaatan hidup manusia di dunia. 

Ilmu perubatan saintifik juga tidak mengiktiqadkan bahawa roh orang yang sudah mati boleh balik ke dunia untuk melakukan kerja-kerja duniawi dan tidak mengaitkannya sama sekali dengan hal roh orang yang sudah mati yang berada di Alam Barzakh.

Huraian mengenai permasalahan ini telah dilakukan oleh ramai golongan ulama' yang hak sejak sekian lamanya lagi. Mereka yang mempercayai dan mengamalkan perbuatan "bertawassul" kepada roh orang yang sudah mati adalah perbuatan bida'ah sesat dan melarang umat Islam melakukannya.

Namun bagi golongan yang sudah sebati dengan kepercayaan dan amalan tradisi "bertawassul" kepada roh "Wali Allah" yang sudah sekian lama meninggal dunia ini adalah amat sukar untuk bertaubat dan membuangkannya. Mereka amat takut dan mempercayai akan ' ditimpa malapetaka atau tulah guru ' sekiranya kepercayaan ini dibuang dan amalan ini tidak dilaksanakan. 

Ada di antara mereka beranggapan bahawa apa yang diperkatakan oleh golongan ulama' tersebut adalah pendapat golongan ulama syari'at sahaja yang tidak memahami dan mengamalkan perjalanan 'ilmu hakikat' dan tareqat ahli-ahli sufi dari golongan yang bermartabat 'Wal-wali Allah' yang sudah mencapai ke tahap makam tertinggi 'ahli makrifat'. Lebih-lebih lagi apabila terdapat juga sesetengah golongan ulama' yang bercanggah pendapat mengenai permasalahan ini di samping tidak terdapat penyelesaian atau fatwa muktamad mengenainya daripada pihak berkuasa agama Islam. 


Maka mungkin akan berterusan dan berpanjanganlah permasalahan di sebalik kepercayaan "Roh Orang Mati Boleh Balik ke Dunia" ini diperturunkan dari satu generasi ke satu genarasi seterusnya sehingga menjadi salah satu amalan biasa sahaja yang tidak lagi dianggap satu kesalahan besar atau bida'ah sesat yang ketara kerana sudah menjadi amalan biasa sebahagian besar umat Islam negara/dunia ini. Sebaliknya mungkin akan difatwakan pula bahawa sesiapa yang tidak mengamalkan dan menentang kepercayaan ini dijatuhkan hukuman 'sesat' dan terkeluar daripada agama Islam! 


Marilah kita sama-sama memikir dan  memahami kandungan maksud ayat al-Quran surah Al Hijr 39-42 peringatan: 
" Iblis berkata : Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,
kecuali hamba-hamba Engkau yang MUKHLIS di antara mereka.
Allah berfirman : Ini adalah jalan yang lurus; kewajipan Aku-lah (menjaganya).
Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat."
 Wallahu'alam.

[Lihat : Tipu Daya Syiatan Iblis [Bhg 1 dan Bhg 2  ]

Selasa, 30 Ogos 2011

Ajaran Tasawwuf Menyesatkan dan Memundurkan Umat ?



                                 

                                     بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ        


" Daripada Umar bin Al Khatab Radhiallahu Anhu, katanya : Pada suatu hari, dalam masa kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w. tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki; putih melepak pakaiannya, hitam legam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan [sebagai seorang pengembara], dan tidak ada seorang pun daripada kami mengenalinya, sehinggalah ia duduk mengadap Nabi Muhammad s.a.w., lalu ia menemukan lututnya kepada kedua lutut baginda sambil meletakkan kedua tapak tangannya atas kedua pahanya serta berkata : Wahai Muhammad! berilah tahu kepada aku tentang Islam? Maka Rasulullah s.a.w. menerangkan: ..............Berilah tahu kepada aku tentang Iman? Nabi Sallallahalaihiwasalam menerangkan :..............Kemudian ia bertanya lagi : Berilah tahu kepada aku tentang Ikhsan? Nabi menerangkan: [Ikhsan itu ialah] engkau mengerjakan ibadat kepada Allah Taala 'seolah-olah' engkau 'melihat-Nya', sekiranya engkau tidak dapat melakukan demikian maka ingatlah bahawa Allah Taala tetap melihat  kamu."

 [Maksud ringkasan Hadis daripada riwayat Muslim. Orang yang bertanyakan kepada Rasullah s.a.w. itu ialah Malaikat Jibrael Alaihisalam]
Sejak keruntuhan kerajaan-kerajaan khalifah yang berpusat di Baghdad, Iraq, di Istanbul, Turki, di Damshiq, Syria, Cordova dan Granada di Andalusia (Sepanyol), kerajaan-kerajaan Islam di Asia Tengah dan Asia Selatan dan kerajaan-kerajaan Islam lain yang terkenal di  di seluruh dunia berbagai analisis dan tanggapan telah dihasilkan untuk mengenal pasti punca-punca keruntuhan kerajaan-kerajaan yang berkurun-kurun lamanya mengukir zaman kegemilangan dan keagungan pemerintahan Islam. Sehingga kini punca-punca keruntuhan ini masih diperkatakan oleh semua golongan cendekiawan dan para ilmuan seluruh dunia dari berbagai perspektif khususnya dalam konteks agama, politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi, ketenteraan dan ketamadunan kesuluruhannya. 


Terdapat berbagai-bagai kajian telah dihasilkan dalam bidang agama untuk mengenal pasti kekuatan, kelemahan dan juga penyelewengan terhadap pemahaman sesuatu pengajaran agama yang tidak begitu jelas atau pun ketiadaan nas-nas yang boleh dipertanggungjawabkan bagi mengekang sesuatu ajaran yang boleh menjurus kepada fahaman-fahaman yang tidak berteraskan al-Quran dan Sunnah Rasullullah s.a.w.

Antara pengajaran yang sering disalah ertikan atau kurang difahami oleh sebilangan besar umat Islam dan juga bukan Islam ialah pengajaran ilmu yang berkaitan dengan Ikhsan atau lebih dikenali sebagai Ilmu Tasawwuf. Ramai yang berpendapat pengajaran dan amalan Ilmu Tasawwuf ini adalah salah satu punca yang menjadi penyebab kesesatan beragama dan memundurkan negara dan umat Islam. Jika dilihat secara kasar dari perspektif ekstrinsik keilmuan tanggapan ini ada kebenarannya tetapi jika dihalusi dengan lebih mendalam  secara intrinsik dan forensik akan menemukan berbagai-bagai kontroversi ilmiah yang berpunca daripada tersalah faham atau pentafsiran yang mengelirukan terhadap kefahaman Ilmu Tasawwuf itu sendiri kerana ketandusan ulama yang benar-benar arif dan menghayati dalam bidang ini.



Pengajaran Ilmu Tasawwuf pada prinsipnya bergerak seiring dengan kebangkitan para Nabi dan Rasul dan diperkukuhkan lagi apabila dibangkitkan Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan menjadi Rasulullah dan menjadikan agama Islam itu sebagai jalan beragama yang diredhai Allah hingga kiamat dunia sebagai penyambung muktamad untuk meneruskan agama wahyu yang diturunkan sebelumnya melalui utusan para Rasul dan kitabullah At-Taurat,  Al-Injil dan  Az-Zabur.  


Al-Quran adalah kitab suci wahyu dan Kalam Allah terakhir bagi melengkapkan kitab-kitab suci yang terdahulu untuk  digunakan sebagai pedoman kehidupan yang benar, terbaik, paling sempurna dan selamat bagi kesejahteraan hidup umat manusia dan jin di dunia dan kebahagian berkekalan di akhirat.

Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat baginda adalah berteraskan aqidah keimanan, hukum-hakam agama dan Ikhsan yang dimaksudkan sebagai penghayatan Ilmu Tasawwuf.  Kesemua para sahabat Rasullullah s.a.w.  mengikuti, beriman, melaksanakan dan menghayati keseluruhan perjalanan tasawwuf ini. Para "SAHABAT" adalah golongan manusia pada zaman Rasulullah s.a.w. yang bertemu, mempelajari, beriman serta sama-sama 'berjihad' dan berkorban dengan baginda menegakkan syi'ar Islam.


Mereka juga adalah terdiri daripada berbagai-bagai golongan yang mempunyai profesion dan kemahiran tersendiri dalam pelbagai bidang kehidupan duniawi seperti ahli perniagaan,ahli politik,  petani, ahli seni, kemahiran bermain senjata, mempunyai ilmu perperangan,  ahli bahasa persuratan dan kesusasteraan Arab serta ramai juga dari golongan fakir miskin. Perjalanan hidup para sahabat Rasulullah s.a.w. adalah semata-mata untuk agama dan mereka diibaratkan, "seperti bintang-bintang di langit." Kasih dan kecintaan mereka terhadap Allah, Rasul-Nya dan kehidupan di akhirat mengatasi segala-galanya yang sukar digambarkan jika dibandingkan dengan kancah pola pemikiran untuk kehidupan manusia di zaman sekarang.


Antara para sahabat yang hidup dalam kemiskinan ialah Abu Hurairah RA yang kehidupan sepenuh masanya banyak tertumpu beri'ktiqaf di masjid dan mengamalkan cara hidup yang paling sederhana dari segi berpakaian dan amat terhad makan minumnya, malahan 'kelaparan' adalah 'makanan' harian di sepanjang hayatnya.  Namun dia adalah di antara sahabat-sahabat besar yang paling rapat dengan Rasullullah s.a.w. sama ada dalam kehidupan seharian, mempelajari ilmu dan peperangan fisabillillah. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang paling banyak meriwayatkan Hadis termasyhur yang sehingga kini mutiara ilmunya terus menyinari dunia dan umat Islam.  


Beliau gemar memakai pakaian berkain kasar yang disebut sebagai suf dan daripada sinilah dikatakan muncul perkataan al-sufi atau tasawwuf. Bersama beliau terdapat ramai juga sahabat-sahabat golongan ahli suf yang dimuliakan Rasulullah s.a.w. Mereka tidak mempunyai profesion khusus dan kerap menjadi 'tetamu' kepada para sahabat lain yang berkemampuan. Golongan para sahabat ahli suf ini tidak menjadikan kehidupan dunia itu sebagai matlamat utama hidup mereka tetapi hanya untuk menjadikannya sebagai persediaan menuju ke akhirat yang kekal abadi. 

Walau sesukar atau semiskin mana sekalipun hidup mereka di dunia namun barkat kesabaran, kesyukuran dan tawakkal kepada Allah di samping penghayatan sepenuhnya ilmu agama di bawah bimbingan terus daripada Rasulullah s.a.w. mereka mengatasi segala-galanya. Mereka juga sentiasa berada di barisan hadapan apabila turun wahyu memerintahkan memerangi musuh-musuh Islam yang mengancam keselamatan negeri, umat dan agama Islam.


Demikian juga sahabat-sahabat yang berharta dan mempunyai kekayaan tidak menjadikan kekayaan mereka itu sebagai satu kemegahan tetapi menerimanya semata-mata sebagai amanah dan ujian Allah kepada setiap orang makhluk-Nya ketika hidup di dunia yang akan dipertanggungjawabkan pada hari dibangkitkan kelak. Justeru mereka mengorbankan seluruh jiwa raga dan harta kekayaan mereka demi untuk menegakkan syiar agama Islam dan memperolehi keredhaan Allah. Hal ini dapat dicontohi daripada pengorbanan besar Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Usman Affan , Ali bin Abi Talib , Abdul Rahman Auf dan ramai lagi. 



Mereka sangat menghormati dan memuliakan Rasulullah s.a.w. dengan menjaga hati dan segala adab sopan ketika menemui baginda. Mereka amat takut dan bimbang sekiranya mereka menjadi penyebab turunnya wahyu yang mencerca mereka seperti yang berlaku terhadap Abu Jahal, Abu Lahab, Al 'As bin Wa'il dan golongan orang munafik. Mereka juga amat menjaga hati kerana sangat takut sekiranya ibadat-ibadat yang  dilakukan tidak diterima Allah seperti yang disebut di dalam Hadis Rasullullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Mu'az bin Jabbal r.a. yang panjang itu.


Jelasnya para sahabat menghayati sepenuhnya tanpa tolak ansur pemahaman Ilmu Tasawwuf Islam atau Ikhsan di bawah bimbingan secara langsung daripada Rasullullah s.a.w. walaupun pada penilaian manusia sekarang dianggap sebagi perkara remeh sahaja dan tidak diambil kira apabila membuat analisis dan membicarakan sejarah kebangkitan Islam zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafa Rasyideen.  Hakikat ini begitu jelas terpahat di bumi Makkah dan Madinah yang sehingga kini menyaksikan tidak terdapat walau satu pun warisan tamadun material yang hebat dan gah yang dapat dikaitkan dengan warisan zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafa Ar Rasyideen. Kenangan material yang mereka tinggalkan adalah terlalu sedikit sahaja seperti kesan-kesan peristiwa perang Khandak, Badar dan Uhud serta kawasan permakaman para syuhada dan beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w. 

Tamadun yang mereka tinggalkan adalah tamadun ilmu berteraskan al-Quran Kalam Allah dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang membina dan memperkukuhkan ketaqwaan, mencintai Allah, Rasul dan hari akhirat. Mereka membina dan menghayati sepenuhnya akhlak sebenar insan mukmin salih untuk dicontohi umat selepas zaman mereka. Faktor inilah yang sebenarnya mendaulatkan keagungan mereka sebagai barisan 'tentera-tentera ' langit yang menyinari bumi dan menjadikan mereka amat digeruni musuh-musuh Allah.


Sayangnya faktor hidup 'bertaqwa' para sahabat Rasulullah s.a.w. dengan menghayati sepenuhnya secara total dan holistik segala petunjuk ilmu dan amal yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang hidup bersama mereka dipandang sepi atau 'ditenggelamkan' begitu sahaja dari pentafsiran kaca mata sejarah 'sekular' hari ini. Para sahabat Rasulullah s.a.w.dilihat atau dikategorikan sama seperti ahli-ahli politik dan panglima-panglima ketenteraan yang didokong oleh generasi manusia yang wujud pada hari ini dalam konteks pemikiran, kepemimpinan dan pemahaman agamanya. 



Dalam hal ini maka Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan di dalam Hadis yang bermaksud :
"Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun yang kurun mengikuti mereka itu,kemudian kurun yang mengikuti kurun itu, kemudian akan meluaslah kedustaan, maka janganlah kamu pegang kata-kata mereka dan amalan mereka."
Keruntuhan satu demi satu empayar-empayar Islam dan kebangkitan kuasa-kuasa kolonial Eropah menguasai dunia menyebabkan negara-negara Islam 'tenggelam dan hanyut' begitu lama dalam arus sosio-politik dunia yang dikuasainya begitu lama.  Negara-negara Eropah muncul sebagai kuasa penakluk yang menguasai sistem politik, ekonomi dan sosial sebilangan besar negara Islam. Kebangkitan golongan fundamentalis agama di kalangan umat Islam yang melakukan reformasi atau gerakan islah sosio-politik dan agama telah mencetuskan senario baru dalam kancah pergolakan di negara Islam.

Dalam masa yang sama bangkit juga golongan nasionalis yang berorientasikan sekular barat telah membangkitkan kesedaran berpolitik di kalangan umat Islam di beberapa buah negara yang  memberi pukulan hebat terhadap pemerintahan kolonial Eropah yang akhirnya terpaksa berundur dan memberikan kemerdekaan .

Semasa pergolakan ini berlaku gerakan-gerakan keagamaan bercorak kesufian dengan identiti aliran 'tareqah sufi' tertentu turut bergerak sama ada secara berterang-terangan atau secara sulit. Pada zaman penjajahan kuasa kolonial Inggeris di Malaysia/Tanah Melayu tidak timbul isu ketara yang mengaitkan dengan ajaran bercorak aliran tareqah sufi ini kecuali beberapa kes terpencil seperti yang berlaku di Pulau Pinang, Perak dan di beberapa lokasi lagi dengan kemunculan kumpulan-kumpulan yang disifatkan atau dikategorikan sebagai ajaran sesat. 


Pada zahirnya sukar untuk dipastikan apakah rahsia ilmu yang diamalkan oleh kumpulan-kumpulan yang dianggap sebagai kumpulan zikir dan penghayatan ajaran ilmu mengikut sunnah dengan identiti lahiriah yang dikaitkan dengan watak ulama tersohor zaman dahulu .


Pada dasarnya objektif  Ilmu Tasawwuf yang bercirikan kesufian ini  adalah untuk 'mengubati' dan membersihkan hati seseorang daripada penyakit-penyakit batin seperti yang dimaksudkan dalam sifat-sifat mazmumah yang berpunca daripada keinginan hawa nafsu.  Menurut sesetengah ahli tasawwuf yang berorientasikan aliran tareqah sufi, nafsu manusia dibahagikan kepada Nafsu Amarah, Nafsu Lawwa-mah,  Nafsu Mulhamah,  Nafsu Mutma-innah, Nafsu Radhiah, Nafsu Mardhiyyah dan Nafsu Kamil


Nafsu Amarah  dikatakan sebagai tabi'at hati manusia yang terendah sekali kerana menyimpan perangai-perangai buruk seperti yang dimaksudkan dalam sifat mazmumah dan seterusnya mencapai ke darjat makam makrifat kepada Allah atau makam Al-Baqa' U-Billah atau Al-Fana' U-Billah. 

Jika seseorang hendak 'membersihkan' dirinya hendaklah bermujahadah atau berjuang melawan godaan nafsu syaitan untuk menghapuskan sifat-sifat mazmumah yang tercela itu dalam dirinya dengan 'bersuluk' dan mengamalkan zikir-zikir tareqah. Zikir-zikir ini mengandungi bermacam-macam jenis mengikut susunan dan amalan 'guru/syeikh mursyid' yang dibahasakan sebagai 'kasyaf'  yang mengijazahkanya secara 'bai'at'.

{Lihat : Perbandingan Iktikad Orang Melayu Bhg 1]


Pada mulanya pengamal-pengamal wirid dan zikir tareqah ini hanya berada di peringkat zikir lisan tetapi bagi mereka yang telah berjaya dalam perjalanan 'suluk' dan 'mujahadahnya' akan sampai kepada peringkat 'zikir qalbu' iaitu di dalam hati sahaja. Dikatakan zikir-zikir tareqat sufi boleh menembusi hati batin manusia yang dihijab kegelapan berlapis-lapis seperti kulit tiram. Terdapat juga amalan zikir yang dinamakan Zikir Nafi Ithbat La Illahaillallah. Zikir ini berteraskan pada konsep Wahdat al-wujud atau wujud yang satu berdasarkan kepada fahaman bahawa awal makhluk itu ialah Nuur Muhammad yang terbit daripada Zat Allah. Dikatakan juga bahawa daripada Nuur Muhammad ini dijadikan pula semua makhluk seperti malaikat, syurga, neraka, arasy, kursi dan lain-lain lagi. Ini bermakna ketika berzikir Nafi Ithbat semua yang ada adalah Allah belaka. 


Ahli-ahli tareqat dikatakan akan hanya sampai kepada Allah dengan tiga syarat iaitu melalui :
1. Amalan zikir khafi iaitu zikir dengan pemikiran supaya tidak mengingatkan yang lain selain daripada Allah.

2. Muraqabah yang diertikan sebagai mengintai-intai hati kepada Allah seperti kucing mengintai-intai tikus yang masuk dalam lubang.

3. Melazimkan hadir untuk memberi khidmat kepada 'syeikh' atau khalifah guru tareqah.
Ketiga-tiga cara ini dilakukan oleh ahli-ahli tareqah melalui 'bersuluk'. Ahli-ahli tareqah juga perlu melalui 20 peringkat Muraqabah untuk menuju ke jalan Allah dan seterusnya memperolehi rahsia 'zuk' atau 'syuhud' dalam dirinya. Langkah pertama bagi seseorang untuk memasuki alam tareqah hendaklah melalui proses perjalanan syariat, tareqat, hakikat dan makrifat serta mendapat ijazah dan bai'ah daripada 'syeikh', khalifah atau guru tareqah yang dipandang atau diiktiraf sebagai 'mursyid' dan 'kasyaf'  yang dikatakan mempunyai pertalian salasilah tareqahnya hingga sampai kepada Rasullullah s.a.w. . Orang yang 'bersuluk' atau 'salik' mengamalkan wirid-wirid/zikir tareqah yang diijazahkan oleh guru mursyid untuk mencapai makam terakhir yang tertinggi iaitu makrifat kepada Allah. 

Golongan ini menganggapkan ibadat orang Islam yang tidak mengamalkan zikir tareqah dan menjadi ahli di dalam sesuatu kumpulah tareqat adalah dianggap sebagai orang syari'at sahaja. Mereka beranggapan dan memperkecilkan ilmu dan amalan ibadat orang syari'at hanya kulit sahaja, sedangkan ibadat golongan ahli tareqah adalah menikmati kelazatan cita rasa isinya. Kononnya hakikat ini boleh diibaratkan

".....orang syariat hanya memakan kulit pisang sahaja sedangkan ahli-ahli tareqah menikmati kelazatan keseluruhan isinya.....". 
Terdapat juga berbagai-bagai kefahaman dan amalan lain yang telah sekian lama menjadi kontroversi ulamak dan meragukan orang awam terhadap kebenaran amalan tareqah ini. Antara yang paling ketara ialah fahaman dan amalan bertawasul atau berwasilah atau berrabitah yang begitu lumrah diamalkan kumpulan-kumpulan tareqat. Amalan bertawasul   ini dikatakan meminta pertolongan 'kuasa ghaib' daripada 'roh guru' pengasas amalan tareqah yang dianggap konon 'tidak mati' tetapi hanya 'ghaib' sahaja dari pemandangan mata kepala manusia sahaja. Sekiranya pengamal tareqah dalam kesusahan mereka boleh menyeru nama guru tareqah tersebut untuk datang membantu seperti dikatakan :
"Assalamualaikum Ya saidi .......... ( 3 kali satu nafas), saya mintalah supaya diubatkan orang sakit ini dengan izin Allah ......."
Guru, syeikh atau khalifah mursyid tareqah adalah dianggap 'kasyaf' kerana melalui amalan kebatinannya dia dapat melihat atau mengetahui latar belakang hidup dan hajat di hati seseorang yang menemuinya. Oleh itu dia dihormati, disanjung atau dimuliakan sebagai 'Wali Allah'. Segala kata-katanya mesti dita'ati dan tidak boleh dibantah seperti menta'ati perintah Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang membantah/ingkar akan terkena 'tulah' guru yang 'memudaratkan' dan amat sukar diubati. 

Segala amalan dan pegangan iktiqad ahli-ahli tareqat tidak diketahui sepenuhnya oleh orang awam yang bukan menjadi ahli sesuatu perkumpulan tareqat kerana ia tergolong dalam kategori 'Ilmu Sirr' atau 'Ilmu Rahsia' yang mesti disembunyikan daripada pengetahuan umum yang hanya boleh dibicarakan di kalangan ahli dan syeikh tariqat yang sudah mencapai martabat darjat ketinggian tahap 'makrifat'  sahaja.


Sekiranya terdapat sebarang penerbitan sama ada dalam bentuk penerbitan buku/kitab untuk diedarkan kepada masyarakat umum,kandungannya tidak menyentuh secara langsung pegangan dan amalan 'Ilmu Sirr' yang diamalkan kumpulan tareqat tersebut tetapi hanya mengaitkanya dengan nas-nas al-Quran, Hadis-hadis Rasulullah, amalan-amalan kesufian di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. dan ulama'-ulama' terkenal di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dianggap boleh menyokong 'Ilmu Sirr' dan amalan tareqat mereka.


Imam al-Ghazali yang amat terkenal dengan perjalanan hidup dan alam sufinya itu sering dikaitkan dengan fahaman dan amalan-amalan perkumpulan tareqat sufi yang wujud pada hari ini. Kata-kata al-Ghazali berbentuk kesufian dan falsafah itu sering menjadi rujukan dan sebut-sebutan para ulamak dan guru agama di Nusantara. Namun demikian pengajaran Aqidah At-Tawhid al-Ghazali yang terkandung di dalam bab awal juzuk pertama Kitab Ihya' Ulumuddin dan kitab-kitab beliau yang lain adalah terlalu asing dan tidak pernah dirujuk atau disebut-sebut oleh kebanyakan ulama' dan guru agama khususnya di Malaysia.  


Besar kemungkinan pengajaran al-Ghazali mengenai pengertian Tawhid dan
Syahdat At-Tawhid dan Syahdat Ar-Rasul dan Asma' Ul Husna tidak pernah dibicarakan dengan teliti dan mendalam di dalam pengajian ilmu agama Islam negara ini kerana sama ada ianya tidak pernah diajarkan di institusi-institusi pendidikan agama Islam atau dianggap bertentangan dengan pemahaman ilmu "Sifat 20" yang sudah lama sebati berakar umbi pemahaman dan pengajarannya di negara ini atau menganggapkannya sebagai perkara remeh dan memadai dengan pengertian ilmu sedia ada sahaja. 

[ Lihat : Roh Orang Mati Boleh Balik Ke Dunia?]



Dalam konteks agama Islam, sesuatu ilmu dan amalan mestilah bersandarkan kepada ilmu pengetahuan yang hak dan sangat luas bahasannya mengenai hukum-hakam seperti yang terkandung dalam Ilmu Fiqh, Ilmu Tasawwuf dan Ilmu At-Tawhid/Usuluddin. Kesemuanya mesti berjalan seiring bagi menentukan apa juga yang dilakukan adalah berpandukan kaifiat dan hukum-hakam yang sahih kebenarannya kerana sesuatu ibadat itu akan hanya sah diterima Allah sekiranya seseorang itu berpegang kepada fahaman ilmu aqidah keimanan yang hak, mematuhi kaifiat hukum-hukum syarak yang ditetapkan dan mempunyai keikhlasan hati yang bersih daripada segala adab perangai sifat mazmumah

Dalam pada itu seseorang itu hendaklah memperkukuhkan penghayatan agamanya dengan melakukan apa juga perkara yang boleh memberi kelebihan pahala daripada Allah serta menjadi bertambah warak, zuhud dan taqwa kepada Allah melalui penghayatan muraqabah.


Pengertian muraqabah yang dimaksudkan di sini ialah; "sangat malu/takut mengerjakan maksiat kepada Allah dengan cara memuji kebesaran dan kemuliaan Allah melaui amalan berzikirullah, bertasbih,  bertahlil, bertahmid dan mentakbirkan-Nya". Hatinya sentiasa mengingati dan memuliakan Allah sahaja dengan melupakan atau tidak mahu mengingati langsung sesuatu yang lain daripada Allah. Asas ilmu muraqabah ini adalah berdasarkan Hadis Rasullullah s.a.w. yang bermaksud: 
"........Sabda Nabi Muhammad s.a.w., beribadatlah oleh mu kepada Allah seolah-olah engkau melihat Dia,  jika engkau tidak melihat akan Dia maka bahawasanya Dia melihat akan kau ."
 Dalam Hadis yang lain ada menyebut bahawa :
"..berfikirlah oleh mu sekalian kepada makhluk Allah dan jangan kamu sekalian berfikir pada hakikat Zat Allah. "
Hadis-hadis ini mengingatkan supaya jangan sekali-kali memikirkan akan hakikat Zat Allah kerana Zat Allah yang Qadim itu tidak dapat diketahui sama sekali akan  hakikatnya oleh sekalian makhluk Allah sama ada Nabi-nabi, Rasul-rasul atau para malaikat yang maksum. Hanya Allah sendiri yang lebih mengetahui akan hakikat Zat-Nya yang Qadim. 

Dalam al-Quran surah Al-A'Raaf : 143 ada menjelaskan bahawa Allah SWT tidak dapat dilihat sama sekali dengan pemandangan mata kepala (di dunia) berdasarkan ayat al-Quran :
"...Lan Tara Ni.."     (لن تراني....)
  yang bermaksud :"... tiada sekali-kali engkau melihati akan Aku (yakni di dunia )." 
Ini menunjukkan muraqabah itu bukanlah bererti "mengintai-intai seperti kucing mengintai tikus dalam lubang." Apabila hati seseorang itu telah beriktiqad bahawa Allah SWT Amat Melihat segala perbuatan setiap orang hamba-Nya sama ada perbuatan-perbuatan zahir yang terbit daripada anggota-anggota badannya atau perbuatan-perbuatan dan lintasan-lintasan yang terbit di hatinya/qalbunya menjadikan dia amat takut dan malu melakukan sebarang maksiat, mengingkari perintah Allah. Sebaliknya dia sentiasa menta'ati dan mengingati Allah sahaja pada setiap detik di sepanjang hayatnya.

Dia juga memahami bahawa setiap perbuatan itu pula akan dibalasi di akhirat; jika melakukan kejahatan mendapat dosa. Sekiranya dosanya itu tidak diampunakan Allah walaupun dianggap 'kecil' pada ukuran atau pemahaman manusia biasa dia akan dihukum dengan setimpalnya dan dimasukkan dalam api neraka semata-mata kerana keadilan dan hak Allah. Segala perbuatannya yang baik pula akan diberi ganjaran pahala yang setimpal dan dengan rahmat Allah dia dimasukkan ke syurga. Apabila pegangan iktiqad ini menusuk di dalam hati 'qalbu' maka dengan sendirinya hati merasa malu dan takut melanggar perintah dan hukum-hukum Allah .



Ahli-ahli sufi golongan  Ahli Assunnah Wal Jamaah berpegang kepada satu Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: 
"........bahawasanya dibentangkan bagi seseorang hamba itu pada tiap gerak daripada segala gerak-gerak itu walaupun sekecil mana sekalipun akan ditanya [pada Hari Pembalasan] melalui tiga dewan iaitu melalui dewan pertama 'Lima ' yang menanyakan kenapa? Dewan kedua 'Kaifa' yang bertanyakan bagaimana ? Dewan ketiga 'Liman' bertanyakan kerana siapa ........"[hingga akhir Hadis ].
Ahli-ahli sufi dari golongan As-Sunnah yang telah mencapai martabat muraqabah terjumlah sebagai orang muqarrabun yang terbahagi kepada As-Siddiqin dan Ashabulyamin. Mereka inilah yang akan menerima surat amalan di akhirat kelak dengan tangan kanan. 

Muraqabah juga mempunyai pengertian yang sama dengan kalimah-kalimah; Basirah, Musyahadah, Muaiyanah dan Mukasyafah. Pengertian Al-Fana' U Billah dan Al-Baqa' U Billah ialah atas makna :
 "  melupakan langsung  ingatan kepada makhluk Allah atas sebab mengingatkan Allah sahaja dan bukanlah bermaksud kekal kepada Allah atau menyatukan Zat Allah dengan dirinya/makhluk-Nya."
Pengertian ini merujuk kepada kefahaman dan penghayatan ilmu mengenal Allah seperti yang terkandung di dalam Asma' Ullah Al Husna dan Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Dua Kalimah Syahdah.

Orang yang berada dalam muraqabah ini karam dengan penghayatan ilmu tersebut hingga dia tidak ingatkan makhluk Allah lagi. Terdapat riwayat menjelaskan bahawa Nabi Allah Yahya bin Zakaria AS apabila dia bertembung dengan seorang perempuan lalu ia menolaknya hingga terjatuh perempuan itu atas mukanya. Apabila ditanya kenapakah Nabi Yahya berbuat demikian. Dijawabnya bahawa dia menyangkakan dia berhadapan dengan dinding.

Riwayat ini dapat difahami bahawa Nabi Yahya AS telah berada di martabat Baqa' U Fibillah atau mengekalkan ingatan kepada Allah sahaja dengan lidah menyebutkan zikirullah dan hati mengekalkan ingatan pada Allah sahaja [menghayati sepenuhnya kefahaman ilmu mengenal Allah] hingga menjadikan mata kepala zahirnya tidak 'nampak' perempuan sebagai perempuan tetapi sebagai dinding yang menghalangnya.


Pengertian ini boleh difahami melalui contoh sesama manusia. Misalnya jika seorang raja pemerintah sebuah negara yang amat termasyhur dijadual akan datang bertandang sebagai tetamu di rumah seorang penduduk desa di sebuah negeri. Penduduk desa tersebut sudah pasti membuat dan menyediakan segala persiapan secukup-cukupnya bagi menyambut tetamu diraja tersebut. 

Pemikirannya sudah pasti akan hanya tertumpu sepenuhnya kepada apa sahaja yang sewajarnya disediakan agar dia dapat memberikan layanan istimewa yang terbaik terhadap tetamunya itu dan tidak melakukan apa juga perkara yang boleh menyebabkan kemurkaan raja tersebut. Pada setiap detik dia hanya mengingati perihal raja yang akan disambutnya sebagai tetamu khas paling istimewa itu. Pada ketika ini fikirannya hanya terhala pada raja tersebut sahaja dan dia 'melupakan' hal-hal lain yang tidak berkaitan

Demikianlah juga hal keadaan orang mukmin yang mengingati dan menghayati segala ilmu pengetahuan khusus mengenai Allah. Dia karam dengan ilmunya dan melupakan ingatannya kepada makhluk.


[Lihat :  i.  Pengertian "HAMPIR' Allah 
              ii.  SOAL JAWAB Mengenai "ADA" Allah 
              iii.  Tipu Daya Syiatan 3 ]

Ahli-ahli sufi golongan Ahli Assunnah juga sangat memahami maksud Hadis Nabi s.a.w.yang mengatakan bahawa setiap diri manusia itu dilahirkan dengan dua kembaran iaitu malaikat dan syaitan. Kembaran malaikat akan hanya menerbitkan lintasan-lintasan hati yang baik sahaja,sementara kembaran syaitan pula akan hanya menerbitkan lintasan-lintasan hati untuk melakukan kejahatan walaupun pada zahirnya seolah-olah dianggap boleh memberi kebaikan. Apabila terbit lintasan-lintasan di hati seseorang ahli sufi yang benar-benar luas dan mendalam kefahaman Ilmu Tawhidnya dia akan memohon pertunjuk Allah terlebih dahulu sama ada lintasan hati itu terbit daripada malaikat atau syaitan.


Sekiranya dia mendapat pertunjuk bahawa lintasan hati itu terbit daripada malaikat yang menyuruh membuat kebaikan dia akan bersungguh-sungguh melakukannya. Andainya dia mendapati pertunjuk lintasan hati itu adalah terbit daripada syaitan dia bersegera memohon ampun dan bertaubat kepada Allah sebelum melakukannya lagi. 

Dia juga cukup memahami dan berhati-hati menjaga perbuatan hatinya daripada sifat-sifat mazmumah apabila membaca Hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabbal yang  panjang itu. Antara lain maksud intipati Hadis tersebut menjelaskan setiap pahala amal ibadat yang dilakukan oleh hamba-hamba mukmin berbunyi seperti guruh dan bercahaya seperti cahaya matahari itu akan dibawa ke tujuh lapisan langit oleh Malaikat Hafazah untuk ditapisi oleh tujuh orang malaikat penjaga langit daripada sifat-sifat mazmumah sebelum diterima Allah. 


Cahaya pahala ibadat inilah yang berkekalan menjadi bekalan setiap orang mukmin hingga ke akhirat. Sekiranya ibadat-ibadat mereka tidak diterima Allah atas sebab-sebab yang termaklum, maka sia-sialah sahaja ibadat yang dilakukan dan apabila berada ke akhirat kelak tanpa mempunyai sandaran bekalan cahaya pahala ibadat yang akan menjadi penentu nasib untung ruginya.

[ Lihat :Tarbiyatu Fikrit-Tifli Li-Fahmi Ulumiddin ]


Adapun yang dimaksudkan dengan Zikir Nafi Ithbat La Illahaillallah  ialah apabila seseorang itu melafazkan zikir La Illahaillallah dia hendaklah beriktiqadkan bahawa semua makhluk yang ada hendaklah dinafikan atau dinyahkan atau dihilangkan daripada ingatan di hati kerana  pada asalnya kesemua makhluk tidak ada sama sekali, kemudian Allah mengadakannya dengan Qadrat-Nya yang Qadim daripada semata-mata tidak ada kepada ada berbetulan dengan Ilmu dan KehendakNya yang Qadim lagi Azali.



Ini bermakna masa, tempat, malaikat, syurga ,neraka ,Arasy , Qursi, huruf, suara, sunyi sepi dan apa juga yang dinamakan alam atau makhluk daripada yang paling kecil hingga paling besar sama ada yang zahir atau yang ghaib adalah pada asalnya tiada atau belum dijadikan Allah. Kemudian hendaklah diithbatkan atau dimasukkan/ditanam ke dalam hati bahawa sebelum diadakan semua makhluk, yang ADA  hanya Allah SWT sahaja sebagaimana Dia ADA itu juga penuh dengan kemuliaan dan ketinggian martabat Asma' Ullah Al-Husna. 

Adanya Allah itu sama sekali tidak sama dengan adanya makhluk. Allah itu ADA, sentiasa ADA, selama-lamanya ADA dan tidak berkeputusan ADA-Nya.  Dialah yang awal yang tiada berawal bagi-Nya, Dialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya. Sebelum dijadikan masa dan tempat dan semua makhluk, hanya Allah sahaja yang ADA. 

Pegangan iktiqad ini memberi pengertian bahawa Zat Allah itu TIDAK berjuzuk dan TIDAK bersatu hakikat dengan zat makhluk yang diadakan Allah daripada semata-mata tiada kepada ada dengan Qadrat-Nya yang Qadim. Maka tertolaklah sekiranya terdapat pemahaman yang mengatakan bahawa "Zikir Nafi Ithbat La Illaha Illallah " ini bererti berzikir bagi mengingati bahawa  Zat Allah yang Qadim  itu bersatu-padu dengan zat makhluk menjadikannya 'Wahdat-al- wujud' atau wujud yang satu.

Di samping mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Syahdah At-Tawhid tersebut ahli-ahli zikir juga amat memahami dan menghayati sepenuhnya maksud Hadis Rasulullah s.a.w. berikut :
 " .....dan sabda Nabi Muhammad s.a.w. pula kepada Abu Hurairah RA : Wahai Abu Hurairah, bahawasanya tiap-tiap kebajikan yang kau amalkan  itu ditimbang pada hari kiamat melainkan syahadat La Illahaillallah. Bahawasanya jika sekiranya diletakkan pada tempat penimbangan orang yang menuturkannya yang ia benar [benar pada kata lidahnya dan benar pada iktiqad di hatinya ] dan diletakkan segala langit yang tujuh lapis dan segala bumi yang tujuh lapis dan segala barang apa yang ada padanya adalah La Illahaillallah lebih berat daripada demikian itu ."

[ Peringatan : Asas pemahaman 'Wahdat-al-wujud'  mengiktiqadkan bahawa Allah mengadakan sesuatu dengan Zat-Nya, berkata-kata dengan Zat-Nya, mendengar dan melihat dengan Zat-Nya dan berkehendak dengan Zat-Nya. Pemahaman ini bertentangan sama sekali dengan asas pegangan iktiqad Ahli Sunnah wal Jamaah yang menegaskan bahawa Allah mengadakan sesuatu daripada semata-mata tidak ada kepada ada dengan Qadrat-Nya yang Qadim, berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim, melihat dengan Penglihatan-Nya/ Pemandangan-Nya yang Qadim, mendengar dengan Pendengaran-Nya yang Qadim, berkehendak dengan Kehendak-Nya yang Qadim, mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim dan bukan semata-mata dengan Zat-Nya (Diri-Nya). 

Kalimah Qadim yang dimaksudkan dalam bab Ilmu At-Tawhid adalah dikhususkan dan dimaksudkan kepada Zat dan Sifat-sifat Allah sahaja yang bererti tidak menyamai sama sekali dengan segala zat dan sifat makhluk tanpa misal, ibarat dan tanpa umpama walau dalam apa jua cara/hal sekalipun. Zat [Diri] dan segala sifat Allah yang Qadim adalah berlawanan sama sekali dengan zat dan sifat-sifat makhluk yang hadis/baharu. Oleh itu kalimah "Qadim" ini ditegah sama sekali digunakan kepada makhluk yang hadis/baharu.]


[Lihat :    Perbandingan Iktikad Orang Melayu Bhg 3 ]

             
Setiap amal ibadat yang mempunyai sifat-sifat mazmumah tidak akan diterima dan dilaknat Allah dan dipukul kepada orang yang melakukan ibadat tersebut. Oleh itu bagi mengelakkan daripada perkara yang sangat ditakuti ini ahli-ahli sufi yang hak sentiasa menjaga dirinya daripada melakukan sebarang dosa maksiat dan lintasan hati yang jahat dengan membanyakkan amal ibadat, membaca al-Quran, berzikirullah, bersedekah, puasa dan apa jua perbuatan yang diredai Allah dan boleh mendatangkan pahala kebajikan. Inilah perjalanan ahli-ahli sufi dari golongan Ahli As-Sunnah yang hak berteraskan perjalanan hidup kenabian dan diamalkan oleh para sahabat Rasullullah s.a.w. dan ulama'-ulama' yang hak.

Dalam konteks ini adalah sukar untuk mengenal pasti secara zahir apakah ciri-ciri ahli sufi dari golongan Ahli As-Sunnah yang hak ini tanpa membuat penelitian mendalam terhadap pegangan kefahaman ilmu dan amalan-amalan ibadat yang mereka lakukan. Orang-orang awam khususnya mereka yang terdorong hati untuk mengikuti kumpulan-kumpulan yang bercirikan atau mendakwa sebagai ahli tareqah sufi tertentu adalah dinasihatkan supaya berhati-hati dan jangan sekali-kali mudah terpengaruh dengan amalan ibadat dan zikirullah serta identiti lahiriah mereka yang kelihatan zuhud dan 'hebat' yang dianggap bercirikan 'sunnah'. 



Gunakanlah  panduan-panduan Ilmu At-Tawhid yang dibicarakan di dalam blog ini, merujuk kitab-kitab agama dan ulama'-ulama' muktabar yang sahih kebenaran ilmunya sebagai sumber rujukan di samping mendalami pemahaman ilmu-ilmu Fardhu 'Ain yang disyaratkan.  Perlu diingatkan juga jangan sekali-kali mengangkat sumpah 'bai'at' dan merahsiakan ajaran agama yang disampaikan oleh guru taeqah tersebut. Jangan sekali-kali mudah tergoda dengan kata-kata kalimah kesufian agama dan pujuk rayu mereka tetapi hendaklah sentiasa berwaspada dan menaruh syak wasangka terhadap mereka. 


Terdapat satu Hadis Rasullullah s.a.w. yang ringkasan intipatinya bermaksud bahawa:
".... pada akhir zaman kelak akan terdapat umatnya yang diberi martabat sama dengan 70 orang siddiqin ( para sahabat besar Rasullullah s.a.w.).Apabila para sahabat [ yang merasa takjub terhadap mereka ]bertanya adakah mereka ini sangat banyak melakukan ibadat sunat dan apakah tanda-tanda mereka ? Rasullullah menjawab kelebihan mereka bukan kerana mereka banyak melakukan ibadat-ibadat  sunat tetapi mereka ini berbuat baik kepada manusia ( atas jalan agama)."
Berdasarkan penjelasan ini mudah-mudahan dapat memberi sedikit petunjuk kepada kita apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan perjalanan ahli sufi yang hak dan yang batil yang terus berkembang sehingga kini. Sebelum sesuatu ukuran dan keputusan dibuat terhadap implikasi pengajaran Ilmu Tasawwuf dan pergerakan aliran tareqah sufi dalam kehidupan umat Islam di dunia, penelitian yang mendalam secara ilmiah perlu dilakukan oleh para ilmuan dan cendekiawan Islam.

Adalah sangat sukar bagi seseorang yang membuat penyelidikan ilmiah terhadap ilmu ini sekiranya tidak turut sama mengamalkan dan menghayati Ilmu Tasawwuf dan mengikuti jejak langkah perjalanan ahli-ahli sufi yang hak dalam kehidupan sehariannya kerana implikasinya adalah amat berbeza di antara orang yang mengamalkan dan hanya membuat penilaian secara lahiriah dan akademik sahaja.  

.
Kemunculan golongan-golongan yang mengamalkan bermacam-macam aliran tareqah sufi pada hari ini dan mungkin akan berterusan hingga akan datang perlu dipantau dan diberikan jalan pertunjuk yang wajar agar masalah yang berbangkit pada hari ini tidak akan berterusan pada masa akan datang.

Pemahaman ilmu dan penghayatan ajaran tasawwuf yang hak tidak akan menjadi penyebab kemunduran umat Islam malah mereka sentiasa dilimpahi rahmat Allah menjadikan mereka lebih berwibawa, digeruni dan dihormati manusia kerana kemuliaan akhlak, keperibadian dan kemurniaan adab perangai mereka yang berteraskan al-Quran dan Sunnah Rasullullah s.a.w.

Hakikat ini begitu ketara apabila dinilai secara mendalam terhadap perjalanan hidup semua para sahabat Rasullullah s.a.w. , ulama'-ulama' tersohor zaman tabi'en dan tabi'en- tabi'en serta para mukmin salih yang muncul pada setiap zaman. Persoalannya, di manakah ulama'-ulama' pewaris sunnah dan ilmu Rasullullah s.a.w. yang sewajarnya dapat memberi pertunjuk jalan keagamaan yang hak kepada umat agar hidup dirahmati dan diredhai Allah ?


Umat tidak sewajarnya dibiarkan membuat pilihan atau pentafsiran sendiri terhadap isu-isu ilmu agama berdasarkan tahap keilmuan yang terbatas. Pergerakan 'golongan munafik' berwajah 'ulama' sufi' yang amat bijak berbicara dan mempunyai 'tauliah' sebagai permit kebebasan menggunakan berbagi-bagai saluran media dan institusi agama Islam. Perkembangan ini sangat sukar dibenteras dengan berkesan sekiranya wadah ilmu yang hak tidak diwacana dan dimantapkan kefahaman dan penghayatannya di kalangan umat sejak di awal usia lagi. Wallahu 'alam. .


[Lihat : 
            1.  Ahli Syurga Melihat Zat Allah di Akhirat Dengan Mata Kepala
          2.  Khutbah Terakhnir Rasulullah s.a.w.