Halaman

Rabu, 7 September 2011

ADAKAH BENAR 'IMAM MAHDI' AKAN MUNCUL?

                           
        بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ
أَلا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ (62) الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (63) لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ لا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ  (64
                         Maksudnya : 
" Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. 
(Iaiatu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. 
Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar."
                              [Al-Quran surah Yunus : 62-64 ]

                   *****************************************

Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

...فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا. فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. 
                       Maksudnya :
" Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahadiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan 'gigitlah'** ia dengan gerham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adaklan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan (dalam agama) itu adalah bid'ah dan setiap bid'ah itu adalah sesat."
** Maksud "....gigitlah ianya dengan gerham..." ialah berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah s.a.w dengan bersungguh-sungguh serta bersabar dengannya. 
 ******************************************************
 وعند أبي داود زيادة: وَإِنَّهُ سَيَخْرُجُ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ 
تَجَارَى بِهِمْ تِلْكَ الْأَهْوَاءُ كَمَا يَتَجَارَى الْكَلْبُ بِصَاحِبِهِ لَا 
يَبْقَى مِنْهُ عِرْقٌ وَلَا مَفْصِلٌ إِلَّا دَخَلَهُ.
                         Maksudnya :
"Dan sesungguhnya akan timbul dalam kalangan umatku beberapa puak yang dijalari/dijangkiti bahaya penyakit suka mengada-adakan bida'ah (sesat) sebagaimana menjalarinya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya - tidak ada satu urat atau sendi tubuhnya melainkan penyakit itu meresap masuk menjalarinya."
                         [ Hadis Rasulullah s.a.w. daripada Abu Daud]

                                                             ***********************************************       
Di dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w ada menyatakan betapa akan tiba masanya kelak umatnya sudah berkembang biak begitu ramai di seluruh dunia tetapi lemah tidak mempunyai kekuatan untuk menangkis segala bencana dan pancaroba yang melanda :
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ 
              Maksudnya : 
 Rasulullah shallallahu ’alaih wa sallam bersabda :  
“Hampir tiba masanya kalian diperebutkan seperti sekumpulan pemangsa yang merebutkan makanannya. Maka seorang (sahabat)bertanya: 'Apakah kerana sedikitnya jumlah kita?'. 'Bahkan kalian banyak, namun kalian seperti buih mengapung. Dan Allah telah mencabut rasa gentar dari dada musuh kalian terhadap kalian. Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit "Al-Wahan".' Seorang (sahabat) bertanya: 'Ya Rasulullah, apakah "Al-Wahan" itu?' Nabi shallallahu ’alaih wa sallam bersabda: 'Cinta dunia dan takut akan kematian.' " (HR Abu Dawud )
buih

Terdapat juga beberapa Hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan pada setiap akhir kurun akan bangkit di kalangan umatnya yang berjihad menghidup dan meperbaiki (islah) agama Islam yang sudah dicemari dengan berbagai-bagai elemen yang merosakkan pola pemikiran dan amalan beragama Islam. Antara Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang sering dirujuk dalam hal ini ialah seperti yang bermaksud :
i. Rasulullah s.a.w bersabda :"Akan sentiasa ada toifah di kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak dirosakkan oleh penentang mereka hingglah datangnya ketentuan Allah (Kiamat)." (HR Muslim).
ii. Sesungguhnya Allah mengu­tus pada umat ini di setiap awal 100 tahun seorang (mujad­did) yang akan memperbaharui urusan agama mereka. (HR Abu Daud)
Berdasar Hadis-hadis yang bersifat umum ini dan diperkuatkan lagi dengan banyak Hadis yang menyebut kebangkitan "Al-Mahadi" pada akhir zaman kelak untuk memimpin dan menyelamatkan umat Islam sejagat  sebelum turun Nabi Isa Alaihisalam, maka terlalu ramai umat Islam ternanti-nanti kemunculan dan kebangkiktan "Imam Mahdi" yang dijanjikan.
Persoalan mengenai dibangkitkan Imam Mahdi pada akhir zaman merupakan salah satu misteri yang menjadi isu kontroversi yang sering muncul di kalangan umat Islam sejak beberapa kurun yang lalu. Pengakuan-pengakuan atau persepsi terhadap dakwaan yang mengatakan seseorang itu sebagai 'Al-Mahdi' yang ditunggu-tunggu adalah salah satu polemik yang terus wujud sehingga kini. 

Sejarah merakamkan orang yang pertama mendakwa sebagai 'Al-Mahdi Muntadzar' ialah Al-Hariths bin Suraij pada tahun 128 Hijriyah. Kemudian muncul pula seorang yang bernama Syeikh Ahmad Ahsaai yang menyebarkan ajaran-ajaran batiniyah dari puak Syiah yang mendakwa dirinya sebagai 'Al-Mahdi' pada tahun 1166 Hijriyah.

Selepas itu muncul lebih ramai lagi orang yang mendakwa dirinya sebagai 'Al-Mahdi'   termasuklah Mirza Ghulam Ahmad yang mengembangkan ajaran Ahmadiah atau di Malaysia lebih dikenali sebagai ajaran Qidyani di India. Kemudian muncul pula Muhammad Ahmad 'Al-Mahdi' yang mengetuai pemberontakan Mahdiah di Sudan pada tahun 1881.

Pada 20 November, 1979 bersamaan 1 Muharam, 1400 Hijriyah pada musim ibadah Haji, dunia digemparkan dengan serangan  'menawan' Masjidil Haram, Makkah oleh sekumpulan pasukan bersenjata yang diketuai oleh Juhaiman ibn Muhamad ibn Saif al-Utaibi yang menggelarkan dirinya sebagai Muhammad bin Allah al-Qahtami dan mendakwa dirinya sebagai Imam al-Mahadi. Ramai yang terkorban dalam insiden berdarah tersebut dari kalangan pihak penyerang, pihak berkuasa keselamatan dan jemaah haji. 

Percaturan politik terbaharu di Iraq pula memperlihatkankan kebangkitan Muqtada Al-Sadar seorang tokoh dan ulama Syiah di Iraq mengetuai pergerakan tentera 'Al Mahdi' untuk "membebaskan" Iraq dan negara-negara Islam lain dari penguasaan "musuh-musuh" Islam.

Kebangkitan terkini  pergerakan yang dikategorikan oleh banyak negara sebagai golongan militan "pelampau Islam" yang dinamakan Islamic State (IS) di Iraq dan Syria dikatakan mempunyai unsur-unsur "Al-Mahdi" yang ada disebut dalam beberapa Hadis Rasulullah s.a.w membawa bendera hitam:

                                          
"Sabda Nabi s.a.w., "Al-Mahdi akan muncul setelah keluarnya Panji-panji Hitam dari sebelah Timur,  pasukan ini tidak pernah kalah dengan pasukan mana pun." (Ibnu Majah) 
"Sabda Nabi s.a.w., "Panji-panji Hitam akan keluar dari arah Khurasan, dan sementara itu kawan-kawan al-Mahdi (pula) keluar menuju ke Baitulmaqdis."
Sabda Nabis.a.w., "Jika kamu semua melihat Panji-panji Hitam datang dari arah Khurasan, maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah-tengah panji-panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk." Maksudnya ialah al-Mahdi. (Ibnu Majah, Abu Nuaim & al-Hakim).
Di Malaysia, pengakuan atau dakwaaan sebagai Imam Mahdi ini sering juga muncul di kalangan masyarakat Islam. Pada tahun 1980 dahulu tampil 15 orang daripada satu kumpulan agama yang dipimpin seorang yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi  menyerang Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, Johor menyebabkan 23 orang polis dan orang awam cedera. Lapan orang daripada penyerang tersebut ditembak mati. 

Selepas tahun-tahun 1970-an memperlihatkan kebangkitan kesedaran baru di kalangan umat Islam di Malaysia dengan munculnya berbagai-bagai pertubuhan dan gerakan berorientasikan keislaman yang mempunyai agenda-agenda tertentu sama ada untuk mencorakkan pemikiran fundamentalisme generasi baru umat Islam atau bagi maksud menyebarkan fahaman-fahaman mistik keagamaan yang sebelum ini hanya bergerak bersendirian tanpa diketahui umum.   
Perkembangan hebat gerakan Al-Arqam yang beridentitikan ahli al-sufi dan mengamalkan tareqat Aurad Muhammadiah mencetuskan berbagai-bagai kontroversi dan implikasi apabila Ashaari Muhammad mendakwa bahawa Imam Mahadi yang dijanjikan ialah Syeikh Al-Saiyid Muhammad bin Abdullah Al-Suhaimi yang dikatakan 'ghaib' di Kelang pada tahun 1925, walaupun jasadnya sudah mati dan dikuburkan di tanah perkuburan Islam Kelang. Beliau mendakwa sifat-sifat serta keturunan Syeikh Suhaimi sama seperti 'Al-Imam Mahdi' yang disebut dalam Hadis. Tambahan terdapat pula dakwaan yang mengatakan bahawaa 'Imam Mahdi' yang akan muncul kelak adalah dari sebuah negara di Timur.

Syeikh Suhaimi dikatakan 'sedang bersiap-siap' untuk muncul semula di alam nyata dan salah satu tanda-tanda kemunculannya yang semakin hampir ialah ramai 'orang ghaib' menghampiri murid-muridnya untuk menjaga dan memberi pertolongan dengan syarat mereka kuat beramal dengan wirid-wirid tareqat Aurad Muhammadiah. Syeikh Suhaimi juga didakwa sebagai 'Wali Allah' bermartabat 'Qutub Al-Aulia' yang 'ghaib' dan mempunyai berbagai karamah dan berjumpa Rasulullah s.a.w. di dalam Ka'abah Baitullah di Masjidil Haram, Mekah dalam keadaan jaga yang mengijazahkan sendiri Aurad Muhammadiah tersebut.

Apabila Syeikh Suhaimi 'tidak muncul-muncul' dan pengaruhnya semakin meluas di seluruh Malaysia dan negara-negara serantau, Ashaari menggelarkan pula dirinya sebagai Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi. Penggunaan gelaran At-Tamimi konon berpandukan alamat-alamat kebatinan alam mistik tareqat Aurad Muhammadiah yang mengatakan 'Imam Mahadiyang akan muncul kelak adalah dari keturunan Bani Tamim yang mempunyai titisan pertalian salasilah keluarga terus dengan Rasulullah s.a.w.

Melalui 'petunjuk' dan isyarat kebatinan alam mistik juga dia mendakwa dirinya adalah daripada titisan benih keluarga Bani Tamim. Ini bererti dialah yang sebenarnya ' Imam Mahadi' yang ditunggu-tunggu! Apabila meninggal dunia pada tahun 2010 dahulu pengikut-pengikut taksub mendakwa kononnya Ashaari Muhamad sebenarnya 'ghaib' sahaja [walaupun yang dikebumikan itu adalah mayat jasadnya yang sebenar] daripada  pemandangan mata manusia. Mereka mendakwa roh Ashaari sekarang  mengetuai 'Majlis Wali-wali' yang kerap berhimpun dalam persidangan "Parlimen Roh" di Makkah dan akan muncul semula di alam nyata sebagai 'Imam Mahdi' untuk memimpin umat Islam memerintah dunia! 

Buat sementara waktu tugas kepemimpinan Al-Arqam dan penyebaran Aurad Muhammadiah dikendalikan oleh isteri beliau, Khatijah Am atau lebih dikenali dengan panggilan Ummu Jah. Jelasnya walaupun pertubuhan Al-Arqam yang menyebarkan ajaran sesat tareqat Aurad Muhammadiah sudah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1994 dan diterima pakai oleh semua Majlis Agama Islam Negeri tetapi masih ramai pengikut taksubnya terus bergerak secara sulit dalam berbagai aktiviti sosial dan perniagaan dengan agenda tersendiri dan menukar identiti zahir mereka sebagai orang Melayu awam biasa. Misi utama mereka adalah untuk 'menguasai dunia di bawah 'kepemimpinan agung' Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi, 'Imam Mahdi' yang ditunggu-tunggu. 

Mereka mendakwa konon walaupun jasad Ashari Muhamad sudah lama 'ghaib' meninggal dunia tetapi rohnya masih bersama isterinya Ummu Jah secara 'yaqazah' mengeluarkan arahan dan berhubung terus dengan Nabi Muhammad s.a.w. Beliau mendakwa konon roh Ashari Muhamad, Muhammad Abdullah As-Suhaimi [pengasas Tareqat  Aurad Muhammadiah] dan Nabi Muhammad s.a.w beristrehat bersama dalam Ka'abah Baitullah di Masjidil Haram, Makkah.

  

Segala persangka dan dakwaan sebagai 'Imam Mahdi' ini berpunca daripada beberapa Hadis Rasullullah s.a.w. yang ada menyebut 'Al-Mahdi' tetapi Hadis-hadis ini tidak menegaskan /menetapkan dengan pasti orang-orang tertentu mengenai siapakah sebenarnya "Al-Mahdi" ini. Di antara Hadis-hadis ini adalah seperti yang bermaksud: 
i.   Aku telah mendengar Rasullullah s.a.w.  bersabda, 'Al-Mahdi' itu dari keturunan anak cucu Fatimah.
ii.  Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya : Aku mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda : Sentiasa ada di kalangan umat ku golongan  yang berperang di atas kebenaran, mereka sentiasa zahir sehingga Hari Kiamat. Sabdanya lagi : Kemudian turun Isa bin Mariam a.s. dan berkata pemimpin mereka (Al-Mahdi ) : Silalah bersembahyang menjadi Imam bagi kami. Nabi Isa menjawab : Tidak, bahawa sebahagian kamu sebagai kemuliaan Allah ke atas umat ini. 
iii.   Dari Abu Sa'id al Khadri r.a. yang berkata, telah bersabda Rasullullah s.a.w. : Aku membawa berita gembira kepada kamu tentang 'Al-Mahdi' yang bangkit di tengah-tengah pertikaian manusia dan kekacauan, lalu ia memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama sebagaimana bumi itu dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Ia diredai oleh penduduk langit dan bumi.
Boleh dikatakan kesemua mereka yang mendakwa atau didakwa sebagai 'Imam Mahdi' adalah dari golongan yang menagamalkan ajaran-ajaran mistik kesufian batiniyah atau mereka yang terkeluar dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka mempunyai imej dan identiti tertentu  yang menggunakan pakaian-pakaian dan wajah yang bercirikan identiti al-sufi dan imej ulamak besar zaman keagungan 'daulah' keislaman dahulu.

Apabila kumpulan pergerakan ini bertambah ramai dan pengaruhnya semakin meluas hingga melibatkan berbagai golongan masyarakat yang bukan sahaja terdiri daripada orang kebanyakan bahkan turut membabitkan pelbagai bidang golongan ahli profesional dan kepemimpinan parti politik, mereka akan bertindak lebih terbuka dan berani hingga mencetuskan tindakan tertentu yang kadangkala begitu agresif hingga membawa pertumpahan darah.

Sebagai orang Islam yang berpegang teguh kepada iktiqad keimanan Ahli Sunnah Wal Jamaah kita sewajarnya membuat penilaian terhadap kebenaran seseorang itu berdasarkan ilmu yang hak dan bukan berasaskan sentimen politik tertentu atau rupa zahirnya sahaja kerana sebagaimana yang kita sedia maklum syaitan sentiasa berusaha untuk menipu umat manusia lebih-lebih lagi orang yang jahil tetapi mengaku sudah beriman.

[ Lihat  : Tipu Daya Syiatan Iblis ].


Kita tidak sewajarnya menunggu-nunggu kelahiran 'Imam Mahdi' untuk menentukan iktiqad keimanan mereka sekarang sama ada berada di atas landasan yang benar atau salah/batil. Sekiranya terdapat orang yang mengaku dan mendakwa dirinya sebagai 'Imam Mahdi' kita sewajarnya berwaspada, berhati-hati dan melakukan semakan teliti dengan bertanyakan persoalan-persoalan ilmu atau yang berkaitan dengan pegangan iktiqad agama khususnya dalam bab aqidah keimanan dan bukan persoalan kepemimpinan politik untuk memerintah dunia.

Al-Imam Al-Mahdi  boleh diertikan sebagai pemimpin agama yang memberi pertunjuk ke jalan kebenaran. Ini bererti sesiapa juga yang didakwa atau dianggap sebagai 'Imam Mahdi' sewajarnya mempunyai kualiti akhlak mahmudah terpuji dalam semua aspek keperibadian dan sahsiah dirinya sebagai insan mukmin yang salih, tahap keilmuan yang amat luas, memberi kepimpinan keilmuan kepada umat, mencintai dan mengutamakan Allah, Rasululullah s.a.w.  dan Hari Akhirat. 

Sesiapa juga yang mendakwa dirinya atau dianggap sebagai 'Imam Mahdi' sewajarnya mempunyai sahsiah dan sifat-sifat 'ulama-ulama mujtahid' ternama yang pernah wujud pada zaman tabi'en dan tabi'en-tabi'en dahulu sebagai pewaris Nabi. Mesej terpenting yang sewajarnya diutamakan oleh 'Al-Imam Al-Mahdi' adalah persoalan memperbetul, memperkukuh dan menegakkan ilmu yang berkaitan dengan Rukun Iman yang enam [6] perkara. 
Hanya dengan cara ini umat dapat berdiri di atas landasan yang jelas dan kukuh dalam penghayatan mereka terhadap agama Islam yang akhirnya menjadikan mereka umat yang bertaqwa, beriman, redha dan mencintai Allah, Rasulullah s.a.w. dan Hari Akhirat mengatasi kecintaan mereka terhadap dunia.

Orang-orang awam tidak sewajarnya mudah terpedaya, terpesona atau apa tah lagi terpengaruh dengan sebarang dakwaan atau tanggapan bahawa si polan itu 'Imam Mahdi',  kerana jumlah pengikutnya yang begitu besar, sifat-sifat karismatik kepemimpinan politik yang luar biasa hingga boleh menarik dan memukau ribuan atau jutaan manusia dan ukuran lahiriah lain yang berlandaskan kancah sentimen politik semasa ataupun kerangka otak pemikiran naif manusia. Orang awam hendaklah memberikan tumpuan terhadap intipati pegangan dan pemahaman ilmu yang dimilikinya khususnya segala hal yang berkaitan dengan aqidah keimanan melalui tutur katanya dan karya-karya penulisan yang dihasilkan.

Penilaian kebenaran sesuatu pemahaman ilmu agama yang diajar dan dikembangkan oleh seseorang yang diberikan sesuatu gelaran istimewa adalah diukur berdasarkan kepada sejauh mana kebenaran ilmu yang disampaikan dan bukan hanya dinilai dari segi jumlah pengikut dan populariti orang berkenaan sahaja. Hal ini ada diperingatkan Allah di dalam al-Quran surah Al-An’am, ayat 116:
 وَاِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِاللهِ اِنْ يَتَّبِعُونَ  إِلَّا   الظَّنَ وَإِنْ هُمْ إِلَّايَخْرُصُوْنَ   
                    Maksudnya :
“Dan apabila kamu mentaati/menuruti kebanyakan orang di muka  bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan (agama) Allah, tidak mereka mengikuti kecuali (hanya) persangkaan belaka, dan mereka  tidak lain kecuali (hanya) berbohong (berdusta).”
Ayat ini memperingatkan kita supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada apabila bertembung dengan golongan manusia yang dimaksudkan. Ertinya kita sewajarnya mempunyai asas ilmu yang kukuh bagi mengelakkan diri daripada terperangkap dengan tipu daya manusia seperti ini.

Jika sekiranya kita disuakan persoalan mengenai 'Imam Mahdi' atau dipertemukan dengan seorang yang mengaku 'Imam Mahdi', contoh-contoh soalan seperti berikut atau soalan-soalan lain yang berkaitan wajar digunakan untuk menilai dan mengukur seseorang yang mendakwa dan mengaku dirinya sebagai 'Imam Mahdi':
1. Dalam Hadis sahih  dari Abu Hurairah r.a. ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
“إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا”
           Maksudnya :  
Sesungguhnya Allah akan mengutus (menghadirkan) bagi umat ini (umat Islam) orang yang akan memperbaharui (menghidupkan urusan) agama mereka pada setiap akhir seratus tahun.
Berpandukan Hadis ini umat Islam dihidupkan urusan agama mereka yang berhadapan dengan berbagai-bagai masalah dan kekeliruan beragama di bawah bimbingan ulama-ulama mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah seperti yang termaklum yang terpaksa berhadapan pula dengan berbagai kefahaman agama yang menyimpang dari pengajaran al-Quran dan Hadis yang hak. Justeru mazhab apakah yang dipegang oleh orang yang mendakwa atau didakwa sebagai Imam Mahdi itu? Adakah dia berpegang kepada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali? Sekiranya dia mengaku berpegang kepada salah satu daripada mazhab tersebut adakah dia lebih alim daripada ke empat-empat imam mazhab tersebut? 
Sekiranya dia memperakukan bahawa imam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah  yang empat itu lebih alim maka dia tidak layak untuk memimpin umat. Maka memadailah dengan segala ilmu pengetahuan agama yang disampaikan oleh ke empat-empat imam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah tersebut sebagai pegangan kita. Sekiranya dia tidak berpegang pada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang empat itu bererti dia membatalkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak dan kita tidak perlu dan tidak wajar percaya dan mengikutinya.
2.  Asas pegangan iktiqad keimanan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah sebagaimana yang terkandung di dalam: Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Syahdah At Tauhid dan Syahdah Al Rasul yang tertera di dalam kitab Ihya' Ulumuddin dan Asma' Ullah Al Husna.  Apakah pegangan iktiqad keimanan 'Imam Mahadi'?.   
Sekiranya dia mengatakan sama dengan apa yang terkandung dengan pegangan aqidah Ahli Sunnah tersebut, maka kandungan ilmu yang diperjelaskan di dalam kitab tersebut sudah cukup memadai untuk dijadikan pegangan iktiqad keimanan kita. Maka kita tidak sewjarnya taksub kepada dia seorang.
Sekiranya pegangan iktiqad keimanannya berlainan daripada apa yang terkandung di dalam kitab Ihya Ulumuddin, kita tidak wajar mengikut dan bersandarkan ilmu kepada orang yang mengaku atau didakwa sebagai 'Imam Mahdi' ini kerana dia bukan dari kalangan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
3.  Mengikut pegangan iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak; selepas wafat Rasullullah s.a.w. martabat kemuliaan manusia yang  di sisi Allah ialah Khulafa' Rasyideen iaitu mengikut keutamaan martabatnya:  
       i)   Abu Bakar, ii)  Umar, iii) Uthman  iv)  Ali r.a. 
Saidina Ali bin Abi Talib Radhiallahuan adalah salah seorang sahabat besar Rasullullah s.a.w. yang sangat luas ilmu pengetahuannya. Ada riwayat yang menceritakan sekiranya dia mentafsirkan surah al-Fatihah, hasil karangannya boleh dimuatkan ke atas 70 ekor keldai untuk membawanya. 
Bagaimanakah ketinggian martabat dan kemuliaan 'Al-Mahdi' yang didakwa ini dan apakah seruan agama Islam yang hendak disampaikannya? Adakah dia berkemampuan menghasilkan karya-karya keilmuan agama berkualiti tinggi yang amat luas dan mendalam bahasannya yang mampu membimbing umat dan melakukan ibadat seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a., Khulafa' Rasydeen atau ulama'-ulama mujtahid termasyhur seperti yang kita semua sedia maklum? 
Sekiranya dia tidak mempunyai ketinggian martabat dan mempunyai nilai kualiti keilmuan dan amalan ibadat yang setanding atau setaraf dengan Khulafa' Rasydeen atau ulama'-ulama' mujtahid termasyhur, maka dia tidak layak menjadi 'Al-Mahdi' untuk memimpin umat.
4.  Dalam Hadis Rasulullah s.a.w. ada menyebut yang intipatinya bermaksud bahawa Allah mengadakan 'Aulia Allah' sebagai 'Autad Al- Ardh' [paku alam] yang berjumlah seramai 40 orang. Apabila meninggal dunia salah seorang daripada mereka akan digantikan pula dengan yang lain. Adakah orang yang mengaku dan didakwa  sebagai 'Al-Mahdi' ini termasuk sebagai salah seorang daripada mereka? 
Sekiranya dia termasuk sebagai salah seorang daripada 'Aulia Allah' tersebut maka ramai lagi yang lain dan kita tidak perlu memberi fokus hanya kepada seorang sahaja. Sekiranya dia tidak termasuk dalam golongan 'Aulia Allah' sebagai 'Autad Al-Ardh' maka dia tidak layak menjadi 'Al-Mahdi' untuk memberi pertunjuk kebenaran beragama dan memimpin umat dan agama Islam.
5.  Sekiranya 'Al-Mahdi' yang dimaksudkan di dalam Hadis adalah Nabi Isa a.s. yang belum wafat dan berada di langit kedua yang ditemui Nabi Muhammad s.a.w. pada malam Isra' dan Mikraj maka kita tunggu sahajalah ketibaannya kelak tetapi dalam pada itu kita tidak wajar tertunggu-tunggu kemunculannya yang tidak ada sesiapa pun di kalangan manusia yang mengetahui saat dan ketikanya hingga melupakan tanggungjawab kita mempelajari, memahami dan menghayati ilmu-ilmu agama Islam yang difardukan.
6.   Apkah pegangan dan pendirian orang yang mengaku atau didakwa sebagai 'Imam Mahdi' ini terhadap pengajaran ilmu yang terkandung di dalam kitab-kitab sesat seperti Ad-Durrun-Nafis yang beriktiqadkan bahawa Nuur Muhammad daripada Zat Allah? 
Sekiranya dia menyokong dan berpegang dengan fahaman yang sama seperti yang terkandung di dalam kitab sesat tersebut, maka kita tidak sewajarnya memberi kepercayaan dan sokongan kepadanya kerana pegangan pemahaman aqidah keimanannya adalah bertentangan dengan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak.
7.  Jika terdapat sebarang dakwaan bahawa 'Imam Al-Mahdi' itu namanya Muhammad bin Abdullah dan datuknya serupa serta anaknya serupa dengan anak-anak Nabi Muhammad s.a.w. dan akan bangkit berkhutbah di Masjidil Haram, Makkah, maka jelaslah dustanya. Jika seseorang itu namanya Muhammad bin Abdullah dan anaknya serupa dengan anak Nabi Muhammad s.a.w. maka iktiqad ini samalah seperti fahaman orang-orang kafirin yang mempercayai konsep 'incarnation'  yang mengaku kononnya roh Nabi Muhammad s.a.w. masuk ke dalam badan seseorang hingga mendakwa nama dan dirinya serupa dengan Nabi Muhammad. Dalam pada itu sesiapa juga boleh memberikan nama yang sama dengan nama Rasulullah s.a.w. yang boleh lahir pada setiap zaman.
 [ ***Makluman : Sila baca, fahami dan buat perbandingan kandungan maklumat yang dipaparkan di dalam :Tingkatan Otak Manusia dan Akhlak Mukmin untuk memberikan penilaian dan ukuran akhlak dan hala tuju perjuangan 'agama' yang cuba disebarluas dan diuar-uarkan oleh orang yang mengaku atau mendakwa atau dianggap sebagai 'Al-Mahdi'.] 

Sehingga kini belum ketara keterampilaan para pemimpin dari kalangan umat Islam khususnya di kalangan mereka yang 'memperjuangkan Islam' mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat sebagai pewaris Nabi seperti yang dimaksudkan di dalam Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. .  Kebanyakan golongan yang muncul hanya berorientasikan atau di atas platform sentimen politik untuk menguasai pemerintahan dan bercirikan duniawi.

Kemunculan seseorang atau golongan yang mengaku sebagai Imam Mahdi, Nabi, Rasul, Autad Al-Ardh dan sebagainya tidak menghairankan kerana tidak lama selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. pun ada orang yang mengaku kononnya menerima wahyu sebagai "Nabi" dan mengingkari segala perintah Khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Manusia seperti ini akan terus muncul pada setiap zaman yang kesemuanya berorientasikan duniawi dan menjadikan orang jahil sebagai mangsa. Golongan ini jugalah yang mungkin dimaksudkan/dikategorikan sesetengah pihak sebagai golongan "pelampau agama".

Persoalan keilmuan khususnya yang berkaitan dengan aqidah keimanan dan lebih-lebih lagi hal-hal mengenai akhirat disentuh sepintas lalu sahaja atau tidak disentuh langsung dalam program dan agenda agama menyebabkan kerosakan aqidah keimanan umat Islam berleluasa seperti ribut taufan besar melanda ke setiap ceruk rantau di seluruh dunia.

Sebagai pewaris Nabi sesiapa juga yang didakwa atau mendakwa sebagai 'Imam Mahdi' sewajarnya mengutamakan Ilmu At-Tawhid, persoalan Rukun Iman yang 6 perkara, mencintai kehidupan di akhirat dan berakhlak seperti Nabi, para sahabat dan para ulama mujtahid kerana matlamat utama perjalanan hidup setiap orang yang beriman adalah untuk mendapat keredaan Allah dan limpahan rahmat-rahmat-Nya supaya terhindar daripada azab api neraka dan memasuki syurga bersama-sama golongan insan mukmin yang salih. 

Firman Allah  dalam al-Quran surah Al-'Imran ayat 144 ada menjelaskan :
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ
                      Maksudnya :
" [Nabi] Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh patutkah kamu berbalik ke belakang [murtad?]. Barangsiapa yang berbalik ke belakang maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Dan sebaliknya Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur [akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu]."

Berdasarkan penjelasan yang diberikan ini setiap orang Islam yang berpegang kepada iktiqad Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak hendaklah menjauhkan diri dan berwaspada terhadap golongan atau seseorang individu yang didakwa, mendakwa atau mengaku dirinya sebagai 'Imam Mahdi'. Pegangan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah jelas dan sahih kebenarnnya yang tidak diragu-ragukan lagi hingga kita menunggu-menunggu atau tercari-cari pula kelahiran 'Al-Mahdi' yang tidak dikenali dan diketahui asal usulnya dan belum pasti dapat memberi pertunjuk ke jalan yang benar dan diredai Allah untuk kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat yang kekal abadi.

 [Lihat : 

 iii.  Khutbah Terakhir Rasulullah s.a.w.]
*********************************************************
عَنْ أَبِي سَعِيْد الْخُدْرِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
[رواه مسلم]
Maksudnya :
"Dari Abu Sa’id Al Khudri radiallahuanhu berkata : Saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : Siapa yang melihat kemungkaran maka rubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka rubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman."
(Riwayat Muslim)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan