Ahad, 21 Ogos 2011

ALLAH TAALA ITU ANTARA ADA DENGAN TIADA?





بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ اْلإِيْمَانِ وَاْلإِسْلاَمِ. وَنُصَلِّيْ وَنُسَلِّمُ عَلَى خَيْرِ اْلأَنَامِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ 
اما بعد  

        يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ لا يَحْزُنْكَ الَّذِينَ يُسَارِعُونَ فِي الْكُفْرِ مِنَ الَّذِينَ قَالُوا آمَنَّا بِأَفْوَاهِهِمْ وَلَمْ تُؤْمِنْ قُلُوبُهُمْ وَمِنَ الَّذِينَ هَادُوا سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ سَمَّاعُونَ لِقَوْمٍ آخَرِينَ لَمْ يَأْتُوكَ يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ مِنْ بَعْدِ مَوَاضِعِهِ يَقُولُونَ إِنْ أُوتِيتُمْ هَذَا فَخُذُوهُ وَإِنْ لَمْ تُؤْتَوْهُ فَاحْذَرُوا وَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ فِتْنَتَهُ فَلَنْ تَمْلِكَ لَهُ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا أُولَئِكَ الَّذِينَ لَمْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يُطَهِّرَ قُلُوبَهُمْ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
                         Maksudnya :
 Wahai Rasul, janganlah engkau berdukacita, kerana orang-orang yang bersegera masuk kekafiran iaitu di antara orang-orang yang berkata (dengan lidah mereka): 'Kami telah beriman', pada hal hati mereka belum beriman, dan (juga) di antara orang-orang Yahudi, (orang-orang Yahudi itu) amat suka mendengar (berita-berita) bohong dan amat suka mendengar perkataan-perkataan orang lain yang belum pernah datang kepadamu, mereka merubah perkatan-perkataan (Taurat) dari tempat-tempatnya......"( hingga akhir maksud ayat)
                              [Al-Quran surah سورة المائدة  Al-Maa-idah : 41 ]

                                                        ***************************************
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلا هُدًى وَلا كِتَابٍ مُنِيرٍ  (8) ثَانِيَ عِطْفِهِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَنُذِيقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَذَابَ الْحَرِيقِ (9) ذَلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ يَدَاكَ وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِظَلامٍ لِلْعَبِيدِ (10 
                     Maksudnya :
" Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan "Allah" dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana kitabullah yang menerangi kebenaran.(8)
dengan memalingkan lambungnya untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah. Ia mendapat kehinaan di dunia dan pada hari kiamat Kami merasakan kepadanya azab neraka yang membakar. (9)
(Akan dikatakan kepadanya ): 'Yang demikian itu, adalah disebabkan perbuatan yang dikerjakan oleh kedua tangan kamu dahulu dan sesungguhnya Allah bukanlah sesekali penganiaya hamba-hamba-Nya'." (10) 
  [Al-Quran surah سورة الحج Al-Hajj : 8-10 ]
                                   *****************************************
 ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ لا إِلَهَ إِلا هُوَ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ فَاعْبُدُوهُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ (102) لا تُدْرِكُهُ الأبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ الأبْصَارَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ (103 
                       Maksudnya : 
"(Yang memiliki sifat-sifat) yang demikian itu ialah Allah Tuhan kamu; tidak ada Tuhan selain Dia; yang Mengadakan segala sesuatu, maka sembahlah (ibadatkanlah) Dia; dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu. (102) 
Dia tidak dapat dilihat oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat Melihat segala (sesuatu) yang kelihatan; dan Dialah Yang Latiff lagi Maha Mengetahui." (103)
                        [Al-Quran surah سورة الأنعام  Al-An'aam : 102-103 ]

**************************************************

Kata-kata kalimah : "Allah Taala itu Antara Ada dengan Tiada"  berpunca kepada pentakrifan atau maksud istilah atau kosakata "Khaliah" yang mungkin ramai telah membaca daripada bahan-bahan penerbitan rasmi sejak beberapa lama dahulu atau disampaikan oleh penceramah-penceramah, agamawan dan guru-guru agama di seluruh ceruk rantau negara. Contoh kata-kata dan pengajaran yang dimaksudkan adalah seperti berikut :
           PENGERTIAN WUJUD NYA ALLAH :
"WUJUD ertinya ada dimaknakan dengan tetap, benar dan sungguh, yang wajib bagi zat ALLAH Taala yang tiada dikeranakan dengan suatu kerana. Maka wujud itu di sisi Imam Fakhrurrazi dan Imam Abu Mansur Al Maturidi bukan ia 'ain maujud dan bukan lain daripada 'ain maujud maka atas khaul ini adalah wujud itu Khaliah (yang menepati antara ada dengan tiada) tetapi pada pendapat Imam Abu Al Hassan Al Ashaari, wujud itu 'ainul maujud yakni wujud itulah zat maujud kerana tidak disebutkan wujud melainkan kepada zat. Barang diingat tentang percayakan wujud Tuhan (Tuhan itu ada) bukan sahaja di sisi agama Islam bahkan semua agama di dalam dunia ini mengaku mengatakan Tuhan itu ada sebagaimana Firman Tuhan (yang bermaksud): 'Dan jika kamu tanya orang-orang kafir itu siapa yang menjadikan langit dan bumi nescaya berkata mereka itu ALLAH yang menjadikan'.(Surah Luqman: 25)Sifat wajib yang pertama bagi ALLAH Taala iaitu Al-Wujud, maknanya dari segi bahasa ialah “ada”. Dalam hal ini, wajib bagi ALLAH SWT itu ada. Atau dalam ertikata yang lain, wajib adanya atau wujudnya ALLAH SWT itu. Pengertian wajib ini perlu kita fahami benar-benar...."
Mungkin sehingga kini belum ada sesiapa yang memberi komen atau teguran bahawa maksud kalimah atau pengertian yang tersebut di atas mempunyai implikasi mendalam yang boleh merosakkan aqidah keimanan seseorang Muslim. 
Kemudaratan terhadap kalimah "Allah Taala itu antara Ada dengan Tiada" begitu ketara kerana ia boleh memberi kefahaman yang menerbitkan syak wasangka, ragu-ragu dan waswas di dalam hati seseorang sama ada al-Quran al-Karim itu benar Kalam Allah atau bukan Kalam Allah kerana ia berasa uas-uas dan syak atau tidak pasti kepada adanya Allah itu sama ada Allah itu ada atau tiada.

Apabila seseorang itu terbit rasa waswas dan syak wasangka di dalam hati atau pemahamannya mengenai segala perkara yang tersebut di dalam al-Quran itu adakah benar atau tidak benar akan berjangkit pula kepada perasaan was-was dan  syak  wasangka sama ada al-Quran itu disampaikan oleh Malaikat Jibrael AS kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu benar-benar wahyu daripada Allah SWT atau tidak. Dia juga terkena penyakit waswas dan syak di dalam hatinya adakah Malaikat Jibrael Alaihisalam itu benar-benar menjadi Pesuruh Allah untuk menyampaikan wahyu Kalam Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w. atau tidak benar.

Apabila adanya Allah SWT itu telah diwaswaskan adanya atau tiadanya dan Nabi Muhammad s.a.w.  itu juga telah diwaswaskan adakah ia benar-benar menjadi Rasul Pesuruh Allah bagi menyampaikan Kalam Allah kepada sekalian umatnya atau tidak benar dan agama Islam yang datangnya daripada kitab Allah al-Quran al-Karim juga mendatangkan syak wasangka di hati akan kebenarannya,  maka akan timbul syak wasangka dan waswas terhadap kebenaran agama Islam itu sendiri.
Perasaan waswas dan syak wasangka ini akan menjangkiti pula terhadap kebenaran adanya syurga, neraka dan hari akhirat. Maka dalam keadaan waswas dan syak wasangka ini jadilah ibadat-ibadat sembahyang, puasa ,zakat, haji dan lain-lain lagi itu turut diwaswaskan adakah Allah SWT memfardukan ke atas hamba-hambaNya atau tidak difardukan kerana adanya Allah SWT itu diwaswaskan dan disyaki pada adanya atau tidak adanya.

Begitu juga segala pahala ibadat yang dilakukan itu diwas-waskan dan disyaki sama ada ianya ada atau tiada dan pahala-pahala itu juga diwas-waskan dan disyaki kebenaran adanya atau tiadanya kerana kewujudan adanya akhirat pun diwas-waskan.  Justeru,  segala ibadat yang dilakukan juga diuas-uaskan dan disyaki adakah daripada rekaan manusia atau tidak dan agama Islam itu juga diwaswaskan dan disyaki adakah daripada rekaan manusia atau tidak. Demikianlah rumusan orang yang berfahaman dan beritiqadkan bahawa Allah SWT itu antara ada atau tiada .

Kalimah-kalimah dan ungkapan kata-kata lain seperti berikut yang tersebut di atas juga boleh memberikan implikasi dan pengertian yang amat mengelirukan :
"....wujud itu 'ainul maujud yakni wujud itulah zat maujud kerana tidak disebutkan wujud melainkan kepada zat.....
Ungkapan kata-kata ini boleh diertikan bahawa huruf "Wujud" itu ialah zat atau diri bagi " yang wujud". Dalam ertikata yang lain  jika huruf "A.P.I" itu ialah zat bagi "Api", maka terbakarlah kertas yang tertulis dengan huruf dan kalimah "Api".

Apabila kita bertemu dan berhadapan dengan ungkapan kata kalimah-kalimah seumpama ini maka hendaklah ditolak dengan segera. Kita hendaklah beriktiqadkan bahawa MASA dan TEMPAT ialah makhluk Allah SWT yang Allah mengadakannya dengan Qudrat-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali. Allah juga yang mengadakannya   daripada semata-mata tiada kepada ada. Sebelum diadakan oleh Allah SWT akan MASA dan TEMPAT maka yang ada ialah Allah SWT sahaja yang ada dan tiada sesuatu apa-apa pun yang berserta-Nya selain daripada-Nya. .

Adanya Allah SWT tiada menyamai dengan adanya makhluk sama sekali dalam apa jua cara, jalan dan hal sekalipun. Pegangan iktiqad Ahli Sunnah wal Jamaah terhadap Adanya Allah SWT adalah sebagaimana yang terkandung di dalam tafsil Terjemah Aqidah Syahdah At-Tauhid:      

 أشهد أن لا إله إلا الله              

"Adalah aku/kita menaik saksi memberi pengakuan yang teguh dengan lidah dan berkeyakinan penuh di hati mengakui akan bahawasanya tiada yang sah DIIBADATKAN dengan sebenarnya melainkan Allah LA M’ABUDA BIHAQQIN ILLALLAH (لامعبود بحق إلا الله
Adalah dengan kitab-Nya yang mulia yang diturunkan kepada Nabi-Nya yang dibangkitkan menjadi Pesuruh-Nya "Rasul-Nya" itu mengetahuilah kita sekalian hamba Allah ini atas lidah Rasul-Nya itu akan bahawasanya Allah SWT, Tuhan kita Jalla Waa'zza itu Ia-Nya Ada Maujud, Qadim, Azali, Baqi dan adanya Allah SWT itu Ia-Nya sentiasa ada, selama-lamanya ada, tiada berkeputusan ada-Nya.
Adanya Allah SWT itu tiada bagi-Nya permulaan, tiada bagi-Nya kesudahan, Allah SWT itu tiada bagi-Nya misal, tiada bagi-Nya bandingan, tidak ada bagi-Nya umpama dan tidak ada bagi-Nya keadaan yang berlawanan.
Bahawasanya Allah SWT itu sentiasa mempunyai kemuliaan dan kesempurnaan Bal Hual Auwalu wal-Aakhiru Wazzahiru Wal-batinu Wahuwa Bikulli Syaia'in 'Alim" [al-Quran surah al-Hadid :3] (  بلهوالأول والآخر والظاهر والباطن وهو بكل شئ عليم ).  Bahkan Allah SWT itu ialah yang awal yang tiada berawal bagi-Nya, Dialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya, Dialah yang zahir ertinya Al-A'ali (العالي) yakni Yang Maha Tinggi dan Maha Suci daripada segala kekurangan dan tidak sekali-kali Allah SWT itu menyamai dengan segala apa juga barang yang diadakan oleh-Nya. 
Dialah yang batin bererti Al-Muhtajibu A'nil-Hawasi Bihajbi Kibria-ihi ( المحتجب عن الحواس بحجب كبريائه) yakni ialah yang terdinding daripada segala pendapatan pancaindera yang lima dengan dindingan kebesaran dan kemuliaan-Nya dan Allah SWT itu dengan tiap-tiap sesuatu Ia Amat Mengetahui."
Jikalau sekiranya Allah SWT tidak mengadakan MASA dan TEMPAT atau tidak mengadakan alam sama sekali pun maka Allah SWT begitu juga yang :
"Ianya ada, selama-lamanya ada, tiada berkeputusan ada-Nya. Dia-lah yang Awal yang tiada berawal bagi-Nya dan Dia-lah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya yang sentiasa mempunyai kemuliaan, kebesaran, kesempurnaan,  ketinggian martabat dan mempunyai segala Asma' Ul Husna yang tiada terhingga banyaknya itu."
Adapun Zat Allah SWT yakni Diri Allah SWT tiada menyamai segala zat makhluk kerana Zat Allah SWT tiada berjuzuk tetapi zat makhluk ada berjuzuk. Apabila Zat Allah SWT itu tiada berjuzuk maka ternafilah dan tertolaklah sama sekali daripada berupa, berwarna, bertempat, berpihak, di luar sesuatu, di dalam sesuatu, berhubung dan bercerai dan bersatu padu dengan sesuatu dan lain-lain lagi yang melazimkan bagi juzuk itu. Oleh itu lemah daripada mendapat tahu hakikat Zat Allah SWT itu, itulah yang dikatakan mendapat atau memahami.

[## Peringatan penting : Zat Allah yang dimaksudkan di dalam Ilmu Tawhid bukanlah bermakna zat yang dimaksudkan kepada khasiat pemakanan seperti mengandungi bahan-bahan vitamin dan mineral tertentu bagi keperluan kesihatan tubuh badan manusia, haiwan atau tanaman-tanaman. Zat Allah ialah bermaksud Diri Allah yang tidak sama sekali menyamai zat atau diri makhluk. Zat Allah yang Qadim bererti Diri Allah itu yang tidak menyamai sama sekali dengan segala zat makhluk, TIDAK berjuzuk, tidak mengenai bahagi-bahagi dan  tidak mempunyai sukatan, ukuran, rupa, mengambil atau memerlukan masa dan tempat, berwarna dan sebagainya yang melazimkan bagi setiap zat yang berjuzuk yang ada pada setiap zat makhluk.]

Qadrat Allah yang Qadim itu tiada menyamai qadrat makhluk. Ini dapat difahami dengan pengurniaan mukjizat kepada Nabi Muhammad s.a.w. seperti ketika baginda dan tentera-tentera Muslimin menghadapi keputusan air dan sangat dahaga semasa berhadapan dengan peperangan fisabillillah. 
Baginda telah mengambil baki air wuduknya di dalam kendi bekasan air dan meletakkan tapak tangannya dalam kendi tersebut. Dengan serta merta keluar air seperti mata air daripada selang anak-anak jari Rasullullah s.a.w. yang dapat mencukupi segala keperluan hajat seramai mana pun tentera Muslimin yang ada. Hal keadaan ini tiada siapa yang dapat mengatakan dari manakah datangnya mata air dari celah-celah jari Rasullullah s.a.w. itu.  

Demikian juga dengan mukjizat yang berlaku terhadap Nabi Musa a.s. ketika dikejar oleh Firaun dan tentera-tentaranya hingga dia dan pengikut-pengikutnya tidak dapat melarikan diri lagi kerana di hadapannya terbentang laut yang luas dan di belakangnya pula tentera-tentera Firaun. Allah telah mewahyukan kepadanya supaya mengetuk air laut menggunakan tongkatnya. Maka dengan serta merta laut terbelah dua setinggi gunung apabila diketuk bagi membolehkan Nabi Musa a.s. dan pengikut-pengikutnya menyeberangi laut tersebut menggunakan laluan darat di dasar laut yang terbelah itu hingga sampai dengan selamat di tebing daratan seberang. 
Firaun yang tidak memahamai perbuatan dan Qadrat Allah menggunakan logik akalnya dengan tanggapan sekiranya Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya boleh melalui dengan selamat menggunakan laluan jalan yang terbentang di tengah-tengah laut yang terbelah dua  itu maka dia pun boleh selamat juga. 

Tidak terlintas langsung di hati dan kerangka fikiran logik Firaun bahawa laut yang terbelah dua itu boleh terkatup semula dengan serta merta. Andaian logik akalnya ternyata meleset kerana apabila Allah mewahyukan kepada Nabi Musa a.s. yang sudah selamat sampai di daratan seberang laut supaya mengetuk semula dengan tongkatnya kepada air laut maka bertemu/bercantum semula laut yang terbelah dua itu dengan serta merta membinasa dan menenggelamkan Firaun bersama tentera-tenteranya hingga mati dalam kelemasan. 
Banyak lagi contoh-contoh keajaiban perbuatan dan Qadrat Allah yang dikurniakan untuk menyelamatkan para Nabi dan Rasul melalui mukjizat apabila mereka berhadapan dengan kesulitan dan kesusahan mendesak yang tidak dapat diatasi kecuali mereka yang sudah ditakdirkan.  Hakikat yang sama juga berlaku kepada para Aulia Allah dan orang-orang mukmin yang soleh melalui 'karamah' yang diberikan kepada mereka apabila berhadapan dengan kesusahan yang amat menyulitkan.
Orang yang beriman dengan mudah  dapat memahami bahawa ini semua perbuatan Allah yang di luar tabi'ie dan tidak menyamai sama sekali dengan perbuatan makhluk kerana Allah SWT Amat Berkuasa mengadakan apa juga yang dikehendaki-Nya dengan Qadrat-Nya dan Qadrat Allah SWT itu tidak boleh dibandingkan sama sekali dengan qadrat makhluk tanpa misal, ibarat atau umpama. Maka lemah daripada dapat mengetahui akan hakikat Qudrat Allah SWT itu ialah mendapat atau memahaminya. Dalam hal ini hendaklah difahami bab ADA Allah SWT dan bab Zat Allah SWT dan bab Qudrat Allah SWT adalah satu bab yang lain pula. 


Mudah-mudahan daripada penerangan ringkas ini dapatlah kita fahami bahawa sesiapa juga yang mengatakan bahawa adanya Allah SWT itu  "khaliah " yang bererti "antara ada dengan tiada" adalah satu ajaran dan kalimah yang bertentangan dengan aqidah keimanan agama Islam.  Maka fahaman yang salah ini hendaklah dihapuskan dan digantikan dengan kefahaman Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sahih benarnya. Wallahu A'lam.

**********************************************************

    هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ 

                             Maksudnya : 
"Dia-lah Allah Yang Menjadikan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk rupa, Yang Mempunyai Nama-nama Yang Paling  Baik dan Amat Indah 'Asma' Ul Husna'. Bertasbih kepada-Nya apa yang ada di langit dan bumi. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."   
                        [  Al-Quran سورة الحشر surah Al-Hasyr : 24 ]

                                                  **************************************
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ 
                         Maksudnya :
" Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatmu itu."
                      [Al-Quran سورة الحجرات  surah Al-Hujuraat : 6 ] 

                                                 *********************************
                  Fake Shear AMARAN RASULULLAH TENTANG ULAMA SU' ULAMA JAHAT ...
بَادِرُوا فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ
يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا وَيُمْسِي مُؤْمِنًا
وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا
      Maksudnya : 
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:  
“Bersegeralah beramal sebelum datangnya rangkaian fitnah seperti sepenggalan malam yang gelap gelita, seorang lelaki di waktu pagi mukmin dan di waktu petang telah kafir, dan di waktu petang beriman dan pagi menjadi kafir, ia menjual agamanya dengan kesenangan dunia.” [HR. Ahmad ]






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ALLAH 'ISTIWA' DI ATAS AL 'ARASY الْعَرْشِ ?

  Sambugan daripada : UNTUKMU AGAMAMU, DAN UNTUK AKULAH AGAMAKU                      بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم    ال...